Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Hafifi, Faiz jadi sandaran utama PABM

Posted: 01 Dec 2013 08:30 PM PST

Kuala Lumpur: Mohd Hafifi Mansor serta Mohd Faiz Musa menjadi sandaran utama Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk cuba memburu sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya Sukan SEA Myanmar bermula 11 Disember ini.

PABM sebelum ini meluahkan rasa kecewa kerana penganjur tidak mempertandingkan kategori lebih berat pada temasya kali ini sekali gus menjejaskan harapan skuad negara menuai emas.


Justeru Timbalan Presiden PABM Ahmad Janius Abdullah berkata, sekiranya Hafifi mahupun Hafiz mampu menyumbang emas kepada kontinjen negara, ia sudah satu kejayaan yang amat membanggakan.

"Terus terang kami katakan tidak menyasarkan pingat emas untuk temasya kali ini kerana seperti yang pernah kami luahkan sebelum ini, keputusan penganjur tidak mempertandingkan kategori berat, memadamkan harapan kami.


"Tapi kami lihat Hafifi dan Faiz yang juga dua atlet terbaik negara ketika ini, berpotensi untuk memberikan emas kepada kontinjen negara.


"Apapun, kami yakin dapat meraih pingat tapi untuk menukarnya kepada warna emas, itu terpulang kepada kegigihan setiap atlet negara termasuk Hafifi dan Faiz," katanya.

Foto

HAFIFI (kiri) gigih berlatih bersama jurulatihnya, Stefan Stefanov.

Pada saingan di Yangon, Hafifi akan beraksi menerusi kategori 69 kilogram sementara Faiz 94 kilogram.


Selain Hafifi dan Faiz, PABM turut menyenaraikan tujuh lagi atlet angkat berat negara untuk bersaing di Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/02

Norfarhan langgar kontrak

Posted: 01 Dec 2013 08:29 PM PST

Shah Alam: Baru saja dijulang sebagai penyerang terbaik kebangsaan 2013, kedudukan Norfarhan Mohamad bersama pasukan barunya Terengganu mula terancam apabila pemain berusia 28 tahun itu berdepan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas didakwa melanggar kontrak bersama Johor Darul Takzim I (JDT I).

JDT I membuat aduan secara rasmi kepada FAM kelmarin dengan mendakwa bekas bintang Kelantan itu sudah menandatangani kontrak bersama pasukan Harimau Selatan itu untuk musim depan sebelum membuat 'Pusingan U' menyertai pasukan negeri kelahirannya Terengganu.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengesahkan laporan itu berkata, kes Norfarhan akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Status pada 12 Disember ini untuk diputuskan bersama dengan kes bekas pemain JDT I, Nazri Ahmad yang didakwa turut mengubah pendirian pada saat akhir dengan menyertai Kelantan biarpun Selangor mendakwa pemain pertahanan itu sudah menandatangani kontrak bersama mereka.

"Kami baru terima satu lagi kes semalam (kelmarin) daripada Johor (JDT I) sama dengan kes Nazri iaitu kes pemain Norfarhan yang akan dibawa ke Jawatankuasa Status. Setakat hari ini ada dua kes yang akan dibawa ke mesyuarat pada 12 Disember ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Taklimat Liga Malaysia 2014 semalam.


Norfarhan dinobat sebagai penyerang terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan kelmarin namun nasibnya untuk beraksi dengan Terengganu musim depan mula samar kerana jika didapati bersalah, pemain kebangsaan itu boleh dikenakan hukuman penggantungan.


Hamidin dengan jelas memberitahu sepatutnya semua pemain profesional bijak dalam urusan kontrak dengan mana-mana pasukan.

Foto

NORFARHAN (kiri) langgar kontrak bersama JDT I.

"Ini perkara umum, tak perlu belajar dekat sekolah pun. Pemain kena tahu bila sudah menandatangani kontrak mereka perlu patuh. Kami sudah maklumkan kepada persatuan negeri dan kelab mengenai perkara ini tapi bagi saya ini satu fenomena baru. Ia pernah terjadi 10-15 tahun lalu apabila ada pemain bersetuju secara lisan namun kemudian bermain dengan pasukan lain.


"Kali ini lain, mereka sudah menandatangani borang kontrak tapi tak mengaku dan pergi ke pasukan lain. Tapi dua kes ini belum ada keputusan kerana Jawatankuasa Status akan dapatkan semua maklumat daripada pasukan dan pemain itu dan juga salinan kontrak," katanya. Bagaimanapun beliau berkata, FAM menasihatkan pasukan terbabit cuba menyelesaikan masalah itu 'di luar' terlebih dulu.

"Kami beri peluang kepada mereka untuk mencari jalan penyelesaian bersama dan jika ia tidak dapat diselesaikan, kami akan bawa ke mesyuarat Jawatankuasa Status pada 12 Disember ini," jelas Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/02

Usaha 'curi' pemain Red Warriors

Posted: 01 Dec 2013 08:24 PM PST

Kota Bharu: Walaupun Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sudah mengumumkan senarai 24 pemain yang bakal beraksi untuk musim 2014, masih ada pasukan lain yang cuba 'mencuri' pemain pasukan itu.

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang mendedahkan perkara itu berkata, sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperketatkan etika dan peraturan membabitkan kontrak perpindahan pemain supaya masalah itu tidak berlanjutan.


"Dalam 24 pemain yang diumumkan tempoh hari masih ada lagi pasukan lain nak curi pemain kami. Kami sudah pinang dan nikah gantung pemain itu malah hanya tunggu untuk didaftarkan saja tapi masih ada lagi pasukan yang cuba membuat rundingan.

"Adalah tidak beretika apabila pemain sudah diumumkan berada dalam satu pasukan untuk sesebuah negeri masih ada rundingan di belakang. Kalau ada, sila datang runding antara kelab dengan kelab," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Bomba Sukarela Peringkat Negeri Di Dataran KADA, Ketereh, di sini, kelmarin.


Sementara itu, mengenai kontroversi bekas pemain Johor Darul Takzim (DT), Nazri Ahmad, KAFA memutuskan untuk menyerahkan kepada Jawatankuasa Status FAM untuk menyiasat perkara itu.


Bagaimanapun, Annuar berkata, KAFA yakin Nazri membuat tindakan yang wajar apabila memilih untuk menyarung jersi The Red Warriors (TRW) kerana kontrak yang ditandatangani dengan Selangor tidak lengkap.

Foto

TAN Sri Annuar Musa

"Bagi Nazri ketika itu, dia mempunyai hak untuk berunding dengan mana-mana kelab kerana pada waktu itu dia belum menandatangani kontrak yang lengkap."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/02

United buntu

Posted: 01 Dec 2013 08:20 AM PST

London: Manchester United sekadar meraih satu mata di White Hart Lane apabila seri 2-2 ketika bertemu Tottenham Hotspur sekali gus mengulangi keputusan hambar ketika turut seri bertemu Cardiff City pada perlawanan terakhir.

Meskipun United dilihat menguasai permainan, Tottenham Hotpurs bagaimanapun di depan terlebih dulu menerusi gol jaringan pemain pertahanan Kyle Walker hasil sepakan percuma menewaskan benteng lemah lawan pada minit ke-18.


Penyerang Wayne Rooney bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-32 selepas tenang menampan kemas bola dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Hugo Lloris.

Rooney memperoleh beberapa peluang terbaik selepas itu tetapi ia gagal disempurnakan dengan baik.


Selepas terikat 1-1 pada separuh masa pertama, Spurs kembali di depan pada babak kedua hasil gol sumbangan Sandro dari jarak 25 meter pada minit ke-54.


United tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila tiga minit selepas itu Rooney sekali lagi muncul wira menyamakan kedudukan selepas tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Foto

ROONEY (tengah) menampan bola untuk jaringan pertama.

Spurs dilihat benar-benar mahu meraih tiga mata apabila kembali garang melakukan asakan tetapi United berjaya menyeimbangkan permainan.


United memperoleh sekurang-kurangnya dua peluang terbaik pada masa tambahan, namun usaha mereka tidak berhasil sekali gus sekadar berpuas hati dengan keputusan seri.

Keputusan itu tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan dengan United di tangga kelapan dengan 22 mata diikuti Tottenham (21 mata). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/02

Deulofeu duri Stoke

Posted: 01 Dec 2013 08:19 AM PST

Liverpool, England: Pemain remaja Sepanyol yang beraksi untuk Everton, Gerard Deulofeu mempamer aksi bertenaga pada saingan Liga Perdana Inggeris dengan menjaringkan gol cantik ketika membantu kelabnya mencatat kemenangan ke atas Stoke City 4-0, kelmarin.

Pemain skuad bawah 21 Sepanyol itu yang tiba di Goodison Park menerusi pinjaman semusim dari Barcelona, meledak gol sulung buat Everton dan menjadi perancang untuk gol kedua yang disempurnakan oleh Seamus Coleman.


Pengurus Roberto Martinez berkata, ia sekali gus memadam rasa kecewa yang dialami pemain itu di Merseyside minggu lalu apabila dia terlepas beberapa peluang terbaik ketika Everton sekadar seri 3-3 ketika bertemu Liverpool.

"Dia sangat kecewa minggu lalu. Secara peribadi saya rasa dia beraksi dengan sangat cemerlang ketika bertemu Liverpool. Dia memperoleh dua peluang terbaik tapi gagal menyempurnakannya.


"Saya rasa minggu ini dia berdepan situasi sukar. Sebab itu bagi saya ia satu tindakan yang bijak apabila dia melupakan seketika perasaan kecewanya itu pada perlawanan ini.


"Gol yang dijaringkannya sangat menarik. Kerjasama dengan rakan sepasukannya juga sangat cemerlang," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/02

Hormat Cardiff

Posted: 01 Dec 2013 08:18 AM PST

Cardiff, Wales: Bintang Arsenal Aaron Ramsey memuji reaksi penyokong Cardiff City yang menyanjungnya selepas pemain antarabangsa Wales itu tidak meraikan dua gol yang dijaringkannya ketika membantu Gunners mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bluebirds, kelmarin.

Pemain tengah itu yang meninggalkan Cardiff, kelab remajanya untuk ke Arsenal pada 2008, menjaringkan satu gol pada setiap babak sekali gus membantu Gunners selesa dengan kelebihan tujuh mata di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.


Pemain berusia 22 tahun itu tidak meraikan gol pertamanya pada minit ke-29 dan tindakannya itu mendapat pujian penyokong Cardiff.

"Saya serta keluarga amat gembira dapat kembali semula ke sini dan beraksi di stadium ini.


"Saya akan mengingati detik ini selama-lamanya. Di sinilah tempat saya memulakan karier sebagai pemain bola sepak dan mereka sangat memahami saya perlu melangkah ke tahap lebih tinggi.


"Penyokong Cardiff amat menghormati saya, begitu juga rasa hormat saya kepada mereka dengan tidak meraikan gol," katanya.

Ramsey yang lahir di Caerphilly, sebuah bandar di Cardiff pada 1990, berusia 16 tahun 124 hari apabila muncul pemain termuda Cardiff pada 2007 sekali gus memadamkan rekod yang dipegang oleh bekas penyerang Liverpool dari Wales, John Toshack.


Dia pernah kembali ke Cardiff ketika saingan Piala FA pada 2009 dan beraksi sebagai pemain gantian.

"Saya harap dapat memberikan aksi terbaik kepada mereka. Di sinilah saya memulakan karier dan harap mereka berpuas hati dengan aksi pemain yang pernah dilahirkan di sini," katanya.


Gol sumbangan Ramsey kelmarin menyaksikan dia sudah meledak 13 gol setakat ini sekali gus menjadikannya antara pemain utama Gunners selepas pulih daripada kecederaan teruk menentang Stoke pada 2010.


"Saya kini semakin yakin," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/02

Gol Sissoko julang Magpies

Posted: 01 Dec 2013 08:17 AM PST

Newcastle, England: Moussa Sissoko menjaringkan gol cantik ketika membantu Newcastle United mencatat kemenangan 2-1 ke atas West Brom awal pagi semalam sekali gus menyaksikan kelabnya itu melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris.

Pemain tengah antarabangsa Perancis itu menjaringkan gol dari jarak jauh pada minit ke-57 selepas gol pembukaan Yoan Gouffran berjaya disamakan oleh kapten lawan Chris Brunt.


Jaringan Sissoko menyaksikan Newcastle mencatat kemenangan keempat berturut-turut dan anak buah Alan Pardew kini ketinggalan hanya satu mata di belakang Liverpool, Chelsea dan Everton yang masing-masing menduduki tempat kedua, ketiga dan keempat liga.

Sementara itu, West Brom jatuh ke tangga ke-12 dan catat satu kemenangan daripada lapan perlawanan.


Newcastle dilihat menguasai perlawanan dan selepas Loic Remy terlepas untuk menjaringkan gol hasil hantaran cantik Mathieu Debuchy, mereka akhirnya di depan pada minit ke-36 menerusi Gouffran.


Newcastle tampak tidak terhenti di situ saja, sebaliknya terus menggandakan asakan tetapi West Brom berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-53 menerusi Brunt. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/02

'Ronaldo lagi bagus'

Posted: 01 Dec 2013 08:15 AM PST

Madrid: Gareth Bale tetap menganggap Cristiano Ronaldo sebagai pemain terbaik dunia biarpun pemain antarabangsa Wales itu berjaya memegang peranan bintang Portugal itu dengan meledak hatrik pertama bersama Real Madrid untuk membelasah Valladolid 4-0, awal pagi semalam.

Ronaldo terpaksa diketepikan bagi perlawanan kedua berturut-turut kerana masalah ketegangan otot bagaimanapun ketiadaannya tidak memberi masalah kepada Madrid apabila Bale mengumpul gol kelapan dalam tujuh perlawanan terakhirnya.


Kemenangan itu membolehkan Real hanya tiga mata di belakang pendahulu La Liga Barcelona dan Atletico Madrid.

Bale membuka tirai jaringan menerusi tandukan sebelum mencipta gerakan gol untuk Karim Benzema menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat.


Bekas pemain Tottenham Hotspur itu kemudian meledak gol kedua peribadinya dengan menyempurnakan hantaran lintang Marcelo sebelum melengkapkan hatrik apabila sekali lagi mendapat peluang menerusi gerakan pemain pertahanan kiri Brazil itu.


Bagaimanapun pemain berusia 24 tahun itu menegaskan, dia masih belum bersedia untuk mengambil tempat penyerang prolifik Los Blancos, Ronaldo.

"Ia kerugian besar buat kami apabila Cristiano tidak bermain," katanya.


"Bagi saya, dia adalah pemain terbaik dunia dan kami perlu melakukan tugas dengan baik biarpun tanpanya dan saya gembira kerana kami dapat melakukannya.

"Dia sudah membuktikan kehebatannya bukan saja ketika beraksi dengan Real Madrid malah juga Portugal. Dia berada dalam kelas yang berbeza." Meskipun tanpa calon pilihan pemenang anugerah Ballon d'Or tahun ini, Bale mengakui tidak berasa bebanan tambahan dalam memastikan Real terus mengekori Barca dan Atletico. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/02

Bayern masih kebal

Posted: 01 Dec 2013 08:09 AM PST

Berlin: Bayern Munich melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam kempen Bundesliga kepada 39 perlawanan hasil kemenangan 2-0 ke atas pasukan bawahan Eintracht Braunschweig semalam dengan Arjen Robben meledak kedua-dua gol.

Selepas mencipta rekod 10 kemenangan berturut-turut Liga Juara-Juara menerusi kemenangan 3-1 di CSKA Moscow Rabu lalu, Bayern sekali lagi meraih kemenangan di Munich.


"Ia perlawanan yang sukar menentang pasukan yang lebih gemar bertahan," kata jurulatih Bayern Pep Guardiola yang kini mengumpul 12 kemenangan dan dua seri untuk melebarkan rekod permulaan terbaik sebagai jurulatih Bundesliga.

"Kami mendominasi permainan dan pada babak pertama, kami mempamerkan kekuatan mental yang sangat kuat selepas menang 3-0 dengan Dortmund dan ketika bertandang di Moscow.


"Pada babak kedua kami tidak dapat menggunakan sebaik-baiknya penyerang Mario Mandzukic dalam permainan bagaimanapun masih banyak perlawanan yang perlu kami lalui. Saya gembira dengan persembahan ini." Meskipun kecederaan dialami Philipp Lahm, penyerang Perancis Franck Ribery dan bintang Jerman Bastian Schweinsteiger, Bayern tetap bukan tandingan Braunschweig.


Selepas memberikan amaran kepada rakan sepasukannya supaya tidak memandang rendah Eintracht yang tidak pernah menang di Munich, pemain sayap Belanda Robben nyata mengambil serius apa yang diperkatakan itu.

Bintang Belanda itu meletakkan pasukan tuan rumah di depan dengan tandukan selepas dua minit sebelum merembat gol kedua pada minit ke-30 bagaimanapun Bayern dilihat tidak mempamerkan permainan terbaik mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/02

Trofi pertama

Posted: 01 Dec 2013 08:09 AM PST

Sydney: Rory McIlroy meraih gelaran sulungnya tahun ini pada Terbuka Australia dengan satu pukulan semalam selepas pemain utama tuan rumah Adam Scott bogey lubang terakhir sekali gus kecundang pada kejohanan yang didominasinya sejak hari pertama.

McIlroy, yang ketinggalan empat pukulan semalaman di belakang Scott, membenam birdie dari jarak 10 kaki pada lubang ke-18 untuk berakhir dengan 18 bawah par dan catatan pusingan akhir tujuh bawah par 66.


Scott, yang memburu tiga kejuaraan Australia selepas memenangi PGA dan Masters, terlepas beberapa peluang pada sembilan lubang terakhir dan sekadar mendahului satu lubang menuju ke lubang ke-72.

Selepas pukulan keduanya melampaui green, pemain nombor dua dunia itu melakukan cip yang sekali lagi melepasi lubang sebelum melakukan putt dari jarak 40 kaki untuk memberikan peluang kepada McIlroy.


"Saya rasa agak bersalah dengan cara kemenangan ini," kata McIlroy, juara dua kejohanan utama yang berdepan prospek mengakhiri tahun tanpa kemenangan sejak 2008.


"Ia tahun yang mengecewakan tapi saya bekerja keras dan ia masih satu proses, cuba kembali memenangi kejohanan dan agak bagus saya melakukannya hari ini." Scott, yang mendahului sejak hari pertama apabila dia memecah rekod lapangan 10 bawah par 62, berakhir dengan 71 untuk tangga kedua dengan 17 bawah par, enam pukulan di depan John Senden (66) di tangga ketiga.

"Saya kecewa melakukan kesilapan pada lubang terakhir dan membuka laluan buat Rory," kata Scott. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/02

No comments:

Post a Comment