Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pheu Thai hasut rakyat berdemo

Posted: 25 Jan 2014 09:59 AM PST

Bangkok: Rakyat Thailand yang layak mengundi diajak menyertai protes antikerajaan yang dijadual diadakan hari ini untuk menunjukkan kesungguhan mereka menuntut perubahan melalui sistem demokrasi.

Jurucakap Parti Pheu Thai, Prompong Nopparit berkata, pembabitan mereka penting untuk membuktikan majoriti rakyat negara itu menolak perhimpunan berlanjutan dianjur Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) diketuai Suthep Thugsuban.


"Anda juga diseru untuk mengemukakan bantahan kepada polis supaya pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa saja yang menghalang anda melaksanakan hak mengundi seperti dijamin perlembagaan," katanya kepada media semalam.

Bangkok masih berdepan dengan kebuntuan politik apabila PDRC meneruskan protes di beberapa lokasi di bandar raya itu dalam usaha mereka menyingkirkan kerajaan pimpinan Yingluck Shinawatra.


Setakat ini polis dan tentera masih tidak mengambil sebarang tindakan ke atas penyokong pembangkang itu seperti diharapkan kerajaan.


Parti Pheu Thai adalah komponen utama membentuk kerajaan. Mengenai keputusan Mahkamah Perlembagaan kelmarin yang memberi kebenaran supaya pilihan raya umum ditunda, Prompong berkata, pasukan perundangan Parti Pheu Thai sedang membincangkan isu berkenaan.

Foto

ORANG ramai mengarak bendera Thailand di tengah Bangkok semalam.

"Tetapi setakat ini kami akan meneruskan cadangan pilihan raya pada 2 Februari ini," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Majalah terkemuka Perancis didenda RM6,668 kutuk masyarakat Cina

Posted: 25 Jan 2014 09:56 AM PST

Paris: Majalah terkemuka Perancis Le Point semalam didenda 1,500 euro (RM6,668) oleh mahkamah kerana menghina masyarakat Cina di negara itu sebagai kedekut, gila bekerja dan pandai mengelak membayar cukai.

Arahan itu dibuat berikutan aduan yang difailkan kumpulan antiperkauman SOS Racisme mengenai sebuah artikel yang diterbitkan pada 23 Ogos 2012 bertajuk "Kejayaan Licik Masyarakat Cina di Perancis." Ketua Le Point, Franz-Olivier Giesbert mempertahankan artikel itu sebagai tulisan berunsur berjenaka yang disalah tafsir. Kandungan fakta lain turut disiarkan bersama artikel itu dengan tajuk kecil "Lima Rukun Ahli Perniagaan Cina." Turut dimuatkan, laporan bertajuk "Kamu perlu bekerja 80 jam seminggu", "Kamu perlu tidur di kedai" dan "Kamu tidak perlu membayar cukai". Mahkamah berkata, tiga daripada fakta itu ialah palsu dan menolak hujah Giesbert bahawa artikel itu berunsur jenaka.


Peguam SOS Racisme, Alexandre Braun memberitahu media bahawa setakat ini, kes itu ialah yang pertama di Perancis.

Mahkamah turut mengarahkan Giesbert membayar RM6,668 kepada SOS Racisme sebagai ganti rugi dan jumlah yang sama untuk membiayai kos perbicaraan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

'Pelacur itu wira keluarga'

Posted: 25 Jan 2014 09:56 AM PST

Jakarta: Seorang pegawai daerah di Jawa Tengah membantah rancangan mana-mana pihak menutup rumah pelacuran kerana perbuatan itu dianggap tidak berperikemanusiaan.

Widya Kandi Susanti dari Kendal, Jawa Tengah berkata, di sebalik pelbagai tohmahan dan cercaan masyarakat, pelacur sebenarnya boleh diibaratkan sebagai 'heroin' dalam keluarga mereka. "Menutup rumah pelacuran hanya menimbulkan masalah seperti kemiskinan dan menyebarkan wabak seksual.


"Kita boleh menutup rumah pelacuran dengan mudah, tetapi pada masa sama perlu memikirkan alternatif lain untuk pekerja di situ menyara kehidupan," katanya.

Widya berkata, pihaknya menawarkan kursus jahitan kepada pelacur di Kendal agar mereka dapat memperoleh wang melalui kemahiran baru itu.


Bagaimanapun, kata Widya, selepas beberapa bulan biasanya wanita terbabit akan kembali memperdagangkan diri mereka. "Wanita terbabit melacur kerana sukar meraih wang yang memuaskan melalui pekerjaan baru itu berbanding menawarkan khidmat seks.


"Sebagai pelacur mereka kadang-kadang boleh mendapat sehingga lima pelanggan sehari," katanya.

Menurut Widya, disebabkan keadaan sosial yang sudah berubah di Kendal - terutama dengan isu pelacuran yang melanda daerah itu - slogan "Kendal Suci" sudah tidak lagi bersesuaian untuk digunakan.


"Di Kendal ada banyak kompleks pelacuran yang besar dan penggunaan dadah juga kian berleluasa.

"Justeru tidak sesuai untuk menggunakan slogan seperti itu lagi," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Dua dipenjara angkara Twitter

Posted: 25 Jan 2014 09:55 AM PST

London: Dua individu yang menghantar mesej ancaman kepada aktivis wanita Caroline Criado-Perez melalui Twitter semalam dijatuhi hukuman penjara.

Isabella Sorley, 23, dari Newcastle-upon-Tyne dipenjara 12 minggu, manakala John Nimmo, 25, dari selatan Shields dipenjara lapan minggu.


Caroline berkata, dia berasa lega selepas hakim menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap kedua-dua tertuduh.

Mesej itu diterimanya Julai tahun lalu selepas dia mengetuai kempen di media sosial agar tokoh wanita ditampilkan pada not kertas Bank of England. Nimmo turut menyasarkan Ahli Parlimen Parti Buruh, Stella Creasy yang juga tokoh berprofil tinggi yang menyokong kempen berkenaan.


Mahkamah diberitahu satu daripada mesej di Twitter itu berbunyi: "Pergi mati kamu. Pergi bunuh diri." Isabella dituduh menghantar mesej yang berbunyi: "Saya baru keluar dari penjara dan gembira untuk menanam kamu!" Hakim Howard Riddle berkata, kedua-dua mangsa hidup dalam ketakutan selepas menerima mesej berkenaan. Caroline dikatakan ketakutan setiap kali loceng rumahnya berbunyi, manakala Stella memasang butang kecemasan di kediamannya sejak mendapat mesej ugutan itu. Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Isabella, individu lepasan universiti turut disabitkan dengan 25 pertuduhan sebelum ini terutama kesalahan mabuk dan salah laku. Ketika diikat jamin untuk kes itu, dia juga melakukan dua kesalahan menyerang anggota polis.


Bagaimanapun, peguamnya Sean Caulfield berkata, anak guamnya itu menjadi mangsa kepada teknologi baru kerana Isabella dikatakan tidak memahami kesan perbuatannya terhadap orang lain. Isabella dikatakan menghantar mesej dengan tujuan untuk berseronok. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Hollande buat 'pusingan U'

Posted: 25 Jan 2014 09:54 AM PST

Paris: Selepas digegarkan dengan laporan media, Presiden Perancis Francois Hollande dikatakan bakal mengakhiri hubungan sulitnya dengan aktres Julie Gayet dan membuat pusingan U supaya dapat kembali kepada pasangannya sejak 10 tahun lalu, Valerie Trierweiler.

Jika Hollande benar-benar 'insaf' dan kembali kepada Valerie, Wanita Pertama Perancis itu mungkin berpeluang mengiringi presiden berkenaan melawat Washington bulan depan. Sumber berkata, Hollande sedang mengalah. Sebelum ini hubungan Hollande - Valerie retak selepas sebuah majalah mendedahkan bagaimana Presiden Perancis itu menjalin cinta dengan Julie, 41.


Hollande dilaporkan menyelinap keluar dari rumahnya pada waktu dengan memandu skuter untuk bertemu Julie. Pendedahan itu menyebabkan Valerie mendapatkan rawatan di hospital. Hollande dan Julie menjalin hubungan asmara selama dua tahun tetapi masing-masing menafikannya sebelum ini.

Seorang rakan Hollande berkata, Valerie berazam untuk memperbaiki hubungannya dengan Hollande dan begitu juga dengan presiden terbabit.


Majalah Closer pula mendedahkan bahawa Valerie belum bersedia untuk menyerahkan statusnya sebagai wanita pertama Perancis kepada orang lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Pelakon ditemui mati tergantung

Posted: 25 Jan 2014 09:54 AM PST

Pretoria: Pelakon Afrika Selatan Nico Liebenberg, 59, ditemui mati tergantung di pokok berhampiran kediamannya di utara bandar raya ini minggu lalu.

Menurut laman iol.co.za semalam, pasangan Liebenberg, Riana Jacobsz berkata, tiada apa yang aneh berlaku ketika aktor terbabit keluar berbasikal.


Katanya, Liebenberg juga singgah di kedai untuk membeli barang.

Bagaimanapun, Liebenberg tidak pulang hingga jam 7 malam mendorong Riana untuk membuat laporan polis. Laman berita naji.com melaporkan seorang lelaki yang membawa anjingnya bersiar-siar menemui mayat Liebenberg tergantung di pokok Ahad minggu lalu.


Liebenberg terkenal menerusi watak yang dilakonkan dalam siri televisyen Konings. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Letak mayat dalam beg besar sebelum buang

Posted: 25 Jan 2014 09:53 AM PST

London: Seorang wanita dicekik hingga mati sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam beg pakaian dan dibuang di utara London.

Mayat Alexandra Kovacs yang dibunuh pada 17 Julai tahun lalu itu ditemui polis beberapa hari kemudian selepas rakannya membuat laporan mengenai kehilangannya.


Sehubungan dengan itu, seorang lelaki rakyat Hungary, Laszlo Gyarmati semalam dijatuhi hukuman penjara 17 tahun kerana bersalah membunuh Alexandra.

Gyarmati dan Alexandra , berasal dari Hungary, berkenalan beberapa bulan sebelum dibunuh selepas kemereka menginap di blok pangsapuri yang sama.


Pada 17 Julai tahun lalu, kedua-duanya pergi ke sebuah restoran makanan segera sebelum pulang ke apartmen Alexandra jam 11 malam. Pada jam 3 pagi, beberapa jiran mendengar suara jeritan perempuan meminta tolong. Menurut mahkamah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Gyarmati meninggalkan kediaman Alexandra dengan sebuah beg pakaian besar jam 7.30 pagi.


Alexandra dilaporkan hilang oleh rakannya pada 20 Julai dan keesokan harinya, polis menemui mayatnya berhampiran semak di Thornfield Avenue, Mill Hill.

Pegawai polis yang menyiasat kes itu, Nicola Wall berkata, Alexandra mengenali Gyarmati dan gembira dapat keluar bersama lelaki itu pada malam kejadian.


"Alexandra wanita muda yang baru membina kehidupan ketika dibunuh tertuduh.

"Dia bekerja keras menghantar wang pulang kepada keluarganya di Hungary," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Pengedar dadah, ahli sihir berdepan hukuman mati

Posted: 25 Jan 2014 09:52 AM PST

Jakarta: Di sebalik usaha kerajaan memberikan bantuan perundangan kepada warga Indonesia yang didakwa melakukan jenayah, Kementerian Luar merekodkan 236 orang masih berdepan hukuman mati di negara asing.

Kenyataan kementerian itu menyebut, kebanyakan individu terbabit berdepan tuduhan mengedar dadah, membunuh dan zina.


Secara pecahan, kata kementerian itu, majoriti warga Indonesia yang berdepan hukuman mati di Malaysia membabitkan tuduhan dadah.

"Di Arab Saudi pula, 25 peratus daripada keseluruhan tertuduh didakwa terbabit dalam kesalahan membunuh, berzina dan menggunakan sihir," kata kenyataan itu. Suspek pengedar dadah warga Indonesia turut berdepan hukuman maut di China, manakala selebihnya berada di negara lain seperti Singapura, Emiriah Arab Bersatu dan Iran.


Pengarah Bantuan Perundangan Kementerian Luar, Tatang Budie Utama Razak berkata, sejak 2011 kira-kira 165 warga Indonesia terlepas hukuman mati dengan sesetengahnya dibebaskan langsung daripada semua tuduhan.


"Ia adalah hasil usaha gigih semua pihak, termasuk presiden dan kakitangan di semua kedutaan terbabit," katanya. Sementara itu, sumber berkata, sesetengah suspek - seperti di Arab Saudi - yang dituduh berzina sebenarnya adalah mangsa rogol, tetapi menghadapi pertuduhan berbeza.

"Namun kebanyakan mereka didakwa di mahkamah kerana menjalin hubungan sulit," katanya. Di Arab Saudi, katanya, dianggarkan 7,000 bayi dilahirkan hasil insiden seumpama itu.


"Identiti bapa kanak-kanak itu tidak jelas dan keadaan ini membimbangkan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Arakan mati dahan pokok timpa sangkar

Posted: 25 Jan 2014 09:52 AM PST

Manila: Seekor helang yang diancam kepupusan mati semalam selepas sebatang dahan pokok patah dan menghempap sangkarnya.

Yayasan Helang Filipina menyatakan, burung diberi nama Arakan itu adalah satu daripada 250 ekor helang yang ada di pusat pemuliharaan itu. Yayasan itu berkata, hujan berterusan selama beberapa hari menyebabkan sebatang dahan besar patah dan menimpa kurungan Arakan pada 18 Januari lalu. "Sejumlah pokok ditanam di pusat pemuliharaan ini kerana kami mahu menghidupkan suasana persekitaran semula jadi untuk helang berkenaan," kata yayasan itu. Turut dikenali sebagai Helang Pemakan Monyet, ia adalah antara burung pemangsa terbesar di dunia dan sangat diancam kepupusan, sekali gus menjadi spesies yang cukup dilindungi. Spessies helang berkenaan hanya boleh dikesan di empat pulau utama Filipina.


Helang berkenaan juga boleh membesar sehingga satu meter dengan panjang bukaan sayap mencecah dua meter. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

Penasihat harta lari selepas hina Singapura

Posted: 25 Jan 2014 09:51 AM PST

Singapura: Seorang penasihat harta warga Britain yang mencetuskan kemarahan penduduk setempat kerana menghina penduduk Singapura "memilih jalan sendiri" daripada majikannya, kata firma berkenaan semalam.

Anton Casey yang mengahwini bekas ratu cantik Singapura dilaporkan sudah pergi ke Australia, tetapi tidak dapat dipastikan apa rancangan masa depannya.


Casey, 39, memiliki status penduduk tetap Singapura mendakwa menerima ancaman bunuh selepas menggelar pengguna sistem pengangkutan awam negara itu "rakyat miskin." Memandu kereta Porsche, Casey berkata, dia dan keluarganya pergi ke Australia ekoran "ancaman terhadap keluarganya" dan meminta maaf atas keceluparan sebelum ini.

Syarikat Crossinvest (Asia) Pte Ltd semalam berkata, komen dibuat Casey bercanggah dengan nilai korporat dan kekeluargaan serta sikap saling menghormati diamalkan syarikat itu. "Justeru Crossinvest Asia dan Casey memilih jalan sendiri secara serta-merta," kata agensi itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

No comments:

Post a Comment