Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Nama keluarga 36 abjad dalam lesen

Posted: 31 Dec 2013 12:17 PM PST

Honolulu: Seorang wanita Hawaii yang mempunyai nama terdiri daripada 36 abjad akhirnya mendapat lesen memandu dan kad pengenalan sempurna.

Janice Lokelani mempunyai nama keluarga 'Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele' yang mengandungi 35 huruf ditambah dengan okina, tanda yang biasa digunakan dalam abjad Hawaii.


Dia menerima lesen memandu dan kad pengenalan baru selepas usahanya untuk memuatkan nama penuhnya dalam dokumen berkenaan mendorong Jabatan Pengangkutan Negara menambah bilangan abjad yang boleh tampil pada dokumen terbabit. Janice, 54, semalam berkata, dia gembira kerana dapat membantu menyelesaikan masalah kad pengenalan yang kekurangan ruang untuk mereka yang mempunyai nama yang panjang.

"Kini di Hawaii, kami bukan lagi warga negara kelas kedua disebabkan oleh nama kami yang panjang," katanya. Lesen memandu dan kad pengenalan Hawaii sebelum ini hanya mempunyai ruang untuk nama dengan 35 abjad. Dasar baru itu membenarkan 40 abjad nama keluarga, 40 abjad untuk nama pertama dan 35 abjad untuk nama kedua dimuatkan dalam lesen memandu.


Janice mendapat nama keluarga Keihanaikukauakahihuliheekahaunaele apabila berkahwin dengan suaminya yang berasal dari Hawaii pada 1992.

Foto

LESEN memandu baru Janice.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Hadiahkan mayat untuk ibu saudara

Posted: 31 Dec 2013 12:14 PM PST

Chicago: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun direman tanpa ikat jamin selepas disyaki membunuh dan memotong mayat teman lelaki ibu saudaranya Ahad lalu.

Pihak berkuasa semalam berkata, Alexis Valdez menghubungi talian kecemasan 911 selepas membunuh Silvestre Diaz-Hernandez, 41, di tingkat bawah apartmen tempat mereka tinggal bersama-sama dengan ibu saudara remaja itu di Belmont Gardens. Sementara itu, pendakwa raya berkata, Valdez tinggal di apartmen itu sejak enam bulan lalu dengan syarat dia menyambung persekolahannya, bekerja dan menyumbang wang untuk barangan dapur. Apabila Valdez gagal berbuat demikian, ibu saudaranya menyuruh dia berpindah.


Tindakan wanita berkenaan menimbulkan kemarahan remaja terbabit.

Ketika ibu saudaranya keluar menghadiri satu parti, Valdez minum arak hingga mabuk. Dia kemudian menemankan Diaz-Hernandez ke kedai untuk membeli lebih banyak bir.


Bagaimanapun, sebaik pulang ke rumah, remaja itu mengetuk kepala lelaki berkenaan berulang kali dengan penukul besi yang disembunyikannya.


Akhbar Chicago Sun Times melaporkan Valdez kemudian mengambil pisau pemotong daging dan mengerat telinga, hidung, mulut dan lengan mangsa.

Dia dikatakan turut mencungkil mata mangsa menggunakan tangannya dan membiarkan kepala dan bahagian lain tubuh mangsa di atas katil ibu saudaranya sebagai hadiah kepada wanita itu, kata pendakwa raya sebagaimana dipetik daripada DNAinfo Chicago. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Sukar bentuk kerajaan baru

Posted: 31 Dec 2013 12:12 PM PST

Bangkok: Tarikh 2 Februari depan yang dijadualkan untuk pilihan raya umum berkemungkinan tidak dapat diteruskan jika usaha berterusan penunjuk perasaan antikerajaan membuahkan hasil.

Menurut sumber dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekali pun pilihan raya berjaya diadakan, ada pula kemungkinan kerajaan baru tidak dapat ditubuhkan.


Ini berikutan Parlimen tidak boleh bersidang jika kurang 95 peratus daripada 375 ahli parlimen dan 125 daripada calon disenaraikan parti disahkan SPR dalam tempoh 30 hari menjelang pilihan raya.

Bagaimanapun, 125 calon disenaraikan parti berdasarkan kadar undi diterima setiap parti di seluruh negara, bererti kiraan berkenaan akan terjejas jika undian tidak dapat dilakukan di sesebuah kawasan.


Sehingga semalam, pendaftaran calon kawasan terutama di beberapa wilayah di selatan Thailand diganggu penunjuk perasaan antikerajaan, malah proses pendaftaran di Bangkok turut melihat pertempuran yang mengakibatkan maut.


Penduduk selatan Thai lebih banyak memihak kepada Parti Demokrat yang memboikot pilihan raya itu.

Sumber SPR itu berkata, jika penunjuk perasaan berjaya menghalang proses pendaftaran di wilayah selatan sehingga esok - tarikh akhir pendaftaran - dan menyekat proses pilihan raya sendiri di wilayah selatan, Parlimen tidak akan dapat mengadakan sidang pertamanya.


Malah, perdana menteri turut tidak boleh dicalonkan kerana setiap parti akan memilih calonnya sendiri untuk jawatan itu.

Penunjuk perasaan hanya perlu memastikan ahli parlimen yang dilantik kurang 95% daripada jumlah keseluruhan, iaitu 500 orang.


Selatan Thai terdiri daripada 15 wilayah yang merangkumi 56 kawasan, dengan lapan wilayah setakat ini masih disekat penunjuk perasaan bagi menghalang kehadiran calon serta pegawai SPR. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Tangguh pilihan raya jika ada keganasan

Posted: 31 Dec 2013 12:12 PM PST

Bangkok: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menangguhkan pilihan raya umum 2 Februari ini jika berlaku keganasan, kata Pesuruhjaya Pengurusan Pilihan Raya Somchai Srisuthiyakorn, semalam.

Dalam temubual bersama agensi berita INN, Srisuthiyakorn berkata, pilihan raya tidak semestinya mesti diadakan pada 2 Februari seperti dinyatakan dalam perintah diraja.


Katanya, SPR sedar keamanan adalah perkara paling utama dan tidak akan mengadakan pilihan raya jika ia akan mengakibatkan pertumpahan darah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Pelajar seludup 1kg dadah dalam buku

Posted: 31 Dec 2013 12:11 PM PST

Solo: Seorang pelajar perundangan syariah wanita di sebuah universiti di Jakarta ditahan kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Adi Soemarmo kerana cuba menyeludup hampir satu kilogram methamphetamine.

Pelajar itu yang dikenali sebagai JN penuntut program sarjana di sebuah universiti Islam.


Dia ditahan bersama 946 gram dadah jenis methamphetamine yang disorok dalam tiga buku di dalam beg galas dibawanya tidak lama selepas tiba dari Singapura.

Ketua pejabat kastam Jawa Tengah dan Yogyakarta, Nirwla Dwi Heryanto berkata, dadah berkenaan yang dibungkus dalam beg plastik secara berasingan dikesan ketika melalui mesin x-ray.


"Dadah berkenaan dianggarkan kira-kira Rp1.8 bilion (RM484,864).


"Kami sudah menyerahkan JN kepada pihak polis di Boyolali untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, pelajar terbabit mendakwa dadah itu milik rakannya di Kemboja yang dikenali melalui laman sosial Facebook.


Dia meninggalkan Kemboja untuk ke Singapura 22 Disember lalu sebelum menaiki penerbangan ke Solo pada 28 Disember. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Rampas bunga api, trompet larang sambut tahun baru

Posted: 31 Dec 2013 12:10 PM PST

Banda Aceh: Polis syariah di sini merampas ribuan bunga api dan trompet diperbuat daripada kadbod selepas pihak berkuasa tempatan mengharamkan sambutan malam Tahun Baru buat kali pertama, kata seorang pegawai, semalam.

Serbuan dilakukan malam kelmarin di gerai serta kedai yang menjual barangan berkenaan yang diharamkan menerusi fatwa yang dikeluarkan Majlis Permesyuaratan Ulama bahawa sambutan Tahun Baru atau ucapan 'Selamat Hari Natal' sebagai haram di Banda Aceh.


Kerajaan tempatan Banda Aceh seterusnya menyokong fatwa terbabit dengan mengharamkan sambutan malam tahun baru di situ.

"Operasi ambang Tahun Baru ini bagi memastikan penduduk mematuhi saranan kerajaan dan ulama.


"Sepatutnya tiada sambutan langsung untuk menyambut ketibaan tahun baru ini," kata pegawai kanan polis syariah Banda Aceh, Reza Kamilin.


Pengharaman itu tidak disokong perundangan namun kini dikuatkuasakan polis syariah yang bertanggungjawab memelihara moral penduduk.

Selain itu, polis syariah juga akan membuat serbuan di hotel dan kafe yang turut diingatkan supaya tidak mengadakan sebarang sambutan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Suspek bom balai polis ditahan

Posted: 31 Dec 2013 12:09 PM PST

Jakarta: Polis Indonesia, semalam menahan seorang lelaki disyaki pengganas yang dipercayai terbabit dalam pengeboman sebuah balai polis selain melatih aktiviti keganasan.

Jurucakap polis kebangsaan Boy Rafli Amar berkata, skuad antikeganasan Indonseia, Detachment 88 menahan Ato Margono kerana mengiringi pengebom berani mati ke sebuah balai polis di Sulawesi, Jun lalu.


Pengebom itu yang menyerang menggunakan motosikal di daerah Poso kawasan dikenali sebagai 'sarang pengganas' membunuh diri dan mengakibatkan kematian seorang buruh binaan menggunakan bom yang diperbuat daripada paku.

Margono dikaitkan dengan suspek pengganas paling dikehendaki Indonesia, Santoso yang juga pemimpin kumpulan Mujahideen Islamis.


"Suspek ditahan kelmarin dan disyaki terbabit dalam pelbagai aktiviti keganasan selain dipercayai menembak mati seorang penduduk kampung dalam satu kejadian berasingan," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Russia tingkat keselamatan

Posted: 31 Dec 2013 12:09 PM PST

Moscow: Russia semalam meningkatkan tahap keselamatan selepas jumlah kematian akibat serangan berani mati menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk di Sochi melonjak kepada 34.

Bandar Volgograd di selatan negara itu mula mengebumi mangsa pertama pengeboman pada Ahad di stesen kereta api utama yang membunuh 18 orang.


Russia mendakwa seorang wanita muda dari Dagestan wilayah utara Caucasus bertanggungjawab dalam serangan berkenaan. Serangan berani mati kedua di bas elektrik yang sesak dengan pelajar kelmarin yang dikatakan polis dilakukan penyerang lelaki meragut 16 nyawa setakat ini. Serangan itu dilakukan selepas ancaman seorang pejuang kemerdekaan Chechnya yang berikrar untuk mensasarkan orang awam dalam usaha menggugat Presiden Vladimir Putin ketika dia menyambut tetamu dunia ke Sochi untuk acara pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada 7 Februari depan.

Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap kedua-dua serangan itu.


Putin belum mengulas secara rasmi mengenai tragedi berkenaan tetapi dijangka berbuat demikian ketika menyampaikan ucapan Tahun Baru.


Pemimpin Russia itu juga dijangka menggariskan tindakan tindakan yang akan diambil bagi menangani keganasan seumpama itu.

Putin semalam mengerah anggota keselamatan ditambah di pusat transit orang ramai di seluruh negara. Lebih 5,000 anggota polis memantau lalu lintas dan pengangkutan di bandar berkenaan pagi semalam.


Bandar yang dihuni sejuta orang dan dikenali sebagai Stalingrad pada era Soviet itu terletak 690 kilometer ke timur laut Sochi. Stesen televisyen utama negara itu Channel 1 menunjukkan tentera dilengkapi raifal automatik mengawal sekitar kafe di Volgograd sambil memeriksa dokumen orang ramai. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Bakar mayat secara paksa

Posted: 31 Dec 2013 12:08 PM PST

Beijing: Pihak berkuasa di sebuah kampung di China semalam menggali dan membakar mayat seorang lelaki selepas keluarganya tidak mempedulikan arahan supaya mayat itu dibakar.

Mayat peladang, Cheng Chaomu, 83, ditanam di Qinfeng, wilayah timur Anhui tiga hari selepas dia mati pada 13 Disember lalu.


Keluarganya mendakwa dia ditanam kerana Cheng meminta demikian. Apabila mengetahui mengenai pengebumian berkenaan, pihak berkuasa menuntut keluarganya menggali mayat Cheng dan membakarnya.

Bagaimanapun, mereka tidak menghiraukan arahan itu menyebabkan pihak berkuasa tempatan bersama anggota polis dan bomba menggali kubur Cheng dan menyimbah kerandanya dengan petrol sebelum dibakar.


"Mereka enggan membenarkan kami sekeluarga menghampiri kubur bapa," kata anak perempuan Cheng, Yinzhu kepada stesen televisyen Anhui yang turut menyiarkan adegan polis dan penduduk kampung bertelingkah selepas pembakaran secara paksa itu. Sejak tahun 1950-an, China menggesa kebanyakan penduduk di bandar besar membakar mayat keluarga mereka.


Pada 2012, kadar pembakaran di seluruh negara mencatat 49.5 peratus, lapor China Daily.

Sesetengah bandar raya turut mula menawarkan bonus kepada keluarga yang menabur abu orang tersayang mereka ke laut. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

Etnik Uighur desak siasat keganasan

Posted: 31 Dec 2013 12:07 PM PST

Beijing: Kumpulan etnik Uighur yang hidup dalam buangan semalam menuntut pihak berkuasa China membenarkan siasatan bebas dilakukan terhadap pertempuran di Xinjiang selepas lapan orang ditembak mati polis, kelmarin.

"Kerajaan tempatan di Xinjiang patut mendedahkan sepenuhnya semua maklumat berhubung keganasan kelmarin dan membenarkan siasatan bebas dijalankan badan antarabangsa, kata Kongres Uighur Sedunia (WUC) yang berpangkalan di Munich. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, kongres itu juga menggesa Beijing membuka daerah Shache, tempat keganasan itu berlaku kepada media dan wakil kerajaan asing bagi membolehkan siasatan secara telus diadakan. Kawasan 200 kilometer ke tenggara Kashgar itu dikenali sebagai Yarkand dalam bahasa Uighur. Pihak berkuasa China menyifatkan kejadian itu sebagai serangan terancang pengganas ke atas sebuah balai polis tempatan yang dilakukan sembilan pengganas dilengkapi senjata seperti pisau dan bahan letupan, menurut agensi berita kerajaan Xinhua. WUC mendakwa kejadian itu satu lagi tindakan kerajaan China untuk menutup isu pembunuhan terhadap aktivis kemerdekaan Uighur dengan alasan memerangi keganasan. "Kejadian itu adalah satu lagi tindakan terbaru kerajaan China dalam menangani isu penentangan selepas pihak berkuasa tidak menghiraukan proses undang-undang," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/01

No comments:

Post a Comment