Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mufti mangsa fitnah lucah

Posted: 09 Jan 2014 12:46 PM PST

Bishkek: Pegawai Islam tertinggi Kyrgyzstan semalam dilaporkan terpaksa meletak jawatan selepas klip video memaparkan imej seperti dirinya mengadakan hubungan seks terbesar kepada umum.

Berita itu turut mendorong kira-kira 60 orang berkumpul di luar pejabat Mufti Besar Kyrgyzstan, Rakhmatullah Hajji Egemberdiyev bagi mendesaknya memberi penjelasan terhadap dakwaan berkenaan.


Mereka turut melaungkan kemarahan bagi mendesak Egemberdiyev meletak jawatan. Sebelum ini mufti terbabit berkata, dia mengakui lelaki dalam klip video itu adalah dirinya yang sedang berasmara dengan isteri kedua.

Ketika ini Kyrgyzstan mengharamkan amalan poligami walaupun umum percayai golongan kaya dan bangsawan sebenarnya mempunyai lebih daripada seorang isteri. Beberapa percubaan pernah dibuat untuk menghalalkan poligami di negara berkenaan tetapi belum berjaya. Bekas Presiden Kyrgyzstan, Kurmanbek Bakiyev - yang disingkirkan daripada kuasa pada 2010 juga berpoligami. Klip video itu mula tersebar di YouTube pada 1 Januari lalu dan mencetuskan kemarahan ramai.


Penduduk setempat berkata, Egemberdiyev mesti melepaskan jawatannya kerana "tidak mempunyai nilai moral" lagi untuk menjadi mufti. Klip berkenaan sudah dipadamkan dari YouTube. Egemberdiyev berkata, penyebaran klip video itu mungkin mempunyai motif politik dan didalangi pegawai kanan suruhanjaya agama di Kyrgyztan, Abdulatif Zhumabayev.


"Abdulatif berniat menggantikan saya dengan tokoh lain yang sehaluan dengannya serta menguasai agensi pengurusan haji yang membuat pungutan tinggi setiap tahun," katanya.

Foto

EGEMBERDIYEV yakin penyebaran klip video seksnya mempunyai motif politik.

Sementara itu sumber berkata Egemberdiyev turut disiasat kerana disyaki cuba mengelak cukai serta mengambil rasuah ketika menguruskan sistem kuota haji. Egemberdiyev menjadi mufti Kyrgyztan pada 2012 dan tokoh keenam disingkirkan dari jawatan berkenaan dalam tempoh empat tahun. Jawatan itu diisi melalui pilihan raya.


Sementara menunggu pemilihan baru pada 8 Februari ini jawatan berkenaan dipangku timbalan Egemberdiyev, Maksat Toktomushev. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Tak tahu ibu bapa mati ditembak

Posted: 09 Jan 2014 12:43 PM PST

Caracas: Anak bekas ratu cantik Venezuela yang dibunuh perompak kelmarin masih belum tahu dia kini menjadi anak yatim piatu.

Menurut keluarga Monica Spear, Maya, 5, tidak menyedari insiden yang disaksikannya itu telah mengorbankan ibu dan bapanya.


Jurucakap keluarga Monica berkata, selepas kejadian Maya terus dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan manakala mayat ibu bapanya dipindahkan.

"Kami masih menunggu masa sesuai untuk memaklumkan kematian itu kepada Maya," katanya.


Dalam kejadian kelmarin, Monica yang dinobatkan sebagai Ratu Venezuela 2004 menaiki kereta bersama bekas suaminya, Thomas Berry, serta Maya apabila tayar kenderaan mereka tiba-tiba pancit selepas terlanggar paku.


Sejurus kemudian sekumpulan perompak menyerbu kereta itu dan melepaskan tembakan bertalu-talu menyebabkan Monica serta Berry terbunuh.

Bagaimanapun Maya hanya cedera di kaki. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Sebungkus syabu sebagai tip pelayan

Posted: 09 Jan 2014 12:42 PM PST

Seaside (Oregon): Sepasang pengunjung restoran Twisted Fish mempunyai cara tersendiri memberikan tip kepada pelayan dengan 'menghadiahkan' sebungkus syabu (methamphetamine).

Menurut sumber, Ryan Bensen, 40, dan Erica Manley, 37, mengunjungi restoran berkenaan untuk menikmati hidangan disediakan.


Sebelum pulang, mereka menghulurkan sehelai sampul surat kepada seorang daripada pelayan di situ.

Jurucakap polis berkata, pelayan terbabit menyangka dia diberi wang tetapi terkejut apabila mendapati sampul surat berkenaan berisi dadah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Rhoma yakin sokongan PKB

Posted: 09 Jan 2014 12:41 PM PST

Jakarta: Raja Dangdut yang kini memasang impian menjadi Presiden Indonesia, Rhoma Irama berkata, dia yakin pencalonannya mendapat sokongan padu daripada Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).

Menurutnya, dia tidak dapat menerima jika ada pihak menganggap PKB tidak serius sebaliknya cuma mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya. "Sungguh naif untuk mendakwa yang saya dipergunakan PKB. "Ini bukan komitmen yang saya lakukan bersama Cak Imin tetapi antara pasukan kami," katanya.


Cak Imin ialah Pengerusi PKB, Muhaimin Iskandar. Katanya, pasukannya sudah mengadakan rundingan dengan kumpulan Muhaimin bagi meneruskan rancangannya menjadi calon presiden dalam pilihan raya. Sementara itu penganalisis politik tetap menganggap PKB tidak serius mencalonkan Rhoma untuk pilihan raya Julai nanti.

Namun Muhaimin sendiri berkata, pencalonan Rhoma bukan satu gurauan.


Muhaimin menggesa parti pesaing agar mengambil perhatian mengenainya. Ahli politik Parti Demokrat Ruhut Sitompul kelmarin mendakwa, nasib Rhoma dan Gabenor Jakarta Joko Widodo (Jokowi) tidak jauh berbeza. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Kemudahan tambahan untuk pembangkang

Posted: 09 Jan 2014 12:40 PM PST

Bangkok: Kementerian Pengangkutan Thailand memperuntukkan lima zon parkir kereta di sekitar Bangkok untuk kegunaan penunjuk perasaan yang menyertai kempen "menutup" bandar raya itu Isnin ini.

Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Somchai Siriwattanachok berkata 36 lokasi akan dikhususkan untuk tempat letak kereta yang bakal memuatkan hampir 18,000 kenderaan.


"Jabatan Marin pula akan menambah 20 lagi perjalanan pergi balik bot ekspres Chao Phraya bagi menyokong 70 perjalanan sehari ketika ini," katanya.

Untuk perkhidmatan kereta api metro dan kereta api ke lapangan terbang, Somchai berkata, ia akan dilanjutkan dari tengah malam hingga jam 2 pagi bagi memenuhi permintaan tinggi.


Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Marin, Sornsak Saensombat berkata, dia akan meminta pengendali bot agar meningkatkan kekerapan perkhidmatan di Khlong Saen Saep dan Sungai Chao Phraya. Bot perjalanan khas akan beroperasi dari tujuh jeti di Pakkred, Thanam Non, Rama V, Rama VII, Kiakkai, Wang Lang dan Sathon, di mana bas awam akan diatur untuk menghubungkan orang ramai ke perkhidmatan pengangkutan awam yang lain.


Menurutnya, bilangan pengguna di Khlong Saen Saep ketika demonstrasi penutupan Bangkok dijangka meningkat kepada 40,000 orang lagi daripada bilangan biasa 60,000 orang terutama perjalanan dari Sathon ke Rat Burana dan ke Dao Khanong. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Kotak landak disangka bom

Posted: 09 Jan 2014 12:40 PM PST

Jakarta: Sebuah kotak kadbod yang ditinggalkan berhampiran kediaman seorang ahli politik di Depok, Jawa Barat kelmarin mencetuskan gempar apabila disangka mengandungi bom.

Bagaimanapun, polis yang dikejarkan ke tempat kejadian mendapati bungkusan mencurigakan itu hanya berisi dua ekor landak.


Penduduk, Samsuri berkata dia mula menyedari bungkusan itu diletakkan dekat kediamannya kira-kira jam 6 pagi sebelum memaklumkannya kepada pengawal keselamatan di kejiranan berkenaan.

Polis dari balai polis Kelapa Dua yang turut disertai oleh skuad bom tiba tidak lama kemudian bagi memeriksa kotak berkenaan.


Polis turut menemui satu catatan yang dilekatkan pada kotak itu bertulis: "Maaf tetapi bolehkah anda menjaga isi di dalam kotak ini. Terima kasih." Penulis hanya mencatatkan namanya sebagai Alex Tutuarima. Pemeriksaan imbasan Sinar X terhadap kotak itu mendapati ia tidak mengandungi sebarang bahan letupan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Anak Mas Selamat ditahan dua tahun

Posted: 09 Jan 2014 12:40 PM PST

Singapura: Anak lelaki pemimpin terkenal kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI) Mas Selamat diarahkan menjalani penahanan selama dua tahun, kata Kementerian Dalam Negeri semalam.

Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan berkata, Masyhadi Mas Selamat, 25, dikenakan penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua tahun pada 21 November lalu selepas ditangkap di Indonesia pada 23 Oktober lalu.


Anak sulung Mas Selamat itu dihantar pulang ke Singapura pada 30 Oktober.

Arahan sekatan turut dikenakan terhadap tiga anggota JI warga Singapura, manakala arahan sama dimansuhkan ke atas enam lagi anggota JI yang bekerjasama dengan baik pada usaha pemulihan yang dijalankan, kata kementerian itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Russia sekat kenyataan PBB

Posted: 09 Jan 2014 12:39 PM PST

New York: Russia semalam sekali lagi menyekat kenyataan Majlis Keselamatan PBB untuk mengecam Syria atas serangan udara di Aleppo, kata diplomat.

Ia adalah sekatan kedua dibuat Russia dalam tempoh sebulan.


Draf kecaman itu disediakan wakil Britain dan sepatutnya diluluskan Majlis Keselamatan sebagai reaksi terhadap serangan udara tentera rejim Presiden Bashar al-Assad.

Kumpulan bantuan berkata, peluru berpandu Scud dan tong berisi bahan letupan serta serpihan peluru digugurkan ke sekolah, pasar dan hospital di Aleppo, membunuh lebih 700 orang. Britain mengedarkan draf kenyataan akhbar menyuarakan "kemarahan" terhadap serangan kerajaan ke atas orang awam kepada 14 lagi anggota majlis itu kelmarin.


Kenyataan itu memerlukan persetujuan semua anggota tetapi Russia - anggota tetap Majlis Keselamatan - membantahnya.


Duta Russia berkata, semua rujukan yang mengaitkan Aleppo dalam draf berkenaan perlu dikeluarkan.

Sekatan itu memaksa Britain menarik balik teks kenyataan berkenaan kerana bimbang ia menyebabkan salah tafsir.


Russia ialah penyokong utama kerajaan Bashar dan menggunakan kuasa vetonya bagi membatalkan tiga resolusi ke atas Syria sejak perang saudara di negara itu bermula pada Mac 2011.

AS mencadangkan kenyataan tidak berikat terhadap Aleppo pada Disember, tetapi Russia menyekatnya dengan apa yang dirujuk diplomat Barat sebagai "pindaan yang hancur." Diplomat berkata, AS ragu-ragu untuk mengeluarkan kenyataan terbaru itu kerana sidang damai Syria dijangka bermula di Switzerland pada 22 Januari.


Dalam kenyataan, anggota majlis "menyuarakan kemarahan terhadap serangan udara setiap hari oleh Syria ke atas bandar raya Aleppo yang menyebabkan 700 orang maut dan 3,000 cedera sejak 15 Disember 2013. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Abang mahu adik jadi pengebom berani mati

Posted: 09 Jan 2014 12:39 PM PST

Kabul: Kanak-kanak perempuan Afghanistan yang ditahan kerana disyaki menjadi pengebom berani mati semalam merayu Presiden Hamid Karzai mencarikan rumah baru untuknya.

Dalam wawancara dengan media semalam, kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai Spozhmai berkata, dia menjadi pengebom berani mati kerana abangnya sendiri mahukan ia begitu.


Katanya, rompi berisi bom yang dipakainya ketika ditahan pihak berkuasa Afghanistan Isnin lalu adalah angkara abangnya.

"Saya tidak boleh pulang sekarang kerana mungkin akan diminta menjadi pengebom berani mati sekali lagi," katanya dalam satu kenyataan. Dia juga meminta Hamid menempatkannya di tempat yang selamat. Spozhmai , 10, disyaki cuba meletupkan pusat pemeriksaan polis di daerah Khan Nishin di selatan Afghanistan.


Spozhmai kini dalam perlindungan pihak berkuasa di Lashkargah, wilayah Helmand. Sementara itu, menurut jurucakap polis, abang Spozhmai masih lagi dalam buruan pihak berkuasa. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

Turki pantau aktiviti di Internet

Posted: 09 Jan 2014 12:38 PM PST

Istanbul: Kerajaan Turki bakal mengenakan kawalan ketat terhadap Internet dengan memantau aktiviti pengguna di dunia maya dan menyekat kata kunci tertentu, kata sumber parlimen semalam.

Cadangan itu terkandung dalam rang undang-undang diserahkan ke parlimen oleh Kementerian Polisi Sosial Dan Keluarga Turki sebagai langkah terbaru kerajaan menguji kebebasan bersuara anggota negara Kesatuan Eropah itu.


Sumber berkata, draf undang-undang itu akan membenarkan pihak berkuasa menyekat kata kunci yang dirasakan bermasalah dan mengehadkan akses ke laman perkongsian video.

"Ia juga akan membolehkan pihak berkuasa menyimpan rekod semua aktiviti pengguna Internet selama dua tahun dan memantau laman web yang mereka kunjungi, kata kunci yang dicari dan kegiatan mereka di laman rangkaian sosial," katanya.


Akhbar Hurriyet melaporkan draf undang-undang itu dirangka bagi melindungi keluarga, kanak-kanak dan belia daripada bahan di Internet yang menggalakkan penagihan dadah, penderaan seksual dan bunuh diri.


Sementara itu, Disember lalu Google mengeluarkan data menunjukkan yang Turki mengungguli senarai permintaan pengalihan kandungan Internet berbanding negara lain.

Bagaimanapun, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) menolak perbandingan dengan China, yang terkenal dengan penapisan sumber Internet di negara berkenaan. Jurucakap AKP, Huseyin Celik berkata, Turki bukan China dan tidak akan pernah menjadi seperti China dalam soal itu.


"Bukankah kita semua sepakat dengan undang-undang terhadap media sosial dan media Internet? Terdapat peraturan berdasarkan standard dunia di mana saja di dunia ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/10

No comments:

Post a Comment