Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Jangkaan meleset

Posted: 10 Jan 2014 01:27 PM PST

Kuala Lumpur: Cabaran getir yang dijangkakan daripada bintang China Du Pengyu nyata meleset apabila jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei hanya memerlukan 35 minit untuk menewaskan lawan yang menduduki ranking ketujuh dunia itu 21-9, 21-12 pada saingan suku akhir Terbuka Korea semalam.

Chong Wei yang turun dengan rekod sembilan kemenangan daripada 10 pertemuan dengan Pengyu, nyata mudah mematikan rentak permainan lawannya itu dan bakal bertemu jaguh Jepun Kenichi Tago pada saingan separuh akhir hari ini.


Jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek ketika dihubungi berpuas hati dengan corak permainan Chong Wei tetapi beliau menuntut aksi lebih bertenaga apabila bertemu Tago yang menewaskan juara bertahan Terbuka Korea itu pada pertemuan terakhir di Terbuka Perancis, Oktober tahun lalu.

"Perlawanan hari ini (semalam) agak mudah baginya dan lawan Chong Wei juga sukar hendak bermain rali dan mematikan rentaknya permainannya.


"Esok (hari ini) Chong Wei perlu lebih fokus dan berwaspada. Yang penting ialah Chong Wei harus bermain sebaik mungkin dan daripada situ, peluang untuk menang pasti cerah," katanya.


Sekiranya pemain nombor satu dunia itu mampu menewaskan Tago hari ini, Chong Wei hanya tinggal selangkah untuk memenuhi impian muncul juara Terbuka Korea buat kali keempat selepas merangkul kemenangan pada 2010, 2012 dan 2013.

Foto

Datuk Lee Chong Wei

Hanya Chong Wei yang akan membawa cabaran negara hari ini selepas gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah gagal meneruskan rentak cemerlang mereka apabila tewas mudah 21-10, 21-9 kepada pilihan pertama dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Tagih 'roh' Old Trafford

Posted: 10 Jan 2014 01:03 PM PST

Manchester, England: Wayne Rooney menggesa penyokong setia Manchester United supaya meneruskan sokongan tidak berbelah bagi dalam usaha menamatkan mimpi ngeri tewas tiga kali berturut-turut apabila bertemu Swansea, awal pagi esok.

Juara Liga Perdana Inggeris itu tewas kepada Tottenham Hotspur pada tahun baru dan diikuti kekalahan kepada Swansea pada saingan Piala FA sebelum dimalukan Sunderland 1-2 pada separuh akhir pertama Piala Liga.


United ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga Arsenal menjelang perlawanan minggu ini dan harapan untuk menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik bagi meraih tiket Liga Juara-Juara musim depan, tampak semakin terancam.

Penyokong United turut menyaksikan pasukan mereka tewas empat kali pada saingan Liga Perdana di Old Trafford musim ini, keputusan yang menambahkan lagi tekanan kepada pengurus David Moyes.


Bagaimanapun Rooney yang bergelut untuk kembali pulih menjelang pertemuan dengan Swansea selepas terlepas dua perlawanan lalu, meminta penyokong United supaya terus setia kepada mereka dan Moyes.


"Sokongan daripada peminat amat penting. Mereka amat hebat terutama ketika kami tidak berada pada prestasi terbaik kini.

"Kami memerlukan sokongan mereka untuk mengharungi saat sukar ini," kata penyerang England itu.


"Kami perlu lebih kuat dan beraksi lebih baik. Penyokong sentiasa bersabar dan memberi peluang kepada kami untuk mencuba yang terbaik. Saya yakin kami mampu melakukannya," katanya.

Selepas menyingkirkan United pada Piala FA minggu lalu menerusi kemenangan sulung mereka di Old Trafford, pengurus Swansea, Michael Laudrup berkata, tidak mustahil mereka mampu mengulanginya.


"Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, kami bermain dengan tahap keyakinan tinggi tapi perkara yang penting adalah untuk menang dan kemenangan itu biasanya hadir menerusi keadaan tidak dijangka," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Mel pengurus baru Baggies

Posted: 10 Jan 2014 12:50 PM PST

London: West Brom melantik bekas jurulatih Real Betis, Pepe Mel sebagai ketua jurulatih kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pengendali berusia 50 tahun dari Sepanyol itu menggantikan Steve Clarke yang dipecat bulan lalu selepas tewas 0-1 kepada Cardiff City sekali gus menyaksikan Albion hanya lebih dua mata daripada zon penyingkiran.


Namun di bawah pengurus sementara Keith Downing ketika ini, Baggies lebih empat mata daripada zon penyingkiran.

Mel dipecat Betis bulan lalu selepas pasukan bimbingannya tewas 0-4 kepada seteru setempat, Sevilla.


Pernah membimbing Rayo Vallecano, Mel dilantik oleh Albion dengan kontrak selama 18 bulan tetapi pengarah teknikal kelab itu, Richard Garlick berkata: "Saya gembira dengan kehadiran Pepe bersama kelab ini."- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Blues idam takhta

Posted: 10 Jan 2014 12:50 PM PST

London: Chelsea kendalian Jose Mourinho akan cuba memberikan tekanan terhadap pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan melonjak ke tangga teratas liga menerusi kemenangan ke atas Hull City malam ini.

Tiga mata di Stadium KC akan membantu Blues menghuni tangga teratas di depan pendahulu semasa Arsenal yang berkunjung ke Aston Villa awal pagi Selasa ini dan pasukan tangga kedua Manchester City yang akan bertemu Newcastle malam esok.


Jika menang, tempoh Chelsea berada di puncak mungkin seketika namun kemenangan di Humberside akan mengekalkan persembahan baik akhir-akhir ini.

Kemenangan Piala FA ke atas Derby County hujung minggu lalu yang keempat berturut-turut buat pasukan yang hanya dibolosi satu gol dalam lima perlawanan terakhir mereka.


Ketika Mourinho terus bimbang mengenai kehambaran penyerangnya, sumbangan dari bahagian tengah berjaya menutup kelemahan serangan.


Pengurus Portugis itu mendakwa kelab itu tidak akan membawa masuk penyerang baru ketika pasaran perpindahan pemain bulan ini untuk menyokong trio serangannya ketika ini Samuel Eto'o, Fernando Torres dan Demba Ba.

Namun ketika masa depan Ba di Chelsea terumbang-ambing, pemergian penyerang Senegal itu mungkin memaksa pencarian pengganti.


Mourinho memulakan tempoh keduanya sebagai pengurus Chelsea dengan kemenangan 2-0 ke atas Hull kendalian Steve Bruce pada hari pembukaan liga di Stamford Bridge.

Namun pertahanan Hull, Curtis Davies berkata, Tigers tidak gentar dengan mana-mana pasukan di Stadium KC.


Hull memegang status sebagai pasukan keenam dengan rekod terbaik di laman sendiri dalam Liga Perdana apabila memenangi separuh daripada 10 perlawanan mereka termasuk menang 3-1 ke atas Liverpool Disember lalu.


"Kami yakin boleh menundukkan sesiapa di KC," kata Davies. "Kami sedar kami perlu mempamerkan permainan terbaik jika mahu menang sekalipun pasukan seperti Chelsea mungkin ada kelebihan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Rodgers didenda RM43,000

Posted: 10 Jan 2014 12:39 PM PST

London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers didenda £8,000 (RM43,000) dan diberi amaran supaya menjaga tingkah lakunya pada masa depan selepas mengkritik pengadil ketika tewas di Manchester City bulan lalu.

Rodgers menggambarkan persembahan pengadil Lee Mason dan pegawai perlawanan ketika Liverpool tewas 1-2 pada 26 Disember lalu sebagai 'dahsyat' dan mempersoalkan kenapa seorang pengadil dari Greater Manchester dilantik mengadili perlawanan itu.


"Harapnya pada masa depan kami tidak akan mendapat seorang pengadil dari Greater Manchester bagi perlawanan Liverpool-Manchester," kata Rodgers.

"Saya terkejut apabila kami beraksi di Manchester dan mendapat pengadil dari Greater Manchester. Saya pasti kami tidak akan mendapat seorang pengadil dari Wirral (berhampiran Liverpool) untuk aksi Liverpool-Man City." Rodgers kemudiannya didakwa Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris susulan komennya mempersoalkan integriti Mason.


Bekas bos Swansea itu dikenakan denda kelmarin susulan perbicaraan yang dijalankan Suruhanjaya Peraturan Bebas FA.


"Susulan perbicaraan Suruhanjaya Peraturan Bebas hari ini (kelmarin), pengurus Liverpool Brendan Rodgers dikenakan denda £8,000 dan diberi amaran supaya menjaga tingkah lakunya selepas mengaku bersalah," menurut satu kenyataan di laman web FA. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Messi terajui Barca

Posted: 10 Jan 2014 12:38 PM PST

Madrid: Pemain Terbaik Dunia empat kali Lionel Messi dijangka beraksi semula dalam kesebelasan utama selepas dua bulan apabila Barcelona bertandang ke Atletico Madrid bagi pertembungan dua pasukan teratas liga awal pagi esok.

Kedua-dua pasukan terikat dengan 49 mata selepas masing-masing tercicir lima mata dalam 18 perlawanan liga musim ini.


Messi membuat penampilan semula selepas pulih daripada kecederaan dengan aksi menakjubkan apabila menghasilkan dua gol selepas masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika kelab Catalunya itu membelasah Getafe 4-0 dalam perlawanan Copa del Rey.

Prestasi bintang Argentina itu mencetus kebingungan buat jurulatih Gerardo Martino memilih siapakah yang akan beraksi di bahagian serangan di Vicente Calderon.


Penyerang Brazil Neymar juga boleh beraksi selepas diketepikan akibat masalah radang usus namun Alexis Sanchez, Pedro Rodriguez dan Cesc Fabregas berjaya membentuk gandingan mantap ketika mengambil alih tugas yang ditinggalkan Messi dan Neymar sebelum ini.


Pemain tengah Xavi Hernandez tidak sabar menantikan kepulangan Messi bersama kelab yang bakal mengharungi jadual padat dan percaya saingan merebut tempat akan memberikan kelebihan buat pasukan.

"Dia tidak mengejutkan anda lagi tapi untuk melihat dia beraksi hebat seperti itu sesuatu yang mengejutkan. Dia kembali dan tidak sabar untuk beraksi. Apa yang paling penting dia kembali dengan prestasi terbaik dan cukup bermotivasi," katanya.


"Kami mantap dan dengan kehadirannya bersama Victor Valdes bakal mencetuskan saingan merebut tempat dalam pasukan dan pasukan ini tampak semakin bagus.

"Perlawanan menentang Atletico amat penting dalam perebutan kejuaraan liga. Jika menang, kami belum pasti muncul juara tapi kemenangan itu nanti akan memberi bayangan mengenai kemampuan kami."katanya.


Banyak pihak berpendapat pertembungan awal pagi esok akan memberi ujian terbesar sama ada Atletico boleh mencabar Barca merebut kejuaraan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Juve lebar penguasaan liga

Posted: 10 Jan 2014 12:38 PM PST

Milan: Juara bertahan Juventus bertandang ke Cagliari untuk meningkatkan penguasaan di puncak Serie A ketika saingan utama liga Itali itu akan bakal menuju separuh saingan hujung minggu ini.

Juventus kendalian Antonio Conte berada di kedudukan kedua pada awal musim di belakang Roma bagi tiga bulan pertama namun melonjak menjelang rehat Krismas.


Selepas kembali daripada rehat hujung minggu lalu, Bianconeri menang 3-0 ke atas Roma di Turin untuk cuba memusnahkan harapan kejuaraan buat Giallorossi.

Menuju pusingan ke-19 perlawanan, Juve (49 mata) mendahului dengan lapan mata di depan Roma dengan Napoli ketiga dua mata di belakang.


Walaupun pemerhati musim ini melabelkan Juve sebagai salah sebuah pasukan terbaik, Andrea Barzagli meminta supaya rakan sepasukannya bertenang.


"Kami masih mempunyai baki 20 perlawanan, Lapan mata adalah kelebihan yang bagus namun masih banyak yang perlu diharungi hingga hujung musim ini." kata pertahanan Juventus dan Itali itu. "Lapan mata adalah kelebihan yang bagus namun masih banyak yang perlu diharungi hingga hujung musim ini." kata pertahanan Juventus dan Itali itu.

Ketika Roma sudah tercicir mata dan Napoli ketinggalan jauh 10 mata, Juventus menjadi pilihan banyak pihak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Real cerah peluang

Posted: 10 Jan 2014 12:37 PM PST

Madrid: Real Madrid mencerahkan peluang untuk melangkah ke suku akhir Copa del Rey apabila menewaskan Osasuna 2-0 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir, awal pagi semalam.

Karim Benzema meletakkan tuan rumah di depan menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang Luka Modric pada minit ke-19.


Jese Rodriguez meletakkan Madrid dalam kedudukan selesa apabila dia menolak masuk bola hantaran Cristiano Ronaldo selepas separuh masa pertama.

Madrid hampir meraih gol ketiga apabila Ronaldo tertampan keluar bola percubaan Gareth Bale.


"Kemenangan 2-0 adalah satu keputusan yang baik. Kami berusaha menjaringkan gol ketiga dan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk melakukannya," kata jurulatih Carlo Ancelotti.


"Perlawanan di Osasuna bukan mudah tapi ini keputusan yang baik untuk kami bawa ke perlawanan kedua nanti." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Misi Hafiza

Posted: 10 Jan 2014 12:17 PM PST

Kuala Lumpur: Juara berganda Kejuaraan Malaysian Super Series (MSS) danCub Prix Malaysian PETRONAS tahun lalu, Muhammad Hafiza Rofa meletakkan harapan tinggi untuk memulakan saingan 2014 dengan mengungguli pusingan akhir KBS MAM Kapcai Endurance di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Hafiza, juara SIC Ninja 250 Cup dan pemenang keseluruhan kelas Wira dalam saingan cub prix, berkata, dia dan rakan sepasukan Kajang Minimoto Racing - Muhammad Syafiq Rasol dan Muhammad Helmi Amar bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik pada perlumbaan lasak empat jam itu.


"Saya amat berharap untuk mencatat keputusan baik sebagai suntikan semangat sebelum beralih kepada saingan CEV Spanish Championship tidak lama lagi," kata Hafiza yang akan berlepas ke Sepanyol pada Mac ini untuk menghadapi kejuaraan berprestij tinggi itu. Gandingan tiga serangkai dari Kajang Minimoto Racing itu mempunyai peluang baik untuk cemerlang selepas menduduki tempat kedua saingan sesi kelayakan yang menyaksikan pertarungan 110 jentera motosikal dalam empat kategori.

Dua puluh lima daripada mereka bersaing dalam Kelas Terbuka bersama-sama dengan Kajang Minimoto Racing, termasuk gandingan handalan Mohamad Azhar Abdul Jalil dan Muhammad Adib Rosley dari MOTUL Yamaha YY Pang yang mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan semalam.


Pasangan Mohamad Azhar dan Muhammad Adib mencatat masa terbaik 2 minit 51.221 saat untuk memastikan mereka bermula di petak pertama. Gandingan Kajang Minimoto Racing pula melakukan 2:54.147s, kedua manakala FMC Pagoh Motorsport, ketiga dengan 2:55.053s. Mereka bersaing dalam Kelas 3 untuk jentera di bawah 150cc dipacu gandingan Muhammad Razzi Hafizi Raduan dan Luqman Shakiemi Hakim.


Berbeza dengan acara lumba motosikal lain, perlumbaan ini akan bermula dengan penunggang beratur dalam satu barisan di tepi litar sebelum berlari menyeberangi litar kepada jentera masing-masing untuk memulakan perlumbaan.

Dalam saingan awal di Pekan, Pahang, pasukan Kajang Minimoto menduduki tempat ketiga. Pusingan berkenaan dimenangi gandingan adik beradik Muhamad Adam dan Muhamad Ibrahim Norrodin dari pasukan JDT 27 yang sekadar menduduki tempat ke-13 dalam sesi kelayakan hari ini.


"Saya rasa keputusan peringkat negeri tidak penting. Ini saingan yang amat berbeza. Esok (hari ini) kami akan bersaing selama empat jam dan berlumba di litar perlumbaan antara yang terbaik dunia. Ia amat berbeza sama sekali," katanya.

Berasal dari Dungun, Terengganu, Hafiza, 18, berkata, dia meletakkan sasaran tinggi tahun ini bagi memastikan pembangunan kariernya sebagai pelumba profesional berjalan lancar. "Seperti yang saya selalu katakan, saya mahu mengikut jejak langkah Zulfahmi Khairuddin dan berlumba dalam kejuaraan dunia MotoGP. Saya di landasan betul sekarang dan akan berusaha untuk memastikan impian ini tercapai," kata pelumba yang akan mengibarkan cabaran Touchline SIC Ajo Racing di Sepanyol nanti.


Perlumbaan hari ini akan dilepaskan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada jam 2 petang dan berakhir empat jam kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

Sifu janji saingan sengit

Posted: 10 Jan 2014 12:16 PM PST

Kuala Lumpur: Menjelang musim baru Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing mensasarkan pencapaian serta persembahan lebih baik berbanding keputusan diraih pada musim 2013.

Pengurus pasukan, Pang Yoke You menjelaskan secara keseluruhan beliau masih kurang berpuas hati dengan persembahan dipamerkan pelumbanya musim lalu, baik dalam kategori CP130 mahupun CP115.


"Sepatutnya kami mampu mencatatkan keputusan yang lebih baik, namun kami gagal mencapai sasaran ditetapkan terutama dari segi pelarasan jentera yang kurang sempurna dan ini memberikan pengajaran kepada kami agar tidak mengulangi kesilapan sama ketika musim baru nanti," kata pengurus lebih dikenali sebagai Sifu itu.

"Bagi mengatasi masalah ini, kami merancang menggunakan jentera dengan sistem suntikan bahan api musim depan agar dapat memberikan saingan lebih sengit kepada pencabar lain." Sekadar meraih kedudukan ketujuh keseluruhan pengeluar bagi kategori CP130 dan ketiga bagi CP115, mereka kini sudah mula mengatur beberapa siri latihan bagi mempertingkatkan prestasi pelumbanya terutama dari segi stamina mahupun kemahiran selain turut menyertai beberapa siri pertandingan.


"Dengan strategi dan perancangan rapi, kami harap ia mampu memberi impak berbeza bagi merealisasikan sasaran kami untuk berada di antara lima pasukan terbaik dalam kategori CP130 dan muncul juara CP115 pada musim depan," katanya.


Bercakap mengenai barisan pelumba, Sifu menyatakan tiada sebarang perubahan akan dilakukan dan memutuskan untuk terus beraksi dalam kelas CP130 dan CP115.

Musim lalu, Mohd Adib Rosley muncul pelumba terbaik dalam kelas CP130 berjaya meraih 72 mata daripada 10 pusingan dan menduduki tangga kelapan keseluruhan pelumba manakala bagi kategori CP115 Tengku Amirul Haffiruddin meraih tiga kedudukan podium sekali gus berada di kedudukan keempat keseluruhan.


Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/11

No comments:

Post a Comment