Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kim Swee sah kendali skuad Harimau Malaya

Posted: 07 Jan 2014 08:38 AM PST

Kelana Jaya: Datuk Ong Kim Swee mengesahkan beliau akan membimbing Harimau Malaya sementara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencari pengganti baru.

Persetujuan itu dicapai selepas pengendali berusia 43 tahun itu mengadakan perbincangan mengenai kontrak baru dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin semalam.


Kim Swee berkata, tugas utama beliau tetap sebagai jurulatih Harimau Muda A, namun pada masa yang sama akan mengendalikan skuad kebangsaan selepas kontrak ketua jurulatih Datuk K Rajagobal tidak disambung pada 31 Disember lalu.

"Saya mengadakan pertemuan dengan Datuk Hamidin hari ini (semalam) dan saya dimaklumkan mengenai tugas yang bakal saya pikul selepas ini. Saya akan mengendalikan skuad kebangsaan buat sementara dan jika FAM tidak melantik lagi jurulatih baru, saya akan mengendalikan skuad kebangsaan bagi perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Yaman, Mac ini.


"Tapi tugas utama saya ialah membimbing skuad Harimau Muda A serta memantau Harimau Muda B dan C," katanya ketika ditemui semalam.


Ketika ditanya mengenai kontrak baru yang bakal ditandatangani itu, Kim Swe berkata: "Saya tidak letak syarat dan berapa lama tempoh kontrak itu saya tidak tahu buat masa ini, itu anda perlu tanya Datuk Hamidin.

Foto

Datuk Ong Kim Swee

Kim Swee berkata, beliau akan mula memantau prestasi pemain kebangsaan dalam Liga Malaysia sebaik saingan bermula 17 Januari ini.


Skuad Harimau Muda A akan beraksi dalam Liga NPL di Australia pada Mac hingga Ogos ini, manakala Harimau Muda B ke Liga Singapura dan Harimau Muda C beraksi dalam Liga FAM.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Mimpi ngeri

Posted: 07 Jan 2014 08:24 AM PST

London: Penyerang England Theo Walcott pasti sangat kecewa andai terlepas bermain di Piala Dunia Brazil, kata bekas penyerang skuad Three Lions, Ian Wright.

Walcott dijangka tidak boleh beraksi selama sekurang-kurangnya enam bulan gara-gara kecederaan lutut kanan dialaminya ketika membantu Arsenal menang ke atas Tottenham pada saingan Piala FA, hujung minggu lalu.


Kelab Gunners itu dalam satu kenyataan menyebut, pemain berusia 24 tahun berkenaan akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat ini dan dia tidak dapat beraksi hingga hujung musim sekali gus bakal terlepas Piala Dunia musim panas ini.

"Dia pastinya sangat terkilan kerana terlepas Piala Dunia yang sangat istimewa," kata Wright, 50 tahun.


"Dengan temasya itu dilangsungkan di Brazil - venue hebat untuk Piala Dunia - adalah satu mimpi ngeri buat mana-mana pemain sekalipun." Wright yang mencatat rekod jaringan tertinggi bersama Arsenal dengan 185 gol sepanjang 288 kemunculan, pernah terlepas aksi Piala Dunia 1998 di Perancis gara-gara kecederaan hamstring.


"Ia adalah antara perkara yang anda tidak ingin berlaku," kata bekas penyerang Crystal Palace dan West Ham yang menjaringkan sembilan gol sepanjang 33 kemunculan bersama skuad kebangsaan.

Beliau turut menjangkakan kecederaan Walcott bakal memberi kesan buat pengurus England Roy Hodgson.


"Ia satu malapetaka buat England," kata Wright yang kini bergelar pengulas stesen radio 5 BBC 606 yang memuji kebijaksanaan Walcott ketika menghuru-harakan benteng pertahanan Spurs ketika menang 2-0, Sabtu lalu.

"Dia seorang pemain yang bijak. Saya yakin dia akan kembali bangkit tetapi sudah tentu dia sangat kecewa." Walcott belum pernah membuat sebarang kemunculan pada saingan akhir Piala Dunia walaupun namanya pernah disenaraikan Sven-Goran Eriksson pada edisi 2006 ketika baru berusia 17 tahun.


Selepas kali pertama beraksi mewakili England ketika menentang Hungary pada perlawanan persahabatan 30 Mei 2006, Walcott kini memiliki 36 caps dan meledak lima jaringan.


Walcott dan penyerang Tottenham, Andros Townsend dikhabarkan bersaing untuk mengisi kesebelasan utama England pada Piala Dunia yang bakal bermula 12 Jun dengan perlawanan pertama Three Lions ialah menentang Itali dua hari kemudian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Britton bangga aibkan United

Posted: 07 Jan 2014 08:20 AM PST

London: Leon Britton berkata, dia berbangga mengetuai skuad pertama Swansea City yang mencatat kemenangan di Old Trafford ketika menentang kelab gergasi Inggeris, Manchester United.

Kelab Swans itu menang 2-1 pada saingan Piala FA ke atas United hasil jaringan Wayne Routledge dan Wilfried Bony.


Anak buah Michael Laudrup itu berjaya menempah tiket ke pusingan keempat dan bakal bertemu sama ada Birmingham City, Crawley Town atau Bristol Rovers.

"Kami sangat berbangga dengan keputusan itu," kata Britton.


"Adalah satu penghormatan besar buat saya kerana berpeluang mengetuai skuad Swansea pertama yang menang di Old Trafford." "Bermain di Old Trafford untuk menentang Manchester United adalah ujian yang sangat getir. Oleh itu, kemenangan 2-1 kami adalah sesuatu yang boleh dianggap sejarah.


"Prestasi kami tidak begitu memberangsangkan sejak kebelakangan ini. Kami berdepan senarai kecederaan, bukan mahu menjadikan ia sebagai alasan, tetapi kami berjaya membuktikan kepada United dan kami mampu bertanding dengan mana-mana kelab terbaik di negara ini.

"Memang sesuatu yang sangat meyakinkan serta membanggakan andai anda mampu menang di Old Trafford. Adalah satu penghormatan buat saya. Saya sangat bangga dengan pencapaian ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Sterling menakjubkan

Posted: 07 Jan 2014 08:19 AM PST

London: Kolo Toure melabel Raheem Sterling sebagai pemain terbaik Liverpool ketika ini dan yakin pemain muda akan terus menyinar di Liga Perdana Inggeris pada masa akan datang.

Sterling kini menjadi pilihan pengurus dan namanya disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk sembilan perlawanan berturut-turut sejak Disember lalu dan pemain sayap berkenaan dilihat menjadi nadi kepada kejayaan Liverpool sejak kebelakangan ini.


Pemain berusia 19 tahun itu cukup matang dan mempamer aksi membanggakan di Anfield ketika menentang Oldham Athletic, Ahad lalu dan dia beraksi seolah-olah bintang berpengalaman terutama pada babak kedua permainan.

Sterling menunjukkan penguasaan serta skil tinggi dan tidak hairanlah mengapa dia dianggap antara produk akademi Liverpool yang paling berjaya.


Dia menghuru-harakan pertahanan lawan untuk gol pertama Liverpool selain memaksa James Tarkowski menjaringkan gol sendiri untuk membolehkan Reds mendahului 2-0 dan kerana itulah, Toure meluahkan keyakinannya terhadap keupayaan pemain itu.


"Buat masa ini, Raheem adalah pemain terbaik di dalam skuad kami," katanya.

"Saya bermain dan berlatih bersama-samanya setiap hari dan memang sukar bagi mana-mana pemain untuk mengatasinya.


"Dia mampu menewaskan mana-mana pemain di dalam liga ini dengan aksi serta skil yang dimilikinya. Dia mempunyai fizikal yang kuat serta padat. Dia berusaha keras untuk pasukan dan dia mempunyai masa depan cukup cerah di dalam bola sepak." Sebelum diturunkan ketika menentang Hull di Stadium KC pada awal Disember, Sterling hanya beraksi di dalam dua daripada 15 perlawanan pasukannya.

Begitupun, keupayaannya serta bakatnya menyaksikan dia meledak tiga jaringan iaitu menentang Norwich City, Tottenham Hotspur dan Cardiff City.


Toure percaya kekerapan diturunkan menjadi faktor mengapa pemain itu semakin yakin dan tidak takut untuk membuat hantaran berbahaya kepada penyerang.


"Dia sudah banyak kali diturunkan sejak kebelakangan ini dan ia membolehkan tahap keyakinan anda semakin menebal," kata Toure. "Bagi pemain muda sepertinya, dapat beraksi pada tahap tinggi seperti ini adalah sesuatu yang sangat menakjubkan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Allardyce tagih khidmat Carroll

Posted: 07 Jan 2014 08:13 AM PST

London: Pengurus West Ham Sam Allardyce berkata, Andy Carroll sudah semakin hampir untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukannya.

Penyerang berusia 25 tahun itu pernah dipinjamkan ke Hammers oleh Liverpool sebelum berpindah secara tetap, tetapi masih belum diturunkan gara-gara kecederaan kaki.


"Andy sudah menjalani latihan hari ini (semalam) dan saya berharap dapat menyenaraikannya untuk perlawanan minggu depan atau berikutnya," kata Allardyce.

Kehadiran Carroll pasti memberikan kelegaan buat Allardyce yang kini terpaksa bergelut untuk mengeluarkan pasukannya daripada kedudukan terbawah liga.


Pemain antarabangsa England itu pernah meledak tujuh gol sepanjang 24 aksi bersama kelab Upton Park itu ketika dipinjamkan musim lalu.


Begitupun, namanya tidak mungkin disenaraikan untuk kunjungan West Ham ke Manchester City bagi saingan pusingan pertama separuh akhir Piala Liga, tetapi berkemungkinan besar diturunkan ketika bertemu Cardiff, Sabtu ini.

Masalah kecederaan pemain membuatkan Allardyce terpaksa meminjam Roger Johnson dari Wolves hingga hujung musim ini dan pemain berusia 30 tahun itu akan diturunkan untuk menentang City.


Tiga lagi pertahanan West Ham, Winston Reid, James Collins dan James Tomkins masih lagi belum sembuh.

West Ham melangkah ke perlawanan itu dengan pemain kurang berpengalaman sekali gus menyaksikan mereka dibelasah 5-0 oleh Nottingham Forest pada saingan Piala FA membuatkan pemilik bersama kelab, David Gold dan David Sullivan masing-masing mengeluarkan surat sokongan kepada Allardyce.


"Saya bangga dengan semangat bersatu padu yang ditunjukkan pemain walaupun kami berada dalam keadaan sukar ketika ini," kata pengurus Hammers itu.


"Kami berada dalam keadaan sangat sukar dan apa yang membuatkan saya terharu ialah apabila pemilik kelab juga menyatakan sokongan mereka kepada saya.


"Kami semua perlu bekerjasama dan saya harap kami beroleh keputusan membanggakan tidak lama lagi.


"Saya sedang menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha meningkatkan prestasi pasukan. Saya sering berhubung dengan pemilik untuk melaporkan perkembangan pasukan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Real rapat jurang

Posted: 07 Jan 2014 08:12 AM PST

Barcelona: Dua jaringan lewat yang dihasilkan Cristiano Ronaldo memberikan kelegaan buat Real Madrid apabila mereka membelasah Celta Vigo 3-0 sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu Liga kepada lima mata.

Kemenangan itu mengurangkan sedikit tekanan buat Real apabila pendahulu Barcelona dan Atletico Madrid masing-masing menang pada perlawanan pertama mereka tahun ini.


Begitupun, Ronaldo yang dianggap mula ketandusan jaringan manakala Gareth Bale pula tidak cukup cergas untuk diturunkan membuatkan Real kerap kali dikecewakan Celta yang beroleh beberapa peluang sebelum Karim Benzema memecahkan kebuntuan ketika aksi memasuki babak kedua.

Ronaldo menambah gol kedua Real ketika permainan memasuki minit ke-82 dan meledak gol ketiga pasukan yang juga gol ke-400 kariernya beberapa minit kemudian.


"Prestasi kami bukanlah yang terbaik dan kami perlu belajar bagaimana untuk menguatkan pertahanan," kata jurulatih Real, Carlo Ancelotti. "Kami tidak seimbang apabila terlalu ramai pemain yang mahu membantu menyerang dan akibatnya, pertahanan kami tempang untuk mengekang serangan balas lawan." "Celta bertahan dengan baik dan bukan mudah buat kami, tetapi kami sepatutnya tidak terdedah kepada serangan balas yang boleh mengancam gawang kami." Real kini mengumpul 44 mata, lima mata ketinggalan jika dibandingkan dengan Barcelona dan Atletico Madrid yang mengumpul 49 mata selepas menewaskan Elche serta Malaga.


Gawang Real terselamat apabila penjaga gol Diego Lopez dipaksa bekerja keras menyelamatkan cubaan Charles hasil hantaran Augusto Fernandez.

Tuan rumah mendominasi permainan tetapi beberapa pemainnya dilihat tidak cergas sepenuhnya.


Cubaan Benzema tersasar dan rembatan Luka Modric serta Angel Di Maria tidak begitu mengancam di babak pertama.

Bale masuk pada babak kedua untuk menyuntik sedikit semangat di bahagian serangan Real, tetapi Charles sekali lagi hampir memberikan pendahuluan buat Celta, namun rembatannya berjaya diselamatkan Lopez.


Seorang lagi pemain gantian, Jese Rodriguez menjana pergerakan yang membolehkan Benzema menjaringkan gol pembukaan.


Ronaldo mula dilihat agresif apabila menyempurnakan hantaran Daniel Carvajal sebelum meledakkan satu lagi gol hasil hantaran lintang Bale. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Dua gol Kaka suntik semangat Milan

Posted: 07 Jan 2014 08:11 AM PST

Milan: Kaka menyuntik kelegaan buat AC Milan apabila menjaringkan dua gol manakala pemain berusia 18 tahun, Bryan Cristante meledak gol profesional pertamanya ketika kelab itu menang 3-0 ke atas Atalanta sekali gus menjadi kejayaan kelima liga setakat ini.

Lazio menewaskan Inter Milan 1-0 hasil jaringan Miroslav Klose manakala pasukan di tangga ketiga, Napoli menewaskan Sampdoria 2-0 hasil jaringan Dries Mertens.


Hellas Verona menang 3-1 di Udinese hasil bantuan dua gol yang disumbangkan Luca Toni dan kemenangan itu melonjakkan pasukan berkenaan di tangga kelima dan mengatasi Inter.

Pertahanan Parma, Alessandro Lucarelli menjaringkan gol hasil sepakan percuma bagi membolehkan skuad bimbingan Roberto Donadoni itu bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Torino 3-1 sambil penyerang Amauri menjaringkan gol pertamanya musim ini.


Kelab terbawah, Catania mengatasi Bologna 2-0 manakala Genoa mengalahkan Sassuolo dengan keputusan sama.


Kemenangan Napoli itu membolehkan mereka mengumpul 39 mata hasil 18 perlawanan, dua mata di belakang Roma yang tewas 3-0 di tangan pendahulu, Juventus.

Juventus mengumpul 49 mata, lapan mata di persada Serie A.


Perlawanan kelmarin berlangsung walaupun penjaring terbanyak Serie A, Giuseppe Rossi bergelut dengan kecederaan lutut kanannya ketika membantu Fiorentina menang 1-0 ke atas Livorno.

Fiorentina yang kini menduduki tangga keempat liga, berkata Rossi mengalami kecederaan serius di lututnya dan keadaannya masih belum dapat dipastikan.


Begitupun, siasatan awal mendapati ligamen utama lututnya tidak rosak - perkara paling melegakan Fiorentina kerana bahagian itu pernah dibedah selama dua kali sebelum ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Johnson langkah kanan

Posted: 07 Jan 2014 08:11 AM PST

Kapalua, Hawaii: Zach Johnson memulakan tahun baru dengan cara sambutan sama seperti dilakar musim lalu menjulang trofi.

Johnson membenam tiga birdie berturut-turut di sembilan lubang kedua di lapangan Kapalua untuk mengumpul 7 di bawah 66 sekali gus menang dengan kelebihan satu pukulan berbanding Jordan Spieth di Kejohanan Juara, kelmarin.


Johnson tidak memerlukan aksi bak wira seperti dilakukan ketika menewaskan Tiger Woods pada Kejohanan Dunia di California bulan lalu. Kali ini, kejayaannya didorong permainan dekat yang sangat mantap sekali gus membuktikan Johnson antara yang terbaik apabila bercakap mengenai permainan jarak pendek.

Dia melakukan pukulan dengan menggunakan wedge dan bola berhenti kira-kira lapan kaki di lubang ke-14 untuk birdie sekali gus bergelar pendahulu tunggal buat pertama kali di kejohanan berkenaan. Berdepan kesukaran di lubang seterusnya, Johnson berjaya melakukan pukulan mantap untuk mencatat satu lagi birdie. Dia kemudian menggunakan wedge yang sama untuk mendaratkan bola lima kaki daripada lubang ke-16 untuk birdie ketiga berturut-turut.


Spieth yang mendahului dengan kelebihan satu pukulan ketika sembilan lubang kedua, membenam birdie di dua lubang terakhir untuk mengumpul 69 pukulan.


"Saya membuat pukulan seperti biasa," kata Johnson yang menamatkan saingan dengan keseluruhan 19 di bawah 273.

"Saya tidak pernah melakukan pukulan yang di luar kebiasaan terutama sekali apabila daya berada di dalam kejohanan." Webb Simpson yang terikat dengan Spieth serta juara bertahan Dustin Johnson, gagal memberi saingan dan hanya menamatkan saingan dengan 70 pukulan. Dia berkongsi kedudukan ketiga dengan Kevin Streelman yang mencatat 67 pukulan di pusingan akhir.


Jason Dufner ketinggalan empat pukulan di belakang dengan 69. Dustin Johnson (73) dan pemain Australia Adam Scott (69) mengekorinya dengan ketinggalan satu pukulan.

Johnson yang mencatat kejayaan ke-11 di sepanjang kariernya berhak mendapat pujian walaupun dia jarang menggegar seperti pemain lain.


Sejak mula terbabit dengan golf profesional pada 2004, hanya Woods, Phil Mickelson dan Vijay Singh yang pernah menang lebih banyak acara Jelajah PGA AS berbanding dirinya.


Ia juga menjadi kejayaan ketiga daripada enam kejohanan terakhir yang disertainya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Agnieszka tersingkir awal

Posted: 07 Jan 2014 08:10 AM PST

Sydney: Pilihan utama serta juara bertahan, Agnieszka Radwanska dari Poland tersingkir selepas tewas di tangan pemain Amerika Syarikat, Bethanie Mattek-Sands 7-5, 6-3 pada pusingan kedua kejohanan Antarabangsa Sydney yang dianggap sebagai medan pemanas badan untuk Terbuka Australia.

Bethanie yang kembali beraksi selepas berehat selama empat bulan gara-gara kecederaan lutut kanan, tewas di pusingan pertama ketika aksi di Brisbane minggu lalu dan perlu menang tiga perlawanan untuk layak ke undian kejohanan di Sydney.


"Saya pernah bertemunya beberapa kali dan tidak pernah menang. Justeru, kejayaan ini adalah yang terbaik dalam karier saya,"kata Bethanie.

Agnieszka menerima rawatan pada bahu kanannya ketika Kejohanan Piala Hopman di Perth minggu lalu dan berkata, kesakitan itu masih membelenggunya.


"Kesakitan masih ada dan saya menggunakan ubat penahan sakit," kata Agnieska. "Ia bukan masalah besar dan ia akan sembuh." Bethanie akan bertemu rakan senegara Madison Keys yang menewaskan pemain Croatia Ajla Tomljanovic 6-0, 3-6, 7-6 (3).


Bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki turut dikejutkan apabila tewas di tangan Lucie Safarova 6-4, 7-6 (7). Caroline yang baru bertunang dengan Rory McIlroy mendahului tiga mata pada set kedua sebelum Lucie bangkit untuk menang perlawanan berkenaan.

Bekas juara Wimbledon Petra Kvitova yang menjadi pilihan kedua, berdepan sedikit kesukaran, tetapi berjaya menewaskan Christina McHale 6-1, 6-0. Angelique Kerber dari Jerman turut layak ke suku akhir selepas menundukkan Kaia Kanepi dari Estonia 6-3 6-4. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

Rahsia Darby

Posted: 07 Jan 2014 08:09 AM PST

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby masih berahsia mengenai kesebelasan utama The Red Warriors (TRW) yang bakal menggalas cabaran Liga Malaysia 2014 tidak lama lagi.

Malah, jurulatih berusia 58 tahun dari England itu tidak memikirkan untuk mencari kesebelasan utama bayangan sebaliknya mahu memiliki 15 hingga 16 pemain terbaik.


"Tidak akan ada bayangan kesebelasan utama kerana perkara itu tidak akan berlaku. Bila kita bermain 14 perlawanan dalam tempoh 42 hari sudah pasti saya tidak boleh ada 11 pemain utama saja sepanjang jangka masa itu kerana kita perlu ada 15 hingga 16 pemain utama.

"Anda sudah lihat hasil perlawanan malam ini (kelmarin) dan saya juga sudah lihat kemampuan pemain," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan persahabatan antara Kelantan dengan Perlis di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.


Pada aksi persahabatan itu Kelantan menang 3-1 hasil jaringan Mohammed Ghaddar, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan Ahmad Fakri Saarani manakala Perlis mendapat gol sagu hati menerusi import, Dao Bakary.


Mengulas aksi persahabatan itu, Darby berkata, keputusan perlawanan tidak menjadi ukuran sebaliknya memuji persembahan mantap dipamerkan pemain terutama Mohamed Shawky yang dijangka bakal menjadi pemain import tumpuan musim ini.

Katanya, persediaan kecergasan fizikal yang dilakukan sebelum ini membuahkan hasil memberangsangkan dan menyifatkan anak didiknya mampu mempamer aksi terbaik sepanjang musim ini.


"Keputusan perlawanan tidak penting, sebaliknya saya lebih gemar melihat persembahan pemain. Kami sudah lakukan dengan baik dan saya lihat cara pemain membuat hantaran bola dan melakukan penyudah di gawang lawan juga sudah menunjukkan hasil.

"Shawky beraksi cemerlang dan anda semua boleh lihat kualiti dipamerkannya. Saya tidak terkejut jika dia menjadi antara pemain import terbaik musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/08

No comments:

Post a Comment