Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


HOKI: Hoki wanita mengamuk

Posted: 14 Dec 2013 10:23 AM PST

Yangon: Tanpa ada belas, skuad hoki wanita negara membelasah Kemboja 36-0 sekali gus mengesahkan lawan itu sebagai pasukan belasahan di temasya Sukan SEA Myanmar edisi ke-27.

Kelmarin, Kemboja ditundukkan 26-0 oleh Thailand di Stadium Hoki Theinphyu dan semalam, anak buah ketua jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu tidak menoleh ke belakang sebaliknya melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang lawan.

Boleh dikatakan semua serangan yang dilancarkan pemain negara, menghasilkan gol dan tidak seperti aksi kelmarin, Malaysia tampil lebih garang dan tamat
separuh masa pertama, nama beberapa pemain skuad kendalian Mohd Nasihin itu sudah memenuhi senarai penjaring apabila meledak 18 gol tanpa balas.

Foto

SKUAD negara catat kemenangan terbesar setakat ini.

Bermula babak kedua, 18 lagi gol berjaya dihasilkan oleh pemain Malaysia yang ada kalanya kelihatan bersahaja ketika menolak masuk bola ke gawang Kemboja.

"Memang kami jangka boleh menang tetapi tidak dengan jaringan yang sebanyak itu," kata Mohd Nasihin yang tidak mahu ada di antara anak buahnya yang mendabik dada dengan kejayaan terbesar dalam acara hoki wanita di temasya Sukan SEA Myanmar itu.

Beliau sebaliknya mahu setiap pemain kembali berpijak di bumi nyata dan bangkit mempamerkan permainan lebih berwaspada ketika menentang Singapura selepas ini.

"Kami mempunyai tempoh masa rehat sehari untuk perlawanan berikutnya dan berharap mereka bermain dengan lebih baik. Kemenangan sebesar ini memang menggembirakan tetapi kami perlu membuktikan bahawa kami adalah antara yang terbaik.

"Siapa yang tidak suka dengan kemenangan seperti ini tetapi pemain harus melupakannya kerana kami masih mempunyai perlawanan untuk dihadapi.

"Mereka perlu lakukan hantaran sempurna kepada rakan untuk memastikan penyudah sempurna, dari segi prestasi saya rasa tiada masalah," katanya.

Sementara itu, khabar duka melanda dua atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor dan Azizah Fadzil apabila masing-masing gagal menghadirkan sebarang pingat buat kontinjen negara pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

BOLA SEPAK: Tiada perubahan

Posted: 14 Dec 2013 10:19 AM PST

Nay Pyi Taw: Doa dan solat hajat sehari sebelum perlawanan seperti yang dilakukan dalam dua perlawanan terawal di peringkat kumpulan menjadi senjata ampuh buat skuad bawah 23 tahun negara untuk meneruskan rentak kemenangan.

Barisan pemain negara akan turun menentang Singapura hari ini di Stadium Zeyer Thiri selepas berjaya menewaskan Brunei dan Laos sebelum ini dengan kemenangan akan memastikan kemaraan Malaysia ke separuh akhir.

Pengendali skuad negara Datuk Ong Kim Swee, menegaskan beliau akan memberi tumpuan kepada percaturan strategi yang lebih berkesan dan tiada perubahan besar dalam kesebelasan utama ketika menentang Singapura.

"Seperti yang saya jangka perlawanan esok (hari ini) sangat penting dengan kemenangan akan membolehkan kita mara ke separuh akhir.


"Inilah yang menjadi tujuan utama kita dan pemain memang memahami tugas yang lebih mencabar esok (hari ini). Saya hanya menurunkan pemain yang berada pada tahap terbaik saja bagi memastikan serangan lebih bermutu dapat dilakukan," kata Kim Swee.


Kim Swee turut menegaskan pemain perlu mengambil kesempatan terhadap faktor keletihan kerana Singapura akan turun bermain pada perlawanan keempat dan terakhir berbanding Malaysia yang memasuki aksi ketiga.

"Namun pemain tidak boleh terburu-buru walaupun mahu mengambil kesempatan kerana mereka perlu mengikut rentak dan strategi yang sudah diatur," katanya.

Kim Swee turut berwaspada terhadap beberapa pemain lawan seperti Hariss Harun, Shahfiq Ghani, Muhammad Zulfahmi Mohd Arifin, Mohd Safuwan Baharudin dan Sahil Suhaimi yang sudah meledak tiga gol untuk Singapura pada temasya kali ini.

A Thamil Arasu yang sebelum ini beraksi di bahagian sayap pada dua perlawanan awal dijangka kembali sebagai penyerang tengah untuk bergandingan bersama Ahmad Hazwan Bakri yang meledak hatrik ketika bertemu Laos.

Irfan Fazail pula dijangka bergandingan bersama Mohd Nasir Basharudin di bahagian tengah dengan Ashri Chuchu di sayap kiri dan D Sarindran di sayap kanan manakala Mohd Zubir Azmi akan kembali menguatkan pertahanan negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

SEPAK TAKRAW: Jamaluddin terkejut aksi anak buah

Posted: 14 Dec 2013 10:17 AM PST

Nay Pyi Taw: "Saya memang tak percaya mereka hanya dapat bermain tahap begini saja." Demikian luahan kecewa ketua jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Jamaluddin Hassan ketika ditanya mengenai aksi anak buahnya terutama selepas sekadar menang tipis 21-18 dan 21-19 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan acara antara regu ke atas Laos semalam.

Kekecewaan yang terpendam sejak tewas tiga kali berturut-turut dalam acara berpasukan sebelum ini, mendorong Jamaluddin untuk berterus terang dan menyatakan anak buahnya gagal beraksi dengan baik.

"Apa lagi yang boleh saya buat? Kita sudah berikan segala-galanya kepada mereka tapi bila turun beraksi, mereka umpama tidak percaya kepada kemampuan diri sendiri.

"Mereka terlalu takut. Malah, negara lain juga terperanjat dengan persembahan Malaysia dan bertanya saya adakah kami mempunyai sebarang masalah," katanya.


Mengulas lanjut mengenai prestasi gandingan Mohd Muqlis Borhan, Mohd Hanafiah Dolah dan Izurin Refin semalam, Jamaluddin berkata, Malaysia bernasib baik kerana lawan sering melakukan kesilapan sekali gus menghadiahkan mata kepada regu negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

KARATE: Usia bukan ukuran

Posted: 14 Dec 2013 10:16 AM PST

Nay Pyi Taw: Pengalamannya baru setahun jagung di pentas antarabangsa namun ia bukan halangan buat atlet karate S Senthil Kumaran untuk menyumbang pingat emas buat kontinjen negara pada temasya Sukan SEA kali ini.

Anak muda berusia 21 tahun dari Dengkil, Selangor itu meraih pingat emas sulungnya pada temasya dwi tahunan itu dengan menundukkan juara bertahan Sukan SEA dari Indonesia Donny Dharmawan pada pertembungan akhir kumite lelaki bawah 60kg semalam.

Keputusan perlawanan menyaksikan kedua-dua peserta gagal meraih sebarang mata selepas empat minit pertarungan namun juri memihak kepada peserta negara kerana kurang mendapat penalti berbanding lawan.

"Saya pernah bertemunya sebelum ini pada Sukan Perpaduan Islam di Palembang tapi saya kalah dalam acara individu dan seri dalam acara berpasukan.

"Saya memang yakin menang kali ini kerana sudah mendapat banyak panduan daripada jurulatih selepas mengkaji corak persembahannya.

Sudah tentu saya berasa bangga kerana dia juara bertahan acara ini di Sukan SEA," kata Senthil.

Skuad karate turut menambah satu pingat emas pada sesi pagi di Stadium Tertutup Wunna Theikdi semalam menerusi S Shree Sharmini dalam acara kumite wanita bawah 68kg.

Atlet dari Kulim, Kedah itu turut terikat 2-2 dengan peserta Vietnam, Pham Thi Tien pada pertarungan akhir sebelum juri memutuskan kemenangan kepadanya.

"Saya terlalu gembira.

Kemenangan ini buat semua, keluarga, jurulatih, persatuan dan rakyat Malaysia.


Saya memang mengimpikan saat-saat seperti ini," kata penuntut tahun pertama jurusan Komunikasi Massa di Universiti Putra Malaysia (UPM) berusia 22 tahun itu.

Sukan SEA kali ini bukan yang pertama buatnya namun penampilan sulungnya di Jakarta dua tahun lalu hanya dalam acara berpasukan.

Selain itu, skuad negara turut meraih pingat perak menerusi R Sharmendran dalam acara kumite lelaki bawah 67kg dan gangsa diperoleh Shaharudin Jamaludin dalam acara kumite lelaki bawah 75kg.


Shaharudin gagal mempertahankan emas dimenanginya di Jakarta dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

EKUESTRIAN: Praveen ungguli acara dressage

Posted: 14 Dec 2013 10:16 AM PST

Nay Pyi Taw: Atlet berusia 16 tahun, Praveen Nair Mathavan memulakan tuaian emas kontinjen negara di Padang Ekuestrian Wunna Theikdi, semalam.

Praveen mengungguli acara dressage individu untuk memastikan skuad ekuestrian negara melepasi sasaran dua emas yang ditetapkan selepas barisan pelumba endurance negara meraih emas individu dan berpasukan sebelum ini.

"Saya memanfaatkan sepenuhnya tempoh tiga hari untuk mencari kesesuaian dengan kuda yang diberikan pihak penganjur. Nampaknya ia memberikan persembahan yang baik dan saya turut konsisten," katanya yang menggunakan kuda yang bernama Sen Win Mal.

Praveen yang tampil buat kali pertama di Sukan SEA mencatatkan 67.405 peratus untuk mengatasi cabaran 11 peserta lain.


Atlet Indonesia Valentino Lumanteh meraih perak dengan 66.432 peratus diikuti seorang lagi peserta Indonesia Perry Wahyu Hadiyanto mengumpul 64.108 peratus.


"Agak sukar untuk saya membahagikan masa kerana ibu bapa pastinya mahu memberi tumpuan kepada pelajaran. Namun selepas tamat waktu persekolahan pada jam 3 petang, saya akan menjalani latihan selama tiga jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

MENEMBAK: Skuad wanita bidik perak

Posted: 14 Dec 2013 10:14 AM PST

Nay Pyi Taw: Skuad menembak 50m air pistol wanita terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara berpasukan di Lapang Sasar North Dagon semalam apabila Bibiana Ng dan Joseline Cheah kecundang di final acara individu.

Bersama Wahidah Ismail, ketiga-tiga mereka mengumpul 1,111 mata untuk berada di belakang pasukan Vietnam yang meraih pingat emas dengan 1,118 mata manakala trio Singapura, gangsa dengan 1,109 gangsa.

Di peringkat akhir individu, Bibiana menduduki tangga keenam dan Joseline ketujuh. Emas menjadi milik peserta Vietnam.

"Persembahan hari ini kurang memuaskan tetapi tetap bersyukur kerana ada pingat yang boleh dibawa pulang," kata Wahidah.


"Tembakan saya pada tiga siri pertama boleh dianggap baik tetapi pada siri terakhir agak kurang sempurna," kata atlet kelahiran Perak itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

BINA BADAN: Intai pingat ulang tahun

Posted: 14 Dec 2013 10:13 AM PST

Nay Pyi Taw: Atlet bina badan senior negara, Buda Ancah mahu mencari kemenangan pada temasya Sukan SEA kali ini untuk dijadikan hadiah ulang tahunnya yang ke-41, hari ini.

Buda yang bertanding dalam kategori 80kg, sudah 18 tahun mengabdikan diri dalam bina badan yang banyak memberikan kemenangan terhadapnya tetapi kejayaan di Sukan SEA akan melengkapkan lagi kariernya.

"Saya memang berharap dapat memenangi pingat sebagai satu hadiah untuk diri sendiri, sukan ini dan juga untuk Malaysia," katanya.

Pernah pulang tangan kosong sewaktu edisi ke-24 di Korat, Thailand, Buda jelas mahu menjadikannya satu pengajaran berguna untuk mempamerkan otot lebih kental bagi memikat juri kali ini.

"Ketika itu, atlet dari Myanmar, Indonesia, Singapura dan Thailand memang hebat.

Begitupun saya mahu memberikan yang lebih baik di sini," katanya yang menjuarai kategori Terbuka Masters (80kg) di Kejohanan Dunia, Hungary bulan lalu.

Ketika ditanya rahsianya bertahan dalam sukan ini, Buda memberitahu ia hanya boleh dicapai menerusi disiplin yang kental, semangat yang kuat selain menjaga pemakanan.

Seorang lagi atlet bina badan, Wong Hong, 43, yang menyertai kategori 90kg pula memberitahu dia sudah membuat persediaan khusus untuk ke Sukan SEA sejak enam bulan lalu.

"Jika untuk pertandingan biasa, saya membuat persediaan selama tiga bulan tetapi untuk ini, saya perlu membuat persediaan awal menerusi latihan kardio, fizikal dan menjaga pemakanan," katanya.

Wong yang beraksi secara profesional di Amerika Syarikat mengakui saingan di Myanmar juga kompetitif sekali gus membuktikan atlet bina badan Asean tidak kurang hebatnya berbanding barat.

Foto

BUDA (dua dari kanan) bersama rakan bina badan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

OLAHRAGA: Kuartet 4x400m tekad tebus aib

Posted: 14 Dec 2013 10:12 AM PST

Nay Pyi Taw: Kuartet 4x400 meter negara sudah melakukan persiapan cukup rapi pada temasya Sukan SEA Myanmar kali ini sekali gus cuba untuk menutup malu ketika di Indonesia dua tahun lalu selepas pingat emas yang dimenangi di tarik semula berikutan isu doping.

Meskipun kali ini mereka turut berdepan dugaan selepas ketua jurulatih K Jayabalan tidak dapat bersama-sama ke Myanmar selepas terpaksa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana disyaki demam denggi, penolong jurulatih M Balamurugan berkata, ia tidak akan menjejaskan fokus anak buahnya.

Balamurugan berkata, Schzuan Ahmad Rosely, Arif Zulhilmi Alet, P Yuvaraaj dan S Kannathasan akan ditugaskan untuk menggalas tugas acara itu, Khamis ini.

Bagaimanapun, beliau mungkin membuat pertukaran pelari bergantung kepada prestasi Kannathasan dan Arif pada acara 400 meter nanti.

"Jika Kannathasan beraksi cemerlang, dia akan diletakkan sebagai pelari terakhir.

Jika tidak, Yuvaaraj akan menjadi pelari terakhir dan Kannathasan menjadi pelari ketiga," kata Balamurugan.

Acara trek dan padang akan bermula hari ini menerusi acara jalan kaki 20 kilometer lelaki dan wanita.

Malaysia dijangka memperoleh pingat emas pertama menerusi Lo Choon Sieng yang pastinya mahu mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Indonesia.

Sementara itu, acara final 400m dijadualkan turut berlangsung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Pemandu teksi kaut untung

Posted: 14 Dec 2013 10:08 AM PST

Sanggup bekerja 24 jam sehari. Itulah situasi sesetengah pemandu teksi di Nay Pyi Taw yang memburu 'keuntungan' sepanjang berlangsungnya temasya Sukan SEA kali ini.

Menerusi perbualan saya bersama beberapa pemandu teksi di sini, mereka sentiasa 'on-call' untuk memenuhi permintaan pelanggan tanpa mengira waktu.

Ini kerana tempoh kira-kira tiga minggu sejak awal bulan ini adalah peluang mereka melipat-gandakan pendapatan.

Teksi di sini amat popular dalam kalangan pengamal media kerana mudah dan pantas bergerak ke lokasi tertentu bagi membuat liputan acara berlangsung.

Malah, lebih mudah apabila ada di kalangan mereka mampu berbahasa Melayu kerana pernah bekerja di Malaysia sebelum ini.

Pendapatan mereka semasa Sukan SEA mampu mencecah sehingga RM500 hingga ke RM600 sehari - satu peningkatan sehingga 400 peratus berbanding sebelum ini.

Bagi wartawan seperti saya, teksi adalah pengangkutan utama untuk membuat liputan kerana jarak sesetengah venue pertandingan yang jauh.

Justeru, sebahagian besar wang adalah diperuntukkan untuk pengangkutan bagi memastikan setiap liputan ke atas acara membabitkan atlet negara dapat dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

Junior MPAJ buru podium

Posted: 14 Dec 2013 10:06 AM PST

Kuala Lumpur: Sokongan berterusan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberi kekuatan buat pasukan Junior MPAJ untuk meneruskan saingan pada Sirkit 5 Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini, 22 Disember ini.

Selepas cemerlang di tiga sirkit terdahulu menerusi pelumba wanitanya, Nur Deena Safia Nor Effandy yang berjaya menempatkan diri di tempat ketiga kategori Terbuka Wanita, pengurus pasukan Nor Effandy Rosli yakin barisan lima pelumbanya yang terdiri dari empat lelaki dan seorang perempuan dapat memberikan cabaran.

Katanya, perlumbaan anjuran Harian Metro itu begitu bermakna buat peminat basikal lasak terutamanya golongan remaja sekali gus mengajar mereka erti berdikari.

"Untuk berjaya dalam sukan ini, restu ibu bapa sangat penting malah saya sendiri tidak menyekat anak saya iaitu Deena untuk terbabit sekiranya dia pandai membahagikan masa antara sukan dan pelajaran.

"Deena membuktikan dia bijak menyesuaikan keadaan dan keputusan cemerlang dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) membuktikan sukan dan pelajaran boleh seiring selain dapat mengajar erti disiplin," katanya.

Nor Effandy berkata, ada ibu bapa yang sanggup berkorban menghantar anak mereka menjalani latihan di bawah bimbingannya dan pengorbanan seperti itu pasti mampu menjana kejayaan satu hari kelak.

Yakin dengan kemampuan lima anak didiknya, Effandy mensasarkan untuk membawa pelumba di bawah bimbingannya beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Menjadi antara peserta tetap saingan perlumbaan ini, Effandy kini mempertimbangkan untuk menambah jumlah pelumba namun tetap yakin dengan kemampuan dua pelumba muda, Muhammad Akmal Zaidi Muhammad Zaini dan Muhammad Zul Helmi Muhammad Zulkiflie yang mungkin boleh merealisasikan harapannya beraksi di Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15

No comments:

Post a Comment