Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Tumpang tangan pada buku lali

Posted: 16 Dec 2013 01:30 PM PST

Beijing: Doktor di Changsha berjaya mencantumkan tangan seorang lelaki yang terputus selepas menampalnya pada kaki mangsa selama sebulan.

Xiao Wei putus tangannya selepas kemalangan di tempat kerja pada 10 November lalu.


"Saya tergamam sehinggalah rakan-rakan memadam mesin yang saya gunakan dan mengambil tangan itu sebelum membawa saya ke hospital.

"Doktor memaklumkan tidak dapat menyelamatkan tangan saya.


"Saya masih muda dan tidak dapat membayangkan kehidupan sebagai orang kudung," katanya.


Bagaimanapun, doktor mencadangkan supaya dia mencuba nasib di hospital daerah yang lebih besar.

Foto

KECEDERAAN dialami serius malah tangan mangsa penyek akibat kejadian itu.

Sehubungan itu, tujuh jam selepas kejadian Xiao Wei dirawat doktor di Changsha dan mereka yakin dapat mencantumkan semula tangan itu.


Bagaimanapun, mereka menampal tangan itu pada buku lalinya untuk mengelak pereputan.

"Kecederaan dialaminya serius kerana tangan itu bukan saja koyak malah penyek.


"Kami terpaksa membersihkan dan merawat kecederaannya sebelum menyambungkan semula tangannya itu," kata seorang doktor yang merawatnya.


Kini, selepas hampir sebulan kejadian, Xiao sudah cukup sihat untuk menjalani pembedahan mencantumkan semula tangannya itu.


Walaupun dia masih memerlukan beberapa pembedahan lain, doktor yakin tangan itu mampu digunakan seperti sedia kala. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

Majlis kahwin RM264 juta

Posted: 16 Dec 2013 01:20 PM PST

Barcelona: Majlis perkahwinan bagi salah satu keluarga terkaya di dunia tidak mungkin diadakan secara kecil-kecilan, jadi tidak hairanlah majlis anak saudara jutawan Lakshmi Mittal diadakan selama tiga hari dengan menelan belanja £50 juta (RM264 juta).

Majlis meraikan Shristi Mittal, 26, yang menggabungkan unsur Hindu dan Barat dipenuhi air pancut muzikal dan 200 pelayan tetamu, selain melihat muzium kebangsaan ditutup serta hidangan disediakan chef terkemuka selama tiga hari sambutan itu.


Suaminya, pakar pelaburan Gulraj Behl, 36, menaiki kuda ke majlis itu.

Shristi anak kepada adik hartawan berkenaan, Pramod yang turut terbabit dalam industri keluli seperti Lakshmi.


Keluarga itu turut menempah helikopter untuk mengambil gambar dari udara selain chef dibawa dari India dan Thailand untuk menyediakan hidangan bagi 500 tetamu dalam majlis yang diadakan dari 5 hingga 7 Disember lalu.


Malah, kek perkahwinan enam tingkat pasangan itu dikatakan seberat 60 kilogram.

Majlis itu bagaimanapun dikritik kerana dianggap satu pembaziran malah majlis perbandaran Barcelona dikecam kerana membenarkannya.


Bagaimanapun, Datuk Bandar Barcelona Xavier Trias berkata, majlis itu menaikkan imej dan ekonomi bandar itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

Hakim diarah benar anak kahwin

Posted: 16 Dec 2013 01:20 PM PST

New Delhi: Seorang hakim diarahkan mahkamah tertinggi India untuk melepaskan anak perempuannya berusia 30 tahun yang ditahan kerana ingin mengahwini kekasihnya dari kasta berbeza.

Mahkamah Agung semalam memerintahkan Supriya Rathore dibenarkan menemui teman lelakinya, Siddharath Mukherjee.


Mukherjee terpaksa menggunakan proses perundangan untuk membebaskan teman wanitanya daripada tahanan ayahnya yang juga hakim mahkamah tinggi di Rajasthan.

"Beliau sudah dewasa dan bebas membuat pilihannya sendiri," kata penghakiman dikeluarkan Hakim H L Dattu dan C Nagappan.


Mukherjee sebelum ini memfailkan petisyen mendakwa ayah Supriya - dari kasta Rajput - menentang perkahwinan mereka disebabkan dia dari kasta Brahmin.


Supriya sendiri merayu dibebaskan melalui e-mel kepada pihak polis dan mahkamah ketika ditahan selama sebulan di rumah keluarganya di Jaipur.

Supriya diperintahkan dibawa dibawa ke mahkamah pada 12 Disember lalu untuk perbicaraan yang diadakan semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

Bas terjun hempap van

Posted: 16 Dec 2013 01:17 PM PST

Manila: Sekurang-kurangnya 22 maut dan 16 cedera apabila bas membawa penumpang terbabas sebelum terjunam jatuh dari lebuh raya bertingkat dan menghempap sebuah van, semalam.

Rakaman televisyen menunjukkan polis memeriksa kawasan nahas manakala mayat bergelimpangan di sekitarnya.


Van terbabit pula tidak dapat dikenal pasti malah kelihatan seperti selonggok besi putih.

Penumpang yang terselamat Ryan Bresa berkata, bas dinaiki dipandu terlalu laju sehingga pemandunya akhirnya gagal mengawal kenderaan itu.


Superintendan Elizabeth Velasquez berkata, bas itu dikatakan terbabas dari lebuh raya Skyway lalu menghempap van berkenaan yang melalui jalan 9.6 meter di bawahnya dalam kejadian waktu subuh di bandar Paranaque.


Dr Carmencita Solidum berkata, dua pemandu terbabit antara 10 terselamat yang dibawa ke Hospital Paranque.

Katanya, pemandu bas parah manakala pemandu van cedera ringan.


Jurucakap Skyway Operations and Maintenance Corp Ivy Vidal berkata, punca kejadian masih disiasat, namun ketika itu jalan licin akibat hujan.

Sementara itu, saksi Irene Sisperes berkata dia memandu bersama anak perempuannya pada kelajuan 80 kilometer sejam (kmsj) sebelum dipotong bas terbabit. Irene menganggarkan bas itu dipandu pada kelajuan antara 100 dan 110kmsj dalam keadaan langit masih gelap serta hujan.


"Selepas beberapa meter saya lihat bas itu terbabas sebelum jatuh menyebabkan saya menjerit terkejut.


"Ketika itu tiada kenderaan lain," katanya.


Menurutnya, dia melihat penghadang lebuh raya hancur sebelum terus melaporkan kejadian itu di plaza tol.


Sementara itu, pekerja rumah urus mayat Angelo Dequina berkata, 17 mayat dibawa ke situ dari hospital dan tempat kejadian.


Sementara itu pengerusi Lembaga Pengangkutan, Francais dan Kawalan Winston Ginez berkata, keseluruhan 78 bas Don Mariano Transit Corp digantung perkhidmatan selama 30 hari. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

Ilmu terbang belum lengkap

Posted: 16 Dec 2013 01:08 PM PST

Banyumas: Suspek kes curi mayat di beberapa tanah perkuburan di Cilacap, dekat sini, Resi Rokhis Suhana, 27, dihantar menjalani pemeriksaan psikiatrik di Hospital Daerah Banyumas.

Jurucakap Pusat Psikiatri hospital berkenaan, Hilma Paramita berkata, Resi yang juga dikenali sebagai Satria Pamungkas akan menjalani pemerhatian untuk memastikan sama ada menghidap sebarang masalah sakit jiwa.


Katanya, pemeriksaan dijalankan selama 14 hari.

"Langkah awalnya adalah melakukan pemerhatian terhadap tingkah laku dan konsistensi jawapannya," katanya.


Menurutnya, Resi diasingkan daripada pesakit lain di kawasan khas dilengkapi jeriji.


Sementara itu, Resi berkata dia tidak menyesali perbuatannya.

"Saya tidak menyesal membongkar kubur dan mencuri mayat bersama kain kafan kerana ilmu saya belum sempurna," katanya.


Dia mengaku mempelajari ilmu terbang dan halimunan yang memerlukan kain kafan dari dalam kubur.

Menurutnya, syarat itu diperintahkan kepadanya oleh seorang ratu dari Gunung Srandil, di Cilacap.


Resi menerima perintah itu sejak tahun 2004 tetapi ketika itu masih was-was.


"Pada mulanya saya agak was-was namun akhirnya mula melakukannya Oktober lalu. "Selepas kali pertama, saya insaf, namun kemudian melakukannya lagi," katanya.


Katanya, upacara membongkar kubur dilakukan pada hari tertentu, iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu.


Dia mengaku mengambil kain kafan berserta tali dari makam bayi serta tulang perempuan bersama tengkoraknya di Cilacap.


Dia menafikan terbabit dalam beberapa kes lain di daerah sama. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

Petisyen tuntut bubar Parti Demokrat

Posted: 16 Dec 2013 01:07 PM PST

Bangkok: Parti Pheu Thai semalam memfailkan dua petisyen menuntut Parti Demokrat dibubarkan berikutan pembabitannya dengan Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC) serta Rangkaian Pelajar dan Rakyat Bagi Pembaharuan Thailand (NSPTR) yang menentang pilihan raya umum 2 Februari tahun depan.

Petisyen pertama difailkan jurucakap Pheu Thai Prompong Nopparit dan barisan peguam parti di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Petisyen kedua pula difailkan di Mahkamah Perlembagaan melalui peguam parti Pheu Thai Singthong Buachum.

Petisyen pertama menuntut SPR menyiasat sama ada pemimpin PDRC Suthep Thaugsuban serta orang kuat NSPTR Nitithorn Lamlua masih anggota Parti Demokrat.


Menurutnya, PDRC berusaha menggagalkan pilihan raya manakala NSPTR menggesa calon memboikot pendaftaran yang dijadualkan antara 23 dan 27 Disember ini.


Dua kumpulan itu turut berusaha memaksa perdana menteri meletakkan jawatan untuk membatalkan pilihan raya walaupun sudah mendapat pekenan raja.

Petisyen itu mendakwa tindakan mereka melanggar Seksyen 76 dan 152 perlembagaan.


Sementara itu, petisyen kedua memohon mahkamah mengeluarkan perintah injunksi terhadap Suthep untuk menghentikan segala demonstrasi yang diadakan PDRC. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

Taktik baru kekang pengemis

Posted: 16 Dec 2013 01:06 PM PST

Semarang: Majlis Perbandaran Semarang dijangka meluluskan undang-undang kecil bagi menangani masalah kesejahteraan sosial (PMKS) menjelang 2014.

Undang-undang kecil itu dilihat mampu menangani kes gelandangan termasuk kanak-kanak serta pengemis.


Antara lain, orang ramai berdepan denda jika memberi sedekah kepada pengemis atau kanak-kanak gelandangan.

Mereka yang menerima sedekah juga bakal menghadapi tindakan undang-undang.


Undang-undang kecil serupa sudah pun dilaksanakan di Jakarta. "Denda mungkin antara 500,000 rupiah (RM135) hingga sejuta rupiah (RM270)," kata ketua PMKS di Agensi Kesejahteraan Sosial, Kepemudaan dan Olahraga Semarang, Hengky Suherdiyono, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

Suthep didakwa 8 Januari

Posted: 16 Dec 2013 01:01 PM PST

Bangkok: Pejabat Pendakwa Raya mengarahkan pemimpin tunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban menghadapkan diri di mahkamah pada 8 Januari depan berhubung keganasan politik pada 2010.

Suthep pada mulanya diarahkan hadir pada 12 Disember bersama pemimpin Parti Demokrat Abhisit Vejjajiva yang menghadapi tuduhan sama.


Abhisit didakwa pada tarikh itu dan dibebaskan dengan jaminan.

Bagaimanapun, Suthep memohon penangguhan sehingga 16 Januari melalui peguamnya kerana sibuk mengetuai demonstrasi antikerajaan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.


Jurucakap pendakwa raya Nunthasak Poonsuk berkata, pihaknya bersetuju dengan permohonan itu sejajar dengan peraturan yang membolehkan penangguhan sehingga 30 hari.


"Khun Suthep perlu hadir di mahkamah pada jam 10 pagi, 8 Januari depan.

"Peguamnya sudah dimaklumkan dan memberi jaminan dia akan hadir pada tarikh itu," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

16 terbunuh di Xinjiang

Posted: 16 Dec 2013 01:00 PM PST

Beijing: Enam belas orang terbunuh dalam pertempuran antara penduduk tempatan dengan anggota polis di wilayah Xinjiang semalam.

Dua anggota polis adalah antara yang maut.


Portal berita rasmi wilayah itu Tianshan Net berkata, "beberapa penduduk tempatan" melontar bahan letupan malam kelmarin ke arah polis yang memburu suspek sebelum menyerang mereka dengan pisau. Dua daripada anggota polis di bandar Sayibage, di Kashgar terbunuh dan polis menembak 14 penyerang, manakala dua lagi suspek ditahan.

Xinjiang ialah wilayah yang majoriti penduduknya keturunan Uighur dan bergama Islam dan sejak sekian lama berjuang untuk bebas daripada pemerintahan China. Pertempuran terbaru di wilayah itu, termasuk serangan ke atas balai polis sebelum ini menyebabkan puluhan terbunuh sepanjang tahun ini. Aktivis Uighur berpangkalan di Sweden, Dilxat Raxit berkata, kejadian semalam ialah contoh terbaru mengenai bagaimana anggota keselamatan China memilih untuk membunuh suspek.


"Mereka tidak lagi berusaha menangkap dan membicarakan pejuang Uighur itu," katanya.


November lalu, polis menembak mati sembilan pejuang yang didakwa menyerang sebuah balai polis.

"Polis kini melepasan tembakan untuk membunuh penduduk, kemudian menggelar mereka pengganas.


"Hak penduduk untuk membela diri di mahkamah dirampas," katanya. Menurutnya, kerajaan biasanya menyifatkan kejadian sedemikian sebagai serangan pengganas yang dikaitkan dengan kumpulan radikal yang berpangkalan di luar negara.

Dalam kebanyakan kes, keganasan yang tercetus berlaku akibat kemarahan kerana ditindas dan undang-undang yang menghalang penduduk Islam beribadah. Oktober lalu, pihak berkuasa China menuduh pejuang Uighur melancarkan serangan dengan merempuh orang damai dengan kenderaan di Dataran Tiananmen sebelum meletupkan kereta itu.


Tiga orang terbunuh dalam kejadian itu sementara puluhan lagi cedera. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

Ditangkap kerana pembaris pro-Ikhwan

Posted: 16 Dec 2013 01:00 PM PST

Kaherah: Pendakwa raya semalam mengarahkan penahanan seorang lelaki selepas anaknya yang berusia 15 tahun ditangkap kerana membawa pembaris yang mempunyai lambang Ikhwanul Muslimin.

Mohamed Abdulghani Bakara dituduh menghasut anaknya, Khaled, untuk membawa pembaris berkenaan ke sekolah, kata peguam keluarga Mohamed.


Dua guru Khaled, Ashraf Raslan dan Hamidou el Kheish juga berdepan tuduhan cuba menyebabkan 'kekacauan di kalangan pelajar sekolah' dengan menggalaknya membawa pembaris itu., kata sumber kehakiman.

Perkembangan itu dilihat sebagai usaha terbaru pihak berkuasa Mesir untuk menghapuskan pengaruh Ikhwan.


Beratus-ratus anggota pergerakan Islam itu terbunuh selepas ditembak oleh pasukan keselamatan sejak penggulingan Presiden Mohamed Mursi Julai lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/17

No comments:

Post a Comment