Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lelaki 'gajah' dibedah lagi

Posted: 27 Dec 2013 08:32 AM PST

Beijing: Seorang lelaki China yang menderita penyakit neurofibromatosis menjalani pembedahan membuang 1.5 kilogram ketumbuhan di mukanya beberapa hari lalu.

Huang Chuncai, 37, dari Hunan yang digelar sebagai "Lelaki Gajah China" menjalani pembedahan itu di sebuah hospital di Guangzhou bagi membuang ketumbuhan di pipi kirinya.

Keadaan Huang direkod sebagai kes neurofibromatosis paling buruk pernah dicatatkan di dunia.

Neurofibromatosis ialah keadaan genetik yang menyebabkan kebengkakan atau ketulan.

Foto

HUANG bersedia untuk menjalani pembedahan di sebuah hospital di Guangzhou beberapa hari lalu.


Pembedahan yang dijalani Huang berjaya dan dia kini perlu menghadapi dua lagi pembedahan agar keadaan penyakitnya itu terkawal.


Walaupun kebanyakan pesakit neurofibromatosis mewarisinya daripada ibu atau bapa mereka, tetapi sehingga 50 peratus memperolehnya secara rawak akibat mutasi gen sebelum mereka dilahirkan.

Kebengkakan dan ketulan digelar neurofibromas yang disebabkan oleh pertumbuhan sel itu, bagaimanapun bukan wabak kanser dan ia tidak berjangkit.

Ketumbuhan seberat 15 kilogram pada tubuh Huang lima tahun lalu menyebabkan tulang belakangnya mengalami kecacatan, menjejaskan pembesarannya dan turut mengakibatkan dia berasa sakit berpanjangan.

Ketumbuhan itu mula disedarinya ketika dia berusia empat tahun dan apabila dia semakin dewasa, ia menjadi lebih besar.

Huang berhenti sekolah ketika berusia 10 tahun kerana rakan sekelas mentertawakannya, selain sering diasingkan berikutan keadaannya yang aneh.

Pada usia 25 tahun, semua giginya tanggal dan Huang berdepan kesukaran untuk bercakap dan makan.

Beberapa tahun lalu, sebuah syarikat sarkas mendatangi bapa Huang untuk membelinya kerana mahu dia tampil dalam "persembahan raksasa" tetapi dibantah ibu bapanya.

Huang menjalani pembedahan pada 2007 dan 2008 untuk membuang ketumbuhan seberat 15 kilogram di tubuhnya. Pembedahan itu sangat berisiko kerana menyebabkan berlaku banyak pendarahan.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Tak sempat malam pertama

Posted: 27 Dec 2013 08:26 AM PST

Gayo Lues (Aceh): Seorang lelaki yang tidak sampai 24 jam bernikah tidak sempat menikmati malam pertama apabila dia ditangkap kerana membunuh seorang tetamu majlis perkahwinannya.

Baharudin menikam tetamu terbabit, Alim, menyebabkan mangsa mati selepas mereka bergaduh kerana mancis dalam kejadian di Kampung Pining Benteng.

Jurucakap polis tempatan Inspektor Asrijul, Baharudin sebelum ini pernah mengalami sakit jiwa.

"Dia pernah gila. Pernah dikurung dan menjalani rawatan di hospital Banda Aceh. Selepas dipercayai pulih, dia dinikahkan oleh ibu bapanya," kata Asrijul.


Kejadian berlaku ketika sekumpulan remaja berkumpul di rumah ibu bapa Baharudin, termasuk Alim.


"Baharudin mendekati Alim dan bertanyakan mancis. Alim menjawab tidak tahu. Suspek merasakan dirinya dipermainkan lalu mengambil pisau dan menikam rakan sekampungnya itu," kata Asrijul.

Menurutnya, Alim mati dalam perjalanan ke hospital sementara Baharudin ditahan sebelum dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan mental. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Baik semula lepas bina tandas

Posted: 27 Dec 2013 08:25 AM PST

New Delhi: Seorang wanita bersetuju untuk tidak bercerai dengan suaminya selepas lelaki itu berjanji di mahkamah untuk membina tandas yang sempurna di kediaman mereka.

Savita Malviya, 27, bersedia pulang ke pangkuan suaminya di Kampung Mundlaana, di India bersama dua anak mereka.

Dia dan suaminya, Devkaran, 30, sudah berkahwin selama tujuh tahun tetapi mahkamah diberitahu yang wanita itu meninggalkan rumah untuk pulang ke kediaman ibu bapanya kerana tidak sanggup lagi hidup menanggung malu.

Savita menyalahkan ketiadaan kemudahan tandas di rumahnya menyebabkan perkahwinan mereka dilanda keretakan.

Mahkamah diberitahu yang keluarga itu terpaksa membuang air dalam belukar kerana tidak memiliki tandas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Pengawal mati dibelit ular

Posted: 27 Dec 2013 08:25 AM PST

Bali: Seorang pengawal keselamatan mati dibelit seekor ular sawa di depan orang ramai di luar sebuah hotel mewah di Bali, Indonesia, semalam.

Ambar Arianto Mulyo, 59, yang bekerja di sebuah restoran berhampiran menawar diri untuk menangkap ular sepanjang lima meter itu.

Ular berkenaan sebelum itu dilihat beberapa kali di hotel di kawasan Sanur.

Ambar berjaya menangkap kepala dan ekor ular itu sebelum meletakkannya pada bahunya, kata Agung Bawa, penolong pengurus keselamatan hotel terbabit yang ditutup kerana kerja baik pulih sehingga 2015.

Tetapi ular itu membelit badan mangsa dan menjerutnya hingga mati.

Orang ramai yang melihat kejadian itu tidak dapat membantu.

Polis yang tiba juga gagal menyelamatkan Ambar.

Ular itu kemudian menyelinap ke kawasan semak berhampiran.

Sehingga malam tadi, polis masih memburunya.

Kejadian berlaku awal awal pagi semalam.


Ular berkenaan dikatakan muncul untuk menyeberang jalan raya berhampiran hotel Hyatt Bali.

"Ia berlaku begitu pantas.


Kami sedih kerana tidak dapat membantu Ambar," kata Bawa.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Tidak tolak rampas kuasa

Posted: 27 Dec 2013 08:24 AM PST

Bangkok: Panglima tentera Thai semalam tidak menolak kemungkinan akan melakukan rampasan kuasa bagi mengakhiri kemelut politik yang melanda negara itu.

Menjawab soalan wartawan mengenai sama ada tentera akan campur tangan, Jeneral Prayuht Chan-ocha berkata: "Pintu tidak dibuka mahupun ditutup."

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut.

Prayuth berkata demikian pada sidang akhbar untuk menyatakan pendirian tentera Thai berhubung pertelingkahan politik yang melanda negara itu, paling buruk sejak 2010.


Beliau menggesa kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang supaya bertenang.


Thailand berdepan dengan ketegangan politik sejak dua bulan lalu dengan tunjuk perasaan jalanan ganas sering berlaku, membabitkan kerajaan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dengan penunjuk perasaan antikerajaan yang berusaha menggulingkannya.

Tentera sebelum ini berjaya melakukan 11 rampasan kuasa dalam sejarah negara itu menyebabkan setiap tindak-tanduknya kini menjadi perhatian.

Katanya, pihaknya menunjukkan 'lampu merah' kepada kedua-dua pihak supaya bertenang.

Beliau turut menggesa supaya keganasan jalanan dihentikan.

"Anda tanya, 'siapa menang? Siapa menang?'. Tidak ada siapa," katanya.

Sementara itu, polis belum mengambil langkah untuk menangkap ketua tunjuk perasaan Suthep Thaugsuban yang mendesak supaya negara itu dipimpin oleh majlis rakyat yang dilantik sehingga pembaharuan dapat dilaksanakan.

Suthep juga berikrar untuk menggagalkan pilihan raya yang dijadual 2 Februari dengan mengadakan kekacauan.

Pihak berkuasa menangani ancaman itu dengan teliti kerana sebarang tindakan kemungkinan akan mencetuskan keganasan dan kekacauan lebih buruk.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Pheu Thai lebih rela tentera koyak perlembagaan

Posted: 27 Dec 2013 08:24 AM PST

Bangkok: Timbalan Perdana Menteri kerajaan sementara Surapong Tovichakchaikul semalam mengaku sebahagian penyokong Parti Pheu Thai lebih suka tentera merampas kuasa daripada pembentukan rejim yang mengikut telunjuk penunjuk perasaan antikerajaan.

"Kami lebih suka melihat tentera mengoyakkan perlembagaan daripada melihat negara ini ditadbir oleh orang yang kita tidak tahu muncul dari mana," kata Surapong ketika diwawancara mengenai sentimen penyokong parti yang diketuai Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Beliau merujuk kepada pemimpin tunjuk perasaan Suthep Thaugsuban dan Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat serta kempen mereka untuk menggulingkan Yingluck dan menghalang pilihan raya 2 Februari depan.

Pendedahan Surapong menggambarkan pandangan anggota Pheu Thai bahawa mereka tidak akan tunduk kepada tuntutan PDRC


Beliau juga berkata, Pheu Thai menyokong pilihan raya diadakan pada 2 Februari depan tetapi kini melihat Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai musuh selepas ia mencadangkan supaya pilihan raya itu ditunda. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Bas terjun gaung

Posted: 27 Dec 2013 08:23 AM PST

Bangkok: Sebuah bas yang membawa penumpang untuk bercuti sempena Tahun Baru terhumban ke dalam gaung dari sebuah jambatan antara yang tertinggi di Thailand, menyebabkan sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh.

Kejadian malam kelmarin di daerah Lom Sak, wilayah Phetchabun di timur laut negara itu berlaku ketika bas itu dalam perjalanan ke Chiang Rai.

"Kami syak pemandu bas itu tertidur," kata ketua polis Phetchabun, Mejar Jeneral Sukit Samana.

Menurutnya 28 mayat ditemui di dalam gaung dan seorang penumpang mati di hospital.


Beberapa yang lain dalam keadaan kritikal,


"Saksi berkata bas itu terlalu laju sebelum ia terhumban. Bas yang membawa 40 penumpang itu musnah sama sekali," kata Sukit.

Kemalangan itu berlaku ketika berjuta-juta penduduk Thai dijangka bercuti sempena sambutan Tahun Baru selama lima hari bermula hari ini.

Menteri Pengangkutan Chadchart Sitthipunt berkata, bas itu merempuh penghadang keselamatan di Jambatan Phamuang sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 50 hingga 70 meter.

Standard keselamatan jalan raya di Thailand agak buruk menyebabkan kemalangan membawa maut sering berlaku.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Israel bina 1,400 lagi penempatan Yahudi

Posted: 27 Dec 2013 08:22 AM PST

Baitulmaqdis: Israel merancang membina 1,400 lagi kediaman di wilayah Tebing Barat dan akan mengumumkan projek itu minggu depan selepas membebaskan sekumpulan banduan Palestin.

Palestin berkata, sebarang peluasan penempatan Israel di atas tanah mereka akan menggagalkan rundingan damai diusul Amerika Syarikat yang disambung semula Julai lalu selepas tiga tahun.

Israel dijangka membebaskan kira-kira puluhan banduan Palestin, kumpulan ketiga yang dibebaskan sejak rundingan dimulakan, pada pertengahan minggu depan selain turut mengumumkan penempatan baru yang tidak didedahkan keluasannya setakat ini.

Pihak berkuasa Israel berkata, kira-kira 600 kediaman akan diumumkan di Ramat Shlomo, penempatan tambahan masyarakat Ortodoks Yahudi di kawasan Tebing Barat, selain Baitulmaqdis dalam langkah yang tidak diiktiraf pihak antarabangsa.


Kira-kira 800 kediaman akan dibina di beberapa penempatan lain di Tebing Barat yang turut dirancang Israel menjelang rundingan damai pada masa depan walaupun senarai itu belum muktamad.


Penduduk Palestin melihat penempatan itu sebagai halangan untuk membentuk negara berdaulat di wilayah Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis Timur yang ditakluki Israel dalam perang Enam Hari pada 1967.

Kebanyakan negara menganggap penempatan Yahudi di kawasan itu tidak sah.

Israel bersetuju untuk membebaskan 104 banduan Palestin yang didapati bersalah membunuh penduduk Yahudi sekurang-kurangnya 20 tahun lalu, sebagai sebahagian usaha yang diusulkan Washington untuk menyambung semula rundingan damai.

Rundingan sebelum ini gagal pada 2010 ekoran pertelingkahan mengenai pembinaan penempatan dan sejak ia disambung semula tahun ini, rundingan damai hanya menunjukkan sedikit perkembangan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Pengantin tembak penyanyi

Posted: 27 Dec 2013 08:21 AM PST

Amman: Seorang penyanyi mati selepas ditembak secara tidak sengaja oleh pengantin lelaki ketika menyanyi di atas pentas.

Akhbar tempatan melaporkan, penyanyi berkenaan baru saja menaiki pentas dan bermula menyanyi untuk pasangan pengantin berkenaan apabila pengantin lelaki bangun dan melepaskan tembakan ke udara.

Perbuatan itu adalah perkara biasa yang di lakukan penduduk di utara Jordan ketika majlis perkahwinan.

Sebutir peluru terkena penyanyi itu menyebabkan dia tersembam ke lantai. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

Saddam tak pernah kesal

Posted: 27 Dec 2013 08:20 AM PST

Iraq: Mowaffak al-Rubaie duduk di pejabatnya dengan patung Saddam Hussein dibelakang, tali yang digunakan untuk menggantungnya melilit leher patung itu.

Bekas penasihat keselamatan kebangsaan Iraq itu yang menyaksikan bekas diktator berkenaan dihukum gantung pada 2006, berkata, Saddam tabah hingga detik akhir kehidupannya dan tidak pernah kesal.

"Penjenayah? Benar. Pembunuh? Benar. Kejam? Benar. Tetapi dia tabah hingga ke akhir hayat," kata Mowaffak.

"Saya menyambutnya di pintu. Tiada siapa masuk ke situ. Tiada warga asing dan tiada pegawai Amerika," katanya. kepada media di pejabatnya di Kadhimiyah, utara Baghdad berdekatan penjara tempat hukuman itu dijalankan tujuh tahun lalu.

Foto

MOWAFFAK bersama patung Saddam di pejabatnya.


"Ketika saya membawanya masuk, tangannya yang bergari memegang al-Quran.


"Saddam yang memakai jaket dan kemeja putih kelihatan tenang dan bersahaja.

"Ada yang berkata dia pengsan. Ada yang kata dia diberi dadah. Tetapi sebenarnya tidak.

"Tiada tanda takut pada wajahnya. Tiada tanda kesal. Tiada doa mohon keampunan.

"Orang yang akan mati biasanya akan berkata, Tuhan, ampunkan dosaku. Tetapi Saddam tidak berkata demikian," katanya.

"Saya membawanya ke kamar hakim dan senarai tuduhan dibacakan kepadanya.

"Saddam berkata: 'Pergi mati dengan Amerika! Pergi mati dengan Israel! Hidup Palestin!"

Mowaffak kemudian membawa Saddam ke dalam bilik tempat hukuman dijalankan.

"Dia berhenti seketika, melihat bilik itu sebelum memandang saya.

Apabila tiba waktu hukuman, kakinya masih digari. Mowaffak dan beberapa kakitangan lain menariknya menaiki tangga.

Katanya, dia menarik tuil menggantung Saddam, tetapi tak berfungsi.

Kemudian seorang lagi kakitangan menariknya untuk kali kedua dan membunuhnya.

Sebelum digantung, Saddam sempat mengucap syahadah.

"Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad...," tetapi dia tidak sempat menghabiskannya.

"Dia melakukan begitu banyak jenayah dan dia patut digantung beribu kali," kata Mowaffak

Menurutnya, hukuman ke atas Saddam dilakukan selepas sidang video antara Nuri al-Maliki dengan Presiden AS ketika itu, George Bush, yang bertanya Perdana Menteri Iraq itu: "Apa yang akan kamu lakukan dengan penjenayah itu.

Nuri menjawab: "Kami akan gantung dia."

Bush menunjukkan tanda bagus, tanda bersetuju.

Saddam yang memerintah Iraq melebihi dua dekad yang menyaksikan penindasan kejam, perang dan sekatan antarabangsa dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah terhadap pembunuhan 148 penduduk Syiah di Dujail pada 1982. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/28

No comments:

Post a Comment