Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Curi kepala mayat anak dara

Posted: 14 Dec 2013 09:39 AM PST

Cilacap: Polis di daerah di Jawa Tengah ini semalam melancarkan siasatan terhadap perbuatan mencuri mayat yang berlaku dua kali dalam masa seminggu.

Bercakap di tanah perkuburan Sabuk Janur, tempat mayat berkenaan dicuri, Ketua polis tempatan Andri Triaspoetra berkata, pihaknya hingga kini belum dapat memastikan motif perbuatan berkenaan.

Menurut penduduk tempatan, antara mayat yang dicuri dari tanah perkuburan itu ialah milik Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini.

Pemeriksaan yang dilakukan mendapati pencuri hanya mengambil kepala dan meninggalkan bahagian tubuh lain di dalam liang lahad.

Foto

POLIS memeriksa kubur Endah Setyowati.


Turut ditemui berhampiran kubur Endah ialah cangkul kecil, kandang ayam, sarang burung, lilin berbentuk angka 2 dan 4 sesuai usia mayat, dan beberapa potongan tubuh mayat.


Penduduk tempatan yakin kejadian mencuri mayat berkenaan ada kaitan dengan amalan ilmu hitam memandangkan Endah masih anak dara ketika meninggal dunia dan mati pada Jumaat Keliwon, yang mengikut kepercayaan masyarakat Jawa, jatuh pada setiap malam Jumaat ketiga pada sesuatu bulan.

Seorang bomoh dari Pasuruan, Jawa Timur, Mas Hari berkata, dia percaya si pencuri itu baru belajar ilmu hitam, termasuk mahu kaya cepat.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Diikat, disebat akibat ponteng sekolah

Posted: 14 Dec 2013 09:34 AM PST

Nanchong: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun diikat oleh bapanya pada sebatang pokok sebelum disebat dengan kayu di depan orang ramai.

Kanak-kanak berkenaan dihukum demikian selepas ditangkap oleh bapanya kerana tidak ke sekolah walaupun diberi wang belanja kira-kira RM50.

Si bapa mengesyaki perbuatan anaknya itu selepas dia pulang lewat minggu ini.
Selepas memandu mengeliling bandar Nanchong di Sichuan, wilayah di barat daya China, lelaki itu menemui anaknya berhampiran sebuah pasar.

Foto

KANAK-kanak yang dipukul bapanya kerana ponteng sekolah.

Dia menangkap anaknya lalu mengikat murid itu pada sebatang pokok sebelum menanggalkan seluarnya dan menyebat punggungnya dengan kayu tanpa mempedulikan cuaca sejuk dan orang ramai yang lalu lintas di kawasan berkenaan.

Walaupun terdapat undang-undang di China yang menghalang penderaan melampau terhadap kanak-kanak, tindakan lelaki itu masih dibenarkan kerana wujud undang-undang lain yang membolehkan pihak berkuasa mengarahkan ibu bapa melaksanakan disiplin ketat ke atas anak mereka sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan serius.

Menurut lelaki itu, anaknya tidak hadir ke sekolah beberapa hari tanpa pengetahuannya dan kanak-kanak itu tidak pulang tepat pada waktunya sehari sebelum dia memukulnya.

Keesokannya, dia menemui anaknya berkeliaran di jalan raya. Kanak-kanak itu cuba lari tetapi ditangkap bapanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Khloe, Odom bercerai

Posted: 14 Dec 2013 09:33 AM PST

Los Angeles: Khloe Kardashian mengakhiri spekulasi selama beberapa bulan selepas memfailkan perceraian terhadap suaminya Lamar Odom.

Bintang realiti berusia 29 tahun itu memfailkan perceraian di mahkamah bagi mengakhiri perkahwinan empat tahun itu atas alasan tiada persefahaman.

Beliau yang menukar nama kepada Kardashian Odom selepas berkahwin turut memohon kembali menggunakan nama akhir Kardashian.

Tindakan Khloe itu hanya beberapah hari selepas Odom membuat pengakuan memandu secara mabuk.


Atlet bola keranjang dengan tinggi 6 kaki 10 inci berusia 34 tahun itu ditahan Ogos lalu selepas dilihat memandu terhuyang-hayang di lebuh raya di Los Angeles.


Pasangan itu berkahwin pada 2009 selepas hanya 30 hari berkenalan dan sebelum ini menafikan mereka bermasalah. -AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Suthep ubah fikiran

Posted: 14 Dec 2013 09:31 AM PST

Bangkok: Pemimpin antikerajaan Suthep Thaugsuban mengumumkan menarik diri daripada forum pembaharuan kerajaan walaupun pada asalnya bersetuju menyertai acara itu yang dijadualkan untuk hari ini.

Suthep yang mengetuai Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC) sebelum ini bersetuju menyertai forum berkenaan, namun mengumumkan perubahan fikirannya di Monumen Demokrasi, kelmarin.

Katanya, seorang pegawai kanan memaklumkannya pihak kerajaan bersetuju mengakhiri forum berkenaan dengan pengumuman yang menyokong pilihan raya diadakan pada 2 Februari tahun depan.

Sehubungan itu, beliau menganggap tidak wajar untuk PDRC menyertai forum berkenaan bagi mengelak pihak tertentu menganggap kehadirannya bermakna jawatankuasa itu bersetuju dengan pilihan raya berkenaan.

Ini berikutan PDRC tidak mahu pilihan raya diadakan sehingga 'Majlis Rakyat' ditubuhkan serta sistem politik negara itu diperbaharui.

Jika pilihan raya tetap diadakan pada 2 Februari, perbincangan pembaharuan hanya boleh diadakan selepas itu.

"Jika PDRC membenarkan wakilnya menyertai forum berkenaan, pasti ini akan ditafsirkan bahawa kami bersetuju pembaharuan dibuat hanya selepas pilihan raya," katanya.

Menurutnya, PDRC juga menggalakkan pengundi memboikot pilihan raya berkenaan melainkan tuntutannya untuk Majlsi Rakyat dipenuhi.

"Pada saya, tidak perlu mengundi pada 2 Februari.

"Pilihan raya patut ditangguhkan sehingga pembaharuan dapat dilaksanakan," katanya.

Suthep berkata, Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra hanya mempunyai dua pilihan - mengundur secara sukarela atau paksaan.

Beliau tetap dengan pendiriannya bahawa Yingluck dan barisan Kabinet perlu melepaskan jawatan sementara mereka itu.

Menurutnya, ini akan mewujudkan kekosongan kuasa yang membolehkan orang lain dilantik sebagai perdana menteri.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Dipecat kerana tak solat subuh

Posted: 14 Dec 2013 09:31 AM PST

Riau: Seramai 19 pekerja kontrak kerajaan di wilayah Hulu Rokan dipecat kerana gagal menghadiri solat subuh yang dijadikan program keagamaan wajib pihak berkuasa tempatan pada setiap Jumaat.

"Kebanyakan yang dipecat adalah lelaki.

"Kejadian berlaku pada pertengahan November," kata ketua Jabatan Sumber Manusia Rokan Hulu, Heni Widiastuti.

Pada 8 November lalu, ketua wilayah Parti Demokratik, Achmad, membuat pemeriksaan mengejut di masjid itu yang terletak di kompleks pejabat wilayah.

Syarat menghadiri solat subuh itu dilaksanakan tiga tahun lalu.

Selain itu, kakitangan turut diwajibkan berpuasa setiap Isnin dan Khamis, menghadiri kelas mengaji setiap petang Rabu dan menyertai solat setiap jam 3 petang.

Seorang daripada pekerja dipecat yang enggan namanya disiarkan meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan itu.

Dia yang bertugas di situ selama lima tahun mendakwa tidak diberi sebarang amaran.

Selain itu, alasan diberikan iaitu tinggal terlalu jauh sehingga terpaksa bermalam di pejabat jika mahu menghadiri solat subuh jemaah setiap Jumaat tidak diendahkan.

"Pada hari kejadian saya tidak sihat, namun terlupa memaklumkan bos saya," katanya.

Bagaimanapun, Heni berkata pekerja terbabit menandatangani perjanjian berdepan tindakan dipecat jika gagal mematuhi polisi ditetapkan.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Rhoma tetap jadi pilihan PKB

Posted: 14 Dec 2013 09:30 AM PST

Jakarta: Sindiran ketua Parti Hanura, Wiranto, tidak menjejaskan keputusan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) untuk mencalonkan raja dangdut Rhoma Irama sebagai calon presiden.

Di samping itu, Ketua Umum PKB Muhaimin Iskandar semalam turut merasmikan pusat kawalan pilihan 'Rhoma Irama for Republik Indonesia', semalam.

Muhaimin menghadiri perasmian itu bersama Rhoma dengan masing-masing berpakaian hijau, malah bangunan tiga tingkat berkenaan turut diwarnakan hijau.

Di beberapa tempat juga dipasang papan iklan serta sepanduk bertulis 'Partainya Kesatria Bergitar, Menuju Indonesa yang Berakhlak dan Bermartabat' (Parti wira bergitar, menuju Indonesia yang berakhlak dan bermartabat).

PKB sendiri mempunyai tiga calon presiden iaitu Rhoma, Mahfud MD dan Jusuf Kalla (JK).

Parti itu sedang mempertimbangkan untuk meletakkan seorang daripada tiga calon itu menentang gabenor Jakarta, Joko Widodo atau Jokowi.

Malah Rhoma sendiri menyatakan mahu bertanding hadapi Jokowi.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

PDI-P mampu raih undi tinggi

Posted: 14 Dec 2013 09:30 AM PST

Jakarta: Tinjauan politik terbaru menunjukkan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) sebagai paling mampu meraih undi dalam pilihan raya negara itu, tidak lama lagi.

Parti pembangkang terbesar negara itu - yang pada 2012 di tempat ketiga selepas Parti Demokratik (PD) dan Parti Golkar - kini paling popular.

Ini dilihat disebabkan skandal yang dihadapi parti dipimpin Presiden Susilo Bambang Yudhoyono selain populariti gabenor Jakarta, Joko Widodo atau Jokowi.

Berdasarkan penilaian terhadap 30 tinjauan pendapat terhadap populariti parti politik pada 2013, Sindiket Soegeng Sarjadi (SSS) meramalkan PDI-P akan meraih 17.40 peratus daripada undi diikuti Golkar (17.01 peratus) - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Jepun, ASEAN bersepakat

Posted: 14 Dec 2013 09:29 AM PST

Tokyo: Jepun dan negara Asia Tenggara semalam sepakat mahukan kebebasan pergerakan di udara.

Persetujuan dicapai dalam dalam pertemuan terbesar pertama pemimpin benua itu sejak China mencetuskan ketegangan apabila mengumumkan zon pertahanan udara berkontroversi.

Jepun turut menjanjikan bantuan berjumlah $20 bilion (RM64 bilion) untuk rantau itu.

Ketika perjumpaan di Tokyo, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan pemimpin ASEAN bersetuju mempertingkatkan kerjasama untuk memastikan kebebasan serta keselamatan penerbangan dan ruang udara.

Pendirian ini dilihat seperti teguran lembut terhadap China yang mempunyai beberapa pertikaian dengan Jepun serta empat negara anggota ASEAN selain kerap membuat pelbagai ugutan dan paksaan.

Perhimpunan itu turut memberi sokongan terhadap kekuatan ketenteraan Abe yang dianggap pengimbang baik pengaruh China yang semakin berkembang.

Mengikut satu kenyataan: "Pemimpin ASEAN amat mengharapkan Jepun menyumbang ke arah keamanan, kestabilan dan pembangunan secara konstruktif di rantau ini.

Pengesahan terhadap Jepun itu mengakhiri sidang khas yang menandakan 40 tahun hubungannya dengan ASEAN yang turut melihat negara itu menjanjikan dua trilion yen bagi rantau itu untuk lima tahun akan datang.

Sementara itu, Abe berkata Jepun dan ASEAN bersetuju berganding bahu memastikan kerjasama ekonomi lebih mendalam.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Iran hantar lagi monyet ke angkasa lepas

Posted: 14 Dec 2013 09:29 AM PST

Teheran: Presiden Iran semalam berkata, Republik Islam itu berjaya menghantar seekor lagi monyet ke angkasa lepas.

Dalam kenyataan menerusi laman webnya presiden.ir, Hassan Rouhani berkata, pelancaran roket yang dinamakan Pajohesh atau Kajian dalam bahasa Parsi, menggunakan bahan pembakar cecair, kali pertama seumpamanya.

Monyet yang diberi nama Fargam, kembali ke bumi dengan selamat.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan bila roket itu dilancarkan atau menjelaskan lebih lanjut mengenai ekspedisi berkenaan.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Rumah tangga Hrithik Roshan runtuh

Posted: 14 Dec 2013 09:28 AM PST

Mumbai: Bintang Bollywood Hrithik Roshan dan isterinya Sussanne bakal mengakhiri perkahwinan mereka selama 13 tahun.

"Sussanne mahu berpisah dan menamatkan hubungan.

"Kami sekeluarga sedang bersedih dan saya harap pihak media serta peminat memberi ruang kepada kami," katanya.

Pasangan itu mempunyai dua anak, Hrehaan, tujuh, dan Hridhaan, lima.

Pengumumannya mengakhiri spekulasi sejak empat bulan lalu bahawa pasangan itu bermasalah malah sudah tiga bulan tidak tinggal sebumbung.

- Mereka turut tidak dilihat bersama menghadiri majlis rasmi dan Susanne tiada ketika semua majlis berkaitan dengan filem terbaru Hrithik, Krrish 3.

Walaupun begitu, pengalaman ini tidak menjejaskan keyakinan Hrithik dengan perkahwinan.

"Saya harap berita ini tidak menjejaskan persepsi peminat atau sesiapa saja terhadap perkahwinan," katanya.

- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

No comments:

Post a Comment