Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Hias studio guna 16 tan wang kertas

Posted: 26 Dec 2013 09:34 AM PST

Nanjing: Seorang jutawan China menghiasi ruangan studio di sebuah stesen televisyen di negara itu dengan timbunan wang miliknya.

Chen Guangbiao membawa wang kertas 100 yuan seberat 16 tan yang diisi dalam tong untuk menghias studio berkenaan.

Dia berbuat demikian untuk mempromosikan lonjakan ekonomi yang dijana pentadbir Nanjing, ibu negeri Jiangsu kelmarin.

Sebagaimana dipetik daripada Chinadaily, wang berkenaan dibawa ke stesen televisyen terbabit dengan trak besar dan memerlukan 20 orang untuk menghiasi studio berkenaan selama lima jam.

Foto

CHEN bersama hiasan not kertas 100 yuan di sebuah studio stesen televisyen di Nanjing, China.


Wang not 100 yuan dilihat tersusun dengan rapi di studio itu. Chen berkata, ini kali keenam dia menggunakan wang sebagai latar belakang untuk tujuan promosi amal sejak 2010.


Chen juga menegaskan dia bersikap terbuka jika pihak berkuasa ingin melakukan pemeriksaan mengenai aktiviti perniagaannya.

Berdasarkan laporan media China, Hurun, kekayaan Chen mencecah AS$576 juta (RM1.8 bilion) pada 2010.

Selain kaya raya, Chen turut dikenali sebagai usahawan pemurah. Dia pernah membahagi wang di jalan raya dengan mengedarkan sampul surat berwarna merah yang berisi wang tunai di dalamnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

Guna jarum untuk bunuh bayi sendiri

Posted: 26 Dec 2013 09:29 AM PST

Beijing: Mahkamah di timur laut China menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang lelaki kerana cuba membunuh anak perempuannya.

Mahkamah di Heilongjiang mendapati Yin Zhihe bersalah atas tuduhan cuba membunuh anak perempuannya berusia dua bulan dengan mencucuk jarum jahit ke tubuh bayi itu, lapor agensi berita Xinhua.

Yin dipercayai cuba membunuh bayi itu kerana mengesyaki mangsa bukan anaknya.
Yin mencucuk jarum ke sangkar rusuk bayi itu pada 4 Ogos lalu.

Keesokan harinya, tangisan bayi itu mendorong ibunya membawa dia ke hospital, di mana jarum berkenaan ditemui dan dibuang melalui pembedahan.

Bagaimanapun, Yin mencucuk tiga lagi jarum di dada, pusat dan perut bayi itu. Kesemua jarum berkenaan dicabut menerusi pembedahan tetapi menyebabkan kegagalan pernafasan dan kecederaan pada organ bayi malang itu.

Mahkamah mengurangkan hukuman terhadap Yin kerana dia menyerah diri kepada polis, manakala bayinya terselamat.

Sementara itu, ujian DNA menunjukkan Yin ialah bapa kandung kepada bayi perempuan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

Rayu pencuri pulangkan abu mayat bapa

Posted: 26 Dec 2013 09:28 AM PST

London: Sepasang suami isteri berputih mata pada hari Krismas selepas beberapa pencuri melarikan kereta mereka bersama-sama abu mayat milik bapa si isteri.

Michael Savage dan isterinya, Mel berkunjung ke kediaman rakan mereka di Loughton, Essex dari Bridgford Barat di Nottinghamshire pada Isnin.

Berikutan cuaca buruk, mereka berlari masuk ke dalam rumah rakan mereka dan meninggalkan banyak hadiah Krismas dan bekas berisi abu mayat itu di dalam BMW milik mereka, kata polis.

Savage, 29, berkata, abu mayat bapa mentuanya itu sentiasa dibawa bersama ketika menghadiri majlis keraian.


"Kami hanya mahu singgah sebentar kerana angin bertiup kencang ketika itu. Kami tahu kami tidak sepatutnya meninggalkan hadiah dan abu mayat itu di dalam kereta.


"Kami hanya mahu menghirup minuman panas dan berehat sebentar selepas keletihan berada di jalan raya melebihi tiga jam," katanya.

Menurutnya, abu mayat bapa mentuanya disimpan di kediaman mereka di Nottinghamshire, tetapi dibawa ke mana-mana saja terutama dalam perjumpaan keluarga dan majlis perayaan.

Dia merayu pencuri terbabit memulangkan bekas berisi abu mayat itu ke balai polis berhampiran.

Polis Essex berkata, kereta berkenaan hilang antara jam 11 malam pada Isnin hingga 10 pagi pada Selasa di luar kediaman di Lower Park.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

Pilihan raya tetap 2 Februari

Posted: 26 Dec 2013 09:28 AM PST

Bangkok: Kerajaan Thai semalam menolak gesaan Suruhanjaya Pilihan Raya supaya menangguhkan pilihan raya yang dijadual 2 Februari depan.

Pilihan raya itu akan diadakan seperti yang dirancang walaupun pertempuran berlaku antara polis dan penunjuk perasaan antikerajaan yang berazam untuk menghalangnya, semalam.

"Pilihan raya 2 Februari tetap akan diadakan. Tidak ada undang-undang yang membenarkan kerajaan menangguhkan pilihan raya," kata Timbalan Perdana Menteri Pongthep Thepkanchana dalam ucapannya menerusi televisyen.

Beliau membuat pengumuman itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mendesak kerajaan menangguhkannya sehingga ada parti politik mencapai kata sepakat.

Foto

PENUNJUK perasaan antikerajaan menggunakan kepingan besi untuk berlindung selepas polis melepaskan tembakan peluru getah ketika mereka cuba merempuh pusat pendaftaran pilihan raya di sebuah stadium di Bangkok, semalam.


Penunjuk perasaan antikerajaan berkata, mereka tidak akan membenarkan pilihan raya itu diadakan sehingga Perdana Menteri Yingluck Shinawatra meletak jawatan.


Berpuluh-puluh orang cedera dalam pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan pembangkang semalam, selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah apabila penunjuk perasaan cuba merempuh sebuah stadium sukan di Bangkok ketika proses pendaftaran untuk pilihan raya 2 Februari berlangsung.

Beberapa jam kemudian suruhanjaya itu mengadakan sidang akhbar, menggesa pilihan raya ditangguhkan ke tarikh yang tidak ditetapkan.

"Kita tidak akan dapat menganjurkan pilihan raya secara bebas dan adil dengan keadaan keselamatan seperti ini," kata anggota suruhanjaya, Prawit Rattanapien.

Parti pembangkang utama, Parti Demokrat yang tidak pernah memenangi undi majoriti dalam pilihan raya sepanjang dua dekad lalu berikrar untuk memulaukan pilihan raya Februari depan.

Tiga puluh tiga orang dimasukkan ke hospital selepas pertempuran semalam, termasuk seorang penunjuk perasaan yang parah selepas ditembak di kepala.
Polis berkata, tiga anggotanya juga cedera selepas ditembak di lengan.

Pertempuran antara polis dengan 500 penunjuk perasaan yang marah dengan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berlaku sehari selepas kerajaan melanjutkan undang-undang keselamatan khas selama dua bulan lagi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

Ikhwan bantah diisytihar pengganas

Posted: 26 Dec 2013 09:25 AM PST

Kaherah: Seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin menyelar tindakan kerajaan Mesir mengisytiharkan pergerakan itu kumpulan pengganas.

Sambil menyifatkan keputusan itu dibuat dengan tergesa-gesa.

Ibrahim Elsayed, anggota Parti Pembebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwan sebaliknya berikrar akan meningkatkan tunjuk perasaan di seluruh Mesir.

"Kami akan meneruskan bantahan jalanan walaupun undang-undang melarang kami berbuat demikian selepas diisytiharkan pertubuhan pengganas.

"Keputusan kerajaan tidak mempunyai nilai bagi kami dan ia hanya berharga sama dengan sekeping kertas yang mengandungi perisytiharan berkenaan.

"Pembunuhan, hukuman penjara dan perisytiharan terbaru itu tidak akan mengubah semangat kami," katanya.

Kerajaan sementara Mesir yang disokong tentera mengharamkan kumpulan berkenaan sehari selepas serangan terhadap ibu pejabat polis di Mansoura, utara Kaherah, yang meragut kira-kira 15 nyawa.

Ikhwan turut mengecam serangan berkenaan.

Perisytiharan mengharamkan kumpulan itu juga menggambarkan kemungkinan gerakan lebih besar dilancarkan untuk menghapuskan Ikhwan yang ditubuhkan 85 tahun lalu.

Seorang lagi anggota Ikhwan, Islam Tawfiq, berkata, kumpulan itu bercadang menimbang mencabar perisytiharan berkenaan di mahkamah tempatan atau luar negara.

"Sebuah kerajaan sementara yang hanya berkuatkuasa selama sembilan bulan tidak layak untuk mengharamkan Ikhwan yang sudah beroperasi hampir 90 tahun," kata Islam.

Langkah kerajaan sementara Mesir itu adalah satu lagi keputusan yang bertujuan melumpuhkan sumber kewangan Ikhwan dengan membekukan dana lebih 1,000 pertubuhan bukan kerajaan yang ada kaitan dengan Ikhwan dan meletakkan lebih 100 sekolah yang diuruskan Ikwan di bawah pengawasan kerajaan.

Ia secara langsung akan menjejaskan kekuatan Ikhwan di peringkat bawah, sumber kekuatan kumpulan itu.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

China kecam PM Jepun

Posted: 26 Dec 2013 09:25 AM PST

Beijing: China semalam memanggil duta Jepun dan menyampaikan "bantahan keras" lawatan Perdana Menteri Shinzo Abe ke Yasukuni, tempat persemadian tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua.

Kementerian Luar China berkata, lawatan itu sebagai memperingati "sejarah keganasan tentera Jepun".

Menteri Luar Wang Yi menyampaikan rasa kurang senang kerajaan China dan bantahan keras mengenainya, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Lawatan Abe, yang pertama dibuat Perdana Menteri Jepun yang memegang jawatan sejak 2006, meningkatkan ketegangan yang tercetus berikutan isu rebutan wilayah di kepulauan dekat Laut China Timur.


Kedutaan Jepun di Beijing berkata, pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri China Liu Yandong dan ahli Parlimen Jepun yang datang berkunjung juga dibatalkan.

Yasukuni dipercayai menjadi tempat persemadian 2.5 juta tentera Jepun pada zaman perang, kebanyakannya tentera berpangkat biasa tetapi turut membabitkan beberapa pegawai tinggi yang dihukum mati kerana jenayah perang selepas Perang Dunia Kedua.

"Kami dengan keras membantah dan mengutuk tindakan pemimpin Jepun itu," kata jurucakap Kementerian Luar China, Qin Gang dalam satu kenyataan sejurus selepas kunjungan Abe itu.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

Ulang tahun tragedi tsunami Banda Aceh

Posted: 26 Dec 2013 09:24 AM PST

Banda Aceh: Seorang imam yang memimpin bacaan tahlil sempena memperingati kejadian tsunami sembilan tahun lalu meninggal dunia sebelum majlis berakhir.

Menurut laporan, imam, Muhammad Yakub, 70, memimpin ratusan warga Aceh Singkil di Masjid Baitul Muhtadin sebelum dia jatuh dari tempat duduknya dan meninggal dunia dalam keadaan bersujud.

Seorang penduduk berkata, Yakub meninggal dunia ketika membaca doa selepas pembacaan surah Yasin.

"Tiba-tiba dia jatuh dalam posisi sujud," kata penduduk itu, Afdal, 41.


Beratus-ratus penduduk di seluruh Aceh mengadakan majlis tahlil bagi memperingati bencana itu.


Orang ramai yang hadir ke majlis itu bukan saja berasal dari Aceh tetapi juga dari beberapa daerah lain seluruh Sumatera.

Penduduk dari Medan, Sumatera Utara, Suherman berkata, dia datang ke Aceh semata-mata untuk memanjatkan doa untuk keluarganya yang terkorban dalam malapetaka pada 26 Disember 2004 itu.

"Hampir setiap tahun saya akan datang dan berdoa di sini walaupun tidak tahu di mana lokasi tempat keluarga saya dikebumikan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

Ribut ais ragut 25 nyawa

Posted: 26 Dec 2013 09:23 AM PST

Augusta (Maine): Petugas kecemasan berhempas pulas memulihkan bekalan tenaga elektrik kepada ratusan ribu pengguna yang berdepan kesejukan dan kegelapan ketika Krismas di beberapa bahagian timur laut Amerika Syarikat (AS) dan timur Kanada selepas ribut ais semalam.

Sekurang-kurangnya 25 dicatatkan berkait kematian dengan ribut itu, sesetengahnya akibat keracunan gas karbon monoksida ketika orang ramai berusaha untuk memanaskan kediaman mereka.

Di Kanada, lima orang dilaporkan maut akibat keracunan gas karbon monoksida.

Polis berkata, dua orang di Ontario mati selepas menggunakan penjana gas untuk memanaskan kediaman mereka yang terputus bekalan elektrik di timur laut Toronto.

Polis di Quebec berkata, keracunan karbon monoksida dipercayai menjadi punca tiga kematian di rumah rehat dekat wilayah Pantai Utara.


Sebelum itu, lima orang terbunuh di timur Kanada akibat nahas di lebih raya berikutan cuaca buruk.

Di AS, jumlah kematian di seluruh negara akibat ribut salji mencecah sekurang-kurangnya 15 orang, apabila polis Michigan berkata, seorang wanita berusia 73 tahun meninggal dunia pada malam Krismas kerana melanggar lampu isyarat yang tidak berfungsi akibat ribut salji.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

Israel berdegil

Posted: 26 Dec 2013 09:23 AM PST

Baitulmaqdis: Israel dijangka mengumumkan rancangan baru untuk membina penempatan Yahudi minggu depan meskipun ia akan membangkitkan kemarahan dan mengancam rundingan damai dengan Palestin.

Pengumuman itu akan dibuat sempena dengan pembebasan sekumpulan rakyat Palestin.

Seorang pegawai rejim berkata, pengumuman mungkin dibuat minggu depan, tetapi enggan menjelaskan mengenainya secara terperinci.

Pegawai Palestin Wasil Abu Yousif berkata, pengumuman yang dirancang itu membuktikan Israel tidak serius untuk mewujudkan keamanan.


"Semua orang dapat melihat dengan jelas bahawa rejim Israel berhasrat memusnahkan proses damai," kata Wasil.


Beliau tidak menyatakan sama ada pihak berkuasa Palestin akan menarik diri daripada rundingan damai.

Bagaimanapun, menurut Wasil, dasar Israel itu akan memaksa rakyat Palestin mencari lebih banyak alternatif untuk memaksa Israel bersetuju mewujudkan keamanan.

Pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis menjadi punca yang mencetuskan kepada ketegangan hingga menjejaskan usaha damai Asia Barat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

Yasser Arafat mati bukan kerana diracun

Posted: 26 Dec 2013 09:22 AM PST

Moscow: Pakar forensik Russia yang memeriksa mayat Yasser Arafat semalam merumuskan bekas pemimpin Palestin itu mati kerana penyakit biasa, bukan disebabkan keracunan.

"Kami sudah menamatkan kajian.

Dia mati kerana penyakit biasa, bukan kerana diracun," kata ketua Agensi Perubatan Biologi Persekutuan Russia, Vladimir Uiba.

Mayat Arafat digali semula tahun lalu dan kira-kira 60 sampel diambil dan dibahagikan antara penyiasat Switzerland, Russia serta pasukan penyiasat Perancis yang menjalankan siasatan atas permintaan balu Arafat, Suha.

Penyiasat Perancis juga menolak racun sebagai punca kematian pemimpin Palestin itu sementara penyiasat Switzerland mengesan paras bahan radioaktif polonium yang tinggi, menunjukkan pembabitan pihak ketiga dalam kematian Arafat pada 2004.

Rakyat Palestin selama ini mengesyaki bekas pemimpin mereka diracun dan sebahagiannya mendakwa Israel bertanggungjawab.

Suha memberitahu media, dia yakin sepenuhnya babahawa Arafat tidak mati kerana sebab biasa.

Uiba memberitahu wartawan, agensinya tidak menerima sebarang permohonan untuk mengulangi siasatannya.

"Kami sudah mengakhiri siasatan dan setiap orang bersependapat dengan kami.

"Tambahan pula, pakar forensik Swizterland juga menarik balik kenyataan mereka dan bersetuju dengan kami sementara Perancis mengesahkan hasil siasatan kami," kata Uiba.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/27

No comments:

Post a Comment