Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Nicol layak ke final

Posted: 24 Jan 2014 11:24 AM PST

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David mara ke final Kejohanan Juara-Juara 2014 di New York, Amerika Syarikat.

Menurut laman web kejohanan, Nicol mengalahkan pilihan keempat Alison Waters dari England 11-8, 11-8, 12-10 dalam masa 46 minit.


Nicol yang mengalahkan rakan senegara Low Wee Wern di suku akhir pada Khamis, akan menentang rakan Alison, Laura Massaro.

Laura yang juga pemain nombor dua dunia dan pilihan kedua mara ke final selepas mengalahkan pilihan kelima Camille Serme dari Perancis 11-5, 3-11, 11-6, 11-9 dalam masa 62 minit. - BERNAMA

Foto

Datuk Nicol Ann David (kiri).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Pellegrini tetap waspada

Posted: 24 Jan 2014 11:01 AM PST

London: Manchester City akan bertemu kelab Liga Kejuaraan, Watford pada pusingan keempat Piala FA malam ini ketika usaha mereka memburu empat kejuaraan masih terbuka.

Tiada mana-mana kelab dalam sejarah pernah memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga dan Piala Liga-Juara-Juara serentak dalam satu musim meskipun Manchester United hampir melakukannya pada 1999 dengan tiga kejuaraan tetapi gagal memenangi Piala Liga.


City yang sudah menempah tiket final Piala Liga selepas menewaskan West Ham secara agregat 9-0, hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara, bakal bertemu Barcelona pada saingan kalah mati itu.

Mereka sudah menjaringkan lebih 100 gol dalam semua pertandingan musim ini tetapi jika terus mempamer aksi mantap, City berpeluang untuk melakar sejarah baru.


Berbanding bekas pengendali Roberto Mancini yang sering terbabit dengan kontroversi, Manuel Pellegrini pula lebih bersikap enggan menonjolkan diri dan beliau gembira dengan persembahan anak buahnya.


Pellegrini berkata, pasukannya tidak akan terbawa-bawa dengan beberapa keputusan positif yang memihak kepada mereka sebelum ini.

"Saya gembira kami masih bersaing dalam empat pertandingan.


"Kami tidak mahu memikirkan sangat usaha memenangi semua empat pertandingan itu. Kami hanya mahu menang setiap perlawanan," katanya.

Pengurus Watford, Beppe Sannino dari Itali pula berkata: "Di sini anda ada Piala FA tapi di Itali kami menamakannya Coppa Italia.


"Perbezaannya ialah di Itali sejak bermula saingan anda sudah tahu nasib anda. Lapan pasukan terbaik akan terus melangkah ke pusingan kedua dan biasanya pasukan yang kuat akan beraksi di tempat sendiri." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Elphick gembira Suarez kekal di Anfield

Posted: 24 Jan 2014 11:01 AM PST

London: Kapten Bournemouth dan penyokong setia Liverpool ketika zaman kanak-kanak, Tommy Elphick gembira dengan keputusan Luis Suarez kekal di Anfield pada musim panas lalu dan berharap dapat bertemu penyerang Uruguay itu apabila kedua-dua kelab bertemu pada pusingan keempat Piala FA, malam ini.

Suarez menarik minat beberapa kelab sebelum ini dengan kebanyakannya dari Liga Perdana Inggeris walaupun dia sedang menjalani hukuman penggantungan 10 perlawanan kerana menggigit lengan pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic.


Namun bekas pemain Ajax itu masih kekal di Liverpool dan sejak memenuhi hukuman penggantungan, dia sudah meledak 22 gol sepanjang 19 perlawanan sekali gus menyaksikan anak buah Brendan Rodgers terus bersaing sengit dalam saingan liga.

Elphick sedar betapa bagusnya Suarez tetapi mendedahkan dia lebih rela menjaga idolanya itu berbanding menyaksikan penggempur utama Reds itu sekadar memanaskan bangku simpanan di Stadium Goldsands.


Dengan rekod jaringan Suarez ketika ini, Elphick melabelkan pemain itu antara tiga pemain terbaik di dunia.


Ditanya pandangannya mengenai keputusan Suarez untuk kekal bersama Liverpool, Elphick berkata: "Bukan saja untuk Liverpool tapi untuk bola sepak Inggeris juga.

"Dia membuktikan mengapa Liga Perdana Inggeris adalah antara liga terbaik di dunia.


"Saya gembira jika dia bermain tapi kecewa jika dia sekadar berada di bangku simpanan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Sambar Salah

Posted: 24 Jan 2014 11:00 AM PST

London: Chelsea mendedahkan mereka dijangka memenangi perebutan mendapatkan khidmat pemain sayap Mesir, Mohamed Salah dari FC Basel dalam satu usaha yang mampu mempercepatkan pemergian Juan Mata ke Manchester United.

Pengurus Blues, Jose Mourinho menjadikan Salah sasaran utamanya menggantikan perancang tengah Sepanyol, Mata yang dijangka menyertai United dan beliau semakin hampir berjaya memujuk pemain berusia 21 tahun itu berpindah ke London di sebalik minat mendalam ditunjukkan Liverpool.


Chelsea sudah bersetuju dengan bayaran perpindahan Salah bersama kelab Switzerland dan pemain Mesir itu yang menjaringkan 17 gol dalam 27 penampilan buat negaranya, akan melengkapkan perpindahan ke kelab Liga Perdana itu bergantung kepada persetujuan mengenai terma peribadi dan lulus pemeriksaan perubatan.

"Chelsea mengesahkan sudah bersetuju dengan FC Basel bagi perpindahan pemain tengah mereka Mohamed Salah," menurut satu kenyataan dalam laman web kelab itu, semalam.


Sekiranya perjanjian itu yang dilaporkan bernilai £10 juta (RM55 juta) dilengkapkan segera, Salah mungkin akan melakukan penampilan sulung pada pusingan keempat Piala FA menentang Stoke di Stamford Bridge, awal pagi Isnin ini.


Salah, yang dibandingkan sesetengah pihak setaraf dengan bintang Barcelona, Lionel Messi, akan menjadi pembelian ketiga Chelsea pada pintu perpindahan pemain bulan ini berikutan kehadiran Bertrand Traore dan Nemanja Matic.

Mourinho memutuskan untuk membeli Salah selepas kagum dengan persembahannya buat Basel dalam dua kemenangan ke atas Chelsea pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini.


Salah menjaringkan gol dalam tiga daripada empat pertemuan terakhir kelab Switzerland itu dengan Chelsea, satu gol dalam setiap perlawanan Liga Juara-Juara musim ini dan turut menyumbat gol pada separuh akhir kedua Liga Europa tahun lalu ketika Blues dikendalikan Rafael Benitez. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Anelka tolak pertuduhan FA

Posted: 24 Jan 2014 11:00 AM PST

London: Pemain bola sepak Perancis, Nicolas Anelka menolak tuduhan dia meraikan jaringan dengan membuat tabik hormat anti-Yahudi dan nekad untuk menentang dakwaan itu yang boleh menyaksikan dia digantung.

Anelka, 34, dikritik hebat kerana isyarat 'quenelle' yang dipopularkan pelawak Perancis, Dieudonne M'bala M'bala namun diterjemahkan pengkritik sebagai tabik Nazi.


Penyerang West Brom itu berkata, dia akan menentang pertuduhan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris yang memungkinkannya digantung lima perlawanan.

"West Brom mengesahkan Nicolas Anelka sudah menafikan pertuduhan FA berhubung isyarat dilakukannya selepas menjaringkan gol pertama menentang West Ham pada 28 Disember lalu. Dia meminta pendengaran kes secara peribadi," menurut satu kenyataan kelab.


Satu kenyataan ringkas FA mengesahkan penafian Anelka dan permintaan untuk mendengar kesnya namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai pendengaran kes itu.


Anelka menafikan dia bersikap perkauman atau anti-Yahudi namun penaja jersi West Brom, Zoopla, memutuskan tidak membaharui tajaan berikutan insiden itu.

Laporan di Britain menggambarkan penaja lain turut menimbangkan kedudukan mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

'Pemain tak tergugat'

Posted: 24 Jan 2014 10:59 AM PST

Madrid: Barcelona akan melupakan kemelut di luar gelanggang untuk kekal di puncak La Liga Sepanyol dengan rekod 59 pusingan berturut-turut apabila mereka menanti kunjungan Malaga, awal pagi Isnin ini.

Juara Sepanyol itu berdepan masalah minggu ini apabila presiden Sandro Rosell meletakkan jawatan awal pagi semalam selepas hakim mahkamah bersetuju mendengar kes mendakwanya kerana tuduhan salah laku penggunaan dana ketika membeli bintang Brazil, Neymar tahun lalu.


Bagaimanapun, jurulatih Gerardo Martino menafikan tanggapan kekecohan dalam kalangan lembaga pengarah kelab itu akan menggugat tumpuan pemainnya.

"Ia bukannya sesuatu yang menjejaskan pemain mahupun jurulatih," katanya.


Neymar tidak boleh diturunkan kerana dia masih memulihkan diri daripada kecederaan buku lali.


Ada berita baik buat kelab Catalunya itu pada pertengahan minggu apabila mereka hampir memastikan tempat ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol dengan kemenangan 4-1 ke atas Levante pada suku akhir pertama berikutan hatrik Cristian Tello.

Foto

MESSI tetap jadi harapan Martino.

Bintang sebenar perlawanan itu bagaimanapun adalah Lionel Messi yang kembali mempamerkan prestasi terbaiknya dengan tiga hantaran menjurus kepada gol Tello pada babak kedua.


"Dia boleh mengubah mana-mana perlawanan. Dia boleh menembusi mana-mana benteng pertahanan yang kuat sekalipun," jelas Martino.

"Dia tidak menjaringkan gol, tapi dia mencipta tiga gol dan dia bermain untuk pasukan." Ketika Barca turun padang di Nou Camp awal pagi Isnin ini mereka mungkin merudum ke tangga ketiga.


Dua keputusan seri berturut-turut buat pendahulu bersama Barcelona dan Atletico Madrid membolehkan Real Madrid merapatkan jurang kepada hanya satu mata. Real bertemu pasukan pertengahan Granada malam ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Masih ada peluang

Posted: 24 Jan 2014 10:58 AM PST

Milan: Napoli menanti kunjungan Chievo di San Paolo awal pagi esok dengan keyakinan kejuaraan Serie A masih boleh digapai sekalipun pendahulu Juventus menghuni singgahsana dengan selesa.

Juventus mendahului dengan lapan mata di depan pasukan tangga kedua AS Roma dan 12 mata berbanding Napoli dan akan menyaksikan mereka menjarakkan kedudukan berbanding Roma kepada 11 mata jika mereka menang ke atas Lazio awal pagi esok.


Bianconeri menang empat perlawanan terakhir di laman lawan di Lazio dan selepas 20 perlawanan musim ini, mereka kelihatan berada di landasan terbaik memenangi kejuaraan scudetto ketiga berturut-turut.

Pertahanan Napoli, Christian Maggio bagaimanapun tidak mahu mengaku kalah dan berharap anak buah Antonio Conte merosot dalam baki 18 perlawanan terakhir.


"Jurang 12 mata di belakang pendahulu adalah besar, tapi anda tidak boleh berkata tidak dalam bola sepak," jelas Maggio.


"Sudah tentu Juve kelihatan sukar digugat ketika ini, tapi kami boleh mengejar Roma... kami tidak boleh berputus asa."- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Falcao cetus resah Colombia

Posted: 24 Jan 2014 10:58 AM PST

Paris: Penyerang Monaco dari Colombia, Radamel Falcao perlu menjalani pembedahan di lutut kirinya selepas bertembung dengan seorang guru sekolah pasukan amatur pada perlawanan Piala Perancis Rabu lalu yang memungkinkan pemain bintang itu tidak boleh beraksi pada Piala Dunia.

Berita mengenai pembedahan pemain bintang itu disahkan dalam satu kenyataan dikeluarkan kelabnya semalam.


Ketika Monaco tidak menyatakan berapa lama mereka menjangkakan dia tidak boleh beraksi, kebimbangan mengenai pemain ternama itu mencetus kebingungan di negaranya Colombia.

Colombia diundi dalam Kumpulan C pada Piala Dunia bersama Ivory Coast, Greece dan Jepun.


Bekas doktor pasukan kebangsaan Perancis, Jean-Pierre Paclet membayangkan pemain berusia 27 tahun itu terpaksa berehat lama.


"Saya tidak mempunyai failnya, tapi jika ada pembedahan ligamen lutut koyak, mungkin dia perlu berehat enam bulan dan impiannya beraksi pada Piala Dunia berkubur." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Nadal lebur ego Federer

Posted: 24 Jan 2014 10:57 AM PST

Melbourne: Rafael Nadal membenam musuh utamanya Roger Federer 7-6 (7/4), 6-3, 6-3 semalam dengan satu persembahan mantap untuk mara ke final ketiga pada Terbuka Australia.

Pada malam yang berangin di Arena Rod Laver, juara 2009 itu meraih kemenangan keenam berturut-turut dalam acara Grand Slam ke atas bintang veteran Switzerland itu, mengejutkan lawannya dengan persembahan mengagumkan tanpa banyak kesilapan sekali gus menempah pertemuan dengan Stanislas Wawrinka.


Menguasai Federer pada tiebreak set pertama, pemain Sepanyol itu mematahkan servis lawannya dua kali untuk mengungguli set kedua dan memastikan 'break' penentu pada set ketiga pada kedudukan 3-3 apabila pukulan lawannya terkena jaring dan melantun jauh keluar.

Melakukan banyak pukulan 'winner' ke segenap gelanggang, Nadal meraih dua mata penamat ketika Federer melakukan servis untuk meneruskan saingan dan memastikannya pada peluang kedua apabila pukulan forehand pemain Switzerland itu jauh tersasar.


Nadal menggenggam penumbuknya dan berteriak meraikan kemenangan ketika Federer sayu meninggalkan gelanggang dengan lambaian tidak bermaya ke arah penonton.


"Saya fikir malam ini saya mempamerkan persembahan terbaik pada kejohanan ini, jadi saya terlalu gembira," kata pilihan utama itu yang terlepas aksi tahun lalu kerana kurang sihat.

"Sesudah terlepas aksi tahun lalu, bagi saya ini satu penampilan penuh emosi kembali ke gelanggang ini.


"Saya tidak pernah memikirkan mengenai gelaran ke-14, namun saya boleh janji akan mencuba yang terbaik," kata juara 13 acara Grand Slam itu mengenai prospek final esok. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

Li Na harap tuah final ketiga

Posted: 24 Jan 2014 10:56 AM PST

Melbourne: Memori terakhir Li Na pada final Terbuka Australia bukanlah sesuatu yang manis ketika dia bersedia menghadapi final ketiga di Melbourne Park menentang Dominika Cibulkova dari Slovakia hari ini.

Pada 2011 menentang Kim Clijsters, dia memenangi set pertama sebelum pemain Belgium itu bangkit meraih kejuaraan Grand Slam keempat dan terakhir kariernya. Perlawanan akhir tahun lalu lebih buruk buat bintang China itu.


Dia terseliuh buku lali dua kali, terjatuh dan terhentak kepalanya dengan teruk hingga doktor terpaksa melakukan pemeriksaan sebelum kecundang 6-4, 4-6, 3-6 kepada Victoria Azarenka.

"Saya amat berharap mampu menang kejuaraan ini kali ini," kata Li Na semalam apabila ditanya apa maknanya kemenangan buatnya selepas dua kegagalan sebelum ini. "Saya sering kali tidak sabar kembali bermain di sini. Saya fikir saya sudah bersedia." Pemain China berusia 31 tahun itu, yang muncul juara Grand Slam pertama Asia apabila dia memenangi Terbuka Perancis 2011, hampir tidak layak ke final apabila terpaksa bangkit mengatasi mata penamat pada pusingan ketiga menentang Lucie Safarova.


Li Na berkata, dia ditanya beberapa kali oleh jurulatih Carlos Rodriguez mengenai perlawanan itu, yang menjadi pemangkin kepadanya untuk lebih fokus sekali gus membantu mara ke final.


Pada ketinggian 160 sentimeter, Dominika adalah salah seorang pemain paling rendah dalam Jelajah WTA namun semuanya itu bukan halangan buatnya mengetepikan beberapa pemain ternama termasuk juara 2008, Maria Sharapova dan Agnieszka Radwanska.

"Tiada kena mengena dengan ketinggian anda. Sekalipun jika anda tinggi, ia tidak bermakna anda 100 peratus mampu bergelar juara," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/25

No comments:

Post a Comment