Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bawa ayah lumpuh masuk universiti

Posted: 22 Jan 2014 10:25 AM PST

Beijing: Seorang pelajar China Guo Shijun merayu pihak berkuasa universiti agar membenarkan bapanya yang lumpuh tinggal di bilik asramanya sepanjang penggal pengajian.

Guo yang tidak mahu menangguhkan pengajiannya kerana terpaksa menjaga bapanya yang lumpuh dan ibu yang sakit terpaksa membuat permohonan pengecualian itu. Disebabkan dia berjaya mendapat tempat di universiti terbaik dan pihak pentadbiran institusi pengajian tinggi itu kagum dengan dedikasinya menghadapi kesukaran dalam hidup, mereka membenarkan dia membawa bapanya ke asrama universiti bagi meringankan beban ditanggungnya. Guo, 20, yang berasal dari keluarga miskin menjalani zaman kanak-kanak dengan penuh kesukaran. Ibunya menghidap sakit mental selepas diserang meningitis ketika Guo masih kecil. Dia dan bapanya terpaksa bergilir-gilir menjaga ibunya. Walaupun dibebani tanggungjawab besar ketika kecil. Guo tetap berupaya memperoleh gred tertinggi di sekolah.


Nasib yang menimpa Guo bertambah buruk apabila bapanya yang bekerja sebagai buruh binaan terbabit dengan nahas ketika bekerja. Bapanya terjatuh 15 meter dari sktruktur jambatan yang dibina di Liuan, wilayah Anhui menyebabkan lelaki itu lumpuh dari paras pinggang ke bawah. Sejak kejadian itu, datuk dan nenek Guo mengambil alih tugas menjaga ibunya, tetapi tidak mampu untuk turut menjaga bapanya.

Kerana itu, Guo terpaksa menyewa sebuah bilik kecil berhampiran asrama universitinya dan membawa bapanya tinggal bersama-samanya bagi memudahkan dia menjaga bapanya. Untuk membiayai pengajiannya di universiti, Guo meminjam wang daripada rakan dan saudara-maranya. - Agensi

Foto

GUO turut memasak untuk bapanya di asrama universiti. Gambar kanan, GUO terpaksa menjaga ibunya sejak masih kecil dan kini perlu menjaga bapanya yang lumpuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Terkejut baca ucapan takziah untuk kematiannya

Posted: 22 Jan 2014 10:13 AM PST

Stockholm: Seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun terkejut apabila akhbar yang dibacanya melaporkan yang dia sudah meninggal dunia.

Sven-Olof Svensson sedang membaca akhbar tempatan Jonkopings-Posten sebelum terlihat paparan ucapan takziah untuk dirinya sendiri.


Ucapan takziah itu diserahkan kepada akhbar terbabit oleh kakaknya yang berusia 90 tahun selepas Svensson dimasukkan ke hospital pada malam Krismas kerana tidak sihat.

Kakaknya menghubungi doktor yang merawat Svensson tetapi salah faham mengenai penyakit yang di jelaskan oleh doktor itu. Dia menyangka Svensson sudah meninggal dunia dan mula menulis ucapan takziah kepada adiknya bersama kawan baik Svensson, Lars Faltskog.


Bagaimanapun, Faltskog yang ingin mengambil barangan peribadi milik sahabatnya itu pada 3 Januari lalu terkejut apabila mendapati Svensson masih hidup. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Telan 'belon' tangani masalah kegemukan

Posted: 22 Jan 2014 10:12 AM PST

London: Pesakit mengalami obesiti yang terdesak untuk mengurangkan berat badan kini boleh menelan belon di dalam pil menerusi kaedah perubatan terbaru bagi menangani masalah kegemukan.

Tidak seperti rawatan belon gastrik, Obalon tidak memerlukan pembedahan invasif. Sebaliknya, prosedur 10 minit itu hanya memerlukan pesakit menelan kapsul bersaiz sebesar pil vitamin yang mengandungi belon kempis.


Kapsul itu dilekat kepada kateter mikro dan sebaik saja kapsul itu hadam di dalam perut, belon itu akan mengembang menjadi sebesar saiz sebiji epal. Kapsul itu akan larut dan katerer akan dikeluarkan dari mulut.

Belon itu akan berada di bahagian atas perut, menyebabkan pesakit rasa kenyang dengan harapan pesakit akan mengurangkan makan dan seterusnya berat badan akan berkurangan. Pesakit akan menerima belon kedua 30 hari selepas prosedur pertama dengan pilihan belon ketiga selepas kira-kira 60 hari, berdasarkan penurunan berat badan mereka dan kekenyangan yang dialami.


Pada akhir rawatan yang dijangka mengambil masa beberapa bulan, belon itu akan mengecut dan dibuang melalui rawatan endoskopi. Obalon berharga £2,995 (RM16,469) untuk dua rawatan belon. Ia boleh didapati di beberapa hospital dan klinik di sekitar London.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Berlian biru luar biasa ditemui

Posted: 22 Jan 2014 10:11 AM PST

Johannesburg: Seketul berlian biru yang jarang ditemui digali dari sebuah lombong di Afrika Selatan.

Permata 29.6 karat itu ditemui Petra Diamonds dilombong Cullinan milik syarikat itu yang terletak kira-kira 46 kilometer di timur laut Pretoria. Jurucakap syarikat itu memberitahu Stesen Penyiaran Britain (BBC), batu permata berkenaan paling luar biasa pernah ditemui di Cullinan sepanjang tempoh Petra beroperasi di lombong itu. "Berlian itu ialah permata biru terang dengan kejituan, kecerahan dan tona luar biasa. "Ia berpotensi menjadi permata utama yang bernilai tinggi," katanya. Tahun lalu, Petra menemui berlian biru 25.5 karat yang dijual pada harga £10.3 juta (RM56.6 juta).


Penemuan terbaru itu juga dijangka meraih harga yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Tak hirau perintah darurat

Posted: 22 Jan 2014 10:08 AM PST

Bangkok: Pembangkang berikrar tidak mengendahkan perintah darurat dikenakan di seluruh Bangkok mulai semalam, sebaliknya akan terus berjuang menjatuhkan kerajaan.

Jurucakap penunjuk perasaan Akanat Promphan berkata, mereka tidak menghiraukan perintah darurat dan akan terus memprotes seperti biasa. "Apa yang berlaku menunjukkan kerajaan semakin terdesak kerana momentum memihak kepada kami," katanya.


Perdana Menteri Yingluck Shinawatra kini terus berdepan tekanan untuk berundur selepas lebih dua bulan protes jalanan berlangsung.

Selain menuntut Yingluck meletak jawatan, pembangkang turut mendesak "majlis rakyat" ditubuhkan bagi melakukan reformasi sebelum pilihan raya dijalankan. Melalui perintah darurat yang dikuatkuasakan semalam, kerajaan mempunyai masa 60 hari untuk mengenakan perintah berkurung, mengharamkan perhimpunan lebih lima orang, menahan suspek tanpa perlu dibawa ke mahkamah selama 50 hari dan menapis kandungan media di Bangkok dan sekitarnya. Sehingga petang semalam belum ada satu pun langkah itu diambil kerajaan dan memaklumkan urusan keselamatan dikendali polis.


Keadaan itu berbeza ketika Baju Merah berkumpul pada 2010 apabila kerajaan ketika itu - diketuai Abhisit Vejjajiva mengarahkan tentera menyuraikan pembangkang.


Yingluck juga menggesa pilihan raya dijadual 2 Februari ini diteruskan tetapi pembangkang utama mengumumkan untuk memboikotnya. - AFP

Foto

PENYOKONG pembangkang menanggalkan aksara pada papan tanda Polis Diraja Thai di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Suthep cemuh keputusan kerajaan

Posted: 22 Jan 2014 10:08 AM PST

Bangkok: Pemimpin protes Thailand, Suthep Thaugsuban semalam mencemuh pelaksanaan darurat dan menganggap ia tidak akan menjejaskan usaha mereka berhimpun.

Kata Suthep, tiada sebab untuk kerajaan menguatkuasakan perintah darurat di Thailand.


"Apakah yang darurat di negara ini? "Kami sudah berhimpun selama tiga bulan dan mengapa kini perlu ada perintah darurat?" katanya. Berucap di depan penyokongnya di Pathumwan, pemimpin Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat itu berkata, mereka akan mengabaikan perintah berkenaan. "Kita tidak akan mengendahkan semuanya.

"Kita akan berarak di setiap jalan yang dilarang dan kita menggunakan pembesar suara walaupun jika perbuatan itu diharamkan.


"Apa saja yang mereka larang, kita akan langgar," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Tentera campur tangan jika keadaan tak terkawal

Posted: 22 Jan 2014 10:07 AM PST

Bangkok: Panglima Tentera Thailand semalam enggan mengulas tindakan kerajaan mengisytihar darurat di Bangkok dan wilayah sekitarnya.

Sebaliknya, Jen Prayuth Chan-Ocha berkata, tentera hanya akan bertindak jika situasi semasa gagal dikawal polis. "Pengisytiharan darurat adalah tanggungjawab dan budi bicara kerajaan," katanya kepada media.


Prayuth berkata, tugas utama menguatkuasakan darurat terletak di tangan polis.

Walaupun begitu, katanya, polis boleh meminta bantuan tentera jika perlu. "Tentera akan bersikap adil terhadap semua pihak kerana tugas utama kami ialah melindungi orang awam, harta umum dan pasukan keselamatan yang diingatkan supaya menggunakan budi bicara ketika bertugas dengan senjata api," katanya. Menurut Prayuth, tentera akan menunggu hasil pelaksanaan darurat sama ada memberi kesan positif atau mencetus lebih banyak keganasan. "Jika keadaan tidak terkawal mungkin perlu bagi kami campur tangan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

SBY nafi tidak peka

Posted: 22 Jan 2014 10:07 AM PST

Jakarta: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono semalam menyangkal tuduhan bahawa dia tidak sensitif terhadap bencana alam yang melanda negara itu.

Bercakap di mesyuarat Kabinet di Istana Presiden di Jakarta semalam, beliau memuji usaha kerajaan untuk mengurangkan kesan banjir pada masa akan datang.


Beliau menolak kritikan itu sehari selepas dikecam kerana menghadiri mesyuarat Parti Demokrat yang dipimpinnya di Bali ketika Jakarta dan Sulawesi Utara ditenggelami air.

"Saya mengadakan perbincangan dengan gabenor wilayah yang berdepan keadaan itu, termasuk di Jambi, Bengkulu, Jawa Tengah, Selatan Sulawesi dan Maluku," katanya ketika mesyuarat.


Pengkritik kelmarin mempertikaikan tindakan Susilo menghadiri mesyuarat itu ketika beberapa bahagian Jakarta ditenggelami air selepas hujan lebat sejak minggu lalu. - Agensi

Foto

KANAK-KANAK di sebuah kawasan di Jakarta tidak mempedulikan bahaya yang menanti ketika bermain banjir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Kes dadah tentera meningkat

Posted: 22 Jan 2014 10:06 AM PST

Jakarta: Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jeneral Moeldoko berkata, kes penyalahgunaan dadah membabitkan anggota tentera meningkat pada 2013.

"Memang secara keseluruhan kes membabitkan anggota tentera mengalami penurunan berbanding sebelumnya.


"Namun, ada beberapa kes mengalami peningkatan seperti penyalahgunaan dadah, pembolosan dan masalah moral," katanya selepas Operasi Penegakan Ketertiban dan Keadilan 2014 di Markas Besar TNI Cilangkap, semalam.

Katanya, secara keseluruhan pada 2013 berlaku 1,447 kes pelanggaran hukum membabitkan anggota tentera atau menurun dibandingkan 2012 (1,951 kes).


Sementara itu, kes penyalahgunaan dadah membabitkan anggota tentera berjumlah 161 kes pada 2012 menjadi 235 pada 2013.


Katanya, sebahagian besar tentera yang terbabit kes dadah sudah pun dipecat.

Menurutnya, kes lain yang meningkat dalam kalangan anggota tentera adalah pembolosan dan masalah moral.


Katanya, kes pembolosan meningkat daripada 1,123 kes pada 2012 menjadi 1,180 pada 2013, manakala kes perlakuan moral meningkat daripada 275 pada 2012 menjadi 310 pada 2013. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

Ibu Ani mohon maaf

Posted: 22 Jan 2014 10:06 AM PST

Jakarta: Wanita pertama Indonesia semalam memohon maaf kepada ribuan pengikutnya di Instagram kerana memarahi pihak yang mengkritik gambar dimuat naiknya.

Ani Yudhoyono mempunyai kira-kira 310,000 pengikut sejak mula mengguna Instagram April lalu, namun kerap menimbulkan kontroversi berikutan sering memarahi kritikan terhadap gambarnya yang kebanyakannya membabitkan keluarganya.


Bagaimanapun, semalam dia mengubah pendekatannya apabila memohon maaf dan mengajak orang ramai terus berkongsi 'kenangan dan kisah-kisah' mereka.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengikut saya atas setiap sokongan dan interaksi di akaun Instagram saya.


"Saya meminta maaf jika sebelum ini pernah mengatakan sesuatu yang kasar atau tidak sedap didengar kepada pengikut saya.


"Marilah kita terus berkongsi kisah dan kenangan masing-masing melalui gambar kita di Instagram," katanya yang turut memuat naik gambar bunga putih.

Permohonan maafnya itu mendapat lebih 4,000 'like' dan 300 komen dalam tempoh sejam selepas dimuat naik.


Terbaru, dia marah apabila dikritik kerana memuat naik gambar cucunya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/23

No comments:

Post a Comment