Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


MENEMBAK: Bidikan Masitah menjadi

Posted: 17 Dec 2013 09:08 PM PST

Nay Pyi Taw: Siti Nur Masitah Mohd Badrin memastikan pingat perak dibawa pulang pada hari terakhir kejohanan menembak menerusi acara 25m sport pistol wanita di Lapang Sasar North Dagon, semalam.

Ia pingat perak kedua peribadinya selepas Sukan SEA Vientiane, empat tahun lalu.


Pada perlawanan akhir yang mendebarkan menentang peserta Singapura, Nicole Tan, dia tewas 5-7, bagi membolehkan lawannya memenangi pingat emas manakala gangsa milik peserta Vietnam, Thi Hoa Hong.

"Syukur, dapat lakukan dengan baik meskipun persembahan kurang memuaskan semalam (pada sesi latihan) tetapi hari ini saya cuba lakukan yang terbaik demi Malaysia," kata atlet kelahiran Kuantan itu.


"Sebelum itu saya rasa tidak mungkin untuk layak ke final tetapi sebaik disahkan layak, saya teruskan dengan semangat yang ada." "Terima kasih kepada jurulatih Mohd Hashim Desa yang sentiasa memberi sokongan." Turut mara ke final adalah Bibiana Ng tetapi sekadar menduduki tangga keempat.


Bagi Mohd Hashim, inilah pencapaian terbaik yang dilakarkan biarpun pingat perak.

Foto

Siti Nur Masitah Mohd Badrin

"Dalam sukan menembak, semua bergantung kepada nasib pada akhirnya. Dia melakukan tembakan atas 10 mata tapi perlukan 10.3 untuk dikira satu mata. Kemenangan akhirnya berpihak kepada penembak Singapura," katanya.


Skuad menembak mengakhiri kempen Sukan SEA dengan satu emas, tiga perak dan empat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

BOLA SEPAK: 'Yakini kami'

Posted: 17 Dec 2013 09:07 PM PST

Nay Pyi Taw: Barisan pemain Bawah 23 tahun negara membalas kritikan sesetengah pihak yang tidak mempercayai kemampuan mereka mempertahankan pingat emas di Sukan SEA 2013.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee melangkah ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan A apabila menewaskan Vietnam 2-1 di Stadium Zeyer Thiri semalam.

Skuad negara akan menentang finalis 2011, Indonesia pada aksi separuh akhir esok dengan Thailand bertemu Singapura.

Skuad muda negara mempamerkan peningkatan ketara apabila jaringan Ashri Chuchu dan D Saarvindran pada minit ke-81 dan 89 bagi memastikan kemaraan skuad muda itu.

Foto

PEMAIN negara meraikan kejayaan mara separuh akhir.


Gol tunggal lawan dijaringkan Mac Hong Quan pada masa kecederaan.


"Saya tidak mahu memberikan alasan sebelum layak ke separuh akhir tapi semua tahu kita kehilangan tujuh tonggak utama sebelum hadir ke sini.

"Kami tidak tewas dalam peringkat kumpulan dan kini dilebarkan kepada 14 perlawanan (sejak tewas kepada Vietnam pada peringkat kumpulan pada 2009)," kata Kim Swee.

Katanya kritikan membina akan memberi semangat kepada pemain.

"Saya tidak percaya kemenangan ini kerana tuah namun kerana penjaga gol (Izham Tarmizi Roslan) dan barisan pertahanan bermain dengan baik.

"Namun sebenarnya semua pemain konsisten dan mempamerkan karektor yang baik hingga membawa kami ke tahap ini, itu yang penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

BOLA SEPAK: Aksi lebih mantap gempur Indonesia

Posted: 17 Dec 2013 09:05 PM PST

Nay Pyi Taw: "Ini bukan permainan sebenar Harimau Muda A. Kami akan mempamerkan aksi lebih baik".

Itu janji penjaga gol utama skuad Bawah 23 tahun negara, Izham Tarmizi Roslan yang melihat tugas masih belum selesai merealisasi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA.

Penjaga gol berusia 22 tahun itu mempamerkan persembahan cemerlang sepanjang empat perlawanan Kumpulan A termasuk aksi ketika menundukkan Vietnam 2-1 di Stadium Zeyer Thiri, semalam.

Malah penjaga gol kelahiran Terengganu itu membuktikan dia kini salah seorang penjaga gawang terbaik negara.


"Masih ada lagi yang kami akan pamerkan selepas ini. Paling penting mengikut arahan jurulatih, semuanya akan berjalan lancar.


"Kami tetap tenang apabila Vietnam menyerang dan cuba memperlahankan permainan. Kemaraan ke separuh akhir berkat kami bersatu," katanya.

Skuad Bawah 23 tahun negara dibarisi sebahagian besar pemain Harimau Muda A kecuali tujuh pemain K Rueben (ATM), Zubir Azmi (Terengganu), Nazmi Faiz Mansor (PKNS FC), Nazirul Naim Che Hashim (FC Ryukyu) dan Mohd Nasir Basharudin (Perak).

"Kami mempunyai pengalaman lalu (final 2011) namun dalam bola sepak moden, semua akan mengkaji kelemahan masing-masing, jadi kami perlu berhati-hati," katanya menjelang aksi separuh akhir menentang Indonesia esok.

Kemenangan skuad negara ke atas Vietnam turut disaksikan pengendali Indonesia Rahmad Dermawan sujurus tiba dari Yangon lewat petang semalam, selepas muncul naib juara Kumpulan B dengan menewaskan tuan rumah Mynamar 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

Penyokong Myanmar bertindak ganas

Posted: 17 Dec 2013 09:04 PM PST

Yangon: Polis terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan sekumpulan penyokong tegar Myanmar selepas mereka bertindak ganas dengan merosakkan tempat duduk stadium, membakar baju serta membaling batu ke arah pegawai perlawanan apabila tuan rumah tersingkir daripada saingan bola sepak Sukan SEA.

Penyokong Myanmar yang bersesak ke stadium bagaikan tidak dapat menerima kekalahan 1-0 kepada Indonesia apa lagi selepas perubahan besar dilakukan untuk memantapkan skuad negara itu menyebabkan 50,000 penyokong tuan rumah di Stadium Yangon, kecewa.

Kebakaran dalam Stadium Yangon sebelum tamat perlawanan menjadi bertambah buruk selepas aksi ditamatkan apabila peminat menyerbu ke arah pondok polis dan papan iklan, kata pihak berkuasa Myanmar.

"Kami menahan lapan penyokong bola sepak semalam termasuk dua yang menyerang ke arah padang pada babak kedua," kata Timbalan Kolonel Polis Pusat, Min Aung.


Keganasan bola sepak di Myanmar adalah biasa. Ogos lalu, peminat memusnahkan padang di stadium baru di Nay Pyi Daw, venue yang akan menjadi gelanggang separuh akhir buat Indonesia.


Pada 2011, Myanmar diharamkan daripada menyertai kelayakan Piala Dunia oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA apabila perlawanan dengan Oman yang berlangsung di negara itu terpaksa dihentikan selepas penyokong tuan rumah membaling botol dan batu ke arah pemain lawan.

Pengharaman itu bagaimanapun ditarik balik selepas mereka membuat rayuan.

"Kami meletakkan harapan tinggi ke atas pasukan Myanmar. Kami merancang untuk ke Nay Pyi Daw hari ini untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir," kata Phone Myint Khaing.

"Saya sendiri kehilangan kata-kata, amat menyedihkan."

Kesalahan terus dilemparkan kepada jurulatih kebangsaan Myanmar dari Korea apabila pasukan tuan rumah gagal mara biarpun mata terikat dengan Indonesia namun pasukan lawan itu memiliki kelebihan jaringan.

Park Seong-Hwa terus dipecat selepas perlawanan itu dengan laporan media tempatan memetik beliau mengaku tidak tahu akan peraturan pertandingan yang digunakan kerana sebelum ini, pemenang berdasarkan kepada rekod pertemuan dan bukannya perbezaan gol untuk menentukan pasukan yang layak sekiranya mata terikat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

'Kami mampu rampas gelaran'

Posted: 17 Dec 2013 09:35 AM PST

London: Penyerang Liverpool Luis Suarez percaya pasukannya mampu menjadi pencabar utama Liga Perdana Inggeris jika mereka menang semua perlawanan pada musim sambutan Krismas.

Suarez dinobat Pemain Terbaik Tahun 2013 oleh Persekutuan Penyokong Bola Sepak di Stadium Emirates yang menjadi gelanggang Arsenal, Isnin lalu tetapi bintang Uruguay itu memikirkan anugerah lebih bermakna pada musim ini.


Suarez terlepas enam perlawanan pertama liga akibat digantung enam perlawanan April lalu gara-gara menggigit lengan pemain Chelsea, Branislav Ivanovic.

Namun sejak diturunkan, dia meledak 17 gol dan beraksi hebat ketika membantu Liverpool membelasah Tottenham 5-0 di White Hart Lane, Ahad lalu.


Kelab bimbingan Brendan Rodgers itu kini menduduki tangga kedua dan keyakinan mereka semakin meningkat.


Liverpool hanya dua mata di belakang Arsenal dan akan berdepan Cardiff, Manchester City dan Chelsea sebelum hujung tahun.

"Jika kami bermain seperti ini untuk tempoh dua atau tiga minggu lagi, pasti kami akan menamatkan musim ini dalam kelompok empat terbaik.


"Penting untuk kami menumpukan perhatian kepada perlawanan selepas ini.

"Selepas bertemu Cardiff, kami akan berdepan dua perlawanan besar.


"Ia akan menjadi penanda aras apa yang akan berlaku kepada kami selepas ini," kata Suarez.


Bintang Uruguay itu menghargai sumbangan penyokong Liverpool yang memberi sokongan tanpa berbelah bagi dan mengaku tidak akan berjaya sampai ke tahap ini jika tidak dibantu penyokong setia pasukan.


"Saya berjaya memenangi semula sokongan peminat dan tidak percaya mereka tetap menyokong saya walaupun pernah digantung.


"Sokongan mereka banyak membantu meningkatkan keyakinan saya dan keluarga manakala anugerah yang diterima ini sangat istimewa kerana ia penghargaan kepada semua aksi saya selama ini.


"Semua orang tahu kesukaran yang saya alami sebelum ini dan sokongan semua pihak membantu saya melupakan semua itu dan menumpukan perhatian terhadap aksi di padang." Suarez turut bangga apabila diberi tanggungjawab mengetuai Liverpool buat pertama kali, Ahad lalu selepas Steven Gerrard terpaksa direhatkan kerana cedera. Dia turut mencabar semua pemain supaya membuktikan mereka mampu bermain cemerlang walaupun tanpa Gerrard.


"Jika bersatu, kita adalah kapten dan itulah perkara paling penting." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

Fletcher bimbang nasib keluarga, dirinya

Posted: 17 Dec 2013 09:34 AM PST

London: Pemain tengah Manchester United, Darren Fletcher tidak pasti sama ada mampu hidup sebagai manusia biasa pada masa akan datang kerana terpaksa bergantung dengan pelbagai jenis ubat-ubatan ketika ini.

Fletcher menghidap penyakit usus besar yang diserang virus dan hanya kembali diturunkan ketika United menang 3-0 ke atas Aston Villa, Ahad lalu.


Sudah dua kali pemain Scotland itu berehat panjang dalam usaha mencari kaedah terbaik merawat penyakitnya tetapi semuanya buntu.

Ketika dia bersedia menghadapi pembedahan ketiga tidak lama lagi, Fletcher mula bimbang mengenai hidupnya berbanding aksi di Old Trafford.


"Saya langsung tidak boleh keluar rumah," katanya. "Saya tidak lagi boleh bawa anak-anak ke taman permainan, makan bersama isteri di luar dan lain-lain.


"Penyakit ini membataskan pergerakan. Saya harap dapat menemui kaedah terbaik merawat penyakit ini dan sebab itulah saya memilih untuk dibedah kali ketiga." Walaupun pembedahan Fletcher itu dijangka tidak bermasalah, kesan daripadanya tetap dirasakan.

Bagi pemain berusia 29 tahun itu, kariernya selepas ini mungkin tidak lagi sama seperti ketika dia menjulang empat gelaran Liga Perdana Inggeris, Piala FA serta dua Piala Liga.


"Mungkin selepas pembedahan nanti, saya tidak lagi boleh bermain bola sepak. Jika pembedahan tidak berjaya, sudah tentu saya tidak dapat bermain dan hidup saya lebih sukar lagi.

"Saya harap semua perkara negatif itu tidak berlaku. Saya tidak akan menyerah." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

AVB perlu lebih masa

Posted: 17 Dec 2013 09:34 AM PST

London: Andre Villas-Boas perlukan lebih masa untuk membentuk pasukan Tottenham Hotspur yang lebih mantap, kata Harry Redknapp, sehari selepas penggantinya itu dipecat selaku pengurus.

Tiga kekalahan memalukan dalam tempoh dua bulan dan terbaru 5-0 di tangan Liverpool di White Hart Lane, mengakibatkan Villas-Boas dipecat ketika pasukan berbelanja besar itu kini tersadai di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris.


Spurs turut dibelasah 6-0 di Manchester City tiga minggu lalu dan berdepan kekalahan memalukan 3-0 di tangan West Ham United, Oktober lalu tetapi Redknapp berasa terlalu awal untuk pengurusan tertinggi kelab memecat pengurus kelahiran Portugal itu.

"Saya rasa pengurusan kelab terlalu cepat melatah," katanya. "Anda tewas beberapa perlawanan dan ia mengakibatkan anda susah. Ia tidak sepatutnya begitu.


"Anda sepatutnya memberikan lebih banyak masa dan membiarkan pengurus melaksanakan tugas diamanahkan," kata Redknapp yang kini membimbing Queens Park Rangers.


"Mereka menamatkan tugasnya terlalu awal. Anda perlu berikan dia masa dan lihat apa yang mampu dilakukannya," katanya sejurus selepas pengumuman mengenai pemecatan Villas-Boas dibuat.

Pengendali berusia 36 tahun itu dilihat hilang arah selepas pasukannya terpaksa bermain 10 orang apabila Paulinho dibuang padang sekali gus menceriakan Luis Suarez.


Kelab London itu dikatakan tidak mampu melawan ketika ditumbangkan Liverpool tetapi Villas-Boas juga gagal mengambil hati media British.

Pengendali yang dikenali sebagai 'AVB' itu pernah dipecat Chelsea pada 2012 walaupun ketika itu beliau dilihat berjaya di Porto tetapi kegagalan utamanya ialah tidak mempunyai hubungan baik dengan media seperti yang dilakukan Redknapp.


Tekanan terhadap Villas-Boas bermula selepas pasukannya seri 2-2 ketika menentang Manchester United awal bulan ini.


Hubungan dingin antara pengurus Spurs itu dengan media bertambah buruk apabila beliau membuat kenyataan: "Anda hanya menyerang orang lain tetapi tidak berani bercakap secara berdepan. Anda menyerang dengan tulisan anda.


"Anda mempersoal integriti dan kebolehan orang lain tanpa mengenali individu itu sendiri." Villas-Boas mengambil alih tugas di Spurs pada Julai 2012 dan ketika itu, beliau membawa kelab berkenaan mencatat mata tertinggi dalam sejarah kelab di Liga Perdana Inggeris.


Begitupun, beliau mula dikecam peminat selepas membenarkan pemain sayap Wales, Gareth Bale berpindah ke Real Madrid untuk membawa masuk 12 pemain baru. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

Gelisah penyerang tak menyengat

Posted: 17 Dec 2013 09:33 AM PST

London: Pengurus Chelsea Jose Mourinho sekali lagi menyuarakan masalah kekuatan jentera serangannya dan mendakwa tidak mengharapkan semua penyerang Blues menjaringkan gol dalam jumlah besar.

Setakat ini, Fernando Torres, Samuel Eto'o dan Demba Ba hanya menyumbang 13 gol dalam semua kejohanan tetapi Mourinho tegas menyatakan tidak akan menambah kekuatan di bahagian itu ketika tempoh perpindahan pemain, bulan depan.


Beliau hanya mahu ketiga-tiga penyerang itu menajamkan sentuhan sekali gus menghasilkan lebih banyak gol tetapi selepas perlawanan Chelsea menentang Crystal Palace, beliau berkata: "Saya tidak mengharapkan setiap penyerang menjaringkan 25 atau 30 gol musim ini kerana penyerang kami bukanlah daripada jenis yang boleh berbuat demikian tetapi apa yang mereka lakukan setakat ini terlalu sedikit.

"Mereka perlu bangkit, saya yakin mereka akan berbuat demikian untuk menambah jumlah sedia ada." Mengulas persembahan Torres, Mourinho menambah pemain Sepanyol itu perlu membuktikan kebolehannya dan beraksi selaku penggempur kerana dia tidak mempunyai kebolehan untuk bermain selaku perancang atau penggerak jaringan.


"Setiap kali dia memegang bola, kita tahu dia bukanlah seorang pemain yang mempunyai skil hebat. Kita semua sedar hakikat itu," kata Mourinho.


"Dia sering kehilangan bola jika kedudukannya jauh daripada gol lawan. Insiden itu membuka ruang buat pemain lawan melancarkan serangan balas. Dia bukanlah seorang pemain yang boleh menyimpan bola dengan baik." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

Muntari sentap Roma

Posted: 17 Dec 2013 09:33 AM PST

Milan: Francesco Totti kembali beraksi selepas diketepikan dua bulan akibat kecederaan tetapi kehadirannya gagal menghalang Roma diikat 2-2 oleh AC Milan yang perlu berterima kasih kepada Sulley Muntari kerana menjaringkan gol pada lewat perlawanan di San Siro, kelmarin.

Roma bertandang ke Milan dalam usaha merapatkan jurang dengan pendahulu, Juventus selepas juara bertahan Serie A itu berada di depan dengan kelebihan enam mata hasil kemenangan kelapan berturut-turut, Ahad lalu.


Walaupun menguasai permainan di setiap posisi, Roma terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri kelima sepanjang enam perlawanan untuk kekal di tangga kedua, lima mata di belakang Juve.

"Saya gembira dengan prestasi pemain tetapi tidak gembira dengan keputusan perlawanan kerana kami di depan dua kali," kata jurulatih Roma Rudi Garcia.


"Biasanya, jika anda mempunyai banyak peluang di depan gol, anda menang. Kami sepatutnya menjaringkan gol ketiga tetapi satu mata di Milan bukanlah keputusan yang buruk." Biarpun Milan dilihat bergelut di liga tempatan, mereka satu-satunya wakil Itali dalam Liga Juara-Juara selepas Juventus dan Napoli tersingkir minggu lalu.


Jurulatih Milan Massimiliano Allegri yang mengelak soalan mengenai lawan pusingan kedua Liga Juara-Juara, Atletico Madrid berkata: "Kami bermain lebih baik di babak kedua dan banyak menyerang walaupun ada kalanya memberi ruang kepada lawan melancarkan serangan balas ke kubu kami." Roma memulakan aksi dengan baik dan membuka jaringan ketika permainan memasuki 15 minit menerusi Mattia Destro tetapi Cristian Zapata menyamakan kedudukan pada minit ke-30.

Pelawat kembali di depan menerusi jaringan Kevin Strootman pada minit ke-51 sebelum Milan menyamakan kedudukan melalui Muntari hasil hantaran Mario Balotelli pada minit ke-77. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

Gattuso ditahan atur perlawanan

Posted: 17 Dec 2013 09:32 AM PST

Rome: Gennaro Gattuso yang pernah menganggotai skuad Piala Dunia Itali 2006, disiasat polis manakala empat individu lain ditahan berhubung skandal mengatur perlawanan, kata polis Itali.

Gattuso, 35, yang mengendalikan kelab divisyen dua, Palermo, dipecat awal tahun ini apabila disyaki terbabit dengan sekumpulan penjenayah dengan niat mahu mengatur perlawanan liga bola sepak.


Masalah lama melanda Itali itu membawa kepada penahanan empat individu lain - semuanya dikaitkan dengan sindiket mengatur perlawanan liga tempatan.

Polis enggan mendedahkan di mana Gattuso ditahan tetapi operasi khas seluruh Itali itu diketuai pejabat penguat kuasa Cremona, agensi pertama yang mendedahkan skandal itu pada 2010.


Empat individu yang ditahan itu dikenali sebagai Salvatore Spadaro, Francesco Bazzani, Cosimo Rinci dan Fabio Quadri, kata agensi berita Ansa.


Spadaro dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan 'Bolognese' yang pernah mempunyai hubungan dengan bekas pemain seperti Giuseppe Signori yang ditahan polis pada 2010 selepas siasatan mendapatinya terbabit dengan skandal mengatur perlawanan.

Bazzani turut dikaitkan dengan Signori serta Almir Gegic, seorang lagi anggota kumpulan sindiket mengatur perlawanan di Itali.


Rinci yang juga pengerusi kelab bola sepak Riccione dan Quadri, dikaitkan dengan Spadaro. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/18

No comments:

Post a Comment