Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


BOLA SEPAK: Laos 'lauk' Hazwan

Posted: 13 Dec 2013 10:36 AM PST

Nay Pyi Taw: Skuad Bawah 23 Tahun negara mempamerkan peningkatan apabila menewaskan Laos 4-1 dalam saingan Kumpulan A Sukan SEA Myanmar, malam tadi.

Seperti diramal Datuk Ong Kim Swee merombak hampir separuh pasukannya berbanding kesebelasan utama yang menentang Brunei tempoh hari.

Ahmad Hazwan Bakri muncul wira negara apabila meledak hatrik, menjaringkan gol pertama seawal minit keenam pada perlawanan di Stadium Zeyer Thiri itu sebelum K Reuben menjaringkan gol sendiri pada minit ke-40.

Namun skuad negara seolah-olah hilang punca selepas jaringan pertama dengan Kim Swee memasukkan Nazmi Faiz Mansor menggantikan S Sivanesan seawal babak kedua bagi menghidupkan jentera tengah selepas gagal memberi tekanan kepada lawan.

Foto

HAZWAN (kiri) diasak pemain Laos, Khochalem Phouttasay.


"Pemain bermain dengan amat baik pada babak kedua dengan gerakan tersusun namun beberapa kelemahan perlu diperbaiki untuk aksi selepas ini.


"Selepas kita menjaringkan gol pertama, kita berhenti bermain dan sikap sambil lewa serta jaringan sendiri menyebabkan kita tertekan," kata Kim Swee.

Ahmad Hazwan menjaringkan gol kedua menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti m-60 disusuli jaringan sendiri Ketsada Souksavanh m-80.

Pemain kelahiran Labuan itu melengkapkan hatrik apabila memanfaatkan hantaran silang Nazmi Faiz m-87 sekali gus memastikan kemenangan kedua berturut-turut skuad negara.

"Persembahan mantap (Ahmad Hazwan) akan memberikan cabaran kepada penyerang lain untuk merebut slot dalam kesebelasan utama," kata Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

RENANG: Renang tambah satu emas

Posted: 13 Dec 2013 10:30 AM PST

Nay Pyi Taw: Hanya satu pingat emas diraih skuad renang negara di kolam renang menerusi Christina Loh dalam acara 100 meter kuak dada wanita sekali gus menamatkan aksi hambar Malaysia selama dua hari berturut-turut.

Christina menamatkan saingan dengan catatatan masa 1 minit 10.55 saat, meninggalkan perenang Thailand, Chavunnooch Salubluek yang meraih perak.

Sementara gangsa milik rakan sepasukan Chavunnooch, Phiangkhwan Pawapotako.
"Ini kali pertama saya turun beraksi tanpa rakan sepasukan senior Siow Yi Ting yang sudah bersara.

"Saya harap mampu menyamai pencapaiannya apabila menyertai 200 meter kuak dada esok (hari ini),"katanya.

Satu lagi emas yang diharapkan negara menerusi Khoo Chai Lin lebur selepas atlet negara itu hanya menamatkan saingan di tempat kelima menerusi acara 400 meter gaya bebas wanita.

Chai Lin adalah pemegang rekod Sukan SEA dengan catatan 4:10.75 saat yang dilakar pada 2009 di Laos.

"Saya sebenarnya demam panas hari ini. Akibat kesihatan yang kurang sempurna, saya tidak mengharapkan apa-apa selain melakukan yang terbaik saja.

"Inilah yang saya mampu lakukan dan harap dapat sihat sepenuhnya apabila turun dalam acara 800 meter gaya bebas wanita esok (hari ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

SEPAK TAKRAW: Tekad undur

Posted: 13 Dec 2013 10:29 AM PST

Nay Pyi Taw: "Cukuplah sampai di sini. Saya ingat tak mahu teruskan lagi," kata ketua jurulatih sepak takraw negara Jamaluddin Hassan selepas Malaysia diaib pada temasya Sukan SEA Myanmar.

Pasukan takraw lelaki negara gagal mencatat kemenangan dan semalam menamatkan kempen liga sepusingan kecundang 1-2 di tangan Indonesia selepas kalah 0-3 kepada Thailand dan 1-2 kepada tuan rumah Myanmar kelmarin.

Jamaluddin bagaikan terkedu melihat aksi longlai anak buahnya dan kurang bermaya mengambil pingat 'gangsa' selepas Malaysia berada di tangga tercorot di belakang juara Thailand, Indonesia dan Myanmar.

"Saya datang ke sini dengan harapan sekurang-kurangnya meraih pingat perak tapi tidak menjadi kenyataan.

Terpulang kepada persatuan tapi memang saya ingat cukuplah setakat di sini.

"Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan ini dan sudah melakukan yang terbaik dengan pemain yang kita ada.

Saya tahu ada pemain yang cakap-cakap di belakang dan saya harap mereka berani tampil mewakili negara," jelasnya.

Kontrak Jamaluddin yang pernah membimbing regu negara memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA Manila 2005, berakhir April.

Sama seperti nasib skuad lelaki, skuad sepak takraw wanita negara turut meraih gangsa di tangga keempat selepas kalah semua tiga perlawanan di belakang pemenang emas Thailand, Myanmar dan Indonesia.

Bagaimanapun anak buah Jamaluddin masih boleh menebus keaiban itu dalam acara regu bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

MENEMBAK: Kejutan Eddy

Posted: 13 Dec 2013 10:28 AM PST

Yangon: "Saya tidak jangka meraih pingat emas kerana hanya berpeluang berlatih sepuluh hari untuk acara ini," kata Eddy Chew sebaik mengungguli 50m free pistol individu lelaki di Lapang Sasar North Dagon, semalam.

Lebih manis kejayaan itu turut dikongsi rakan sepasukan Jonathan Wong, yang meraih pingat gangsa acara sama manakala gandingan mereka bersama Abdul Hadi Abdul Malek turut menghasilkan gangsa berpasukan.

Dalam acara inidvidu, Eddy mengumpul 186.4 mata diikuti peserta Myanmar, 185.7 mata manakala Jonathan, 166 mata.

Menerusi acara berpasukan, Malaysia mengumpul 1,618 mata di belakang trio Vietnam (1,649 mata) dan Singapura (1,637 mata).


"Pada mulanya saya hanya menjangkakan mampu meraih pingat menerusi acara berpasukan tetapi berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara individu selain gangsa berpasukan," kata atlet berusia 18 tahun itu.


"Saya tujukan kemenangan ini khusus buat jurulatih, keluarga dan rakan sepasukan," kata atlet dari Padang Temu, Melaka itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

HOKI: Hoki wanita belasah tuan rumah

Posted: 13 Dec 2013 10:26 AM PST

Yangon: Skuad hoki wanita negara memulakan kempen Sukan SEA dengan penuh bergaya apabila menewaskan Myanmar, 6-0 pada perlawanan pembuka tirai di Stadium Hoki Thenphiyu semalam.

Meskipun memulakan aksi agak hambar pada separuh masa pertama berikutan kawalan ketat pemain Myanmar namun gol pertama yang dicari hadir menerusi Rabiatul Mohamed pada minit ke-27.

Anak buah Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mula mempamerkan permainan lebih kemas apabila menambah jaringan menerusi Fazillah Sylbester Silin pada minit ke-41, Nurul Nabila Mansur (m-46), Norhidayah Ahmad Bokhari (m-48), Rabiatul (m-62) dan Nadia Abdul Rahman (m-64).

Aksi kurang kemas itu nyata disedari Mohd Nasihin yang mahu mereka lebih waspada dalam perlawanan menentang Kemboja selepas ini.

"Kemenangan ini sudah diduga tapi dengan permainan lebih baik, kami mampu menang lebih daripada itu," katanya.

Pemain hanya mempunyai masa rehat 24 jam untuk perlawanan seterusnya tetapi tetap bertekad meneruskan rentak kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

SILAT: Ganda puteri jagoan seni

Posted: 13 Dec 2013 10:25 AM PST

Nay Pyi Taw: Skuad silat negara terpaksa menunggu acara terakhir disertai semalam untuk meraih pingat emas pertama di Sukan SEA Myanmar.

Kejayaan Nur Syazreen A Malik dan Nor Hamizah Abu Hasan dalam acara ganda puteri memastikan sasaran tiga emas skuad negara yang disasarkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berada pada landasan tepat.

Pada pertandingan di Stadium Tertutup Zeyer Thiri malam semalam mereka mengumpul 572 mata mengatasi lawan dari Vietnam dan tuan rumah yang meraih perak dan gangsa.

Mereka mempamerkan persembahan yang berjaya mencuri hati juri sekali gus menebus kekecewaan atlet negara ganda putera yang gagal meraih sebarang pingat.

Kejayaan itu pasti melegakan selepas dua pesilat harapan negara, Mohd Fauzi Khalid dan Siti Zubaidah Che Omar gagal melepasi separuh akhir pada sebelah pagi dan sekadar meraih gangsa.

"Kita harap mereka mampu meraih emas walaupun tampil buat kali pertama di Sukan SEA namun dengan pendedahan diberikan di pentas antarabangsa memberikan kelebihan bagi mereka," kata ketua delegasi skuad silat Datuk Osman Nok.

Harapan kini disandarkan kepada dua pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jumari dan Ahmad Shahril Zailudin untuk meraih dua emas pada final esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

KARATE: Sinar Chee Wei

Posted: 13 Dec 2013 10:25 AM PST

Nay Pyi Taw: Lim Chee Wei tidak pernah menduga mampu menyumbang dua pingat emas buat negara dalam sukan karate pada temasya Sukan SEA kali ini.

Atlet berusia 22 tahun dari Pulau Pinang itu meraih pingat emas individu kata lelaki sebelum bergandingan dengan Leong Tze Wai, 27, dan Emmanuel Leong, 21, untuk menjuarai acara berpasukan.

Kejayaan Chee Wei menyaksikan skuad negara memulakan saingan hari pertama di Stadium Tertutup Wunna Theikdi semalam dengan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

G Theebaan meraih perak kumite lelaki 84kg ke atas selepas kecundang 0-1 di tangan juara bertahan dari Indonesia, Umar Syarief pada pertarungan akhir manakala Jamalliah Jamaludin merangkul gangsa kumite wanita 68kg ke atas.

Foto

KHAIRY (kiri) mengucapkan tahniah kepada Chee Wei sambil mengalungkan pingat emas.


"Saya sasar emas individu tapi kemenangan acara berpasukan amat mengejutkan. Ketika juri mengangkat bendera merah, saya bagaikan tidak percaya," katanya selepas Malaysia mengatasi tuan rumah 4-1 pada perlawanan akhir berpasukan.


Penuntut Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang itu terdahulu turut menundukkan peserta tuan rumah Min Hein Khant 5-0 pada final individu.

"Saya datang ke sini selepas menang pingat gangsa (individu dan berpasukan) Kejohanan Asia di Dubai minggu lalu, semangat dan keazaman saya memang tinggi untuk meraih emas buat negara," kata Chee Wei.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

BADMINTON: Kudrat Vivian Ho, Khe Wei

Posted: 13 Dec 2013 10:23 AM PST

Nay Pyi Taw: Gandingan Vivian Ho-Woon Khe Wei berpeluang merebut pingat emas beregu wanita Sukan SEA selepas layak ke perlawanan akhir hari ini.

Pada separuh akhir di Stadium Tertutup Wunna Theikdi semalam, mereka mengejutkan pilihan kedua, Shinta Mulia Sari-Yao Lei dari Singapura 23-21, 17-21, 21-17 dalam masa 74 minit.

Bagaimanapun Vivian-Khe Wei berdepan tugas sukar menentang pilihan utama Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii dari Indonesia bagi penentuan pingat emas hari ini.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki dan campuran turut berakhir dan sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.


Dua beregu lelaki Goh V Shem-Teo Kok Siang dan Lim Khim Wah-Ow Yao Han kedua-duanya kecundang di tangan pasangan Indonesia.


V Shem-Kok Siang tewas kepada Berry Angriawan-Ricky Suwardi 17-21, 18-21 manakala Khim Wah-Yao Han tunduk kepada Angga Pratama-Ryan Agung Saputro 16-21, 15-21.

Bagi beregu campuran, gandingan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing tersingkir selepas kalah kepada Maneepong Jongjit-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 15-21, 17-21 pada separuh akhir semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

'Pegawai penumpang'

Posted: 13 Dec 2013 10:21 AM PST

Penumpang satu perkara yang biasa dilihat pada setiap temasya sukan sama ada Sukan SEA, Asia, Komanwel mahupun Olimpik.

Ada dua kategori pertama 'atlet penumpang' dan keduanya 'pegawai penumpang'.
Atlet penumpang dimaksudkan adalah atlet yang gagal menyumbang sesuatu kepada kontinjen negara atau pemain simpanan yang hanya memerhatikan rakan beraksi.


Pegawai yang saya maksudkan pula adalah 'rombongan' yang dilihat tidak menyumbang apa-apa kecuali mungkin memberikan sokongan kepada skuad negara di beberapa gelanggang pertandingan.

Mereka biasanya mengiringi Menteri atau Chef de Mission dan tidak terkecuali di Nay Pyi Taw kali ini apabila ramai 'Pemuda UMNO' dilihat mengiringi Khairy Jamaluddin Abu Bakar di setiap gelanggang pertandingan.

Malah rakan saya mengenali seorang Ketua Pemuda UMNO bahagian turut ke sini selain watak yang tidak asing lagi Tan Sri Annuar Musa yang pernah memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan ketika saya mula bertugas sebagai wartawan sukan pada awal 1990-an.

Itu yang saya dan rakan kenali, belum lagi yang kami tidak kenali namun tampil dengan tag 'Observer' atau 'Pemerhati'. Ramai juga yang memakai tag sebegini.

Untuk apa dan apa faedahnya Pemuda UMNO ini hadir beramai-ramai di Myanmar?.

Ini penyalahgunaan pas Sukan SEA yang tidak seharusnya dibenarkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan memantau senarai nama permohonan pas Pemerhati atau VIP terutama daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Budaya 'penumpang' ini perlu dikikis segera supaya ia tidak menjadi barah kerana sudah tentu kehadiran mereka di sini menggunakan duit rakyat.

Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

BERBASIKAL: Tempat kelima

Posted: 13 Dec 2013 10:20 AM PST

Nay Pyi Taw: Hanya linangan air mata kekecewaan mengiringi kegagalan pelumba berbasikal negara Masziyaton Mohd Radzi yang menamatkan saingan di tempat kelima acara merentas desa Olimpik pagi semalam.

Pelumba harapan negara itu yang meraih perak di Sukan SEA Indonesia dua tahun lalu gagal menyaingi rentak kayuhan pelumba negara lain sekali gus gagal merealisasikan impian meraih pingat emas disasarkannya.

"Saya mohon maaf kerana sebelum ini berjanji membawa pulang pingat emas namun gagal.

"Mungkin kesilapan diri sendiri, saya gagal mengikut rentak pelumba lain pada pusingan ketiga," katanya yang menamatkan saingan dengan catatan masa satu jam 25 minit 18 saat.


Turut mengecewakan Junaidah Juss yang berada di kedudukan ketujuh, ketinggalan 5.01 minit kepasa Kusmawati Yazid dari Indonesia yang muncul juara.


Shahrin Amir dan Norshahriel Haizat Ahmad Nazali turut gagal merangkul pingat pada saingan kategori lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

No comments:

Post a Comment