Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Mesti profesional'

Posted: 18 Dec 2013 09:23 AM PST

Seremban: "Saya serius nak tebus maruah pasukan Negeri Sembilan yang tercalar dan begitu buruk pada musim 2013, apabila orang memandang rendah pada pasukan kita. Sebab itu saya ambil keputusan menjadi pengurus pasukan kerana mahu melihat sendiri prestasi sepanjang perlawanan musim depan," kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), mengulas pelantikannya sebagai pengurus pasukan bola sepak Negeri Sembilan bagi saingan Liga M musim depan.


Sambil melahirkan rasa kecewa atas prestasi buruk skuad Hoben Jang Hoben hingga terjerumus ke kancah Liga Perdana beliau berkata, pihaknya tidak boleh berdiam diri dan mahu pegawai dan pemain yang dipilih bersikap profesional untuk memastikan misi mengembalikan maruah pasukan tercapai.

Justeru katanya, PBNS membuat perubahan besar dari segi barisan pegawai dan pemain dengan menyenaraikan hampir 80 peratus muka baru selain mengikat kontrak empat pemain import iaitu penyerang, Jozef Kaplan dari Slovakia dan Jean-Emmanuel Effa Owona (Cameroon) serta dua pemain pertahanan, Kim Jin Ryong (Korea Selatan) dan bekas kapten pasukan kebangsaan Haiti, Jean Marc Elexandre.


Beliau juga turut melantik tiga individu sebagai penolong pengurus iaitu Datuk Abd Halim Abd Latif, Datuk Mohd Najeeb Abdullah dan Datuk Abdul Ghani Hasan.


"Saya tidak mahu lagi maruah pasukan terus tercalar akibat sikap pemain yang beraksi sambil lewa, sebaliknya mahu mereka bersikap profesional dan mana-mana pemain yang baik bakal menerima ganjaran manakala yang gagal akan disingkirkan.

Foto

MOHAMAD (kiri) bersalam dengan pemain Negeri Sembilan.

"Saya mahu pasukan ini dibina semula dan berada pada kedudukan sebelum ini yang pernah menjuarai liga utama dan Piala Malaysia," katanya pada majlis memperkenalkan pegawai dan pemain musim 2014, petang semalam.


Turut hadir Timbalan Presiden PBNS, Datuk Mat Ali Hassan, ketiga-tiga penolong pengurus dan ketua jurulatih, V Sundramoorthy.

Menurut Mohamad, PBNS akan turut menguatkuasakan peraturan iaitu laporan prestasi pemain perlu dihantar kepada Jawatankuasa Pengurusan PBNS dua hari selepas perlawanan untuk penilaian.


"Bagi pemain yang gagal menyerlah dan yang menerima kad kesalahan akan dipanggil jawatankuasa terbabit dan seterusnya jika didapati melakukan kesalahan bakal dikenakan hukuman termasuk gaji bulanan dipotong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

Lebih lama dari jangkaan

Posted: 18 Dec 2013 08:32 AM PST

London: Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini memaklumkan penyerang bintang skuadnya, Sergio Aguero mungkin tidak dapat beraksi lebih lama daripada dijangkakan.

Pellegrini sebelum ini menjangka Aguero tidak dapat beraksi empat minggu selepas mengalami kecederaan betis sewaktu City mencatat kemenangan 6-3 ke atas Arsenal.


Bagaimanapun, tahap kecederaan dialami pemain itu terus diragui apabila Pellegrini tampil dengan jangkaan baru selepas mendapat khabar kecederaan penyerang itu lebih buruk berbanding apa yang dilihat sebelum ini.

Ketika sidang media selepas City menang 3-1 ke atas Leicester di Piala Liga, Pellegrini berkata: "Saya bukan doktor. Ia sangat sukar.


"Doktor mengatakan dia memerlukan rehat sebulan atau lapan minggu. Kita akan lihat.


"Saya tidak tahu berapa minggu tetapi sekurang-kurangnya sebulan. Sukar untuk mengetahui secara tepat." Ketiadaan Aguero sepanjang tempoh itu menjadi tamparan hebat buat City ketika penyerang berusia 25 tahun itu sudah menjaringkan 19 gol untuk City musim ini.

Dia sekali lagi menemui sentuhan ketika menentang Arsenal tetapi mengalami kecederaan itu pada awal separuh masa kedua.


Aguero hampir pasti terlepas program Krismas termasuk pertemuan menentang Liverpool di tempat sendiri dalam saingan Liga Perdana dan berkemungkinan tidak dapat beraksi pada perlawanan separuh akhir Piala Liga bulan depan.

Jangka waktu rehat lebih panjang mungkin menyebabkan pemain antarabangsa Argentina itu tidak bermain bersama City yang akan berdepan Barcelona pada peringkat kalah mati pusingan kedua Liga Juara-Juara pada Februari.


Berita lebih buruk berhubung kecederaan yang didengar Pellegrini turut membabitkan pemain bek kanan Argentina, Pablo Zabaleta yang mengalami kecederaan hamstring ketika menang di Leicester.


Pellegrini berkata: "Pablo menghadapi masalah hamstring. Kita akan lihat tahap kecederaannya.


"Perkara itu saja yang buruk dalam perlawanan berkenaan.


"Sudah tentu kami tidak mempunyai pemain bek kanan. Kami mungkin perlu melihat apa yang boleh dilakukan untuk posisi itu." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

Tiada tempat automatik untuk Vidic

Posted: 18 Dec 2013 08:32 AM PST

London: Pengurus Manchester United, David Moyes memberi amaran kepada kapten, Nemanja Vidic dan memberitahu dia perlu bersaing untuk mendapat semula tempatnya dalam kesebelasan utama.

Vidic sudah cergas untuk perlawanan suku akhir di Stoke City selepas tidak beraksi pada dua perlawanan terakhir bersama United akibat cedera ketika tewas 1-0 di tangan Newcastle United.


Biarpun dengan ketiadaan Vidic, United mencatat rekod bersih tanpa dibolosi pada perlawanan dimenangi United 1-0 mengatasi Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-Juara dan menang 3-0 di Aston Villa dalam saingan Liga Perdana.

Jonny Evans dan Phil Jones menyerlah selaku bek tengah ketika menentang Villa dengan Vidic terus dibelenggu kecederaan sambil rakan gandingannya, Rio Ferdinand kini berusia 35 tahun.


Begitupun, Moyes menganggap semua gandingan itu tidak lagi wujud.


"Nemanja sudah bersedia untuk bermain sekarang," kata Moyes dalam sidang akhbar.

"Kami memiliki lima pemain bek tengah. Kami boleh menggunakan Phil Jones, Chris Smalling, Jonny Evans, Rio Ferdinand dan dia (Vidic). Terdapat persaingan untuk mendapat tempat dan pemain perlu bermain dengan baik untuk kekal dalam pasukan." Moyes hampir pasti beraksi tanpa penyerang Robin van Persie yang mengalami kecederaan paha serta pemain tengah, Michael Carrick yang cedera di tumit untuk menentang Stoke sementara masih terdapat keraguan terhadap tahap kecergasan Javier Hernandez dan Shinji Kagawa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

AS tak hirau boikot

Posted: 18 Dec 2013 08:31 AM PST

Washington: Presiden Barack Obama menamakan bintang tenis yang dikenali mengamalkan seks songsang, Billie Jean King sebagai salah seorang anggota delegasi Amerika Syarikat (AS) ke temasya Olimpik Musim Sejuk di Sochi walaupun sedar Russia sebuah negara yang tegas dengan undang-undang membabitkan kegiatan homoseks.

AS tidak menghantar banyak nama besar untuk temasya dijadual bermula 7 Februari itu dan senarai kontinjen diumumkan ketika hubungan AS dan Russia berhubung isu hak golongan gay sedikit tegang.


Pada Olimpik Musim Sejuk 2010 di Vancouver, delegasi AS diketuai naib presiden Joe Biden dan isterinya, Jill.

Delegasi lebih kecil AS di majlis pembukaan temasya itu akan diketuai bekas Setiausaha Keselamatan Dalam Negara Janet Napolitano selain dibantu King, bekas peluncur ais Brian Boitano, Duta AS ke Russia Michael McFaul dan Timbalan Ketua Kakitangan White House Rob Nabors.


Pada majlis penutup, AS akan diwakili Timbalan Setiausaha Dewan Senat William Burns, McFaul, legenda luncur salji, Bonnie Blair dan Eric Heiden serta pemain hoki wanita, Caitlin Cahow.


Russia menguatkuasakan undang-undang yang melarang kegiatan homoseks di negara itu Jun lalu tetapi berdepan bantahan kumpulan hak asasi antarabangsa yang menganjurkan boikot ke atas temasya pertama dianjurkan sejak era selepas Soviet itu.

Ogos lalu, Obama berkata, beliau tidak setuju dengan idea memboikot temasya Olimpik tapi mengharapkan atlet gay serta lesbian dalam kontinjen AS supaya membawa pulang pingat.


"Jika Russia tidak memiliki atlet dalam kalangan golongan gay atau lesbian, mereka mungkin tidak begitu kuat," katanya.

Oktober lalu, Putin berkata, Russia akan melakukan apa saja untuk memastikan atlet dan penyokong menyaksikan serta menikmati Olimpik tanpa mengira kaum, bangsa serta amalan seks masing-masing.


King pernah memenangi enam gelaran perseorangan Wimbledon dan empat gelaran Terbuka AS. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

Wood pandang ke depan

Posted: 18 Dec 2013 08:30 AM PST

Paris: Tiger Woods mengekalkan ranking nombor satu dunia pada 2013 selepas menghilangkan diri dua tahun setengah namun timbul perdebatan mempersoal siapakah sebenarnya pemain golf terbaik dunia ketika ini.

Woods merampas kedudukan teratas apabila menang lima kejohanan dalam tempoh singkat selepas menyertai empat kejohanan utama sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan sejak Jun 2008, kali terakhir dia memenangi kejohanan utama ke-14 di Terbuka AS.


Begitupun, seramai empat pemain dinobat sebagai paling menyinar tahun ini.

Adam Scott muncul pemain Australia pertama mengungguli kejohanan Masters manakala Justin Rose pula muncul pemain England pertama memenangi Terbuka AS dalam tempoh 43 tahun di Merion.


Phil Mickelson memenangi kejuaraan Terbuka British selepas 40 penyertaan dan Jason Dufner menjuarai gelaran paling popular, Kejohanan PGA.


Woods yang akan meraikan ulang tahun kelahiran ke-38, 30 Disember ini mungkin belum sesuai digelar veteran namun dia mengaku lanskap golf berubah pantas ketika ini.

"Generasi sekarang amat berbeza, saya pernah bermain satu lawan satu dengan Ernie Els lebih kerap berbanding pemain lain di seluruh dunia malah Vijay Singh mungkin menjadi pemain kedua diikuti Phil Mickelson yang kerap bermain bersama saya.


"Namun, Retief Goosen dan David Duval sering bersama saya sejak kebelakangan ini.

"Pelbagai peringkat pemain yang saya temui. Semuanya berusia sekitar 40-an dan 50-an. Sekarang, semua kru baru dan saya rasa Rory McIlroy adalah pemain termuda.


"Begitupun ramai lagi pemain lelaki berusia 20-an, awal 30-an yang mungkin akan berada di barisan depan selepas ini." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

Vettel tetap pilihan juara: Webber

Posted: 18 Dec 2013 08:30 AM PST

Perancis: Mark Webber yakin bekas rakan sepasukannya di Red Bull, Sebastian Vettel akan tampil pada musim baru sebagai pilihan utama untuk mengungguli gelaran dunia buat kali kelima berturut-turut.

Perubahan besar peraturan musim 2014 menjadi aspek pembaharuan Formula Satu (F1) namun Webber berkata, Red Bull pasti mampu menyesuaikan diri dengan amat baik.


"Sebastian adalah pemandu pilihan," kata Webber yang bersara dari F1 untuk berlumba dalam siri Porche di Le Mans.

"Mereka tetap pilihan untuk awal musim kerana mereka sangat kuat tapi perkara ini pasti enggan didengar peminat." Bagaimanapun, ketua teknikal Red Bull Adrian Newey yang pasukannya mendominasi perlumbaan dari tahun 2009-13 di bawah regim peraturan baru berkata, peraturan baru tahun depan dianggap sebagai 'baru kepada semua yang terbabit dalam sukan berkenaan'.


"Pada Ahad, Fernando Alonso menjalani latihan melebihi dua jam. Dia melakukan lebih satu pusingan dan saya rasa dia bukannya seperti Sebastian." Pada 2014, kereta F1 diperkenalkan dengan penjanaan enjin turbo buat kali pertama sejak 1998 dan ia pasti sesuai dengan sistem penyelenggaraan tenaga. Beberapa siri perubahan aerodinamik turut diperkenal bagi menghalang Red Bull mengeksploitasi beberapa aspek yang selama ini dikuasainya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

Kayuh 25km sehari

Posted: 18 Dec 2013 08:29 AM PST

Johor Bahru: Seramai 18 ahli kelab Snake Otoman Cycle (SOC) mengesahkan penyertaan pada Sirkit 5 Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini, Ahad ini.

Presiden Chong Cheang Siang, 37 berkata semua pelumbanya sudah bersedia dan mensasarkan kedudukan 50 terbaik dalam kejohanan itu.


Katanya, kelab itu ditubuhkan sejak dua tahun lalu dan kini dianggotai 25 ahli termasuk seorang wanita.

"Matlamat penubuhan SOC tidak banyak berbeza dengan kelab lain iaitu mengumpul peminat sukan basikal bukit serta melakukan aktiviti bersama.


"Selain itu, SOC tidak menghadkan penyertaan kepada pelumba profesional saja malah terbuka kepada semua penggemar basikal bukit termasuk amatur," katanya.


Menurut Cheang Siang, walaupun sibuk dengan tugasan harian SOC tetap menghantar wakil bagi menyertai kejohanan berbasikal yang dianjurkan di negeri ini atau kawasan berhampiran.

"Antara kejohanan yang pernah disertai termasuklah MCC Muar Pagoh MTB Jamboree, Simpang Renggam Jamboree dan Pocong Nite Ride.


"Daripada kejohanan itu, pelumba kami berjaya meraih gelaran juara kategori veteran kejohanan Pocong Nite Ride serta kategori terbuka untuk Ronda Riadah Jamboree," katanya.

Cheang Siang berkata, dia dan ahli kelab yang lain kini giat menjalani latihan bagi bersaing dalam MTB Harian Metro Ahad ini.


"Setakat ini, seramai 18 ahli sudah mengesahkan penyertaan untuk bersaing dalam kejohanan itu dan latihan harian dilakukan membabitkan jarak sejauh 25 kilometer sekitar Mount Austin dan Plentong.


"Saya harap ahli yang mengambil bahagian dapat beraksi dengan cemerlang pada kejohanan itu sekali gus berada dalam senarai peserta terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

Kongsi minat seisi keluarga

Posted: 18 Dec 2013 08:29 AM PST

Kulaijaya: Minat mendalam terhadap aktiviti basikal lasak mendorong lima sekeluarga menyertai Sirkit 5 Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini, Ahad ini.

Rosli Saaban, 44, berkata, sebagai bapa kepada empat anak dia melihat aktiviti berbasikal sebagai satu gaya hidup sihat selain penggunaan basikal lebih menjaga alam sekitar khususnya mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida.


Katanya, dia yang bergiat aktif dalam sukan basikal lasak sejak lima tahun lalu mendapat dorongan keluarga dan kini semua anaknya memiliki hobi sama.

"Apabila berbasikal saya selalu membawa keluarga termasuk isteri, Faridah Ibrahim, 46 dan tiga anak berusia 11 hingga 23 tahun.


"Alhamdulilah tiga daripada empat orang anak saya menunjukkan minat dan hobi sama iaitu berbasikal lasak. "Malah semua ahli keluarga turut menpunyai basikal masing-masing dan menyertai kelab basikal SHEQ Cycling Team sejak dua tahun lalu," katanya.


Menurutnya, dia gembira kerana bakal berkayuh bersama keluarga pada cabaran MTB Harian Metro dan yakin banyak keluarga akan mengambil bahagian secara berkumpulan.

Rosli berkata, biasanya cuti hujung minggu dihabiskan bersama keluarga dengan aktiviti mengayuh basikal di sekitar Gunung Pulai dan kawasan berhampiran.


Katanya, persiapan untuk menghadapi cabaran MTB kali ini sudah dilakukan termasuk membeli kelengkapan basikal, aspek keselamatan dan kesihatan.

"Segala persiapan sudah dilakukan dan kami akan berkayuh secara santai dan beriadah bersama rakan dari pasukan lain.


"Kalau kami mendapat tempat dalam cabaran itu, ia adalah rezeki kami sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

Utamakan semangat kesukanan

Posted: 18 Dec 2013 08:28 AM PST

Kota Tinggi: Impian menambah kenalan mendorong Radzi Yaakub, 53, menyertai sukan lasak Mountain Bike (MTB) dan menubuhkan Kelab Sukan Berbasikal Dubikes.

Radzi berkata, Dubikes ditubuhkan pada 2011 dan didaftarkan dengan Kementerian Belia dan Sukan tahun lalu.


"Setakat ini, Dubikes dianggotai 32 ahli termasuk dua wanita dan dua kanak-kanak.

"Kelab ini terbuka kepada semua khasnya penduduk di sekitar Kota Tinggi dan kami berharap lebih ramai menyertainya pada masa depan," katanya.


Menurut Radzi, perjumpaan ahli kelab dilakukan setiap hujung minggu dan sesi latihan lasak pula dilakukan dua kali sebulan.


"Memandangkan sebahagian besar ahli kelab bekerja pada hari biasa, kami memilih hujung minggu untuk berhimpun bagi mengadakan aktiviti bersama.

"Biasanya, kami berkayuh di jalan raya pada jarak 20 kilometer daripada Taman Desaru ke Tanjung Balau dan kembali ke titik permulaan," katanya.


Radzi berkata, dia tidak meletakkan kemenangan sebagai keutamaan Ahad ini, sebaliknya lebih gemar menerapkan semangat kesukanan dalam kalangan ahli.

"Sejak ditubuhkan, pelbagai kejohanan pernah kami sertai termasuk Pertandingan Basikal Lasak Kulai; Mega Ride Bandar Datuk Onn dan terbaru Senai Airport Cross Country Challenge.


"Selain itu, beberapa ahli Dubikes juga pernah mengambil bahagian di luar negara dalam kejohanan Karimun Basikal Polo Terbuka di Indonesia.


"Walaupun ada yang mempunyai pengalaman bersaing dengan pelumba luar, kami tidak meletak harapan tinggi sebaliknya menjadikan penyertaan sebagai landasan untuk membina lebih ramai kenalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

'Kiddy Bike Jamboree'

Posted: 18 Dec 2013 08:25 AM PST

Kuala Lumpur: Sempena penganjuran Sirkit 5 Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Hutan Bandar Mutiara Rini Ahad ini, program 'Kiddy Bike Jamboree' akan diadakan.

Ia adalah sebagai acara sokongan semasa perlumbaan berlangsung yang dianjurkan sepenuhnya oleh Tourism Malaysia Johor di lokasi dan pada hari yang sama bermula jam 8.30 pagi.


Acara jamboree ini dibahagi kepada dua kategori iaitu Kid MTB Jamboree terbuka kepada kanak-kanak berumur 6 hingga 9 tahun manakala satu lagi kategori berumur 10 hingga 12 tahun.

Penyertaan ini dibuka secara percuma kepada 200 peserta namun penganjur ingin memaklumkan tiada sewaan basikal disediakan bagi acara Jamboree dengan setiap peserta perlu membawa kelengkapan sendiri. Sementara itu Pegawai Pelancongan Yuzi Fasha Idayu Mohamed Yusoff berkata, bagi menghidupkan suasana persaingan sihat, Tourism Malaysia Johor turut menganjurkan perlumbaan 'Baby/Kiddy Bike Race' secara percuma kepada 200 peserta terawal yang mendaftar. Bagi mereka yang berminat untuk menyertainya, kemudahan sewaan basikal disediakan dengan kadar bayaran RM20.


Penyertaan ini terbuka kepada semua kanak-kanak dalam dan luar negara dengan 10 pemenang akan menerima trofi selain pingat dengan pendaftaran boleh dilakukan pada hari pertandingan. "Semua peserta yang ingin menyertai perlumbaan atau Jamboree ini juga dinasihatkan memakai pakaian bersesuaian selain daripada topi, pelindung lutut dan siku dan pemakaian sarung tangan amat digalakkan.


Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 07-222 3590/91 atau 012-9563728.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/19

No comments:

Post a Comment