Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pengebom serang hospital

Posted: 06 Dec 2013 11:33 AM PST

Sanaa: Al-Qaeda mengaku bertanggungjawab atas serangan berani mati di sebuah kompleks pertahanan Yaman yang mengakibatkan 52 maut semalam.

Kumpulan itu berkata, bangunan berkenaan disasarkan kerana mempunyai pegawai tentera AS yang bertanggungjawab mengendalikan serangan dron terhadap pejuangnya.


Serangan dron terhadap militan al-Qaeda semakin dipertingkatkan tahun ini dengan menyasarkan anggota kumpulan itu di Yaman.

Bagaimanapun, tiada bukti kukuh menunjukkan ada tentera AS atau sesiapapun dalam bangunan itu yang memainkan peranan secara langsung dalam serangan dron.


Sebaliknya agensi berita rasmi Saba melaporkan, mangsa yang maut kebanyakannya ditemui di kawasan hospital kompleks berkenaan termasuk masing-masing dua doktor Jerman dan Vietnam serta seorang dari Yaman.


Turut terbunuh, tiga jururawat Filipina dan India.

Foto

AHLI keluarga mangsa pengeboman tidak dapat menahan sebak, semalam.

Menurut jawatankuasa keselamatan Yaman, serangan itu turut mengorbankan ramai pesakit termasuk seorang hakim terkemuka dan isterinya yang kebetulan mendapat rawatan di situ.


Seramai 167 juga dilaporkan cedera dengan sembilan daripadanya parah.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Filipina mendakwa tujuh rakyatnya mati dalam serangan itu termasuk kakitangan perubatan dan seorang doktor.


Serangan dilakukan pengebom berani mati yang memandu kereta dipenuhi bahan letupan merempuh pintu pagar utama.


Kenyataan al-Qaeda melalui Twitter mendakwa, kompleks itu diserang selepas terbukti ia mempunyai bilik kawalan dron dan pakar dari AS.


"Ibu pejabat keselamatan seperti itu yang bersekongkol dengan AS dalam peperangan mereka terhadap Islam sentiasa menjadi sasaran kami," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Sehelai kertas A4 RM2,500

Posted: 06 Dec 2013 11:30 AM PST

London: Seorang bapa yang menabung selama setahun untuk menggembirakan anaknya dengan hadiah XBox One menyangka dia bertindak bijak apabila memesan set permainan video itu di laman sesawang eBay.

Bagi Peter Clatworthy, set XBox One versi terhad itu adalah antara hadiah bermakna untuk anaknya sempena Krismas nanti. Justeru dia membuat pesanan selepas membaca tawaran di eBay mengenai "XBox One Edisi Hari Pertama FIFA - Gambar Baru UK 2012." Dia kemudian membuat bayaran bernilai £480 (RM2,537) walaupun lazimnya set berkenaan dijual pada harga hanya £430 (RM2,272).


Namun Clatworthy terkejut apabila pesanan itu tiba di rumahnya di Bilborough, Nottinghamshire kerana ia cuma sekeping kertas memaparkan gambar alat permainan berkenaan.

Di belakang kertas itu, penjualnya turut menulis pesanan: "Terima kasih atas pembelian anda." Sebenarnya kekeliruan berkenaan bukan salah penjual, sebaliknya kecuaian Clatworthy sendiri kerana tidak membaca tawaran berkenaan dengan teliti. Menurut Clatworthy, dia sangat kecewa kerana diperdaya dengan cara itu.


"Saya menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk membeli set berkenaan," katanya.


Menurut Clatworthy, dia mahu menghadiahkan set XBox One itu kepada anaknya yang baru berusia empat tahun. "Ketika posmen memberikan sampul surat coklat, saya tertanya-tanya adakah dia menghantar ke alamat yang betul.

"Sebaik saja saya lihat sampul surat itu untuk saya, baru saya menyedari yang saya sudah tertipu. "Saya membuka sampul surat itu dan melihat ada sehelai kertas di dalamnya," katanya.


Malah gambar itu sendiri bukan diambil penjual, sebaliknya dicuri dari imej yang ada dalam laman sesawang Google.

"Saya benar-benar terkejut tetapi hanya menyalahkan diri sendiri," katanya. Ekoran kejadian itu, Clatworthy dibayar ganti rugi oleh eBay. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Penangan 'burger ganja'

Posted: 06 Dec 2013 11:29 AM PST

Atlanta: Seorang pekerja restoran makanan segera Wendy's ditahan bulan lalu di Georgia kerana memasukkan ganja dalam burger keju yang dibuatnya, lapor media semalam.

Menurut polis Lovejoy, Amy Seiber, 32, ditangkap ketika bekerja pada 1 November lalu selepas pelanggan menghubungi talian kecemasan 911 mengadu menemui rokok ganja yang sudah separuh dihisap dalam burger kejunya.


Pelanggan itu kemudian bertemu dengan pegawai polis bertugas di lokasi restoran Wendy's, tempat dia memesan makanan berkenaan.

Siasatan mendapati rokok ganja itu adalah milik Amy.


Menurut pegawai polis itu, Amy mengakui dia sedang menghisap ganja ketika bekerja dan tanpa sengaja meletakkannya dalam burger keju dipesan pelanggan.


Rokok ganja itu kemudian dijadikan bahan bukti sebelum Amy ditahan.

Dia turut dipecat daripada bekerja di restoran itu.


Pelanggan terbabit berkata, dia mengalami keracunan makanan selepas memakan burger keju itu hingga terpaksa dirawat di hospital.

Setakat ini, Wendy's menawarkan untuk menanggung kos perubatan pelanggan terbabit, selain turut memberikan baucar makanan bernilai AS$50 (RM160). Wakil restoran berkenaan berkata, jelas sekali pekerja mereka melanggar peraturan dan tidak mematuhi proses penyediaan makanan yang betul.


"Kami minta maaf atas apa yang berlaku. Pihak kami akan membayar ganti rugi kepada pelanggan terbabit, termasuk membayar kos rawatannya di hospital," kata jurucakap Wendy's. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

J-Lo mahu padam nama bekas suami

Posted: 06 Dec 2013 11:28 AM PST

Los Angeles: Jennifer Lopez dikhabarkan hanya mengingini satu perkara daripada perceraiannya dengan Marc Anthony yang masih belum diluluskan walaupun sudah 18 bulan berlalu iaitu nama keluarganya.

Jennifer yang terkenal dengan gelaran J-Lo baru memfailkan maklum balasnya terhadap petisyen Anthony.


Menurut dokumen itu, nama rasminya masih dicatat sebagai Jennifer Muniz. Muniz ialah nama sebenar keluarga Anthony.

Petisyen Jennifer dan Anthony mengenai isu penjagaan anak tetap sama kerana kedua-duanya meminta hak penjagaan bersama terhadap anak kembar mereka. Bagaimanapun, dalam dokumen itu, Jennifer meminta mahkamah agar menggunakan semula nama asalnya iaitu Jennifer Lopez. Jennifer dan Anthony berkahwin pada 2004 dan berpisah secara rasmi pada 2011. Anthony memfailkan perceraian pada April 2012. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Saman lebih anak

Posted: 06 Dec 2013 11:28 AM PST

Beijing: Dua peguam China memfailkan saman terhadap pengarah filem terkemuka Zhang Yimou kerana dianggap melanggar peraturan negara dengan mempunyai lebih daripada seorang anak.

Jia Fangyi dan Guo Chengxi mengambil tindakan itu sebagai memprotes apa yang didakwa sikap orang berada tidak mengendahkan peraturan di negara berkenaan.


Jia berkata semalam, mereka menuntut supaya Zhang membayar 1 bilion yuan (RM531 juta) sebagai hukuman, selain pampasan bagi perkhidmatan awam digunakannya selama ini.

"Sesiapa yang melanggar peraturan itu wajib membayar yuran pampasan sosial berdasarkan pendapatan tahunan mereka," katanya.


Walaupun Zhang, 62, berdepan saman bernilai ratusan juta ringgit, Jia dan Guo menganggap itu tidak cukup untuk menghalang golongan kaya daripada melanggar peraturan berkenaan.


Justeru, kata Guo, mereka mengambil tindakan itu kerana kerajaan gagal melaksanakan tanggungjawabnya melindungi kepentingan awam.

"Kami percaya lebih ramai orang kaya China mempunyai ramai anak dan ini menghancurkan usaha kerajaan mengawal populasi negara ini.


"Kami harap mahkamah akan mendengar kes ini seadilnya kerana orang ramai memantau perkembangannya," katanya.

Bagaimanapun Jia tidak mengulas sejauh mana mereka boleh berjaya dalam tuntutan itu.


Media China menjangka saman itu akan gagal kerana Jia dan Guo tiada kaitan langsung dengan kes berkenaan.


Zhang yang mengarah filem House of Flying Dragons dan Hero mengakui Ahad lalu mempunyai tiga anak hasil perkahwinan dengan isterinya Chen Ting.


Menurut pihak berkuasa tempatan di Wuxi anaknya dilahirkan sebelum pasangan itu berkahwin tanpa kebenaran pihak berkuasa.


Pasangan itu memohon maaf secara terbuka atas perbuatan mereka yang diakui mengakibatkan 'kesan sosial negatif.' Malah, desas-desus di Internet sejak Mei lalu mengatakan Zhang mempunyai tujuh anak hasil dua perkahwinan dan hubungan dengan dua wanita lain.


Akhbar rasmi Parti Komunis China, People's Daily melaporkan Zhang menghadapi denda sehingga 160 juta yuan (RM85 juta) bagi kesalahan itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Pembantu orang penting Pyongyang cari suaka dari Korea Selatan

Posted: 06 Dec 2013 11:28 AM PST

Seoul: Korea Utara mungkin berdepan pembelotan paling serius dalam 15 tahun selepas lelaki yang menguruskan dana untuk bapa saudara pemimpin negara itu, Kim Jong-un, kini memohon mendapat suaka dari Seoul.

Media Korea Selatan yang memetik sumber mendedahkan pembantu itu identitinya tidak didedahkan sedang mendapat perlindungan pegawai Korea Selatan di lokasi rahsia di China.


Menurutnya, pembantu terbabit cuba melarikan diri ke Laos namun dihalang pihak berkuasa China daripada meninggalkan negara berkenaan.

Malah, pegawai AS juga didakwa sedang mencari individu terbabit.


Sementara itu anggota Jawatankuasa Risikan Parlimen Korea Selatan Jung Chung-rae berkata, Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) tidak tahu menahu mengenai perkara itu.


"NIS bagaimanapun mengesahkan abang ipar dan anak saudara Jang yang bertugas di kedutaan di luar negara dipanggil balik ke Korea Utara," katanya.

Menurut media, lelaki yang berpaling tadah itu menguruskan dana Jang Song Thaek, bapa saudara Kim yang juga antara lelaki paling berpengaruh Korea Utara sebelum pemecatannya, bulan lalu.


Pegawai itu juga didakwa mempunyai maklumat mengenai dana milik Kim dan mendiang ayahnya Kim Jong-il.

Malah, tindakannya melarikan diri dari Pyongyang sekitar September lalu mungkin punca pemecatan Jang.


Jika benar, kejadian itu kali pertama dalam tempoh 15 tahun sejak orang penting rejim Pyongyang berpaling tadah.


Menurut pegawai Korea Selatan, Jung dilaporkan selamat. Jurucakap Kementerian Luar China Hong Lei berkata: "Kami maklum mengenai dakwaan itu namun tidak memahami keadaan itu sepenuhnya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Tentera Zionis tembak wartawan

Posted: 06 Dec 2013 11:26 AM PST

Tel Aviv: Persatuan Wartawan Asing (FPA) mendakwa tentara Israel sengaja menembak sekumpulan wartawan dan jurugambar yang membuat liputan di Qalandiya.

Kenyataan FPA menyebut, kejadian berlaku petang kelmarin "Tentera Israel membaling bom tangan ke arah jurugambar FPA ketika meninggalkan Qalandiya.


"Sebelum itu, muka seorang jurugambar dari Itali juga nyaris terkena peluru getah, namun mujur hanya terkena kameranya," katanya.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan tentera Israel.


Menurut jurucakap tentera rejim Zionis berkenaan, kejadian berkenaan berlaku selepas wartawan sendiri mengambil risiko dengan memilih berada di tengah kawasan konflik.


FPA mendakwa 10 kes tembakan oleh tentera Israel dilaporkan setakat ini, namun hanya dua disiasat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Tawar 12 biarawati untuk 1,000 wanita

Posted: 06 Dec 2013 11:16 AM PST

Beirut: Kumpulan pemberontak Syria menggelar diri mereka 'Free Qalamoun' semalam mengaku bertanggungjawab dalam insiden penculikan 12 biarawati beberapa hari lalu.

Jurucakapnya semalam berkata, kumpulan berkenaan sedia untuk membebaskan semua biarawati terbabit jika rejim Syria bersetuju menukarkannya dengan 1,000 wanita yang ditahan kerajaan ketika ini.


"Semua 12 biarawati yang ditahan kami berada dalam keadaan baik dan selamat namun mereka tidak akan dibebaskan sehingga tuntutan kami ditunaikan," katanya kepada akhbar Asharq al-Awsat semalam. Laporan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.

Duta Vatican ke Syria Mario Zenari mengesahkan biarawati terbabit dilarikan dari biara Mar Thecla di Maaloula ke bandar Yabrud berhampiran, Isnin lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

No comments:

Post a Comment