Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Michelle 'cemburu' Obama

Posted: 11 Dec 2013 09:18 AM PST

Johannesburg: Aksi Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bersama Perdana Menteri Denmark, Helle Thorning-Schmidt, dan Perdana Menteri Britain David Cameron ketika menghadiri upacara memperingati Nelson Mandela menjadi perbualan hangat di media sosial.

Ketiga-tiga pemimpin dunia berkenaan sibuk bergambar (selfie) ketika upacara itu berlangsung sementara wanita pertama AS, Michelle Obama dilihat tidak menghiraukan tingkah laku suaminya.

Kebanyakan komen di media sosial menyatakan Michelle cemburu melihat aksi suaminya itu.

Obama dan Cameron dilihat sangat mesra dengan Helle yang duduk diapit kedua-duanya.

Foto

CAMERON, Helle dan Obama bergambar bersama menggunakan telefon bimbit Helle.

Foto

OBAMA berjenaka dengan Helle sambil diperhatikan Michelle.

Foto

OBAMA mengucap salam perpisahan pada Helle dengan ciuman pipi.


Di samping itu, Helle dilihat sibuk mengambil foto mereka bertiga sambil bergurau senda.


Sebagaimana dipetik daripada media AS, National Post semalam, reaksi Michelle sangat berbeza berbanding dengan suaminya yang asyik tersenyum lebar. Malah, Obama sempat ketawa ketika berjenaka dengan Helle.

Di samping itu, wajah Michelle juga kelihatan serius ketika menyaksikan suaminya memegang bahu Helle sewaktu berjenaka dengan Perdana Menteri Denmark berkenaan.

Malah, media Australia, news.com.au mengulas yang Michelle dikatakan seolah-olah bersikap dingin terhadap Helle.

Ketika ingin berpisah, Obama dan Helle dilihat sempat berbalas ciuman di pipi.
Sementara itu, aksi Cameron mendapat kritikan media Britain.

Seorang penganalisis akhbar The Telegraph menyatakan tingkah laku Cameron sebagai pemimpin negara dilihat tidak sopan dalam majlis itu.

Aksi ketiga-tiga pemimpin dunia itu turut menjadi perbicaraan hangat di Twitter terutama ketika upacara yang diselubungi kedukaan ekoran pemergian Mandela sedang berlangsung. Kelihatannya ketiga-tiga mereka tidak prihatin dengan upacara sedemikian.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Jurubahasa temberang

Posted: 11 Dec 2013 09:13 AM PST

Johannesburg: Seorang jurubahasa palsu menimbulkan kemarahan ketika upacara peringatan pemimpin antiaparteid Nelson Mandela, malah dilihat 'merepek' apabila menggerakkan tangannya kononnya bagi menterjemahkan ucapan pemimpin dunia kepada bahasa isyarat.

DeafSA Afrika Selatan semalam mengecam kehadiran lelaki tidak dikenali itu ketika upcara peringatan yang turut dihadiri Presiden Jacob Zuma dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Lelaki berpakaian kemas dan mempunyai pas keselamatan rasmi melakukan beberapa isyarat tangan yang tidak bermakna ketika pemimpin dunia memberi ucapan di hadapan 95,000 penonton di stadium Soccer City.

"Dia sekadar membuat isyarat namun tidak menggunakan tatabahasa dan struktur betul, malah mencipta isyarat berkenaan sesuka hatinya.

Foto

PENTERJEMAH bahasa isyarat palsu (kanan) dilihat membuat isyarat yang dicipta sendiri ketika Obama menyampaikan ucapan.

Foto

PEGAWAI tentera mengusung keranda bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela ke Bangunan Kesatuan di Pretoria, semalam.


"Dari segi ketepatan, memang kosong peratus.


"Perkara paling asas pun salah," kata penterjemah rasmi DeafSA bahasa isyarat Afrika Selatan Delphin Hlungwane.

Malah, katanya, 'penterjemah' itu gagal menggunakan memek muka sesuai bagi menggambarkan reaksi negatif di stadium itu terhadap Zuma khususnya bagi penonton televisyen.

"Memek muka memainkan peranan penting walaupun isyarat diberikan tidak tepat," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

"Dia seperti tidak pedulikannya pun," katanya.

Polis kini memburu lelaki misteri itu.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Mamah kening bapa

Posted: 11 Dec 2013 09:02 AM PST

Colorado: Seorang lelaki didakwa atas tuduhan melakukan serangan ganas tahap kedua selepas dia menggigit kening bapanya hingga putus dalam satu perkelahian.

Kejadian mengerikan itu berlaku minggu lalu ketika suspek, Joel Salmeron-Ciprian berada di tempat duduk belakang trak bapanya bersama-sama anggota keluarga lain, dalam perjalanan pulang daripada menghadiri satu majlis perkahwinan.

Menurut polis, Salmeron-Ciprian yang mabuk mula menceceh dan menggesa bapanya menghentikan kenderaan di tepi jalan kira-kira jam 7.45 malam.

Timbalan polis King county, berkata apabila bapanya tidak menghiraukannya, Salmeron-Ciprian menolak bapanya dari belakang sebelum kedua-dua beranak itu keluar dari trak dan bergaduh.


Akhbar Seattle Post Intelligencer melaporkan apabila polis yang dihubungi tiba di tempat kejadian, mereka mendapati lelaki berusia 30 tahun itu dihempap bapanya yang berlumuran darah di muka.


Menurut polis, Salmeron-Ciprian mengunyah kening kanan bapanya hingga putus ketika dia bergelut dengan mangsa.

Polis terpaksa menggunakan 'stun gun' untuk menghentikan pergelutan itu.

Bapanya yang cedera segera dikejarkan ke pusat perubatan Harborview untuk rawatan.

Sementara itu, suspek dipenjarakan kerana cuba menendang alat sulit polis dan mengancam untuk menggigit kening anggota itu.

Salmeron-Ciprian juga ditahan dengan ikat jamin AS$100,000 (RM321,649) ekoran kejadian itu.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Madonna putuskan hubungan dengan 'anak ikan'

Posted: 11 Dec 2013 09:01 AM PST

Hollywood: Penyanyi Madonna dikhabarkan sudah berpisah dengan teman lelakinya yang berusia 25 tahun, Brahim Zaibat.

Penyanyi lagu hit 'Girl Gone Wild' itu yang baru-baru ini pulang ke New York daripada kunjungan kebajikan ke Haiti bersama bekas suaminya, Sean Penn, dilaporkan mengakhiri hubungan tiga tahun dengan penari latar itu selepas Zaibat menyertai rancangan 'Dancing With The Stars' versi Perancis.

Satu sumber memberitahu PerezHilton.com, Madonna menganggap teman lelakinya itu terlalu mementingkan diri sendiri.

Satu lagi sumber berkata, hubungan itu berakhir kerana cinta jarak jauh dan tanggungjawab kerja.

Ada juga dakwaan mengatakan Madonna rasa 'dipergunakan' dan menegaskan 'tiada lagi peluang' untuk mereka bersatu kembali pada masa depan.

Bekas pasangan itu dilihat menghabiskan masa bersama hanya beberapa kali sejak beberapa bulan kebelakangan ini, di sebalik khabar angin mengatakan penyanyi itu akan bersatu semula dengan Penn, yang diceraikannya pada 1989 selepas empat tahun hidup bersama.

Madonna membawa anak lelakinya, Rocco, 13, hasil perkahwinannya dengan Guy Ritchie dalam kunjungannya ke Haiti bersama aktor pemenang Oscar itu bulan lalu untuk memantau tugasan dilakukan Organisasi Bantuan Rakyat Haiti yang ditubuhkan aktor terbabit.

Kunjungan itu dibuat sejurus selepas pelakon 'Milk' itu menyifatkan bekas isterinya 'sangat panas' apabila dia menyaksikan konsert Madonna di Los Angeles pada Oktober lalu.

Seorang saksi berkata: "Keserasian mereka jelas kelihatan.

Madonna nampak seolah-olah membuat persembahan hanya untuk Penn dan Penn mengatakan penyanyi itu 'cukup hebat dan sangat panas'.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Wanita terdesak siar iklan sewa keluarga

Posted: 11 Dec 2013 09:01 AM PST

Los Angeles: Seorang wanita yang terdesak untuk memiliki keluarga sanggup menyiarkan iklan untuk menyewa sesiapa yang berminat menghabiskan masa bersamanya selama beberapa hari ketika musim cuti.

Pelajar wanita Universiti William Jessup berusia 26 tahun itu menyiarkan iklan ingin menyewa ahli keluarga dengan bayaran AS$8 (RM25.70) sejam selama beberapa hari ketika musim cuti yang bakal menjelang, lapor News10.net.

Dia mendakwa berasal daripada keluarga yang berpecah-belah dan menjadi mangsa penderaan selama beberapa tahun ketika zaman kanak-kanaknya, selain turut hidup merempat di jalanan selama bertahun-tahun.

Dia juga mengakui memilih hala tuju yang salah dalam kehidupannya sebelum akhirnya ditahan kerana mencuri dan meringkuk di penjara selama setahun.

Bagaimanapun, wanita itu gembira kerana beberapa individu dengan latar belakang yang sama sudah memberi maklum balas terhadap iklan disiarkannya.

Mereka berharap dapat berkumpul ketika cuti Hari Krismas dan tahun baru kelak.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Pesta kahwin Jolie, Pitt di empat negara

Posted: 11 Dec 2013 09:00 AM PST

New York: Pasangan pelakon Angelina Jolie dan Brad Pitt bersedia untuk berkahwin pada awal tahun depan.

Bagi meraikan hari bahagia mereka, pasangan itu dikatakan bersetuju untuk mengadakan pesta perkahwinan mereka di empat negara.

Angelina dan Pitt akan mengadakan majlis perkahwinan mereka yang pertama di Australia, tempat Angelina menjalani penggambaran filem terbarunya 'Unbroken'.

Pasangan terbabit akan mengadakan majlis perkahwinan mereka mengikut upacara suku orang asli Australia di Uluru.

"Angelina mahu majlis perkahwinan gaya masyarakat orang asli yang dilakukan ketika matahari terbit," kata satu sumber rakan terdekatnya sebagaimana dipetik daripada Showbiz Spy, semalam.

Selepas majlis perkahwinan di Australia, aktres berusia 38 tahun itu akan mengadakan majlis kedua di Los Angeles dengan tetamu jemputan di kalangan ahli keluarga dan rakan karib.

Seterusnya mereka akan ke kepulauan Bahamas pula untuk majlis perkahwinan yang ketiga dengan konsep perkahwinan pantai.

Majlis terakhir pasangan berkenaan dirancang diadakan di selatan Perancis.


Mereka akan hadir di sana sempena dengan Festival Filem Cannes.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Dakwa Yingluck 'penderhaka'

Posted: 11 Dec 2013 08:55 AM PST

Bangkok: Penunjuk perasaan antikerajaan Thailand menuntut Perdana Menteri Yingluck Shinawatra didakwa sebagai penderhaka manakala keseluruhan keluarganya diberi tekanan sehingga meninggalkan bidang politik.

Tanpa mengendahkan tindakan Yingluck mengumumkan pilihan raya, penunjuk perasaan yang turut merangkumi golongan elit Bangkok mahu menghapuskan pengaruh abang Yingluck, Thaksin yang digulingkan pada 2006 dan memilih hidup dalam buangan untuk mengelak dipenjara atas tuduhan salah guna kuasa.

Thaksin dilihat kuasa sebenar di sebalik pentadbiran Yingluck malah turut menyertai mesyuarat Kabinet melalui webcam.

Beliau masih popular di kawasan luar bandar disebabkan polisi diperkenalkannya dan Yingluck yang banyak membantu golongan miskin selain dilihat mampu melonjak mana-mana parti disokongnya ke arah kemenangan dalam pilihan raya.


Selepas pengumuman pilihan raya Isnin lalu, ketua penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban memberi masa 24 jam supaya Yingluck - yang juga perdana menteri sementara sehingga pilihan raya pada 2 Februari tahun depan - meletakkan jawatan.


Kelmarin, selepas tempoh 24 jam itu berakhir, Suthep menggesa pihak polis supaya menahan Yingluck.

"Yingluck patut ditahan sebagai penderhaka kerana tidak mengendahkan tuntutan kami," katanya kepada penyokongnya di luar Rumah Kerajaan.

Beliau sebelum itu dilaporkan mengugut mempertingkatkan protes serta tekanan bagi memaksa Yingluck dan keluarganya berundur jika tuntutan mereka tidak diendahkan.

"Sejauh mana anda boleh bertahan jika setiap hari kereta diludah?" soalnya.

Suthep mendakwa kerajaan Yingluck melanggar perlembagaan. Bagaimanapun, Suthep sendiri juga didakwa pihak kerajaan melakukan pemberontakan.

Setakat ini, belum ada usaha untuk menahannya.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Yakin tentera tidak akan rampas kuasa

Posted: 11 Dec 2013 08:54 AM PST

Bangkok: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yakin tentera negara itu tidak akan melancarkan satu lagi rampasan kuasa untuk menamatkan krisis politik negara itu.

Bercakap kepada wartawan asing beliau berkata, pemimpin tentera yang menggulingkan abangnya, Thaksin tujuh tahun lalu menyedari tindakan mereka tidak dapat menyelesaikan sebarang masalah.

"Saya tidak fikir tentera akan melakukannya lagi," kata Yingluck di Bangkok.

Rampasan kuasa pada 2006 itu dilakukan selepas Thailand berdepan dengan kekacauan politik dan kadang kala tunjuk perasaan ganas.

Negara itu menyaksikan 18 rampasan kuasa atau cubaan merampas kuasa oleh tentera sejak menjadi negara monarki berperlembagaan pada 1932.

Kumpulan penentang sebelum ini merayu tentera membantu mereka menggulingkan kerajaan Yingluck yang dipilih menerusi pilihan raya.

Bagaimanapun, selain mengerah anggotanya tanpa senjata untuk melindungi bangunan kerajaan, pegawai kanan tentera setakat ini mengelak daripada terbabit dalam kemelut politik negara itu.

Panglima tentera Jeneral Prayut Chan-O-Cha berkata minggu lalu, masalah yang dihadapi perlu diselesaikan menerusi politik.

Mahkamah Thailand juga mempunyai rekod dalam mencampuri urusan politik dengan mengambil keputusan membubarkan parti dan mengharamkan parti daripada bertanding dalam pilihan raya.

Beberapa pemerhati percaya dakwaan rasuah terhadap parti pimpinan Yingluck boleh menjadi asas kepada satu lagi 'rampasan kuasa' kehakiman.

Bagaimanapun, perdana menteri itu yakin partinya boleh mempertahankan diri daripada sebarang tuduhan seumpama itu.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

TPM tuntut Suthep ditahan dalam 48 jam

Posted: 11 Dec 2013 08:54 AM PST

Bangkok: Timbalan Perdana Menteri sementara Thailand Chalerm Yoobamrung semalam mengarahkan Polis Metropolitan menahan ketua penunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban dalam tempoh 48 jam.

Chalerm mendakwa Suthep melakukan beberapa perbuatan jenayah selain menghadapi tuduhan melakukan pemberontakan.

Menurut Charlem lagi, jika pihak polis gagal bertindak dalam tempoh 48 jam akan datang, beliau sendiri akan melakukan protes berkenaan di pejabat polis terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

4 askar maut di Pattani

Posted: 11 Dec 2013 08:53 AM PST

Bangkok: Empat tentera Thai terbunuh dan kira-kira 12 lagi cedera, sebahagian parah apabila sebuah bom meletup di selatan negara itu, semalam.

Bom seberat 50 kiloram gram itu disembunyikan dalam tong gas dan diletup dengan mengguna telefon bimbit pada tengah hari ketika sebuah trak tentera menghampirinya, kata jurucakap polis di daerah Kha Pho di Pattani.

Selain empat yang terbunuh itu, 12 anggota lain cedera, enam daripada mereka parah.

Enam belas tentera berada dalam trak berkenaan. Mereka dalam perjalanan pulang daripada berehat," kata jurucakap itu.


Menurutnya, keempat-empat yang terbunuh itu mati di hospital tempatan.


Sementara itu, polis di Yala berkata, mereka menembak mati dua penduduk kampung beragama Islam.

Tidak ada butir lanjut mengenainya diberikan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

No comments:

Post a Comment