Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Suami tak kenang budi

Posted: 27 Jan 2014 07:48 AM PST

London: Habis madu, sepah dibuang - begitu nasib menimpa seorang wanita selepas dia menyelamatkan nyawa suaminya dengan menderma buah pinggang.

Samantha Lamb, 41, menawarkan buah pinggang untuk suaminya Adam, 45, yang menghidap kegagalan renal dan memerlukan dialisis untuk meneruskan hidupnya.

Sebagai persediaan menderma buah pinggang, Samantha sanggup menahan lapar bagi membolehkan berat badannya turun 19 kilogram bagi memastikan dia sendiri cukup sihat pembedahan pada Oktober 2009.

Pengorbanan itu kemudian menarik perhatian stesen televisyen BBC yang menerbitkan dokumentari khas mengenai cinta Samantha.

Foto

SAMANTHA (kiri) menyesal menderma buah pinggang kepada Adam.


Tidak seperti cerita cinta biasa, rumah tangga Samantha - Adam berantakan hanya beberapa tahun selepas pembedahan itu.


Adam akhirnya meninggalkan Samantha.

Dia mengangkut semua barangnya, termasuk televisyen dan radio sebelum meninggalkan kunci rumah di dalam peti surat ketika Samantha bekerja syif malam.

Samantha percaya suaminya menjalin hubungan sulit dengan rakan baiknya, namun Adam berkali-kali menafikan.

Pasangan itu - yang berkenalan ketika sama-sama menjadi pemandu ambulans - pernah berpisah seketika sebelum berkahwin pada 2007.

Adam jatuh sakit tidak lama selepas itu dan terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Kata Samantha, dia tidak tergamak melihat Adam lalu menawarkan buah pinggangnya.

"Adam yang mempunyai anak hasil perkahwinan sebelum ini mahu melihat mereka membesar," katanya.

Menurut Samantha, dia kini menyesal membantu Adam.

"Saya tidak menyesal melakukan pembedahan yang membantu seseorang - namun alangkah baiknya jika buah pinggang itu diberi kepada orang lebih layak.

"Kalaulah boleh saya ambil semula buah pinggang itu dan memberinya pada orang lain," katanya.

Namun dia mengakui perkara itu mustahil dan kini hanya berharap proses perceraian diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, dia merasa sakit hati setiap kali melihat parut berukuran empat inci hasil pembedahan itu.

"Namun sekurang-kurangnya Adam pun perlu sentiasa ingat dia berhutang nyawa dengan saya," katanya.

Sementara itu, Adam menafikan mengadakan hubungan dengan rakan isterinya selain menegaskan tidak pernah meminta didermakan organ berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Pengantin sejenis 'berkahwin' dalam Anugerah Grammy

Posted: 27 Jan 2014 07:41 AM PST

Los Angeles: Anugerah Grammy semalam memberi kejutan lain daripada yang lain apabila turut meraikan 33 pasangan yang dikahwinkan serentak sebagai sebahagian daripada persembahan pada malam itu.

Acara itu berjaya dirahsiakan sehingga waktu yang ditetapkan, iaitu ketika persembahan lagu Same Love oleh Macklemore dan Ryan Lewis bersama Mary Lambert serta Madonna.

Perkahwinan semua pengantin terbabit - yang turut merangkumi pasangan sejenis - dirasmikan Queen Latifah.

Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif The Recording Academy Neil Portnow berkata, dia bangga majlis perkahwinan itu berjalan lancar malah menganggapnya cukup bermakna.

Foto

ANTARA pasangan pengantin sejenis yang 'berkahwin' ketika majlis Anugerah Grammy semalam.


"Banyak idea ditonjolkan dalam majlis anugerah kami adalah hasil idea kreatif artis kami.


"Lagu ini memang istimewa dan menyeru kita bersikap adil serta toleransi," katanya.

Portnow juga tidak mempedulikan persepsi negatif yang mungkin menganggap anugerah Grammy digunakan untuk mempolitikkan isu tertentu.

"Kami tidak pernah mencampuradukkan anugerah ini dengan politik.

"Majlis malam ini sekadar untuk menyatukan pasangan yang saling mencintai dan mahu hidup bersama," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Susan Boyle mohon kerja juruwang

Posted: 27 Jan 2014 07:41 AM PST

Edinburgh: Walaupun bergelar jutawan dan menempa nama sebagai penyanyi, Susan Boyle masih memerlukan pekerjaan.

Malah baru-baru ini dia didapati memohon kerja sebagai juruwang separuh masa di syarikat perjudian Ladbrokes.

Susan, 52, yang memiliki kekayaan dianggar bernilai £20 juta (RM111 juta) memohon jawatan itu di cawangan syarikat berkenaan di Scotland.

Penolong Pengurus David Corr berkata, mereka terkejut apabila dikunjungi Susan.

Foto

SUSAN

Mereka kemudian menasihati Susan - juga dikenali sebagai SuBo - membuat permohonan secara dalam talian.

Seorang penduduk setempat berkata, Susan benar-benar berminat untuk bekerja di situ.

"Sudah pasti dia tidak perlukan wang.

"Bagi saya itu mungkin satu cara untuk dia keluar dari rumahnya dan kurangkan berfikir," katanya.

Jurucakap Ladbrokes berkata, Susan pernah memohon bekerja di situ sebelum menjadi terkenal.

"Mungkin ada sesuatu yang istimewa mengaitkan kami dengan juara Britain's Got Talent kerana seorang jurinya Alesha Dixon juga pernah bekerja dengan kami sebelum terkenal!" katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

72 jam untuk pulang

Posted: 27 Jan 2014 07:38 AM PST

Bangkok: Penunjuk perasaan yang berdegil dan masih mengepung sejumlah pejabat kerajaan di Bangkok mempunyai tempoh 72 jam - mulai semalam - sebelum kerajaan mengerah peronda mengepung mereka.

Pengarah Pusat Pengekalan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO), Chalerm Yumbamrung berkata arahan itu dikeluarkan selaras dengan undang-undang darurat yang dikuatkuasakan kini.

Bagaimanapun, Chalerm menolak anggapan tindakan itu sebagai kekangan kerajaan terhadap penunjuk perasaan.

"Tiada senjata akan digunakan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Foto

RASA tidak puas hati terus ditunjukkan penunjuk perasaan di Bangkok semalam.

Menurut Chalerm lagi, unit peronda berkenaan terdiri daripada polis yang akan menyasarkan penyokong Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC).

"Ini bukan ancaman tetapi amaran dan jika mereka masih berdegil, saya akan menggunakan kuasa saya sebagai Pengarah CMPO di bawah undang-undang darurat untuk menangkap semua penunjuk perasaan yang terbabit dalam pengepungan itu," katanya.

Chalerm berkata, agensi perisikan dan analisis pasukannya mendapati ada kumpulan ketiga akan mencetuskan keganasan di lokasi demonstrasi dan kemudian menyalahkan kerajaan atas apa yang berlaku.

Menurutnya, keganasan itu mungkin dilakukan penunjuk perasaan sendiri.

Chalerm turut meluahkan kekesalan dengan kematian seorang pemimpin penunjuk perasaan yang ditembak ketika pertempuran di pusat mengundi di kawasan Bang Na kelmarin.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Henti sokong PDRC

Posted: 27 Jan 2014 07:37 AM PST

Bangkok: Pusat Pengekalan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO) meminta 30 syarikat swasta utama Thailand menghentikan sokongan mereka kepada Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC).

Ketua Jabatan Siasatan Khas, Tarit Pengdith berkata, amaran itu dikeluarkan selepas syarikat berkenaan didapati menyediakan dana, kenderaan dan perlindungan kepada penunjuk perasaan PDRC.

Menurutnya, tindakan syarikat terbabit melanggar akta jenayah dan undang-undang darurat yang dikuatkuasakan.

"CMPO juga memberi amaran kepada media agar berhenti menyiarkan liputan berita mengenai penunjuk perasaan dan tindakan menentang kerajaan," katanya.

Tarit berkata, CMPO juga sudah mengerah anggotanya - dipimpin Ketua Polis Adul Saengsingkaew - berunding dengan pemimpin PDRC dan meminta mereka membebaskan pejabat kerajaan yang dikuasai.

"Rundingan dijalankan hingga Jumaat.

"Jika tiada keputusan dicapai, CMPO akan melaksanakan pelan operasi untuk merampas semula semua pejabat kerajaan yang dikuasai penunjuk perasaan pada 3 Februari," katanya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

EC cadang pilihan raya ditunda

Posted: 27 Jan 2014 07:36 AM PST

Bangkok: Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) mencadangkan pilihan raya umum yang dirancang diadakan 2 Februari ini ditangguhkan selama enam bulan.

Seorang daripada pesuruhjaya badan itu berkata, usul berkenaan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra hari ini.

Menurut Somchai Srisuthiyakorn, anggota EC semalam bermesyuarat bagi menyediakan tajuk yang akan diutarakan dalam perbincangan dengan Yingluck.

"Penangguhan pilihan raya tidak boleh melebihi enam bulan mulai dari tarikh 2 Februari.

"Kami berpendapat enam bulan adalah tempoh yang bersesuaian dan jika terlalu lama kerajaan sementara hanya menjejaskan negara dan tidak dapat melakukan banyak tindakan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Somchai berkata, EC juga perlu menunggu konflik politik yang tercetus sekarang reda sebelum melangsungkan pilihan raya.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

SBY bukan punca bencana

Posted: 27 Jan 2014 07:36 AM PST

Jakarta: Istana Negara semalam berkata, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono tidak boleh dipersalahkan menjadi punca bencana alam yang menimpa Indonesia seperti didakwa sesetengah bomoh.

Setiausaha Kabinet Indonesia, Dipo Alam berkata, sejumlah tukang tilik membuat kesilapan apabila mengaitkan tamatnya penggal pemerintahan Susilo tahun ini dengan bencana banjir, letupan gunung berapi dan gempa bumi.

"Sesetengah mereka cuba mengaitkan permulaan penggal pemerintahan Susilo pada 2004 dan penggal akhir pemerintahannya tahun ini dengan pelbagai bencana alam di Indonesia," katanya.

Dipo berkata, bencana alam termasuk gempa bumi di Jawa Tengah Sabtu lalu disebabkan oleh kedudukan negara itu yang terletak di lingkaran api Pasifik, selain takdir Tuhan.

Dalam bukunya, Selalu Ada Pilihan, Susilo mendakwa dia dan keluarganya sentiasa menjadi mangsa ramalan pengamal mistik di negara itu.

Susilo turut memberitahu kisah bagaimana dia dan isterinya, Ani Yudhoyono terpaksa berlawan dengan awan hitam yang menyelubungi kediaman.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Abdel Fattah naik pangkat

Posted: 27 Jan 2014 07:35 AM PST

Kaherah: Presiden sementara Mesir Adly Mansour menaikkan pangkat ketua tentera Jen Abdel Fattah al-Sisi kepada Panglima Medan - satu lagi bayangan menunjukkan Menteri Pertahanan itu akan bertanding dalam pilihan raya presiden tidak lama lagi.

Abdel Fattah mengetuai bahagian risikan tentera sehinggalah dilantik sebagai Menteri Pertahanan oleh Presiden Mohamed Mursi Isa al-Ayyat pada Ogos 2012.

Dia semakin 'popular' setahun kemudian dan menggulingkan Mohamed Mursi - tokoh yang melantiknya ke jawatan menteri.

Berikutan itu, beberapa 'kempen' terdengar menggesa Abdel Fattah bertanding jawatan presiden pada pilihan raya akan datang.

Foto

ORANG ramai membawa jenazah anggota Pergerakan 6 April, Sayed Abdallah yang maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Mesir Sabtu lalu. Pergerakan itu disertai aktivis yang tidak condong kepada mana-mana parti politik.


Abdel Fattah yang sebelum ini kononnya mendakwa tidak mahukan jawatan berkenaan, mengakui mungkin menerima tanggungjawab berkenaan baru-baru ini.


Kelmarin, Adly mengumumkan pelan peralihan politik Mesir diubah - secara mengejut - dengan mengadakan pilihan raya presiden lebih awal sebelum pilihan raya parlimen.

Ia berbeza daripada apa dipersetujui sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya Presiden perlu memulakan prosedur mengadakan pemilihan tidak kurang daripada 30 hari dan tidak lebih 90 hari daripada tarikh perlembagaan baru diterima pakai.

Perlembagaan itu berkuat kuasa pada 18 Januari lalu selepas referendum dua hari pada 14 dan 15 Januari menunjukkan sokongan 98.1 peratus terhadapnya.

Sehubungan itu, pilihan raya presiden dijangka diadakan antara 17 Februari dan 18 April ini.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Iran digesa wujud semula persatuan media

Posted: 27 Jan 2014 07:34 AM PST

Tehran: Ratusan wartawan Iran menandatangani petisyen menggesa Presiden Hassan Rouhani mempercepatkan proses mewujudkan semula penubuhan persatuan media, lapor akhbar Etemad, semalam.

Menurut sumber, Persatuan Wartawan Iran ditutup tidak lama selepas pelantikan Mahmoud Ahmadinejad sebagai presiden pada tahun 2009 atas arahan bekas pegawai pendakwa Saeed Mortazavi.

Keputusan berkenaan dibuat atas maklumat yang diberikan Kementerian Risikan.

Etemad melaporkan, petisyen itu ditandatangani 772 wartawan Iran.

"Anda berjanji mencuba sedaya upaya membuka menubuhkan semula persatuan wartawan ini.

"Tidak dinafikan, sejak beberapa bulan lalu banyak usaha dijalankan menteri anda untuk mencapai tujuan itu, namun kami tidak dimaklumkan tempoh proses berkenaan.

"Bagaimanapun, kami tetap berharap anda menepati janji itu," begitu isi kandungan petisyen berkenaan.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

Israel diserang penggodam

Posted: 27 Jan 2014 07:33 AM PST

Baitulmaqdis: Pakar perlindungan data Israel semalam mendedahkan penggodam berjaya menceroboh komputer negara itu, termasuk satu yang digunakan menteri pertahanan rejim Zionis berkenaan dalam hal ehwal orang awam di Tebing Barat.

Ketua Pegawai Teknologi firma Seculert, Aviv Raff memberitahu stesen radio tentera, satu e-mel dihantar ke beberapa syarikat di Israel termasuk organisasi keselamatan.

"E-mel itu mempunyai dokumen dilampirkan dan sesiapa yang membukanya mengakibatkan komputer diserang virus yang membolehkan penyerangnya mengawal komputer berkenaan sepenuhnya, termasuk menjalankan sebarang operasi di dalam rangkaian berkenaan.

"Sebaik menyedarinya kami membatalkan kawalan penggodam dan memaklumkan pihak berkuasa.

"Satu daripada 15 komputer itu milik Jabatan Pentadbiran Awam," katanya merujuk kepada jabatan yang dikelola kementerian pertahanan itu.

Dia tidak dapat mengenal pasti siapa penyerang itu namun ia disyaki dari Gaza.

Sementara itu, pihak tentera Zionis dalam satu kenyataan berkata laporan mengenai kejadian itu sedang disiasat.

Menurut kenyataan itu, hanya rangkaian Pentadbiran Awam terjejas dengan kejadian itu, namun tidak membabitkan sebarang maklumat rahsia.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/28

No comments:

Post a Comment