Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Ini tidak adil!

Posted: 27 Dec 2013 09:48 AM PST

Manchester, England: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mungkin berdepan tindakan FA selepas merungut mengenai pengadil Lee Mason berikutan kekalahan 1-2 pasukannya kepada Manchester City.

Mason, yang dilihat melakukan beberapa kesilapan penting yang tidak memihak Liverpool, berpangkalan di Bolton yang secara teknikalnya berada di daerah "Greater Manchester."

Bolton tidak pernah dianggap sebagai sebahagian daripada bandaraya Manchester namun ia tidak menghalang Rodgers daripada mengatakan Mason berasal dari 'Manchester'.

"Kami tidak mendapat bantuan daripada pegawai," kata Rodgers.


"Saya fikir ia memang dahsyat. Tiada apa yang memihak kepada kami. Saya terkejut kami bermain di Manchester dengan seorang pengadil dari Greater Manchester. Saya tidak fikir ada keputusan yang menyebelahi kami.


"Harapnya kami tidak mendapat seorang pengadil dari Greater Manchester sekali lagi pada pertemuan Liverpool-Man City. Saya akan memaklumkan perkara ini kepada FA.

"Saya tidak fikir kami akan mendapat seseorang dari Wirral (kawasan berdekatan Sungai Mersey di Liverpool) mengadili perlawanan Liverpool-Man City."

Rodgers berang dengan keputusan penjaga garisan mengangkat bendera menyatakan ofsaid buat Raheem Sterling (gambar tengah), terjahan ke atas Luis Suarez di penjuru kotak penalti dan permintaan penalti yang gagal oleh Suarez.

"Saya fikir mengenai ofsaid itu, penjaga garisan langsung tidak berada di tempat sepatutnya," kata Rodgers. "Jika anda bertugas pada tahap ini, anda perlu membuat keputusan tepat.

"Ada satu insiden lagi pada babak kedua apabila Luis tidak diberikan sepakan percuma di penjuru kotak penalti dengan Joleon Lescott membentesnya dan sepatutnya sepakan penalti harus diberikan. Luis tidak merebahkan badan kerana jersinya ditarik."

Di sebalik masalah itu, Liverpool mendahului menerusi Philippe Coutinho sebelum City menamatkan babak pertama dengan gol Vincent Kompany dan Alvaro Negredo sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Perdana. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

FAM nafi tidak beri masa yang cukup

Posted: 27 Dec 2013 09:41 AM PST

Kelana Jaya: Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan mereka tidak memberi cukup masa untuk lapan pegawai dan pemain Kuala Lumpur memfailkan pembelaan sehingga mereka dijatuhkan hukuman gantung seumur hidup atas kesalahan rasuah dan mengatur perlawanan pada 20 Disember lalu.

Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Taufek Abd Razak berkata, FAM sudah menyerahkan surat pertuduhan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa untuk dimaklumkan kepada semua tertuduh bagi membuat pembelaan dalam masa tujuh hari.

"Kita memanggil Nokman untuk menerima kertas pertuduhan itu kerana kertas pertuduhan tidak dialamatkan kepada tertuduh sebaliknya kepada setiausaha bola sepak negeri atau kelab.

Tidak timbul masalah (lewat terima surat) kerana kita sudah serahkan surat kepada setiausaha pasukan terbabit secara peribadi, tinggal lagi sama ada setiausaha yang lambat memaklumkan kepada pihak tertuduh dan itu bukan masalah di peringkat FAM.

Mengikut peraturan kita memberikan tempoh seminggu kepada tertuduh untuk membuat pembelaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM semalam.

Taufek berkata demikian berikutan timbul dakwaan lapan pegawai dan pemain Kuala Lumpur termasuk jurulatih dari Slovakia Stanislav Lieskovsky yang digantung seumur hidup dan denda RM20,000 tidak mempunyai cukup masa untuk mengemukakan pembelaan kepada jawatankuasa itu.

Selain Lieskovsky, turut menerima hukuman berat atas kesalahan rasuah dan mengatur perlawanan adalah penolong pengurus Rosdi Omar, Shaari Jani (pegawai), Jeremy Danker, Khairul Anuar Shafie, Hafizi Roslee, Fadhulah Yunsifar dan Phoo Kai Lun (pemain).

Sementara itu nasib tujuh lagi pemain skuad Liga Perdana Kuala Lumpur itu yang didakwa atas kesalahan yang sama bakal diketahui pada 7 Januari selepas jawatankuasa itu hanya sempat membicarakan dua kes saja membabitkan penjaga gol Azizon Abd Khadir dan pemain pertahanan kiri Benedict Martin yang memakan masa empat jam.

Baki lima lagi kes membabitkan Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J Mughilan Kartik, Muhammad Azwan Jatin, S Sivaraj dan Mohammad Amirul Asraf Mohd Nor bakal dibicarakan pada 3 dan 7 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Yakin kekal posisi

Posted: 27 Dec 2013 09:41 AM PST

Kuantan: Prestasi cemerlang terutama dalam saingan Piala Malaysia membuktikan Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid (gambar) mampu memikul tanggungjawab penjaga gol utama Pahang bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Pada masa sama, Khairul Azhan yang lebih mesra dengan panggilan Yan hanya perlu bersaing dengan penjaga gol berpengalaman Mohd Nasril Nourdin manakala Pahang pula menyenaraikan Muhammad Saufi Mohamad sebagai penjaga gol ketiga.

Sudah pasti saingan kini dilihat antara Khairul Azhan dan Nasril sebagai benteng terakhir yang mengawal gawang daripada dibolosi lawan.

Namun, penjaga gol berusia 24 tahun itu tidak mahu kejayaan membantu skuad itu muncul juara Piala Malaysia musim ini melekakannya.

Sebaliknya, dia mahu memastikan pengalaman beraksi di pentas final piala berprestij itu mematangkannya sekali gus menjadi penjaga gol yang disegani pada masa depan.

"Oleh itu saya harap prestasi lebih baik terutama mengekalkan posisi selaku penjaga utama Pahang musim 2014 walaupun kedudukan itu masih belum terjamin.

"Saya percaya dengan sokongan dan bimbingan jurulatih, komitmen lebih tinggi dalam memastikan kejayaan buat skuad Tok Gajah," katanya semalam.

Pada awal musim ini, Khairul Azhan tidak sangka mendapat kepercayaan daripada jurulatih Dollah Salleh untuk mengawal gawang kerana diletakkan sebagai penjaga gol ketiga.

Namun, kepercayaan yang diberikan Dollah ternyata memberi semangat baru untuk mempamerkan aksi terbaik dan ia berhasil apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama termasuk beraksi di pentas final Piala Malaysia.

Seharusnya Khairul Azhan berterima kasih kepada jurulatih penjaga gol yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, Muadzar Mohamad yang membantu meningkatkan prestasinya sepanjang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

'Guna kelebihan padang sendiri'

Posted: 27 Dec 2013 09:39 AM PST

Alor Setar: Pemain Kedah perlu menggunakan kesempatan beraksi di Stadium Darulaman pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja Proton malam ini selepas gagal memenanginya di Ipoh musim lalu.

Ketua jurulatih Hussain Jaafar berkata, kini terserah kepada pemainnya untuk menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri berdepan Perlis dengan sokongan ribuan peminat setia mereka.

"Saya yakin pemain saya mengetahui hanya satu lagi kemenangan bagi mereka menjulang Piala Emas Raja-Raja selepas kejayaan pada 2005 dengan mengatasi Kelantan 1-0 di Kota Bharu.

"Anak Buah saya berjaya mengatasi segala cabaran untuk layak ke perlawanan akhir dan mereka mengetahui inilah perlawanan penentu dan mereka pasti akan memberikan prestasi terbaik untuk menceriakan peminat setia pasukan serta Persatuan Bolasepak Melayu Kedah (PBMK).

"Bagi diri saya sendiri, ini juga akan menjadi satu sejarah dalam karier saya sebagai ketua jurulatih pasukan Piala Emas kerana inilah pengalaman pertama saya memikul tugas ini pada pertandingan sebesar ini," kata Hussain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Kontrak Kim Her mungkin sambung

Posted: 27 Dec 2013 09:33 AM PST

Kuala Lumpur: Walaupun semua pemain senior badminton negara kerap menyuarakan rasa tidak senang dengan jurulatih beregu, Tan Kim Her, tapi rungutan itu tidak mendatangkan kesan buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila Presidennya Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff membayangkan kontrak bekas pemain kebangsaan yang kini bertindak selaku penilai bebas itu akan disambung.

"Anda perlu memahami sistem yang kami amalkan sekarang. Ketika ini beliau (Kim Her) membantu melatih pemain beregu kerana kami kekurangan pembantu jurulatih dalam masa sama, kita memiliki ramai pemain yang bagus," kata Mahaleel ketika menjawab pertanyaan mengenai kontrak Kim Her yang akan berakhir Februari depan.

Katanya lagi, dengan bilangan bakat yang ramai terutamanya mereka yang dinaikkan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), beliau mengakui bahawa badan induk kebangsaan itu kekurangan jurulatih dan tidak menolak kemungkinan kontrak Kim Her akan disambung.

Kim Her menyertai barisan kejurulatihan BAM pada 2010 dan terus mengambil alih tugasan yang ditinggalkan bekas ketua jurulatih beregu, Rexy Mainaky.

Foto

KIM Her (kiri) kini menggalas tugas jurulatih beregu negara.


Kontrak pertamanya yang berakhir pada Februari 2012 disambung dan bakal berakhir Februari depan.


Dalam pada itu, Mahaleel berkata, BAM tidak perlu lagi mencari jurulatih baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggal Paulus Firman kerana berasakan badan induk itu sebenarnya lebih memerlukan pembantu jurulatih.

"Kami sebenarnya memerlukan pembantu jurulatih bagi mengimbangi jumlah pemain berbakat yang ramai. Jadi sekurang-kurangnya empat pembantu jurulatih akan dilantik dan kami mungkin mendapatkan pembantu yang baik dari negeri-negeri," kata Mahaleel selepas mesyuarat exco BAM di Bukit Kiara, semalam.

Beliau juga menerangkan bahawa peranan penilai bebas mungkin akan dikembangkan ke peringkat negeri-negeri bagi memastikan program pembangunan dapat berlangsung seiring dengan perkembangan pusat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Sengketa tamat!

Posted: 27 Dec 2013 09:31 AM PST

Kuala Lumpur: Maaf sudah dihulurkan dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengharap kekeruhan yang timbul membabitkan pelumba dan pengurusan tidak berpanjangan kerana ia boleh merencatkan pembangunan sukan itu.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab (gambar) berkata, beliau sedar akan kesilapan yang berlaku pada temasya dwi tahunan itu dan secara tidak langsung menjadi punca kepada kegagalan skuad lumba basikal negara menamatkan kemarau pingat emas sejak 2005.

Abu Samah berkata, segala permasalahan akan dibincangkan pada mesyuarat exco yang bakal diadakan dalam waktu terdekat bagi menyelesaikan segala masalah berbangkit agar kejadian sama tidak berulang pada temasya dua tahun lagi di Singapura.

"Selaku presiden saya sudah meminta maaf pada malam kejadian ketika kekecohan itu timbul.

Semuanya berpunca daripada pengguguran Mohd Zamri Salleh, 24 jam sebelum perlumbaan bermula.

Saya mengakui berlakunya kesilapan di situ.


Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukannya.

"Teguran itu saya terima dan ia tidak menjadi masalah buat saya.


Buang yang keruh ambil yang jernih.

Banyak perkara berbangkit yang saya nampak dan semua itu akan diperbaiki," katanya.

Terdahulu, barisan pelumba melahirkan rasa tidak puas hati apabila terus dilabelkan sebagai punca kepada kegagalan skuad berbasikal negara di Sukan SEA sedangkan mereka sudah melakukan yang terbaik namun kelemahan daripada segi pengurusan langsung tidak dihiraukan.

Perkara itu tidak dinafikan Abu Samah yang mengakui kesilapan pihak pengurusan dan perbalahan yang timbul pada malam sebelum berlangsungnya perlumbaan menjadi punca kepada kegagalan skuad negara merealisasikan emas.

Abu Samah bagaimanapun tetap bersyukur skuad lebuh raya tidak memalukan negara apabila menarik balik keputusan memboikot perlumbaan dengan percubaan menarik diri daripada beraksi di Sukan SEA dan barisan enam pelumba terdiri daripada Loh Sea Keong, Mohd Rauf Nur Misbah, Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Muhamad Shahrul Mat Amin dan Saufi Mat Senan membawa pulang satu pingat perak dalam acara berpasukan.

Acara lepas beramai-ramai menyaksikan pelumba dari Laos, Ariya Phounsavant mencipta kejutan apabila muncul juara kategori individu meninggalkan pelumba lain dengan pelumba Pro Tour negara, Sea Keong yang mencatatkan empat jam 29 minit 51 saat hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat, terlepas pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Kafando tekad beri aksi terbaik

Posted: 27 Dec 2013 09:30 AM PST

Ipoh: Awang import, Martin Kafando bertekad memberi aksi terbaik bersama Perak dalam kempen Liga Super tahun depan.

Walaupun membuat penampilan kali pertama tetapi bek tengah dari Burkina Faso itu sudah mendapat gambaran lanjut cabaran yang menanti selepas beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan.

"Perak sebuah pasukan muda.

Saya dapat lihat kesungguhan dalam diri setiap pemain.

Walaupun hampir tiada pemain bintang tapi saya yakin kami berupaya memberi cabaran," katanya.

Kafando, 25, ketika ini sedang memulihkan diri daripada kecederaan yang dialami ketika bermain di Vietnam baru-baru ini tetapi yakin kecederaannya tidak teruk.

"Hanya kecederaan kecil saja.


Begitupun jurulatih tidak mahu mengambil risiko menurunkan saya dalam perlawanan," jelasnya.

Kafando berkata, dia gembira berada di Ipoh kerana menerima layanan baik daripada majikan serta peminat pasukan Kejor Yob Kejor.

"Tiada masalah buat saya walaupun ini pertama kali berada jauh di perantauan.


Saya berusaha menyesuaikan diri dengan suasana di sini dengan cepat," katanya yang saban hari menghubungi keluarganya melalui Skype.

Menurutnya, bola sepak di negara ini sama seperti di Burkina Faso kerana menjadi kegilaan utama rakyat di sana berdasarkan kehadiran penyokong termasuk semasa perlawanan persahabatan.

"Saya harap peminat akan berdiri teguh di belakang pasukan sepanjang kempen nanti.

Sokongan padu mereka akan menyemarak lagi semangat kami untuk mengusahakan yang terbaik," katanya yang turut mempelajari beberapa perkataan Bahasa Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

But warna samba adidas

Posted: 27 Dec 2013 09:26 AM PST

Kuala Lumpur: Setiap kali pusingan akhir Piala Dunia, adidas pasti menampilkan jenama terbarunya dan kali ini di Brazil 2014, mereka memperkenalkan bola rasmi brazuca dan koleksi but berwarna Samba.

Brazuca atau bermaksud `Gaya Hidup Brazil' dinamakan hasil daripada undian 1 juta peminat bola sepak pada September 2012.

Warna dan rekaan riben pada panel adalah simbol tradisi gelang tangan dipakai rakyat Brazil.

Bola ini melalui proses ujian selama 2 tahun setengah membabitkan 600 pemain terbaik dunia daripada 30 pasukan mewakili 10 negara menjadikannya paling banyak diuji berbanding bola keluaran adidas lain.

Foto

BOLA yang akan digunakan pada kejohanan Piala Dunia Brazil 2014.


Kelab yang terlibat dalam ujian itu adalah AC Milan, Bayern Munich, Palmeiras dan Fluminese. Manakala pemain pula adalah Lionel Messi, Iker Casillas, Bastian Schweinsteiger dan Zinedine Zidane.


Bintang Brazil Dani Alves menyifatkan brazuca sebagai paling menakjubkan.
"Bola ini cukup hebat dan menghiburkan. Usaha adidas menghasilkan rupa bentuk dan kualiti brazuca yang bakal digemari ramai."

Sementara penjaga gol dan kapten Sepanyol, Iker Casillas mengakui rekaan brazuca menampil ciri-ciri Brazil. "Bola ini sudah dilancarkan dan ia bermakna pertandingan sudah semakin hampir. Saya tidak sabar untuk beraksi di Brazil bersama bola hebat ini."

Selain kehebatan brazuca, adidas juga menampil empat koleksi but hebat dan menarik terdiri daripada adizero f50, predator, nitrocharge dan 11pro.

Setiap jenis but mewakili warna dan identiti rekaan tersendiri.

Nitrocharge yang diguna Dani Alves dan Ezeguiel Lavezzi menampilkan warna hijau limau, adizero f50 pula yang digemari Lionel Messi, Lucas Moura dan Gareth Bale berwarna biru langit.

Predator pula yang digayakan dengan warna merah jambu digunakan oleh Oscar, Mesut Ozil dan Fernando Torres, manakala 11pro pula berwarna ungu menjadi pilihan Philipp Lahm, Hernanes dan Frank Lampard.

Pengurus Produk Kanan Global adidas, Antoine Hadjimanolis berkata Koleksi Samba itu dihasilkan daripada inspirasi Brazil melalui warnanya, tenaganya dan penuh dengan karektor.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Trofi Piala Dunia singgah di Malaysia

Posted: 27 Dec 2013 09:23 AM PST

Kuala Lumpur: Peminat bola sepak tempatan sekali lagi berpeluang melihat dari dekat trofi bola sepak berprestij yang menjadi dambaan dunia, trofi Piala Dunia, yang akan dipamer di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 5 Januari ini.

Menurut Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Kuala Lumpur antara lokasi persinggahan trofi itu dalam Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA 2014.

Trofi itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 3 Januari dan ia diikuti pelbagai aktiviti yang diatur oleh Coca-Cola, selaku rakan kongsi korporat FIFA.

Ketika ini trofi itu berada di Myanmar dan akan ke Thailand hari ini dan berada di sana selama tiga hari sebelum ke Vietnam (31 Disember hingga 2 Januari).

Foto

PEMINAT bergambar dengan trofi Piala Dunia di Myanmar.


Kembara trofi itu bermula dari Rio de Janeiro, Brazil, atau secara tepatnya dari lokasi patung Christ the Redeemer, monumen terkenal di bandar raya itu pada 12 September lalu.


Jelajahnya meliputi 88 negara dan wilayah, dengan jarak perjalanan keseluruhan kira-kira 150,000 kilometer dalam tempoh 267 hari sebelum kembali ke Brazil yang akan menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia 2014. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

FAM nadi bola sepak negara

Posted: 27 Dec 2013 09:21 AM PST

Tentu ramai yang sedar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini memberi penghormatan kepada beberapa bekas Setiausaha Agung sempena Anugerah Bola Sepak Kebangsaan.

FAM percaya anugerah itu membawa erti yang besar kepada mereka yang pernah memberi khidmat terbaik masing-masing ketika memegang jawatan cukup mencabar itu.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Setiausaha Agung FAM adalah nadi utama bola sepak Malaysia. Ia bukan sekadar penjaga kepada Wisma FAM, tetapi tugas Setiausaha Agung turut merangkumi hampir semua perihal bola sepak di seluruh negara – daripada kerja surat-menyurat, dasar teknikal, kerjasama semua agensi pelaksana, pemegang kepentingan di peringkat negeri sehinggalah hubungan antarabangsa.

Sejak perang dunia kedua, sembilan individu sudah dilantik memegang jawatan yang saya anggap sebagai nadi utama pentadbiran bola sepak negara itu.


Mereka ialah AR Singam (1940-48), SCE Singham (1948-1951), Datuk Kwok Kin Keng (1951-1979), Datuk Paul Murugasu (1980-1985), Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan (2000-2005), Datuk Seri Dr Ibrahim Saad (2005-2007) dan Datuk Azzuddin Ahmad (2007-2013) sebelum saya sendiri mengambil alih jawatan berkenaan pertengahan tahun ini.


Semua bekas Setiausaha Agung pasti ada ceritanya sendiri, suka dan duka dalam menjalankan tugas mereka.

Mengikut zaman dan keadaan dari semasa ke semasa, saya percaya pendahulu saya menempuh era berbeza, cabaran berlainan dengan tekanan dan tuntutan berbeza.

Landskap zaman Datuk Kwok Kin Heng dalam mengatur urus setia FAM tentunya berlainan dengan era hari ini. Ketika itu, FAM diterajui Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj manakala Ahli Jawatankuasa tertinggi FAM pula dianggotai orang besar kerajaan.

Bola sepak diurus individu yang ghairah meminati bola sepak tetapi disokong sepenuhnya ahli politik dan pegawai kerajaan berhemah tinggi dan budiman dalam sama-sama merangka dasar.

Era semi-pro muncul pada 1989 dengan Datuk Paul Mony yang kini kurang sihat, sebagai penggerak utama selaku Setiausaha Agung FAM.

Pengalaman menjadi sebahagian daripada ahli majlis FAM dan juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mendedahkan saya kepada corak pentadbiran empat Setiausaha Agung – Datuk Paul Mony, Datuk Dell, Datuk Seri Ibrahim dan Datuk Azzuddin.

Kita tidak boleh melupakan jasa-jasa mereka. Apabila saya diberi kepercayaan oleh Presiden FAM Sultan Ahmad Shah untuk menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM ini, saya sedar cabaran yang harus dilalui.

Hari ini semua orang adalah pengkritik dan badan sukan yang paling mudah dikritik serta menjadi tumpuan tentu sekali FAM kerana ia adalah badan induk yang menjaga sukan nombor satu negara.

Media sosial adalah antara ruang paling besar untuk masyarakat dan pemerintah membuat komen sama ada bernas atau sekadar meluahkan kemarahan.

Setiap keputusan, dasar dan kenyataan pihak FAM akan dianalisis dan dikaji. Kesalahan akan diperbesarkan tetapi yang betul lazimnya tidak dihebohkan.

Namun, FAM tetap mengambil positif semua teguran dan pandangan pihak lain.

Yang penting, pembuat dasar FAM harus ikhlas dalam melaksanakan tugas atas nama institusi bukan individu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

No comments:

Post a Comment