Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sea Keong hampa

Posted: 23 Jan 2014 10:38 AM PST

Kuala Lumpur: Tiada kelibat pelumba Pro Tour pertama negara Loh Sea Keong di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 yang bermula penghujung bulan depan selepas pihak pengurusan pasukannya Giant-Shimano mengambil keputusan untuk tidak beraksi di kejohanan berprestij itu.

Sebaliknya, menurut Sea Keong, pasukannya membuat keputusan untuk beraksi di Eropah kerana melihat pendedahan perlumbaan di benua itu lebih bersesuaian untuk mereka yang berpangkalan di Belanda itu.


"Ia sedikit mengecewakan kerana tidak dapat beraksi di LTdL. Keputusan ini diambil selepas beberapa kali mengadakan perbincangan dan tolak ansur antara pihak pengurusan, jurulatih dan saya.

"Jadi inilah keputusan yang diambil kerana bukan selalu kita mampu memuaskan hati semua pihak," kata pelumba berusia 28 tahun dari Kelantan itu yang dijangka tampil bersaing secara kompetitif pada Mac atau April.


Perkembangan berkenaan pastinya mengecewakan ramai pihak kerana mengikut perancangan dia akan diserapkan ke dalam skuad kebangsaan untuk tampil di LTdL selepas pasukannya itu diumumkan tidak akan bersaing di kejohanan itu beberapa hari lalu.


Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan keputusan itu dibuat sendiri Pengurus Sukan Giant-Shimano, Rudi Kemna pada 18 Januari lalu.

Foto

PASUKAN Giant-Shimano mahu Sea Keong beraksi di Eropah.

Namun beliau tetap tidak berputus asa apabila mengarahkan jurulatih kebangsaan Aminuddin Sulaiman supaya sentiasa berhubungan dengan Sea Keong.


"Saya minta beliau sentiasa berhubung dengan Sea Keong, manalah tahu pengurusan pasukannya akan berubah fikiran dalam masa terdekat ini," katanya.

Ketiadaan Sea Keong yang dianggap penting dalam strategi Aminuddin pastinya menjejaskan perancangan untuk membaiki kedudukan ke-15 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Wenger terdesak

Posted: 23 Jan 2014 10:32 AM PST

London: Arsene Wenger menjangkakan jurang sembilan tahun sejak kejayaan terakhir Arsenal dalam Piala FA akan mendorong usaha Gunners melakar kejayaan di Wembley, Mei ini.

Gunners berdepan kelab divisyen tiga Coventry pada pusingan keempat di Stadium Emirates, awal pagi esok.


Kemenangan akan meletakkan Gunners selangkah lagi menggenggam trofi yang dimenangi mereka kali terakhir pada 2005, kejayaan keempat Wenger dalam Piala FA.

Kejayaan mengatasi Manchester United di Stadium Millennium di Cardiff itu adalah kali terakhir Arsenal merangkul kejuaraan utama dan Wenger sering kali diingatkan mengenai hakikat itu.


Pengurus dari Perancis itu kini terdesak mahu melihat pasukannya yang kini mendahului Liga Perdana, menamatkan kemarau itu.


"Saya amat bertuah memenanginya empat kali, tapi sayangnya kami sudah lama tidak menang jadi sekarang saya lebih fokus untuk bertindak baik dalam pertandingan ini kali ini.

"Saya mahu kelab ini memenangi Piala FA sekali lagi." Sekiranya Coventry menyingkirkan Arsenal, ia akan menjadi kejutan terbesar dalam pertandingan itu musim ini.


Namun Wenger menjelaskan masih terlalu awal untuk memikirkan mengenai 'laluan ke Wembley'.

"Apabila anda mara ke suku akhir maka anda hanya mempunyai dua perlawanan untuk ditempuhi sebelum layak ke final dan hingga peringkat itu anda hanya mahu melepasi setiap perlawanan.


"Keajaiban piala ini adalah apabila anda semakin hampir ke hujung pertandingan, impian itu semakin menjadi lebih nyata.


"Kami semua mempunyai impian ketika kecil, kami diajar melihat orang menjulang trofi yang menjadi impian kami dan menjadikannya satu kenyataan adalah sasaran kami." Wenger perlu memutuskan sama ada melakukan rombakan besar-besaran menjelang kunjungan Liga Perdana menentang Southampton minggu depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

City mahu bedal Watford

Posted: 23 Jan 2014 10:32 AM PST

London: Manchester City akan memperagakan kehebatan serangan mereka menentang Watford pada Piala FA esok dan mencabar kelab Liga Kejuaraan itu supaya menamatkan impian mereka memburu empat kejuaraan.

City sudah menjaringkan 106 gol musim ini untuk berpeluang memenangi empat trofi dan ujian terbaru mereka hadir pada pusingan keempat pertandingan piala tertua itu.


Kelab gergasi Liga Perdana, Arsenal, Chelsea dan Liverpool turut beraksi hujung minggu ini, ketika Bournemouth mengintai peluang menyamai kehebatan mereka pada Piala FA 1984, penyandang juara Wigan menanti kunjungan Crystal Palace dan Kidderminster Harriers, satu-satunya kelab bukan liga pada pusingan 32 terakhir, bertandang ke kelab juara 1973, Sunderland.

City semakin berbisa musim ini dan selepas kalah awal kepada Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara dan Chelsea dalam liga, mereka kini tidak kalah dalam 18 perlawanan berturut-turut, 16 daripadanya menang.


Mereka menghuni tangga kedua Liga Perdana, satu mata di belakang Arsenal, layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara yang mana mereka berdepan Barcelona dan sekurang-kurangnya sudah menempah tiket ke final di Wembley bagi Piala Liga.


Rekod Watford pula tidak begitu menakjubkan. Mereka menang tiga dalam 18 perlawanan terakhir dengan terbaru menang 2-0 ke atas kelab divisyen tiga Bristol City di laman sendiri untuk menempah pertemuan di Manchester.

Dalam tempoh itu mereka menjaringkan 19 gol dan kalah tujuh perlawanan manakala Gianfranco Zola (gambar) yang mengemudi mereka ke final play-off Liga Kejuaraan musim lalu meletakkan jawatan bulan lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Harapan berkecai

Posted: 23 Jan 2014 10:31 AM PST

Manchester, England: Pengurus Manchester United, David Moyes mengakui hakikat pasukannya tidak cukup bagus sekali gus tersingkir pada separuh akhir Piala Liga di tangan kelab bergelut Liga Perdana, Sunderland.

Moyes berharap mampu layak ke final pertamanya sebagai pengurus United, namun selepas United menewaskan Sunderland 2-1 di Old Trafford pada separuh akhir kedua awal pagi semalam untuk mengikat agregat 3-3, pelawat muncul pemenang menerusi penentuan sepakan penalti 2-1.


United mendahului 1-0 dan hampir melangkah ke final apabila penjaga gol United, David de Gea membenarkan sepakan pertahanan Sunderland, Phil Bardsley bergolek melepasinya seminit sebelum masa tambahan berakhir.

Javier Hernandez menyamakan kedudukan beberapa saat kemudian namun United disingkirkan apabila penjaga gol Vito Mannone menyelamatkan sepakan penalti Rafael da Silva.


Tandukan babak pertama Jonny Evans membolehkan United menyamakan agregat 2-2 namun mereka gagal mengekalkan rentak baik itu dengan Sunderland, kelab kedua tercorot Liga Perdana, lebih banyak menguasai bola dan menyaingi setiap usaha United.


"Kami tidak bermain dengan cukup bagus. Jika kami layak sekalipun, kami mungkin terkandas di pentas final," kata Moyes.

"Seminit atau dua minit lagi kami hampir ke sana. Kami mempunyai peluang menjaringkan gol kedua dan meletakkan diri pada kedudukan lebih baik, tapi hakikatnya memang ada pasukan yang kalah pada separuh akhir dan ia adalah kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Mata sedia tabur bakti di Old Trafford

Posted: 23 Jan 2014 10:30 AM PST

London: Bidaan sebanyak £37 juta (RM204 juta) Manchester United terhadap perancang tengah, Juan Mata diterima kelab pencabar Liga Perdana, Chelsea, menurut akhbar Britain semalam.

Laporan dalam akhbar Daily Telegraph menyebut Mata sudah bersetuju dengan terma peribadi bersama juara Inggeris itu dan menjalani pemeriksaan perubatan lewat malam tadi.


Pemain antarabangsa Sepanyol itu dikaitkan dengan perpindahan dari Stamford Bridge selepas bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama di bawah pengurus, Jose Mourinho.

Bintang berusia 25 tahun itu mengalami saat sukar musim ini dengan Mourinho lebih suka menurunkan pemain antarabangsa Brazil, Oscar dan Willian di samping pemain Belgium, Eden Hazard.


Pengurus United, David Moyes berusaha untuk memantapkan kreativiti skuadnya selepas permulaan buruk musim ini menyebabkan mereka sekadar menghuni tangga ketujuh Liga Perdana selain ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Arsenal.


Bayaran itu akan memecahkan rekod perpindahan United terhadap penyerang Dimitar Berbatov, yang menyertai kelab itu pada 2008 dari Tottenham Hotspur dengan harga £30.75 juta (RM170 juta).

Mourinho sering kali menyatakan Mata masih mempunyai peranan di Chelsea namun keazamannya mengekalkan pemain itu kini diuji. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Tello ledak hatrik

Posted: 23 Jan 2014 10:30 AM PST

Barcelona: Cristian Tello meledak hatrik membantu Barcelona bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 4-1 ke atas Levante pada suku akhir pertama Piala Raja Sepanyol, awal pagi semalam ketika Lionel Messi meraikan penampilan ke-400 bersama kelab Catalunya itu.

Pemain Levante, Nabil El Zhar merembat masuk selepas 30 minit, namun apabila Barcelona menyerang habis-habisan selepas rehat, mereka menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri Juanfran.


Messi mencipta semua tiga gol buat Tello dan Barca kini mendahului selesa menjelang suku akhir kedua di Nou Camp.

Messi meraih satu lagi pencapaian hebat dalam karier gemilangnya apabila turun pada perlawanan ke-400 menyarung jersi Barcelona selepas melakukan penampilan sulung rasmi pada Oktober 2004 menentang Espanyol.


"Pada babak pertama kami kurang menyengat dan mengawal bola dengan teruk, tapi kami masih ada peluang dan satu percubaan terkena palang," kata jurulatih Barca, Gerardo Martino.


"Pada babak kedua kami terlalu bagus. Apabila Messi bermain seperti dipamerkan pada babak kedua dia mampu membuka permainannya dan mencetus peluang buat pemain lain." Barcelona diikat 0-0 oleh Levante dalam aksi liga hujung minggu lalu, namun kedua-dua pasukan melakukan banyak rombakan untuk merehatkan pemain.

Rembatan Pedro Rodriguez terkena palang pada awal saingan, namun mereka kelihatan goyah di benteng pertahanan dan El Zhar meletakkan Levante di depan selepas percubaan pertamanya diselamatkan Jose Manuel Pinto.


Barca meningkatkan rentak mereka pada babak kedua dan memaksa kesilapan di benteng Levante dengan Loukas Vyntra cuba mengeluarkan bola, tetapi terkena Juanfran lantas masuk ke pintu gol sendiri. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Milan terima aib di laman sendiri

Posted: 23 Jan 2014 10:29 AM PST

Milan: AC Milan mengalami kejutan tersingkir daripada Piala Itali apabila kecundang 1-2 di laman sendiri di tangan kelab bergelut Serie A, Udinese pada perlawanan kedua Clarence Seedorf mengendalikan kelab itu, awal pagi semalam.

Gol larian solo pemain gantian dari Uruguay, Nicolas Lopez hanya dua minit selepas masuk menyebabkan Milan diejek teruk penyokong sendiri di San Siro selepas kekalahan pada suku akhir itu.


Milan memberikan Seedorf permulaan kemenangan dengan menundukkan Verona 1-0 dalam Serie A Ahad lalu dan bermula dengan bergaya pada perlawanan itu apabila Mario Balotelli menampan masuk dari jarak dekat selepas hanya enam minit.

Milan bagaimanapun gagal mengekalkan permulaan baik itu dan Udinese menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang Colombia, Luis Muriel empat minit sebelum rehat berikutan terjahan keras Urby Emanuelson terhadap Silvan Widmer.


Udinese dilihat lebih berbahaya selepas rehat, namun kecewa gagal menyempurnakan dua peluang keemasan pada pertengahan babak kedua.


Pemain gantian, Maxi Pereira tersalah sepak sekalipun berdepan pintu gol yang ternganga kemudian percubaannya melantun kepada Muriel yang turut gagal walaupun berada pada kedudukan terbaik.

Lopez mempamerkan kepada mereka bagaimana melakukannya apabila dia merebut bola dan membawanya dari tengah padang sebelum merembat kencang ke penjuru gol lawan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Brazil 'suka' Neymar cedera

Posted: 23 Jan 2014 10:29 AM PST

Brasilia: Kecederaan terbaru penyerang Brazil, Neymar ketika beraksi bersama Barcelona mungkin satu kebaikan buat negaranya berdepan Piala Dunia, menurut pengarah teknikal Carlos Alberto Parreira semalam.

"Dia akan pulih tanpa perlu menjalani pembedahan dan masa akan memulihkannya," kata Parreira kepada media Brazil.


"Dia mempunyai sebulan untuk berehat, ia mungkin sesuatu yang bagus kerana ia bermakna dia akan berada pada tahap terbaik membantu Brazil menjelang Piala Dunia." Neymar mengalami kecederaan buku lali kanan pada aksi Piala Raja Sepanyol menentang Getafe minggu lalu dan Barcelona menjangkakan dia terpaksa diketepikan antara tiga hingga empat minggu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

'Corak permainan berbeza'

Posted: 23 Jan 2014 10:29 AM PST

Kota Bharu: Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi mengakui corak permainan diterapkan ketua jurulatih, Steve Darby berbeza dengan musim lalu ketika berada di bawah Bojan Hodak, namun perkara itu bukan penghalang untuk mengekalkan reputasi sebagai antara pencabar terkuat musim ini.

Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, mereka mungkin perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan baru musim ini dan meminta penyokong memberikan kepercayaan kepada gergasi Pantai Timur itu untuk membuktikannya.


Katanya, aksi Liga Super menentang Sarawak di Kuching malam esok bakal menjadi ujian kedua melaksanakan arahan jurulatih di samping misi mengutip tiga mata di gelanggang lawan.

"Selain perubahan barisan pemain, kami juga melalui corak permainan yang berbeza, tapi itu bukan masalah. Kami berusaha untuk membiasakan diri dan saya minta penyokong memberi kepercayaan kepada pasukan ini untuk membuktikannya," katanya.


Kemenangan 2-1 ke atas Sime Darby pada 18 Januari lalu menjadi penyuntik semangat kepada The Red Warriors (TRW) untuk meneruskan kesinambungan rentak kemenangan.


Badhri berkata, usaha berganda akan dilakukan bagi memastikan mereka mendapat keserasian d dengan corak permainan diterapkan jurulatih.

"Apa apa pun kami perlu berusaha lebih keras sepanjang separuh masa pertama untuk mendapatkan keserasian, tapi saya yakin kami masih mampu menandingi pasukan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Fokus cabaran aksi liga: Norhafiz

Posted: 23 Jan 2014 10:12 AM PST

Seremban: Negeri Sembilan mahu menebus kekecewaan dengan memastikan tiga mata berharga apabila melayani kunjungan DRB Hicom dalam aksi pembuka Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Selepas diaibkan FELDA United FC 0-1 pada saingan Piala FA, sekali gus tersingkir daripada persaingan kalah mati itu, skuad Hoben Jang Hoben bertekad tidak mensia-siakan peluang memastikan kemenangan mutlak.


Kapten Norhafiz Zamani Misbah berkata, kekalahan kepada FELDA United perlu dijadikan pengajaran rakan sepasukan bagi memastikan kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya.

Sambil mengakui kecewa dan sedih dengan kegagalan dalam kempen Piala FA itu, beliau berharap rakan lain tidak patah semangat, sebaliknya kembali fokus kepada cabaran dalam liga dengan memastikan kemenangan dicapai pada aksi pertama itu.


"Misi pasukan untuk kembali ke Liga Super musim depan, jadi kita perlu pastikan tiga mata dicapai ketika menentang DRB Hicom malam esok (malam ini).


"Secara peribadi, saya tidak rela pasukan kehilangan mata penting sebagai pembakar semangat bagi meneruskan perjuangan musim ini dan berharap komitmen rakan-rakan bagi merealisasikan kemenangan," katanya semalam.

Bekas pemain kebangsaan berusia 32 tahun itu yakin dan percaya ketua jurulatih, V Sundramoorthy sudah merangka strategi terbaik dalam memastikan pasukan dapat memberikan persembahan cemerlang serta seterusnya berjaya merealisasikan kemenangan.


Menurutnya, komitmen semua pemain dalam melaksanakan tugas diamanahkan akan menjadi penentu kepada matlamat disasarkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment