Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Muntah berbaloi

Posted: 29 Dec 2013 12:33 PM PST

Putrajaya: Tan Chun Seang menyingkir juara bertahan, Misbun Ramdan Misbun sehingga termuntah!

Begitulah hakikat betapa sukarnya pilihan kedua kejohanan mencipta kejutan ke atas pemain pilihan peminat pada Grand Prix Akhir Sirkit Kebangsaan di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya semalam.


Selepas dua tahun tidak beraksi di Malaysia, Chun Seang berkata, dia mempunyai alasan kukuh untuk mencapai kejayaan di sini.

"Saya mahu peminat badminton sedar saya masih wujud di sini," kata Chun Seang selepas muntah.


"Saya memang sedar perlawanan ini, saya tentu kalah kepada Ramdan kerana fizikal dan tahap kecergasannya jauh lebih baik dan bersedia berbanding saya. Saya hanya mengerah keringat dan semangat selain yakin permainan di jaring akan memberi kelebihan," katanya selepas menang ke atas Ramdan 18-21, 21-17, 21-19 dalam tempoh 57 minit.


Justeru, Chun Seang akan berdepan finalis tahun lalu, Chong Wei Feng.

Foto

CHUN Seang mahu peminat menyedari dirinya masih berbisa.

"Wei Feng amat bagus kerana permainannya pantas dan lebih konsisten, tunggu saja esok (hari ini), saya harap badan saya dapat kembali cergas dan pulih dengan pantas." Wei Feng yang mengatasi pilihan keempat tiada pilihan selain menjuarai edisi kali ini bagi mengembalikan keyakinannya selepas persembahan buruk pada temasya Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.


Pilihan utama kejohanan itu sekadar muncul naib juara tahun lalu selepas tewas kepada Ramdan pada perlawanan akhir.

"Saya mahu dan mesti menang kejohanan ini. Saya sudah memenangi gelaran tapi hanya di peringkat sirkit saja, kejohanan besar seperti ini belum saya menangi," kata Wei Feng selepas menang ke atas pilihan keempat, Zulfadli Zulkifli 21-8, 21-17.


Wei Feng muncul juara di dua sirkit kebangsaan di Kedah dan Kuala Lumpur pada Jun dan Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Rampas takhta

Posted: 29 Dec 2013 12:26 PM PST

Manchester, England: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini percaya anak buahnya mampu menjadi pencabar utama perebutan empat trofi musim ini selepas melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris hasil kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace.

Edin Dzeko menyumbang gol tunggal pada babak kedua di Stadium Etihad sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah City di gelanggang sendiri.


Dengan City turut bersaing pada saingan Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA, Pellegrini berkata, anak buahnya jelas berada di landasan tepat seperti yang dimahukan olehnya.

"Kami sedar kami berada pada kedudukan yang dimahukan di awal saingan liga.


"Kami beraksi di semua saingan. Dalam Piala Liga kami sudah sampai ke separuh akhir, layak ke saingan Liga Juara-Juara dan berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.


"Mungkin lapan perlawanan sebelum ini, tiada siapa yang percaya kami mampu mengatasi kelebihan enam mata yang dimiliki Arsenal.

"Kami mencatat tujuh kemenangan dan seri sekali. Kami perlu meneruskan rentak ini tapi apapun, segala-galanya masih terlalu awal.


"Separuh lagi saingan liga pasti tidak banyak bezanya berbanding ketika ini dengan lima atau enam pasukan akan bersaing sengit.

Dzeko menyempurnakan hantaran Jesus Navas pada minit ke-66 untuk memastikan City meraih tiga mata penuh tetapi prestasi Joe Hart di gawang gol juga cukup cemerlang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Arsenal kembali teraju liga

Posted: 29 Dec 2013 12:24 PM PST

London: Jaringan tunggal Olivier Giroud sudah cukup buat Arsenal kembali merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris apabila menewaskan Newcastle United 1-0 di St James' Park malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Arsene Wenger mengumpul 42 mata selepas mengharungi 19 perlawanan untuk mengatasi pencabar utama, Manchester City yang meraih 41 mata.


Namun ia bukan tiga mata yang mudah buat Arsenal apabila gagal menggegar gawang lawan yang dikawal Tim Krul dalam tempoh 45 minit pertama dan terpaksa menunggu hingga minit ke-65 apabila penyerang Perancis itu berjaya menyambut hantaran Theo Walcott dengan tandukan susulan sepakan percuma untuk menggegar gawang bagi memastikan kemenangan 1-0.

Pelawat berpeluang menambah jaringan empat minit kemudian namun percubaan Walcott diselamatkan pemain lawan di garisan gol ketika Krul sudah tertewas.


Tuan rumah cuba menggandakan asakan pada lewat perlawanan untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan namun keadaan semakin sukar apabila Arsenal meningkatkan penguasaan bola terutamanya dengan kemasukan Mikel Arteta menggantikan Kieran Gibbs yang mengalami kecederaan pada minit ke-71 untuk memastikan kemenangan ke-13.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

'Arkitek' United

Posted: 29 Dec 2013 12:24 PM PST

Norwich, England: David Moyes memuji Danny Welbeck yang menjadi kunci utama menghidupkan peluang Manchester United untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas menang 1-0 ke atas Norwich di tempat lawan.

Moyes tidak dapat menggunakan khidmat Robin van Persie serta Wayne Rooney kerana kedua-duanya mengalami kecederaan dan awalnya meletakkan Welbeck di bangku simpanan di Carrow Road.


Namun pemain berusia 23 tahun itu muncul penyelamat apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-57 sekali gus menyaksikan United menang kali keenam berturut-turut dalam semua pertandingan.

Juara bertahan itu kini menduduki tangga keenam, hanya ketinggalan dua mata berbanding empat pasukan teratas.


Aksi cemerlang Welbeck menutup permainan lincah penyerang Javier Hernandez yang berada dalam kesebelasan utama dan Moyes pantas memuji pemain itu.


"Jika anda melihat kepada prestasi Welbeck ketika ini, dia menjadi antara tonggak penting di Manchester United.

"Jaringannya mengubah nasib kami tapi aksi Welbeck berjaya mengubah corak permainan secara keseluruhan.


"Kami sepatutnya meletakkannya dalam kesebelasan utama tapi dia sudah beraksi. Kami juga mahu memastikan dapat menyusun skuad yang membolehkan semua pemain dapat beraksi serta membuktikan sesuatu.

"Welbeck beraksi sangat cemerlang dan memberi impak besar selepas dimasukkan," katanya.


Jaringan Welbeck itu adalah yang ke-10 sepanjang musim ini dan yang ketujuh untuk United.


Situasi itu menunjukkan prestasinya lebih baik berbanding musim lalu apabila hanya menyumbang dua gol untuk United tetapi Moyes percaya, Welbeck mampu beraksi lebih baik di depan gawang lawan.


"Dia seorang pemain yang bagus dan apa yang diperlukannya ialah supaya lebih tajam ketika melakukan penyudah," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Anelka nafi rai gol berunsur anti-Yahudi

Posted: 29 Dec 2013 12:23 PM PST

London: Penyerang West Brom, Nicolas Anelka menafikan caranya meraikan jaringan berunsur anti-Yahudi ketika seri 3-3 dengan West Ham kelmarin, menurut jurulatih sementara Keith Downing.

Pemain berusia 34 tahun itu membuat penampilan pertama dalam Liga Perdana sejak Oktober lalu pada perlawanan di Upton Park dan meledak dua jaringan dalam tempoh lima minit sebelum tamat babak pertama.


Selepas menjaringkan gol pertama, dia meletakkan tangan kirinya bersilang di badannya untuk melakukan tanda hormat yang dinamakan "quenelle", dipopularkan pelawak berhaluan kiri Perancis, Dieudonne, yang juga salah seorang rakan Anelka.

Gerak badan itu dikaitkan dengan anti-Yahudi di Perancis, dengan Menteri Dalam Negeri Perancis Manuel Valls menggesa persembahan Dieudonne diharamkan.


Tindakan Anelka itu mencetus kekecohan dalam laman sosial namun Downing berkata, bekas penyerang Perancis itu hanya menyuarakan sokongannya kepada pelawak itu.


"Saya menyedarinya, namun ia tiada berkaitan dengan apa yang diperkatakan," kata Downing.

"Ia dedikasi kepada pelawak Perancis yang amat dikenalinya. Dia menterjemahkannya menerusi gerakan badannya dan saya fikir spekulasi ini sudah boleh dihentikan. Ia adalah mengarut.


"Dia tidak menyedari apa masalah atau spekulasi yang ditimbulkan. Dia amat terkejut." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Maria kembali!

Posted: 29 Dec 2013 12:23 PM PST

Brisbane, Australia: Selepas menarik diri daripada menyertai Kejohanan Antarabangsa Brisbane akibat kecederaan sejak dua tahun lalu, Maria Sharapova mungkin menganggap satu kemenangan buat diri sendiri jika dia beraksi di Arena Pat Rafter, hari ini.

Kejohanan itu mungkin penting buat pemain nombor empat dunia dari Russia sebagai pemanas badan menjelang Terbuka Australia bulan depan apabila kembali beraksi selepas empat bulan terpaksa berehat kerana kecederaan bahu.


Sekurang-kurangnya dia dapat beraksi di Brisbane tahun ini yang mana kecederaan buku lali menghalang dia menyertainya pada 2012 namun tiada jaminan dia dapat kembali ke prestasi sebenar seperti ketika merangkul empat gelaran Grand Slam.

"Saya mahu menggunakan apa yang saya buat ketika musim rehat, cuba membawanya ke gelanggang secepat yang boleh. Apakah ia akan berlaku minggu ini? Saya tidak tahu," katanya.


"Saya tahu jika saya menggunakan apa yang saya usahakan ketika cuti musim rehat saya mampu berada pada tahap yang saya inginkan." Maria akan menentang pemain Perancis, Caroline Garcia pada pusingan pertama hari ini, perlawanan pertama sejak Terbuka Western and Southern di Cincinnati Ogos lalu dan yang pertama di bawah kendalian jurulatih Sven Groeneveld.


Pemain berusia 26 tahun itu melantik Groeneveld November lalu, menamatkan tempoh tanpa jurulatih selepas mengetepikan Thomas Hogstedt yang melatihnya untuk tempoh dua setengah tahun dan Jimmy Connors, selama sebulan, tempoh paling pantas.

"Sejak pertama kali bertemu saya suka apa yang beliau katakan," katanya.


"Saya suka apabila seseorang itu hadir beliau bercakap jujur dan benar. Beliau memiliki sikap seperti itu. Beliau meluahkan semuanya. Beliau seorang pemain berpasukan. Beliau bekerja dengan setiap orang dalam pasukan saya, sesuatu yang sudah lama tidak saya alami." Maria turut diiringi teman lelakinya di Brisbane, Grigor Dimitrov yang muncul naib juara selepas tewas kepada Andy Murray di kejohanan itu tahun lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Djokovic bukan tandingan Ferrer

Posted: 29 Dec 2013 12:22 PM PST

Abu Dhabi: Novak Djokovic menumpaskan David Ferrer 7-5, 6-2 pada perlawanan akhir Kejohanan Tenis Dunia Mubadala dan kini semakin bersemangat bersama jurulatih baru, Boris Becker.

Pemain nombor dua dunia itu terlalu kuat buat pemain nombor tiga dunia dari Sepanyol untuk ditewaskan apabila meraih kemenangan sekali gus merangkul gelaran ketiga berturut-turut pada perlawanan pertunjukan itu.


Ia juga gelaran kelima berturut-turut sejak tewas pada perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat kepada Rafael Nadal dan dilihat tiada apa yang boleh menghalangnya menjelang Terbuka Australia bulan depan yang mana dia menyasarkan untuk merangkul gelaran keempat berturut-turut.

Dia turut meletakkan sasaran merampas gelaran pemain nombor satu dunia daripada Nadal.


Pemain berusia 26 tahun dari Serbia itu mengupah bekas juara Wimbledon Becker untuk memperbaiki corak permainannya mengikut apa yang diinginkan selepas menempuh musim 2013 yang mengecewakan.


Bersama Becker yang berada di luar gelanggang, Djokovic bangkit daripada ketinggalan di awal permainan dan berkata: "Saya amat gembira memiliki Boris bersama saya.

"Ia sesuatu yang hebat bermula dengan merangkul trofi kejayaan di sini. Semoga kami dapat menang lebih banyak." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Caroline tarik diri

Posted: 29 Dec 2013 12:22 PM PST

Brisbane, Australia: Pemain Denmark Caroline Wozniacki menarik diri daripada kejohanan Antarabangsa Brisbane selepas mengalami kecederaan bahu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan ketika menjalani latihan dan mengambil keputusan untuk menarik diri daripada beraksi di Brisbane bagi mengelak risiko kecederaan yang lebih teruk.


Caroline berkata, dia yakin dapat beraksi di Sydney minggu depan menjelang Terbuka Australia di Melbourne, kejohanan utama musim ini.

"Tiada masalah dengan ligamen atau tendon," katanya.


"Jadi ia petanda positif. Mereka cuma menasihati untuk berehat beberapa hari.


"Saya tidak berdepan masalah melakukan beberapa perkara di gelanggang, ia sesuatu yang bagus," katanya. "Ia semakin baik setiap hari jadi untuk beberapa hari seterusnya saya sudah bersedia.

"Saya cuma berasakan adalah penting untuk saya cergas 100 peratus dan memastikan ia tidak bertambah buruk.


"Saya fikir keputusan yang tepat bagi saya adalah menarik diri daripada beraksi di sini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Faizal bantu julang KBSP8

Posted: 29 Dec 2013 12:21 PM PST

Seremban: Jaringan tunggal Muhammad Faizal Zakaria pada minit ke-52 membantu Kelab Bola Sepak Presint 8 (KBSP8) dari Putrajaya menewaskan Kelab Bola Sepak India Selangor (KBSIS) 1-0 untuk menjuarai Kejohanan Piala Mamee 1Malaysia Zon Tengah 2013 di Padang Majlis Perbandaran Seremban, baru-baru ini.

Kejayaan itu membolehkan KBSP8 membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, trofi dan sijil manakala KBSIS pulang dengan wang tunai RM3,000.


Kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan mantap sebaik perlawanan dimulakan apabila barisan depan berusaha menembusi benteng pasukan masing-masing namun peluang yang mereka peroleh gagal dimanfaatkan apabila separuh masa pertama terikat tanpa jaringan.

Sebaik bermulanya separuh masa kedua, KBSP8 dilihat memperkemaskan permainan dan beberapa percubaan yang dilakukan ke arah pintu gol lawan gagal menghasilkan gol susulan kemantapan benteng pertahanan KBSIS.


Namun begitu pada minit ke-52, Muhammad Faizal, 16, berjaya menolak masuk bola ketika suasana kelam-kabut di depan pintu gol untuk membawa kemenangan kepada KBSP8.


"Saya gembira dan puas hati kerana dapat menjaringkan gol yang membantu pasukan mencapai kemenangan, memang kedua-dua pasukan dilihat mempunyai kekuatan seimbang dan sukar untuk kami menembusi benteng.

"Pengalaman bermain bola mewakili sekolah membantu saya memberikan persembahan terbaik dan berjaya memanfaatkan peluang jaringan," katanya.


KBSP8 menewaskan 15 pasukan lain yang mewakili Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur yang menyertai kejohanan itu anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) dengan Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd dan Kelab Manchester United.

Pasukan Remaja Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang dan Majlis Sukan Negeri Terengganu, masing-masing bergelar juara dan naib juara Zon Timur manakala bagi peringkat Zon Selatan menyaksikan Masjid Tanah FC dan Sekolah Menengah Sri Kota Melaka, mengungguli dua tangga teratas.


Pegawai Eksekutif YR1M, Ung Su Ling berkata, peringkat akhir akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Februari dan Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

MSNS cungkil bakat remaja

Posted: 29 Dec 2013 12:21 PM PST

Shah Alam: Inisiatif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) menganjurkan Kejohanan Badminton Tertutup Remaja Bawah 12, 14 dan 16 Tahun, di Kompleks Belia dan Kebudayaan dekat Seksyen 7 satu langkah bijak dalam usaha membanyakkan platform pertandingan selain mencungkil bakat baru dalam kalangan remaja.

Kejohanan empat hari bermula 23 Disember lalu disertai lebih 200 peserta terdiri daripada penyertaan individu serta kelab.


Pengerusi MSNS Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pertandingan yang julung kali diadakan itu diharap dapat mencungkil lebih ramai bakat baru sekali gus dapat mencungkil atlet yang boleh mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

"Selain mencungkil bakat baru, pertandingan ini juga persediaan awal negeri ini menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan untuk melahirkan satu pasukan baru yang dapat menyumbang pingat.


"Diharap melalui pertandingan ini juga dapat merancakkan lagi pembangunan sukan badminton kerana mereka yang berpotensi dalam sukan badminton tidak akan ketinggalan selain ia dapat memberi pendedahan kepada atlet untuk terus memberikan persembahan terbaik demi kegemilangan sukan badminton tanah air," katanya.


Beliau berkata, sudah tiba masanya Selangor memiliki akademi badminton sendiri bagi menghimpunkan pemain digeruni selain mengharapkan lebih ramai penyertaan pemain wanita pada kejohanan akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

No comments:

Post a Comment