Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pelaburan RM10 j lebur

Posted: 22 Dec 2013 09:51 AM PST

Nay Pyi Taw: Tiada ungkapan yang mampu menceritakan kegagalan skuad Bawah 23 tahun negara mempertahankan "ibu segala pingat" di Sukan SEA ke-27 di Myanmar.

Hancur hati seluruh rakyat Malaysia yang tidak kesampaian untuk melihat Datuk Ong Kim Swee bersama anak buahnya melakar hatrik di Nay Pyi Taw apabila terkandas di separuh akhir kepada Indonesia.

Pelaburan kira-kira RM10 juta selama dua tahun termasuk rangka persiapan di Eropah untuk menghadapi temasya ke-27 ini menjadi sia-sia sahaja.

Tampil di bumi Myanmar sebagai juara bertahan sememangnya tekanan tinggi buat barisan kejurulatihan dan pemain negara, apatah lagi kehilangan lapan tonggak utama yang dibayangi kecederaan.

Foto

HARIMAU Muda (jersi kuning hitam) gagal raih sebarang pingat.

Foto

PENYERANG negara, A Thamil Arasu gagal pamer bisa sebenar.


Itulah realiti yang perlu dihadapi Kim Swee kerana beliau terpaksa memilih baki pemain yang tinggal untuk dibawa ke Myanmar.


"Apabila kita bercakap mengenai kualiti, kita mesti melihat pemain seperti Wan Zack Haikal (Wan Nor), Syahrul Azwari (Ibrahim), Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) dan Junior (Eldstal).

" Saya tidak mengatakan pemain yang dibawa tidak bagus. Nazmi Faiz (Mansor) dan Rozaimi (Abd Rahman) adalah pemain berkualiti namun bukan untuk tempoh 90 minit dan konsisten," katanya.

Pada saingan di Myanmar, pilihan Kim Swee nyata terhad terutamanya dalam merencanakan taktikal pasukan menyebabkan beliau sering-kali berdepan situasi sukar.

Mengimbau kembali dua tahun lalu ketika mempertahankan pingat emas di Indonesia, skuad negara ketika itu sebenarnya mempunyai pelbagai karektor pemain yang sudah terbukti kemampuannya.

Ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat di gawang negara tidak perlu dipertikaikan lagi di tambah dengan kehadiran Baddrol Bakhtiar dan Asrarudin Putra Omar selain Mahali Jasuli.

Bukan saja kehadiran mereka memberi impak kepada pasukan, malah kualiti kepimpinan yang dimiliki menambah kekuatan pasukan, berbeza dengan pasukan di Myanmar tahun ini.

Apapun "nasi sudah menjadi bubur" dengan skuad negara kali ini pulang dengan tangan kosong apabila turut tewas dalam penentuan tempat ketiga kepada Singapura dengan Thailand kembali bergelar juara dengan menewaskan Indonesia di final.

Hala tuju Kim Swee juga sebenarnya masih belum tentu selepas dilantik sebagai pemangku jurulatih skuad senior kebangsaan selain beliau sendiri sudah membayangkan kurang berminat untuk terus mengendalikan pasukan di Sukan SEA.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menetapkan hala tuju sebenar Harimau Muda A, B dan C secepat mungkin agar dapat melahirkan lebih ramai pemain berkualiti bagi membolehkan jurulatih mempunyai pilihan yang tidak terhad.

Apa yang menjadi kelemahan yang berlaku di Sukan SEA kali ini perlu diperbetulkan bagi memastikan bola sepak negara tidak kembali ke zaman gelap selepas kegagalan skuad senior mempertahankan Piala AFF 2012 dengan tugasan lebih mencabar dan besar menanti seperti Sukan Asia di Korea Selatan pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

'Semangat Malaysia Boleh'

Posted: 22 Dec 2013 09:45 AM PST

Nay Pyi Taw: "Jika tidak ada semangat untuk berjuang habis-habisan, tidak mungkin kita akan dapat mencapai sasaran ini."

Demikian luahan Chief De Mission (CDM) negara Datuk Wira Amiruddin Embi yang memuji semangat tinggi ditunjukkan setiap atlet negara sehingga membolehkan kontinjen negara memenuhi sasaran 40 pingat emas.

Bagi Amiruddin, beliau berpuas hati dengan pencapaian kontinjen negara pada temasya Sukan SEA kali ini sehingga menyaksikan lagu Negaraku berkumandang sebanyak 43 kali.

"Saya faham bukan semua atlet yang terbabit dengan Sukan SEA kali ini mampu meraih kejayaan 43 emas. Tapi saya juga melihat ramai antara atlet kita begitu bersemangat untuk melakukan yang terbaik.


"Kemuncaknya ketika emas terakhir yang menyaksikan atlet kita masih mampu meraih pingat emas meskipun terpaksa berdepan sokongan padu penyokong tuan rumah," katanya.


Amiruddin merujuk kepada pencapaian luar biasa atlet muay thai Mohd Faizal Ramli yang menyumbang pingat emas terakhir negara kelmarin ketika bertemu peserta tuan rumah Aung Myint Win di depan ribuan penyokong yang memenuhi Kompleks Sukan Wunna Theikdi.

Beliau turut memuji beberapa acara yang dilihat cemerlang pada temasya kali ini antaranya karate.

Ditanya tidakkah berasa kecewa kerana kontinjen negara tidak mencapai 50 pingat emas seperti diharapkan olehnya, Amiruddin berkata, itu adalah sekadar sasaran peribadinya saja.

"Saya cuma mahu melihat bolehkah kontinjen kita membuat kejutan. Sasaran tetap 40 pingat emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

Perlu bersedia dari sekarang: Jamil

Posted: 22 Dec 2013 09:44 AM PST

Nay Pyi Taw: Persediaan bagi temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur bermula dari sekarang.

Satu jawatankuasa khas bagi persediaan ke temasya itu akan ditubuhkan Kementerian Belia dan Sukan awal tahun depan bagi memastikan setiap perkara termasuk penganjuran dan persiapan atlet berjalan lancar.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Jamil Salleh berkata, jangka masa empat tahun tidak lama dan pihaknya perlu bekerja keras dari sekarang.

"Satu jawatankuasa persediaan akan ditubuhkan dan dipengerusikan menteri (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) awal tahun depan. Kami mahu memastikan semua perkara berjalan lancar dan sasaran pencapaian atlet dapat dipenuhi," katanya.


Beliau berkata, dari segi peruntukan, Malaysia tidak berbelanja besar kerana kemudahan dan gelanggang pertandingan sedia ada terutama Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil masih boleh digunakan.


"Mungkin kita hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan kecil untuk membaik pulih beberapa kemudahan.

"Dengan persediaan awal, saya yakin kita mampu mencapai satu tahap terbaik dan atlet juga mampu membantu kontinjen negara merampas semula status juara keseluruhan," jelas Jamil.

Malaysia pernah muncul juara keseluruhan Sukan SEA ketika kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2011 dengan 111 pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

PM ucap tahniah

Posted: 22 Dec 2013 09:44 AM PST

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara yang melepasi sasaran 40 emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar.

"Sasaran 40 pingat emas tercapai. Syabas atlet Malaysia atas usaha bersungguh-sungguh mengharumkan nama Malaysia," katanya dalam catatan laman Twitter beliau.

Temasya Sukan SEA melabuhkan tirainya semalam selepas bermula secara rasmi pada 4 Disember lepas.

Kontinjen negara mengutip 43 emas, 38 perak dan 77 gangsa, mengatasi sasaran 40 emas yang diletakkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

Permata masa depan

Posted: 22 Dec 2013 09:43 AM PST

Nay Pyi Taw: Selayaknya atlet wushu negara, Phoon Eyin diberi fokus yang tidak berbelah bahagi memandangkan atlet muda ini menyumbang pingat emas ke-1,000 sepanjang pembabitan negara di Sukan SEA Myanmar.

Meski tercetus sedikit kontroversi mengenai ketiadaan Chef de Mission untuk upacara penyampaian pingat, semuanya berakhir dengan baik.

Skuad terjun pula perlu diberi pujian apatah lagi majoriti daripada mereka memenangi lebih daripada satu pingat emas.

Ooi Tze Liang memenangi pingat emas dala tiga acara, Cheong Jun Hong (dua) malah atlet senior seperti Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee turut menyumbang.


Namun fokus pastinya terarah kepada Muhammad Nazreen Abdullah yang memenangi pingat emas dalam acara 10m platform individu dan 10m platfrom seirama bersama Tze Liang. Dia baru berusia 15 tahun.


Di pentas olahraga, Mohd Jironi membawa pulang dua pingat emas dalam acara 800m dan 1,500m lelaki sementara Mohd Irfan Shamsudin memecah rekod kebangsaan, 53.16m untuk acara lempar cakera.

Perkhabaran yang gembira buat olahraga yang tercari-cari keputusan positif sejak diterajui orang baru.

Christina Loh pula membuktikan dirinya masih seorang ratu renang negara apabila memenangi pingat emas menerusi acara 100 dan 200m kuak dada wanita.

Tidak dilupakan pemanah Olimpian, Khairul Anuar Mohamad yang memenangi pingat emas acara individu dan berpasukan.

Atlet bina badan negara, Wong Hong juga tidak menghampakan. Ketika tumpuan terarah kepada sang ikon, Sazali Samad, atlet yang bertanding dalam kategori 90kg itu pula yang berpeluang menyanyikan Negaraku pada hari terakhir acara berkenaan.

Di Lapang Sasar North Dagon, Eddy Chew boleh diibaratkan sebagai permata yang perlu digilap. Menang satu emas, satu perak dan dua gangsa pastinya melakar satu pencapaian peribadi yang membuatnya tersenyum puas.

Ia juga menunjukkan acara pistol lebih menyerlah kali ini berbanding raifal.

Kini, dengan berakhirnya Sukan SEA, tumpuan perlu segera diarahkan kepada temasya sukan lebih besar tahun depan.

Siapa tahu, kehadiran mereka kelak mampu memperbaiki pencapaian pungutan pingat di Delhi dan Guangzhou empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

Penyelamat sasaran emas!

Posted: 22 Dec 2013 09:42 AM PST

Nay Pyi Taw: Secara logiknya pastinya pasukan paling banyak memenangi pingat emas wajar dilihat sebagai pasukan paling menyerlah di Sukan SEA Myanmar kali ini.

Menepati sasaran, malah ada yang melepasi sasaran ditetapkan menjadikan atlet, apatah lagi jurulatih dan pengurus sukan pulang dengan riang ke Kuala Lumpur.

Sukan seperti karate, terjun dan renang sentiasa tidak menghampakan malah dianggap penyelamat misi memburu 40 pingat emas.

Tujuh daripada karate, lapan (terjun) dan tiga (renang) membuktikan mereka yang terbaik di Asia Tenggara.

Foto

LEONG Mun Yee (kiri) dan Nur Dhabi raih emas ke-42 negara.


Karate misalnya sentiasa menyumbang untuk pungutan pingat Sukan SEA. Biarpun berdepan masalah dengan media berhubung liputan sesi latihan sebelum kejohanan, ia tidak langsung mengganggu fokus mereka untuk pulang dengan tujuh emas.


Penerjun kita juga mempunyai reputasi digeruni. Melihat senarai nama yang membariskan Pandelela Rinong, Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong dan penerjun muda Mohd Nazreen Abdullah, tidak mustahil misi memburu emas mudah menjadi kenyataan.

Tidak ketinggalan juga dua emas disumbangkan pasukan hoki lelaki dan wanita menerusi rekod tanpa kalah.

Beberapa sukan dilihat memenuhi sasaran seperti silat, memanah, wushu dan menembak, agak melegakan meskipun ada diantaranya menjadi mangsa pengadilan juri.

Namun kejutan sebenarnya lebih terarah kepada pasukan yang pada mulanya tidak diletakkan harapan menggondol pingat, mereka pula yang pulang dengan kilauan emas.

Muay Thai yang kali pertama menyaksikan penyertaan Malaysia ke Sukan SEA, menyumbang emas menerusi Lokman Akimi Mat Roji (kategori 51kg) dan Mohd Faizal Ramli.

Tidak ketinggalan ekuestrian yang menyumbang tiga pingat emas biarpun tidak menggunakan kuda sendiri untuk temasya kali ini.

Jauh di Pantai Ngwesaung, pelayaran pula menyumbang dua emas menerusi Khairulnizam Mohd Afendy (Laser Standard) dan Mohd Faizal Norizan/Ahmad Shukri Abdul Aziz (International 420).

Namun satu persoalan yang pasti, mampukah mereka ini terus bertahan dalam sukan negara atau sekadar cemerlang di sini dan 'bungkus' pada temasya berikutnya.

Paling penting, jangan ada lagi isu dalam persatuan yang pada akhirnya menjejaskan reputasi sukan itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

Mengecewakan...

Posted: 22 Dec 2013 09:40 AM PST

Nay Pyi Taw: "Atlet bertaraf dunia namun gagal meraih pingat emas di pentas Asia Tenggara".

Itulah gambaran terhadap beberapa jenis sukan yang gagal mencapai tahap atau yang diharapkan pada Sukan SEA ke-27 kali ini.

Paling mengecewakan pastinya skuad berbasikal lebuh raya negara yang masih kempunan untuk meraih emas selepas kali terakhir muncul juara menerusi Suhardi Hassan pada 2005 di Filipina, tempoh masa yang agak panjang kerana kini perlu menunggu edisi ke-28 di Singapura.

Mereka membariskan pelumba profesional berbanding negara lain yang kebanyakkannya adalah amatur.

Foto

SKUAD berbasikal lebuh raya masih kempunan emas.


Malah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) turut terdesak untuk menamatkan kemarau emas apabila menawarkan RM20,000 untuk muncul juara dalam acara individu atau berpasukan elit lelaki.


Namun selagi tiada keikhlasan sesetengah individu yang terbabit dalam sukan ini, selagi itulah kejayaan tidak akan mampu dikecapi.

Bermula dengan kontroversi pengguguran dua pelumba pecut terbaik negara, Anuar Manan dan Mohd Hariff Salleh, kem berbasikal dibayangi isu boikot pelumba negara selepas pelumba berpengalaman Mohd Zamri diketepikan tanpa alasan kukuh.

Namun ia bukanlah alasan untuk gagal memenuhi sasaran satu emas yang ditetapkan kerana pengalaman dan kemahiran jelas dimiliki mereka untuk mencipta kejayaan namun sebaliknya berlaku.

Badminton juga sekadar meraih satu pingat emas itupun menerusi beregu wanita Vivian Hoo/Woo Khe Wei ketika barisan pemain berpengalaman negara seperti Chong Wei Feng diterbangkan ke Nay Pyi Taw kali ini.

Melengkapkan kekecewakan berterusan adalah sepak takraw yang tidak bermaya langsung sepenjang temasya yang kali terakhir memenangi emas adalah pada edisi 2005.

Tidak ketinggalan atlet tinju yang pulang tanpa emas. Program latihan dan pendedahan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) gagal kerana tiga peninjunya -Mohd Fuad Redzuan, Khir Akyazlan Azmi dan Azman Manshar- sekadar meraih gangsa ketika G Ramkumar yang mengeluarkan perbelanjaan sendiri berlatih di luar negara meraih pencapaian lebih baik iaitu pingat perak.

Olahraga yang menjadi tradisi penyumbang emas paling banyak turut mendukacitakan.

Mereka hanya mampu meraih empat emas menerusi Mohd Jironi Reduan (800 dan 1500m), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Nauraj Singh (lompat tinggi).

Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) turut gagal memenuhi sasaran tiga emas yang ditetapkan walaupun meneruskan tradisi kejuaraan menerusi acara recurve individu dan berpasukan.

Pemanah acara compound perlu diberikan perhatian serius oleh NAAM apabila sekadar menyumbangkan satu perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

Mampu tersenyum selepas capai sasaran

Posted: 22 Dec 2013 09:33 AM PST

Lega. Itu perkataan pertama yang terlintas difikiran saya selepas kontinjen negara mencapai sasaran 40 pingat emas menerusi acara terjun kelmarin.

Kebetulan saya sendiri membuat liputan emas yang ditunggu-tunggu oleh kontinjen negara itu di Pusat Akuatik Wunna Theikdi yang disumbangkan oleh Muhammad Nazreen Abdullah serta Ooi Tze Liang menerusi acara 10 meter platform seirama lelaki.

Lega bukan kerana sudah selesai tugasan saya di sini, sebaliknya lega kerana akhirnya sasaran itu tercapai pada hari terakhir pembabitan atlet negara pada temasya Sukan SEA kali ini.

Sebelum itu, saya sendiri agak ragu-ragu mampukah kontinjen kali ini melepasi sasaran itu selepas melihat pergerakan agak perlahan emas yang diraih atlet negara.


Ditambah dengan kegagalan beberapa acara dan prospek untuk menghadiahkan emas, keraguan saya semakin bertambah.


Rupa-rupanya bukan saya saja berasa 'cemas', orang-orang penting seperti Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong serta Chief De Mission (CDM) negara, Datuk Wira Amiruddin Embi juga mengakui perasaan sama.

Kelmarin, barulah mereka semua boleh tersenyum. Namun di sebalik semua itu, kita harus mengakui pencapaian 43 emas, 38 perak dan 77 gangsa pada temasya Sukan SEA ke-27 kali ini, sebenarnya agak perit untuk dicapai.

Melihat kepada pencapaian lampau kontinjen negara, biasanya emas yang diperolehi jauh lebih banyak daripada yang disasarkan.

Tidak apalah, perkara itu lebih layak difikirkan oleh pihak-pihak atasan seperti Kementerian Belia dan Sukan. Bagi kami petugas media, jujur tetap berasa bangga dengan pencapaian kontinjen negara kali ini.

Oleh kerana ini kolum terakhir saya di bumi Myanmar, mohon maaf kepada semua.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

Tebus kecewa

Posted: 22 Dec 2013 09:32 AM PST

Johor Bahru: Pelumba basikal negara ke Sukan SEA Myanmar, Muhd Zulhafiz Saifuddin, 19; Shahrin Amir, 31; Masziyaton Md Radzi, 25 dan Junaidah Juss, 25, menebus kekecewaan di temasya dwi tahunan itu apabila muncul juara dan naib juara Jamboree Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita Sirkit 5 Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini, semalam.

Tempat ketiga kategori Terbuka Lelaki dimenangi Mohd Shafari Abd Malik, 30, manakala ketiga Terbuka Wanita disandang Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, 14 dalam perlumbaan sejauh 45 kilometer.

Sirkit terakhir kejohanan basikal anjuran Harian Metro itu mendapat sambutan hangat penduduk tempatan dan luar negara apabila disertai 1,500 peserta termasuk 300 pelumba luar negara dari Singapura, Denmark dan Filipina.

Selain itu keluarga terutama kanak-kanak yang menemani pelumba turut mengambil bahagian dalam pelbagai acara menarik disediakan penganjur dan penaja termasuk Kiddy Fun Ride dan Free Ride.

Foto

MASZIYATON (kiri) dan Zulhafiz cemerlang di Mutiara Rini.


Johan setiap kategori membawa pulang RM700, pingat dan basikal; kedua RM600, pingat dan cenderahati manakala ketiga, RM500, pingat dan cenderahati.


Perlumbaan dilepaskan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Mohammad Azlan Abdullah bersama Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid; Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Abdul Ghafar Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar.

Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia (Johor) Edzuar Zar Ayob Azari dan Yang Dipertua MPJBT, Salehuddin Hassan, Ketua Polis daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamed dan Ketua Biro Harian Metro Johor, Nazarali Saeril.

Sementara itu, Muhd Zulhafiz ketika ditemui berkata, walaupun masih penat sekembali dari Myanmar, dia dan rakan tidak mahu melepaskan perlumbaan terakhir anjuran Harian Metro itu.

"Kami baru tiba malam semalam (kelmarin) namun bersyukur kerana masih mampu memenangi perlumbaan ini.

"Kami sebenarnya kecewa kerana gagal beraksi cemerlang pada Sukan SEA Myanmar dan terus pulang untuk mengambil bahagian.

"Syukurlah, walaupun terjatuh saya masih dapat muncul juara berkat bantuan rakan-rakan," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafari berkata, walaupun Harian Metro baru pertama kali menganjurkan kejohanan basikal bukit, kemudahan dan trek yang disediakan tetap mencabar dan menitik beratkan aspek keselamatan.

Katanya, dia, Zulhafiz dan Shahrin sering menyertai perlumbaan basikal lasak di seluruh negara, namun memuji kejohanan anjuran Harian Metro kerana menawarkan hadiah yang lumayan.

"Sebagai penunggang profesional, kami mengejar wang kemenangan dan berpuas hati dengan segala aspek kejohanan ini.

"Selain itu, saya dapati kejohanan ini sesuai kepada pelumba baru dan mereka yang ingin berbasikal bersama keluarga kerana aspek keselamatan tinggi diberikan," katanya.

Menurutnya, selain beraksi menentang pelumba negara, dia berpuas hati kerana kejohanan ini turut menarik minat pelumba asing yang menguji ketahanan pelumba kebangsaan.

Kategori remaja dimenangi Khuzairi Bakar, 22; Koo Ming Giang, 18 dan Ma Chau Ying, 20, manakala kategori veteran dijuarai Ah Yong, 45; Morgen Hansen, 46 dan Noradzman Roslan, 47.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

Sirkit terakhir meriah disertai pelumba luar negara

Posted: 22 Dec 2013 09:30 AM PST

Johor Bahru: Sirkit terakhir Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia yang diadakan di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Mutiara Rini disertai 1,500 peserta.

Lebih menarik, seramai 300 peserta dari Singapura, Denmark dan Filipina turut mengambil bahagian bagi menggamatkan lagi perlumbaan terakhir tahun ini.

Kejayaan penganjuran lima sirkit bermula di Putrajaya, Kellie's Castle (Batu Gajah, Perak), Bukit Mawi (Marang, Terengganu) dan Lembah Bujang (Merbok, Kedah) bukan saja berjaya mencungkil bakat baru malah menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat yang kini dilihat mula berbasikal bersama keluarga.

Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Abdul Ghafar Ismail berkata, sebagai penganjur, pihaknya berpuas hati dengan sambutan diberikan peminat basikal lasak di seluruh negara.

Foto

ABDUL Ghafar (kanan) melepaskan peserta MTB Sirkit lima.


Selain itu, katanya, penganjur berterima kasih kepada semua pihak termasuk MPJBT dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang bekerjasama dengan Harian Metro bagi menjayakan kejohanan ini.


Menurut beliau, melihat sambutan menggalakkan di semua lima lokasi, Harian Metro komited untuk meneruskan penganjuran tahun depan.

"Kami berbesar hati kerana MTB Harian Metro turut terpilih dalam pakej berbasikal diperkenalkan Tourism Malaysia dan sudah mencapai persetujuan lisan untuk meneruskan kerjasama ini untuk beberapa tahun akan datang.

"Pada lima sirkit yang dianjurkan, kami menerima 7,500 penyertaan dan ia membuktikan budaya berbasikal mendapat sambutan menggalakkan.

"Buat masa ini, kami masih merancang tarikh dan lokasi penganjuran bagi tahun depan namun keutamaan akan diberikan kepada negeri yang belum dijelajah pada tahun ini," katanya.

Abdul Ghafar berkata, kejohanan itu juga bukan bertujuan mencungkil bakat terpendam malah memberi peluang kepada keluarga mengayuh basikal secara santai sekali gus melahirkan budaya hidup sihat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

No comments:

Post a Comment