Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Amukan' lima gol Amin

Posted: 19 Dec 2013 09:28 AM PST

Yangon: Amin Rahim yang 'mengamuk' di Stadium Hoki Theinphyu apabila meledak lima gol untuk membantu Malaysia menewaskan Myanmar, 11-0 petang semalam, berhajat menumbangkan Singapura di final, esok.

Penyarung jersi nombor lima itu menjaringkan gol pada minit ke-33 dan 35 separuh masa pertama diikuti tiga jaringan lagi pada minit ke-40, 46 dan 51.


Begitupun belum ada nada puas diluahkan pemain itu lantaran kejayaannya petang itu.

"Ini adalah perlawanan keempat dan sebelum itu saya hanya menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti. Secara peribadi saya tidak puas hati," katanya.


"Saya mempunyai reputasi sebagai seorang pengambil pukulan sudut penalti dan perlu buktikan kemampuan. Hari ini saya berjaya menjaringkan lima gol." Begitupun dengan tujuh gol setakat ini, dia bertekad mempamerkan aksi lebih baik pada perlawanan penting itu apatah lagi sudah sebelah kaki menghampiri gelaran juara.


"Kita perlu bermain mengikut kemampuan. Jika tahu kemampuan kita, Singapura boleh kita tumbangkan dan akan bawa balik emas untuk Malaysia." Sementara itu, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang mengalami kecederaan di mata kiri pada perlawanan menentang Singapura sebelum ini mengaku masih mampu menggalas tugas untuk negara.

Foto

AMIN (tengah) menerima ucapan tahniah daripada Ahmad Kazamirul Nasrudin Jamaludin (dua dari kanan) selepas menjaringkan lima gol, semalam.

"Tiada masalah, ia tidak mengganggu permainan saya. Bagi saya perlawanan ini amat bermakna kerana kita tidak pernah mengecewakan apabila diletakkan sebagai pilihan memenangi pingat emas," katanya.


"Kita akan cuba laksanakan matlamat ditetapkan dan berasa bangga jika mampu memenangi pingat emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

United mara, Spurs kandas

Posted: 19 Dec 2013 08:42 AM PST

London: Manchester United menumpaskan Stoke City 2-0 semalam untuk melangkah ke separuh akhir Piala Liga manakala era Tottenham Hotspur tanpa Andre Villas-Boas bermula dengan kekalahan kepada West Ham United.

Selepas ribut petir pada babak pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa meninggalkan padang di Stadium Britannia, penantian United akhirnya terlerai menerusi jaringan Ashley Young dan Patrice Evra.


Kemenangan itu membolehkan mereka menempah pertemuan separuh akhir dengan Sunderland yang mengatasi Chelsea 2-1 semalam manakala West Ham akan menentang Manchester City dengan aksi pertama kedua-dua perlawanan itu pada 6 Januari.

"Mana-mana pasukan yang mendapat gol pertama malam ini (semalam) akan mempunyai kelebihan," kata pengurus United David Moyes.


"Ia perlawanan yang sengit. Kami mempamerkan permainan yang baik. Kami mencipta banyak peluang tapi Stoke turut mencipta banyak peluang." Mengulas mengenai pertemuan dengan Sunderland, beliau berkata: "Ini perlawanan Piala Liga. Ini membuktikan betapa Sunderland pasukan yang bagus, mereka mengalahkan Chelsea semalam (kelmarin). Mereka bermain dengan baik untuk mendapat keputusan itu.


"Mereka mempunyai pengurus baru (Gus Poyet), banyak perkara boleh terjadi dalam tempoh sebelum perlawanan namun yang pasti kami sangat gembira kerana mara ke separuh akhir." Tanpa kehadiran Wayne Rooney yang diketepikan kerana mengalami kecederaan, Moyes meletakkan Danny Welbeck sebagai penyerang tunggal manakala Chris Smalling, Anderson dan Young turut disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Young memiliki peluang terbaik untuk menjaringkan gol apabila mendapat hantaran lintang Welbeck namun sepakannya tersasar.


Perlawanan tergendala akibat ribut petir pada minit ke-28 memaksa pemain dan pegawai perlawanan meninggalkan padang sebelum perlawanan bersambung semula 10 minit kemudian.

Jonny Evans hampir meletakkan United di depan sebelum babak pertama tamat bagaimanapun percubaannya tidak tepat ke sasaran selepas menerima bola tolakan Smalling di tepi tiang gol.


Moyes memasukkan Javier Hernandez ketika permainan berbaki setengah jam dan beberapa minit selepas itu Young berjaya memecah kebuntuan dengan aksi bergaya.


Bekas pemain sayap Aston Villa itu membuat hantaran ke arah Hernandez dan apabila bola kembali semula ke kakinya di penjuru kotak, dia melakukan rembatan deras menewaskan Thomas Sorensen.


Stoke cuba bangkit namun United menutup peluang pasukan lawan pada minit ke-78 apabila Evra yang mengatur gerakan dengan Young berjaya melepaskan rembatan lencong di penjuru kanan gawang.


Turun beraksi buat kali pertama sejak Villas-Boas dipecat Isnin lalu, Spurs mensia-siakan kelebihan gol awal untuk tumpas 2-1 di gelanggang sendiri kepada musuh setempat, West Ham.


Pemecatan Villas-Boas tampak mengejutkan produser program perlawanan Tottenham apabila dia masih menyenaraikan nama pengendali dari Portugal itu sebagai "Ketua Jurulatih". Pengendali sementara, Tim Sherwood melakukan rombakan dengan menurunkan Emmanuel Adebayor dalam kesebelasan utama buat kali pertama musim ini bersama Jermain Defoe dan gandingan itu berjaya menghadiahkan gol pendahuluan kepada Spurs pada minit ke-67. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Sherwood enggan fikir masa depan

Posted: 19 Dec 2013 08:42 AM PST

London: Pengurus sementara Tottenham Hotspur Tim Sherwood mengakui tidak pasti dengan masa depannya apabila menyedari krisis kelab utara London semakin memuncak selepas kekalahan 2-1 di gelanggang sendiri kepada West Ham United dalam aksi Piala Liga semalam.

Tottenham yang memecat pengurus Andre Villas-Boas Isnin lalu berikutan kekalahan memalukan 5-0 di tangan Liverpool di laman sendiri dalam aksi Liga Perdana masih belum mengadakan perbincangan bersama Sherwood mengenai peranan barunya.


"Saya mendapat panggilan telefon dari pengerusi pada jam 10:15 yang meminta saya mengendalikan latihan skuad utama. Bagaimanapun, perancangan jangka panjang tidak dibincangkan," kata Sherwood.

"Saya akan berbincang dengan pengerusi. Anda pasti menjangkakan banyak nama yang disenaraikan untuk memegang jawatan kerana ini kelab yang besar tapi pengerusi perlu membuat keputusan tepat dan mencari pengurus yang sesuai bagi membawa kelab ke depan," katanya.


Ketika ditanya adakah beliau berminat dengan posisi itu, Sherwood yang pernah ditugaskan bersama skuad pembangunan berkata: "Keputusan itu perlu memberi kebaikan kepada saya dan kelab." Sherwood juga tidak pasti sama ada beliau akan mengendalikan Tottenham bagi kunjungan ke Southampton Ahad ini.


Dengan prestasi pasukan itu semakin goyah, Sherwood berasa keputusan pantas perlu diambil. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Cari sinar dalam gelap

Posted: 19 Dec 2013 08:41 AM PST

London: Arsenal dan Chelsea mengisi kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris ketika ini tetapi masing-masing mahu melupakan aksi buruk pada perlawanan sebelum ini menjelang pertemuan kedua-dua pasukan berkenaan pada pagi Isnin.

Kegembiraan yang dirasai pengurus Arsenal, Arsene Wenger sebelum ini, tergugat apabila dimalukan 6-3 oleh Manchester City, Sabtu lalu keputusan yang menyaksikan kelebihan Gunners kini hanya tinggal dua mata.


Kekalahan itu hadir selepas ditundukkan 2-0 oleh Napoli pada saingan Liga Juara-Juara tetapi mujur Arsenal tetap melangkah ke peringkat kalah mati selaku naib juara kumpulan tetapi perlu berdepan Bayern Munich.

Wenger menyalahkan jadual padat yang mendorong anak buahnya beraksi hambar tetapi beliau juga sedar pertahanannya semakin longgar apabila melepaskan lapan gol sepanjang dua perlawanan.


"Kami bertahan dengan baik dan tidak menunjukkan persefahaman di posisi itu," kata Wenger selepas kekalahan di tangan City.


"Ia kelihatan terlalu mudah dibolosi. Kami pernah dianggap sebagai pasukan yang memiliki benteng terkuat tetapi melepaskan enam gol dalam satu perlawanan pastinya tidak boleh diterima. Ia berlaku disebabkan kami hilang disiplin dan itulah yang perlu kami terima.

"Jadual tidak membantu kami. Cuba fikirkan perkara itu juga," katanya. "Anda boleh lihat pemain kami keletihan apabila terpaksa bermain pada Ahad, Rabu serta pagi Sabtu. Pastinya ia sukar." Arsenal perlu beraksi tanpa Jack Wilshere yang berdepan penggantungan dua perlawanan kerana kesalahan menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong City di Stadium Etihad hujung minggu lalu.


Chelsea turut mahu bangkit memperkemaskan aksi selepas tewas di tangan Sunderland pada saingan Piala Liga selain hambar ketika menang 2-1 ke atas Crystal Palace minggu lalu.

Mereka berjaya melakukan 17 percubaan ketika menentang Sunderland dan pengurus Jose Mourinho berkata mereka terpaksa berputih mata kerana gagal menjaringkan gol ketika peluang terbuka.


"Cerita sama juga berlaku ketika kami menentang Stoke, Everton serta semua perlawanan yang menyaksikan kami tewas," kata pengendali Portugal itu.


"Kami tidak pernah kalah disebabkan lawan lebih kuat.


"Kami hanya gagal membunuh semangat lawan. Itulah yang berlaku." Selepas menang semua lapan perlawanan di gelanggang sendiri dan menjaringkan 35 gol, pasukan di tangga keempat, Manchester City akan bertandang ke Fulham, esok.


Sergio Aguero yang sudah menjaringkan 13 gol, tidak dapat beraksi dua bulan akibat kecederaan betis manakala Pablo Zabaleta cedera hamstring ketika menang 3-1 pada saingan Piala Liga ke atas Leicester City.


Pasukan di tangga kedua, Liverpool yang berkongsi 33 mata dengan Chelsea, masih lagi bersemangat selepas Luis Suarez menjana kemenangan 5-0 ke atas Tottenham Hotspur keputusan yang menyaksikan pengurus Spurs, Andre Villas-Boas dipecat akan terus menekan Arsenal dan Chelsea jika menang ke atas Cardiff City. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Real, Atletico mara

Posted: 19 Dec 2013 08:40 AM PST

Madrid: Real Madrid melangkah ke kelompok 16 pasukan terakhir saingan Copa del Rey selepas menang 2-0 ke atas Olimpic Xativa di Santiago Bernabeu, semalam.

Tanpa khidmat Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo yang cedera serta digantung, pengurus Real Carlo Ancelotti menurunkan barisan pemain muda walaupun skuad sama diikat seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama, 10 hari lalu.


Eksperimen pengendali kelahiran Itali itu berbaloi apabila Asier Illaramendi menjaringkan gol pertama sebelum sepakan penalti yang disempurnakan Angel di Maria memberikan kelebihan 2-0.

Real gagal menambah jaringan pada babak kedua tetapi mereka juga tidak diancam pasukan pelawat sekali gus menempah tiket untuk bertemu Osasuna di pusingan berikutnya.


"Kami memulakan aksi dengan baik tetapi permainan berubah perlahan selepas kami mendahului 2-0. Persembahan kami menurun di babak keduadan saya tidak sukakan perkara itu," kata Ancelotti.


Dan bekas pengurus Chelsea itu menekankan betapa pemain seperti Jese Rodriguez dan Alvaro Morata perlu menggunakan sepenuhnya peluang beraksi gara-gara ketiadaan Ronaldo dan Bale untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

"Bukan mudah untuk saya menyediakan pasukan memandangkan kami membuat banyak perubahan. Beberapa pemain yang tidak kerap diturunkan memerlukan masa untuk menyinar.


"Secara keseluruhan, pemain muda perlu bekerja lebih keras kerana beraksi untuk Real bukanlah mudah. Mereka perlu menyediakan diri masing-masing kerana musim ini, kami akan menggunakan banyak khidmat pemain muda." Sementara itu, Atletico Madrid dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan kelab kerdil, Sant Andreu 2-1 sekali gus menyaksikan mereka layak menerusi agregat 6-1.

Alberto Carroza menjaringkan gol buat pasukannya dan ia adalah jaringan lawan yang pertama berlaku di gelanggang Atletico sejak awal Oktober lalu.


Atletico berusaha untuk bangkit menyamakan kedudukan selepas Alberto Carroza menjaringkan gol buat pasukannya tetapi jaringan Jose Gimenez dibatalkan kerana ofsaid manakala penalti yang diambil Adrian Lopez gagal menghasilkan gol.


Dengan kelebihan besar hasil perlawanan pertama, pengurus Atletico, Diego Simeone menurunkan ramai pemain muda termasuk Hector Hernandez, 18.


Penyerang muda itu membalas kepercayaan jurulatih apabila menanduk masuk hantaran lintang Adrian ketika permainan berbaki 12 minit. Toby Alderweireld menjaringkan gol kemenangan hasil sepakan percuma Gabi pada minit terakhir perlawanan.


Atletico akan bertemu Valencia atau Gimnastic pada pusingan kalah mati nanti.


Racing Santander memberikan kejutan pada saingan itu kerana berjaya bangkit daripada ketinggalan 1-0 pada perlawanan pertama untuk menang 2-0 ke atas Sevilla.


Real Sociedad akan menentang Villarreal di kelompok 16 pasukan terakhir apabila menang 4-0 ke atas Algeciras.hasil jaringan Javi Ros, Haris Seferovic, Antoine Griezmann dan Carlos Vela sekali gus melangkah dengan agregat 5-1.


Almeria dan Real Betis turut layak walaupun sekadar seri ketika menentang Las Palmas serta Lleida. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Pembelian Neymar disiasat

Posted: 19 Dec 2013 08:40 AM PST

Barcelona: Mahkamah tempatan mengarahkan Barcelona untuk menyerahkan butiran proses pembelian Neymar sebelum dakwaan salah guna dana yang dikenakan terhadap presiden kelab, Sandro Rosell dapat dibuktikan.

Kes itu dibawa ke mahkamah oleh ahli kelab Jordi Cases.


Penyerang Brazil itu diikat kelab juara Sepanyol itu dengan nilai 57.1 juta euro (RM255.6 juta) dengan 17.1 juta euro (RM76.5 juta) diperuntukkan untuk bekas majikan pemain itu, Santos.

Cases mahu penjelasan apa yang berlaku terhadap baki 40 juta euro (RM179.1 juta) ketika Barcelona berkata ia diserahkan kepada syarikat yang dikenali sebagai Neymar& Neymar.


"Kami tidak tahu apa yang berlaku ke atas baki 40 juta euro (RM179.1 juta) yang sepatutnya dibayar kepada pemain atau wakilnya," kata Cases.


Hakim Pablo Ruz memberikan Barcelona tempoh lima hari untuk menyerahkan kontrak Neymar.

Beliau turut meminta kelab itu menyerahkan laporan kewangan untuk tempoh tiga tahun bagi membandingkan kedudukannya sebelum pemain berusia 21 tahun itu menyertai Barcelona.


"Ia adalah tuduhan tanpa asas. Saya tetap tenang," kata Rosell.

Jurucakap Barcelona, Toni Freixa berkata, kelab itu tidak berniat untuk melindungi apa-apa kepada semua ahli kelabnya.


"Kami menjalankan pembelian itu dengan telus dan kami tidak bimbang," katanya.


"Kami sudah menerangkan jumlah itu diserahkan kepada syarikat. Jika hakim mahukan segala butiran dan dokumen mengenainya, kami sedia menyerahkan dokumen berkenaan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Leverkusen mahu rapat jurang mata

Posted: 19 Dec 2013 08:39 AM PST

Berlin: Ketika Bayern Munich tidak beraksi di liga tempatan kerana menyertai kejohanan dunia, Bayer Leverkusen berharap dapat menggunakan kesempatan itu untuk merapatkan jurang kepada empat mata menerusi kemenangan ke atas Werder Bremen hujung minggu ini.

Bayern mengimpikan untuk menjulang trofi kelima 2013 apabila bertemu Raja Casablanca di final Kejohanan Kelab Dunia di Maghribi, esok dan hanya akan beraksi perlawanan ke-17 liga domestik pada bulan depan sekali gus memberi ruang kepada Leverkusen untuk merapati juara bertahan Bundesliga itu.


Dortmund yang menduduki tangga ketiga dilihat sedikit bergelut dan Leverkusen muncul pencabar terkuat Bayern untuk gelaran Bundesliga musim ini walaupun mereka tewas 1-0 di tangan Eintracht Frankfurt minggu lalu.

Selepas layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara minggu lalu, Leverkusen pantas mengikat penyerang Korea Selatan berusia 20 tahun, Ryu Seung-woo yang sebelum ini beraksi bersama kelab FC Jeju.


Jurulatih Sami Hyypia menganggap pertemuan menentang Bremen esok akan menjadi peluang terakhir mereka untuk mengubah corak serangan sebelum saingan liga berhenti rehat kerana Bremen sudah melepaskan 37 gol sepanjang 16 aksi.


"Setiap kali pemain lawan memasuki kotak penalti kami, ia pasti mencetuskan masalah," kata pengarah sukan Werder, Thomas Eichin.

Werder melepaskan 14 gol di sepanjang tiga aksi terakhir mereka iaitu ketika ketiadaan pertahanan tengah, Sebastian Proedl dan 16 mata yang dikumpul setakat ini yang paling rendah dalam tempoh 39 tahun di Bundesliga.


Jurulatih Werder Robin Dutt sedar satu lagi kekalahan selepas dimalukan 7-0 di Bayern serta kekalahan 3-2 di Hertha Berlin dua minggu lalu pasti mengakibatkan beliau dipecat.

"Kami bergelut. Saya tidak dapat nafikan perkara itu," kata Dutt. "Tetapi tidak ada gunanya jika kami sekadar bercakap mengenai kedudukan dalam liga kerana kami sedar tidak banyak pasukan berada di belakang kami." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Bahana makanan

Posted: 19 Dec 2013 08:39 AM PST

Sydney: Juara dunia tiga kali perlumbaan ujian masa dari Australia, Michael Rogers mendakwa makanan yang tercemar mungkin menyebabkan dia diuji positif bahan terlarang clenbuterol, demikian menurut pasukannya Saxo-Tinkoff.

Badan induk dunia, Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) kelmarin berkata, mereka mengenakan penggantungan sementara ke atas Rogers dan Jonathan Breyne dari Belgium kerana kesalahan penyalahgunaan bahan terlarang.


Dalam satu kenyataan, UCI berkata, clenbuterol itu dikesan dalam sampel air kencing yang diberi Rogers pada Perlumbaan Berbasikal Piala Jepun 20 Oktober lalu.

Namun, pelumba Saxo-Tinkoff itu menafikan dakwaan beliau terbabit dalam penyalahgunaan dadah kerana berasa makanan yang dicemari mungkin menjadi penyebab dan sepatutnya diuji terlebih dulu.


UCI berkata, penggantungan sementara Rogers mungkin dikekalkan hingga panel pendengar dibentuk oleh Badan Berbasikal Australia yang akan menentukan sama ada dia bersalah atau tidak melanggar peraturan penyalahgunaan dadah.


Rogers, 33, pemenang pingat gangsa Olimpik 2004, bertanding di China seminggu selepas dia gagal mengambil ujian. UCI dan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) sudah memberi amaran kepada atlet terbabit pada masa lalu sebagai langkah berjaga-jaga kerana masalah penyalahgunaan dadah di China agak menakutkan.

"Michael Rogers segera memaklumkan kepada pengurusan Saxo-Tinkoff mengenai peringatan UCI itu," kata pasukan berbasikal Denmark.


"Pelumba Australia itu menjelaskan kepada pengurusan pasukan, dia tidak pernah dengan sengaja atau tidak, menelan bahan terlarang itu dan bimbang ia disebabkan bahan makanan tercemar.

"Dia menyertai Jelajah Beijing seminggu sebelum Piala Jepun dan mengambil penerbangan terus dari China ke Jepun." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Kerja pembinaan stadium disambung

Posted: 19 Dec 2013 08:38 AM PST

Manaus, Brazil: Negeri di utara Brazil, Amazonia diberi kebenaran menyambung semula kerja-kerja pembinaan stadium Piala Dunia di Manaus selepas dihentikan seketika kerana berlaku kematian buruh binaan.

Penyambungan semula kerja-kerja binaan bermula sejak Isnin lalu namun tidak membabitkan bumbung tempat berlaku insiden buruh binaan berusia 22 tahun terjatuh dari ketinggian 35 meter (110 kaki) selepas kabel keselamatannya terputus.


Bagaimanapun, pejabat pendakwaraya yang meluluskan penyambungan semula kerja-kerja binaan itu melarang kerja binaan dilakukan pada waktu malam.

Buruh itu adalah mangsa kedua yang mati di Arena Amazonia tahun ini.


Satu siasatan mengenai kesihatan dan keselamatan di tapak binaan ditingkatkan kontraktor utama, Andrade Gutierrez apabila meningkatkan penyeliaan perkakasan dan kelengkapan keselamatan.


Syarikat itu berdepan denda harian 100,000 reais (RM147,237) jika gagal memenuhi arahan keselamatan pihak kehakiman.

Pekerja mengancam mogok selepas tragedi Sabtu lalu itu, kejadian keempat berlaku di tapak binaan stadium Piala Dunia.


Pada 27 November, dua pekerja binaan mati di Stadium Sao Paulo iaitu venue perlawanan pembukaan antara Brazil dan Croatia pada 12 Jun.

Di Manaus pula, kematian pertama berlaku pada Mac lalu apabila buruh berusia 49 tahun mati selain satu lagi kematian berlaku di tapak binaan stadium baru di Brasilia tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

LAYAR: Skuad layar lakar kejutan

Posted: 19 Dec 2013 08:38 AM PST

Yangon: Pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy serta gandingan Mohd Faizal Norizan dan Ahmad Shukri Abdul Aziz menghadirkan khabar gembira buat kontinjen negara apabila masing-masing meraih pingat emas di Pantai Ngwesaung, semalam.

Khairulnizam memperoleh pingat emas acara Laser Standard manakala Mohd Faizal/Ahmad Shukri pula mengungguli acara International 420.


Pengurus pasukan pelayaran Mohd Afendy Abdullah ketika dihubungi nyata bangga dengan pencapaian anak buahnya yang masih meneruskan saingan semalam tetapi pada dasarnya mereka sudah dianggap menang.

"Mereka masih meneruskan perlumbaan dan pungutan mata diperoleh mereka setakat ini sudah jauh mengatasi lawan," katanya.


"Kami mensasarkan lima pingat dan kejayaan meraih dua pingat emas dan satu gangsa setakat ini membanggakan kami."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

No comments:

Post a Comment