Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Aimar bagai 'magnet'

Posted: 11 Jan 2014 11:55 AM PST

Kuala Lumpur: Antara kemahiran teknikal dan nilai komersil, yang mana mampu menjadikan seseorang pemain import itu lebih dipandang sekali gus menjadi daya penarik peminat untuk hadir ke stadium?

Dalam aspek ini, pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dilihat berjaya mengeksploitasi faktor komersial itu dengan jayanya menerusi kehadiran bekas pemain Benfica dari Argentina, Pablo Aimar untuk saingan Liga Super musim 2014.


Ia bagai meneruskan tradisi pasukan itu yang membawa masuk Daniel Guiza - pemain Sepanyol yang turut menjulang trofi Euro 2008 - dilihat mengubah persepsi orang ramai mengenai kemampuan pasukan berkenaan dan akhirnya berjaya menduduki tangga ketiga Liga Super musim lalu.

Pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh menyifatkan apa yang dilakukan JDT sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan kesungguhan dan visi mereka untuk mengubah nasib pasukan meskipun membuat pelaburan yang besar.


"Kehadiran Pablo Aimar benar-benar menarik perhatian peminat bola sepak di Larkin (Stadium Tan Sri Hassan Yunos). Meskipun ia hanya perlawanan persahabatan, belum pernah ia dipenuhi penonton seperti perlawanan terbabit," katanya.


"Pemain seperti ini bukan saja mempunyai daya tarikan tersendiri, tetapi juga berkaliber." Jelasnya, apa yang dilakukan JDT juga pernah dilakukan Selangor satu ketika dulu yang membawa masuk Bambang Pamungkas serta Elie Aiboy dan ternyata turut menarik sokongan rakyat Indonesia meskipun situasi berlaku ketika itu sedikit berbeza.

Foto

AIMAR (tengah) diasak dua pemain Melaka pada perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Larkin.

Justeru, sudah tiba masanya pasukan negeri lain turut mengambil langkah berani untuk mengambil pemain berprofil tinggi demi menarik perhatian penonton dan bukan sekadar 'tangkap muat' saja.


"Ini bukan bermakna pemain seperti Marlon Alex James dan Juan Arostegui tidak bermain dengan baik, tetapi apakah pemain import yang dibawa masuk ini mempunyai daya tarikan untuk membawa penonton ke stadium," katanya.

"Aspek komersial seseorang pemain itu amat penting, tidak kiralah jika mereka sedikit berusia tetapi masih mampu menampilkan permainan yang baik dan membawa kejayaan kepada pasukan.


"Pada masa sama, setiap pasukan perlu mempunyai matlamat jelas apakah yang ingin dicapai dengan kehadiran pemain import masing-masing." Kata-kata beliau itu ada benarnya kerana bukan semua pemain yang dibawa masuk menepati kehendak pasukan. Ada di antara pemain terbabit didengar namanya pada awal musim tetapi kemudiannya terus lesap dari tumpuan media kerana gagal menyumbang sesuatu buat pasukan.


Menyedari aspek kewangan menjadi halangan banyak pasukan untuk berbuat demikian, beliau berpendapat mereka perlu berani mendapatkan pemain dihajati sebagai pelaburan kepada pasukan.


"Apa yang penting kita perlu mencari pemain berprofil dan mempunyai daya tarikan. Tidak perlu ramai, seorang pun sudah memadai untuk membuka mata ramai pihak untuk ke stadium," katanya yang berpendapat penonton pasti sanggup membayar lebih untuk menyaksikan pemain sehebat itu.


Secara tidak langsung kehadiran pemain import mampu meningkatkan mutu permainan pemain tempatan jika mereka memanfaatkannya.


"Bayangkan berlatih bersama pemain bintang setiap hari, secara tidak langsung gaya permainan mereka akan meningkat. Mungkin sukar jika memperbaiki diri dengan pemain mempunyai kekuatan dan tenaga, tetapi jika dengan pemain yang mempunyai kehebatan skil dan teknik, tidak mustahil kita mampu bermain sebaik mereka," katanya.


Mengenai pemain dari Asia Tenggara seperti Andik Vermansyah (Selangor) dan Kyaw Zayar Win (Perak) yang masing-masing berasal dari Indonesia dan Myanmar, Shebbie menjelaskan kehadiran mereka mungkin tidak memberi impak sehebat Aimar tetapi mampu menyumbang kepada misi pasukan.


"Secara tidak langsung, pengalaman bermain bersama pemain import lain turut memberi manfaat kepada pasukan negara pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

'Saya mahu trofi liga'

Posted: 11 Jan 2014 11:47 AM PST

Manchester: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini percaya pasukannya perlu mempamerkan aksi lebih bertenaga jika mahu merampas kembali gelaran Liga Perdana Inggers musim ini.

City berkunjung ke Newcastle malam ini dengan hasrat kembali ke puncak EPL, memandangkan pendahulu ketika ini Arsenal tidak akan bermain sehingga awal pagi Selasa.


Permainan mereka semakin meningkat berbanding awal musim yang menyaksikan mereka tewas kepada Cardiff, Aston Villa, Chelsea dan Sunderland di tempat lawan.

Kini mereka mengekalkan pencapaian sembilan perlawanan tanpa kalah dalam saingan EPL dan hanya kurang satu gol berbanding jumlah jaringan yang dikumpul mereka sepanjang musim lalu.


Begitupun, pengendali kelahiran Chile itu meminta anak buahnya meningkatkan kualiti permainan memandangkan buruan gelaran semakin hangat.


"Kami berada dalam situasi yang bagus tetapi masih di tengah musim, dengan empat atau lima pasukan masih mampu memberi cabaran" katanya.

"Saya harap pasukan dapat melakukannya dengan lebih baik. Adalah penting untuk memenangi gelaran dan bukannya membuat kesilapan dalam perlawanan penting.


"Itu sebabnya mengapa setiap perlawanan menjadi medan ujian bagi kami tidak kiralah dengan siapa kami bermain." Pellegrini berpendapat, kekuatan dimiliki City satu faktor penting untuk memburu kejuaraan.

Pesaing setempat City, Manchester United yang juga juara bertahan, ketinggalan 10 mata berbanding mereka dan 11 mata berbanding pendahulu tetapi Pellegrini tidak memandang rendah mereka dalam misi itu.


"Pesaing utama adalah pasukan yang semakin hampir. Arsenal di puncak, satu mata melebihi kami dan Chelsea ketinggalan satu mata tetapi kami pasti Manchester United bakal berjuang hingga ke akhirnya kerana mereka biasa melakukannya." "Liverpool dan Everton juga pasukan yang berjuang hingga saat akhir dan kedua-duanya bermain dengan baik jadi mungkin lima atau enam pasukan akan berjuang untuk merebut kejuaraan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Mignolet inspirasi Liverpool

Posted: 11 Jan 2014 11:46 AM PST

Liverpool: Brendan Rodgers berharap kejayaan Liverpool menewaskan Stoke pada perlawanan pertama mereka mampu diulangi di kubu Potters dalam misi memburu gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.

Liverpool yang satu ketika dahulu pernah menjadi raja bola sepak Inggeris, gagal meraih kejuaraan sejak 1990.


Bagaimanapun pengurus Liverpool, Rodgers menyaksikan petanda bahawa pasukannya mampu menampilkan kempen lebih cemerlang apabila penjaga gol baru Reds, Simon Mignolet menyelamatkan sepakan penalti saat akhir daripada pemain Stoke Jonathan Walters bagi memastikan kemenangan 1-0 di Anfield, Ogos lalu.

Liverpool kemudiannya menambah 11 lagi kemenangan dan menduduki tangga keempat liga, enam mata di belakang pendahulu, Arsenal dengan peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara.


"Anda lihat reaksi daripada kejayaan Simon menyelamatkan penalti. Saya fikir itulah permulaan pembentukan identiti pasukan, semangat dan kesepakatan," kata Rodgers.


"Itulah yang kekal bersama kami sehingga hari ini dan semakin lama semakin berkembang. Saya rasakan saban hari, kami semakin kuat sebagai satu pasukan." "Saya melihat pasukan ini di bilik persalinan sebelum perlawanan dan ikatan kami semakin utuh dengan lebih banyak kejayaan yang dimiliki. Jadi saya harap ia boleh diteruskan.

"Anda bekerja keras pada pramusim dan kami melalui pramusim yang hebat untuk mendapat keputusan bermakna pada perlawanan pertama, ia mampu melonjakkan pasukan. Saya fikir prestasi kami pada hari itu cukup bagus." Liverpool tidak pernah menang di Stadium Britannia Stadium dan kali terakhir mereka menang di Stoke adalah di stadium lama mereka Victoria Ground pada 1984.


"Sukar mendapatkan keputusan baik di sana dan rekod Liverpool di sana tidak begitu baik," kata Rodgers. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Ledakan Chamberlain

Posted: 11 Jan 2014 11:46 AM PST

London: Pertahanan Arsenal, Per Mertesacker yakin Alex Oxlade-Chamberlain mempunyai kualiti untuk memberi impak besar terhadap mana-mana pasukan di dunia.

Pemain England itu diketepikan selama lima bulan berikutan kecederaan lutut tetapi bermain selama 15 minit untuk skuad bawah-21 England malam Khamis lalu.


Pengurus Arsene Wenger berkata, pemain berusia 20 tahun itu berpeluang diturunkan dalam perlawanan menentang Aston Villa awal pagi Selasa ini dan Mertesacker tidak sabar menanti kepulangannya.

"Kami perlukan setiap pemain terutamanya Alex," katanya.


"Memang mengejutkan apabila dia tidak lagi diturunkan selepas perlawanan menentang Aston Villa.


"Selepas perlawanan itu, prestasi kami sebagai satu pasukan semakin meningkat tetapi kami perlukannya kerana kepantasan, hantaran dan tentu sekali penyudahnya mampu memberi impak. Dia mampu memberi impak untuk mana-mana pasukan di dunia jadi kami gembira dengan kepulangannya.

"Begitupun saya fikir dia perlukan masa untuk membiasakan diri dengan latihan dan menempuhi perlawanan tetapi saya gembira dia bermain selama 15 minit menentang Fulham. Ia satu langkah untuk kembali kepada kecergasan sepenuhnya.


Mertesacker berpuas hati dengan kedudukan Arsenal ketika ini dan memberitahu keseimbangan di antara pemain muda dan berpengalaman menjadi rahsia kejayaan mereka.

"Kehadiran pemain berpengalaman memang bagus tetapi kami perlu kekalkan tahap kecergasan kerana semakin berusia, semakin terdedah kepada kecederaan," katanya.


"Kami perlu lebih memberi tumpuan terhadap aspek kesihatan dan pemain muda berbakat tetapi saya berpendapat kami mempunyai gabungan dan keseimbangan yang tepat dan jika memberi tumpuan penuh, sudah pasti peluang kejuaraan sentiasa terbuka." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Isner rangkul Terbuka Auckland

Posted: 11 Jan 2014 11:46 AM PST

Auckland: Bintang tenis Amerika Syarikat, John Isner menyingkirkan pemain Taiwan Lu Yen-hsun dalam saingan straight set yang mencabar untuk menjuarai Terbuka Auckland semalam, melengkapkan persediaannya untuk Terbuka Australia minggu depan dengan penuh bergaya.

Pemain nombor 14 dunia itu menewaskan Lu 7-6 (7/4), 7-6 (9/7) untuk gelaran kelapan dalam kariernya dan kedua di Auckland.


"Ia satu-satunya gelaran yang saya menang di luar AS. Perasaannya sungguh menakjubkan, sudah pasti saya amat menghargainya," kata Isner.

"Saya akan melangkah ke Terbuka Australia dengan penuh keyakinan yang menurut sesetengah pemain sukar diperolehi.


"Saya adalah antara beberapa pemain yang akan melangkah ke sana dengan kemenangan, saya harap ia akan memihak saya." Pemain AS yang turut memenangi gelaran itu pada 2010 bergantung sepenuhnya terhadap servis pantas, yang merekodkan 23 ace.


Sementara itu di perlawanan akhir acara pertunjukan, kejohanan Klasik Kooyong, pemain Jepun Kei Nishikori yang disertai jurulatihnya Michael Chang muncul juara dengan kemenangan ke atas Tomas Berdych, 6-4, 7-5.

Aksi Nishikori, pilihan ke-16 Terbuka Australia diperhatikan bekas juara Terbuka Perancis, Chang di tempat duduk penonton.


Chang adalah juara tiga kali di Melbourne dari tahun 1995 hingga 1997. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Mampukah Messi pertahan

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Majlis Anugerah Ballon d'Or yang berlangsung di Zurich esok (Isnin) bakal menyaksikan persaingan di antara Cristiano Ronaldo, Franck Ribery dan Lionel Messi merebut anugerah berprestij itu.

Mampukah Messi mempertahankan gelaran itu atau jaringan Ronaldo mahupun koleksi kejayaan Ribery menarik perhatian juri?


CRISTIANO RONALDO

Ronaldo menjaringkan 55 gol buat Real Madrid pada 2013 di mana Getafe, Galatasaray dan Real Sociedad menjadi mangsa hatrik peledak dari Portugal selain dua gol ke atas Sevilla. Di peringkat antarabangsa, Ronaldo turut menjaringkan dua hatrik buat negaranya, hatrik kedua ke atas Sweden pada perlawanan kedua playoff negaranya menentang Sweden, memastikan tempat negaranya di Brazil.

Begitupun, dengan rekod luar biasanya, Real Madrid gagal meraih sebarang gelaran musim lalu. Tempat kedua di belakang Barcelona dalam La Liga, naib juara Piala Raja Sepanyol (yang dimenangi Atletico Madrid) dan tewas di separuh akhir Liga Juara-Juara kepada Borussia Dortmund, Ronaldo terpaksa berpuas hati dengan status penjaring terbanyak di peringkat Eropah.

Apa kata Ronaldo: "Adakah saya layak untuk menang. Saya berhak untuk menang Bola Emas setiap tahun. Saya mahu menang, tetapi ada kalanya anda menang dan ada kalanya sebaliknya. Itulah yang berlaku. Saya berada di podium selama enam tahun. Ia bukan satu kebetulan, ia menunjukkan konsistensi yang saya tunjukkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini."

FRANCK RIBERY

Permainan Ribery jauh lebih penting daripada jaringan gol tetapi pemain sayap Bayern Munich itu masih mampu menghasilkan 16 gol daripada 40 penampilan bersama kelab gergasi Bundesliga pada 2013 termasuk dua jaringan ke atas Borussia Monchengladbach untuk melengkapkan musim 2012/13 yang cemerlang.

Dia juga menggalas watak penting negaranya, Perancis apabila menjaringkan gol ke atas Georgia dan Finland pada kelayakan Piala Dunia selain dua jaringan dalam kemenangan mereka ke atas Belarus.

Secara peribadi, dia menjulang gelaran Bundesliga, Piala Jerman, Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia. Dia turut terpilih menjadi pemain terbaik Liga Juara-Juara, Piala Super dan pemain paling bernilai dalam Piala Kelab Dunia.

Apa kata Ribery: "Saya gembira. Gembira untuk diri sendiri, kelab dan keluarga. Jika saya menang atau tidak, saya gembira. Bagi saya, menjadi satu penghormatan disenarai pendek bersama Cristiano dan Messi. Saya menang segala-galanya bersama Bayern dan saya rasa, saya banyak membantu."

LIONEL MESSI

Biarpun berdepan kecederaan pada penghujung musim, Messi sebelum itu masih mampu mencatat rekod jaringan menakjubkan buat Barcelona dengan menjaringkan 37 gol dalam 36 penampilannya pada 2013.

Dia memulakan musim itu dengan penuh bergaya dengan empat gol ke atas Osasuna, Januari lalu dan menjaringkan dua hatrik ke atas Valencia dan Ajax.

Selepas Barcelona menyerahkan banyak gelaran pada 2012, Messi membantu skuad gergasi Catalan itu kembali ke puncak La Liga pada 2013 dengan merampasnya daripada Real Madrid untuk menjadi juara Sepanyol buat kali ke-22 dan yang keenam buat bintang Argentina itu.

Apa kata Messi: "Hakikatnya, saya fokus terhadap proses pemulihan sendiri dan tidak memikirkan mengenai perkara lain."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Masa depan Lotus terjamin!

Posted: 11 Jan 2014 11:44 AM PST

Britain: Ketua pasukan Lotus, Eric Boullier tegas mengatakan masa depan pasukan itu adalah selamat.

Lotus melahirkan keyakinan berkenaan walaupun mereka tidak akan menyertai ujian pramusim pertama tahun ini.


Keupayaan kewangan pasukan berkenaan sudah mula diperkatakan selepas Kimi Raikkonen mengambil keputusan untuk tidak lagi berlumba sebelum tamat musim lalu gara-gara tidak menerima bayaran.

Tetapi Boullier tetap tenang dengan berkata: "Tidak ada masalah di dalam pasukan kami. Lotus akan tetap berada di garisan permulaan perlumbaan musim ini dan begitulah juga untuk tahun-tahun berikutnya." "Anda akan tetap melihat kami, kami bukan saja satu-satunya pasukan yang tidak berada di Jerez (sesi ujian pramusim)," katanya.


"Saya tidak gentar dengan perkara itu.


"Sebulan lalu, kami sudah menyatakan bahawa saingan musim ini pasti sengit. Semua pasukan setuju dengan hakikat itu. Itulah keputusan yang kami ambil dengan tidak menyertai ujian pramusim.

"Memang benar jentera kami belum siap sepenuhnya, tetapi ia akan sedia tidak lama lagi - dalam sudut lain, ia bukanlah teruk sangat kerana kami boleh meninjau kekuatan pasukan lain sedangkan mereka tidak dapat berbuat begitu terhadap pasukan kami.


"Semua pihak perlu ingat, tahun ini perlumbaan bakal berlangsung dengan pelbagai perubahan. Justeru, semua pasukan berhati-hati dan mahu mengetahui kekuatan pasukan lain." Perlumbaan Formula Satu musim ini bakal menyaksikan banyak perubahan termasuk enjin yang digunakan semua pasukan.

Untuk saingan musim 2014, Lotus sudah mengikat pelumba Venezuela, Pastor Maldonado bagi menggantikan Raikkonen yang akan berlumba bersama Romain Grosjean.


Keputusan itu dibuat bagi mengukuhkan kewangan - Maldonado dipilih kerana pelumba itu mendapat sokongan syarikat minyak terkemuka Venezuela.


Walaupun terlepas ujian bakal berlangsung pada 28-31 Januari ini, Lotus hanya mempunyai lapan hari untuk menyiapkan jentera, empat hari bagi setiap pelumba menjelang perlumbaan pertama di Australia, 16 Mac nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

SAMB semakin membara

Posted: 11 Jan 2014 11:43 AM PST

Melaka: Kemenangan skuad bola sepak Syarikat Air Melaka (SAMB) 2-1 ke atas pasukan Liga Perdana, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam aksi persahabatan di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit baru-baru ini melegakan ketua jurulatih yang juga bekas penyerang kebangsaan, Ramli Junit dalam mengharungi Liga Kuala Lumpur musim ini.

Dua gol menerusi kapten pasukan Mohd Azuwad Arif dan Ahmad Khusaini Pie itu sudah cukup untuk menceritakan skuad terbabit yang kini bersedia untuk bersaing dalam liga berkenaan.


Ramli berkata, sentuhan pemain amat membanggakan berikutan mereka berjaya menundukkan pasukan berpengalaman dan meraih kemenangan mengejut terbabit.

"Kejayaan ini memberi inspirasi kepada saya dan pengurusan untuk terus membentuk formasi lebih tersusun menjelang Liga Kuala Lumpur. Saya sememangnya mengharapkan pasukan beraksi lebih baik pada Liga KL dalam misi menyertai liga FAM 2015 kelak," katanya.


Skuad bimbingan Ramli sebelum ini turut cemerlang selepas muncul juara liga Divisyen Satu Melaka United Soccer Association (MUSA) dengan menewaskan Hulubalang FC 5-0 baru-baru ini.


Kejayaan SAMB terbabit membolehkan skuad itu meraih wang tunai RM5,000 sebagai juara manakala Hulubalang, RM3,000.

Ramli berkata, sokongan padu pengurusan, kakitangan dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Khalid Nasir jelas meletakkan semangat tinggi pemain untuk menjulang nama pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Eddy janji aksi lebih mantap

Posted: 11 Jan 2014 11:43 AM PST

Seremban: Selepas gagal membantu Negeri Sembilan meraih kejayaan musim lalu, pemain sayap kanan, Eddy Helmi Manan menjanjikan aksi lebih mantap untuk membantu pasukan itu merangkul sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini selain kembali ke Liga Super musim 2015.

Biarpun menyedari bukan tugas mudah untuk merealisasikan impian berkenaan, pemain lincah berusia 34 tahun itu yakin ia bukan mustahil dicapai susulan perubahan besar dilakukan pengurusan pasukan termasuk mendapatkan khidmat empat pemain import.


Katanya, kehadiran Jean-Emmanuel Effa Owona dari Cameroon, Jozef Kaplan (Slovakia), Kim Jin Ryong (Korea Selatan) dan Jean Marc Alexandre (Haiti) mampu meletakkan kekuatan pasukan lebih baik berbanding musim lalu.

"Kehadiran tonggak berpengalaman tempatan seperti K Nanthakumar, V Kavichilvan, G Puaneswaran dan Sumardi Hajalan serta pemain sedia ada seperti Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd Fauzi Nan diyakini dapat membantu memastikan pasukan ini mampu memberikan saingan lebih baik dalam saingan Liga Perdana, Piala FA atau Piala Malaysia.


"Gabungan pemain import dan tempatan berpengalaman ini sudah pasti dapat memberi rangsangan, motivasi serta semangat baru kepada setiap pemain dalam mengharungi tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik," katanya semalam.


Menurutnya, biarpun dia mengakui cabaran kali ini dijangka lebih berliku berbanding musim lalu, tetapi melalui latihan serta strategi terbaik disusun ketua jurulatih V Sundramoorthy, kekuatan dan prestasi pasukan tampak lebih meyakinkan.

Bekas kapten Johor FC itu yang menjaringkan 35 gol sepanjang tempoh bersama pasukan itu dari 2001 hingga 2012 berkata, corak latihan dan taktikal baru yang diserapkan Sundramoorthy dilihat mampu melonjakkan prestasi pasukan.


Pemain kelahiran Pontian, Johor itu berkata, semua rakannya kini lebih yakin dengan prestasi masing-masing selepas hampir dua bulan mendapat bimbingan bekas pengendali LionsXII itu.

"Misi saya kali ini untuk memberikan sumbangan lebih baik dan memastikan Negeri Sembilan mampu menjulang kejuaraan Liga Perdana sekali gus mara ke Liga Super musim 2015," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

Awang import jadi tarikan

Posted: 11 Jan 2014 11:42 AM PST

Kuala Lumpur: Kehadiran sejumlah pemain import ke kancah bola sepak tempatan sejak beberapa musim lalu jelas sekali melonjakkan bilangan penonton ke stadium, malah senario sama masih boleh dijangka musim ini.

Apatah lagi pasukan Liga Super khususnya yang tampak lebih bersedia mengukuhkan skuad masing-masing musim ini demi melakar sejarah tersendiri.


Kehadiran pemain berstatus bintang seperti Pablo Aimar (Johor Darul Takzim), Mohd Shawky (Kelantan), Kyaw Zayar Win (Perak) dan Andik Vermansyah (Selangor) buat kali pertama di pentas liga tempatan pastinya menjadi magnet paling kuat untuk menarik kehadiran penonton ke stadium.

Pada masa sama tentunya peminat mahu menyaksikan sama ada bintang import sebelum ini seperti Marlon Alex James (ATM), Francis Forkey Doe (Kelantan), Matias Conti (Pahang) mahupun Patrick Ronaldinho Wleh (PKNS) terus mengganas, selepas dilihat mula serasi dengan rentak permainan bola sepak di negara ini.


Hakikat itu turut diakui Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram yang menjangkakan peningkatan penonton di hampir keseluruhan stadium terbabit musim ini.


Menurutnya, soal prestasi pasukan, selain kehadiran pemain import berstatus bintang turut mempengaruhi kehadiran penonton dan memastikan pelaburan yang dilakukan mereka 'balik modal'.

"Apa yang saya harapkan kehadiran pemain import seperti ini akan meningkatkan prestasi pasukan dan sekali gus menarik lebih ramai penonton ke stadium," katanya.


"Jika diikutkan sejak beberapa tahun ini pasukan seperti Johor Darul Takzim dan Kelantan mencatat peningkatan penonton ketara, begitu juga dengan Sarawak. Ini menunjukkan bola sepak negara terus mendapat perhatian." Jelas Sivasundaram, sudah pasti bagi mana-mana pasukan mengharapkan kehadiran pemain import ini mampu memberi pulangan lumayan jika mengambil kira jumlah kehadiran penonton, sekurang-kurangnya mampu menjana keuntungan 50 peratus.

Lebih-lebih lagi sekiranya pasukan terbabit mempamerkan prestasi membanggakan sepanjang musim.


Mengambil contoh Selangor pada edisi 2005, kehadiran Bambang Pamungkas dan Ellie Aiboy dilihat mampu menarik ramai penonton malah tidak mustahil Andik turut mampu mencetus impak serupa.


"Apatah lagi pada musim itu, Selangor menjulang tiga piala (Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA). Pada masa sama mereka berjaya mencatat kutipan RM4 juta yang menjadi kutipan tertinggi pada masa itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

No comments:

Post a Comment