Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Beri apa kami mahu'

Posted: 03 Jan 2014 01:37 PM PST

Kuala Lumpur: Itu harapan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail berhubung kesediaan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilihat kembali berlembut dengan badan induk itu susulan kegagalan di Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.

Ahmad berkata, beliau menyambut baik saranan Khairy untuk berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan itu menyatakan kesediaan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk bekerjasama dengan PSM bagi mewujudkan program khas bagi memastikan skuad negara memenangi emas di Sukan SEA pada 2017 di Malaysia nanti.


"Saya menyambut baik saranan Khairy untuk duduk berbincang. Saya bersyukur doa termakbul apabila Khairy terbuka hatinya untuk membantu sepak takraw tapi pertolongan ini bukan janji politik jika ingin melihat sukan bangsa kita, harus diingat bahawa sepak takraw sudah berjaya meletakkan titik kecil dalam peta dunia dari segi sukan hasil sumbangan Malaysia, kalau mahu berterusan pastikan betul. Banyak benda yang saya nak tegur, banyak benda yang kita tidak dapat.

"Antaranya elaun sekadar RM500 dengan makanan dan tempat tinggal diberi namun biarlah selesa buat pemain kita. Ini negara mereka, jangan merempat di tanah air. Rakyat Bangladesh dan Vietnam (di Malaysia) mendapat gaji lebih baik daripada atlet negara. Jadi saya minta makanan pastikan yang terbaik, sampai hari ini, makanan kantin di sini tidak boleh dimakan, jadi dengan duit RM500 inilah mereka membeli makanan tengah hari dan malam. Siapa yang ambil tahu? Menteri pernah datang periksa? Jadi jangan cakap anda buat kerja anda, saya buat kerja saya, sekarang biar kita duduk bersama berbincang," katanya di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat semalam.


Seramai 30 atlet sepak takraw negara tinggal dan menjalani latihan di Kompleks MSN Keramat.


"Kadang-kadang kami mahu mengadakan majlis pun tidak boleh disebabkan makanan. Terpulang kepada anda (MSN) untuk pastikan. Perlu seorang pakar nutrisi untuk menjaga menu pemain. Ini yang pemain saya perlu lalui jika saya terus berdiam. Jika tidak mendapat makanan yang betul bagaimana mereka hendak mendapat tenaga yang mencukupi. Jadi sebagai jalan keluar saya cadangkan peruntukan RM30 sehari kepada pemain diberikan terus kepada mereka, ini cabaran saya kerana ini juga duit rakyat," katanya.

Foto

SKUAD sepak takraw negara mahu KBS tunai janji bantu persatuan.

Malah Ahmad menggesa agar insentif yang lebih baik diberikan kerana situasi sekarang tidak memberi semangat kepada pemain untuk kekal dalam skuad negara dengan negara seperti Korea Selatan membayar USD5,000 (RM16,432) kepada pemain mereka.


Ahmad turut meminta segala keperluan yang diperlukan pihaknya seperti sains sukan dapat diberikan terutamanya dalam menghadapi Sukan Asia di Korea Selatan pada September ini.

"Beri apa yang saya mahu, jangan bagi alasan tidak cukup staf. Kalau anda (KBS, MSN dan Institut Sukan Negara) sudah bagi semua barulah anda ada hak untuk mengkritik saya. Jadi jangan kacau pengurus, jurulatih dan pemain saya, serang saya kerana saya rela menjadi 'punching bag' namun harus diingat saya boleh kembali membalasnya," katanya yang turut tidak memahami kenapa sukan berkenaan seolah-olah dijadikan kambing hitam dan dibuli sedemikian rupa.


Tambahnya, mengikut perancangan PSM selepas menukar pemain secara besar-besaran pada 2011, sasaran emas mereka adalah pada 2015 (Sukan SEA) bukannya pada 2014 (Sukan Asia) namun mereka tetap akan mencuba yang terbaik.


Ditanya mengenai kedudukan dua perunding Thailand, Prawet Intar dan Taweet Wongkaen, beliau berkata PSM tidak boleh menafikan sumbangan mereka walaupun tidak sampai pada tahap yang diharapkan namun kehadiran mereka tetap memberikan impak positif seperti membuka peluang untuk mengadakan aksi persahabatan dan penyertaan di Liga Thailand selain turut mengekalkan Mohd Zamry Fareed Moh Norden sebagai pengurus.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

'Dia masih romantis'

Posted: 03 Jan 2014 01:36 PM PST

Sifat tanggungjawab dan kesungguhan yang dipamer Jalaluddin Jaafar menjadi pencetus utama kepada Hazaifa Hazizan, 35, untuk menerima lamaran tonggak utama skuad Tok Gajah itu walaupun ketika itu, usia perkenalan mereka baru mencecah enam bulan.

Kini, selepas tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga bersama suami tersayang, lelaki itu masih lagi romantis dan janji setia yang dilafaz ketika kedua-duanya dilamun cinta, tetap utuh walaupun kerjaya selaku pemain bola sepak ada kalanya membataskan perhatian Jalaluddin terhadap keluarga.

"Saya mengenali dia (Jalaluddin) melalui seorang saudaranya yang ketika itu sama bekerja di Berjaya Tioman Resort, Pulau Tioman. Selepas mengenali hati dan budi masing-masing selama enam bulan akhirnya kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

"Sebelum itu saya tidak pernah ambil tahu mengenainya walaupun saya sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak Pahang. Saya hanya kenal Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Wan Ismail.

Foto

JALALUDDIN Jaafar

Foto

JALALUDDIN dan isteri, Hazaifa meluang­kan masa bersama anak mereka.

Foto

HAZAIFA (kanan) melayan anak-anaknya bila waktu terluang.


"Mungkin dia (Jalaluddin) kurang terkenal ketika itu menyebabkan saya kurang mengenalinya berbanding pemain lain," kata Hazaifa yang kini sedang mengandung anak ketiga.


Hazaifa yang lebih mesra dengan panggilan Ifa berkata, sebagai isteri dia bukan saja menjadi penyokong setia di luar padang tetapi juga turut memikul tugas sebagai penasihat dalam apa juga keadaan.

Menurutnya, ketika prestasi Jalaluddin sedikit terumbang-ambing, nasihat serta motivasi tetap diberikan olehnya setiap hari dalam usaha mengembalikan keyakinan suaminya itu yang ada kalanya tidak menentu terutama apabila pasukan Pahang tidak berada di kedudukan seperti yang dikehendaki.

Katanya, untuk menambahkan lagi semangat ketika beraksi bersama skuad Tok Gajah, dia dan anak-anak akan turut sama ke Stadium Darul Makmur bagi memberi sokongan.

Ifa berkata, apa yang paling ditakuti ialah apabila Jalaluddin dilanda kecederaan dan sebagai isteri, sudah tentu hatinya tidak senang selagi tidak melihat dan mendengar sendiri tahap kecederaan suaminya itu.

"Begitu juga ketika perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu. Hati saya berdebar dan cemas apabila melihat dia (Jalaluddin) terbaring diatas padang. Ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya apabila melihat dia terpaksa diusung keluar padang.

"Sebelum itu dia juga pernah ditimpa kecederaan namun saya bersyukur ia tidak begitu serius. Sebagai isteri, saya akan turut merawatnya di rumah selain menyediakan ais bagi mempercepatkan proses pemulihan.

"Saya bersyukur sepanjang pembabitannya di dalam bola sepak, dia (Jalaluddin) tidak pernah ditimpa kecederaan yang serius hingga memerlukan pembedahan atau rawatan panjang," katanya yang tinggal di perumahan Taman Guru, Kuantan.

Ifa berkata, ketika tidak beraksi, Jalaluddin lebih gemar menghabiskan masanya di rumah untuk melayan kerenah anak-anak dan ada ketikanya mereka sekeluarga keluar bersiar-siar di taman sambil menjamu selera.

Katanya, ketika di rumah Jalaluddin suka membantu aktiviti didapur sama ada mencuci pinggan mangkuk atau menyediakan susu untuk anak-anak selain menjadi tukang rasa masakan yang disediakan.

"Asam pedas ikan mayong dari Pulau Tioman adalah masakan paling digemari Jalaluddin dan lebih membuka seleranya apabila makan bersama keluarga di rumah.

"Apabila waktu terluang kami sekeluarga pulang ke kampung Jalaluddin di Felda Chini, Pekan atau kampung saya di Air Batang, Rompin sambil mandi laut dan menikmati keindahan pantai di situ," katanya.

Ditanya mengenai masa depan anak-anaknya, Ifa berkata, bakat bola sepak Jalaluddin kini tumpah kepada anak sulungnya mereka, Mohd Syahni Mirza yang sudah menunjukkan minat di dalam sukan berkenaan.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga lebih suka andai semua anak-anak mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran bagi menjamin masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

TRW, Selangor perlu lebih tenaga

Posted: 03 Jan 2014 01:25 PM PST

Kelana Jaya: Dua pasukan yang membawa cabaran negara ke Piala AFC tahun ini, Kelantan dan Selangor pasti memerlukan 'tenaga tambahan' untuk mengharungi jadual padat di peringkat domestik dan antarabangsa bermula Februari ini.

Sebaik bermula perlawanan pertama Piala AFC pada 25 dan 26 Februari, dua pasukan terbabit akan berdepan 14 perlawanan sehingga 23 April.

Perlawanan itu membabitkan lapan aksi Liga Super dan enam perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC, tidak termasuk saingan Piala FA.

Namun bagi Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah menganggap jadual padat itu tidak akan menjejaskan persembahan Kelantan dan Selangor dalam memberi saingan musim ini.


"Kami sudah mengambil kira dari awal (jadual perlawanan) bagi penyertaan pasukan ke Piala AFC. Saya kira perkara ini (jadual padat) tidak akan memberi masalah.


"Tambahan pula kali ini kami membenarkan pasukan menggunakan empat pemain import," katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.

Afandi yang mempengerusikan mesyuarat JKPT semalam turut mengesahkan semua pendaftaran pasukan dan pemain berjalan lancar selepas tarikh pendaftaran ditutup pada 17 Disember lalu.

Bagaimanapun dari aspek penggunaan stadium, Selangor bakal beraksi di sebelah petang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) sehingga Stadium Shah Alam siap dibaik pulih pada 1 Mac ini.

Menurut Afandi, Stadium MBPJ tidak melepasi had piawaian pencahayaan lampu 1,000 lux untuk pasukan beraksi di sebelah malam termasuk tiga lagi Stadium UiTM, Stadium Bandaraya Pulau Pinang dan Stadium Hang Jebat.

Tiga lagi stadium itu digunakan oleh pasukan Liga Perdana, UiTM FC, Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan KL DRB Hicom.

"Selangor yang menggunakan Stadium MBPJ akan beraksi di sebelah petang namun pihak pengurusan stadium itu sedang berusaha untuk menaiktaraf lampu. Kami akan membuat pemeriksaan lanjut dan jika menepati piawaian, mereka boleh bermain di sebelah malam," kata Afandi.

Saingan Liga M bermula 17 Januari ini dengan perlawanan pembuka tirai mempertemukan juara Piala Malaysia Pahang dan pemenang Liga Super Lions XII di Stadium Darulmakmur.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Selesai segera kemelut: Khairy

Posted: 03 Jan 2014 01:25 PM PST

Petaling Jaya: Kemelut dalaman Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang tampak semakin parah perlu diselesaikan segera!

Itu kenyataan tegas oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengarahkan agar PKBM dan Majlis Sukan Negara (MSN) duduk semeja bagi mengatasi masalah itu yang dilihat menjadi punca kepada kemerosotan prestasi pelumba acara lebuhraya di Sukan SEA Myanmar bulan lalu.

Khairy mengakui sedar pergeseran pelumba dengan pihak pengurusan persatuan itu yang mengakibatkan mereka sudah tidak berminat untuk mewakili negara.

"Itulah masalahnya, kita perlu selesaikan isu ini," katanya ketika ditanya mengenai isu terbabit.


Pada Sukan SEA lalu, berlakunya pergeseran antara pelumba lebuhraya dan pihak pengurusan dan pelumba lebuhraya negara sekadar meraih perak dalam acara berpasukan.


Tambah Khairy: "Saya berharap PKBM dan MSN boleh duduk semeja melihat isu ini, saya belum hubung dengan Datuk Abu Samah Wahab (Presiden PKBM) dan Datuk Naim Mohamad (Timbalan Presiden), tapi saya akan berhubung dengan mereka untuk selesaikan masalah dalaman itu.

Ketika ditanya mengenai post-mortem prestasi keseluruhan kontinjen negara di Sukan SEA Mynmar, beliau mengarahkan MSN dan Majis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mengadakan mesyuarat dua minggu lagi.

Khairy sebelum itu melancarkan Kempen Riuh Di Brazil anjuran Media Prima Berhad Sri Pentas Bandar Utama semalam.

Kempen itu diadakan khusus buat peminat bola sepak tanah air dengan pelbagai aktiviti dan program serta liputan meluas menjelang Piala Dunia Brazil sehingga kejohanan berprestij itu berakhir.

Pada majlis pelancaran itu, peminat berpeluang melihat dengan lebih dekat trofi Piala Dunia yang dibawa khas ke Malaysia menerusi siri Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA oleh Coca Cola.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

'Perkara dah jadi'

Posted: 03 Jan 2014 01:24 PM PST

Kelana Jaya: Selepas dipalit insiden hitam pemain terbabit dengan rasuah dan gejala mengatur perlawanan, Kuala Lumpur mahu membersihkan semula imej buruk itu.

Tiga pegawai dan lima pemain Kuala Lumpur dijatuhkan hukuman gantung seumur hidup dan denda RM20,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 20 Disember lalu manakala nasib tujuh lagi pemain bakal diketahui pada Selasa depan atas kesalahan yang sama.

Menurut Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (KLFA) Nokman Mustaffa, pihaknya bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memerhatikan setiap gerak geri pegawai dan pemain musim depan.

"Kes sudah berlaku dan pemain pasti takut untuk buat lagi (rasuah), kita ada Jawatankuasa Integriti untuk memantau pada musim akan datang. Kes ini sudah panas dan mungkin akan berhenti sementara tapi pada masa akan datang kita tidak tahu.


"Apa yang berlaku ini tidak menjejaskan persiapan kami untuk beraksi dalam Liga FAM musim depan, kami sudah memilih jurulatih dan pemain yang boleh melaksanakan misi untuk kembali ke saingan Liga Perdana," katanya yang turut menghadiri perbicaraan kedua kes rasuah pemain Kuala Lumpur semalam.


Tiga daripada tujuh pemain yang dipanggil membela diri semalam ialah J Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin dan Muhammad Syazwan Rani.

Menerusi hukuman yang diputuskan Jawatankuasa Tataterib FAM sebelum ini, jurulatih Kuala Lumpur dari Slovakia Stanislav Lieskovsky, Rosli Omar dan Shaari Jani (pegawai), Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie, Jeremy Matthew, Hafizi Roslee dan Mohd Fadhlullah Yunisar didapati bersalah kerana gagal mengemukakan pembelaan.

Menurut Nokman mereka sudah mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan persembahan pasukan itu sehingga mereka terhumban ke Liga FAM musim ini.

"SPRM sudah menyiasat kes ini pada awal Januari lalu, mereka hadir memantau pada setiap perlawanan. Kami sudah mahu membuang pemain yang disyaki pada pertengahan liga tapi demi untuk membantu siasatan, kami terpaksa membiarkan sehingga liga berakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Prestasi pasukan meningkat: Reduan

Posted: 03 Jan 2014 01:24 PM PST

Kangar: Jurulatih Reduan Abdullah percaya persiapan memantapkan pasukan menjelang saingan Liga M termasuk Piala FA kini berada di landasan tepat.

Bagi bekas pemain kebangsaan seangkatan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari itu, prestasi pasukan sudah menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding ketika di awal pembentukannya hampir sebulan lalu.

Beliau berkata, peningkatan itu adalah jelas terlihat bukan saja pada sesi latihan tetapi paling paling ketika turun dalam beberapa perlawanan persahabatan yang membabitkan pasukan dengan mengekalkan rekod bersih tanpa tewas dalam semua perlawanan.

"Jika di awalnya kita dapat lihat terdapat kelemahan dan kekurangan ketara di sana sini tetapi melalui sesi latihan dan beberapa aksi pemanas badan yang diadakan boleh dikatakan semua itu kini telah semakin berjaya di tangani.

"Jadi berdasarkan prestasi terkini kita percaya bahawa hanya sedikit masa lagi diperlukan bagi memastikan matlamat membentuk pasukan mantap yang mampu memberikan saingan kepada pencabar lain tercapai," katanya.

Bekas pengendali FELDA United FC dan MPPJ itu berkata, peningkatan itu dapat dilihat menerusi keupayaan gabungan pemain baru tempatan membentuk gandingan dan persefahaman dengan awang import hampir di semua bahagian utama.

"Paling ketara ialah jentera serangan yang menampilkan dua awang import, Dao Bakary dari Ivory Coast dan Gonzalo Garavano (Argentina).

Begitu juga dengan posisi pertahanan yang mempertaruhkan pemain Thailand, Wittawin Clowuttiwat manakala pemain Maghribi, Mourad Faris memantapkan posisi tengah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keupayaan pasukan itu dapat dilihat apabila berjaya mempamerkan persembahan baik ketika turun menentang skuad Liga Super T-Team yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikta, 1-1.

Beliau berkata, penyerang dari Argentina, Gonzalo Garavano yang sebelum ini berjaya meledak empat gol ketika pasukan membelasah Sungai Ara FC dari Pulau Pinang, 4-0 minggu lalu sekali lagi tampil dengan tindakan penyudah mantap apabila menjaringkan gol pasukan di babak pertama.

Sebelum ini dalam perlawanan pershabatan yang diharungi Perlis menewaskan Harimau Muda B, 1-0, Kuala Lumpur, 2-1 dan Sungai Ara FC, 2-0.

"Jadi, setakat ini saya tidak ragu-ragu andainya prestasi ini mampu di teruskan dan ditingkatkan lagi selepas ini, misi membentuk pasukan yang mampu memberikan cabaran pada kempen Liga M nanti tercapai," katanya.

Perlis bakal mengharungi dua lagi perlawanan persahabatan menentang Selangor PKNS (Sabtu) dan Sime Darby FC (Isnin), kedua-duanya di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Import pengaruhi liga

Posted: 03 Jan 2014 01:22 PM PST

Kota Bharu: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan corak permainan Liga M musim ini bakal dicorakkan oleh pemain import dan menyaksikan perbezaan apabila 12 pasukan yang bersaing dalam Liga Super memiliki kekuatan tersendiri.

Annuar berkata, 12 pasukan yang bakal bersaingan dalam Liga Super musim ini dilihat membawa masuk pemain import yang lebih berkualiti daripada musim lalu sekali gus akan merancakkan corak permainan.

Katanya, melihat keadaan itu, The Red Warriors (TRW) perlu menggandakan persediaan untuk menghadapi beberapa pasukan kuat yang bakal menjadi lawan hebat seperti, Johor Darul Takzim (DT), Terengganu, T-Team, ATM termasuk pasukan dari Liga Perdana, FELDA United.

"Kelantan akan memulakan Liga Super dengan menentang Sime Darby. Semua 12 pasukan sudah bawa masuk pemain import lebih berkualiti. Saya jangkakan liga kita akan dicorakkan pemain import.


"Boleh dikatakan 12 pasukan dalam Liga Super mempunyai kekuatan seimbang. beberapa pasukan seperti JDT, Terengganu, ATM, T-Team malah FELDA United juga," katanya semalam.


Berikutan itu, Annuar menekankan pemain supaya lebih bersedia dan menjalani latihan dengan bersungguh- sungguh bagi menghadapi cabaran lebih hebat pada musim 2014.

"Dua minggu terakhir ini adalah penting bagi Kelantan untuk memantapkan keserasian di kalangan pemain senior. Kita sudah atur perlawanan persahabatan dengan Perlis pada 6 Januari dan kelab dari Thailand dan selepas itu kita boleh katakan bersedia untuk perlawanan sebenar yang pertama.

Dalam perkembangan lain, TRW bakal melancarkan jersi baru bagi saingan 2014 pada 15 Januari ini.

Menurut Annuar, KAFA membuat ketetapan jersi Liga M dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia diberi kepada dua syarikat berasingan.

"Saya juga mahu maklumkan jersi musim baru dilancarkan 15 Januari ini. KAFA membuat ketetapan jersi AFC dan Liga M diberi kepada dua syarikat berasingan. Umbro kembali semula untuk jersi AFC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Sumbangan terakhir

Posted: 03 Jan 2014 01:22 PM PST

Bergelar atlet olahraga paling menyerlah di temasya Sukan SEA Myanmar dianggap sebagai pengiktirafan terbaik serta penutup karier paling bermakna buat atlet jarak sederhana negara, Mohd Jironi Riduan. Ketika Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berada di ambang kegagalan merealisasikan sasaran lima pingat, Jironi muncul sebagai atlet yang dilihat menyelamatkan maruah KOM apabila menyumbangkan dua emas sekali gus kejayaan cukup bermakna buat atlet itu sepanjang kariernya.

S: Apakah perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran anda selepas berjaya me­nyumbang dua emas pada temasya dwi tahunan itu?

J: Saya tidak fikir apa-apa dan langsung tidak menyangka dapat memenangi dua emas sebab saya tahu, saya tidak diletakkan sasaran untuk menang pingat emas berbanding peserta lain. Cuma apa yang terlintas di fikiran adalah perasaan syukur. Semuanya datang dari Allah dan rezeki memenangi emas itu adalah juga dari Allah.

S: Sejauh mana keyakinan anda untuk menyumbangkan emas kepada negara pada temasya itu?

J: Seminggu sebelum ke Myanmar, saya tidak meletak sebarang sasaran cuma apa yang saya fikirkan adalah hanya mahu melakukan yang terbaik. Tapi tidak dinafikan saya ada keinginan untuk menang emas agar dapat dijadikan sebagai kenangan selepas bersara. Jadi saya bertekad melakukan sedaya upaya yang termampu.

S: Nama anda kini pasti berada dalam lipatan sejarah Sukan SEA apabila diumumkan sebagai pemenang bersama dalam acara 1,500m yang sebelum ini tidak pernah berlaku, boleh anda komen mengenai perkara itu?

J: Macam ajaib. Itu satu perkara yang tidak diduga dan saya langsung tidak menyangka akan dapat emas menerusi 'foto finish'. Ia tidak pernah berlaku dalam Sukan SEA. Jika dapat perak pun tak mengapa itupun saya sudah gembira namun apabila diumumkan menang emas saya tidak mampu untuk berkata-kata selain mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi.

S: Ketika acara 800m berlangsung dan di babak awal perlumbaan, anda dilihat ketinggalan jauh daripada peserta lain dan seperti tidak mempunyai harapan untuk merang­kul pingat, tapi akhirnya pada baki 50m terakhir anda berjaya membuka langkah dan mula meninggalkan lawan. Bagaimana anda mendapat kekuatan untuk melakukannya?

J: Saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Tapi apa yang bermain di fikiran saya adalah saya perlu terus berlari dan berlari mengekalkan rentak larian. Saya cuba sedaya yang termampu selagi saya boleh dan tiba-tiba pelari dari Vietnam mula memperlahankan rentak dan saya mengambil kesempatan itu untuk terus berlari dan cuba memotongnya.

S: Selepas melepasi garisan penamat sebagai pemenang, apakah perkara pertama yang ingin anda lakukan?

J: Saya cuma fikir nak maklumkan perkara itu kepada keluarga. Saya mahu berkongsi perkara itu bersama mereka kerana merekalah yang sentiasa memberi sokongan untuk saya terus berlari. Tapi apa boleh buat, telefon tidak
dibenarkan untuk di bawa masuk cuma saya berharap, keluarga saya melihat saya
beraksi.

S: Siapakah yang menjadi tulang belakang kejayaan anda?

J: Pastinya keluarga dan jurulatih yang pernah membimbing saya. Saya bermula dengan A Trapadi pada 2005 sebelum bertukar-tukar jurulatih dan kini saya menamatkan karier bersama beliau.

S: Apa perancangan anda selepas me­ngumumkan untuk bersara daripada dunia olahraga?

J: Tahun ini saya akan memberi fokus kepada tugas sebagai guru dalam program pembangunan sukan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor Bahru. Kemudian saya akan beralih ke acara maraton. Tapi tidaklah secara mendadak kerana saya akan atur langkah demi langkah dalam acara itu.

Mungkin kejohanan pertama adalah KL Maraton.

S: Banyak ranjau yang terpaksa anda tempuhi termasuk pengalaman pingat anda pernah ditarik balik ketika Sukan SEA Indonesia 2011. Apakah nasihat anda kepada altet baru yang ingin mencipta nama dalam sukan ini?

J: Jangan pernah mengalah. Jika anda mempunyai keinginan tiada perkara yang mustahil. Cuma anda perlu berusaha lebih sedikit dan bijak membahagikan masa antara kerjaya ini dan kehidupan peribadi.

S: Selepas anda melakar kejayaan ini, pasti ramai yang menaruh minat atau ingin berkenalan, namun adakah hati anda sudah berpunya atau anda masih lagi mencari calon sesuai?

J: Saya sudah berpunya dan sudah pun merisik gadis pilihan saya bulan lalu dan jika diizinkan Allah, saya akan bertunang pada Jun ini dan Insya-Allah akan mendirikan rumah tangga pada 2015, doakan kebahagiaan saya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Liu Ying jumpa tabib

Posted: 03 Jan 2014 01:22 PM PST

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran ternama dunia, Goh Liu Ying berjumpa pakar perubatan tradisional untuk mengubati kecederaan lututnya.

Gandingan Chan Peng Soon itu yang mengalami kecederaan lutut bertambah parah ketika menyertai Grand Prix Final Sirkit Kebangsaan di Putrajaya minggu lalu itu dikatakan ke Kelantan, bertemu bomoh untuk mengelak daripada menjalani pembedahan membabitkan kecederaan 'miniscus' lutut kanan, dan juga membina semula tisu koyak pada ACL kedua-dua belah lututnya.

"Memang saya ke Kelantan, tapi bukan bertemu bomoh. Saya menjalani perubatan tradisional dan ini adalah antara usaha Presiden BAM (Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff) untuk membantu saya mengatasi masalah ini," kata Liu Ying yang mengakui dibawa Tengku Mahaleel sambil ditemani jurulatih beregu campuran, Jeremy Gan.

Liu Ying kini berada di ranking keenam dunia pernah berada di tahap tertinggi iaitu ketiga dunia dia tidak tahu di mana lokasi terbabit.


"Tiada apa yang dilakukan kerana dia (ahli perubatan tradisional) itu hanya memeriksa dengan memegang lutut saya. Saya juga berharap jika ada jalan lain tanpa perlu melakukan pembedahan, tidak salah untuk dicuba. Begitupun, saya akan terus berurusan dengan Institut Sukan Negara (ISN) untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka," kata Liu Ying lagi.


Kecederaan yang dialami Liu Ying itu adalah kecederaan berulang sejak 2008, namun bertambah buruk apabila dia dengan inisiatif sendiri melakukan ujian imbasan MRI di Hospital Pakar Damansara 30 Disember lalu.

Ujian itu mendapati dia mengalami kecederaan 'miniscus' lutut kanan yang bertambah serius sehingga disarankan menjalani pembedahan kecil segera. Dalam pada itu, dia juga dinasihatkan supaya melakukan pembedahan besar termasuk membabitkan ACL kedua-dua lututnya.

Tindakan membawa Liu Ying bertemu ahli perubatan tradisional ini nampaknya satu usaha terdesak dilakukan Mahaleel, terutamanya ketika skuad negara tidak bersedia menghadapi tahun 2014 tanpa kelibatnya.

Sepanjang tahun ini, kalendar sukan negara amat sibuk, apa lagi badminton yang akan memburu kejuaraan di Sukan Komanwel, Asia serta Piala Thomas.

Sekiranya Liu Ying menjalani pembedahan kecil, dia terpaksa direhatkan selama empat bulan namun jika menjalani pembedahan besar, dia terpaksa direhatkan sehingga lapan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

Bajet besar buat MHC

Posted: 03 Jan 2014 01:18 PM PST

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan terus menerima bantuan besar daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melaksanakan segala program termasuk kejohanan-kejohanan besar sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat menjanjikan adakah akan ada pertambahan peruntukan untuk skuad hoki negara pada tahun ini, mengambil kira kejayaan yang diraih skuad senior dan remaja sepanjang tahun lalu.

Namun Zokples memberi jaminan, hoki adalah antara sukan yang akan sentiasa diletakkan sebagai keutamaan dan untuk itu, bantuan yang bakal diterima juga tinggi.

"Kami tak boleh janji peruntukan yang lebih besar kerana bajet kita juga terhad dan terpaksa dibahagikan dengan sukan lain.


"Peruntukan yang besar belum tentu dapat menjamin hasil yang baik. Yang penting ialah perbelanjaan kena berhemah dan setiap yang dibelanjakan perlu dipastikan keberkesanannya," katanya ketika dihubungi semalam.


Zolkples bagaimanapun berkata, hoki di bawah kepimpinan Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak semata-mata mengharap kepada bantuan daripada pihak kerajaan saja, sebaliknya mereka berusaha untuk mencari penajaan sendiri.

"Inilah yang sepatutnya dicontohi persatuan lain," katanya.

Skuad hoki negara melalui musim yang cemerlang sepanjang tahun lalu apabila pasukan senior layak kali pertama ke Piala Dunia pada tahun ini di Belanda sejak kali terakhir pada tahun 2000 sementara skuad remaja menduduki tempat keempat Piala Dunia Remaja di New Delhi, India, baru-baru ini.

Dengan pelbagai kejohanan besar serta jadual padat yang akan disertai skuad negara sepanjang tahun ini, MHC pasti akan mengeluarkan wang lebih banyak dari poket mereka, termasuklah untuk mengadakan persiapan serta program latihan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/04

No comments:

Post a Comment