Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


4 maut tuntut naik gaji

Posted: 03 Jan 2014 11:11 AM PST

Phnom Penh: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh semalam apabila polis Kemboja melepaskan tembakan bagi mengekang protes pekerja kilang pakaian yang menuntut kenaikan sekali ganda gaji minimum, kata polis dan pekerja hak asasi kemanusiaan.

Timbalan Ketua Polis Phnom Penh, Chuon Narin berkata, tiga terbunuh dan dua lagi cedera di pinggir apabila polis melepaskan tembakan menggunakan raifal AK-47 selepas beratus-ratus pekerja menyekat jalan raya dan mula membakar tayar serta membaling objek ke arah polis. Chuon menyifatkan penunjuk perasaan sebagai anarkis yang memusnahkan harta awam. Mereka disuraikan buat sementara waktu menjelang awal tengah hari.


Pemerhati daripada kumpulan hak asasi kemanusiaan, Chan Saveth berkata, hasil pemantauan kumpulannya mendapati empat maut dan 20 cedera, dengan tujuh akibat kecederaan tembakan.

Keganasan itu berlaku ketika ketegangan politik melanda kemboja apabila pembangkang Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja mengadakan demonstrasi setiap hari bagi menggesa Perdana Menteri Hun Sen meletakkan jawatan dan mengadakan pilihan raya sekali lagi.


Hun Sen memenangi pilihan raya Julai lalu yang melanjutkan pemerintahannya selama 28 tahun di negara Asia Tenggara yang miskin itu, tetapi penunjuk perasaan pembangkang menuduhnya menipu undi. Hun Sen bagaimanapun menolak tuntutan mereka.


Pekerja di kebanyakan 500 kilang pakaian di negara itu melancarkan mogok, menuntut kenaikan minimum gaji bulanan sebanyak AS$160 (RM525), sekali ganda gaji sekarang. Kerajaan menawarkan kenaikan $100 (RM328) sebulan. Walaupun isu gaji dan pilihan raya tidak berkaitan, tetapi pembangkang mempunyai kaitan rapat dengan pergerakan buruh negara itu.

Foto

PENUNJUK perasaan memegang batu sambil memerhatikan anggota polis dari jauh ketika operasi mengekang bantahan mereka di Phnom Penh semalam.

Pada Ahad lalu, kebanyakan pekerja menyertai perhimpunan politik besar-besaran yang dianjurkan pembangkang.


Pekerja mewakili kuasa politik yang kuat di Kemboja kerana industri pakaian menjadi eksport terbesar negara dengan 500,000 pekerja bekerja di kilang pakaian dan kasut. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Penjara lagi aman daripada isteri

Posted: 03 Jan 2014 10:56 AM PST

Rome: Gara-gara tidak tahan tinggal bersama isteri, seorang lelaki yang diperintah menjalani hukuman penahanan dalam rumah sengaja melanggar arahan mahkamah dengan meninggalkan kediamannya supaya ditangkap dan dihantar ke penjara.

Agensi berita ANSA melaporkan, Walid Chaabani, 32, melarikan diri dari rumah tempat dia menjalani hukuman itu di Livorno bagi tuduhan membabitkan dadah, Selasa lalu.


Tindakan lelaki berkenaan membuatkan polis menangkapnya.

Berbanding merayu untuk dimaafkan, Walid sebaliknya merayu supaya dihantar ke penjara.


"Rupanya dia tidak tahan hidup bersama isterinya kerana bosan bergaduh setiap hari," menurut jurucakap polis dalam satu kenyataan yang dibuat, semalam.


Permohonannya itu diluluskan mahkamah tempatan yang memerintahkannya terus dimasukkan ke penjara.

Lelaki berbangsa Tunisia berkenaan kini sedang menjalani hukumannya di sebuah penjara daerah di Tuscany.


Awal tahun lalu, seorang lelaki di New Zealand yang menjalani hukuman penahanan dalam rumah juga meminta dibawa ke penjara kerana muak dengan Xbox miliknya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Padah tuduh artis berzina tanpa bukti

Posted: 03 Jan 2014 10:56 AM PST

Riyadh: Mahkamah di Arab Saudi memerintahkan seorang lelaki dipenjara tiga bulan dan disebat 80 kali selepas memfitnah penyanyi Kuwait sebagai penzina di Twitter tanpa bukti sahih.

Warga tempatan itu juga didenda 10,000 rial (RM8,757) kerana mendakwa penyanyi berkenaan, Shams, berzina tanpa menyertakan sebarang bukti, lapor laman berita Sabq memetik keputusan mahkamah, semalam.


Keputusan itu dibuat berdasarkan hukum syariah supaya mereka yang membuat tuduhan zina tanpa bukti dikenakan hukum sebat.

Shams memfailkan saman malu terhadap pemilik akaun Twitter 'the lawyer of Queen Ahlam' (peguam Queen Ahlam) penyanyi pop yang juga saingan Shams di negara Teluk itu.


Lelaki terbabit turut memuat naik gambar yang dipalsukan menunjukkan penyanyi berkenaan dalam keadaan yang dilapor Sabq sebagai tidak sopan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Lima didakwa samun 945g emas milik pengemis

Posted: 03 Jan 2014 10:55 AM PST

Hanoi: Pihak polis semalam mendakwa lima orang atas tuduhan mencuri hampir satu kilogram emas daripada seorang pengemis gelandangan berusia 86 tahun.

Jurucakap Jabatan Polis Wilayah Dong Thap, Thai Thi My berkata, lima suspek itu didakwa kelmarin atas tuduhan menyamun.


Menurutnya, kejadian berlaku pada 21 Disember lalu apabila lima sekawan itu mengambil kesempatan merompak mangsa yang tidur di pasar di bandar Tram Chim.

Katanya, mereka memeriksa mangsa dan menyamun 945 gram emas bernilai hampir AS$42,000 (RM138,020) dan wang tunai berjumlah 29 juta dong (RM4,599).


Lima suspek itu ditahan kerana disyaki melakukan rompakan sehari kemudian sebelum 170 gram emas dan 29 juta dong dirampas daripada mereka.


Menurutnya, pengemis terbabit meninggalkan rumahnya selepas bergaduh dengan ahli keluarganya.

Dia hidup mengemis di beberapa tempat di wilayah itu dan menggunakan wang diperolehnya untuk membeli emas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Pekerja malas dapat pampasan

Posted: 03 Jan 2014 10:55 AM PST

Auckland: Seorang lelaki yang dipecat kerana dituduh membuat ruang khas untuk tidur di siling pejabatnya memenangi saman ke atas majikannya semalam.

Francis Hudson memfailkan aduan kepada Lembaga Hal Ehwal Pekerjaan selepas dipecat daripada syarikat Japanese Spares Ltd (JSL) selepas 19 bulan bekerja di situ. Bekas pengurusnya Shameem Khan berkata, Hudson membuat ruang tidur di siling tingkat tiga pejabat itu yang juga berbahaya kerana boleh mengakibatkan struktur itu runtuh.


Bagaimanapun, JSL diarahkan membayar pampasan NZ$1,795 (RM4,884) kerana didapati tidak menegur perbuatan Hudson, menyebabkan pemecatannya dianggap dibuat tanpa sebab. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Gabenor berbasikal ke pejabat

Posted: 03 Jan 2014 10:54 AM PST

Jakarta: Sesuai dengan arahan yang dikeluarkan kepada penjawat awam setempat, Gabenor Jakarta Joko Widodo (Jokowi) tidak menggunakan kenderaan rasmi ke pejabat semalam. Sebaliknya Jokowi menunggang basikal dari kediaman rasminya ke pejabat.

Jokowi dilihat memakai jersi bola sepak kelab Jakarta, Persija dengan namanya turut tertera di belakang jersi itu ketika berbasikal. Sebanyak 20 ahli kelab Bike to Work menemaninya ke pejabatnya. Menurut Jokowi, kesedaran untuk tidak menggunakan kenderaan rasmi perlu diterapkan mulai sekarang. Pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada tindakan itu. Bagaimanapun, bukan hanya Jokowi, tetapi beberapa pemimpin juga mulai memupuk kesedaran untuk menggunakan kenderaan sendiri seperti Datuk Bandar Jakarta Selatan, Syamsudin Noor, Gabenor Pemukiman, Syahrul Efendi dan Setiausaha Pejabat Daerah Jakarta, Sarwo Handayani yang turut berbasikal ke tempat kerja. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Swastika dalam masjid

Posted: 03 Jan 2014 10:53 AM PST

Stockholm: Polis Sweden memulakan siasatan kes jenayah kebencian selepas lambang swastika disembur menggunakan cat di pintu masuk sebuah masjid di Stockholm semalam.

Ketua Pertubuhan Islam Sweden Omar Mustafa berkata, perkara itu hanya disedari pekerja masjid ketika tiba di situ pada awal pagi Khamis.


Beliau turut memuat naik gambar grafiti berkenaan di akaun Twitter miliknya.

Omar berkata, masjid itu yang dibina pada 2000 menjadi sasaran vandalisme dan surat layang hampir dua kali seminggu.


"Namun kejadian kali ini adalah yang pertama menggunakan lambang swastika," katanya.


Sementara itu polis Stockholm berkata, unit jenayah kebenciannya sedang menyiasat kes itu, namun belum ada suspek yang ditahan.

Statistik Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan Sweden menunjukkan 5,500 jenayah kebencian dilaporkan pada 2012 dengan enam peratus daripadanya menyasarkan orang Islam. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

China buat pemeriksaan mengejut harta pegawai

Posted: 03 Jan 2014 10:52 AM PST

Beijing: China memulakan pemeriksaan mengejut terhadap aset dan maklumat peribadi lain dilaporkan pegawai Parti Komunis selain menghukum mereka mempunyai kekayaan tersembunyi.

Media kerajaan melaporkan, pengumuman dalaman itu tidak diisytiharkan kepada umum.


Kerajaan berdepan tekanan kian memuncak daripada rakyat untuk memperbaiki ketelusan maklumat berhubung kekayaan pegawainya berikutan beberapa skandal pegawai kanan yang memiliki kemewahan luar biasa.

Sistem pengisytiharan pendapatan dalaman parti itu dimulakan pada 1995 dengan setiap pegawai diwajibkan menyerahkan maklumat membabitkan pendapatan peribadi, aset keluarga dan rekod penghijrahan saudara-mara terdekat selama tiga tahun terakhir.


Tahun ini, jabatan organisasi dan kakitangan parti akan menjalankan pemeriksaan rawak terhadap maklumat yang diserahkan itu bagi memastikan benar dan lengkap, lapor agensi berita rasmi Xinhua, kelmarin.


Katanya, mereka juga akan meneliti pengisytiharan diserahkan pegawai yang bakal mendapat kenaikan pangkat.

Pengisytiharan rutin tahun ini akan diserahkan bulan ini. Pegawai yang gagal berbuat demikian mengikut tempoh ditetapkan atau mengemukakan maklumat palsu akan dihukum, termasuk dibuang kerja. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Hampir 6,000 maut sejak 2004

Posted: 03 Jan 2014 10:52 AM PST

Bangkok: Hampir 6,000 orang terbunuh dalam keganasan di sempadan selatan Thailand sejak pergolakan pemisah bermula pada 4 Januari 2004.

Menurut Operasi Keselamatan Dalam Negeri, secara keseluruhan seramai 5,926 orang terbunuh akibat keganasan membabitkan perbezaan fahaman terutamanya di wilayah Yala, Pattani, Narathiwat, Chana, Thepha, Saba Yoi dan Na Thawi di Songkhla.


"Daripada jumlah berkenaan, 3,461 membabitkan orang Islam manakala 2,431 beragama Buddha," katanya dalam satu kenyataan. Di samping itu, seramai 10,593 juga dilaporkan cedera. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

No comments:

Post a Comment