Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Josiah tak sabar mula berkayuh

Posted: 06 Jan 2014 09:09 AM PST

Kuala Lumpur: Episod kemalangan yang menimpa pelumba trek negara, Josiah Ng Disember lalu langsung tidak memberi kesan fobia buat pelumba Sarawak itu dan dia kini sudah tidak sabar untuk kembali berlatih.

Lima minggu berehat sudah cukup buat pelumba itu bangkit kembali dan menjalani latihan ringan kerana dia tidak mahu terlepas aksi mempertahankan pingat di Sukan Komanwel selain beraksi di Sukan Asia. Dia yang kini berada di Los Angeles, Amerika Syarikat sudah tidak sabar untuk kembali ke pangkalan pusat latihan skuad berbasikal negara di Melbourne untuk menyambung semula misinya membuat persediaan menghadapi Sukan Komanwel. "Keadaan badan saya sudah pulih dan bersedia untuk menjalani latihan. Sudah tiga hari saya menjalani latihan di atas jalan raya tanpa sebarang masalah. "Tulang selangka dan tulang rusuk sudah pulih sepenuhnya. Kini saya hanya menunggu masa sesuai untuk kembali pulang ke Melbourne dan menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel," katanya. Jaguh trek negara itu mengalami kemalangan ngeri ketika beraksi di Piala Trek Dunia di Aguascalientes, Mexico, bulan lalu.


Josiah yang mengalami patah tulang selangka dan tulang rusuk dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital CMQ MAC berhampiran Aguascalientes selepas mengalami kemalangan semasa saringan kedua acara keirin hingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri.

Insiden itu yang ketiga buat pemenang pingat emas Sukan Komanwel New Delhi 2010 itu dan menaruh harapan tinggi agar kejadian itu tidak berulang pada usianya yang kini meniti angka 33.


Josiah menegaskan kemalangan itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk beraksi dan dia tidak pernah langsung memikirkan untuk bersara daripada arena berbasikal negara dan menetapkan untuk terus beraksi di Sukan Olimpik Rio pada 2016.

Foto

JOSIAH (kiri) mahu pertahan pingat Sukan Komanwel.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/07

United janji bangkit

Posted: 06 Jan 2014 08:38 AM PST

Manchester, England: Pengurus Manchester United David Moyes yang kini tertekan telah melaungkan amaran anak buahnya akan bangkit selepas kekalahan 1-2 di tangan Swansea City pada pusingan ketiga Piala FA awal pagi semalam.

Moyes menyaksikan United ketinggalan 11 mata dengan pendahulu Liga Perdana dan mereka kini kalah dua perlawanan berturut-turut di laman sendiri buat kali kedua musim ini apabila tumpas 1-2 kepada Tottenham Hotspur di Old Trafford Rabu lalu.


United bertandang ke Sunderland awal pagi esok bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga dan dengan saingan Liga Juara-Juara menjadi satu lagi medan untuk mereka merangkul trofi musim ini, Moyes mahu pemainnya tidak menoleh ke belakang.

"Jika anda beraksi dengan mana-mana kelab dan kalah, ia pasti sukar. Ia lebih sukar kalau anda di Manchester United," katanya.


"Tapi ini tugas yang harus dipikul. Kami boleh mengatasinya. Kami mempunyai perlawanan besar Selasa ini (awal pagi esok) dan kami akan mempersiapkan pasukan." Swansea mengesahkan kemenangan hasil tandukan Wilfried Bony pada minit ke-90 selepas Wayne Routledge meletakkan mereka di depan pada minit ke-12 menerusi sepakan lambung sebelum kelebihan itu dipadam oleh penyerang United dari Mexico, Javier Hernandez (tengah).


Swansea tampak mendapat kelebihan dalam pertembungan itu apabila pemangku kapten Rio Ferdinand terpaksa dikeluarkan pada minit ke-75 akibat kecederaan dan penggantinya Fabio da Silva pula dibuang padang kerana mengasari Jose Canas.

Moyes berkata, beliau menganggap tiada sebarang isu mengenai insiden Fabio itu kerana tindakan pengadil Mike Dean dianggap tepat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/07

Chelsea jumpa Stoke

Posted: 06 Jan 2014 08:37 AM PST

London: Chelsea bakal beraksi di gelanggang sendiri menentang Stoke City dalam satu-satunya pertembungan sesama pasukan Liga Perdana selepas undian pusingan keempat Piala FA semalam.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu yang layak ke pusingan keempat hasil kemenangan 2-0 ke atas Derby County kini mengintai peluang untuk menebus kekalahan 2-3 di Stoke Disember lalu.


Kelab handalan Liga Perdana terpisah dalam undian itu dengan pendahulu Arsenal diundi menentang pasukan divisyen tiga Coventry City di gelanggang sendiri selepas mereka menyingkir musuh tradisi utara London, Tottenham Hotspur pada pusingan ketiga.

Liverpool yang mengalahkan Oldham Athletic 2-0 kelmarin akan berkunjung ke gelanggang sama ada kelab divisyen dua Bournemouth atau divisyen empat Burton Albion. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/07

Ramires tak berlakon

Posted: 06 Jan 2014 08:36 AM PST

London: Pemain Chelsea bukannya sengaja berlakon menjatuhkan diri sendiri, demikian tegas pengurus Jose Mourinho yang menyaksikan anak buahnya dibuang padang kerana tindakan itu.

Pemain tengah Ramires dilayangkan kad merah oleh pengadil Andre Marriner kerana dikatakan sengaja menjatuhkan dirinya ketika menang 2-0 ke atas Derby County pada pusingan ketiga Piala FA kelmarin.


Oscar menerima hukuman sama daripada pengadil Martin Atkinson pada saingan Liga Perdana Inggeris ketika bertemu Southampton pada tahun baru.

Kedua-dua keputusan itu berlaku selepas Mourinho menuduh penyerang Liverpool, Luis Suarez sengaja menjatuhkan dirinya ketika pasukannya menang 2-1 di Stamford Bridge pada 26 Disember lalu.


"Saya tetap dengan pendirian pemain saya sama sekali tidak akan sengaja melakukan tindakan itu.


"Ia adalah kes terpencil. Pengadil berjaya mengesan keputusan itu. Pengurus juga bersetuju dengan pendapat pengadil itu.

"Saya rasa kami bermain dengan baik. Sama-sama kita saksikan sama ada pasukan lain melakukan perkara sama.


"Saya terima dengan terbuka hukuman yang dikenakan kepada pemain saya. Dalam kes ini, Martin Atkinson membuat keputusan dengan baik.

"Saya masih belum sempat bercakap dengan Ramires tapi jika pengadil berada di tempat yang tepat dan melakukan keputusan dengan tepat, saya terima hukuman itu," katanya.


Anak buah Mourinho berjaya melangkah ke pusingan keempat yang menyaksikan mereka akan bertemu Stoke City selepas menang selesa ke atas pasukan Liga Kejuaraan itu menerusi gol sumbangan John Obi Mikel dan Oscar. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/07

Rodgers bangga aksi anak

Posted: 06 Jan 2014 08:35 AM PST

London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers pasti gembira serta bangga menjadi seorang bapa selepas pasukannya berjaya mengatasi Oldham Athletic pada saingan Piala FA yang turut dibarisi anaknya sendiri.

Ketika Liverpool sedang mengatasi lawan dengan jaringan 2-0 pada baki tujuh minit perlawanan pusingan ketiga Piala FA, Oldham memasukkan pemain tengah berusia 20 tahun yang juga anak Rodgers iaitu Anton.


"Saya sendiri dapat saksikan perjalanan karier Anton sejak zaman kanak-kanak dan apabila dapat melihatnya beraksi di padang, ia sangat menakjubkan.

"Dia adalah pemain remaja yang bagus dan kami sebagai ibu bapa berbangga dikurniakan anak sepertinya. Dia mempunyai karier yang cerah dan Oldham juga mengembangkan kariernya dengan baik.


"Mereka mempunyai seorang pengurus muda yang bagus serta barisan pemain muda yang mempunyai semangat tinggi.


"Saya pernah saksikan mereka beraksi beberapa kali dan Anton turut terbabit. Sebagai seorang bapa, saya berasa bangga apabila dia turut menerima tepukan gemuruh daripada penyokong Liverpool." Rodgers sekadar membariskan pemain simpanan ketika bertemu Oldham dengan merehatkan Luis Suarez, Philippe Coutinho dan Lucas Leiva tetapi ketiga-tiga pemain itu dimasukkan juga pada separuh masa kedua.

Iago Aspas meledak gol pertama untuk tuan rumah pada minit ke-54 sebelum Raheem Sterling menyumbat gol kedua lapan minit sebelum tamat.


Kemenangan itu menyaksikan Liverpool melangkah ke pusingan keempat dan akan bertemu Bournemouth atau Burton Albion di tempat lawan hujung bulan ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/07

Sanchez julang Barca

Posted: 06 Jan 2014 08:34 AM PST

Madrid: Barcelona kembali merampas tangga teratas La Liga Sepanyol menerusi perbezaan gol dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Elche awal pagi semalam hasil hatrik Alexis Sanchez.

Kelab Catalunya itu terikat bersama Atletico Madrid dengan 49 mata dan kedua-duanya akan bertemu buat kali pertama dalam liga musim ini di Vicente Calderon hujung minggu ini.


Lionel Messi sekali lagi menonton aksi dari tepi padang dan Neymar berada di bangku pemain simpanan selepas kembali daripada cuti Krismas di Brazil baru-baru ini.

Namun, Sanchez dan Pedro Rodriguez sekali lagi membuktikan mampu menggalas tugas apabila mereka menjaringkan gol dalam tempoh 15 minit pertama.


Xavi Hernandez turut gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua buat tuan rumah, namun ia tidak menjejaskan mereka apabila Sanchez merembat masuk gol keduanya hasil hantaran Pedro tidak lama kemudian.


Bintang Chile itu kemudian melengkapkan hatrik pertamanya buat kelab itu menerusi satu sepakan percuma menakjubkan 21 minit sebelum tamat.

Barca kini mendahului Real Madrid dengan lapan mata, namun Madrid boleh merapatkan jurang dengan pendahulu itu kepada lima mata jika menang ke atas Celta Vigo awal pagi tadi.


"Kami bermain dengan amat bagus. Kami mempunyai variasi, kawalan dan mencipta banyak peluang," ujar bos Barca, Gerardo Martino.

"Kami sering memberikan tumpuan sepanjang perlawanan dan mengehadkan peluang lawan mengintai gol.


"Pada babak kedua terutamanya kami mengawal keseluruhan perlawanan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/07

Juve padam rekod bersih Roma

Posted: 06 Jan 2014 08:34 AM PST

Milan: Juventus menang 3-0 ke atas Roma yang beraksi dengan sembilan pemain sekali gus menamatkan rentetan tanpa kalah kelab pelawat itu dalam liga musim ini serta meneruskan pendahuluan mereka kepada lapan mata dalam Serie A.

Roma hadir di Turin awal pagi semalam dengan keyakinan sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam usaha merapatkan diri dengan kelab pendahulu kendalian Antonio Conte itu dan menyelamatkan catatan tanpa kalah mereka selepas 17 perlawanan.


Namun aksi cemerlang awal anak buah Rudi Garcia gagal diteruskan dan usaha kebangkitan selepas ketinggalan 0-2 pada minit ke-48 kelihatan tipis apabila Daniele De Rossi dan Leandro Castan dibuang padang lewat babak kedua.

"Saya tidak lihat insiden kekasaran Daniele jadi lebih baik saya tidak memberi komen mengenainya," kata Garcia.


"Tapi kami tidak kalah kerana keputusan ini. Apabila Daniele dibuang padang kami sudah ketinggalan 0-2.


"Kami tidak berkesan seperti sepatutnya dan malam ini kami tidak mencipta banyak peluang seperti dimahukan.

"Kini kami perlu mencari semula rentak kemenangan. Sasaran kami musim ini adalah layak ke Eropah jadi kerana kami di tangga kedua, kami berada di posisi yang bagus." Kemenangan ke-16 Juventus pada kempen kali ini membolehkan mereka menghuni tangga teratas dengan 49 mata, lapan mata di depan Roma. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/07

Lewandowski tetap komited bersama BVB

Posted: 06 Jan 2014 08:33 AM PST

Berlin: Robert Lewandowski memberi jaminan kepada penyokong Borussia Dortmund dia tetap komited sepenuhnya dalam impian mereka menjuarai Bundesliga sekalipun sudah bersetuju berpindah ke kelab musuh Bayern Munich hujung musim ini.

Penyerang antarabangsa Poland itu menggunakan media sosial untuk memaklumkan kepada penyokong dia akan "memberikan segala-galanya kepada BVB (Dortmund)".


"Saya mahu memaklumkan kepada anda secara langsung. Saya masih mempunyai kontrak enam bulan di sini yang mana kami mempunyai objektif untuk dicapai bersama," tulis pemain berusia 25 tahun itu yang berkongsi kedudukan pendahulu penjaring gol terbanyak Bundesliga musim ini dengan 11 gol.

"Sekalipun jika ada sesetengah anda tidak bersetuju dengan keputusan saya, saya masih harap mendapat sokongan anda. Saya akan mencurahkan segala-galanya buat BVB." Lewandowski, yang kembali berlatih bersama Dortmund kelmarin disaksikan sekitar 200 penyokong, mempunyai kontrak bersama kelab itu hingga Jun ini.


"Kami semua sudah lama tahu Robert akan bermain dengan kelab lain musim panas ini. Pengesahan perpindahan itu tidak mengubah apa-apa," kata jurulatih Dortmund, Juergen Klopp. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/07

Landasan terbaik Johnson

Posted: 06 Jan 2014 08:33 AM PST

Kapalua, Hawaii: Dustin Johnson berada dalam landasan terbaik mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Juara-Juara di Hawaii apabila dia menamatkan pusingan ketiga berkongsi pendahulu bersama dua pemain lain semalam.

Johnson, yang membenam eagle menakjubkan di lubang kesembilan par-lima selepas melakukan pukulan four-iron sejauh 211 ela dan singgah dua kaki dari lubang, merakam empat bawah par 69 dalam cuaca panas tetapi berangin di Kapalua Resort.


Dia berpeluang mendahului secara berseorangan pada lubang terakhir par-lima namun terlepas percubaan birdie dari jarak 15 kaki untuk berakhir dengan 14 bawah par 205, sama dengan rakan senegara dari Amerika Syarikat, Webb Simpson (68) dan Jordan Spieth (69).

Pendahulu semalaman Zach Johnson berada dua pukulan di depan dengan baki tujuh lubang namun terjejas kerana bogey pada lubang ke-14 dan 16 untuk mencatat 74 dan berada di tangga keempat dengan 12 bawah par.


Dustin Johnson memenangi kejuaraan tahun lalu, ketujuh buatnya dalam Jelajah PGA dengan tiga pukulan pada kejohanan yang dipendekkan kepada tiga pusingan dan berakhir pada Selasa kerana cuaca buruk.


Dia memulakan aksi semalam tiga pukulan di belakang dan memulakan usahanya mendaki carta pendahulu dengan eagle mengagumkan pada lubang kesembilan.

"Saya melakukan pukulan drive yang bagus hingga ke hujung fairway dan berbaki 211 ela menuju lubang," kata Johnson. "Saya hanya melakukan pukulan four-iron hebat dan ia menghampiri lubang." Ditanya bagaimana dia menamatkan saingan pusingan akhir dalam usahanya memburu kejuaraan kesembilan dalam Jelajah PGA, Johnson membalas: "Saya perlu menggunakan kelebihan di lubang par-lima." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/09

Svetlana, Francesca tersingkir awal

Posted: 06 Jan 2014 08:32 AM PST

Sydney: Bekas juara Grand Slam, Svetlana Kuznetsova dan Francesca Schiavone menamatkan persiapan kompetitif mereka menghadapi Terbuka Australia lebih awal selepas kalah pada pusingan pertama kejohanan Antarabangsa Sydney, semalam.

Juara dua Grand Slam, Svetlana, yang tampil di Sydney dalam kelompok 20 terbaik dunia selepas kembali daripada kecederaan lutut pada 2012, tewas mengejut 3-6, 6-3, 5-7 kepada pemain kurang ternama Amerika, Varvara Lepchenko.


Francesca, juara Terbuka Perancis 2010, disingkirkan Lucie Safarova 4-6, 4-6. Pemain Itali berusia 33 tahun itu turut kecundang pada pusingan pertama kejohanan Brisbane minggu lalu di tangan bekas pemain nombor satu dunia, Jelena Jankovic.

Usaha pemain Australia, Samantha Stosur memastikan dia tidak menjadi juara Grand Slam ketiga meninggalkan kejohanan pada pusingan pertama semalam terbukti sukar apabila dia bergelut menentang pemain AS, Madison Brengle pada kejohanan Antarabangsa Hobart.


Hujan menjejaskan perlawanan di Tasmania dengan Samantha dan Madison terpaksa meninggalkan gelanggang lebih dua jam ketika pemain Australia itu mendahului 2-1 pada set pertama.


Madison, 23, bagaimanapun mengambil kelebihan berikutan rehat itu untuk bangkit dan mendahului 6-5 pada set pertama untuk menekan pilihan utama itu sebelum hujan sekali lagi memaksa mereka meninggalkan gelanggang.

Samantha, juara Terbuka AS 2011, gagal melepasi pusingan keempat di laman sendiri sejak lima tahun lalu dengan enam kali terkandas pada pusingan pertama dalam 14 kejohanan di Sydney, Brisbane dan Terbuka Australia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/07

No comments:

Post a Comment