Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bongkar kubur nak jadi 'Superman'

Posted: 15 Dec 2013 11:56 AM PST

Cilacap: Misteri pembongkaran beberapa kubur di daerah di Jawa Timur ini akhirnya terjawab apabila polis Cilacap menahan seorang pemuda yang mengaku ingin belajar terbang seperti Superman dan menjadi halimunan.

Resi Rookiswana @ Pamungkas mengaku memerlukan kain kafan dari sejumlah kubur atas arahan seseorang bernama 'ratu' untuk menguasai ilmu itu.


"Ini untuk dibuat ilmu terbang. Saya sendirian mengambil kain kafan di kubur atas arahan ratu di Srandil," katanya.

Antara mangsa Resi ialah Endah Setyowati, 24, yang meninggal dunia baru-baru ini. Resi didakwa memenggal kepala mayat Endah selepas membongkar kubur anak dara itu. Lelaki itu semalam berdegar-degar mengakui mampu menghilangkan diri, namun apabila diminta polis menunjukkan bakatnya itu dia sekadar ketawa dan memberi alasan cuma boleh melakukannya di tempat sunyi.


"Saya mampu menghilangkan diri, tahu-tahu sudah berada di tempat lain.


"Bukan sebarang orang boleh buat begitu," dakwanya.

Foto

RESI dan kain kafan yang dicurinya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Cilacap AKP Agus Turyadi berkata, pihaknya menahan suspek selepas mengekorinya beberapa jam.


"Kami mengekorinya sepanjang malam sebelum menahannya di tepi landasan kereta api.

"Bahan bukti termasuk peralatan digunakannya juga dirampas di situ berikutan tempat itu dijadikan rumahnya," katanya.


Menurutnya, polis merampas tulang tangan, rusuk, baju dan tali kain kafan milik seorang bayi yang juga diselongkar kuburnya.


Batu dan senjata tajam turut ditemui di rumah suspek.


Sementara itu, ketika dibawa ke balai polis, keluarga wanita yang kuburnya dibongkar suspek menyerang Resi.


Bagaimanapun mereka berjaya dihalang anggota polis bertugas.


Menurut Agus, Resi pernah dipenjara pada 2010 dan 2012 kerana mencuri motosikal. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Campak kekasih kerana takut bini

Posted: 15 Dec 2013 11:39 AM PST

Rabat: Kerana terlalu takutkan isteri, seorang lelaki sanggup mencampakkan kekasihnya keluar dari tingkap apartmennya.

Lelaki itu yang tinggal di tingkat satu apartmen berkenaan lebih rela mencampak teman wanita berusia 17 tahun itu kerana terlalu takut apabila isterinya pulang secara mengejut.


"Dia terus mengangkat gadis itu, berlari ke arah tingkap dan mencampaknya ke luar," kata pegawai polis.

Lelaki itu baru membawa remaja berkenaan ke rumahnya namun terkejut apabila isterinya mengetuk pintu.


Menurut polis, mangsa parah akibat terhumban ke dinding dan dikejarkan ke hospital.


Menurut laporan akhbar, lelaki itu ditahan kerana mendatangkan bahaya kepada mangsa, namun tidak menceritakan reaksi si isteri terhadap kejadian itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Sejuta 'like' di FB sebagai mas kahwin

Posted: 15 Dec 2013 11:38 AM PST

Sana'a: Seorang pemuda Yaman yang melamar kekasihnya terkejut apabila bakal bapa mentua menyuruhnya mendapatkan sejuta 'like' di Facebook (FB) sebagai mas kahwin.

Salim Ayyash meminta lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Osama menulis perkataan 'like' sejuta kali selama sebulan dalam setiap tweet selain kepada semua rakannya di Facebook.


Bagaimanapun, Osama diberitahu jumlah 'like' itu mungkin diberi 'diskaun' sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Salim yang merupakan personaliti Facebook terkenal di wilayah Taizz turut memberi amaran akan memantau akaun laman sosial Osama itu.


"Salim akan memantau aktiviti 'online' Osama bagi memastikan dia melaksanakannya.


"Namun Salim berjanji akan membuat penilaian pada hujung bulan dan mungkin mengurangkan jumlah mas kahwin jika berpuas hati dengan kesungguhan Osama," lapor akhbar Arab Saudi, Sada. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Suami 'kejam', kedekut ditikam isteri

Posted: 15 Dec 2013 11:36 AM PST

Kaherah: Seorang wanita Mesir membunuh suaminya yang 'kejam' ketika lelaki itu nyenyak tidur.

Wanita itu menunggu suaminya tidur sebelum ke dapur mengambil pisau dan menikamnya beberapa kali.


Dia kemudian memanggil teksi untuk membawanya ke hospital, namun lelaki itu meninggal dunia dalam perjalanan.

Menurut laporan akhbar, wanita itu mengaku perbuatannya kepada polis dengan alasan suaminya melarangnya melawat keluarganya.


Malah, suaminya juga dikatakan kedekut dan tidak mahu membelanjakan wang untuknya sepanjang perkahwinan mereka selama tiga bulan .


Ketika menyerah diri kepada polis, wanita itu berkata, dia cuba membawa suaminya ke hospital untuk menyelamatkannya, namun sudah terlambat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

SBY tidak dibayangi isteri

Posted: 15 Dec 2013 11:36 AM PST

Jakarta: Wanita pertama Indonesia, Ani Yudhoyono tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran Indonesia yang diketuai suaminya, Susilo Bambang Yudhoyono.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia Amir Syamsuddin di Jakarta semalam ketika menyangkal maklumat yang didedahkan Wikileaks baru-baru ini.

Wikileaks kelmarin mendakwa Ani mendominasi kuasa dalam Kabinet Indonesia.

Menurut Amir, Ani tidak pernah menyertai kegiatan yang berkaitan dengan Kabinet.


"Setahu saya, Ani tidak pernah campur tangan dalam urusan Kabinet. Ani tidak pernah menyertai kegiatan Parti, ini kan pula mengenai urusan pentadbiran negara," katanya.


Amir juga yakin penasihat Susilo, TB Silalahi tidak pernah membocorkan maklumat mengenai kediaman presiden keoada pihak luar.

Akhbar The Australian kelmarin mendedahkan yang perisik negara itu menyatakan isteri Susilo menjadi sasaran penggodaman kerana Ani dianggap sebagai individu paling berpengaruh ke atas Susilo.

Akhbar itu juga melaporkan data daripada Wikileaks pada 2007 yang menyebut perisik Australia mengintip Silalahi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Tentera Thai sokong pilihan raya 2 Februari

Posted: 15 Dec 2013 11:35 AM PST

Bangkok: Pegawai kanan tentera Thai semalam berkata, mereka menyokong pilihan raya umum yang dijadual diadakan di negara itu pada 2 Februari tahun depan.

Setiausaha Pertahanan Nipat Thonglek dipetik oleh Thai Rath Online sebagai mengesahkan pendirian tentera itu ketika menghadiri forum bertajuk "Arah Mana Hala Tuju Thailand" yang diadakan di Pusat Konvensyen Ratu Sirikit.


Forum yang diacarakan Setiausaha Tetap pejabat perdana menteri, Thongthong Chantharangsu itu dihadiri wakil daripada pihak tentera, ahli akademik dan kumpulan politik, termasuk barisan Pertubuhan Baju Merah untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD).

Bagaimanapun, Parti Demokratik dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC), Suthep Thaugsuban yang juga merangkap ketua penunjuk perasaan antikerajaan enggan menyertai forum itu kerana menganggap ia hanya satu acara untuk memberi imej yang baik kepada kerajaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Pasangan dalam perjalanan ke ladang ditembak mati

Posted: 15 Dec 2013 11:35 AM PST

Yala: Sepasang suami isteri ditembak mati oleh lelaki bersenjata yang menunggang motosikal di daerah Raman pagi semalam.

Polis berkata, mangsa yang dikenali sebagai Phan Prasarnsri, 65, dan isterinya, Sukanya, 60, berasal dari daerah Rueso di Narathiwat. Kejadian berlaku kira-kira jam 10.10 pagi (waktu tempatan) di jalan raya dekat Kampung Kalor, Raman. Menurut saksi, pasangan itu yang menaiki motosikal dalam perjalanan ke ladang getah di kampung berkenaan apabila dua lelaki bermotosikal tiba-tiba muncul lalu mengacukan senjata ke arah mereka. Mereka lalu menembak pasangan suami isteri berkenaan di kepala. Pasangan itu mati serta-merta di tempat kejadian.


Polis mengesyaki perbuatan itu dilakukan kumpulan pemisah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Mandela disemadi

Posted: 15 Dec 2013 11:35 AM PST

Qunu: Presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan, Nelson Mandela disemadikan semalam selepas majlis pengebumian negara dipenuhi ucapan penuh beremosi selain ikrar untuk terus mempertahankan keadilan dan kesamaan hak diperjuangkanya.

Keranda Mandela dikebumikan di tanah perkuburan keluarganya di Qunu tempatnya membesar dengan dihadiri balunya Graca Machel, bekas isteri Winnie Madikizela-Mandela, anggota keluarga terdekat dan 450 tetamu terpilih termasuk Putera Charles serta Oprah Winfrey.


Pengebumian dibuat mengikut adat suku kaum Xhosa termasuk penyembelihan lembu jantan sebagai tanda kehidupan dilaluinya.

Pengebumiannya bagaimanapun hanya disiarkan beberapa minit sebelum dihentikan atas permintaan keluarganya yang mahukan acara itu dilakukan hanya dalam kalangan keluarganya yang terdekat.


Sebelum itu, Mandela diberi penghormatan terakhir dalam majlis pengebumian negara penuh hormat menjangkaui tempoh dua jam ditetapkan yang melihat pelbagai ucapan mengharukan dibuat menghargai pengorbanan Mandela membawa Afrika Selatan keluar daripada jajahan aparteid.


"Beliau adalah anak kelahiran Afrika Selatan yang paling hebat," kata timbalan presiden Kongres Kebangsaan Arika (ANC) Cyril Ramaphosa dalam ucapan pembukaannya.

Tembakan hormat 21 das dan barisan kawalan kehormat selain persembahan udara ringkas turut mengiringi ketika keranda Mandela dibawa ke khemah khas didirikan untuk acara penghormatan terakhir itu.


Kerandanya yang dibaluti bendera Afrika Selatan diletakkan atas beberapa lapisan kulit lembu dikelilingi 95 lilin sempena setiap tahun kehidupan dilaluinya. Turut hadir, pemimpin perjuangan antiaparteid seangkatannya - George Bizos, Desmond Tutu dan Ahmed Kathrada.

Kathrada menahan sebak ketika menceritakan persahabatannya dengan Mandela termasuk dihukum penjara bersama pada 1963.


Katanya, Mandela yang pertama kali ditemuinya 67 tahun lalu merupakan peninju amatur yang cukup kuat melakukan kerja berat berbanding tahanan lain.


"Sebaliknya ketika di hospital saya lihat dia terlalu lemah dan tidak berdaya.


"Kami menyanjungi anda sebagai pejuang kebebasan. Selamat tinggal saudaraku, mentor dan pemimpinku.


"Saya kini kehilangan seorang abang. Kehidupan saya tidak bermakna lagi dan tiada arah tuju," katanya.


Sementara itu, Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma menyeru rakyat negara itu meneruskan warisan peninggalan Mandela.


"Kami berjanji, Tata (ayah), Afrika Selatan akan terus membangun kerana kami tidak berani mengecewakan anda," katanya.


Keranda Mandela kemudian dibawa ke tanah kubur di pekarangan kediaman keluarganya yang dibina di Qunu selepas pembebasannya dari penjara pada 1990. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Tahi judi 'jual' anak

Posted: 15 Dec 2013 11:34 AM PST

New Delhi: Seorang ayah yang kalah judi memaksa anak gadisnya berusia 13 tahun berkahwin dengan lelaki yang mengalahkannya.

Parimal kehilangan segala-galanya termasuk tanahnya akibat berjudi, namun tetap tidak insaf.


Parimal yang mabuk kalah lagi ketika berjudi dengan seorang lelaki berusia 25 tahun lalu bersetuju lelaki itu mengahwini anak sulungnya sebelum terus berjudi lagi.

Malah, dia tidak mempedulikan orang ramai yang turut menyaksikan perjudian itu sebelum mengatur pertunangan anaknya dengan lelaki itu pada 9 Disember lalu. Dia juga tidak peduli apabila kisah itu disiarkan pihak media yang turut mendesak perkahwinan itu dibatalkan. Perkara itu kini dalam siasatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Pelajar cium polis akan didakwa

Posted: 15 Dec 2013 11:34 AM PST

Rome: Gambar seorang penunjuk perasaan wanita mencium polis antirusuhan dilihat sebagai simbol keamanan di Itali, namun kesatuan polis mahu wanita itu diambil tindakan atas tuduhan keganasan seksual.

Pelajar, Nina De Chiffre, 20, yang bulan lalu memprotes terhadap pembinaan trek kereta api baru di utara Itali ketika gambarnya dirakam mencium visor topi keledar seorang anggota polis.


Gambar itu tersebar di seluruh dunia dan dilihat contoh terbaik tunjuk perasaan aman.

Bagaimanapun, COISP kesatuan yang mewakili pegawai polis Itali mengumumkan menerima aduan daripada pihak pendakwa Turin.


"Kami akan mendakwa penunjuk perasaan itu atas tuduhan keganasan seksual dan menghina penjawat awam.


"Siasatan penuh akan dijalankan tidak lama lagi," kata setiausaha agung kesatuan, Franco Maccari. Menurutnya, beliau tidak menganggap kejadian itu sekadar membuktikan hasrat untuk keamanan.

"Jika anggota polis itu yang menciumnya, pasti meletus perang dunia ketiga.


"Bagaimana pula kalau saya menepuk punggung wanita itu? Tentu dia marah.

"Jadi kenapa pula ia perlu dibiarkan apabila dia melakukannya kepada seorang lelaki yang sedang bertugas? "Malah De Chiffre juga mengakui perlakuannya satu provokasi supaya pegawai polis terbabit bertindak balas.


"Jelas tertulis di laman Facebook miliknya: 'Bukan mesej keamanan. Ikutkan hati hendak saja saya ikatkan mereka dengan kaki ke atas seperti babi'.


"Memanglah ciuman sesuatu yang baik, namun dalam keadaan ini ia sekadar penghinaan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

No comments:

Post a Comment