Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tidak beli penyerang

Posted: 04 Jan 2014 07:00 AM PST

Pengurus Chelsea Jose Mourinho yakin seratus peratus beliau tidak akan membuat sebarang pembelian penyerang baru ketika tempoh perpindahan bulan ini.

Fernando Torres, Demba Ba dan Samuel Eto'o hanya mampu menjaringkan tujuh gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris setakat ini tetapi pengendali Portugal itu yakin kelab London berkenaan tidak akan sesekali menambah bilangan penyerang mereka.


"Peminat tahu bahawa kami sedang membina pasukan untuk tempoh tujuh tahun akan datang." katanya. "Penyerang? sudah tentu tidak.

"Ia bukanlah keutamaan kami dan ia juga bukan pilihan kami. Kami sudah ada tiga penyerang. Tempoh perpindahan sudah terbuka tetapi tidak bagi kami." Ketumpulan jentera serangan Chelsea mengukuhkan khabar angin yang menyebut mereka sedang memburu penyerang Napoli, Gonzalo Higuain untuk menyarung jersi Blues.


Tetapi Mourinho yang pernah membimbing Higuain di Real Madrid sebelum kembali semula ke Chelsea musim panas lalu, menegaskan bahawa beliau mahu menjadikan musim ini sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran akan datang.


"Higuain adalah pemain yang kami sedar bahawa kami tidak akan mampu mendapatkannya," kata Mourinho.

"Tidak ada sebab mengapa kami perlu berminat terhadap pemain yang kami tidak boleh dapat. Skuad ini sudah cukup bagus buat saya memandangkan ini adalah musim pertama saya di sini dan dengan objektif yang saya tetapkan, pemain sedia ada adalah cukup buat saya.


"Peminat sedar bahawa kami sedang menyediakan pasukan untuk tujuh tahun daripada sekarang. Kami tidak akan mengalah dalam usaha memburu kejuaraan tetapi kami juga sedang menyediakan landasan untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang." Setakat ini, Torres hanya berjaya menghasilkan 7 gol dan 3 daripadanya adalah aksi liga manakala Eto'o menjaringkan 5 gol (3 liga) dan Ba meledak 3 gol (1 liga).

Sementara itu, Mourinho melahirkan simpatinya apabila mendapat tahu Juan Mata kecewa gara-gara terpaksa keluar untuk digantikan dengan Oscar pada awal babak kedua ketika pasukannya menang 3-0 ke atas Southampton, Rabu lalu dan berharap keputusan itu tidak mendorong pemain tengah berkenaan untuk meninggalkan Stamford Bridge.


Tetapi pengurus Chelsea itu mengakui pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne sudah membuat permohonan untuk berpindah kerana sering diketepikan.


"Ini adalah masa paling sibuk buat ejen pemain," katanya.


"Ada ejen yang suka membuat kenyataan selepas sesuatu berlaku, ada yang berbuat demikian sebelum kejadian dan ada yang ketagih dengan laman web sosial seperti Twitter kerana mahu berkongsi pendapat mereka dengan semua orang.


"Kita semua sedar Kevin tidak dapat menyesuaikan dirinya seperti pemain Chelsea lain. Semua pemain di dalam pasukan ini perlu bekerja keras dan bersaing untuk mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama.


"Kevin adalah seorang pemain yang hebat tetapi dia sukar untuk menyesuaikan diri di dalam situasi seperti ini.


"Kami tahu dia mahu berpindah. Kalau boleh saya mahu menghalangnya tetapi kami sudah menghubungi beberapa kelab. Saya tidak tahu kalau ada yang berminat untuk mendapatkannya."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Reds yakin tak ulang kesilapan

Posted: 04 Jan 2014 04:38 AM PST

London: Brendan Rodgers yakin Liverpool tidak akan mengulangi kesilapan dalam apa yang dianggap pengurus Reds itu sebagai antara saat paling buruk pernah dilalui sepanjang berada di Anfield.

Biarpun menyenaraikan Daniel Sturridge serta Luis Suarez dan memasukkan kapten, Steven Gerrard pada saat akhir pertemuan menentang Oldham musim lalu, ia tidak membantu kekecewaan mereka apabila tewas 3-2 dan tersingkir daripada saingan Piala FA.


Ketika skuad Rodgers membuat persiapan menanti pencabar sama yang beraksi dalam League One - perlawanan yang dianggap sebagai ulangan hari ini - pengurus Reds itu menegaskan mereka sudah menimba pengalaman terbaik sejak mengalami kekalahan berkenaan.

"Sudah tentu, saya benar-benar kecewa dengan prestasi kami pada perlawanan itu musim lalu," katanya.


"Sewaktu menentang Hull baru-baru ini, kakitangan pengurusan skuad mengatakan ia keadaan paling teruk mereka pernah lihat sejak saya berada di Liverpool.


"Anda perlu menghadapinya berbekalkan pengalaman dan bermain tanpa rasa takut. Musim lalu, Oldham berhak menang perlawanan itu dan ia benar-benar mengecewakan kami semua.

"Untuk berlaku adil, saya membuat beberapa perubahan tetapi semuanya tidak menjadi. Terdapat masalah lebih teruk daripada itu tetapi keadaan sama tidak akan berulang dan kami belajar daripadanya." Sementara itu, penyerang prolifik Uruguay, Suarez berkemungkinan tidak akan direhatkan untuk perlawanan menentang Oldham.


Penyerang itu meledak jaringan kedua melalui sepakan percuma menarik ketika Liverpool mencatat kemenangan 2-0 ke atas Hull City pada malam tahun baru untuk mengumpul 20 jaringan musim ini.

Penolong pengurus, Colin Pascoe ditanya sama ada Suarez akan direhatkan berdepan Oldham dan beliau memberitahu: "Kami sentiasa memantau pemain dan jika anda tanya Luis, dia sendiri pasti akan berkata 'tidak' kerana dia mahu bermain pada setiap perlawanan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Dua gol untuk sahabat baik: Bony

Posted: 04 Jan 2014 04:37 AM PST

London: Penyerang Swansea Wilfried Bony mendedahkan dua gol yang dijaringkan ketika menentang Manchester City pada malam tahun baru lalu adalah khas untuk sahabat baiknya yang meninggal dunia akibat kanser.

Penyerang Ivory Coast itu membuka jersi yang tertera ayat 'RIP Anouk' selepas perlawanan yang menyaksikan mereka tewas 2-3 itu.


Bony berkata, kawan baiknya itu berasal dari Belanda dan meninggal dunia seminggu sebelum Krismas.

"Saya kehilangan seorang rakan. Dia meninggal akibat kanser," kata Bony yang sudah menghasilkan 12 gol buat Swans setakat ini.


"Saya berjaya menghadiahkan gol kepadanya. Sebelum ini, saya pernah mengenakan baju sama ketika menentang Aston Villa tetapi saya gagal meledak jaringan. Malam ini, saya sarungkan sekali lagi baju itu dan saya berjaya menghadiahkan dua gol.


"Jaringan itu adalah untuknya." Bony adalah pemain termahal Swansea dan dia mengikat kontrak selama empat tahun bersama kelab berkenaan selepas berpindah dari kelab Belanda, Vitesse Arnhem.

Penyerang yang meledak 31 gol sepanjang 30 aksi bersama Vitesse musim lalu, semakin mendapat tempat di hati peminat Swansea.


Walaupun beraksi tanpa Michu dan Nathan Dyer gara-gara kecederaan, Bony tetap berupaya menyerlah dan membuktikan kemampuannya sebagai peledak utama kelabnya.

"Saya tidak tertekan dengan ketiadaan mereka. Saya hanya bermain secara biasa dan setiap penyerang pastinya mahu menjaringkan gol.


"Itulah yang saya cuba lakukan. Cuba untuk menjadi lebih baik dan saya harap prestasi sebegini akan berterusan.


"Sebagai penyerang, setiap kali berjaya menjaringkan gol, ia akan memberikan anda keyakinan tetapi kami bermain sebagai satu pasukan dan saya akan mengutamakan pasukan lebih daripada kehendak saya sendiri." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Buang tabiat 'jatuh badan'

Posted: 04 Jan 2014 04:36 AM PST

Pengurus Everton Roberto Martinez percaya semua pihak di dalam bola sepak bertanggungjawab untuk membantu menyelesaikan masalah pemain yang sengaja menjatuhkan badan bagi mendapatkan sepakan percuma.

Selepas presiden FIFA, Sepp Blatter menyarankan supaya sistem penalti masa diperkenalkan sebagai kaedah yang boleh menghalang tindakan berkenaan, Martinez berkata perkara itu tidak akan banyak mengubah keadaan.


"Ia adalah salah kita sendiri," kata pengurus kelahiran Sepanyol itu. "Ia sudah merosakkan permainan dan berlarutan sejak beberapa musim lalu. Terpulang kepada kita untuk membetulkan semula keadaan." Berdasarkan rekod, sejak Ogos 2008, bekas pemain Tottenham Gareth Bale pernah dilayangkan tujuh kad kuning kerana sengaja menjatuhkan badan manakala Fernando Torres dan Adnan Januzaj masing-masing diberikan tiga kad kuning oleh pengadil perlawanan atas masalah sama.

Liam Lawrence, David Bentley, Ashley Young, Luis Suarez, Daniel Sturridge, Javier Hernandez, Oscar, Andy Carroll dan Emmanuel Eboue pula masing-masing pernah dilayangkan dua kad kuning.


Dalam satu kolum yang dihasilkan untuk FIFA, Blatter berkata penipuan di dalam bola sepak adalah sesuatu yang sangat memalukan dan beliau turut meluahkan kecewa apabila segelintir pemain sengaja menjatuhkan badan dan berlakon seperti cedera kerana mahu melengah-lengahkan permainan.


Pengurus Chelsea Jose Mourinho pernah mengkritik pemainnya, Oscar kerana sengaja menjatuhkan badan ketika pasukannya menang ke atas Southampton, Rabu lalu dan pengurus kelahiran Portugal itu menambah Blatter sepatutnya menjelajah ke seluruh dunia untuk memberi pengajaran kepada negara yang mengamalkan kaedah itu untuk melambatkan masa terutama ketika sedang mendahului lawan.

"Banyak cara yang boleh kita gunakan untuk mengatasi masalah itu," katanya. "Layangkan kad kuning, kritikan pedas di media serta penalti masa. Anda perlu menyedarkan pemain bahawa isu ini adalah penting.


"Jika beliau bimbang, beliau harus pergi ke negara yang mengamalkan cara berkenaan kerana ia seolah-olah sudah menjadi satu budaya." Majalah kelab Manchester United, Red Issue pula menyarankan pengurus David Moyes untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemain yang sengaja menjatuhkan badan dan menyebut Adnan Januzaj, Ashley Young, Danny Welbeck dan Wayne Rooney sebagai contoh.

"Kami tidak kisah andai MUFC tewas kerana itulah bola sepak. Tewas dengan maruah sama sekali berbeza dengan tewas menerusi penipuan," katanya.


Sejak Ogos 2008, Tottenham adalah kelab yang paling kerap dikesan cuba menipu dengan kaedah itu dengan 13 kesalahan manakala Chelsea dan Manchester United masing-masing 12 kesalahan serta Arsenal dan Liverpool 8 kali.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Impak Lydia gegar golf dunia

Posted: 04 Jan 2014 04:35 AM PST

Sepanjang tahun ini, peminat golf seluruh dunia dilihat menggeleng kepala tanda tidak percaya selepas melihat Lydia Ko berjaya mencapai apa yang selama ini dianggap terlalu sukar untuk dicapai seorang remaja sepertinya.

Bintang dari New Zealand itu pantas mencuri tumpuan pengikut LPGA pada 2012 apabila muncul pemain termuda dalam sejarah yang pernah menjuarai acara rasmi LPGA ketika berusia 15 tahun empat bulan. Menerusi aksi mengagumkan, Lydia semakin berani mengimpikan lebih banyak kejayaan dan banyak yang berjaya direalisasikan sepanjang tahun lalu.


Kempen 2013 bagi Lydia boleh dianggap sebagai sesuatu yang mahu dicapai oleh pemain lain tetapi apa yang membanggakan ialah dia melakar kejayaan demi kejayaan menerusi karier selaku pemain amatur.

Banyak kali Lydia ditanya mengenai bila dia akan berubah ke profesional tetapi gadis itu tidak dapat menjawabnya dengan tepat. Aksi terbaiknya hadir di Edmonton apabila berjaya mempertahankan gelaran di Kejohanan Terbuka Wanita CN Canada. Digandingkan bersama ramai pemain hebat, Lydia menang dengan kelebihan lima pukulan berbanding Karine Icher dengan catatan 65-69-67-64.


Bukan mudah untuk mempertahankan gelaran di Jelajah LPGA dan dia adalah pemain pertama yang berjaya berbuat demikian sejak Yani Tseng melakukannya di Terbuka RICOH Wanita British 2010 dan 2011.


Kejayaan Lydia di Kanada hanyalah salah satu daripada kecemerlangan yang dipamer pada 2013. Sepanjang 12 aksi, dia menamatkan enam kejohanan di kedudukan 10 teratas dan tidak pernah terlepas cut. Dia muncul naib juara selepas ditundukkan Suzann Pettersen di Kejohanan Evian dan keputusan itu membantunya untuk layak ke LPGA selaku pemain profesional.

Lydia memohon untuk menyertai LPGA selaku profesional pada Oktober lalu walaupun ada peraturan yang menyebut seseorang pemain itu perlu melepasi tahap umur tertentu. Begitupun, permohonan itu diluluskan oleh pihak Jelajah dan dia dibenarkan untuk beraksi selaku profesional mulai musim 2014.


"Saya gembira sebaik mendengar khabar itu," kata Lydia. "Saya terlalu gembira hingga tidak tahu apa yang perlu saya fikirkan." Lydia beraksi buat pertama kali selaku pemain profesional pada kejohanan penutup musim Jelajah LPGA di Kejohanan Kumpulan CME di mana dia menamatkan saingan di kedudukan ke-21. Sebulan kemudian iaitu kejohanan kedua selaku profesional, dia menjuarai Kejohanan Wanita Swinging Skirts di Taiwan yang turut disertai tujuh pemain teratas LPGA.

Lydia kini menduduki ranking keempat dunia, ketinggalan di belakang Inbee Park, Suzann Pettersen dan Stacy Lewis.


"Saya mahu dikenang seperti Annika dan Lorena. Mereka sudah banyak berjasa kepada LPGA dan juga sukan ini," kata Lydia. "Mereka adalah pemain hebat. Saya mahu menjadi yang terhebat di masa depan."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

T-Team mudah serasi

Posted: 04 Jan 2014 04:34 AM PST

Sikap positif pemain antara faktor membuatkan jurulatih T-Team Mohd Azraai Khor Abdullah yakin pasukan itu mampu membentuk keserasian terbaik sekali gus menghulur cabaran lebih bermakna musim depan.

Jurulatih berusia 61 tahun itu yang menjadi jurulatih skuad T-Team musim ini menyifatkan pasukan pantai timur itu tidak banyak berbeza dengan beberapa pasukan negeri yang pernah dikendalikannya.


Azraai pernah membawa Kedah bergelar juara berganda sebanyak dua kali selain membimbing Negeri Sembilan muncul juara Piala Malaysia sebelum ini.

"Pendekatan bola sepak mementingkan sikap dan semangat berpasukan. Dua aspek ini jika dipandang sambil lewa, pasukan tidak dapat memberikan persembahan terbaik dalam saingan Liga Super nanti.


"Setakat ini, saya gembira dengan komitmen, kerjasama dan usaha pemain meskipun saya terpaksa menerima hakikat tidak mendapat beberapa pemain untuk memantapkan jentera serangan. Jadi, kami akan membentuk dan beraksi dengan pasukan sedia ada yang saya anggap potensi mereka belum dieksploitasi sepenuhnya dan saya yakin akan ada peningkatan selepas ini," katanya.


"T-Team baru kembali empat hari lalu selepas mengadakan tiga perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi cabaran Liga Super musim 2014.

"Kami seri 1-1 dengan pasukan Songkhla United, tewas 0-1 kepada Kedah dan seri 1-1 dengan Perlis dalam perlawanan di padang Universiti Utara Malaysia (UUM) dan T-Team akan berdepan Sime Darby pada perlawanan persiapan terakhir di Stadium Selayang pada 9 Januari.


"Kami juga baru mendapatkan seorang jurulatih kecergasan dari Brazil dan beliau pernah membimbing beberapa kelab yang ada antaranya bergelar juara Liga Thailand," katanya.

Ditanya perbezaan mengendali skuad bergelar kelab berbanding negeri, jurulatih itu yang mengikat kontrak dua tahun bersama T-Team berkata: "Tiada perbezaan ketara mengendali skuad negeri dan kelab. Paling penting buat pemain bersemangat dan tidak cepat mengalah.


"Pengurusan pasukan ini (T-Team) sangat bagus dan memudahkan saya bekerja dengan mereka. Saya lega kerana ada lima penyerang saya termasuk dua pemain import boleh diharapkan untuk merobek gawang lawan." T-Team akan memulakan kempen Liga Super berdepan Selangor pada 18 Januari di Stadium Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Anjur pertandingan

Posted: 04 Jan 2014 04:33 AM PST

"Kalau sudah dipanggil untuk menghadiri sesi pemilihan, datanglah. Sama-samalah kita lonjakan semula imej sepak takraw negara. Kalau bukan kita, siapa lagi." Itu saranan bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Rosli Abd Rahman.

Rosli juga pernah menganggotai skuad kejurulatihan sepak takraw negara dan beliau turut mengakui Malaysia kekurangan bakat dalam sukan berkenaan dan ia adalah antara faktor utama yang mendorong kepada kemerosotan serta kejatuhan negara berbanding negara lain.


"Pada pandangan saya, Malaysia sebenarnya tidak kurang dengan pemain berbakat cuma sebahagian besar daripada mereka tidak berpeluang untuk menterjemahkan bakat masing-masing. Ada kes yang lebih buruk lagi, mereka tidak terdedah dengan pertandingan peringkat kebangsaan atau sebagainya.

"Antara punca mengapa kita tidak mempunyai kelompok besar pemain ialah kita tidak banyak pertandingan di peringkat kebangsaan. Akibatnya, pemain yang mempunyai bakat, memilih sukan lain sebagai hobi dan secara tidak langsung, semakin kuranglah individu yang bermain sepak takraw.


"Ketika kita berada di kemuncak, kita boleh lihat ramai anak muda serta kanak-kanak yang bermain sepak takraw di gelanggang kawasan perumahan atau di kampung-kampung tetapi sekarang, sukar untuk kita melihat suasana seperti itu lagi.


"Bukan kerana tidak ada gelanggang tetapi dulu orang bermain sepak takraw selepas melihat aksi pemain di dalam pertandingan tempatan tetapi sekarang, minat itu mati begitu saja kerana tidak ada pertandingan yang mahu dijadikan pemangkin semangat," katanya.

Rosli berkata, beliau tidak berniat untuk menjatuhkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan faham dengan masalah yang dihadapi badan induk kebangsaan itu namun berharap semua pihak sama-sama berganding bahu menaikkan semula nama negara di dalam sukan berkenaan.


Beliau juga menyeru semua pihak supaya berhenti menuding jari menyalahkan PSM gara-gara kegagalan Malaysia untuk menyerlah sejak kebelakangan ini sebaliknya sama-sama membantu setakat yang termampu.

"Seperti yang saya katakan tadi, kalau ada mana-mana pemain yang dipanggil untuk menghadiri sesi pemilihan dan sebagainya, mereka perlu hadir dan buktikan keupayaan masing-masing. Tidak ada gunanya kita gah di tempat sendiri saja dan pemain berbakat sepatutnya mempamer kebolehan di peringkat lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Elak sesi pemilihan

Posted: 04 Jan 2014 04:33 AM PST

SETIAP kali skuad sepak takraw negara gagal membawa pulang emas dari Sukan SEA atau Asia, pelbagai cemuhan dan kritikan akan dihambur dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pastilah 'pedih telinga' menahan setiap asakan dan tidak kurang kata-kata nista.

Setiap peminat yang mengikuti perkembangan sepak takraw sejak dulu pasti tidak boleh menerima kenyataan mengapa sukan yang didakwa dilahirkan di Malaysia itu boleh dikuasai negara seperti Korea Selatan, Myanmar serta Indonesia dan apa yang paling memedihkan ialah mengapa negara kita yang suatu ketika dulu cukup digeruni, seakan longlai dan bukan sekali dua kita tumbang di tangan ketiga-tiga negara itu.


Episod memalukan berlaku lagi di Sukan SEA Myanmar dan walaupun Malaysia membawa pulang perak dan gangsa - lebih baik berbanding dua gangsa yang dimenangi di Palembang dua tahun lalu - ia tidak cukup untuk memulihkan imej sepak takraw dan seperti biasa, PSM sekali lagi menjadi bahan umpatan.

Untuk bercakap memang mudah tetapi jika diselami dan diteliti masalah yang sedang dihadapi badan induk kebangsaan itu, mungkin alasan mereka boleh diterima dan alangkah baiknya jika semua pihak berganding bahu membangunkan semula sukan berkenaan berbanding mengamalkan sikap 'lempar batu sembunyi tangan'.


Sering kali peminat bertanya mengapa PSM tidak mahu mengambil 'orang itu atau orang ini' sebagai pemain kebangsaan kerana pada anggapan mereka pemain yang dimaksudkan itu jauh lebih baik berbanding mereka yang menyarung jersi negara ketika ini.


Ketika soalan berkenaan ditanya kepada Penolong Setiausaha Agung PSM Tengku Adnan Tengku Burhanuddin, beliau menjawab pihaknya bukan tidak pernah memanggil semua pemain yang dimaksudkan tetapi sering kali pelawaan untuk menghadiri sesi pemilihan itu ditolak dengan pelbagai alasan.

"Macam-macam alasan yang kami terima. Setiap kali ada sesi pemilihan, kami pasti mempelawa ramai pemain yang berkaliber untuk turut serta tetapi malangnya, tidak ramai yang mahu menghadiri sesi yang kami adakan.


"Ada yang memberikan alasan sakit, tidak dapat datang dan macam-macam lagi. Ada juga yang hadir tetapi tidak dapat mematuhi tahap disiplin yang kami tetapkan. Akibatnya, kami juga yang menjadi mangsa.

"Peminat menyalahkan kami apabila pemain yang mereka katakan 'hebat' itu tidak berada di dalam skuad kebangsaan tetapi adakah mereka tahu bahawa pemain itu sendiri yang tidak mahu hadir selepas dipanggil. Bagi pihak PSM, kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memaksa mereka datang.


"Selain pemain tidak mahu datang, soal pelepasan majikan pemain juga membuatkan masalah itu semakin meruncing. Masalah ini bukan baru dan ia sudah berlarutan sejak lama dulu. Ini adalah antara punca mengapa kami berdepan masalah kekurangan pemain yang boleh diharapkan untuk membawa cabaran negara. Kami terpaksa menggunakan khidmat pemain yang ada saja.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

No comments:

Post a Comment