Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Tetap kena hukum!'

Posted: 23 Dec 2013 09:35 AM PST

Kuala Lumpur: Tanpa aduan rasmi juga kami boleh ambil tindakan! Itu mesej jelas yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Takiyuddin Hassan kepada bekas pemain kebangsaan Mohd Amirul Hadi Zainal bahawa dia tidak akan terlepas daripada sebarang tindakan jika didapati bersalah melanggar kontrak dengan Pahang apabila membuat pusingan U menyertai Johor Darul Takzim (JDT).

Walaupun tarikh tutup pendaftaran pemain Liga M 2014 berakhir 17 Disember lalu namun Amirul menggemparkan penyokong skuad Tok Gajah apabila muncul pada majlis pengenalan skuad JDT di Larkin kelmarin walaupun Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mendakwa pemain berusia 27 tahun itu sudah menandatangani kontrak bersama mereka.

Setakat ini tiada kepastian mengenai pasukan yang bakal diwakili Amirul namun Takiyuddin mengesahkan pihaknya menuntut penjelasan daripada kedua-dua pasukan terbabit bagi menyelesaikan kemelut perebutan pemain itu.

"Sehingga ke hari ini (semalam) kami tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada kedua-dua pasukan tapi saya sudah berbincang dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin untuk meminta kedua-dua pasukan memberikan penjelasan.

Foto

AMIRUL (dua dari kiri) muncul pada majlis pengenalan skuad JDT.


"Jawatankuasa Status Pemain mempunyai hak untuk menyiasat perkara ini selepas masalah ini tersebar menerusi laporan akhbar jadi kami mahu memastikan sama ada benar wujud pelanggaran kontrak pemain biarpun tiada pasukan yang tampil membuat aduan.


"Kami akan memanggil mereka untuk memberi penjelasan pada mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain Jumaat ini namun kami juga boleh menerima penjelasan bertulis daripada mereka," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kes pemain membuat pusingan U bukan sesuatu yang baru dalam kancah bola sepak tempatan apabila dua kes membabitkan pemain baru Kelantan Mohd Nazri Ahmad dan Mohd Nor Farhan Muhammad yang menyertai Terengganu pernah disiasat oleh jawatankuasa itu.

Bagaimanapun kes Nazri yang didakwa sudah menandatangani kontrak awal dengan Selangor dan Nor Farhan yang secara tiba-tiba beralih angin meninggalkan JDT berjaya diselesaikan secara persetujuan bersama antara pasukan terbabit walaupun pada mulanya mereka bakal digantung jika didapati bersalah.

Takiyuddin menegaskan, pihaknya mengambil serius kes Amirul ini dan bersedia mengambil tindakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Satu pasukan mendakwa mereka sudah mendaftarkan Amirul bersama pasukan mereka dan satu lagi pasukan memperkenalkan pemain itu bersama pasukannya, perkara seumpama ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Kalau benar ada berlakunya pelanggaran kontrak di situ, tindakan akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

Gembira lihat persaingan: Bakar

Posted: 23 Dec 2013 09:33 AM PST

Ipoh: Jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim gembira melihat persaingan sengit di kalangan anak buahnya terutama pemain muda merebut tempat dalam kesebelasan pasukan setakat ini.

Bakar berkata demikian berdasarkan persembahan pemain ketika menentang FELDA United pada perlawanan persahabatan di Ipoh, Sabtu lalu. Perak menang 2-1

"Saya suka dengan apa yang saya lihat. Setiap pemain menunjukkan kesungguhan dan berusaha menunjukkan kemampuan masing-masing setiap kali diturunkan.

"Ini petanda baik dan saya berharap nilai-nilai ini diteruskan sepanjang kempen kami nanti,"katanya.


Begitupun Bakar sedar masih banyak yang perlu dilakukan oleh anak buahnya jika ingin berada pada tahap terbaik untuk menjadi pencabar disegani.


"Masih ada banyak kepincangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki. Berikutan itu kami akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan sebelum sepak mula dalam usaha memantapkan lagi gandingan dan persefahaman sepasukan,"katanya.

Tambahan pula katanya pemain skuad Harimau Muda, Mohd Nasir Basharuddin serta dua awang import iaitu kapten skuad bawah 23 tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win serta penyerang Bosnia, Zelemer Terkers perlu diberi kesempatan bergandingan dengan rakan lain.

Zayar Win belum menyertai pasukan kerana tugasan dalam Sukan SEA Myanmar manakala Terkers terpaksa pulang untuk menyelesaikan urusan peribadi di Croatia baru kembali ke Ipoh.

"Mereka langsung tidak berpeluang bermain bersama setakat ini. Kami perlu mengaturkan perlawanan berbentuk kompetitif untuk mereka,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

Reduan puas hati prestasi anak buah

Posted: 23 Dec 2013 09:33 AM PST

Kangar: Kejayaan 100 peratus direkodkan dalam empat perlawanan persahabatan termasuk mengatasi Harimau Muda B, menyuntik semangat jurulatih Reduan Abdullah untuk memastikan skuad Singa Utara tidak mengecewakan pada kempen Liga M 2014.

Begitupun, Reduan mengakui tidak boleh terlalu berbangga dengan pencapaian yang dicatat anak didiknya kerana ianya sekadar perlawanan persahabatan.

"Kemenangan bersih 100 peratus dalam empat perlawanan persahabatan itu sememangnya sesuatu yang baik, namun kita tidak boleh menjadikannya sebagai ukuran kekuatan pasukan dan kelemahan pihak lawan.

"Masih banyak kerja rumah perlu dilakukan kerana banyak kelemahan dalam pasukan yang perlu ditangani sebelum mengharungi cabaran Liga Perdana Malaysia nanti," katanya.


Dalam rangka persiapan pasukan itu, empat perlawanan persahabatan sudah diharungi skuad Singa Utara dengan terakhir, kelmarin menewaskan Sungai Ara FC dari Pulau Pinang 4-0 dalam perlawanan di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau.


Pada perlawanan itu, penyerang import dari Argentina Gonzalo Goravano yang bergandingan dengan rakan importnya dari Maghribi Maurad Faris dan Dao Bakary (Ivory Coast) meledak empat jaringan dengan masing-masing dua gol di setiap babak.

Terdahulu, pada perlawanan menentang Harimau Muda B di Stadium Bukit Jalil, skuad itu menang 1-0 menerusi jaringan penalti, Dao Bakary. Dua lagi kemenangan yang dicatat ialah menewaskan skuad Kuala Lumpur, 2-1 dan Sungai Ara FC 2-0.

Perlis akan menentang T-Team (29 Disember); PKNS Selangor (4 Januari) dan Sime Darby (6 Januari) dengan semua perlawanan di Stadium UiTM Arau, Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

'Asam garam' Myanmar

Posted: 23 Dec 2013 09:29 AM PST

Nay Pyi Taw: Kontroversi sering berlaku pada temasya sukan termasuk Sukan SEA yang berakhir kelmarin.

Mutu pengadilan yang lebih berat sebelah terhadap atlet tuan rumah jelas dilihat sekali gus membantu mereka muncul naib juara keseluruhan di belakang Thailand.

Begitu juga beberapa sukan subjektif yang mampu meningkatkan kutipan pingat mereka seperti chinlone, wusyu, judo dan bina badan.

Bagi kontinjen negara, kontroversi bermula dengan ketiadaan Chef de Mission, Datuk Wira Amiruddin Embi ketika Malaysia meraikan pingat emas ke-1,000 dalam sejarah temasya itu menerusi atlet wusyu, Phoon Eyin dalam acara qiangshu wanita.

Foto

KEGAGALAN skuad takraw dan pergaduhan pengurusan dengan media bagai makan diri sendiri.

Foto

KETIADAAN Amiruddin selepas negara capai emas ke-1000 pencetus kontroversi di Myanmar.


Hanya beberapa pegawai Majlis Sukan Negara dilihat meraikan kejayaan itu dan Amiruddin sekadar tiba beberapa hari kemudian.


Skuad karate pula menunjukkan lagak mereka apabila wartawan Malaysia dihalang dan dihalau daripada membuat laporan sesi latihan secara tertutup.

Namun atlet tidak terjejas dengan berita buruk mengenai mereka dan melayan media dengan baik selepas menjadi antara lubuk emas negara pada temasya kali ini dengan tujuh pingat emas.

Semuanya berpunca daripada jurulatih dari Latvia, Andris Vasiljevs yang tidak mesra media namun kejayaan mereka mengatasi semua kontroversi itu.

Skuad sepak takraw dan berbasikal turut menconteng arang di muka sendiri dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku.

Pengurus sepak takraw, Zamry Fareed Moh Norden cuba menyerang wartawan negara sendiri kerana tidak berpuas hati dengan laporan dan kritikan yang ditulis.

Lebih mengecewakan, ada pegawai kontinjen negara menganggap kes itu tidak melanggar disiplin dan beliau tidak harus dihantar pulang kerana ia tidak membabitkan sesama atlet sebaliknya dengan orang luar.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) perlu selepas ini memberikan garis panduan lebih terperinci kepada pegawai dan atlet kontinjen negara supaya insiden serupa tidak berulang.

Berbasikal hanya mengundang kritikan selepas pelumba berpengalaman Mohd Zamri Salleh diketepikan pada saat-saat akhir acara lebuh raya lelaki yang menyaksikan kegagalan skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

Atlet IPT raih pingat Sukan SEA bakal terima habuan

Posted: 23 Dec 2013 09:26 AM PST

Putrajaya: Atlet institusi pengajian tinggi (IPT) yang berjaya membawa pulang pingat pada Sukan SEA 2013 di Myanmar bakal menerima insentif kecemerlangan sukan daripada Kementerian Pendidikan sebagai pencetus semangat supaya terus cemerlang dalam bidang berkenaan.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, peruntukan yang dianggarkan bernilai RM237,000 itu membabitkan RM5,000 bagi pingat emas; RM3,000 untuk pingat perak manakala RM1,500 bagi pingat gangsa.

"Pada Sukan SEA 2013 yang berakhir kelmarin, sebanyak 24 daripada 43 emas disumbangkan ialah daripada atlet IPT manakala pingat perak 19 daripada 38 pingat.

"Bagi pingat gangsa, 40 daripada 76 adalah daripada atlet IPT dan jumlah keseluruhan ialah sebanyak 83 daripada 157 pingat yang dibawa pulang disumbangkan atlet IPT," katanya selepas melancarkan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014, semalam.


Idris berkata, pemberian insentif berkenaan bukan sahaja sebagai pencetus semangat untuk terus cemerlang dalam bidang sukan tetapi turut menggalakkan lebih ramai lagi atlet IPT untuk berusaha mewakili negara pada masa akan datang.


"Sebelum ini, kita mensasarkan sebanyak 30 peratus atlet IPT akan menyertai Sukan SEA tetapi kita lihat pembabitan mereka lebih daripada yang disasarkan iaitu sebanyak 32 peratus.

"Walaupun pembabitan atlet IPT sebanyak 32 peratus, mereka berjaya menyumbangkan kemenangan pingat sebanyak 53 peratus dan ini jelas menunjukkan pentingnya kualiti atlet negara melalui sumbangan daripada IPT," katanya.

Idris berkata, insentif kecemerlangan sukan itu tidak hanya tertumpu kepada acara Sukan SEA 2013 tetapi turut membabitkan sukan Komanwel dan sukan Olimpik.

"Bagi sukan komanwel, sebanyak RM15,000 akan diberikan kepada atlet IPT yang berjaya membawa pingat emas, RM10,000 bagi perak dan RM7,000 gangsa.

"Untuk Sukan Olimpik, sebanyak RM25,000 insentif untuk pingat emas, RM15,000 perak dan RM10,000 gangsa," katanya.

Selain insentif sukan, Idris berkata, pihak universiti turut menyediakan biasiswa sukan kepada atlet IPT masing-masing bagi memastikan mereka terus kekal melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

Mengenai SUKIPT 2014, Idris berkata, kejohanan sukan itu akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan pada 3 Februari depan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Menurutnya, acara sukan itu akan berlangsung pada 3 hingga 16 Februari membabitkan peruntukan kira-kira RM3 juta dan mempertandingkan 24 acara dengan jumlah keseluruhan 229 pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

Berjuang untuk keluarga

Posted: 23 Dec 2013 09:23 AM PST

Johor Bahru: "Alhamdulillah, saya berjaya memenangi perlumbaan ini dan wang kemenangan digunakan untuk membeli keperluan dan membaiki rumah keluarga yang rosak akibat banjir, baru-baru ini," kata Khuzairi Bakar, 22, johan kategori Remaja Lelaki Sirkit 5 Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini, kelmarin.

Khuzairi yang berasal dari Kemaman, Terengganu, berkata, berlatih hampir setiap hari selama dua minggu bagi meningkatkan stamina dan memastikan berjaya muncul johan.

"Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi perlumbaan kali ini dan wang kemenangan akan saya gunakan untuk membeli keperluan dan membaiki rumah keluarga yang rosak akibat banjir, baru-baru ini.

"Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya dan membolehkan saya membawa pulang wang tunai RM700 hasil kemenangan ini," katanya.

Tempat kedua dimenangi Koo Ming Giang, 18 dan tempat ketiga, Ma Chau Ying, 20.

Sementara itu, dua pelumba kebangsaan Masziyaton Mohd Radzi, 25 dan Junaidah Juss, 25, masih mampu mengungguli dua tempat teratas kategori Terbuka Wanita walaupun masih letih kerana baru tiba dari Myanmar.

Masziyaton berkata, bersyukur kerana dapat menamatkan perlumbaan dan lebih manis, merangkul kejuaraan pada perlumbaan terakhir Harian Metro tahun ini walaupun keletihan kerana baru pulang daripada Sukan SEA Myanmar.

Katanya, trek disediakan penganjur kali ini adalah paling mencabar pernah dilaluinya menyebabkannya terpaksa berhati-hati dan menggunakan segala pengalaman bagi memastikan dapat memenangi perlumbaan.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada Harian Metro kerana berjaya menganjurkan acara basikal lasak yang sangat menarik dan bagi saya trek kali ini adalah antara terbaik pernah disediakan," katanya.

Tempat ketiga kategori Terbuka Wanita dimenangi Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, 14.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

Ah Yong raih juara, Hansen teruja

Posted: 23 Dec 2013 09:22 AM PST

Johor Bahru: Peserta berusia 45 tahun yang juga pemilik sebuah kedai basikal di Muar, Ah Yong, muncul juara kategori Veteran sirkit terakhir Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti- Cuti 1Malaysia di Hutan Bndar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini, kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan dia meraih wang tunai bernilai RM700, pingat serta basikal.

Namun dia membuat kejutan apabila tidak membawa pulang basikal dimenanginya sebaliknya menyerahkan hadiah itu untuk dijadikan sebagai hadiah cabutan bertuah.

Sementara itu, tempat kedua kategori dimenangi peserta Denmark, Morgen Hansen, 46, manakala Noradzman Roslan, 47, dari Pekan Nanas, Pontian di tempat ketiga.

Ah Yong berkata dia terkejut dengan keputusan itu kerana tidak meletakkan sebarang sasaran dan hanya menyertai perlumbaan untuk berseronok sahaja.

"Tujuan saya menyertai kejohanan ini adalah untuk berseronok serta bertemu lebih ramai pelumba amatur dan profesional daripada kelab lain "Selain itu, penyertaan saya adalah sebagai tanda sokongan pada kejohanan basikal yang ada di negeri ini," katanya.

Sementara itu Morgen mengakui dia teruja menyertai perlumbaan itu dan memuji pelumba veteran lain yang mengambil bahagian.

"Ini bukan kejohanan pertama yang saya sertai dan sebelum ini saya sudah menyertai banyak perlumbaan lain di serata negara kerana berbasikal adalah antara hobi saya dan keluarga.

"Program seperti ini amat bersesuaian kerana boleh menarik minat ramai kepada sukan ini.

"Saya gembira kerana pada usia seperti ini saya masih dapat menghabiskan perlumbaan dan memenangi tempat kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

Wak Karbon takkan berhenti

Posted: 23 Dec 2013 09:21 AM PST

Johor Bahru: Usia bukan penghalang buat peserta veteran dari Kampung Melayu Majidee, Abdul Rahman Salim, 55, untuk aktif dalam sukan basikal lasak sekali gus menyahut cabaran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini, kelmarin.

Abdul Rahman yang lebih mesra dengan panggilan Wak Karbon berkata, penyertaaannya itu disebabkan minat yang mendalam terhadap sukan basikal lasak serta galakan pelumba sepasukan disertainya iaitu Otomen Cycle.

"Pembabitan saya dalam sukan ini bermula sejak pada usia muda lagi iaitu sejurus tamat persekolahan sekitar 70-an.

"Malah, kecenderungan terhadap aktiviti lasak ini menyebabkan saya aktif seterusnya mewakili Johor dalam pelbagai kejohanan berbasikal," katanya yang menduduki tempat ke-11 dalam kategori veteran.

Menurut Abdul Rahman, dia tidak meletakkan sebarang harapan pada perlumbaan itu sebaliknya bertanding untuk mendapat kepuasan serta keseronokan.

"Sebahagian besar peserta dalam kategori yang saya sertai adalah pelumba berpengalaman dan pernah menjuarai pelbagai kejohanan diadakan.

"Saya lebih selesa menyertai kejohanan ini dalam suasana santai selain membuktikan usia seperti saya masih mampu memberi saingan," katanya.

Abdul Rahman berkata, walaupun menduduki tempat ke-11, dia tetap berpuas hati kerana berjaya menamatkan perlumbaan.

"Sukan ini sudah sebati dengan jiwa saya dan saya tidak akan berhenti daripada menyertai sukan ini dan terus berbasikal selagi mampu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

Hatrik Pedro julang Barca

Posted: 23 Dec 2013 09:06 AM PST

Barcelona: Barcelona bangkit dari ketinggalan ketika menewaskan Getafe 5-2 dan Pedro merakam hatrik pada perlawanan itu ketika Real Madrid bergantung kepada jaringan pada minit terakhir perlawanan oleh pemain gantian Jese ketika menewaskan Valencia 3-2 kelmarin.

Petanda buruk bermula dengan Barcelona ketinggalan 2-0 selepas hanya 15 minit perlawanan menerusi jaringan Sergio Escudero dan Lisandro Lopez.

Ketiadaan Lionel Messi dan Neymar yang mengalami kecederaan dan penggantungan, Pedro muncul penyelamat Barcelona apabila menjaringkan tiga gol dalam tempoh lapan minit.

Pemain Kepulauan Canary itu menyungkit bola menewaskan penjaga gol Miguel Moya dan menambah dua lagi gol menerusi penyudah klinikal sebelum rehat babak pertama.

Malah dia juga melakukan hantaran lintang ketika Cesc Fabregas melakukan voli untuk gol keempat di pertengahan babak kedua, sebelum Fabregas dikasari dalam kotak penalti.

Pertarungan semangat skuad Gerardo Martino yang kehilangan pemain senior seperti Xavi Hernandez, Victor Valdes dan Carles Puyol akhirnya bersinar berbanding babak pertama.

"Kami melalui tempoh 15 minit yang mengerikan sebelum pemain bangkit mengikut rancangan yang ditetapkan," kata Martino dalam sidang akhbar.

"Kami memperoleh keputusan yang kami mahukan dan ini perlawanan yang baik.

Persembahan Pedro amat hebat dan seluruh pasukan bermain cemerlang." Barcelona kini berada di puncak liga dengan 46 mata, menyamai mata Atletico Madrid yang menewaskan Levante Sabtu lalu, namun rekod jaringan meletakkan mereka di tahap yang baik.

Real pula di tangga ketiga dengan 41 mata.

Real bermula buruk ketika menentang Valencia yang dibimbing jurulatih sementara Nico Estevez selepas Miroslav Djukic dipecat minggu lalu.

Valencia bertahan dengan cemerlang dan detik terbaik adalah ketika Angel Di Maria memecah kebuntuan selepas setengah jam beraksi.

Real mencicirkan dua mata ketika menentang Osasuna minggu lalu.


- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

Moyes berdepan masalah besar

Posted: 23 Dec 2013 09:05 AM PST

London: Pengurus Manchester United, David Moyes sudah melalui permulaan kurang meyakinkan di Old Trafford tetapi keadaan bertambah buruk buat pengurus Scotland itu andai gagal mengekalkan khidmat penyerang, Wayne Rooney.

Penyerang England itu membuktikan ketajamannya ketika United menewaskan pasukan diancam penyingkiran, West Ham United 3-1 di tempat sendiri, Sabtu lalu, apabila menjadi nadi penggerak membantu rakan sepasukan menjaringkan dua gol.

Rooney diintai pencabar Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada penghujung penutup musim perpindahan September lalu, mengakui begitu kecewa diarahkan beraksi di bahagian tengah oleh Alex Ferguson.

Biarpun Moyes dapat menghalang tawaran Chelsea dan mengekalkan Rooney, prestasi terburuk mereka ibarat penyuntik semangat terbaik meskipun beraksi tanpa beberapa pemain senior seperti Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Robin van Persie dan tonggak tengah, Michael Carrick.


"Anda tahu apa saya lihat dalam diri Wayne berbanding perkara lain? Saya dapat melihat kepimpinan. Saya melihat seseorang mahu mengambil tanggungjawab untuk pasukan ini," kata Moyes dipetik berkata dalam media Britain.


"Saya melihat seseorang mengambil berat untuk siapa dia bermain dan bagaimana pasukan beraksi. Itulah yang dapat saya lihat pada Wayne berbanding perkara lain.

"Dia sudah tiba ke satu peringkat umur yang lebih berusia dan menyedari dia bukan budak lagi. Dia salah seorang pemain senior dalam pasukan. Dia dalam laluan menjadi salah seorang pemain legenda bersama kelab ini."

Moyes teruk dikritik selepas skuadnya kecundang 4-1 kepada musuh setempat, Manchester City serta kalah di tempat sendiri kepada Newcastle United, West Bromwich Albion dan Everton, gagal mencari pemain tengah berpengaruh dan kesilapan membeli Marouane Fellaini.

Cabaran kejuaraan mereka kelihatan terjejas dalam masa dua minggu lalu selepas ketinggalan 13 mata di belakang Arsenal tetapi prestasi Rooney ketika mencatat kemenangan 3-0 di tempat lawan mengatasi Aston Villa minggu lalu dan kejayaan Sabtu lalu di tempat sendiri mengatasi West Ham mengurangkan jurang kepada lapan mata.

United akan bermain di tempat lawan menentang Hull City Khamis ini sebelum bertandang ke Norwich City pada Sabtu dan menanti kunjungan Tottenham Hotspur pada 1 Januari - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/24

No comments:

Post a Comment