Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Isytihar 'menang'

Posted: 03 Dec 2013 02:00 PM PST

Bangkok: Pemimpin antikerajaan semalam mengisytiharkan 'kemenangan' apabila ribuan penunjuk perasaan dibenarkan memasuki Ibu Pejabat Biro Polis Metropolitan (MPB) dan pekarangan Rumah Kerajaan selepas polis mengalihkan kawat berduri serta penghadang konkrit di situ.

Bekas Ahli Parlimen Parti Demokrat yang juga anggota Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat, Thavorn Senniam mengumumkan 'kemenangan' itu selepas berunding dengan pegawai di ibu pejabat MPB untuk membolehkan penunjuk perasaan dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.


Pihak polis kemudian dilihat memotong kawat berduri dan mengalihkan penghadang konkrit.

Bagaimanapun, orang ramai yang masih teragak-agak mengambil masa hampir sejam sebelum memberanikan diri memasuki kawasan itu.


Satu lagi kumpulan penunjuk perasaan turut dibenarkan memasuki pekarangan Rumah Kerajaan secara aman.


Keadaan itu jauh berbeza daripada Isnin lalu apabila polis menggunakan gas pemedih mata dan dan peluru getah terhadap penunjuk perasaan.

Foto

PENUNJUK perasaan menolak penghadang konkrit selepas polis membenarkan mereka memasuki pekarangan Rumah Kerajaan dan Ibu Pejabat polis Metropolitan.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.


Sementara itu, Ketua Tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha merayu semua rakyat Thailand berganding bahu mengembalikan keamanan di Thailand.

Prayuth turut meminta penunjuk perasaan meninggalkan Rumah Kerajaan selepas dibenarkan membuat demonstrasi aman berkenaan.


Jurucakap tentera Kolonal Winthai Suvaree berkata, Chan-ocha berharap semua pihak tidak keterlaluan dalam menyampaikan mesej mereka serta sentiasa memikirkan hak semua pihak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Kambing jadi pemuas nafsu

Posted: 03 Dec 2013 01:55 PM PST

Nairobi: Seekor kambing yang menjadi mangsa kes serangan seksual semalam hadir di mahkamah untuk berdepan penyerangnya seorang pemuda berusia 28 tahun.

Katana Kitsao Gona dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menyetubuhi kambing berkenaan walaupun sudah beristeri.


Dalam keterangannya di depan hakim, Gona berkata isterinya adalah seorang wanita kurang upaya dan hanya bergantung kepada dirinya untuk mencari rezeki.

Justeru, katanya, dia berharap hakim dapat meringankan hukuman atas kesalahannya mendera kambing. Bagaimanapun majistret Muthoni Nzibe tidak mengendahkan rayuan Gona dan mengarahkan dia dipenjara 10 tahun selepas mengaku salah mengadakan hubungan seks dengan kambing. Kambing yang menjadi mangsa Gona dibawa ke mahkamah sebagai bahan bukti oleh pegawai pendakwa kes.


Menurut pegawai pendakwa Jimmy Kema, Gona melakukan kesalahan itu Isnin lalu.


Saksi yang juga jiran Gona berkata dia memasuki kawasan semak untuk membuang air kecil dan terkejut apabila melihat sehelai baju disangkut pada pokok.

Apabila dia menyiasat lebih lanjut, saksi terkejut apabila ternampak Gona berbogel dan mengadakan hubungan seks dengan kambing yang ditambat itu.


Dia memaklumkan pemilik kambing itu serta orang kampung sebelum Gona ditahan polis.

Menurut laporan pejabat veterinar, kesan darah ditemui pada vulva kambing berkenaan yang turut membuktikan serangan seksual terjadi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Jangan ambil gambar saya!

Posted: 03 Dec 2013 01:55 PM PST

London: Kate Moss memberi amaran supaya orang ramai tidak sesuka hati mengambil gambar model terkenal itu jika mereka melihat atau terserempak dengannya di mana-mana.

Kate ternyata rimas dengan kerenah orang ramai yang tidak menghormati privasinya terutama dengan kewujudan pelbagai jenis media sosial seperti Instagram. "Jika saya sedang makan di restoran sekalipun ada saja orang datang mahu mengambil gambar saya walaupun saya agak keberatan untuk berbuat demikian.


"Tolonglah! Keadaan kini seolah-olah tiada sempadan langsung," katanya ketika ditemui di Anugerah Fesyen Britain di London semalam.

Dalam majlis berkenaan Kate turut diberi penghargaan bagi mengiktiraf pembabitannya selama 25 tahun dalam industri berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Bob Dylan dituduh menghasut

Posted: 03 Dec 2013 01:55 PM PST

Paris: Pihak berkuasa Perancis memfailkan tuduhan awal terhadap penyanyi Bob Dylan berhubung kenyataannya dalam satu temubual pada 2012.

Dylan menghadapi tuduhan menghina dan menghasut selepas membandingkan orang Croatia dengan Nazi serta Ku Klux Klan ketika temubual dengan majalah Rolling Stone pada September 2012.


Sebuah pertubuhan Croatia di Perancis memfailkan saman berhubung kenyataan itu.

Peguam pertubuhan itu, Ivan Jurasinovic berkata, mereka tidak menuntut ganti rugi sebaliknya mahukan permohonan maaf daripada Dylan yang dipandang tinggi masyarakat Croatia.


Jurucakap pejabat pendakwa Paris Agnes Thibault-Lecuivre berkata semalam, tuduhan difailkan pertengahan November lalu.


Sementara itu, wakil Dylan yang kerap membuat persembahan di Perancis tidak dapat dihubungi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Tembakan 'bersejarah'

Posted: 03 Dec 2013 01:54 PM PST

Reykjavik: Seorang lelaki bersenjata menjadi individu pertama ditembak mati polis Iceland dalam kejadian dianggap 'bersejarah' di negara itu.

Dalam kejadian itu, lelaki terbabit ditembak selepas dia sebelumnya melepaskan tembakan ke arah dua anggota polis yang cuba menahannya di sebuah apartmen.


Pesuruhjaya Polis Iceland, Haraldur Johannessen berkata pihaknya kesal dengan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada lelaki terbabit. Menurut laporan, polis menerima panggilan kecemasan dan pergi ke sebuah apartmen di Arbaer untuk menyiasat.

Di situ seorang lelaki berusia lewat 50-an berkubu dalam kediamannya dan melepaskan tembakan ketika dua anggota polis tidak bersenjata memasuki premis berkenaan. Polis kemudian melepaskan bom asap ke rumah berkenaan dalam usaha menenangkan suspek tetapi gagal apabila dia melepaskan tembakan ketika cuba ditahan. Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan dan suspek cedera sebelum disahkan mati ketika dia dalam perjalanan ke hospital. Ketua Polis Reykjavik, Stefan Eriksson berkata tembakan suspek melalui tingkap apartmen itu memaksa pihak berkuasa bertindak balas. Sehingga malam tadi belum diketahui motif suspek bertindak begitu tetapi sumber berkata, dia pernah mengugut jirannya.


Iceland mempunyai populasi seramai 320,000 dan sangat jarang berlaku keganasan membabitkan senjata api di negara itu.


Kadar jenayah di Iceland juga rendah, malah polis di negara itu lazimnya tidak membawa senjata api ketika bertugas. Senjata api hanya dibenarkan untuk memburu dan rakyatnya percaya pengharaman senjata punca kadar keganasan amat rendah di negara berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Kereta api tergelincir bergerak terlebih laju

Posted: 03 Dec 2013 01:54 PM PST

New York: Kereta api komuter yang tergelincir hujung minggu lalu sehingga menyebabkan empat penumpang terbunuh dilaporkan bergerak pada kelajuan 132 kilometer sejam (kmsj) ketika melalui selekoh, kata penyiasat persekutuan, semalam.

Bagaimanapun, sama ada kejadian disebabkan kecuaian atau masalah mekanikal belum dapat dikenal pasti.


Menurut pakar keselamatan, tragedi itu mungkin dapat dielak jika Metro-North Railroad memuatkan teknologi pengelak pelanggaran yang disyorkan pihak berkuasa sejak beberapa dekad lalu.

Kelajuan kereta api itu diperoleh daripada dua perakam data selepas kemalangan pagi Ahad di Bronx.


Kejadian berlaku di sebuah selekoh tajam malah had kelajuan ditetapkan di kawasan itu sepatutnya diturunkan daripada 112 kmsj kepada 48 kmsj. Ahli Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Earl Weener enggan mengulas mengenai keterangan jurutera yang mengendalikan kereta api itu kepada pihak penyiasat.


Katanya, hasil ujian dadah serta alkohol juga belum diperoleh.

Penyiasat turut memeriksa telefon bimbit jurutera berkenaan untuk memastikan sama ada perhatiannya dialihkan kepada perantu itu ketika kejadian berlaku.


Pengarah eksekutif kesatuan pekerja rel Anthony Bottalico berkata, jurutera terbabit William Rockefeller turut tercedera dan trauma dengan kejadian itu.

Namun dia memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan.


"Setahu saya dia seorang yang jujur dan mempunyai rekod cemerlang, selain rajin menjalankan tugas," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Anak Sitok nafi tuduhan terhadap bapa

Posted: 03 Dec 2013 01:53 PM PST

Jakarta: Anak penulis dan budayawan Sitok Srengeng, Laire Siwi Mentari bersuara untuk mengulas mengenai kes rogol yang dihadapi ayahnya itu.

Dalam surat terbukanya, Laire menyatakan rasa kecewa dengan pelbagai reaksi diterimanya termasuk daripada teman rapat berhubung kejadian itu.


"Tidak semua berita di media itu benar, malah banyak yang dibesar-besarkan. "Tuduhan yang dilemparkan terhadap ayah saya tidak benar.

"Walaupun memang dia dan wanita digelar RW berkenaan mempunyai hubungan, tiada langsung unsur paksaan.


"Malah, berkali-kali ayah cuba menemui keluarganya untuk bertanggungjawab atas perbuatannya, namun tidak diendahkan sebaliknya ayah dituduh pula merogol wanita itu," katanya, semalam.


"Semua orang berhak kecewa dan marah terhadapnya, lebih-lebih lagi saya sebagai anaknya.

"Namun kemarahan itu tidak akan mengubah keadaan," katanya dalam blog peribadinya.


Dalam surat terbuka itu, Laire menggesa semua pihak memikirkan keadaan RW yang dikatakan mengalami kemurungan selain anak yang bakal dilahirkan wanita berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

Yingluck arah 2 menteri adakan 'forum rakyat'

Posted: 03 Dec 2013 01:52 PM PST

Bangkok: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra mengarahkan dua menteri mengadakan 'forum rakyat' dengan menghimpunkan pakar akademik dan perundangan untuk membincangkan cara mengatasi konflik politik berpanjangan di Thailand.

Jurucakap kerajaan Teerat Rattanasevi berkata, Yingluck mencadangkan forum itu bagi menyahut gesaan Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) supaya majlis rakyat diwujudkan.


Katanya, Timbalan Perdana Menteri Pongthep Thepkanchana dan Menteri Perundangan Chaikasem Nitisiri dipertanggungjawabkan mengendalikan forum itu pada mesyuarat Kabinet hari ini dengan harapan semua sektor mampu berunding mencari jalan penyelesaian secara aman.

Timbalan Perdana Menteri Surapong Tovichakchaikul pula diberi tugas sebagai jurucakap bagi menjelaskan keadaan sebenar di Thailand kepada negara lain.


Beberapa menteri turut dilantik menjaga kebajikan mereka yang tercedera dalam demonstrasi yang diadakan sebelum ini. Kata Teerat, pengurus semua pejabat kerajaan yang terjejas akibat demonstrasi terbabit dinasihatkan mencari jalan untuk membolehkan kakitangan mereka bekerja dari lokasi lain.


Sementara itu, Thepkanchana menegaskan forum yang diwujudkan itu bukan bererti kerajaan bersetuju mewujudkan majlis rakyat yang dilihat bertentangan dengan perlembagaan.

Sebaliknya, katanya, forum itu sekadar untuk menghimpunkan pandangan beberapa pihak untuk mencari penyelesaian sewajarnya mengikut undang-undang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/04

No comments:

Post a Comment