Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pelajar autisme cuba pecah 3 rekod dunia

Posted: 28 Jan 2014 07:58 AM PST

Dubai: Walaupun menghidap autisme Johann Mendes tetap istimewa kerana mampu mengingati tarikh lahir hampir semua rakan sekelas, guru dan kakitangan sekolahnya.

Dengan kelebihan itu Mendes sedang membuat persediaan mencatat nama dalam Buku Rekod Guinness bagi membuktikan penghidap autisme juga mampu melakar kejayaan besar.

Menariknya, Mendes mahu memecahkan rekod dalam tiga kategori sekali gus - paling banyak mengingati tarikh lahir, bendera negara dan ibu negara dalam tempoh seminit.

Ibunya, Judy berkata, kelebihan Mendes disedari sejak dia berusia enam tahun.

"Mendes sangat tertarik kepada kalendar dan menghabiskan masa dengan membaca, melukis dan menyalin tarikh yang ada," katanya.

Di peringkat awal, kata Judy, dia tidak memberi banyak perhatian kepada hobi Mendes sehinggalah pada satu hari bapa saudara remaja terbabit mula bertanya tarikh lahir keluarga mereka.

"Kami semua terkejut kerana Mendes menyebut tarikh lahir itu dengan betul," katanya.

Sejak itu, kata Judy, bakat Mendes berkembang kepada meneka hari seseorang itu lahir - sama ada pada masa silam atau akan datang - berdasarkan tarikh lahir mereka.

Foto

MENDES


Ditanya mengenali kelebihannya, Mendes berkata, dia hanya menghafal kalendar.


"Segalanya ada dalam kepala," katanya.

Untuk mencatat rekod Mendes mesti menamakan lebih 50 ibu negara dunia dalam tempoh 60 saat dan mengenal pasti lebih 77 bendera dalam tempoh sama. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Angry Birds alat risikan?

Posted: 28 Jan 2014 07:55 AM PST

London: Aplikasi Angry Birds untuk telefon pintar didakwa digunakan perisik untuk mengintip warga Britain.

Akhbar Guardian melaporkan, berdasarkan dokumen didedahkan bekas perisik Edward Snowden, aplikasi rangkaian sosial dan peta turut dieksploitasi Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan (GCHQ) Britain dan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) AS.

Dokumen sulit diperoleh akhbar itu menunjukkan aplikasi telefon pintar disalahgunakan untuk mendapatkan butiran peribadi seperti usia, jantina dan lokasi seseorang selain kenalan dan laman web dilayari.

Menurut dokumen itu, kebanyakan laman media sosial seperti Facebook dan Twitter membuang data meta mengandungi maklumat berhubung lokasi yang boleh diperoleh sebelum sesuatu gambar disiarkan.


Bagaimanapun, maklumat sedemikian masih boleh dikutip agensi risikan ketika proses muat naik.


Dokumen sulit itu mendedahkan antara data yang dapat diperoleh termasuk maklumat sensitif seperti orientasi seksual atau tabiat seksual seseorang.

Sementara itu firma pembuat Angry Birds, Rovio Entertainment berkata, mereka tidak terbabit dengan GCHQ atau NSA, selain tidak tahu mengenai dakwaan berkenaan.

Jurucakap NSA pula menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan aktiviti risikan dilakukan mengikut perundangan dan hanya terhadap sasaran sahih.

"NSA tidak berminat mengetahui komunikasi harian orang awam yang bukan sebahagian daripada badan risikan antarabangsa.

"Sebarang dakwaan NSA mendapatkan maklumat risikan antarabangsa melalui laman media sosial atau telefon pintar adalah palsu semata-mata.

"Kami hanya mendapatkan bahan komunikasi yang dibenarkan mengikut undang-undang," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Keluarga Diraja terlebih belanja

Posted: 28 Jan 2014 07:53 AM PST

London: Sebuah jawatankuasa parlimen meminta keluarga diraja Britain mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan selepas simpanan tunai institusi itu mencatat rekod paling rendah iaitu £1 juta (RM5.5 juta).

Mengikut laporan jabatan akaun awam, keluarga diraja dicadang merancang perbelanjaan dengan lebih baik bagi memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung sebarang kejadian yang tidak dijangka Ratu Elizabeth.

Dana simpanan itu yang direkodkan sebanyak £35 juta (RM193 juta) pada 2001 berkurangan sedikit demi sedikit disebabkan perbelanjaan berlebihan.

Pengerusi jawatankuasa itu, Margaret Hodge turut mengkritik Perbendaharaan britain kerana gagal membuat semakan terhadap perancangan dan pengurusan kewangan keluarga diraja sedangkan banyak peluang untuk membantu mereka meraih pendapatan lebih dan mengurangkan kos serta perbelanjaannya.

Katanya, tahun kewangan lalu menunjukkan peningkatan dalam pendapatan mereka namun menganggap masih banyak yang boleh dilakukan.

"Kami percaya pengurusan yang lebih baik mampu memastikan lebih banyak kos dikurangkan.

"Keluarga Diraja juga perlu menangani masalah penyelenggaraan beberapa estet miliknya yang agak kurang terpelihara," katanya.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Jenis kereta boleh bantu pikat kekasih

Posted: 28 Jan 2014 07:53 AM PST

London: Seseorang "gagalis" yang sukar mendapat kekasih mungkin bukan sekadar perlu menilai diri sendiri, sebaliknya wajar melihat kepada kereta yang dipandu.

Satu kaji selidik mendapati tarikan seseorang boleh dipengaruhi jenis kenderaan dimiliki.

Menurut laman web Insure.com, wanita berpendapat lelaki memandu trak Ford hitam lebih menarik, manakala lelaki melihat wanita yang memandu BMW 'sports' merah sebagai lebih menawan.

Kaji selidik membabitkan 2,000 wanita dan lelaki berkenaan melihat jenis, jenama dan warna kenderaan yang dipandu orang yang dikategorikan menarik.


Sehubungan itu, wanita rata-rata menganggap pemandu pikap sebagai paling menarik iaitu sebanyak 32 peratus diikuti:


• Sports (27 peratus)
• SUV (16 peratus)
• Sedan (11 peratus)
• Hibrid (9 peratus)
• Trak UPS (4 peratus)
• Van (2 peratus)

Sementara itu, jenama paling dikaitkan dengan daya tarikan terhadap lelaki adalah Ford (16 peratus), Chevrolet (13 peratus) dan Porsche (11 peratus).

Di samping itu, wanita turut meminati hitam (53 peratus) sebagai warna untuk lelaki menarik diikuti perak (16 peratus) dan merah (13 peratus).

Bagi kaum lelaki pula, mereka menganggap wanita yang memandu kereta 'sports' sebagai paling menarik (39 peratus) diikuti Sedan (22 peratus); SUV (20 peratus); pikap (10 peratus); hibrid (6 peratus) dan van (4 peratus).

Mereka turut menganggap wanita paling menarik jika memandu:

• BMW (16 peratus)
• Mercedes (14 peratus)
• Porsche (10 peratus)

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Artis tertawakan amaran CMPO

Posted: 28 Jan 2014 07:51 AM PST

Bangkok: Pusat Pengekalan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO) semalam mendapat tindak balas tidak tidak disangkakan ketika mengumumkan akan mengeluarkan saman terhadap golongan artis yang membuat persembahan pentas menyokong demonstrasi antikerajaan.

Pengumuman itu disambut hilaian tawa pelakon dan pemuzik yang dimaklumkan mengenainya di pentas Chidlon.

Artis terbabit langsung tidak mempedulikan amaran itu malah penyanyi Jetrin 'J' Wattanasin memuat naik jadual persembahannya bagi setiap pentas demonstrasi yang akan dilawatinya.

Pelakon Daraneenute 'Top' Pohpiti pula memuat naik gambar di Instagram dengan catatan: "Jumpa di Chidlom.

Kami akan menjual gelang tangan bendera Thai untuk meraikan saman dikeluarkan!" Sementara itu, pelakon Dr Sarawit 'Gong' Sookbun memuat naik puisi mengatakan CMPO perlu juga menahan sesiapa yang mengkhianati negara - yang disifatkannya 'hobi' golongan penyokong kerajaan.

Pelakon Worarit 'Not' Fueng-arom dan Chatchai Plengpanich berkata mereka menganggap demonstrasi sekadar luahan pandangan seperti dibenarkan demokrasi.

"Usahlah cuba menakutkan kami.

Saya tidak takut kerana mana-mana rakyat Thai berhak menyuarakan pendapat," kata Chatchai.- Agensi

Foto

PEKERJA perbandaran membersihkan jalan raya yang dijadikan kem penunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Yingluck, EC cari kata sepakat

Posted: 28 Jan 2014 07:51 AM PST

Bangkok: Dua cedera apabila tembakan dilepaskan di sebuah kompleks tentera yang menjadi lokasi perbincangan antara Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (EC), semalam.

Ketua penunjuk perasaan di lokasi itu, Chumpol Jumsai berkata, seorang penunjuk perasaan dan lelaki yang melepaskan tembakan masing-masing cedera dalam kejadian itu.

Tembakan dilepaskan jauh dari tempat perbincangan diadakan.

Ketika itu kira-kira 500 penunjuk perasaan berhimpun di situ.

Pertemuan antara Yingluck dan EC itu diadakan bagi membincangkan tarikh terbaik mengadakan pilihan raya.

Kerajaan sementara setakat ini bertegas mahu meneruskan proses pengundian pada 2 Februari depan tetapi tidak dipersetujui EC kerana keadaan Thailand masih bergolak.

EC mencadangkan pilihan raya ditangguhkan sehingga empat bulan.

Sementara itu, anggota EC Somchai Srisutthiyakorn berkata, keselamatan sukar dikawal malah tidak dapat dijamin pada 2 Februari ini.

"Di sesetengah kawasan ada calon gagal mendaftarkan diri," katanya.

- Agensi

Foto

YINGLUCK tiba untuk perbincangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Pelan ambil alih bangunan kerajaan diumum

Posted: 28 Jan 2014 07:47 AM PST

Bangkok: Gabungan tentera dan polis akan menguasai semula pejabat kerajaan yang kini dalam kawalan penyokong Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC) bermula 3 Februari ini.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Pusat Pengekalan Keamanan dan Ketenteraman Awam (CMPO) Tarit Pengdith, semalam.

Tarit yang juga pengarah Jabatan Siasatan Khas (DSI) berkata, pasukan perunding dipimpin Ketua Polis Adul Saengsingkaew masih mengadakan perbincangan dengan penunjuk perasaan di semua lokasi demonstrasi sehingga 31 Januari ini.

"Jika rundingan gagal, pasukan polis dan tentera bergabung menuntut balik bangunan pejabat kerajaan yang diambil alih PDRC bermula 3 Februari," katanya.

Menurut Tarit, CMPO akan mengadakan mesyuarat bersama ketua pejabat kerajaan dan pegawai kanan polis serta tentera terbabit hari ini bagi membincangkan langkah yang mungkin perlu diambil.

Mengenai 30 syarikat swasta yang memberi bantuan kewangan dan logistik kepada penunjuk perasaan, Tarit berkata polis khas dan DSI sudah mengenal pasti dan memberi amaran kepada mereka.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Datuk Bandar tak buat kerja?

Posted: 28 Jan 2014 07:47 AM PST

Dumai: Puluhan anggota Persatuan Pelajar Dumai semalam mengadakan tunjuk perasaan menuntut rumah perjudian dan pelacuran di situ ditutup.

Penyelaras demonstrasi, Abdul Rasyid berkata, mereka memprotes kegiatan judi dan pelacuran yang semakin berleluasa yang didakwa akibat kurang pemantauan Datuk Bandar Khairul Anwar.

"Terlalu banyak pusat karaoke dan rumah urut dibuka di bandar ini sehingga lewat malam yang membuka ruang untuk disalahgunakan pihak tak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Demonstrasi itu diadakan di depan pejabat Perkhidmatan Pelaburan Dumai dan balai polis Dumai.

Penunjuk perasaan turut membawa keranda selain gambar datuk bandar berkenaan menyanyi ketika merasmikan pembukaan sebuah pusat karaoke, baru-baru ini.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Bunuh anak, tikam isteri

Posted: 28 Jan 2014 07:46 AM PST

Jakarta: Gara-gara hutang sekeliling pinggang, seorang lelaki menikam anak lelakinya berusia tiga tahun hingga mati sebelum menyerang isteri dan adik iparnya, semalam.

Jurucakap polis Jakarta Rikwanto berkata, lelaki dikenali sebagai EP itu menikam anaknya beberapa kali di rumahnya di Cikarang Utara, Bekasi, pada jam 3 pagi.

Isterinya berusia 23 tahun yang ketika itu sedang tidur terjaga kerana mendengar bunyi bising lalu pergi memeriksa.

EP bagaimanapun menikam wanita itu di perut dan kepala sebelum mengejar adik iparnya.

EP akhirnya melarikan diri melalui siling rumah.

Kata Rikwanto, pakar psikiatri akan memeriksa EP sebaik dia berjaya ditahan pihak berkuasa.

"Lazimnya mereka yang membunuh ahli keluarga akan membunuh diri.

"Kami percaya dia tertekan kerana hutang berikutan seorang lelaki datang ke rumahnya pada malam sebelum kejadian." katanya dalam satu kenyataan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Berhenti sokong kerajaan boneka

Posted: 28 Jan 2014 07:46 AM PST

Doha: Dr Yusuf al-Qaradawi semalam menggesa ulama Arab Saudi supaya berhenti menyokong kerajaan boneka tentera di Mesir dan menganggap mereka menggunakan wang negara untuk membunuh rakyat Mesir yang menolak rampasan kuasa pada Julai tahun lalu.

Menurut ulama dihormati dunia itu, sokongan Arab Saudi memberikan kuasa kepada kerajaan sementara Mesir menekan penyokong gerakan Islam sejak Mohamed Mursi Isa al-Ayyat digulingkan menterinya sendiri.

"Sangat mengejutkan apabila kerajaan Arab Saudi menyalurkan berbilion dolar kepada Mesir untuk menyokong kumpulan perampas kuasa dan ketua mereka.

"Tindakan itu jauh menyimpang dari perintah Tuhan dan Islam," katanya dalam temu bual semalam.

Foto

DR Yusuf al-Qaradawi


Kebanyakan negara Arab - yang ditadbir secara monarki - bergembira apabila Mohamed Mursi disingkirkan Jen Abdel Fattah al-Sisi dan segera memberikan bantuan kepada pegawai tentera itu untuk mengekang pembangkang Mesir.


Kata Yusuf, tentera Mesir diketuai Abdel Fattah menggunakan dana Arab Saudi untuk membunuh rakyat Mesir yang tidak berdosa.

Sepatutnya, kata Yusuf, wang berkenaan dimanfaatkan untuk membela golongan terpinggir.

"Saya menyeru kepada penduduk Arab Saudi dan rejim negara itu untuk bersama menyokong rakyat Mesir mendepani pembunuh, mempertahankan kebenaran dan membantu mangsa kezaliman.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

No comments:

Post a Comment