Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Goh, Lim diganding semula

Posted: 05 Dec 2013 09:21 AM PST

Kuala Lumpur: Goh V Shem dan Lim Khim Wah akan digandingkan semula buat kali ketiga, satu rekod yang belum tentu dicapai mana-mana pemain beregu dunia, tetapi terpaksa mereka hadapi Januari ini.

Selepas dipisahkan dua bulan lalu atas kehendak sendiri dan melalui proses penilaian yang dibuat jurulatih Pang Cheh Chang dan juga bekas jurulatih Paulus Firman, jodoh mereka dengan gandingan baru tidak lama, selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi pegawai tertingginya menganggap gandingan V Shem-Teo Kok Siang dan Khim Wah-Ow Yao Han tidak masuk akal dan merugikan negara kerana mereka kini kehilangan kedudukan ranking dunia.


Begitupun, baik V Shem mahupun Khim Wah, kedua-duanya enggan mengulas mengenai masa depan mereka yang akan digandingkan semula buat kali ketiga, semata-mata mahu fokus kepada saingan Sukan SEA di Myanmar.

"Maaf saya tidak mahu fikir dan mengulas perkara itu. Saya mahu fokus saingan Sukan SEA dulu, pulang dari Myanmar nanti mungkin saya akan fikirkan," kata V Shem, sambil kenyataan sama diberi Khim Wah.


Pada Sukan SEA, V Shem bergandingan dengan Kok Siang manakala Khim Wah pula bergandingan dengan Yao Han, gandingan yang dibentuk Paulus, dengan keinginan V Shem dan Khim Wah sendiri kerana mereka berasakan prestasi mereka mula statik sejak memenangi GP Emas Terbuka Malaysia, Mei lalu.


"Saya tidak dapat menjanjikan apa-apa peluang di Myanmar, tapi kami akan ke sana dengan misi memberikan aksi terbaik," kata Khim Wah.

Foto

V Shem (kiri), Khim Wah disatukan semula selepas BAM kehilangan kedudukan ranking dunia.

Begitupun, berita yang dikhabarkan pengurusan tertinggi BAM iaitu presidennya, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, dengan memanggil V Shem dan Khim Wah ke Kota Bharu, beberapa hari lalu, dirasakan tidak sesuai dan kurang bijak.


Jika benar sekalipun gandingan baru mereka dianggap tiada masa depan, mengapa BAM perlu mengumumkan kepada pemain pada waktu ini, ketika dua pemain terbabit akan ke Myanmar, menggalas cabaran negara dengan gandingan yang mereka terima selepas melalui proses penilaian di atas gelanggang, yang dilakukan Paulus dan Cheh Chang dua bulan lalu.

Malah tidak adil untuk BAM menilai prestasi gandingan itu, dengan hanya selepas menempuh dua kejohanan iaitu di Cabaran Antarabangsa Sarawak dan GP Emas Terbuka Macau.


Begitupun, Mahaleel yang berada di Kota Bharu pastinya tidak membuat tindakan secara membuta tuli, selain mendapat nasihat daripada orang kepercayaan yang setakat ini, boleh diragui motifnya. V Shem-Khim Wah kali pertama digandingkan pada 2010, dipisahkan pada pertengahan 2012 dan digandingkan semula pada Januari 2013 sebelum dipisahkan atas kehendak sendiri awal Oktober lalu dan kini, akan digandingkan semula Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

'Super' Suarez meledak!!!

Posted: 05 Dec 2013 09:08 AM PST

Liverpool, England: Selepas meledak empat gol bagi membantu kemenangan 5-1 Liverpool ke atas Norwich City di Anfield awal pagi semalam, pengurus Reds Brendan Rodgers (gambar kecil) tampil dengan kenyataan yang menyebut Luis Suarez mempunyai masa yang cukup untuk mencapai tempoh gemilangnya.

Pemain antarabangsa Uruguay itu hanya memerlukan 35 minit di babak pertama untuk melengkapkan hatrik dan gol ketiga itu adalah yang ke-50 buatnya sepanjang beraksi di Liga Perdana Inggeris.


Dia menambah gol keempat menerusi sepakan percuma di minit ke-74 sekali gus menandakan kebangkitan menakjubkan Liverpool.

"Saya tidak pernah lihat Luis gembira seperti hari ini," kata Rodgers.


"Tapi masih banyak yang boleh dan akan dilakukannya. Dia baru berusia 26 tahun dan justeru, kemuncak kariernya masih menanti. Anfield memberikan peluang untuknya mencapai kegemilangan itu." Setakat ini, Suarez sudah menjaringkan 13 gol dan membuktikan Liverpool masih berpeluang untuk mencuri salah satu tempat ke Liga Juara-Juara walaupun tanpa khidmat Daniel Sturridge.


"Luis seorang penyerang yang bijak," ujar Rodgers.

"Saya seronok melihat aksinya pada perlawanan itu. Saya rasa, semua yang menyaksikannya akan berkongsi rasa yang sama. Mereka akan berkata ia perlawanan hebat. Ia bukan sekadar empat gol yang dihasilkannya tapi ia lebih kepada cara gol itu dihasilkan.


"Luis boleh menjadi salah seorang penyerang terbaik dunia. Aksi yang dipamerkan malam ini (semalam) adalah luar biasa. Tidak dinafikan dia adalah salah seorang pemain terhebat dunia." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Wenger bimbang jadual padat Gunners

Posted: 05 Dec 2013 09:07 AM PST

London: Arsene Wenger melahirkan kebimbangannya mengenai jadual padat yang perlu diharungi anak buahnya bulan ini dan menyifatkan ia akan memberi kesan terhadap perjuangan mereka musim ini.

Kemenangan 2-0 di tempat sendiri ke atas Hull City awal pagi semalam hasil jaringan Nicklas Bendtner dan Mesut Ozil sekali gus mengekalkan kelebihan empat mata Gunners di persada Liga Perdana Inggeris.


Arsenal turut semakin hampir mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara yang akan ditentukan menerusi pertemuan menentang Napoli, 11 Disember ini, tiga hari selepas melayan Everton. Pada 14 Disember, Arsenal akan berdepan Manchester City.

Semua tiga perlawanan itu akan disiarkan secara langsung selain menentang Chelsea pada 23 Disember dan Wenger sedar betapa peritnya jadual yang perlu mereka harungi bulan ini.


"Kami berdepan jadual yang sangat padat, itu sebabnya mengapa saya perlu merehatkan sebahagian pemain," kata Wenger selepas anak buahnya menang ke atas Hull.


"Kami akan menentang Everton, Ahad ini dan selepas itu berdepan Napoli.

"Kami akan bermain pada Rabu di Naples dan pagi Sabtu, kami akan menentang Manchester City. Ia jadual yang sangat ketat.


"Ia bukan soal adil atau tidak tapi stesen televisyen yang menyiarkan perlawanan kami tidak berbincang sesama mereka. Kami mungkin menentang Everton pada Sabtu dan Ahad atau Isnin, kami bertemu Manchester City." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

'Liga masih panjang'

Posted: 05 Dec 2013 09:06 AM PST

Manchester: Pengurus Manchester United David Moyes tetap dengan pendiriannya apabila mengatakan skuad bimbingannya itu masih boleh memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini walaupun ketinggalan 12 mata berbanding pendahulu Arsenal.

Kelab Old Trafford itu mengalami kekalahan keempat apabila dikejutkan 0-1 oleh kelab yang pernah dikendalikannya, Everton awal pagi semalam.


Juara bertahan itu kini menduduki tangga kesembilan dan semakin hampir ke zon penyingkiran berbanding puncak liga.

United hanya tewas lima kali musim lalu dan walaupun Moyes mengaku anak buahnya terpaksa bergelut kali ini, peminat tidak harus mengetepikan peluang mereka untuk mempertahankan gelaran.


"Perjalanan masih jauh," katanya. "Kami perlu bangkit mempamer aksi lebih baik dan menang banyak perlawanan jika mahu menduduki tangga teratas liga menjelang hujung musim," Ditanya sama ada beliau yakin United mampu melakukannya, Moyes menjawab: "Ya. Saya tidak ada perkara lain untuk diperkatakan." Pengurus United itu mengaku tidak tahu bilakah penjaring terbanyak musim lalu, Robin van Persie akan cergas sepenuhnya.


Sementara itu, Wayne Rooney tidak akan beraksi pada perlawanan Sabtu ini menentang Newcastle United selepas mengutip kad kuning kelima.

Pemain antarabangsa Belanda, Van Persie tidak beraksi sejak mereka menang 1-0 ke atas Arsenal pada 10 November.


"Ia masalah pangkal paha. Tidak begitu serius," kata Moyes.

"Kami sudah cuba menyenaraikannya sejak minggu lalu tapi dia masih belum sedia untuk diturunkan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Hazard inspirasi Chelsea

Posted: 05 Dec 2013 09:05 AM PST

Sunderland: Jose Mourinho yakin Eden Hazard sudah meletakkan penanda aras tersendiri ketika beliau memuji aksi pemain tengah Belgium itu bersama Chelsea.

Pemain berusia 22 tahun itu menjadi inspirasi ketika membantu pasukannya menang 4-3 ke atas Sunderland menerusi dua jaringan selain membuat hantaran yang membolehkan Frank Lampard menjaringkan gol sekali gus memastikan Blues terus kekal sebagai pencabar utama Arsenal setakat ini.


Keraguan mengenai keupayaan Chelsea menamatkan kemarau kejuaraan hangat diperkatakan terutama barisan pertahanan mereka yang mudah goyah tetapi Mourinho memilih untuk menumpukan perhatian kepada faktor positif hasil kemenangan ketiga berturut-turut musim ini, kejayaan kesembilan mereka di Stadium of Light.

Hazard yang juga bekas pemain tengah Lille berhak mendapat penghargaan kerana aksinya yang mengagumkan serta keupayaan mengumpul lapan gol setakat ini.


"Kami bermain cemerlang, yang terbaik setakat ini dan menjaringkan gol menarik," kata pengurus Chelsea, Mourinho.


"Ia mungkin aksi terbaik Eden pernah saya saksikan. Kami sedar dengan keupayaannya tapi persembahan mengagumkan sejak awal perlawanan itulah yang membuatkan saya percaya dia mampu lebih menyerlah selepas ini," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Tuan rumah bersama

Posted: 05 Dec 2013 08:55 AM PST

Kuala Lumpur: Malaysia dan Indonesia akan menjadi tuan rumah bersama Kejohanan Piala Antarabangsa Frenz Bawah 16 Tahun (B-16) 2014 dari 11 hingga 26 Januari ini.

Presiden Frenz United FC (FUFC) Malaysia Datuk Noor Ihsan A Hamid berkata, perlawanan pembuka tirai berlangsung di Stadium Selayang dan venue utama di Malaysia akan diadakan di Stadium Inspen, Bangi manakala saingan di Indonesia akan didakan di Stadium Maguworhorjo, Jogjakarta.


"Kami lihat kejohanan ini sebagai landasan kepada pemain muda mendapat pendedahan secara profesional seawal usia belasan tahun. Ia juga landasan buat jurulatih bertukar pandangan dan berkongsi kepakaran dalam bidang mereka.

"Kejohanan ini sudah pasti akan meningkatkan standard pasukan bertanding menjadi seperti kelab gergasi dunia pada akan datang," katanya.


Kejohanan edisi kedua itu menawarkan hadiah keseluruhan RM322,650 (AS$100,000).


Perlawanan Kumpulan A di Malaysia membabitkan saingan antara Frenz United Malaysia, Incheon United (Korea Selatan), Dalian Aerbin (China), Besiktas (Turki), Internacional FC (Brazil) dan pasukan kebangsaan B-16 Slovakia. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Peluang masih ada

Posted: 05 Dec 2013 08:55 AM PST

Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bekas jurulatih Jepun Philippe Troussier bukanlah calon utama yang menjadi buruan mereka kerana pemilihan masih lagi terbuka termasuk kemungkinan jurulatih tempatan akan terus diberi mandat untuk mengisi 'kerusi panas' ketua jurulatih kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, mereka tidak mahu terburu-buru dalam melantik pengganti Datuk K Rajagobal yang akan tamat kontrak 31 Disember ini kerana jurulatih baru itu bakal diberikan 'projek khas' untuk jangka masa panjang bersama Harimau Malaya.


"Beliau (Troussier) hanyalah salah seorang calon dan tidak bermakna kerana kami sanggup pergi berbincang dengannya, beliau menjadi pilihan utama. Ini cuma proses dalam pemilihan jurulatih baru. FAM tidak terburu-buru dalam hal ini dan kami akan umumkan siapakah jurulatih baru.

"Kami perlu memandang jauh. Kami bukan hanya memberi fokus kepada aksi terakhir dengan Yaman saja (kelayakan Piala Asia). Kami mahu membentuk pasukan (kebangsaan) dalam tempoh yang panjang," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman senarai 20 pemain skuad bawah 23 tahun negara ke Sukan SEA Myanmar.


Kenyataan yang diberikan Hamidin itu susulan kepada laporan Arena Metro semalam mengenai dakwaan FAM sudah mengadakan perbincangan dengan pengendali kelahiran Perancis Troussier Julai lalu.


Berdasarkan laporan sebelum ini, Troussier, 58, yang pernah membimbing Jepun beraksi pada Piala Dunia 2002 bakal ditawarkan pendapatan lumayan tahunan sebanyak AS$1.52 juta (RM5 juta) dari FAM jika bersetuju menerima tawaran itu.

"FAM ada perancangan tersendiri. Mungkin juga dalam proses ini, masih ada satu atau dua lagi jurulatih (akan diketengahkan). Ini bermakna kita tidak terikat dengan mana-mana pihak. Kalau mahal tapi berbaloi, mestilah selari dengan kualitinya," katanya.


Beliau sekali lagi mengulangi pendirian segala kemungkinan boleh berlaku termasuk menaikkan taraf jurulatih skuad B-23 Datuk Ong Kim Swee kepada ketua jurulatih kebangsaan.

"Pintu FAM sentiasa terbuka dan kemungkinan untuk melantik jurulatih tempatan itu tetap ada," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan FAM masih menggunakan polisi sama seperti melantik Rajagobal membimbing skuad senior selepas cemerlang bersama Harimau Muda A pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Figueroa import baru Johor DT

Posted: 05 Dec 2013 08:54 AM PST

Johor Bahru: Transformasi Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk 2014 terus rancak dengan kemunculan seorang lagi pemain baru dari Argentina, Luciano Figueroa yang mengikat kontrak dua tahun dalam usaha memperkuat bahagian serangan pasukan itu.

Figueroa, 32, berkata, dia tidak bermasalah untuk bermain bersama Johor DT memandangkan gandingannya, Pablo Aimar turut berada dalam pasukan Harimau Selatan itu.


"Saya teruja menjadi sebahagian daripada pemain Johor DT musim depan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pablo Aimar dan rakan lain untuk membantu kejayaan pasukan," katanya pada sidang media memperkenalkan pemain baru Johor DT semalam.

Figueroa berkata, Aimar juga pernah menjadi rakan seperjuangannya semasa bermain di Argentina sebelum bermulanya kempen Piala Dunia 2006.


Menurutnya, dia memilih untuk bermain bersama pasukan itu selepas tertarik dengan tawaran dan menilai beberapa aspek penting seperti barisan pemain malah menganggap Johor DT pasukan hebat yang wajar disertainya.


Dia juga tidak berasa sebarang tekanan sebaliknya akan cuba menyesuaikan diri dengan pelbagai aspek termasuk cuaca.

"Saya juga sudah menetapkan sasaran untuk membantu Johor DT muncul juara liga selain membawa misi untuk layak ke Piala AFC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

'Belum masanya'

Posted: 05 Dec 2013 08:53 AM PST

Petaling Jaya: Masanya belum sesuai untuk pemain tengah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor memikirkan mengenai peluangnya beraksi di luar negara sekali lagi memandangkan fokusnya ketika ini adalah untuk membantu skuad bawah 23 tahun negara (B-23) mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar minggu depan.

Nazmi, pemain PKNS FC yang sebelum ini pernah beraksi dengan kelab Portugal SC Beira-Mar kini menjadi perhatian jurulatih kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu Norihiro Satsukawa yang menganggap pemain tengah itu berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukannya.


Pandangan itu itu suarakan Satsukawa selepas menyaksikan pemain berusia 19 tahun itu membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menewaskan FC Ryukyu 3-1 pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya kelmarin.

Selain Nazmi, jurulatih kelab Jepun itu turut mengagumi bakat dimiliki penyerang Rozaimi Rahman, A Thamil Arasu dan pemain pertahanan K Reuben namun beliau ketika ini lebih berminat untuk mencari pemain tengah.


"Pemain berjersi nombor 21 (Nazmi) mempunyai teknik yang bagus, dia sesuai untuk bermain dalam pasukan kami," kata Satsukawa yang sebelum ini turut membawa dua pemain Harimau Muda A Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim beraksi bersama kelabnya pertengahan tahun ini.


Nazmi yang mencetus kontroversi apabila pulang mengejut ke tanah air dari Portugal untuk menyertai PKNS FC tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Saya tolak ke tepi dulu perkara ini kerana mahu fokus kepada Sukan SEA," katanya yang menjadi antara pemain tonggak kejayaan pasukan dua tahun lalu di Jakarta.


Kim Swee yang turut ditanya mengenai minat FC Ryukyu itu berkata, jika serius, kelab itu boleh mengadakan perbincangan mengenai mana-mana pemain selepas misi di Myanmar selesai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

Kim Swee terpaksa ketepikan 'Kecik'

Posted: 05 Dec 2013 08:53 AM PST

Petaling Jaya: Kecederaan pangkal paha dialami pemain sayap lincah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria memaksa jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee menggugurkan pemain itu daripada senarai 20 pemain akhir ke Sukan SEA Myanmar yang akan bermula minggu depan.

Menurut Kim Swee, Wan Zaharulnizam atau turut dikenali sebagai 'Kecik' mengalami kecederaan itu ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan kelab Jepun FC Ryukyu kelmarin dan terpaksa berehat dua hingga tiga minggu.


Biarpun dilanda krisis kecederaan serta tidak dapat membawa beberapa pemain bintang skuad juara Sukan SEA Indonesia dua tahun lalu kerana faktor umur, pengendali itu tetap yakin, skuad kali ini turut mempunyai potensi untuk melakar kejuaraan hatrik di Myanmar.

"Tanpa Wan Zaharulnizam, saya masih mempunyai pilihan pemain sayap yang lain seperti D Saarvindran, Ashri Chu Chu dan A Thami Arasu. Saya mengakui sukar untuk membuat pemilihan pemain kali ini, biarpun tanpa pemain yang memiliki personaliti hebat seperti Khairul Fahmi Che Mat, Asraruddin (Putra Omar) dan Baddrol Bakhtiar, pasukan ini mempunyai kekuatan dari segi semangat juang tinggi dan semangat berpasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/06

No comments:

Post a Comment