Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Troussier pikat FAM

Posted: 04 Dec 2013 11:42 AM PST

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cukup berminat untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih Jepun Philippe Troussier apabila dikatakan sudah mengadakan perbincangan dengan pengendali dari Perancis itu di China, Julai lalu.

Menurut sumber, seorang wakil FAM dihantar untuk mengadakan perbincangan dengan Troussier, 58, dan hasil daripada pertemuan itu memberikan petanda positif buat FAM dalam usaha mencari pengganti ketua jurulatih kebangsaan Datuk K Rajagobal yang akan berundur selepas kontraknya berakhir 31 Disember ini.


"Troussier sememangnya calon pilihan FAM ketika ini, mungkin perbincangan mereka kini lebih kepada soal gaji dan kontrak," kata sumber itu yang kebetulan berada di China ketika perbincangan itu diadakan.

Selepas prestasi hambar dipamerkan Harimau Malaya sepanjang tahun ini termasuk gagal merebut salah satu daripada dua slot automatik daripada Kumpulan D pada kempen kelayakan Piala Asia 2015, FAM membuat keputusan tidak melanjutkan kontrak Rajagobal yang sudah berkhidmat lebih empat tahun.


Tambahan Troussier pula tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas baru saja tamat kontrak dengan kelab China, Shenzhen Ruby.


Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditanya mengenai perkembangan itu enggan memberi sebarang penjelasan.

Foto

Philippe Troussier

"Saya tidak tahu jika ada wakil kami ke China untuk berunding dengan Troussier. Buat masa ini, saya tidak katakan beliau semakin hampir untuk menjadi jurulatih Harimau Malaya. FAM masih lagi dalam proses memilih jurulatih dan sebarang perkembangan akan diumumkan selepas ini," katanya.


Badan induk bola sepak tanah air itu juga sebelum ini tanpa berselindung sudah menyatakan keinginan untuk mencari jurulatih baru dan mengesahkan menerima lebih 30 permohonan dari dalam dan luar negara.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Troussier akan ditawarkan pendapatan lumayan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) dari FAM jika bersetuju membimbing Harimau Malaya.


Bagaimanapun kerusi panas itu turut dikaitkan dengan bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic, bekas penolong jurulatih kelab Liverpool, Alex Miller dan legenda bola sepak Jerman, Rudi Voller dan jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee.


Buat masa ini, FAM hanya melantik Kim Swee sebagai jurulatih sementara skuad kebangsaan selepas kontrak Rajagobal berakhir dan bakal mengumumkan pengganti dalam masa sekurang-kurangnya dua bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Chamakh julang Palace

Posted: 04 Dec 2013 09:21 AM PST

London: Jaringan Marouane Chamakh membantu Crystal Palace melonjak daripada tangga tercorot Liga Perdana Inggeris apabila mereka menundukkan West Ham 1-0 pada perlawanan pertama kendalian Tony Pulis di laman sendiri di Selhurst Park, awal pagi semalam.

Chamakh menjaringkan gol tunggal perlawanan, gol pertama penyerang Maghribi itu sejak 24 Ogos lalu, apabila dia menanduk masuk hantaran silang melencong Barry Bannan pada minit ke-42.


Penyerang itu sebelum ini hanya menjaringkan satu gol musim ini, sekalipun ia mengatasi catatan satu gol dijaringkannya ketika beraksi secara pinjaman di West Ham selama lima bulan musim lalu.

West Ham tampil pada pertembungan dua kelab London itu selepas menang 3-0 ke atas Fulham namun masih belum berjaya merakam kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana sejak naik liga tahun lalu.


Kemenangan membolehkan Palace berada tiga mata berbanding zon selamat dan West Ham, satu daripada beberapa kelab dengan 13 mata mungkin bergelut dengan zon penyingkiran.


"Kami bertindak mantap dan tidak memberikan peluang mereka menjaringkan gol dan saya harap ia seperti ini setiap minggu hingga hujung musim," kata Pulis.

Foto

CHAMAKH (kiri) menanduk bola menewaskan penjaga gol West Ham, Jussi Jaaskelainen.

Sementara itu pengurus West Ham Sam Allardyce meratapi persembahan pasukannya.


"Penyudah amat tumpul. Saya fikir itulah masalah yang kami hadapi," kata Allardyce.

"Kemudian kami membenarkan gol paling tidak munasabah pernah saya saksikan buat sekian lamanya.


"Saya tidak terkata apabila setiap pemain mengawal lawan mereka tapi masih membiarkan ruang kosong bagi membolehkan pemain lawan menanduk masuk tanpa dicabar.


"Ia sesuatu yang paling mengecewakan saya hari ini kerana ia membuatkan kami kalah." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Wenger selar pengulas tv

Posted: 04 Dec 2013 09:21 AM PST

London: Arsene Wenger menyelar dakwaan pengulas bola sepak 'Match of the Day', Alan Hansen dan Alan Shearer bahawa Arsenal akan gagal memenangi kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Gunners mendahului dengan empat mata di puncak carta dan dianggap sebagai pilihan kedua di belakang Manchester City untuk merangkul kejuaraan yang kali terakhir dimenangi mereka pada 2004.


Hansen dan Shearer antara mereka yang meragui Arsenal mampu mengekalkan cabaran mereka dan Wenger menyatakan mereka tidak disokong sebarang fakta.

"Kadang kala saya menontonnya (Match of the Day), kadang kala tidak," kata Wenger.


"Saya mempunyai pengalaman luas untuk menganalisis apa yang kami lakukan dan bagaimana kami bermain. Saya tidak perlukan sesiapa untuk memaklumkan kepada saya. Saya juga tidak marah dengan semua itu.


"Saya tidak menaruh dendam kepada sesiapa. Saya cuba menganalisis sama ada beliau mempunyai bukti kukuh atau tidak.

"Kadang kala seseorang hanya meluahkan pendapat tanpa sebarang bukti kukuh.


"Jika anda hanya berkata 'Arsenal akan memenangi kejuaraan atau Arsenal tidak memenangi kejuaraan kerana kami tidak menang selama lapan tahun, maka saya fikir ia sekadar satu pendapat." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Laluan mudah

Posted: 04 Dec 2013 09:20 AM PST

Hong Kong: Miguel Angel Jimenez berpeluang memecahkan rekod sebagai pemenang Jelajah Eropah paling tua yang pernah mengungguli Terbuka Hong Kong minggu ini selepas beberapa pemain bintang menarik diri.

Pemain remaja China, Guan Tianlang yang beraksi pada Masters AS tahun ini juga berharap dapat mengambil kesempatan mempamerkan kemampuan pada pertandingan yang turut diiktiraf bersama Jelajah Asia itu.


Rory McIlroy, Padraig Harrington dan Colin Montgomerie antara pemenang sebelum ini namun hanya kelibat Jimenez yang merangkul kemenangan buat kali ketiga pada 2012 di usia 48 tahun 318 hari, satu-satunya pemain dalam ranking 50 terbaik dunia beraksi pada kejohanan kali ini.

Pemain Piala Ryder dari Itali, Edoardo Molinari, Thorbjorn Olesen dari Denmark dan Gaganjeet Bhullar (India) turut berpeluang meraih kemenangan pada kejohanan itu.


Hingga tahun lalu, Terbuka Hong Kong adalah pertandingan penamat musim yang penting dalam kalendar golf dengan pemain akan berusaha merebut mata bagi menamatkan saingan sebagai pemain terbaik dalam senarai hadiah wang kemenangan Eropah.


Jimenez, 49, yang meraih 19 kemenangan Eropah berkata, ia pasti akan menjadi sesuatu yang menyedihkan jika acara itu ditamatkan ketika dia bersedia untuk beraksi hari ini dalam usaha memburu gelaran keempat Terbuka Hong Kong.

"Saya datang ke sini buat pertama kali pada 2004 dan menang. Saya sukakan bandar ini terutamanya lapangan golf ini," katanya.


"Ia adalah lapangan lama dan anda perlu bertindak bijak dan mengagak dengan tepat permainan di sini. Green sangat laju dengan fairway bersih." Pemain Sepanyol itu berkata, dia berharap pemain bintang akan kembali ke Hong Kong namun mengakui mereka terpaksa membuat keputusan sukar mengenai pertandingan mana yang akan disertai dan mana yang perlu diabaikan dalam kalendar padat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Tomic pakai khidmat Zovko

Posted: 04 Dec 2013 09:20 AM PST

Sydney: Pemain nombor satu Australia Bernard Tomic melantik Velimir Zovko dari Croatia sebagai jurulatih bersama yang baru sementara bapanya masih berdepan penggantungan kerana kesalahan menyerang bekas rakan sepasukannya.

Tomic yang menduduki ranking ke-51 dunia berkata, dia akan terus dilatih oleh bapanya bagi menghadapi pertandingan dalam usahanya untuk menempatkan diri di dalam kelompok 20 terbaik tahun ini.


"Tugasnya lebih di dalam gelanggang untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama saya," kata pemain berusia 21 tahun itu.

"Tugas ayah saya akan berkurang tapi dia lebih tahu mengenai saya dan jika dia melihat ada kesilapan, pasti dia berbincang mengenai perkara itu di luar gelanggang.


"Dia dari Croatia, dia menggunakan bahasa sama dengan saya dan penting bagi saya dapat berkomunikasi dengan baik, seseorang yang memahami saya, latar belakang saya kerana ia bukan mudah. Saya jenis lelaki yang sukar," kata Tomic.


Bekas pemandu teksi, John Tomic dijatuhkan hukuman lapan bulan penjara oleh mahkamah Sepanyol September lalu kerana menumbuk dan mematahkan hidung Thomas Drouet dari Perancis.

Tomic tidak perlu bekerja di dalam penjara kerana hukumannya di bawah dua tahun.


ATP memutuskan untuk menggantung tugasnya untuk semua pertandingan jelajah dan menimbangkan sama ada akan menarik balik larangan itu Mei tahun depan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

'Ringan tulang'

Posted: 04 Dec 2013 09:19 AM PST

Johor Bahru: Kelab Pekan Nenas (PN) Bikers tidak asing lagi bagi penduduk di Pontian khasnya di Pekan Nenas kerana selain berbasikal untuk membina kecergasan, ahlinya turut aktif mengumpul dana bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Setiausahanya Mohd Shahrul Nizam Hussin, 35, berkata, pada mulanya PN Bikers yang ditubuhkan tiga tahun lalu hanya disertai enam ahli terdiri daripada pemain badminton di sekitar bandar itu.


"Pada mulanya, kami hanya berenam. Kami berkayuh pada waktu malam selepas bermain badminton.

"Kini, kami mempunyai 93 ahli terdiri daripada pelajar sekolah, pemandu lori, guru, pekerja kilang serta suri rumah yang berusia 13 hingga 47 tahun.


"Kami turut aktif dalam pelbagai kejohanan basikal lasak seperti Senai Airport Mountain Bike, Datuk Onn Mega Ride, Batu Pahat (BP) Cops serta Pekan Nenas Sunlight," katanya.


Menurut Mohd Shahrul Nizam, selain menghimpunkan peminat sukan berbasikal, PN Bikers turut menitikberatkan nilai-nilai murni dalam kalangan ahli bagi membantu golongan memerlukan.

Katanya, setiap kali pertemuan, pihaknya akan menyediakan tabung khas untuk ahli menghulurkan sumbangan.


"Kami turut menubuhkan jawatankuasa khas bagi menguruskan pengumpulan dana dan mencari maklumat individu yang memerlukan bantuan.

"Apabila ada kematian, kebakaran atau banjir, kami akan menyumbangkan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada mangsa," katanya.


Menurutnya, PN Bikers sedang menghimpunkan 50 ahlinya untuk menyahut cabaran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini pada 22 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

GDC baris bekas pelumba negeri

Posted: 04 Dec 2013 09:19 AM PST

Johor Bahru: Hasrat untuk mengumpul pelumba berbasikal profesional serta amatur di sekitar bandar raya ini mendorong Kamaludin Sapuan menubuhkan Golden Cycling Team (GDC) sekali gus menerajui kelab itu.

Kamaludin berkata, GDC ditubuhkan tujuh tahun lalu dan kini dianggotai 80 ahli dengan sebahagian besarnya bekas pelumba negeri ini dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Keistimewaan GDC ialah ia disertai mereka yang profesional serta berpengalaman dalam sukan berbasikal.

"Saya anggap ia satu kelebihan untuk GDC yang mampu melahirkan lebih ramai pelapis sukan ini melalui bantuan serta tunjuk ajar daripada pelumba senior," katanya.


Menurut Kamaludin, GDC sentiasa menghantar wakil untuk menyertai kejohanan berbasikal sama ada di dalam atau luar negara.


"Kami mengamalkan kaedah pembahagian kumpulan untuk memastikan ada wakil daripada GDC yang menyertai siri kejohanan dianjurkan.

"Kaedah itu juga dilihat alternatif terbaik dalam memastikan setiap ahli berpeluang mewakili kelab sekali gus menimba pengalaman daripada kejohanan yang mereka sertai," katanya.


Kamaludin berkata, GDC juga akan bersaing pada kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini pada 22 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

SIC medan panas badan

Posted: 04 Dec 2013 09:19 AM PST

Sepang: Pusingan 4 SapuraKencana-SIC Sepang kriterium akan menjadi penutup kepada penganjuran sulung perlumbaan itu hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan barisan pelumba lebuh raya negara akan turut menghangatkan perlumbaan itu sebagai medan pemanas badan sebelum berlepas ke temasya Sukan SEA Myanmar.

Penganjur menyediakan laluan mencabar sebagai cabaran buat skuad kebangsaan yang akan beraksi di Myanmar ketika mereka meletakkan sasaran menamatkan kemarau emas selepas tiga temasya dalam acara lebuh raya yang pada satu ketika dulu menyaksikan negara mendominasinya.


"Kami sudah menyusun jadual bagi membolehkan pelumba negara beraksi pada tengah hari jadi skuad kebangsaan boleh menguji kemampuan masing-masing bagaimanapun mereka akan menerima tentangan daripada pelumba dari TSG (Terengganu Cycling Team), PDRM, dan ATM yang akan turut memberi saingan," kata setiausaha penganjur, Musairi Musa (gambar).

Saingan Pusingan 4 itu akan membabitkan dua pendakian, pertama di laluan menuju pagar C2 dan pendakian kedua adalah di Helipad Hill berdepan dengan SIC Welcome Centre.


Penonton akan berpeluang menyaksikan perlumbaan itu secara percuma dari tempat duduk utama selain menonton Piala Asia Meritus dan perlumbaan Siri Asia Le Mans yang akan berlangsung pada hari sama.


Sementara itu, peminat yang hadir akan dapat menyaksikan kayuhan mantap, Loh Sea Keong yang dua minggu lalu melakarkan sejarah menjadi pelumba pertama negara menandatangani kontrak bersama pasukan profesional, Argos-Shimano dari Belanda akan diberi tentangan oleh pelumba pecut Anuar Manan yang baru pulang ke tanah air dengan empat kemenangan berturut-turut di Jelajah Poyang Lakes dan Mount Wuyi Cycle Classic di China minggu lalu.

Pusingan 4 itu akan turut menyaksikan perlumbaan keirin Fixed Gear membabitkan trek 800m di tempat letak kereta A1.


SapuraKencana-SIC Sepang Series adalah empat siri perlumbaan yang ditaja oleh SapuraKencana Petroleum Berhad dan SIC turut disokong New Straits Times sebagai rakan media, Endurace, 100Plus, The Race Boy, Le Tour de Langkawi, Meritus.GP, OTW Services dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Azlan gerun kelibat Fuad, Norizman

Posted: 04 Dec 2013 09:18 AM PST

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 dan juara baru SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman berasakan Ahmad Fuad Baharudin dan Norizman Ismail memiliki kelebihan untuk dinobat sebagai juara keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 di Shah Alam, hujung minggu ini.

Azlan yang juga bekas rakan sepasukan Norizman dalam pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing percaya keupayaan pasukan itu dalam menyediakan jentera pantas mampu memberi sedikit kelebihan terutama selepas semua pelumba termasuknya berjaya memenangi lima daripada sembilan perlumbaan lalu.


Juara CP130 musim 2012, Azlan memenangi perlumbaan pusingan pembukaan di Batu Kawan diikuti Mohd Affendi Rosli yang memenangi perlumbaan di Terengganu.

Pelumba muda, Mohd Fitri Ashraf Razali muncul juara di Kluang manakala Norizman menguasai perlumbaan di Temerloh dan kemudiannya pengganti Azlan, Elly Idzlianizar Ilias muncul juara di Sepang.


Meskipun begitu, Azlan percaya kepantasan jentera masih belum memadai untuk menafikan keupayaan pengalaman Fuad (Faito Yamaha Motobert) yang sering kali melakukan kejutan sepanjang beberapa pusingan lalu.


Selepas sembilan pusingan, Fuad kini mendahului senarai keseluruhan dengan 128 mata, satu mata mengatasi Norizman di tangga kedua dan kedua-duanya kini dalam pemburuan takhta keseluruhan kelas perdana buat kali ketiga.

"Sukar untuk meramalkan siapa yang mampu memenangi gelaran musim ini. Norizman seorang pelumba yang berkemahiran tinggi dan turut disokong oleh pasukan yang kuat. Fuad, pada usia 34 tahun seorang pelumba yang cukup berpengalaman dan mempunyai kemahiran teknikal serta bijak mengatur strategi. Dua kemenangan musim ini (Melaka dan Jempol) sudah cukup membuktikan kemampuannya," jelas Azlan.


Ketika tumpuan terarah kepada Fuad dan Norizman, pada masa sama pelumba muda, Mohd Zaqhwan Zaidi turut mengintai peluang untuk meletakkan namanya sebagai juara keseluruhan memandangkan pelumba Givi Honda Yuzy Pachie itu kini menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan 111 mata.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-87338787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Kami dah sedia!

Posted: 04 Dec 2013 08:56 AM PST

Kelana Jaya: "Kami sudah bersedia". Itu isyarat yang diberikan oleh skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menjelang Sukan SEA Myanmar apabila mereka menewaskan kelab Jepun FC Ryukyu 3-1 pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Pengendali skuad Harimau Muda negara Datuk Ong Kim Swee nyata menjadi individu paling lega dengan keputusan yang diraih pada aksi pemanas badan terakhir sebelum turun dengan misi mempertahankan pingat emas di Myanmar minggu depan.


"Saya yakin dengan pemain yang saya miliki ketika ini, mereka mempamerkan permainan cukup positif pada perlawanan malam ini (semalam).

"Selepas beberapa keputusan kurang baik sebelum ini, graf prestasi pasukan bertambah baik dan saya harap ia akan berterusan hingga ke perlawanan sebenar di Sukan SEA.


"Saya harap kami dapat memperbaiki beberapa kelemahan khususnya bahagian pertahanan yang sedikit leka hingga melepaskan gol pertama." katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.


Bagaimanapun kemenangan yang diraih skuad negara bukan mudah apabila mereka terpaksa bangkit pada babak kedua selepas ketinggalan dengan jaringan penyerang FC Ryukyu Takahashi Shunta pada minit ke-13.

Satu gol daripada A Thamil Arasu dan dua gol penyerang gantian Rozaimi Abd Rahman pada separuh masa kedua memastikan kemenangan bergaya anak buah Kim Swee yang akan berlepas ke Myanmar Sabtu ini.


Bagi jurulatih kelab divisyen tiga Jepun yang berpangkalan di Okinawa itu, Satsukawa Norihiro berpendapat skuad B-23 negara mempamerkan permainan yang baik khususnya pada babak kedua.

"Saya tidak puas hati dengan keputusan ini tapi saya fikir ia perlawanan yang bagus untuk Malaysia dalam persiapan mereka ke kejohanan selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

No comments:

Post a Comment