Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jolie, Pitt mahu anak lagi

Posted: 21 Jan 2014 09:48 AM PST

Los Angeles: Nampaknya pasangan selebriti Brad Pitt dan Angelina Jolie belum puas dengan keluarga besar mereka apabila menyatakan merancang untuk mengambil anak angkat baru.

Menurut sumber, pasangan itu sudah berbincang dengan enam anak mereka - termasuk tiga anak angkat - iaitu Maddox, 12; Pax, 10; Zahara, 9; Shiloh, 7; Knox dan Vivienne, 5, mengenai kemungkinan mendapat 'adik' baru.


Kata sumber, Angelina dan Pitt pernah terfikir untuk mengambil anak angkat dari Jordan tetapi prosesnya terlalu rumit.

"Justeru mereka beralih ke Ethiopia yang juga negara asal Zahara. Sumber itu berkata Angelina dan Pitt menghabiskan banyak masa berbincang mengenai rancangan itu akhir tahun lalu. "Keluarga itu teruja dengan kemungkinan mendapat anggota baru," katanya. Menurut sumber itu, pasangan terbabit juga sudah lama inginkan anak yang mempunyai pertalian asal-usul sama dengan Zahara. "Secara ideal mereka inginkan anak angkat baru berusia dua atau tiga tahun," katanya dalam satu kenyataan. Pasangan itu dijangka melawat Ethiopia pada April ini. - Agensi

Foto

JOLIE ditemani anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Mahu sewa cinta

Posted: 21 Jan 2014 09:46 AM PST

Shanghai: Dicari oleh seorang pemuda kaya: Wanita pengiring untuk diupah sebagai teman meraikan Tahun Baru Cina kali ini bagi mengaburi mata ibunya supaya dia mempunyai kekasih.

Keinginan lelaki terbabit didedahkannya di laman sesawang Weibo semalam.


Dalam kenyataannya, lelaki terbabit mendakwa ibunya mendesak supaya berkahwin segera tetapi dia menghadapi masalah kerana belum mempunyai teman wanita.

Justeru, katanya, cara terbaik untuk dia memuaskan hati ibunya pada musim perayaan akhir bulan ini ialah menyewa seorang wanita sebagai kekasih untuk tempoh tujuh hari. Untuk menarik perhatian wanita yang diingini, lelaki kaya itu menawarkan ganjaran sebanyak satu juta yuan (RM548,900) dengan 200,000 yuan (RM109,778) dibayar sebagai pendahuluan.


Lelaki terbabit juga menawarkan tiket penerbangan percuma dari Shenzen ke Zhengzhou. Dia mungkin kelihatan terdesak tetapi nampaknya tidak sembarang wanita boleh mendapat peluang itu.


Melalui iklan berkenaan lelaki bujang itu meletakkan syarat kepada wanita yang berminat, mereka mesti memiliki berat badan kurang daripada 50 kilogram, tinggi melebihi 168 sentimeter, berwajah ayu dan memiliki pendidikan minimum sarjana muda.

Katanya, dia lebih berminat kepada wanita memiliki ijazah peringkat doktor falsafah, serta masih dara. "Jika wanita yang memenuhi syarat itu menarik perhatian saya, mereka akan diberi bonus 10 peratus," katanya. Pengumuman itu mendapat perhatian ramai di Weibo - laman sesawang blog mikro popular di China.


Sesetengah pengguna Weibo menganggap tawaran sejuta yuan untuk tempoh seminggu itu setara dengan pendapatan seorang pelakon atau penyanyi poluar Sebahagian yang lain pula mengeluh kerana tidak dilahirkan sebagai wanita, sekali gus melayakkan mereka mencuba nasib, Pos itu menarik 10,000 komen pada hari pertama dengan 5,264 wanita tampil mencuba nasib. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Remaja jual bayi RM371 di Facebook

Posted: 21 Jan 2014 09:45 AM PST

Santiago: Seorang remaja Chile cuba menjual anak dalam kandungannya di Facebook dengan hanya £68 (RM371) kata polis semalam.

Remaja terbabit dikenali sebagai Veronica Carrera Chaparro, 18 ditangkap bersama ibu dan kakaknya yang disyaki bersekongkol untuk menjual bayi berkenaan.


Ketua Polis Santiago, Miguel Ampuero berkata, Veronica menyedari dia hamil pada Februari tahun lalu.

"Ketika itu kandungan Veronica berusia dua bulan," katanya. Keadaan itu dimaklumkan kepada teman lelaki Veronica yang berusia 17 tahun dan berjanji untuk merahsiakan kehamilan berkenaan. Namun, kata Ampuero, Veronica mendedahkan keadaan itu kepada keluarganya. Mendengar berita itu ibu Veronica, Angela, 42, dan kakaknya Daniela Perez, 24, memberi tiga pilihan kepada remaja terbabit - sama ada ada menjual anaknya apabila lahir, menggugurkan kandungan atau memberikan bayi berkenaan kepada keluarga angkat. "Selepas Veronica mengiklankan anaknya yang bakal lahir itu di Facebook, ia mendapat reaksi serta-merta daripada sepasang suami isteri dari bandar Concepcion tetapi mereka gagal mencapai kata sepakat," katanya. Sebuah keluarga dari Puente Alto di Santiago juga menghubungi Veronica dan menawarkan bayaran bernilai RM3,770 untuk urusan pendaftaran bayi berkenaan nanti. Veronica kemudian bersalin pada 4 November lalu dan menyerahkan bayinya sehari kemudian tetapi pasangan terbabit didakwa tidak mengotakan janji apabila hanya membayar wang dalam jumlah lebih rendah daripada sepatutnya. Kejadian itu kemudian diketahui polis mendorong pihak berkuasa menahan Veronica, ibu serta kakaknya atas dakwaan menjual bayi. Pasangan yang membeli anak Veronica itu juga ditangkap. Mereka dibicarakan di mahkamah semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Kematian tak jadi halangan berkasih

Posted: 21 Jan 2014 09:43 AM PST

Beijing: Seorang gadis menarik perhatian pengguna Internet di China apabila dia menghantar mesej harian kepada teman lelakinya walaupun individu terbabit sudah meninggal dunia pada 2009.

Zhang Xi mula menghantar mesej harian itu kepada teman lelakinya, Renren, yang menetap di Vancouver, Kanada sejurus selepas pemuda terbabit meninggal dunia pada Disember 2009.


Pada awalnya mesej itu berbentuk kesedihan atas kematian Renren namun ia berlarutan dan bertukar menjadi luahan hati Zhang setiap hari. Mendedahkan betapa dia terlalu sedih atas kematian Renren, Zhang berjanji untuk "menemani" kekasihnya selama-lamanya. Setakat ini Zhang masih mengotakan janji berkenaan.

Sebahagian mesej itu menceritakan pengalaman lalu dan kadang-kadang Zhang berkongsi kegembiraan pada hari berkenaan. Tidak ketinggalan - rungutan. Zhang menulis mesej berkenaan seolah-olah Renren masih hidup dan dapat membacanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Thai isytihar perintah darurat

Posted: 21 Jan 2014 09:43 AM PST

Bangkok: Kerajaan sementara Thai semalam mengumumkan perintah darurat dikuatkuasakan di Bangkok dan sebahagian wilayah berhampiran selama 60 hari.

Menteri Buruh Chalerm Yoobamrung yang mengumumkan keputusan itu menerusi televisyen berkata, ia akan dikuatkuasakan mulai hari ini.


Menurutnya, langkah itu diambil selepas tunjuk perasaan oleh Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (DPRC) menjadi semakin ganas.

Chalerm berkata, pemimpin PDRC sendiri mengakui tunjuk perasaan itu tidak lagi aman.


Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Paradorn Pattanabut berkata, Pusat Bagi Pentadbiran Keamanan dan Ketenteraman akan diubah menjadi Pusat Kawalan Keamanan dan ia akan dipengerusikan oleh Ketua Polis Negara.


Timbalan Perdana Menteri Surapong Tovichakchaikul memberitahu sidang akhbar, beliau ditugaskan untuk bertanggungjawab terhadap pasukan polis Thai.

Foto

PENUNJUK perasaan antikerajaan mengibar bendera sambil berarak di Bangkok, semalam.

Chalerm yang mengawasi perintah darurat berkenaan berkata, kerajaan akan mematuhi standard antarabangsa sepanjang tempoh pelaksanaan perintah itu.


"Kami tidak akan menggunakan kekerasan. Kami tidak akan melaksanakan dasar untuk menyuraikan penunjuk perasaan dan kami belum mengumumkan perintah berkurung," katanya.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berdepan tekanan daripada penunjuk perasaan supaya meletak jawatan selepas demonstrasi jalanan yang bertujuan menumbangkan kerajaannya.


Beliau mengumumkan pilihan raya bulan depan tetapi parti pembangkang utama memulaukannya.


Penunjuk perasaan sebaliknya berusaha untuk menggagalkan pilihan raya berkenaan, termasuk menghalang calon mendaftar untuk bertanding. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Lebih banyak keganasan akan meletus

Posted: 21 Jan 2014 09:42 AM PST

Bangkok: Tentera Thai semalam memberi amaran kemungkinan lebih banyak keganasan meletus, membabitkan penunjuk perasaan antikerajaan selepas hasil risikan menemui senjata dan bahan letupan dibawa masuk ke ibu kota ini.

Jurucakap tentera Winthai Suwaree mendedahkan perkara berkenaan tetapi tidak mengumumkan secara khusus kumpulan yang terbabit.


"Sebuah kumpulan yang berniat jahat sedang mengumpulkan senjata dan bom untuk mengucar-kacirkan keadaan dan menyerang musuhnya," katanya.

Amaran itu menimbulkan kebimbangan terhadap konflik politik di negara itu yang diselubungi keganasan sejak kebelakangan ini.


Ini berikutan penunjuk perasaan di bawah Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) menjadi sasaran serangan bom tangan pada Jumaat dan Ahad lalu, menyebabkan seorang terbunuh manakala berpuluh cedera ketika demonstrasi untuk 'menutup' Bangkok.


Penyokong PDRC menuduh kerajaan dan penyokong 'baju merah' bertanggungjawab terhadap kejadian terbabit, manakala kerajaan dan penyokongnya mendakwa PDRC sengaja menimbulkan keganasan untuk menyemarakkan lagi sentimen antikerajaan. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Ribut Agaton pula landa Filipina

Posted: 21 Jan 2014 09:41 AM PST

Manila: Ribuan orang di selatan Filipina dipindahkan semalam selepas dilanda banjir teruk kesan hujan tiga hari akibat ribut tropika Agaton.

Ratusan yang terselamat daripada Taufan Haiyan November lalu dan kini masih tiada tempat tinggal juga antara mereka yang terpaksa dipindahkan selepas pusat pemindahan kecemasan yang dibina musnah atau rosak teruk di pulau Samar.


Agensi Oxfam berkata, hujan lebat mengakibatkan khemah yang dibina runtuh atau diterbangkan angin.

Lebih 200,000 orang dibawa ke pusat pemindahan tiga hari lalu, tetapi ratusan masih terpaksa duduk di bumbung rumah untuk berlindung daripada air banjir.


Pengarah Eksekutif Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan Eduardo del Rosario berkata, 42 terbunuh, 65 cedera manakala kerosakan harta benda dan tanaman menjangkau 367 juta pesos (RM27 juta).


"Pihak tentera sedang berusaha menyelamatkan semua mangsa," katanya.

Mangsa, Nenita Matuda, 45, dan tiga anaknya terpaksa mendapatkan perlindungan di atas bumbung rumah jirannya di Butuan, pulau Mindanao.


"Syukurlah kami selamat, walaupun kehilangan tempat tinggal," katanya.

Darurat diisytiharkan di Agusan del Norte dan 15 bandar lain di Davao del Norte, Surigao del Sur dan Agusan del Sur, semuanya di Mindanao.


Secara purata, Filipina dilanda 20 taufan setiap tahun, namun taufan besar Haiyan pada 8 November lalu direkodkan yang paling teruk dengan lebih 6,100 terbunuh selain memusnahkan perkampungan di Leyte dan Samar. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Dituduh tak sensitif

Posted: 21 Jan 2014 09:41 AM PST

Jakarta: Keputusan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono untuk memberi tumpuan kepada urusan Parti Demokrat ketika Indonesia berdepan dengan bencana alam semalam dikritik pelbagai pihak.

Beliau disifatkan sebagai tidak sensitif terhadap masalah dihadapi rakyat ketika ini.

Sedang ribuan penduduk terjejas akibat banjir pada hujung minggu lalu, Susilo pula mempengerusikan satu mesyuarat parti di Bali.

Ahad lalu, Susilo mengadakan mesyuarat tertutup di Nusa Dua bersama ribuan anggota Parti Demokrat dari Bali, Wilayah Nusa Tenggara Barat dan Selatan.

Foto

ANGGOTA komando Indonesia menggunakan bot untuk menjalankan operasi menyelamat di Jakarta, semalam.


Agenda utama Susilo di Bali adalah untuk menghadiri majlis pembukaan Kongres Nasional Gabungan Pelaksana Pembinaan Indonesia (Gapensi) yang dijadualkan pada Isnin.


Pakar Komunikasi Politik, Effendi Ghazali berkata, Susilo mempunyai pendekatan berbeza dalam tugasnya berbanding pemimpin lain.

"Kebiasaannya, pemimpin sesebuah negara memberikan fokus utama terhadap urusan negaranya berbanding urusan parti," katanya.

Katanya lagi, Susilo seharusnya lebih menumpukan urusan bantuan mangsa bencana alam yang melanda negaranya ketika ini.

"Kehadiran pemimpin negara bagi melihat penderitaan yang dialami rakyat sedikit sebanyak membantu meringankan tekanan yang ditanggung.

"Persidangan di Bali mungkin penting baginya, namun dalam perspektif komunikasi politik, tindakannya mendahulukan urusan parti berbanding membantu mangsa bencana adalah kurang bijak" kata Effendi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Indonesia tahan dua suspek militan

Posted: 21 Jan 2014 09:36 AM PST

Surabaya: Polis Indonesia berjaya menahan dua suspek militan yang disyaki merancang serangan ke atas kawasan pelacuran dan balai polis di bandar kedua terbesar negara itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak polis semalam, Isnaini Ramdhoni dan Abdul Majid ditahan di sebuah stesen minyak di Surabaya, Jawa Timur.

Polis kemudian menemui dua bom paip yang dibungkus bersama paku ketika menggeledah rumah Majid.

Jurucakap polis, Boy Rafli Amar berkata, suspek mungkin menyasarkan balai polis, kawasan pelacuran terbesar bandar itu dan kelab malam.


Ketua Polis Wilayah Jawa Timur, Unggung Cahyono berkata kedua-dua suspek mempunyai hubungan dengan kumpulan militan di kepulauan Sulawesi yang menggelarkan diri mereka Mujahideen Indonesia Timur yang diketuai oleh orang paling dikehendaki di negara itu, Santoso.


Indonesia melancarkan operasi menghapuskan rangkaian militan sejak lebih sedekad lalu selepas kejadian pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang, kebanyakannya pelancong asing.

Tindakan tegas yang diambil berjaya menghapuskan kumpulan militan yang dilihat sebagai ancaman utama kepada keselamatan negara, namun saki baki mereka masih ada. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

Russia kesal Iran tak dibenar hadir

Posted: 21 Jan 2014 09:31 AM PST

Moscow: Russia semalam mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menarik balik keputusan untuk menjemput Iran ke sidang damai Syria.

Menteri Luar Sergei Lavrov turut menuduh Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon menggunakan bahasa 'licik' ketika memberi alasan untuk menjelaskan keputusan itu yang dibuat tiba-tiba.


"Memanglah ia satu kesilapan. Tanpa Iran, bagaimana kita akan membantu menyatukan umat Islam di seluruh dunia termasuk dalam menentang keganasan?" kata Lavrov.

Menurutnya, Iran yang hanya bersetuju menghadiri persidangan itu jika tidak dikenakan sebarang syarat seolah-olah dipaksa mengakui perlunya rejim Syria, sekutunya, digulingkan.


"Secara asasnya, Iran 'dipaksa' menghadiri persidangan itu untuk memulakan perbincangan berhubung perubahan rejim.


"Apabila Ban berkata dia terpaksa menarik balik jemputan untuk Iran disebabkan negara itu tidak sehaluan dari segi prinsipnya dengan tujuan persidangan itu, pada saya dia berselindung di sebalik bahasa licik," katanya.

Foto

SATU mayat dilihat terperangkap dalam runtuhan di kawasan sasaran serangan bom tong yang dilapor digugurkan tentera udara Syria di Aleppo, semalam. Turut terkena serangan itu ialah sebuah bas mini yang membawa orang awam.

Ban membuat keputusan itu kurang 24 jam selepas mengeluarkan jemputan kepada Iran.


Bagaimanapun, pada masa sama Lavroy nampaknya mengakui ketiadaan Iran tidak akan memberi kesan besar kepada hasil persidangan itu, yang dilihat pemula untuk perbincangan lanjut bagi menyelesaikan kemelut politik Syria.

"Lagi pun perbincangan itu sekadar sehari dan melihat kehadiran 40 menteri luar pelbagai negara.


"Pasti pelik jika dalam senarai semua negara ini Iran pula tiada. Apa pun, simbolik kehadirannya tetap penting," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/22

No comments:

Post a Comment