Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ibu terkutuk

Posted: 07 Dec 2013 09:54 AM PST

Shanghai: Penghuni sebuah flat di Shanghai cemas apabila seorang wanita mengancam mencampakkan anaknya dari tingkap tingkat 12 bangunan berkenaan, lapor media semalam.

Sebelum itu, kata saksi, wanita terbabit menangis dan meraung-raung mengugut mahu terjun selepas mencampakkan anaknya. "Jangan cuba halang! Aku serius! Aku mahu bunuh diri dan juga membunuh anakku!" katanya menjerit ketika memberi amaran kepada penghuni flat berkenaan.


Di bawah, sekumpulan anggota polis, bomba dan petugas perubatan bersedia menghulurkan bantuan jika kejadian tidak diingini berlaku.

Jurucakap polis berkata, seorang pakar psikiatri terpaksa dipanggil untuk memujuk wanita terbabit, manakala anggota bomba mencari jalan untuk masuk rumah berkenaan.


Akhirnya penyelamat berjaya apabila mereka mendapat bantuan daripada jiran wanita terbabit. Mereka kemudian menariknya masuk ketika dia sedang bercakap dengan pakar psikiatri dari tingkap rumah sebelah.


Wanita berkenaan kemudian dibawa ke hospital psikiatri manakala anaknya diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat. - Agensi

Foto

RENTETAN imej menunjukkan seorang wanita yang mengancam untuk mencampakkan bayinya dari tingkap tingkat 12 bangunan flat kediamannya di Shanghai, China, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Anak lemas gara-gara ibu mabuk arak

Posted: 07 Dec 2013 09:49 AM PST

London: Seorang kanak-kanak melemaskan seorang daripada adik kembarnya dalam tab mandi dan hampir menyebabkan seorang lagi terbunuh ketika ibu mereka tertidur kerana terlalu mabuk arak.

Media melaporkan kanak-kanak berusia tiga tahun itu mahu membersihkan adiknya ketika ibu mereka tidak sedarkan diri akibat terlalu mabuk meminum empat tin bir.


Budak terbabit kemudian memasukkan pasangan kembar itu ke tab mandi yang berisi air dingin sedalam kira-kira 26 sentimeter.

Keadaan itu menyebabkan seorang daripada mereka meninggal dunia manakala seorang lagi mengalami kecederaan kekal pada otak. Dia kemudian meninggal dunia juga beberapa hari kemudian.


Mahkamah agung Liverpool diberitahu ketika kejadian ibu dan kanak-kanak terbabit berada di rumah ibunya untuk mengelak daripada menjadi mangsa deraan suami. Disebabkan rumah itu kecil pasangan anak beranak itu terpaksa berkongsi sebuah bilik.


Dalam keterangannya di mahkamah, wanita terbabit mengaku cuai.

Hakim kemudian menjatuhi hukuman penjara setahun tetapi pelaksanaannya ditangguhkan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Esok detik penentuan

Posted: 07 Dec 2013 09:46 AM PST

Bangkok: Pemimpin gerakan antikerajaan Suthep Thaugsuban mengumumkan esok sebagai hari penentuan kepada "menang atau kalah" kepada usaha mereka menyingkirkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Berucap di kompleks kerajaan yang menjadi lokasi utama demonstrasi, Suthep berkata beliau tidak akan memanjangkan kempen itu sebaliknya menjadikan esok sebagai percubaan terakhir mengubah kerajaan Thailand.


"Sudah cukup lama kita berjuang. Saya tidak tahan melihat anda semua menderita.

"Esok hari penentu. Jika jutaan rakyat keluar ke jalanan, maka menanglah kita.


"Jika tidak, saya akan menyerah diri kepada polis berjalan ke penjara kerana tuduhan melakukan pemberontakan," katanya.


Suthep berkata, beliau sendiri akan mengetuai perarakan ke Rumah Kerajaan itu.

"Inilah perang terakhir - sama ada kita menang atau mati," katanya.


Suthep kemudian menyeru rakyat Thai dari setiap pelosok negara itu supaya turun ke jalanan esok untuk 'mengembalikan kedaulatan rakyat' daripada kerajaan serta parlimen yang didakwanya tidak sah.

"Waktu penentu ialah jam 9.39 pagi (10.30 pagi waktu Malaysia). "Warga Bangkok semua, tinggalkan rumah dan berarak di setiap jalan di Bangkok menuju satu destinasi - Rumah Kerajaan - dan kita tidak akan kembali ke sini (kompleks kerajaan).


"Bagi mereka di wilayah lain, tujulah ke dewan wilayah masing-masing. Kita akan mengepung bangunan-bangunan ini.


"Kita tidak akan benarkan kerajaan ini bekerja lagi kerana mereka tidak lagi sah," katanya. Beliau turut menasihatkan mereka yang tidak mahu menyertai protes supaya tidak keluar rumah kerana menjangkakan lalu lintas Bangkok sangat sesak dipenuhi penunjuk perasaan.


Suthep berkata, beliau tidak mahu sesiapa maut atau cedera terutama golongan warga emas yang turut menyertai perarakan.


"Sejujurnya, tidak kira sekuat mana pun semangat kita, pasti ada yang maut atau cedera jika bilangan kita terlalu sikit," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Potong telinga bos kerana dihalang bercuti

Posted: 07 Dec 2013 09:45 AM PST

New Delhi: Seorang pekerja rel memotong telinga bosnya gara-gara berang apabila tidak dibenarkan bercuti, semalam.

Pembantu Jurutera Chamundeshwari Electricity Supply Corporation, C Swamy berkata, BN Venkatesh naik angin dan menyerang ketuanya selepas diminta menangguhkan cutinya sehari.


Katanya, cuti Venkatesh terpaksa ditangguhkan sehari kerana syarikat berkenaan menghadapi masalah kekurangan pekerja.

"Venkatesh mengeluarkan sebilah pisau dari kocek seluarnya sebelum menyerang dan memotong secebis telinga Swamy.


"Dia juga menendang mangsa di dada serta perut," katanya.


Akibat serangan nekad itu Swamy terpaksa mendapat rawatan di unit rawatan rapi sebuah hospital tempatan.

Ventakesh bagaimanapun menyerah diri tidak lama selepas kejadian dengan mendakwa Swamy mempersendakan kastanya ketika dia meminta cuti. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Mandela tinggalkan sengketa

Posted: 07 Dec 2013 09:45 AM PST

Cape Town: Kematian Nelson Mandela mungkin menandakan berakhirnya hayat tokoh pejuang antiaparteid itu tetapi tetap gagal memadamkan persengketaan warisnya.

Sejak Mandela nazak lagi sebahagian anggota keluarganya sudah berantakan kerana beberapa isu, termasuk mengenai harta serta tempat bekas Presiden Afrika Selatan itu wajar dikebumikan. Cucu kesayangan Mandela, Mandla disiasat polis awal tahun ini kerana disyaki menggali semula mayat tiga anak pemimpin itu dari kubur untuk dipindahkan ke tempat lain. Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 2011. Seramai 16 anggota keluarga Mandela berjaya mendapat perintah mahkamah memaksa Mandla - yang juga ketua rasmi puak Mandela - mengembalikan mayat berkenaan.


Saudara-mara Mandela percaya mayat tiga anaknya itu patut digali semula dan dikebumikan kembali bersama bapa mereka.

Rakan keluarga Mandela berkata, masalah bermula apabila Mandla secara rahsia mengalihkan tiga anak Madiba (gelaran hormat kepada Mandela) tanpa meminta pandangan orang lain.


"Sudah tentu ia menimbulkan kemarahan kerana Mandela sebelum ini jelas menyatakan mahu disemadikan bersebelahan anaknya di Qunu (lokasi kubur asal anaknya).


"Kini golongan tua keluarga Mandela mahu mayat anak bekas presiden itu digali semula untuk dikebumikan bersama bapa mereka," katanya. Setakat ini belum ada sebarang persetujuan dicapai. Selain itu, dua anak perempuan Mandela, Makaziwe dan Zenani juga mempunyai kes terhadap dua sahabat baik Mandela.

Mereka dipercayai menyaman peguam bela Mandela, George Bizos, 84, dan bekas teman sepenjaranya di Pulau Robben, Tokyo Sexwale, 60.


Difahamkan, Mandela meletakkan sejumlah wang dalam dana amanah kerana bimbang dua anaknya itu menganggap mereka berhak mendapat duit berkenaan.

Makaziwe dan Zenani mendakwa Bizos serta Sexwale mencuri duit itu yang didakwa untuk mereka.


Makaziwe pula dituduh mahu membahagikan wang berkenaan untuk keluarganya.


Sementara itu, Zenani beberapa kali cuba mengaut keuntungan dengan memasuki pelbagai perniagaan menggunakan nama Mandela.


Contohnya, rancangan realiti Being Mandela membintangi dua anak dara Zenani yang dianggap ramai sebagai memalukan imej Mandela.


Pasangan itu juga mempunyai rangkaian fesyen Long Walk To Freedom (LWTF) menggunakan imej Mandela pada kemeja T, selain wain berjenama House of Mandela.


Sementara itu, Ketua Biskop Afrika Selatan Desmond Tutu merayu masalah itu diselesaikan kerana mencemar nama baik Mandela.


"Tolonglah jangan hanya fikirkan diri kita. Perbuatan anda umpama meludah ke muka Mandela," katanya, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Pengantin baru 'lapar darah'

Posted: 07 Dec 2013 09:44 AM PST

Sunbury (Pennsylvania): Sepasang suami isteri yang baru berkahwin tiga minggu mempunyai cara tersendiri tetapi kejam meraikan detik itu apabila mereka memperdaya seorang lelaki Pennsylvania untuk dibunuh.

Polis semalam berkata suspek Elytte Barbour, 22, memberitahu polis bahawa dia dan isterinya, Miranda Barbour, 18, memang merancang membunuh seseorang untuk mendapatkan keseronokan tetapi rancangan mereka tidak pernah berhasil.


Namun akhirnya keinginan Barbour dan Miranda tercapai bulan lalu apabila Troy LaFerrara menjawab iklan mereka yang kononnya menawarkan khidmat sosial berbayar. Mereka kemudian mengatur pertemuan dengan LaFerrara di sebuah pusat beli-belah pada 11 November lalu.

Pada hari berkenaan Barbour bersembunyi di tempat duduk belakang kenderaan SUV ketika isterinya menjemput LaFerrara.


Apabila tiba masa sesuai Barbour kemudian menjerut leher LaFerrara menggunakan wayar dari belakang, sementara Miranda menikam mangsa. Polis berkata LaFerrara, 42, ditikam sebanyak 20 kali.


Ketika disoal siasat, Miranda menafikan mengenali mangsa.

Barbour dan Miranda ditangkap malam kelmarin dan kini berdepan tuduhan membunuh.


Mayat LaFerrara ditemui pada 12 November lalu di lorong dekat Sunbury, pekan kecil di Pennsylvania. Pasangan terbabit baru berpindah ke pekan berhampiran Selinsgrove dari North Carolina.

Barbour berkata, isterinya sering menawarkan khidmat sebagai teman sosial kepada lelaki melalui laman sesawang lucah. Barbour berkata, Miranda memperoleh AS$50 (RM161) hingga $850 (RM2,747) melalui khidmatnya sebagai teman sosial.


Namun Barbour menafikan Miranda seorang pelacur kerana khidmat diberikan tidak membabitkan aktiviti seksual. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

Korea Utara bebaskan pesara tentera AS

Posted: 07 Dec 2013 09:38 AM PST

Beijing: Korea Utara membebaskan pesara tentera AS, Merill E Newman 85, semalam selepas menahannya lebih sebulan kerana dikatakan melakukan jenayah ketika Perang Korea enam dekad lalu.

Newman tiba di China dari Korea Utara dan dijangka akan terbang pulang ke tanah airnya dalam tempoh terdekat.


Agensi berita rasmi Korea Utara KCNA sebelum ini berkata Newman dihantar pulang berdasarkan faktot kemanusiaan selepas dia mengakui kesalahannya pada masa lalu dan turut meminta maaf kepada Pyongyang.

Newman memberitahu wartawan Jepun di Lapangan Terbang Beijing yang dia sangat gembira untuk pulang.


"Saya menghargai toleransi kerajaan Korea Utara kerana membenarkan saya pulang. Saya dalam keadaan baik dan sihat serta tidak sabar untuk bertemu isteri saya," katanya. Newman kelihatan sihat dalam foto yang diambil di lapangan terbang. Dia kemudian meninggalkan terminal bersama dua lelaki yang dipercayai diplomat AS.


Newman mengunjungi Korea Utara sebagai pelancong apabila ditahan di atas pesawat Air Koryo beberapa minit sebelum berlepas ke Beijing pada 26 Oktober lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/08

No comments:

Post a Comment