Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Aksi mengecewakan

Posted: 15 Dec 2013 11:28 AM PST

Kuala Lumpur: Kegagalan memperbaiki pencapaian kedudukan keempat pada edisi 1979 dan 1982 mungkin boleh dimaafkan, namun prestasi yang ditunjukkan anak didik Muhammad Dharmaraj Abdullah pada perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Belanda semalam, amat menyedihkan apabila pemain seolah-olah turun ke padang sekadar melengkapkan jadual.

Apa tidaknya, babak pertama saja Malaysia ketinggalan 5-1 dengan Belanda membuka jaringan seawal minit ketiga, menerusi gol padang Roel Bovendeert.


Selepas itu Belanda berpesta dengan jaringan Thierry Brinkman (minit keenam dan 25), Tom Hiebendaal (minit ke18) dan Milan van Baal (minit ke-23), sementara gol Malaysia dijaringkan Zulhairi Hashim menerusi pukulan sudut penalti pada minit ketujuh.

Jangkaan pasukan negara akan bermain lebih kemas pada babak kedua meleset apabila Belanda pantas menambah kelebihan gol apabila Hiebendaal menjaringkan gol kedua peribadi pada perlawanan itu pada minit ke-37, diikuti gol ketujuh mereka pada minit ke-52 oleh Jelle Galema.


Kedudukan menjadi 7-2 apabila Zulhairi menyudahkan satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-60.


Kedudukan itu kekal hingga ke wisel penamat dan Malaysia terpaksa berpuas hati, menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan sekali gus tidak berjaya melakar sejarah baru.

Foto

AKSI pemain negara cuba menyekat serangan Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Pemain Arsenal tertekan

Posted: 15 Dec 2013 11:13 AM PST

Manchester: Pemain tengah England Jack Wilshere kemungkinan bakal berdepan hukuman Persatuan Bola Sepak England selepas beliau didakwa membuat isyarat lucah ketika Arsenal tumpas 6-3 kepada Manchester City di Etihad Stadium.

Tayangan televisyen jelas menunjukkan Wilshere yang kecewa dengan kekalahan itu membuat isyarat jari tengah pada babak kedua dalam perlawanan yang menyaksikan pendahulu liga itu kini hanya mendahului City dengan tiga mata saja.


Perbalahan antara pemain Arsenal Per Mertesacker dan Mesut Ozil tercetus ketika meninggalkan padang namun pengurus Arsene Wenger menafikan mengenai insiden itu.

"Itu perkara biasa antara pemain Jerman!" kata Wenger secara berseloroh. "Jangan bimbang, mereka boleh menyelesaikan masalah itu sendiri." Bagaimanapun FA England dijangka akan melihat perbuatan Wilshere itu dengan serius dan walaupun pengadil Martin Atkinson tidak menyatakan insiden itu dalam laporan perlawanan, badan induk itu mempunyai kuasa untuk membuat dakwaan kepada pemain antarabangsa England itu.


Bintang Liverpool Luis Suarez dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan atas kesalahan yang sama dua musim lalu.


"Saya tidak melihat insiden itu," kata Wenger mengenai tindakan Wilshere itu. "Saya tidak tahu sama ada dia melakukannya. Jika dia buat dan didenda, kami akan menerima keputusan itu." Walaupun City sudah menjaringkan 31 gol dalam enam perlawanan terakhir di laman sendiri termasuk enam gol menentang Tottenham Hotspur dan empat gol ke atas Manchester United, Wenger enggan menerima pandangan bahawa skuad kendalian Manuel Pellegrini adalah pencabar utama Arsenal bagi merebut gelaran.

"Saya tidak tahu. Kita akan lihat," kata Wenger ketika ditanya sama ada kekalahan itu memberi impak penting dalam kempen liga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Fernandinho wira City

Posted: 15 Dec 2013 11:13 AM PST

Manchester, (United Kingdom): Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini menyatakan Fernandinho yang menjadi wira dengan ledakan dua gol mempamerkan permainan terbaik ketika pasukannya membelasah pendahulu Liga Perdana Arsenal 6-3 kelmarin.

City meneruskan rekod kemenangan besar di Etihad Stadium dengan jumlah 35 gol keseluruhan dalam lapan perlawanan di laman sendiri.


Ketika penyerang Argentina Sergio Aguero yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan betis pada awal babak kedua dan Alvaro Negredo mendapat banyak pujian musim ini, Fernandinho yang dibeli dari kelab Ukraine Shakhtar Donetsk pada Jun lalu dengan harga £30 juta (RM158 juta) pula kurang mendapat perhatian apabila hanya 13 kali diturunkan dalam kesebelasan utama skuad juara 2011-2012 itu.

Pemain Brazil itu memberikan aksi terbaik untuk menjaringkan gol pertama peribadinya menerusi sepakan lencong dalam kempen liga untuk City. Dia kemudian bijak melambungkan bola mengatasi penjaga gol Arsenal Wojciech Szczesny hasil serangan balas pantas membabitkan Samir Nasri.


"Saya sangat gembira dengan aksi Fernandinho tapi anda akan lihat sejauh mana kehebatannya sepanjang musim ini, dia akan terus meningkat setiap minggu." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Chelsea rendah diri

Posted: 15 Dec 2013 11:12 AM PST

London: Jose Mourinho menegaskan bahawa gelaran Liga Perdana hanya akan diputuskan sehingga ke detik terakhir musim selepas Chelsea meletakkan diri mereka berpeluang di kedudukan teratas liga sebelum perayaan Krismas.

Kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace kelmarin menyaksikan skuad bimbingan Mourinho naik ke kedudukan kedua, hanya dua mata di belakang Arsenal.


Perlawanan seterusnya bagi Chelsea dalam liga adalah berkunjung ke Stadium Emirates menentang Arsenal dan kemenangan di utara London itu akan meletakkan mereka di puncak liga sebelum musim perayaan.

Meskipun prospek buat Chelsea secara tiba-tiba saja cerah, Mourinho cuba merendah diri namun mendakwa pencabar liga lain mula merasai kehangatan dalam perlumbaan merebut kejuaraan.


"Saya rasa liga ini mencapai kemuncaknya pada Disember dan Januari nanti, kedudukan belum benar-benar meruncing kerana saya meramalkan bahawa perebutan akan berlanjutan sehingga saat akhir.


"Setiap perlawanan amat menyukarkan, jarak dibuka kemudian dirapatkan kembali, saya jangka amat getir." "Semestinya kami mahu menang di Arsenal dengan matlamat menduduki tangga teratas liga. Namun saya tidak menganggap perlawanan itu sebagai penentu." Mourinho berkata, pasukannya dalam proses meningkatkan prestasi dan persembahan skuadnya itu langsung tidak meyakinkan ketika menentang Palace.

Meskipun sedar banyak lagi menanti pasukannya, Mourinho yakin kejayaan pasukan melonjak ke kedudukan kedua liga akan menyemarakkan lagi keyakinan pemain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

West Brom pecat Clarke

Posted: 15 Dec 2013 11:11 AM PST

London: West Bromwich Albion bertindak memecat pengurus pasukan Steve Clarke berikutan kekalahan terbaru kelab Midlands itu di tempat lawan kepada Cardiff City selepas berdepan kegagalan berpanjangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

"West Bromwich Albion mengambil keputusan untuk melepaskan Clarke daripada tugasnya dan keputusan itu berkuat kuasa serta-merta," kata kenyataan yang dikeluarkan kelab. "Ini adalah keputusan sebulat suara Lembaga Pengarah Kelab Bola Sepak berikutan prestasi mengecewakan sepanjang 2013." West Brom dua mata di atas zon penyingkiran, hanya mencatatkan satu kemenangan dari 10 perlawanan liga terakhir mereka sejak menewaskan Manchester United di Old Trafford, September lalu.


Mereka mengejut ramai pihak apabila menamatkan saingan di kedudukan kelapan pada musim pertama di bawah kendalian Clarke namun hanya menang tujuh daripada 34 perlawanan liga pada 2013 dan mengumpul 31 mata keseluruhan.

"Rekod kelab membuktikan kita tidak mengambil keputusan ini dengan mudah dan hanya membuat keputusan drastik sebanyak tiga kali dalam tempoh 14 tahun," kata pengarah teknikal sukan West Brom Richard Garlick.


Perlawanan terakhir Sabtu lalu menyaksikan mereka tewas 0-1 di Cardiff City, kekalahan keempat berturut-turut dalam liga selepas Clarke, 50, berkata tiada 'formula ajaib" untuk berjaya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

United bangkit di Midlands

Posted: 15 Dec 2013 11:11 AM PST

London: Penyerang Danny Welbeck mencetuskan inspirasi buat Manchester United apabila menjaringkan dua gol ketika menewaskan Aston Villa 3-0 malam tadi sekali gus meredakan tekanan yang dirasai pengurus David Moyes selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut liga di gelanggang sendiri sebelum ini.

Tiga mata penuh dalam aksi di Villa Park itu juga membolehkan skuad juara bertahan itu mendaki satu anak tangga ke tangga kelapan Liga Perdana Inggeris dengan 25 mata namun masih ketinggalan 10 mata dengan pendahulu Arsenal.


Bayangan kemenangan sudah mula kelihatan buat United apabila Welbeck, 24, yang mendapat tempat dalam kesebelasan utama selepas penyerang utama Robin van Persie diketepikan akibat kecederaan meledak dua gol dalam tempoh tiga minit.

Pemain antarabangsa England itu membuka tirai jaringan pada minit ke-15 apabila menolak masuk bola lantunan tandukan pemain tengah Adnan Januzaj yang terkena tiang selepas mendapat hantaran Rafael di sebelah kanan.


Villa yang hanya ketinggalan tiga mata dengan United di tangga ke-11 sebelum perlawanan itu mula goyah apabila pemain mereka mudah kehilangan bola sehingga membolehkan skuad kendalian Moyes mengatur serangan pantas menerusi Antonio Valencia untuk Welbeck meledak gol kedua menewaskan Brad Guzan di gawang pada minit ke-18.


Malah Welbeck boleh meledak hatrik sebelum menutup aksi babak pertama namun rembatan dalam kotak penalti hanya sedikit tersasar melintasi pintu gol tuan rumah.

Penyerang Wayne Rooney yang tampil dalam 500 perlawanan bersama United mencipta gerakan untuk Tom Cleverley menyumbat gol ketiga pada minit ke-52 untuk menjadikan 3-0 pada babak kedua. Villa cuba bangkit namun beberapa percubaan termasuk sepakan percuma Karim El Ahmadi pada minit ke-72 berjaya ditepis keluar penjaga gol David De Gea. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Tunggu hingga akhir: Mourinho

Posted: 15 Dec 2013 11:11 AM PST

London: Jose Mourinho menegaskan bahawa gelaran Liga Perdana hanya akan diputuskan sehingga ke detik terakhir musim selepas Chelsea meletakkan diri mereka berpeluang di kedudukan teratas liga sebelum perayaan Krismas.

Kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace kelmarin menyaksikan skuad bimbingan Mourinho naik ke kedudukan kedua, hanya dua mata di belakang Arsenal.


Perlawanan seterusnya bagi Chelsea dalam liga adalah berkunjung ke Stadium Emirates menentang Arsenal dan kemenangan di utara London itu akan meletakkan mereka di puncak liga sebelum musim perayaan.

Meskipun prospek buat Chelsea secara tiba-tiba saja cerah, Mourinho cuba merendah diri namun mendakwa pencabar liga lain mula merasai kehangatan dalam perlumbaan merebut kejuaraan.


"Saya rasa liga ini mencapai kemuncaknya pada Disember dan Januari nanti, kedudukan belum benar-benar meruncing kerana saya meramalkan bahawa perebutan akan berlanjutan sehingga saat akhir.


"Setiap perlawanan amat menyukarkan, jarak dibuka kemudian dirapatkan kembali, saya jangka amat getir." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Hajat Guardiola

Posted: 15 Dec 2013 11:10 AM PST

Berlin: Bayern Munich berlepas ke Maghribi semalam dalam misi untuk memburu kejuaraan Piala Dunia Kelab dengan jurulatih Pep Guardiola mahu skuad juara Eropah itu mempamerkan peningkatan biarpun gergasi Bavaria itu berjaya meneruskan rentak cemerlang Bundesliga.

Kemenangan 3-1 ke atas Hamburg di Allianz Arena, Munich membolehkan anak buah Guardiola itu mencatat rekod baru 93 mata tahun ini dan kekal tanpa kalah dalam saingan liga 2013.


Bayern bangkit daripada kekalahan 3-2 di tangan Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri sebelum itu untuk meraih kemenangan menerusi gol Mario Mandzukic dan Mario Goetze sebelum pemain sayap Switzerland Xherdan Shaqiri menambah gol ketiga pada masa tambahan.

Bagaimanapun Guardiola menegaskan skuad juara Eropah itu masih mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.


"Mungkin pemain-pemain sudah mula memikirkan cuti dan Maghribi," kata Guardiola.


Empat jam selepas wisel penamat dibunyikan dalam aksi menentang Hamburg, Bayern terus menaiki pesawat meninggalkan Munich dengan Guardiola mula mencongak gelaran Piala Dunia Kelab untuk kali ketiga selepas menjulang trofi itu bersama Barcelona pada 2009 dan 2011.

Juara Asia dari China, Guangzhou Evergrande akan menentang Bayern pada separuh akhir Khamis ini di Agadir selepas menewaskan kelab Mesir Al Ahly 2-0 pada pertembungan suku akhir Sabtu lalu.


Tiada wakil dari Jerman pernah memenangi gelaran itu bagaimanapun dengan status mereka sebagai kelab Bundesliga pertama meraih tiga kejuaraan iaitu liga, Piala Liga dan Eropah musim lalu, Bayern mahu menambah satu lagi kejuaraan bagi koleksi trofi 2013.

Selain tiga kejuaraan itu, Bayern turut menjulang Piala Super Uefa pada Ogos lalu di Prague apabila pemenang Liga Juara-Juara itu mengalahkan juara Liga Europa Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti.


Kelab Brazil Corinthians dan gergasi dunia Barcelona masing-masing memenangi dua kali kejuaraan manakala kelab Brazil muncul juara empat kali daripada sembilan edisi Piala Dunia Kelab.


Guardiola membawa 23 pemain ke Maghribi dengan mengetepikan pemain bintang Arjen Robben, Holger Badstuber dan Bastian Schweinsteiger kerana mengalami kecederaan.


Pasukan tempatan Raja Casablanca akan berdepan wakil Brazil Atletico Mineiro Rabu ini dalam satu lagi aksi separuh akhir.


Perlawanan akhir akan diadakan di Marrakech Sabtu depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

Barca kukuh cengkaman liga

Posted: 15 Dec 2013 11:10 AM PST

Madrid: Barcelona menjarakkan diri daripada Real Madrid dengan lima mata di puncak La Liga selepas menang 2-1 ke atas Villarreal kelmarin, menyaksikan Neymar menjaringkan dua gol.

Madrid pula bangkit dari ketinggalan 2-0 dengan 10 pemain untuk mengikat pasukan bawahan Osasuna, 2-2 pada perlawanan yang menyaksikan Gareth Bale dibuang padang.


Barca yang berada di puncak prestasi selepas menang 6-1 ke atas Celtic dengan Neymar (gambar) melakukan hatrik, sekali lagi memerlukan penyerang Brazil itu untuk meraih kemenangan. Neymar menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti selepas Mario Gasper menahan hantaran lintang Jordi Alba menggunakan tangannya, pada minit ke-30.

Villarreal menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua dimulakan apabila Mario Musacchio menyudahkan sepakan penjuru Manu Trigueros.


Namun Neymar menyelamatkan Barca apabila meledakkan jaringan ketika permainan berbaki 22 minit untuk ditamatkan, menyudahkan hantaran Alexis Sanchez.


"Selain perlawanan Piala Super menentang Atletico Madrid yang kami menang trofi, perlawanan ini juga memberikan kepuasan tertinggi sejak saya mengambil alih," kata jurulatih Barca, Gerardo Martino.

"Kami berjaya mencapai tahap konsisten pada tiga perlawanan terakhir menentang Cartagena, Celtic dan hari ini.


"Kemenangan ini amat bermakna kerana kami menang ke atas pasukan berkualiti, bukan disebabkan Madrid keciciran mata saja.

Terdahulu, Madrid hampir menerima kekalahan ketiga liga musim ini apabila ketinggalan dua gol ketika menentang Osasuna menerusi dua jaringan Oriol Riera dalam tempoh 39 minit. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

130 syarikat disiasat isu tiket pasaran gelap

Posted: 15 Dec 2013 11:09 AM PST

Rio De Janeiro: Sekitar 130 syarikat disiasat atas dakwaan menjual tiket Piala Dunia ke pasaran gelap dan FIFA mendakwa bahawa harga jualan tiket itu juga dijual pada nilai 300 peratus lebih tinggi.

Match Services AG, wakil jualan komersil yang diiktiraf FIFA mengesahkan laporan yang dibuat media Brazil, iaitu sebanyak 130 syarikat dan operator jualan, kini disiasat kerana membuat tawaran yang tidak sah.


Ada beberapa syarikat sudah didakwa di negara mereka sendiri.

Match Services AG menyatakan yang pihaknya menyedari beberapa syarikat membuat tawaran pakej di pasaran gelap selepas mendapati harganya terlalu tinggi.


Akhbar harian Estado de Sao Paulo melaporkan, penasihat undang-undang Imran Patel sebagai berkata, "kami melihat pasaran gelap yang amat besar dengan harga yang mereka tetapkan jauh lebih tinggi melebihi 300 peratus harga asal." Tiket untuk perlawanan Piala Dunia tahun depan masih boleh ditempah di laman web rasmi FIFA.


Match Services menawarkan pakej VIP kepada banyak syarikat selepas undian Piala Dunia minggu lalu dan dipercayai membabitkan 100 firma.

Bagaimanapun, mereka berjaya mendakwa dan mempunyai bukti ke atas 30 kes yang sudah ditutup.


Menurut Estado de Sao Paulo, pihak berkuasa di Costa Rica mengenakan denda ke atas empat agensi di negara itu kerana mendakwa mereka boleh menyediakan pakej kepada peminat yang mahu mengikut pasukan tengah Amerika itu ke Brazil.

Sedozen operator di Mexico, diberi amaran supaya menghentikan tawaran manakala pihak yang melindungi hak asasi pengguna pula mengambil tindakan undang-undang ke atas enam firma terbabit.


Operator sah yang lain pula menjalankan aktiviti di beberapa negara lain termasuk Australia dan China, demikian menurut laporan Estado.


Patel berkata, FIFA mengetahui firma mana yang terbabit dan bersedia mengambil tindakan undang-undang di Brazil, jika perlu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/16

No comments:

Post a Comment