Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Rancang tutup Bangkok

Posted: 11 Jan 2014 12:02 PM PST

Bangkok: Seorang maut manakala tujuh cedera termasuk seorang daripadanya parah selepas ditembak di dua tempat berasingan ketika mengadakan tunjuk perasaan antikerajaan, semalam.

Kejadian itu meningkatkan lagi kebimbangan berhubung keselamatan di ibu negara itu lebih-lebih lagi penunjuk perasaan merancang 'menutup' Bangkok minggu depan dalam usaha mereka menggulingkan Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra.


Ketua Polis Kebangsaan Adul Saengsingkaew berkata, pihaknya masih menyiasat siapa yang melepaskan tembakan berkenaan.

"Dua kejadian tembakan itu berlaku berhampiran kawasan Khao San yang terkenal dalam kalangan pelancongan.


"Mereka yang cedera kebanyakannya dipercayai daripada kumpulan antikerajaan," katanya.


Kejadian itu keganasan terbaru dalam kemelut politik melanda Thailand dalam konflik selama lapan tahun membabitkan kelas pertengahan serta penyokong institusi diraja menentang golongan miskin luar bandar yang menyokong Yingluck serta abangnya, bekas Perdana Menteri Thaksin.

Foto

PENUNJUK perasaan terus meningkat di Bangkok mendesak Yingluck meletak jawatan.

Sementara itu, Panglima Tentera Thailand Prayuth Chan-ocha menyuarakan kebimbangannya keadaan akan menjadi lebih kucar-kacir minggu depan.


"Saya bimbang keselamatan warga Bangkok kerana ramai yang akan menghadiri acara itu termasuk dari wilayah lain.

"Tidak salah jika pendapat kita berbeza-beza, namun saya rayu kepada semua yang terbabit, janganlah teruskan keganasan ini," katanya ketika sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan, semalam.


Ramai rakyat Thailand percaya pihak tentera akan bertindak tidak lama lagi untuk menghentikan pertelagahan itu, malah desas-desus mengatakan rampasan kuasa bakal berlaku semakin banyak diperkatakan.


Pihak tentera melakukan atau mencuba 18 rampasan keluarga dalam tempoh 81 tahun kebelakangan ini, namun tetap mengambil pendirian berkecuali dalam kemelut politik negara itu.


Lebih 14,000 anggota polis dan tentera akan bertugas menjaga keamanan esok, termasuk di lapangan terbang bagi memastikan keselamatan awam.


Yingluck sebelum ini menegaskan pilihan raya tetap akan diadakan seperti dijadualkan pada 2 Februari depan.


Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati kerajaan sementara itu mencadangkan Raja mengisytiharkan tarikh lain kerana keadaan keselamatan yang semakin teruk. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Diculik penari seksi tuntut hutang

Posted: 11 Jan 2014 12:00 PM PST

London: Seorang pemiliki kelab malam mendakwa diculik tiga penari eksotik berpakaian seksi, pengurus mereka dan dua lelaki kerana hutang lebih £20,000 (RM107,660).

Curtis Woodman berkata, kumpulan itu yang menaiki dua kereta BMW merampas £60 (RM323) daripada dompetnya, jam tangan Breitling bernilai £4,650 (RM25,031) selain dipaksa memindahkan £4,800 (RM25,839) ke akaun pengurus wanita terbabit, Charlotte Devaney, 34.


"Wanita terbabit sangat seksi berseluar pendek ala Daisy Duke (watak dalam filem Dukes of Hazard), skirt pendek dan kasut tumit tinggi," katanya.

Woodman menafikan dia meniru skrip filem gangster Revolver arahan Guy Ritchie, sebaliknya menegaskan kejadian 3 September tahun lalu itu membuatkannya trauma.


Kumpulan itu menuntut bayaran bagi persembahan di kelabnya ketika Pesta Cheltenham pada Mac 2012.


"Memang saya mengupah mereka untuk persembahan lima hari dengan menjanjikan 50 peratus daripada semua bayaran kad kredit dan pendapatan tunai.

"Bagaimanapun, mereka melanggar kontrak yang mensyaratkan mereka tidak menanggalkan pakaian dan perlu sekurang-kurangnya memakai bikini ketika menari sebaliknya tetap berbuat demikian walaupun diberi amaran.


"Perbuatan itu menyebabkan perjanjian antara kami terbatal," katanya dalam keterangan di sebuah mahkamah di Bristol.

Katanya, Charlotte banyak kali menghubunginya selepas persembahan itu menuntut bayaran, namun dia menjelaskan perkara sama kepada wanita itu.


Menurutnya, pada hari kejadian, kumpulan berkenaan mengepungnya di luar pejabatnya sebelum dia dipaksa memasuki salah satu kenderaan berkenaan dan dibawa lari selama dua jam.


Charlotte didakwa bersama tiga penari, Mandy Cool, 29, Stephanie Pye, 31, dan Rachel Goodchild serta Robert Morris, 27, dan adiknya Alexander, 23. "Saya dihampiri Charlotte dan turut mengenali tiga wanita bersamanya sejurus sebelum kejadian.


"Saya dikepung kumpulan itu," katanya.


sebelum Robert yang bersenjatakan pisau menolak saya ke dalam keretanya menyebabkan saya bimbangkan keselamatan saya," katanya.


Woodman menafikan cadangkan peguam Morris, Khalid Missouri bahawa dia memasuki kereta berkenaan secara sukarela kerana tidak mahu membincangkan isu itu di tempat terbuka. Sebelum itu, mahkamah diberitahu persembahan terpaksa dibatalkan selepas tiga malam berikutan aduan diterima pihak polis daripada orang awam.


Mahkamah diberitahu, penari terbabit berjaya meraih pendapatan lumayan termasuk £42,000 (RM226,088) daripada seorang pelanggan, namun Woodman enggan membayar mereka atas alasan melanggar syarat dipersetujui dalam kontrak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Lipas terbesar dalam telinga manusia

Posted: 11 Jan 2014 11:59 AM PST

Darwin (Australia): Doktor menarik keluar bangkai lipas sepanjang satu inci yang memasuki telinga seorang lelaki ketika tidur.

Hendrik Helmer terjaga daripada tidur apabila terasa sakit dan cuba menggunakan pembersih vakum untuk menarik benda asing yang dirasai bergerak di dalam telinga kanannya, namun gagal.


"Saya mengagak ada serangga di dalam dan ketika itu bimbang ia mungkin labah-labah berbisa," katanya.

Helmer akhirnya ke hospital selepas tidak tahan kesakitan yang semakin menjadi-jadi.


Doktor kemudian menuangkan minyak zaitun ke dalam telinga itu menyebabkan lipas berkenaan lemas dan mati.


"Namun sebelum itu lipas berkenaan masuk lebih dalam dan mengambil hampir 10 minit untuk mati.

"Saya tetap rasa sakit kerana lipas itu menggelupur sebelum mati," katanya.


Doktor kemudian mengeluarkan lipas itu menggunakan penyepit dan terkejut apabila mendapati saiznya sepanjang seinci dipercayai serangga terbesar ditemui dalam telinga manusia.

Helmer tidak bimbang kejadian berulang, namun rakan-rakannya kini memakai penutup telinga sebelum tidur selepas geli mendengar pengalamannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Padah mahu mata biru

Posted: 11 Jan 2014 11:59 AM PST

London: Seorang pelajar nyaris buta gara-gara mahu menukar warna matanya melalui pembedahan plastik di Panama yang menelan belanja £8,000 (RM43,064).

Shenise Farrell memutuskan untuk menukar warna matanya pada 2009 dan tanpa menghiraukan pujukan keluarganya, pergi ke Panama untuk memasukkan implan seperti kanta lekap.


"Saya degil mahu menukar warna mata sehingga tidak langsung mengendahkan bahaya," katanya dalam rancangan Botched Up Bodies.

Ketika tiba di klinik berkenaan, dia dimaklumkan tiada lagi warna kanta dikehendakinya sebaliknya yang ada cuma warna biru lalu bersetuju menggunakan warna itu.


Namun selepas prosedur 20 minit itu dia mendapati tidak dapat melihat. Katanya, doktor yang melakukan pembedahan mendakwa kesan itu biasa dan memerlukan beberapa minggu untuk penglihatannya kembali normal.


Bagaimanapun, selepas tiba di London, Shenise mendapati penglihatannya semakin kabur sehingga terpaksa melakukan pembedahan membuang implan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Bekas pemandu teksi murung

Posted: 11 Jan 2014 11:58 AM PST

Singapura: Kajian menunjukkan pemandu teksi yang bersara kerap rasa murung dan sedih.

Kajian dilakukan pakar terapi pekerjaan Hospital Tan Tock Seng Dr Chan Mei Leng menunjukkan pemandu teksi mengalami kejutan emosi selain rasa tidak berguna kerana tiada kerja untuk mengisi waktu mereka.


"Ramai yang menganggap mereka bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi usia persaraan, namun hakikatnya bila tiba waktunya mereka rasa lebih sedih selain merasai satu kehilangan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Lebih seronok model iklan di New York

Posted: 11 Jan 2014 11:58 AM PST

Jakarta: Pelakon dan model Mariana Renata berkata, dia lebih gemar menjadi model iklan di New York.

Pelakon Janji Joni itu berkata, sepanjang dua tahun setengah kebelakangan ini dia terlalu sibuk memfokuskan terhadap kerjaya di kota itu dengan kebanyakan kerja diambilnya membabitkan iklan syarikat terkenal.


"Memang jadual saya terlalu sibuk sehingga terpaksa menolak tawaran kerja di Indonesia.

"Di sana (New York) saya perlu bekerja keras kerana turut bersaing dengan gadis cantik lain dari seluruh negara untuk mendapatkan kontrak.


"Saya bukan model peragaan, sebaliknya lebih menggemari iklan.


"Untuk menjadi model iklan kita tidak perlu tinggi atau kurus yang melampau," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Takut makan hidangan penjara

Posted: 11 Jan 2014 11:58 AM PST

Jakarta: Ahli keluarga bekas Pengerusi Parti Demokrat, Anas Urbaningrum yang menghadapi tuduhan rasuah bimbangkan keselamatannya di dalam penjara.

Anggota Perhimpunan Pergerakan Indonesia (PPI) Deny Haryatna semalam berkata, keluarga Anas memberi amaran supaya dia tidak makan atau minum apa-apa yang diberi kepadanya oleh pegawai Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK).


"Kami tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi ketika dia dalam tahanan.

"Kami juga sudah membincangkan perkara ini dengan pihak KPK," katanya.


Menurutnya, sebaliknya keluarga Anas akan membawanya makanan manakala isterinya Atthiyah Laila sendiri akan menghidangkan makanan untuk suaminya sepanjang ditahan.


Anas ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pembinaan Kompleks Sukan Hambalang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

'Hubungan sulit' jejas ekonomi

Posted: 11 Jan 2014 11:57 AM PST

Paris: Akhbar Perancis semalam memberi amaran bahawa dakwaan mengatakan Presiden Francois Hollande mempunyai hubungan sulit dengan seorang aktres menimbulkan risiko terhadap usahanya untuk mencetuskan lebih banyak peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi negara itu.

Hollande yang tinggal bersama pasangannya Valerie Trierweiler, tidak menafikan hubungannya bersama Julie Gayet, 41, tetapi berang dengan penerbitan majalah Closer yang mendedahkan dakwaan itu kelmarin.


Hollande yang popularitinya mencatat rekod terendah sejak beberapa bulan lalu dijangka tampil pada sidang akhbar 14 Januari bagi mengumumkan strategi baru yang bertujuan untuk membawa Perancis keluar daripada masalah ekonomi. Hollande dijangka menggariskan 'pakatan tanggungjawab' ditawarkannya kepada komuniti perniagaan apabila syarikat akan memperoleh manfaat daripada pembayar cukai peringkat rendah sebagai pertukaran dengan peluang pekerjaan.

Artikel Closer yang melaporkan presiden itu membuat perjalanan sekitar Paris pada waktu malam dengan menunggang skuter untuk bertemu kekasihnya boleh menjejaskan visi Hollande.


Sidang akhbar Selasa ini dijangka menandakan kebangkitan politik dengan mengesahkan peralihan demokratik-sosial yang diisyaratkan presiden itu dalam ucapan tahun barunya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Hollande dipersenda

Posted: 11 Jan 2014 11:57 AM PST

London: Akhbar Britain semalam mempersendakan dakwaan bahawa Presiden Perancis Francois Hollande mempunyai hubungan sulit dengan seorang aktres dengan menyiarkan kisah itu di muka depan.

Malah, kisah itu mendapat perhatian di muka depan akhbar Financial Times, menyifatkan dakwaan itu sebagai "krisis" buat Hollande yang berusaha untuk menangani isu ekonomi di negaranya.


Gambar aktres Julie Gayet mendominasi muka depan sekurang-kurangnya tiga akhbar nasional, dengan Daily Telegraph yang konservatif memaparkan pelakon itu memakai baju yang mendedahkan bahagian dadanya. The Times menyiarkan tajuk utama 'Oui Mr President'. Aktres, skuter dan hubungan negara', merujuk laporan dalam majalah Closer yang mengatakan Hollande tiba di apartmen aktres itu dengan menyamar menunggang skuter.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

100 rumah di 'Shangri-La' musnah dalam kebakaran

Posted: 11 Jan 2014 11:57 AM PST

Beijing: Satu kebakaran awal semalam di pekan purba Tibet, wilayah Yunnan, di selatan China yang terkenal dalam kalangan pelancong memusnahkan lebih 100 kediaman.

Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa dan punca kebakaran juga masih belum dapat dipastikan.


Kebakaran selama 10 jam itu berlaku kira-kira jam 1.27 pagi di pekan purba Dukezong, yang berusia lebih 1,000 tahun dan terkenal dengan jalan purbanya yang dipulihara, budaya dan struktur berunsur Tibet. Ia juga menjadi sebahagian pemandangan indah Shangri-La di wilayah Deqen. Daerah itu pernah digelar dengan Gyaitang Zong, tetapi ditukar namanya kepada Shangri-La pada 2001 dengan harapan akan menarik lebih ramai pelancong berikutan mitos tanah Himalaya yang pernah disebutkan dalam novel James Hilton pada 1933 itu.

Lebih 2,000 anggota bomba, tentera, polis, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan dilaporkan bekerjasama untuk memadamkan kebakaran itu. Api akhirnya dapat dipadamkan sekitar jam 11 pagi. Dianggarkan lebih 100 kediaman di Dukezong rentung kerana kebanyakan struktur diperbuat daripada kayu dan api merebak dengan cepat akibat cuaca kering, kata pihak berkuasa tempatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

No comments:

Post a Comment