Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Nak pikat Darby'

Posted: 28 Dec 2013 04:43 AM PST

Kota Bharu: Sebaik kecederaan yang dialaminya pulih, hanya satu yang ada di dalam fikiran pemain pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abd Halim iaitu mahu menambat hati ketua jurulatih Steve Darby (gambar) bagi memastikan namanya berada di dalam kesebelasan utama untuk musim 2014 nanti.

Nik Shahrul Azim atau lebih dikenali sebagai 'Poknik', mengalami kecederaan lutut ketika membantu Harimau Muda menjulang Pesta Bola Merdeka September lalu sekali gus menyaksikan dia turut terlepas peluang menyertai skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee di temasya Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.


Bagaimanapun, Nik Shahrul berkata, kecederaan yang dialaminya sudah beransur pulih dan sudah menjalani latihan lebih lasak sekali gus membuatkan pemain berusia 22 tahun dari Rantau Panjang, Kelantan itu tekad mahu berusaha keras memikat pengendali baru TRW itu.

Katanya, selepas berlaku rombakan besar dalam senarai pemain TRW bagi saingan musim depan, terdapat saingan untuk merebut tempat terutama di posisi pertahanan.


"Sekarang TRW dibimbing jurulatih baru dan saya perlu menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama. Saya lega kecederaan semakin pulih dan saya yakin dapat beraksi sebaik musim bermula.


"Untuk musim depan, TRW ada ramai pemain baru dan mereka semuanya berpengalaman malah keadaan ini mungkin memberi sedikit saingan. Tapi saingan ini bagus untuk pasukan kerana semua pemain akan lebih bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang MARDI, Pasir Tumboh di sini, baru-baru ini.

Foto

NIK Shahrul (kanan) gigih berlatih.

Ternyata kekecewaan Nik Shahrul yang terlepas peluang menyarung jersi kebangsaan pada temasya Sukan SEA tidak mematahkan semangatnya untuk terus meningkatkan prestasi bersama skuad TRW.


Sementara itu, Darby berkata, Nik Shahrul sudah kembali pulih dan mampu menjalani latihan lasak selain mempercayai kebolehan pemain muda itu untuk beraksi mantap di bahagian pertahanan.

Katanya, sebagai pemain muda yang mempunyai pengalaman beraksi di dalam pasukan kebangsaan, Nik Shahrul perlu menunjukkan kesungguhan selepas pulih daripada kecederaan sekali gus mengekalkan prestasi cemerlangnya seperti musim lalu.


"Nik Shahrul pemain muda yang bagus dan kita perlukan pemain sepertinya. Saya lega dia sudah pulih dan dapat menjalani latihan bersama rakan sepasukan.


"Dia (Nik Shahrul) mempunyai pengalaman bermain dengan pasukan negara dan itu membuatkan saya lebih senang untuk memberi arahan dan tunjuk ajar bagi meningkatkan prestasinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Wenger mahu padam kritikan

Posted: 28 Dec 2013 04:37 AM PST

Newcastle: Arsene Wenger menghambur cabaran kepada anak buahnya supaya menundukkan Newcastle malam ini bagi membolehkan mereka menamatkan tahun 2013 selaku pendahulu liga sekali gus memadam terus kritikan yang dilemparkan kepada mereka selama ini.

Walaupun Gunners masih gagal memenangi sebarang kejuaraan sejak 2005, tidak dapat dinafikan 2013 adalah antara tahun terbaik mereka.


Catatan 79 mata yang pernah dilakar adalah yang terbaik di dalam Liga Perdana dan masih belum ada pesaing yang berjaya mengatasi rekod berkenaan.

Arsenal kembali mengambil alih kedudukan teratas dari Liverpool selepas mencatat kemenangan 3-1 di West Ham.


Tetapi itu tidak meredakan kritikan yang diterima terutama selepas dibelasah 6-3 oleh Manchester City dan peminat mendakwa pemain Arsenal tidak mempunyai kekuatan mental untuk bertahan.


Wenger bagaimanapun percaya kebangkitan yang dipamerkan anak buahnya di West Ham adalah bukti betapa Arsenal sudah berjaya mencipta ramuan untuk memenangi gelaran liga buat pertama kali sejak 2004.

"Itulah buktinya kami mampu bangkit walaupun ketinggalan. Memang ada perlawanan yang menyaksikan kami tewas setiap kali ketinggalan tetapi kami sudah berjaya menafikannya kali ini," katanya.


"Kami akan mengharungi satu lagi perlawanan sengit di Newcastle Ahad ini kerana mereka penuh keyakinan tetapi ia adalah ujian lain buat kami. Pasukan kami mahu mencipta kemenangan dan karektor pemain pula sudah berbeza. Tahap keyakinan kami semakin mantap." Wenger sedar pemain lawan Loic Remy mampu menghadirkan masalah buat pertahanannya tetapi pergerakan pemain itu pasti dikekang Laurent Koscielny yang sudah boleh beraksi.

Remy yang dipinjam dari QPR, sudah meledak 10 gol dan rekod perlawanan kedua-dua pasukan menyaksikan banyak gol bakal terhasil kerana Arsenal menang 7-3 di tempat sendiri tahun lalu manakala kedua-dua pasukan seri 4-4 di Tyneside pada 2011.


"Remy adalah penyerang yang bagus dan dia juga pantas. Kami perlu mengekangnya," kata Wenger yang tidak dapat menurunkan Aaron Ramsey tetapi boleh berharap kepada Jack Wilshere yang sudah boleh bermain.


Sementara itu, pertahanan Arsenal Per Mertesacker mengakui Wenger masih perlu mengukuhkan pasukannya dalam usaha mengejar gelaran musim ini.


"Kami perlukan pemain tambahan. Kami pernah mengharapkan perkara itu sebelum datangnya Mesut Ozil tetapi kali ini, kami harap ada pemain lain yang akan masuk terutama bagi menggantikan pemain kami yang cedera," kata Mertesacker.


"Kami sudah kehilangan Aaron Ramsey akibat kecederaan dan justeru, kami perlukan pemain yang boleh menggantikannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Sherwood tekad bawa pulang tiga mata

Posted: 28 Dec 2013 04:37 AM PST

London: Tim Sherwood akan meneruskan usahanya memikat pucuk pimpinan kelab dengan memastikan Tottenham berjaya mengelak satu lagi kekecewaan di laman sendiri apabila Stoke bertandang ke White Hart Lane, malam ini.

Sherwood memulakan tugas pertama selepas menandatangani kontrak 18 bulan untuk menggantikan Andre Villas-Boas selaku pengurus Tottenham dengan keputusan seri ketika menentang West Bromwich Albion, pertengahan minggu lalu.


Keputusan itu melebarkan rekod kekecewaan buat Spurs di laman sendiri apabila gagal menang sepanjang empat perlawanan Liga Perdana selain tersingkir dari saingan Piala Liga di tangan West Ham.

Aksi tidak konsisten Tottenham itu mengakibatkan mereka kini ketinggalan lima mata di belakang empat pasukan teratas dan untuk pertemuan menentang Stoke, pemain tengah Lewis Holtby mengakui keputusan selain menang ke atas skuad bimbingan Mark Hughes itu akan membuatkan mereka tercicir dari saingan Liga Juara-Juara musim depan.


"Kami perlu menang ke atas Stoke kerana adalah penting untuk kami berada dekat dengan empat pasukan teratas," kata Holtby.


"Ia adalah keputusan yang mengecewakan ketika kami menentang West Brom. Semua orang mahu menang, kami perlukan kemenangan tetapi kami gagal mencapainya.

"Kami perlu terus berusaha. Mental kami perlu kuat." Ia adalah tugas Sherwood untuk memastikan anak buahnya bangkit selepas menyaksikan mereka sekadar mencatat satu kemenangan, satu tewas dan satu seri sejak mengambil alih pasukan berkenaan.


Bekas pemain tengah Spurs itu mengakui pengerusi Daniel Levy mengambil risiko tinggi dengan melantiknya tetapi beliau tidak mempunyai pilihan selain bangkit membuktikan kebolehan.

"Saya katakan begitu kerana saya tidak pernah melakukannya sebelum ini," kata Sherwood. "Tetapi ramai pengurus lain yang tidak pernah berbuat demikian tetapi berjaya juga akhirnya." Sherwood berharap dapat menurunkan Aaron Lennon selepas pemain sayap itu terlepas aksi bertemu West Brom gara-gara kecederaan perut tetapi Jermain Defoe dan Mousa Dembele belum pasti bermain.


Pemain tengah Brazil Paulinho sudah boleh bermain selepas menjalani penggantungan manakala pemain pertahanan Kyle Walker terpaksa duduk di bangku simpanan apabila menerima dua kad kuning. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Suarez kembali ke Stamford Bridge

Posted: 28 Dec 2013 04:36 AM PST

London: Selepas menjalani hukuman gantung kerana menggigit lengan Branislav Ivanovic di Anfield tahun lalu, penyerang Liverpool Luis Suarez akan kembali beraksi di Stamford Bridge malam ini aksi pertamanya menentang Chelsea selepas insiden berkenaan.

Di Anfield tahun lalu, kedua-dua pasukan seri 2-2 dan keupayaan Suarez hangat diperkatakan terutama apabila Liverpool gagal menduduki salah satu daripada empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris.


Musim ini, mereka kembali lebih bersemangat untuk mengejar kejuaraan dan walaupun tewas 2-1 di tangan Manchester City, Khamis lalu, kehadiran mereka ke Stamford Bridge kali ini hanya dengan ketinggalan satu mata di belakang kelab bimbingan Jose Mourinho itu.

Suarez pula sedang meniti aksi terbaiknya sepanjang bersama Liverpool apabila menjaringkan 19 gol dalam 13 perlawanan.


Chelsea pula berdepan masalah ketumpulan penyerang - Fernando Torres, Samuel Eto'o dan Demba Ba - yang hanya menjaringkan lima gol setakat ini.


Eden Hazard tampil mempertahankan pasukannya ketika bertemu Swansea City, Khamis lalu apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan tetapi Mourinho sedar apa akibatnya jika Suarez dibiarkan bebas di dalam kotak penalti pasukannya.

"Saya harap Suarez cedera," kata Mourinho sambil bergurau. "Saya tidak mengharapkan dia cedera berat. Cuma cedera ringan yang boleh menghalangnya beraksi selama tiga atau empat hari saja." Pengurus Liverpool Brendan Rodgers pula mahu membuktikan keupayaannya selaku pengendali kerana pernah bekerja sebagai pembantu Mourinho ketika jurulatih Portugal itu membimbing Chelsea buat kali pertama pada 2004 hingga 2007.


"Bagi kami, tidak ada perlawanan lain yang lebih sengit," kata Rodgers. "Kami akan bersaing dengan pasukan yang selama ini sering mahu membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik di dalam liga.

"Mereka boleh mengubah keseluruhan pasukan tetapi tetap berpeluang menduduki tangga teratas liga. Kami akan cuba melakukan yang terbaik. Itulah yang kami lakukan selama ini.


"Kualiti yang kami pamerkan setakat ini membuktikan kekuatan kami." Kapten Liverpool Steven Gerrard serta Jon Flanagan masih belum boleh diturunkan manakala penyerang pinjaman Chelsea Victor Moses tidak boleh bermain kerana terikat dengan syarat kontrak pinjamannya.


Mereka akan bersama-sama Daniel Sturridge yang cedera di pergelangan kaki serta Jose Enrique yang cedera di lutut sekali gus bermakna Rodgers akan menurunkan pemain sama seperti yang dipertaruhkan ketika menentang City.


Sementara itu, Chelsea akan bermain tanpa Ramires yang digantung selepas menerima kad kuning kelima ketika menentang Swansea. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

FA arah Rodgers beri penerangan

Posted: 28 Dec 2013 04:35 AM PST

London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers diarah oleh Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris untuk menerangkan lebih lanjut dakwaannya yang mengatakan pengadil Lee Mason bertindak berat sebelah ketika pasukannya tewas di tangan Manchester City.

Rodgers mempersoalkan keputusan FA Inggeris melantik Mason untuk mengadili perlawanan yang menyaksikan Liverpool tewas 2-1 di tangan City, Khamis lalu atas alasan pengadil berkenaan berasal dari Manchester.


Pengurus Reds itu kecewa dengan beberapa keputusan yang dibuat Mason serta pembantunya di Eastlands tetapi FA Inggeris mengarahkannya untuk menerangkan lebih lanjut mengapa beliau membuat kenyataan sedemikian.

Perkara pertama yang membuatkan Liverpool kecewa ialah apabila jaringan Raheem Sterling dibatalkan akibat ofsaid sedangkan rakaman menunjukkan penyerang itu berada di dalam kedudukan yang tepat.


Luis Suarez turut tidak dibenarkan mendapat sepakan percuma di hujung kotak penalti walaupun dikasari Joleon Lescott.


Jurucakap FA Inggeris berkata: "Kami sudah menghubungi Brendan Rodgers untuk mendapatkan kenyataan lanjut beliau berhubung dakwaan yang dibuat selepas perlawanan dengan Manchester City." Rodgers diberi tempoh hingga 2 Januari untuk memberikan jawapan kepada badan induk berkenaan sebelum mereka memutuskan sama ada tindakan lanjut perlu diambil atau tidak.

Rodgers berdepan amaran atau denda jika didapati bersalah mengkritik keputusan FA Inggeris.


Sebelum dihubungi FA Inggeris, Rodgers berkata bahawa beliau akan mempertahankan kenyataannya kerana terbukti Mason berasal dari Manchester dan ada kemungkinan pegawai itu berat sebelah.

"Saya cuma bersikap jujur. Saya rasa FA dan Persatuan Pengadil sedar bahawa saya adalah seorang yang kuat menyokong pegawai perlawanan sebelum ini," katanya. "Saya bukan orang yang selalu bertelagah dengan pengadil. Saya sering menghormati mereka dan saya turut mengarahkan kakitangan saya untuk berbuat demikian.


"Saya rasa mereka sedar bahawa jika saya membuat kenyataan sebegitu, sudah tentu ada sebabnya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

'Mackay memang patut dipecat'

Posted: 28 Dec 2013 04:32 AM PST

London: Malky Mackay memang patut dipecat oleh Cardiff City, kata bekas pemilik kelab Sam Hammam.

Pengendali kelahiran Scotland berusia 41 tahun itu dipecat Jumaat lalu selepas menabur bakti selama dua tahun setengah selain hubungannya yang semakin dingin dengan Tan Sri Vincent Tan.


"Pemecatan Malky adalah perkara yang tepat. Satu-satunya masalah yang berlaku ialah, pemecatan itu sepatutnya dibuat lebih awal," kata Hammam.

Mackay membimbing Cardiff ke final Piala Liga 2012 selain menjuarai Liga Kejuaraan musim lalu sekali gus membolehkan mereka beraksi di Liga Perdana.


Tetapi hubungannya yang semakin dingin dengan ahli perniagaan Malaysia, Tan bermula apabila Mackay meluahkan keinginannya untuk membeli tiga pemain baru ketika musim perpindahan bulan depan.


Kenyataan Mackay itu pantas dibidas Tan yang mengumumkan bahawa beliau tidak akan memberi satu sen pun kepada pengurus itu untuk mendapatkan pemain baru selain pernah menulis surat kepada Mackay supaya beliau meletak jawatan atau berdepan risiko pemecatan.

Hammam yang memegang saham terbesar Cardiff City antara tahun 2000 dan 2006, berkata pemergian Mackay adalah sesuatu yang perlu selepas perbalahan dengan pemilik baru semakin hangat diperkatakan umum.


"Jika pemilik dan pengurus tidak lagi boleh bekerjasama, bagaimana mereka mahu mengadun pasukan kuat? "Vincent adalah pemilik dan justeru, Malky perlu pergi. Ia bukan soal salah atau betul atau apa yang pernah dicapai Malky tetapi ini adalah soal hubungan anda dengan pemilik." Hammam memuji keupayaan Mackay yang berjaya memacu Cardiff kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 52 tahun.

Begitupun, Hammam percaya kekuatan kewangan yang dimiliki Tan memudahkan kerja Mackay.


"Adakah kelab itu berjaya disebabkan Vincent atau Malky?" katanya.


"Sejak beberapa minggu lalu, banyak perkara yang berlaku. Mula-mula, Simon Lim (Ketua Eksekutif Cardiff) mendakwa Vincent Tan mengkritik Malky Mackay secara terbuka.


"Pencarian pengurus baru bermula sejak itu dan saya mungkin mencadangkan Ole Gunnar Solskjaer." Hammam mendakwa perbalahan sebenar antara pemilik dan pengurus itu bermula sejak Cardiff dinaikkan ke Liga Perdana kerana Tan merasakan Mackay banyak membazirkan wang kelab sedangkan tindakan itu tidak mendatangkan kesan kepada prestasi pasukan.


Kini, Mackay sudah pergi dan Hammam berkata apa yang penting ialah Cardiff perlukan seorang pengurus yang lebih berpijak di bumi nyata dan paling penting, jangan membazirkan duit kelab. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

PBMM tukar format kejohanan

Posted: 28 Dec 2013 04:31 AM PST

Alor Setar: Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) mengambil keputusan untuk menukar format kejohanan yang sudah mencecah umur 75 tahun itu kepada perlawanan peringkat daerah di setiap negeri dan hanya juara yang akan beraksi pada pertandingan Proton Piala Emas Raja-Raja 2014.

Presiden PBMM Takiyuddin Hassan berkata, pertandingan di daerah itu akan dimulakan selepas tamat saingan Liga Malaysia.


Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan lebih ramai pemain muda dapat ditampilkan pasukan bertanding dan persetujuan Proton untuk menjadi penaja utama disifatkan sebagai tindakan tepat bagi mengembalikan kegemilangan pertandingan yang selama ini dianggap sebagai kelas dua saja.

"Pertandingan Piala Emas Raja-Raja sudah pasti mampu mengetengahkan ramai muka-muka baru yang tidak berpeluang beraksi dengan pasukan utama negeri kerana tidak mendapat peluang dan format baru ini akan memastikan mereka yang berbakat tidak tertinggal.


"Perlawanan Piala Agong iaitu perlawanan di antara dua bekas juara akan di teruskan dan perlawanan ini boleh dianggap sama seperti perlawanan sumbangsih sebelum pertandingan Liga Malaysia bermula.


"Tahun ini, hadiah wang tunai turut dinaikkan kepada RM40,000 untuk juara Piala Agong serta piala iringan dan naib juara akan menerima RM20,000 dan hanya 23,000 tiket saja akan di jual di Stadium Darulaman yang mampu menampung seramai 30,000 penonton," kata Takiyuddin.

Katanya, PBMM sedang dalam proses mengadakan pemilihan tiga jawatan utama dan ia akan berlangsung hari ini di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar, Kedah tetapi lazimnya, jawatan Presiden tidak akan dicabar dan beliau juga menjangka Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Lukman Ibrahim akan dipilih sebagai Timbalan Presiden PBMM.


"Lukman akan mengambil alih tempat Datuk Mahfuz Omar yang meletakkan jawatannya dan empat Naib Presiden juga di jangka dibarisi muka-muka baru. Saya yakin perkembangan ini mampu memantapkan lagi PBMM bagi menyumbangkan tenaga dalam erti kata sebenar demi pembangunan bola sepak tanah air.

"Semua urusan di Stadium Darulaman akan di uruskan oleh PBMM dan saya yakin dengan usaha mereka untuk memastikan perlawanan akhir akan berjalan dengan lancar tanpa apa-apa insiden yang akan mencemarkan nama pertandingan.


"Tiket bagi tempat duduk utama ialah RM15 dan tempat duduk biasa RM10. Kenaikan harga ini adalah disebabkan ia perlawanan akhir dan tuan rumah juga terpaksa menanggung segala perbelanjaan pengurusan perlawanan," kata Takiyuddin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Sejarah hitam

Posted: 28 Dec 2013 04:30 AM PST

Kuantan: Kejadian banjir besar di beberapa daerah di Pahang baru-baru ini turut mengakibatkan kediaman empat pemain skuad Pahang dinaiki air lebih dua meter sekali gus mengakibatkan mereka kerugian harta benda.

Selain kerosakan perkakas elektrik dan perabot, ada di antara mereka berdepan kerugian lebih besar apabila kenderaan masing-masing yang tidak sempat dialih, rosak teruk gara-gara air naik terlalu cepat.


Bagi penjaga gol Tok Gajah, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, 24, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah Kampung Seri Belat yang didiaminya selepas lebih 30 tahun dibangunkan apabila paras air mencecah dua meter.

Menurutnya, di kawasan yang lebih rendah, paras air melebihi empat meter hingga menyebabkan banyak rumah termasuk kenderaan tenggelam dan kerugian besar terpaksa ditanggung penduduk.


Katanya, ketika banjir 2001 yang menyebabkan hampir keseluruhan perumahan Sungai Isap ditenggelami banjir, paras air di Kampung Seri Belat ketika itu hanya mencecah buku lali saja dan tidak menjejaskan aktiviti seharian penduduk.


"Namun kejadian banjir kali ini merubah segala-galanya. Saya sekeluarga tidak sempat menyelamatkan perabot dan peralatan elektrik berikutan air naik begitu cepat selain tidak menjangka banjir besar boleh berlaku.

"Lebih memilukan apabila kereta Proton Saga milik arwah ayah turut sama tenggelam, saya tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya hanya dapat melihat saja," katanya.


Mohd Khairul Azhan atau lebih dikenali dengan panggilan Yan berkata, dia sekeluarga kerugian lebih RM6,000 disebabkan banjir kali ini yang akan menjadi kenangan penduduk setempat.

Bagi R Gopinathan, 24, (gambar) yang tinggal di perumahan Tanah Putih Baru, kejadian banjir yang berlaku itu tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila kerana ia adalah kali pertama rumahnya ditenggelami air.


"Air naik lebih dua meter menyebabkan banyak barangan dalam rumah rosak. Saya sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah saudara selepas diarahkan pihak berkuasa yang bimbang kejadian buruk berlaku berikutan arus deras dan kedudukan rumah hampir dengan Sungai Kuantan.


"Selepas lebih 20 tahun menetap di perumahan Tanah Putih Baru, kejadian banjir kali ini tidak mungkin dapat dilupakan. Sebelum ini saya hanya melihat, namun kali ini terpaksa merasainya sendiri," katanya.


Menurutnya, kejadian banjir itu menjadi sejarah hitam buatnya sekeluarga selepas lebih 15 tahun menetap di kawasan berkenaan.


Begitupun, Gopinathan lebih simpati kepada mangsa banjir terutama di Sungai Isap, Tanah Putih Baru, Kampung Seri Belat dan Bukit Rangin yang terpaksa menanggung kerugian besar apabila banyak harta benda mereka musnah dalam sekelip mata.


Ketua pasukan Pahang, Jalaluddin Jaafar berkata, walaupun tidak banyak kerosakan harta benda namun kejadian banjir kali ini mencatat sejarah apabila rumahnya di perumahan Taman Guru dimasuki air hingga mencecah buku lali.


"Saya tidak menyangka banjir kali ini begitu besar hingga menyebabkan banyak kawasan perumahan ditenggelami air hingga mengundang kerugian.


"Kebanyakan barang seperti perabot, mesin basuh dan peti sejuk sempat diselamatkan, saya bersyukur paras air di kawasan rumah tidak terlalu tinggi," katanya yang sempat meninjau kesan kerosakan harta benda mangsa banjir di beberapa penempatan lain.


Pemain Pahang lain yang turut terkena musibah berkenaan ialah Mohd Shahrizan Salleh yang tinggal di Indera Mahkota selain penolong jurulatih, Ahmad Shahrudin Rosdi dan Muadzar Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Berjuang Andik!

Posted: 28 Dec 2013 04:30 AM PST

Jakarta: Bekas penyerang pasukan kebangsaan Indonesia Bambang Pamungkas menitip doa untuk kejayaan Andik Vermansah yang bakal beraksi bersama Selangor pada saingan Liga Super musim depan.

Andik yang juga pemain sayap skuad bawah 23 Indonesia itu menyatakan persetujuannya untuk menyarung jersi keramat Merah Kuning milik Selangor selepas dikunjungi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim, baru-baru ini.


Bambang yang dikenali sebagai 'BePe' berkata, Andik membuat satu keputusan bijak kerana memilih Selangor - pasukan yang pernah diwakilinya ketika musim 2005-07 - dan merasakan prestasi pemain itu bakal berkembang baik bersama skuad berkenaan.

Menerusi laman web sosial Twitter miliknya, Bambang menulis: "Tahniah Andik Vermansah. Selangor adalah pilihan yang sangat bijak.. Selamat berjaya dengan The Red Giants".


BePe dan rakan senegara, Elie Aiboy mewakili Selangor untuk tempoh dua tahun dan pernah menjulang tiga gelaran iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.


Selain itu, BePe pernah bergelar penjaring terbanyak menerusi catatan 23 gol sepanjang 24 perlawanan. Selama dua musim di Selangor, BePe menjaringkan 63 gol dalam semua pertandingan membabitkan Selangor.

Sementara itu, Rosman mengharapkan peminat Red Giants tidak terlalu menekan Andik untuk mengharapkan pemain itu mempamer aksi membanggakan sebaliknya memberi ruang kepadanya untuk menyerlah.


Andik pernah dilatih di kelab DC United (Amerika Syarikat) dan Ventforet Kofu (Jepun) selain disenaraikan di dalam 10 pemain terbaik Asia.

Begitupun, Rosman mahu Andik dilayan seperti pemain lain dan tidak mahu tumpuan tinggi diarahkan kepada pemain berkenaan.


"Kalau boleh, saya mahu dia dilayan sama seperti pemain lain dan tidak perlu diberikan penghormatan seperti pemain bintang apatah lagi Andik adalah seorang yang pandai merendah diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Maniam takluk Staffield

Posted: 28 Dec 2013 04:29 AM PST

Mantin: Wakil Persatuan Pemain Golf India Kuala Lumpur (KLIGA), SP Maniam muncul juara kategori gross Kejohanan Staffield Golf Deepavali Klasik 2013 selepas mengumpul 76 pukulan sekali gus mengatasi 150 peserta lain yang beradu kemahiran di lapangan Kelab Golf Staffield, baru-baru ini.

Maniam mengalahkan wakil Persatuan Pemain Golf India Malaysia (MIGA), Kumar yang mencatat 77 pukulan diikuti seorang lagi wakil MIGA, Shasikumar, ketinggalan satu pukulan di belakang.


Bagi kategori Medal A, juara berpihak kepada P Jayamurugan yang memperoleh 38 mata dengan kiraan semula manakala tempat kedua dimenangi Chandran diikuti P Balakrishnan.

V Anandaraj mengungguli Medal B dengan 38 mata diikuti MK Rao di tempat kedua.


Pengurus Besar Staffield Country Resort Henry Ng berkata, kejohanan tahunan anjuran Deepa Muhibah dan Staffield Country Resort itu berjaya mengutip dana sebanyak RM390,000 yang bakal disumbangkan kepada beberapa badan kebajikan dan sekolah.


"Kita bersetuju untuk bekerjasama dengan Deepa Muhibah menganjurkan pertandingan ini dan ia adalah sebahagian daripada usaha amal serta kebajikan yang kami lakukan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Staffield Country Resort Mohamed Yunus berkata, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana badan yang mahu mengadakan pertandingan kerana Staffield mempunyai lapangan bertaraf tinggi selain kemudahan bilik persalinan serta restoran yang sudah menjalani kerja-kerja naik taraf sejak tahun lalu.


"Kami menyediakan kemudahan lapangan 27 lubang dan sesuai untuk pertandingan. Oleh itu, kami bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada mana-mana pertandingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

No comments:

Post a Comment