Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Nenek lahir anak kembar

Posted: 24 Dec 2013 08:21 AM PST

Beijing: Seorang wanita China melahirkan anak perempuan kembar pada usia 60 tahun melalui rawatan IVF selepas satu-satu anaknya meninggal dunia.

Kes yang luar biasa itu menyebabkan dia menjadi individu tertua yang melahirkan anak di negara itu, lapor media kerajaan semalam.

Sheng Hailin, 63, kehilangan satu-satunya anak perempuan yang berusia lewat 20-an akibat kejadian keracunan gas pada 2009, lapor China Daily.

"Bagi mengelak kesunyian, saya memutuskan untuk mendapat anak lagi ketika usia tua," katanya sebagaimana dipetik akhbar itu.

Foto

SHENG berehat selepas melahirkan anak kembar ketika berusia 60 tahun.


Sebuah hospital tentera di Hefei, timur China bersetuju untuk memberikan Sheng dan suaminya terapi IVF.


Dia melahirkan Zhizhi, 1.85 kilogram dan Huihui, 1.45 kilogram di hospital berkenaan.

Wanita tertua yang melahirkan anak menurut Buku Rekod Guiness ialah Maria del Carmen Bousada Lara dari Sepanyol yang mempunyai anak lelaki kembar melalui pembedahan Caesarean pada 2006.

Maria berusia 66 tahun dan 358 hari ketika itu. Dia meninggal akibat kanser tiga tahun kemudian.

Sheng, pesara pekerja perubatan dan suaminya mempunyai wang saraan mencukupi tetapi dia kembali bekerja dengan membuat perjalanan ke seluruh negara untuk memberi ceramah mengenai kesihatan bagi mendapatkan wang tambahan untuk membesarkan anaknya.

Dia terpaksa membayar 10,000 yuan (RM5,424) sebulan untuk dua penjaga kerana tidak lagi larat untuk menjaga anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

'Autograf' pada hati pesakit

Posted: 24 Dec 2013 08:18 AM PST

London: Seorang pakar bedah di sebuah hospital di Birmingham digantung kerja selepas dakwaan mengatakan dia menurunkan tandatangannya di hati seorang pesakit.

Dipercayai tanda tangan itu ditemui rakan sekerjanya ketika pembedahan rutin terhadap pesakit terbabit di Hospital Ratu Elizabeth.

Pihak berkuasa kini bimbang kemungkinan beratus-ratus pesakit yang menjalani pembedahan transplan lain membabitkan pakar bedah itu berdepan nasib sama. seperti pesakit itu.

Dakwaan itu mengatakan pakar bedah berpengalaman berkenaan menggunakan pancaran gas argon - bagi menutup pembuluh - untuk membuat tanda tangan itu.


Pakar berkata, ia akan meninggalkan kesan terbakar di permukaan hati, tetapi tidak berbahaya.


Joyce Robins dari pertubuhan Patient Concern berkata: "Kami bercakap mengenai pesakit bukan buku autograf."- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Harimau Malaya mati dibaham pasangan

Posted: 24 Dec 2013 08:17 AM PST

San Diego: Seekor harimau betina dibaham hingga mati oleh pasangannya ketika percubaan untuk membiakkan spesies jarang ditemui itu di Zoo San Diego.

Harimau Malaya berusia empat tahun benama Tiga Tahun itu mati akibat kecederaan di leher dan kesukaran bernafas selepas kejadian Sabtu lalu.

Ia usaha pembiakan pertama membabitkan kedua-dua haiwan itu dan Tiga Tahun ialah satu-satunya harimau Malaya betina yang terdapat di situ.

"Interaksi pertama kedua-dua haiwan itu begitu positif.


"Kedua-duanya berlaga hidung ketika dipisahkan oleh kawat penghadang.


"Interaksi itu menyebabkan penjaga zoo percaya masanya sudah tiba untuk mereka mengawan.

"Malangnya, keadaan berubah serta-merta apabila kedua-duanya diletakkan dalam satu kandang.

"Penjaga zoo tidak dapat menyelamatkan Tiga Tahun apabila dibaham oleh harimau jantan itu," menurut kenyataan zoo itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Unta tua paling cantik

Posted: 24 Dec 2013 08:17 AM PST

Riyadh: Seekor unta milik seorang lelaki Saudi mengalahkan 60 unta lain dari Emiriah Arab Bersatu dan negara Teluk untuk memenangi gelaran 'Unta paling Cantik' dalam kategori unta tua.

Mahiouba dipilih oleh jawatankuasa pertandingan di Abu Dhabi berdasarkan 'warna, leher, bonggol dan hidungnya,' lapor akhbar Saudi, Sabq, semalam.

Ia adalah kali pertama unta dari Arab Saudi memenangi gelaran itu sejak pertandingan bermula lima tahun lalu.

"Mahiouba menang gelaran kategori unta tua walaupun saya satu-satunya pemilik unta dari Arab Saudi yang menyertai pertandingan," kata pemiliknya Talal bin Suleiman Al Anzi.

Foto

MAHIOUBA menewaskan 60 unta lain.


Menurutnya, dia hanya membawa seekor unta untuk kategori itu tetapi mempunyai 50 ekor untuk pertandingan kategori utama yang akan berlangsung Sabtu ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Rompakan paling bodoh

Posted: 24 Dec 2013 08:14 AM PST

Dubai: Seorang lelaki mabuk masuk ke sebuah kedai runcit di Dubai petang semalam, menumbuk tuan kedai sebelum melarikan wang berjumlah 1,800 dirham (RM1,600) dan kad prabayar telefon bimbit bernilai 2,000 dirham (RM1,800).

Sejam kemudian, dia kembali ke kedai sama, mengancam seorang pekerja dengan pisau sebelum ditangkap polis yang tiba untuk menyiasat rompakan pertama.

"Ini rompakan paling bodoh tahun ini.

Perompak itu merompak kedai yang sama, seolah-olah mahu menyerah diri kepada polis," lapor akhbar Alkhaleej.

Menurut akhbar itu, perompak yang namanya tidak disiarkan itu kembali ke kedai yang dirompaknya sejam kemudian selepas mengetahui tuan kedai membuat laporan polis.

Polis datang untuk menyiasat kes pertama menemui perompak itu di kedai berkenaan.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Tolak Yingluck

Posted: 24 Dec 2013 08:13 AM PST

Bangkok: Ahli politik yang ada hubungan dengan kumpulan baju merah dan yang lain dalam Parti Pheu Thai menolak pencalonan Yingluck Shinawatra sebagai calon nombor satu parti itu yang memberi peluang kepadanya menjadi perdana menteri sekali lagi jika parti itu menang pada pilihan raya 2 Februari. Menurut sumber, mereka bimbang jika calon dari keluarga Shinawatra yang menjadi sasaran kecaman hebat dalam krisis politik sekarang akan memberi kelebihan kepada parti lawan.

"Parti lawan berusaha memerangkap kerajaan.

Jika Pheu Thai masih mencalonkan anggota keluarga Shinawatra, parti lawan akan mempunyai kelebihan," kata sumber itu.

Kelmarin, Pheu Thai mengemukakan senarai calonnya untuk pilihan raya berkenaan dengan Yingluck, perdana menteri dan menteri pertahanan sementara di nombor 1 dan bekas perdana menteri Somchai Wongsawat nombor 2.

Isteri Somchai, Yaowapa ialah kakak Yingluck.

Ahli politik baju merah berkata, untuk mengurangkan tekanan terhadap Pheu Thai, ahli politik dengan imej baik seperti Phongthep Thepkanjana dan Chadchart Sittipunt sepatutnya menjadi calon utama, seterusnya menjadi perdana menteri baru.

Bagaimanapun, Pheu Thai masih menyenaraikan Yingluck dan Somchai di dua tangga teratas.


Ia mengecewakan ahli politik baju merah yang mengancam menarik sokongan mereka kepada parti itu.

Sementara itu, tokoh pembangkang berkata, Pheu Thai mungkin menganggap Yingluck sebagai calon terbaiknya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Anggota komunis lancar keganasan sebelum gencatan

Posted: 24 Dec 2013 08:13 AM PST

Manila: Pemberontak komunis di selatan Filipina membakar tiga teksi sejam sebelum gencatan senjata sempena perayaan Krismas bermula.

Tentera Rakyat Baru (NPA) membakar tiga teksi syarikat Holiday Taxi di Panabo malam semalam, kira-kira sejam sebelum tengah malam apabila gencatan senjata bermula, kata jurucakap polis daerah, Ketua Inspektor Jed Clamor.

"Kejadian itu dirancang.

Mereka menyewa tiga teksi berkenaan di kawasan berbeza sebelum mengacukan senjata ke arah pemandunya agar mengikut arahan dan membakar teksi terbabit," katanya.

Menurutnya, 10 lelaki bersenjata itu memperkenalkan diri mereka sebagai anggota NPA kepada pemandu terbabit.


Polis mengesyaki kejadian itu sebahagian percubaan peras ugut.

NPA yang aktif di kawasan pedalaman di Filipina memperoleh wang dengan cara memeras ugut peniaga bagi mengutip dana untuk kegiatan mereka.


Parti Komunis Filipina yang mempunyai 4,000 anggota, sebelum ini mengisytiharkan gencatan senjata 48 jam sempena Krismas mulai 24 Disember dan sekali lagi mulai malam tahun baru.

Presiden Benigno Aquino mengisytiharkan perdamaian sehala dengan NPA mulai 21 Disember hingga 15 Januari.

Dalam kenyataan semalam, panel rundingan damai kerajaan menggesa anggota komunis mematuhi gencatan senjata yang diisytihar mereka, selain menghormati tempoh gencatan senjata yang lebih lama diisytiharkan kerajaan".

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

161 gagal diseludup ke Singapura, Malaysia

Posted: 24 Dec 2013 08:12 AM PST

Bekasi: Seramai 161 orang wanita yang didakwa hendak dijual di Singapura dan Malaysia ditemui dalam sebuah rumah di Bekasi, Jawa Barat, semalam.

Ketua unit penyeludupan manusia polis Indonesia, Arie Dharmanto berkata, 22 yang ditahan itu di bawah umur.

Mereka ditemui selepas anggota unit itu menyerbu rumah berkenaan yang dipercayai menjadi tempat mengumpulkan mangsa sebelum mereka diseludup ke negara jiran.

"Kami membebaskan 161 wanita yang hendak dijual ke Singapura dan Malaysia.

Sebahagian mereka masih kanak-kanak," kata Arie.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada penduduk tempatan yang mengesyaki wanita di rumah itu dijadikan tebusan.

"Rumah itu sungguh sesak.


Mereka tidur di lantai dengan beralaskan tikar saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Cinta Laura jadi pembantu profesor

Posted: 24 Dec 2013 08:12 AM PST

Jakarta: Aktres dan penyanyi Cinta Laura (gambar) berkata, dia dilantik profesornya untuk menjadi pembantu profesor berikutan pencapaian akademiknya yang cemerlang.

"Disebabkan gred saya baik, saya dilantik sebagai pembantu profesor.

Tugas saya ialah menolong profesor membantu pelajar lain," katanya kepada tribunnews.com.

Pelajar psikologi Universiti Colombia di New York itu juga berkata, gred diperolehnya juga membolehkan dia menyelesaikan pengajian lebih awal daripada sepatutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Balai polis sasaran bom

Posted: 24 Dec 2013 08:11 AM PST

Mansoura: Empat belas orang terbunuh dalam satu serangan bom kereta yang hampir memusnahkan sebuah ibu pejabat polis di bandar di Delta Nil ini, semalam.

Serangan itu turut mencederakan 100 yang lain, kebanyakannya tertimbus di bawah runtuhan konkrit.

Kerajaan sementara Mesir menuduh Ikhwanul Muslimin bertanggungjawab, sekali gus mengecopnya pertubuhan pengganas.

Serangan itu adalah yang pertama di Delta Nil, menandakan pergolakan di Mesir sejak beberapa bulan lalu kini merebak ke kawasan baru dan berlaku semakin dekat ke Kaherah.


Keganasan seumpama itu sebelum ini tertumpu di Semenanjung Sinai dan di kawasan bandar Terusan Suez, di timur ibu negara Mesir itu.


Kejadian jam 1.10 pagi (waktu tempatan) itu berlaku di ibu pejabat keselamatan di bandar Mansoura, 110 kilometer ke utara Kaherah, meruntuhkan sebahagian tembok bangunan lima tingkat itu.

Puluhan kereta di luar bangunan terbakar sementara banyak lagi yang diletakkan berhampiran rosak.

Agensi berita MENA berkata, 14 orang terbunuh, termasuk lapan pegawai polis dan 134 cedera, antaranya ketua keselamatan bandar itu dan pembantunya.

Kebanyakan yang tertimbus di bawah runtuhan konkrit ialah anggota polis.

Menteri Dalam Negeri Mohammed Ibrahim yang melawat tempat kejadian merayu polis meneruskan usaha menentang 'pengganas' yang cuba mencabar pihak keselamatan.

MENA memetik jurucakap Kabinet, Sherif Shawki sebagai berkata, Ikhwan menunjukkan "wajah hodohnya sebagai pertubuhan pengganas, menumpahkan darah dan mencabar pihak keselamatan Mesir."

Perdana Menteri Hazem el-Beblawi yang turut menyifatkan kejadian itu sebagai serangan pengganas, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berikrar akan memburu mereka yang terbabit.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

No comments:

Post a Comment