Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Wanita hodoh berwajah baru

Posted: 13 Dec 2013 09:29 AM PST

Warsaw: Seorang wanita Poland yang cacat mukanya kerana ketumbuhan besar mendapat wajah baru minggu lalu.

Wanita yang hanya dikenali sebagai Joanna itu mendapat wajah baru selepas menjalani transplan muka, yang kedua di negara itu.

Sebelum pembedahan, Joanna berdepan kesukaran untuk mengunyah dan menelan makanan mahupun bercakap.

Pakar bedah Dr Adam Maciejewski yang mengetuai pembedahan selama 23 jam itu berkata, dia berharap 80 peratus transplan kulit pada wajah pesakit akan pulih dan berfungsi kembali.

Foto

KEADAAN muka Joanna sebelum dibedah.

Foto

WAJAH Joanna selepas menjalani transplan muka.


Joanna mengalami kecacatan akibat neurofibromatosis - keadaan genetik yang menyebabkan ketumbuhan tidak mengancam nyawa tumbuh di sepanjang sarafnya.


Keadaan itu juga menyebabkan masalah tulang, tekanan terhadap saraf spina, kesakitan, kecacatan pembelajaran dan penglihatan serta pendengaran. Tiada rawatan dapat memulihkan keadaan itu.

Walaupun kebanyakan mereka yang mengalami masalah itu yang diwarisi daripada ibu atau bapa, 50 peratus memperolehnya secara rawak daripada mutasi gen sebelum dilahirkan.

Joanna kini dalam keadaan serius tetapi stabil selepas pembedahan di Pusat Kanser dan Institut Onkologi di Gliwice, Poland.

Pada Mei lalu, Maciejewski dan rakan sekerjanya menjalankan transplan muka pertama di Poland terhadap seorang lelaki yang koyak wajahnya akibat terkena mesin pemotong batu. Keadaannya dikatakan semakin pulih.

Pembedahan dijalani lelaki itu mengambil masa 27 jam dan dilakukan seminggu selepas dia terbabit dalam nahas berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

40 tahun hidup dalam kandang besi

Posted: 13 Dec 2013 09:25 AM PST

Beijing: Seorang wanita China yang mengurung anak lelakinya dalam kurungan selama lebih 40 tahun merayu orang ramai menjaga anaknya itu jika dia mati kelak.

Peng Weiqing, 48, dikurung dalam kurungan di kediaman ibunya di Zhengzhou, ibu negara Henan sejak berusia enam tahun.

Walaupun tindakannya itu mungkin dilihat kejam tetapi Peng Waimei berkata, dia melakukan demikian untuk melindungi Weiqing.

Waimei dan mendiang suaminya mengurung anak lelaki mereka dan memberinya makan dari luar jeriji kurungan itu selepas Weiqing mengalami beberapa masalah kesihatan sejak kanak-kanak lagi.

Foto

WAIMEI menyuapkan makanan ke mulut Weiqing dari luar jeriji kurungan.


Ketika Weiqing masih bayi, dia menghidap demam panas yang menjejaskan otaknya.


Dia kemudian mula menderita serangan sawan yang teruk ketika berusia enam tahun.

Bimbang Weiqing akan mencederakan diri sendiri dan tidak mampu untuk mendapatkan rawatan, bapanya membuat beberapa kurungan yang bersaiz besar apabila anak lelakinya itu kian membesar.

"Dia tidak boleh mengawal diri. Ketika kecil, dia selalu melukakan diri sendiri dengan pisau dan serpihan kaca.

"Malah, ketika berjalan pun, dia akan terjatuh hingga mukanya tercedera dan berdarah," kata Waimei.

Dengan ketiadaan suami dan dia sendiri sudah mencecah 80 tahun, Waimei bimbang dengan keadaan anaknya itu jika dia mati kelak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

Jam dinding beritahu pesakit ajalnya sudah tiba

Posted: 13 Dec 2013 09:23 AM PST

London: Doktor di sebuah hospital Britain terkejut apabila seorang pesakit memberitahu mereka yang jam dinding di dalam wad mengumumkan yang ajalnya sudah tiba.

Jurnal Perubatan Britain (BMJ) melaporkan pesakit itu berkata, jam berkenaan memberitahunya waktu kematiannya semakin hampir.

"Bila melihat ke dinding, kami mendapati jam itu memang menunjukkan perkataan 'DIE (Mati)'," kata ahli Reumatologi, Stuart Carter dan Fiona Fawthrop daripada Hospital Hallamshire di Sheffield, Yorkshire.

"Kami mendapati jam yang dikuasai radio itu dialih bahasa ke bahasa Jerman dan mempamerkan perkataan 'DIE' daripada singkatan 'Dienstag' yang bermaksud Selasa dalam bahasa Jerman "Kami segera menukarnya semula ke bahasa Inggeris yang menunjukkan singkatan 'TUE'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

'Undur atau disingkir secara paksa '

Posted: 13 Dec 2013 09:22 AM PST

Bangkok: Pemimpin tunjuk perasaan antikerajaan semalam berkata, Yingluck Shinawatra perlu berundur daripada jawatannya sebagai perdana menteri - atau disingkirkan secara paksa - dan mereka memerlukan masa kira-kira setahun untuk melaksanakan reformasi.

Kata Suthep Thaugsuban, gerakan antikerajaan pimpinannya tidak dapat menerima pelan dilaksanakan Yingluck apabila dia membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum awal Februari depan.

"Walaupun sepatutnya kerajaan menggubal undang-undang untuk faedah rakyat, mereka menggunakan sistem Parlimen secara salah hanya untuk menolong sekumpulan orang, untuk membersihkan kesalahan (bekas perdana menteri) Thaksin Shinawatra," katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada rang undang-undang dicadangkan kerajaan Yingluck ke Parlimen bagi mendapatkan pengampunan menyeluruh kepada pesalah dalam krisis politik lampau, termasuk abangnya, Thaksin.

Thailand dijangka mengadakan pilihan raya umum pada 2 Februari depan dan parti Parti Pheu Thai pimpinan Yingluck mungkin memenanginya.

Pelaksanaan dasar populis parti itu membolehkan ia mendapat sokongan daripada pengundi miskin dan penduduk luar bandar berbanding Parti Demokrat yang menerima sambutan di kalangan penduduk bandar serta golongan pertengahan.


Suthep berkata, gerakannya mahu sebuah "Majlis Rakyat" ditubuhkan bagi mentadbir Thailand untuk sementara waktu sehingga reformasi menyeluruh berjaya dilaksanakan.


Cara mudah untuk mengatasi kemelut politik semasa, kata Suthep, ialah dengan Yingluck meletak jawatan dan membiarkan Majlis Rakyat melakukan tugasnya.

"Jika tidak rakyat akan merampas kuasa," katanya dalam satu kenyataan.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

Yingluck nafi bercuti

Posted: 13 Dec 2013 09:21 AM PST

Bangkok: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra semalam menafikan dia mengambil cuti seperti dilaporkan media tempatan.

Kata Yingluck dia juga tidak menugaskan Timbalan Perdana Menteri Thailand Phongthep Thepkanjana untuk mengetuai kerajaan sementara bagi pihaknya.

Bercakap kepada media di Stesen Kereta Api Chiang Mai, Yingluck berkata, dia hanya menugaskan Phongtep untuk mengetuai rundingan mengenai reformasi di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirkit.

Yingluck kemudian menaiki kereta api khas untuk ke Lampang bagi memeriksa projek membaik pulih laluan di utara Thailand.

Kira-kira 200 penyokong Baju Merah menunggu Yingluck di situ untuk memberikan sokongan moral kepadanya.


Turut menyertai rombongan itu beberapa menteri.

Laluan kereta api di bahagian utara ditutup untuk proses membaik pulih sejak 1 Disember lalu.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

Bapa saudara Kim jalani hukuman mati

Posted: 13 Dec 2013 09:20 AM PST

Pyongyang: Korea Utara semalam berkata, Jang Song Thaek -bapa saudara pemimpin negara itu, Kim Jong-un sudah dihukum mati.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkait dengan pelaksanaan hukuman itu, pihak berkuasa Korea Utara menggelar bekas mentor pemimpin terbabit sebagai pengkhianat yang cuba merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Jang - yang dianggap orang nombor dua di negara itu - disingkirkan daripada semua jawatan kerana pelbagai tuduhan, termasuk rasuah, penggunaan dadah, berjudi dan kaki perempuan.

Dalam pengumuman terperinci yang luar biasa, agensi berita kerajaan KCNA berkata, Jang cuba melakukan "jenayah tersembunyi untuk cuba menggulingkan kerajaan menerusi rancangan jahat dan keji dengan cita-cita untuk merampas kuasa tertinggi parti dan negara".

Foto

JANG dibawa untuk menjalani perbicaraan di tribunal khas tentera di Pyongyang, Korea Utara kelmarin.


Kerajaan Korea Utara menggelarnya "pengkhianat kepada semua peringkat masyarakat di negara berkenaan" dan "lebih buruk daripada anjing".


Jong-un menyelia pengusiran berprofil tinggi sejak mengambil alih kuasa selepas kematian bapanya, Kim Jong II dua tahun lalu. Namun, tiada seorang pun yang disingkirkan itu diumumkan kepada rakyat sebagaimana tindakan ke atas Jang yang sebelum ini dilihat membantu Jong-un menggabungkan kuasa.

Penganalisis berkata, Jong-un bertindak melulu tanpa belas ihsan untuk mengukuh dan menunjukkan kuasanya, tetapi terdapat kebimbangan di Seoul bahawa penyingkiran Jang dan pengikutnya akan menyebabkan ketidakstabilan atau salah percaturan atau serangan ke atas Korea Selatan.

Jang dilihat oleh kuasa asing sebagai penyokong utama pembaharuan ekonomi ala China. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

Ramai yakin tak salah beli undi

Posted: 13 Dec 2013 09:17 AM PST

Jakarta: Lebih 40 peratus pengundi Indonesia berpendapat ahli politik yang membeli undi pada pilihan raya boleh diterima.

Dalam satu kaji selidik yang disifatkan sebagai "mencemaskan" semalam, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum, badan peninjau berpejabat di Jakarta, Indikator mendapati 41.5 peratus daripada 15,600 responden menyatakan tiada masalah jika menerima wang tunai atau hadiah daripada calon yang bertanding.

Sebanyak 57.9 peratus berpendapat membeli undi tidak boleh diterima, manakala peratusan kecil tidak dapat membuat keputusan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, memberi wang tidak menjamin kemenangan calon, dedah kaji selidik itu.

Lebih 55 peratus responden berkata, mereka akan menerima wang tunai tetapi tidak semestinya mengundi calon yang memberi wang itu.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

4 maut dalam rusuhan

Posted: 13 Dec 2013 09:17 AM PST

Dhaka: Sekurang-kurangnya empat terbunuh semalam apabila penyokong Abdul Quader Mollah merusuh atas keputusan Mahkamah Agung Bangladesh terhadap pemimpin parti Jamaat-e-Islami itu.

Saksi berkata, penyokong Abdul Quader membakar beberapa kenderaan serta rumah, selain menjarah kedai dan menghalang laluan di beberapa bahagian di negara itu.

Polis berkata dua aktivis Liga Awami dicekik hingga mati di Satkhira, barat daya Bangladesh.

Seorang lagi maut dalam pertempuran penyokong Jamaat-e-Islami dengan polis di Noakhali, manakala seorang pemandu terbunuh didakwa selepas dia dikejar penyokong Abdul Quader.

Pemimpin gerakan Islam itu menjadi orang pertama dihukum mati atas kesalahan jenayah perang.

Dia didapati bersalah atas dakwaan melakukan pelbagai jenayah - termasuk membunuh - ketika Bangladesh menuntut kemerdekaan daripada Islamabad pada 1971.

Ketika itu Abdul Quader membantah gerakan kemerdekaan itu dan bertegas mahu Bangladesh kekal sebagai sebahagian daripada Pakistan.

Aktivis hak asasi manusia dan sebahagian komuniti antarabangsa tampil mengecam keputusan berkenaan.

Namun ada juga yang menyambut baik hukuman ke atas Abdul Quader yang pernah digelar Tukang Sembelih Mirpur.

Seorang wanita mendakwa keluarganya menjadi mangsa penyeksaan ketika konflik itu, Selina Hossain berkata, hukuman terhadap Abdul Quader ialah hadiah peribadi kepadanya.

"Ia konsisten dengan semangat kami dalam perang menuntut kemerdekaan," katanya.

Hukuman ke atas Abdul Quader dijalankan di Penjara Pusat Dhaka dan mayat beliau dikebumikan pada awal pagi semalam di kampung kelahirannya di Faridpur.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

Puluhan ribu berebut beri penghormatan terakhir

Posted: 13 Dec 2013 09:16 AM PST

Pretoria: Hari terakhir sesi penghormatan terakhir untuk Nelson Mandela menyaksikan kehadiran luar biasa memaksa kerajaan merayu supaya orang ramai menjauhi lokasi berkenaan.

Beribu-ribu orang berpusu-pusu sejak awal untuk mendapat peluang melihat jasad pejuang antiaparteid itu untuk kali terakhir tetapi sehingga jam 7.30 pagi (waktu tempatan) sudah ada 50,000 orang berbaris.

Perkhidmatan penerangan kerajaan berkata, orang ramai diminta tidak mengunjungi lokasi berkenaan.

Dianggarkan hanya 24,000 orang dibenarkan memberi penghormatan terakhir kepada tokoh kulit hitam pertama menjadi Presiden Afrika Selatan itu.

Tiada sebarang tanda sesi itu akan dilanjutkan seperti pilihan raya demokratik pertama negara berkenaan pada 1994 lalu apabila pusat pengundian dibuka lebih lama daripada waktu sepatutnya untuk memberi peluang orang ramai membuang undi.


Semalam adalah hari terakhir untuk mana-mana pihak memberi penghormatan kepada Mandela sebelum mayatnya dibawa ke kampung halamannya, Qunu, untuk dikebumikan.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

Tangan palsu pintar

Posted: 13 Dec 2013 09:15 AM PST

AFP: Seorang anggota tentera yang kehilangan tangannya selepas diletupkan bom tangan di Afghanistan kini menjadi orang pertama di United Kingdom (UK) menerima tangan palsu yang dikawal otaknya.

Tangan futuristik dipasang ketika pembedahan yang turut memerlukan pengolahan sistem sarafnya dan digelar penanda masa depan perubatan prostetik.

Korporal Andrew Garthwaite, 26, dari South Shields, hilang tangannya selepas sebuah grenad dilepaskan roket meletup ketika operasi di Helmand, Afghanistan pada 2010.

"Ketika pertama kali dimaklumkan mengenai pembedahan itu, saya sangka ia sekadar kisah dongeng, mungkin ada orang mahu mengenakan saya.

Foto

SELAMA 18 bulan Garthwaite dapat rasa seperti ada tangan yang 'tumbuh' di dadanya.

Foto

GARTHWAITE dipercayai orang pertama di Britain yang menerima tangan bionic yang boleh dikawal otaknya.

Foto

HUJUNG saraf bahu Garthwaite yang sepatutnya menghala ke tangannya dialihkan ke otot dadanya.


"Namun hari ini saya dapat menggunakan tangan ini yang memang amat serasi malah dikawal hanya menggunakan pemikiran saya.


"Memang sukar dipercayai. Sudah tentu ada risikonya namun saya tidak risau kerana menganggap tiada apa-apa kerugian jadi sanggup mengambil risikonya.
"Ia seperti kisah sains fiksyen yang menjadi realiti," katanya.

Garthwaite merupakan orang pertama di negara ini menjalani pembedahan pemindahan saraf dikenali sebagai Pensarafan Semula Otot yang memerlukan sistem saraf diubah suai supaya saraf yang pada asalnya digunakan untuk mengawal tangan dan lengannya dialihkan ke otot dada.

Hanya dua pusat di dunia mampu menjalankan pembedahan seperti itu, iaitu di Chicago dan Vienna.

Sejak 18 bulan kebelakangan ini Garthwaite belajar mengawal tangan palsunya menggunakan otak dengan memfokuskan pemikirannya terhadap saraf di dadanya itu.

Beliau membuktikan mampu melakukan kerja seharian mudah seperti menanam pokok di dalam pasu dan membuat sandwich jem menggunakan tangan palsu itu.

Berucap di Pusat Pemulihan Perubatan Tentera di Headley Court, Garthwaite berkata: "Perjalanan ini sangat panjang, terlalu banyak pahit dan manisnya. Mujur segalanya hampir selesai dan saya memang tidak sabar menyambut Krismas bersama isteri dan keluarga."

Juruteknik prostetik terkemuka di Headley Court, Steve Lambert, yang membantu Garthwaite ketika tempoh pemulihannya berkata: "Saya bertugas dalam bidang trauma kompleks selama enam tahun, namun kes ini paling menyentuh hati saya.

"Saya melihat teknologi bidang ini berkembang begitu pesat dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini. Saya percaya inilah masa depan dunia perubatan."

Pakar perunding pemulihan Hedley Court, Tim Jones yang merawat Garthwaite memuji kekuatan semangat pesakitnya itu.

"Beliau kuat semangat dalam usaha menguasai tangan palsunya.

"Bukan perkara mudah kerana anda perlu mengolah segala 'wayar' dalam otak anda. Sepatutnya ia juga dimasukkan dalam program Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS)."

Pembedahan Garthwaite yang dilakukan di Universiti Perubatan Vienna pada 2011 manakala tangan palsunya berharga £60,000 (RM315,690) yang dibayar Kementerian Pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/14

No comments:

Post a Comment