Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jenglot Jimbaran

Posted: 12 Dec 2013 09:10 AM PST

Badung: Orang ramai di kawasan Badung, Bali gempar semalam selepas sepasang makhluk halus dikenali sebagai jenglot ditemui dan ditangkap seorang penduduk Pantai Muaya, Jimbaran.

Menurut media ketika ini jenglot berkenaan disimpan di rumah Jero Mangku Karang.
Sejak berita itu tersebar, rumah Jero dikunjungi ramai orang - termasuk dari kawasan luar - untuk melihat sendiri makhluk berkenaan.


Saksi berkata, jenglot itu berupa seperti kelawar, bertaring dan berambut seperti manusia.

Foto

PASANGAN jenglot yang ditemui di Pantai Muaya.

"Dimaklumkan jenglot itu ditemui dua penduduk tempatan, Ketut Tarin dan Akob, di kawasan pantai dan selepas ditangkap ia diserahkan kepada Jero," katanya.

Penduduk setempat mengenali Jero sebagai seorang tokoh spiritual yang dihormati.

Sementara itu Ketut Tarin berkata, dia hairan apabila menemui objek ganjil ketika berjalan di kawasan pantai.

Melihat keadaan itu, katanya, dia mencampak objek itu ke laut tetapi ia kembali ke pantai dalam keadaan berpelukan.

"Seolah-olah mereka enggan dipisahkan," katanya.

Disebabkan bimbang berdepan masalah, Ketut Tarin dan Akob berbincang dan bersetuju menyerahkan jenglot berkenaan kepada tokoh spiritual yang mereka kenali, Mangku Kayun.

Sementara itu Jero berkata, jenglot itu ditemui terbaring dalam jarak kira-kira satu meter antara satu sama lain di pantai ketika Ketut Tarin dan Akob berjoging.

Mereka kemudian membawa makhluk itu ke rumahnya.

"Pada awalnya ada kuasa memancar dari jenglot berkenaan tetapi saya neutralkan supaya ia tidak memudaratkan sesiapa," katanya.

Kenyataan itu disokong Mangku Kayun.

"Kuasanya sangat kuat tetapi untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini ia berjaya kami kunci," katanya.

Menurut Mangku Kayun jenglot juga boleh digelar sebagai toyol kerana makhluk berkenaan boleh menyerupai apa saja.

Katanya, rambut jenglot yang terurai itu mungkin berasal daripada rambut manusia atau bulu kemaluan lelaki atau wanita.

"Makanannya ialah darah manusia.

"Walaupun ia kelihatan kaku, auranya hidup dan sangat kuat dan boleh disuruh melakukan apa saja, termasuk membunuh," katanya, semalam.

Jero berkata jenglot itu dimiliki pihak tertentu sebagai alat pelaris yang ditempatkan di kotak simpanan wang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

Empat generasi hidup bergelumang noda

Posted: 12 Dec 2013 09:00 AM PST

Sydney: Sekumpulan kanak-kanak terbiar dengan sesetengahnya mengalami kecacatan ditemui di sebuah petempatan luar bandar di Australia dalam kes sumbang mahram yang menggemparkan negara itu.

Media semalam melaporkan, 12 kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun itu dipindahkan pekerja sosial yang bertindak ekoran aduan pada Julai tahun lalu yang menyatakan mereka gagal hadir ke sekolah.

Jika mereka datang sekalipun keadaan mereka terlalu kotor dan tubuh sangat kurus.

Ketika polis dan pekerja perlindungan kanak-kanak mengunjungi ladang tempat mereka tinggal itu, ia dihuni 30 lagi orang dewasa, beberapa generasi dari keluarga yang sama.


Empat generasi - iaitu bapa saudara, ibu saudara, adik dan abang - semuanya melakukan seks sesama mereka, membesarkan generasi seterusnya yang turut mengulang perbuatan generasi sebelumnya.


Ujian genetik mendedahkan bahawa 11 daripada 12 kanak-kanak yang mempunyai hubungan persaudaraan itu - lima daripada "saudara dekat" dan mempunyai pelbagai kecacatan, termasuk pekak dan buta.

Mereka mempamerkan pelbagai darjah tingkah laku seksual sesama sendiri dan juga kepada orang asing serta menceritakan perbuatan seksual yang memualkan sesama sendiri, termasuk di depan kanak-kanak.

Kumpulan itu hidup dalam keadaan yang kotor dalam dua karavan, dua bangsal dan dua khemah tanpa bekalan air atau sistem pembetungan.

Mahkamah semalam berkata, pemerhatian terhadap keadaan kanak-kanak itu menjadi bukti kukuh bahawa berlaku sumbang mahram dan penderaan seksual selama beberapa generasi di situ.

Dokumen mahkamah menyatakan pertuturan kanak-kanak itu sukar difahami dan keadaan kebersihan dan kesihatan gigi mereka sangat teruk.

Mereka terpaksa masuk ke belukar untuk membuang air. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

Malang Nkrumah kemaluan dipatuk ular di tandas

Posted: 12 Dec 2013 08:58 AM PST

Accra: Perbuatan yang biasa kadang-kadang menyebabkan kesan yang luar biasa. Seorang lelaki melalui pengalaman yang mungkin kekal dalam ingatan sepanjang hayatnya apabila kemaluannya dipatuk ular ketika dia sedang membuang air, lapor media semalam.

Menurut media Ghana, Kwabena Nkrumah, 34, sedang menggunakan tandas awam di wilayah Ashanti apabila seekor ular "hitam dan besar" menjulur keluar dari bawah dan mematuk zakarnya.

Nkrumah menyedari dia diserang selepas mengalami kesakitan melampau dan mendakwa hampir pitam.

"Saya lihat ke bawah, ular itu bersedia untuk mematuk lagi.


"Saya pun terus keluar melarikan diri untuk mendapatkan bantuan," katanya.


Bagaimanapun, jeritan lelaki itu menyebabkan keadaan panik dengan sesetengah pengguna tandas turut keluar dalam keadaan terburu-buru.

Nkrumah kemudian dirawat di hospital tempatan sebelum dibenarkan pulang.

Insiden itu berlaku hanya beberapa bulan selepas media melaporkan bahawa bomoh di Swaziland dilarang terbang dengan penyapu mereka melebihi ketinggian 150 meter di dara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

Perasuah wajar dihukum mati

Posted: 12 Dec 2013 08:57 AM PST

Jakarta: Pegawai tertinggi agensi pembanterasan rasuah semalam menyokong cadangan bekas Presiden Mahkamah Perlembagaan Indonesia supaya pegawai tinggi negara yang disabitkan kesalahan menerima suapan supaya dihukum mati.

Ketua Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Abraham Samad berkata pegawai tinggi kerajaan yang mengamalkan rasuah wajar dikenakan hukuman paling berat.

"Mereka didorong sifat tamak, bukan kerana memerlukan wang," katanya.

Sebelum ini Presiden Mahkamah Perlembagaan untuk penggal 2002 - 2008, Jimly Asshiddiqie mencadangkan pesalah rasuah yang menjawat jawatan kanan dalam kerajaan dihukum mati.

Dia memberikan contoh bagaimana beberapa pegawai daerah yang hidup mewah ketika rakyat biasa bergelut dalam kemiskinan untuk mencari rezeki.

Kemudahan infrastruktur di daerah yang ditadbir mereka juga dalam keadaan daif.

Golongan itu, kata Abraham, ialah pembunuh tidak berperikemanusiaan.

"Mereka bergembira, manakala rakyat menderita.

"Justeru saya setuju dengan usul dikemukakan Jimly," katanya dalam satu kenyataan.

Abraham berpendapat sepatutnya pendapatan di daerah yang kaya dengan galian dan sumber gas asli perlu diselaras demi kesejahteraan rakyat.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

Sitok ajak mangsa rogol kahwin

Posted: 12 Dec 2013 08:56 AM PST

Jakarta: Penyair yang berdepan tuduhan merogol siswi Universiti Indonesia, Sitok Srengenge dikatakan mengajak mangsa berkahwin selepas jenayahnya terbongkar.

Peguam siswi terbabit, Iwan Pangka berkata pelawaan Sitok itu bagaimanapun ditolak.

"Anak guam saya tidak mahu hidup bersama Sitok.

"Dia tidak ingin dan tidak sudi untuk berkahwin dengan perogol itu," katanya.


Menurut Iwan, mangsa - hanay dikenali sebagai RW, 22 - sebelum ini sudah berhubung dengan Sitok selepas mendapati dirinya hamil tetapi tidak dipedulikan penulis yang sebelum ini pernah bernaung di bawah kumpulan Salihara itu.


Sitok sebelumnya pernah memberitahu mangsa akan bertanggungjawab jika mangsa hamil.

Namun hingga laporan polis dibuat, dia tidak menunjukkan kesungguhannya itu.
Kata Iwan, RW sudah tidak sanggup lagi menanggung derita dan kesusahan sendirian.

Selain itu, dia juga mengalami trauma yang teruk.

"Anak guam saya memaklumkan yang dia pernah terfikir mahu membunuh diri," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

10 hotel utama pilihan pasangan selingkuh

Posted: 12 Dec 2013 08:55 AM PST

Jakarta: Pungutan pendapat dilakukan laman sesawang AshleyMadison.com baru-baru ini - membabitkan 21,000 ahlinya mengeluarkan data yang mengejutkan.

Lelaki didapati berbelanja lebih untuk teman wanita berbanding isterinya sendiri.

Pemilihan tempat untuk berasmara pula lebih tertumpu di hotel lima bintang.

Bagaimanapun, tidak dijelaskan mengapa 10 hotel itu menjadi pilihan mereka.


Berikut ialah senarai 10 hotel kegemaran pasangan curang untuk menghabiskan masa bersama teman wanita masing-masing:


1. Hyatt
2. Hilton
3. Sheraton
4. Comfort Inn
5. Holiday Inn
6. Radisson
7. Courtyard Marriott
8. Westin
9. Four Seasons
10. Best Western

Bagaimanapun, tidak dijelaskan mengapa 10 hotel berkenaan menjadi pilihan mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

'Segera balik atau kami serbu'

Posted: 12 Dec 2013 08:55 AM PST

Bangkok: Penunjuk perasaan semalam memutuskan bekalan elektrik ke pejabat perdana menteri dan menuntut polis meninggalkan tempat itu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap kerajaan di sebalik krisis politik yang berlanjutan selama beberapa minggu.

Penunjuk perasaan yang meminta kerajaan Yingluck Shinawatra diganti sebelum pilihan raya 2 Februari mengancam untuk menceroboh masuk jika polis tidak beredar.

Cubaan polis untuk berunding ditolak.

Ketika itu, Yingluck tiada di pejabatnya dan sejurus selepas itu muncul dalam ucapan yang disiarkan di televisyen dari lokasi tidak diketahui.

Dia kemudian mengumumkan pertemuan dengan semua peringkat masyarakat pada Ahad ini bagi mencari jalan penyelesaian terhadap krisis di Thailand.

Bagi mencari penyelesaian, Yingluck sudah membubarkan parlimen Isnin lalu dan mencadangkan pilihan raya awal.

Bagaimanapun, pembangkang menegaskan dia perlu mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada kerajaan sementara yang dilantik, tindakan yang tidak boleh dilakukan mengikut perlembagaan negara berkenaan.

Penunjuk perasaan mendakwa politik Thailand dicemari rasuah di bawah pengaruh abang Yingluck, bilionair Thaksin Shinawatra yang digulingkan melalui rampasan kuasa pada 2006.

Dalam siri ucapannya, pemimpin demonstrasi Suthep Thaugsuban menggesa polis supaya tidak hadir bertugas dan menuntut Yingluck didakwa atas kesalahan menderhaka.


Sementara itu polis di Pintu 5 mengesahkan mereka tiada mendapat bekalan elektrik atau air sejak tengah hari.


Keadaan berkenaan memaksa mereka bergantung kepada tandas bergerak yang disediakan di kawasan itu.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

Tentera Thai mahu dilihat berkecuali

Posted: 12 Dec 2013 08:54 AM PST

Bangkok: Pemimpin tertinggi tentera semalam menolak untuk bertemu dengan kumpulan pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan.

Panglima Tentera Thailand Prayuth Chan-ocha berkata pihaknya enggan dilihat memihak dalam krisis ketika ini.

"Sangat berbahaya jika tentera dilihat condong kepada mana-mana pihak," katanya.

Keputusan itu dibuat selepas Suthep Thaugsuban mengumumkan kumpulannya meminta untuk bertemu dengan pemimpin tertinggi tentera dan polis dalam usaha untuk meraih sokongan "pembaharuan politiknya." Namun, tindakan itu menimbulkan keraguan antara pemimpin tertinggi tentera yang bimbang pertemuan sedemikian akan mendorong kepada persepsi bahawa tentera memihak kepada penunjuk perasaan.

Prayuth berkata kali ini tentera tersepit antara dua belah pihak dan keadaan mungkin berbahaya jika ia tidak diatasi.

"Jadi, kami perlu bersabar dan bertenang.


Semua komander kami sebulat suara membuat keputusan ini," katanya dalam satu kenyataan.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

Abdul Quader tetap dihukum mati

Posted: 12 Dec 2013 08:50 AM PST

Dhaka: Mahkamah tertinggi Bangladesh semalam mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas pemimpin pembangkang negara itu, Abdul Quader Mollah yang didakwa terbabit dalam jenayah perang.

Panel Mahkamah Agung - diketuai Ketua Hakim Negara Mohammad Mojammel Hossain - menolak petisyen dikemukakan peguam bela Abdul Quader selepas mendengar hujah pendakwa.

Peguam bela Abdul Quader, Khandaker Mahbub Hossain berkata, hukuman mati ke atas tokoh politik Jamaat-e-Islami boleh dilaksanakan antara 21 hingga 28 hari lagi.

"Beliau masih boleh berharap mendapat pengampunan daripada presiden," katanya.

Abdul Quader dituduh terbabit dalam jenayah perang ketika Bangladesh cuba mendapatkan kemerdekaan dari Pakistan.

Abdul Quader dan pengikutnya memihak kepada Islamabad dan menolak kemerdekaan Bangladesh.

Jika hukuman itu dilaksanakan, Abdul Quader menjadi individu pertama dikorbankan atas peristiwa perang pada 1971 itu.


Abdul Quader adalah seorang daripada lima pemimpin pembangkang yang dikenakan hukuman mati oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa yang ditubuhkan pada 2010 bagi menyiasat dalang kekacauan pada awal 1970-an itu.

Konflik berkenaan mengorbankan lebih tiga juta nyawa.


Sepatutnya Abdul Quader dikenakan hukuman penjara seumur hidup tetapi Mahkamah Agung menukarnya menjadi hukuman mati apabila berdepan desakan penunjuk perasaan.

Khandaker berkata Abdul Quader dinafikan haknya untuk mendapat perbicaraan adil.

"Disebabkan mahkamah tertinggi membuat keputusan, saya tiada apa-apa kenyataan lagi," katanya.

Sementara itu saksi berkata rumah hakim yang membuat keputusan itu menjadi sasaran serangan pengikut Abdul Quader semalam.

Mereka mendakwa keadaan sangat tegang dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

"Orang awam bimbang Dhaka dilanda perang saudara," katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

Jantjie puas hati dengan prestasi, anggap diri juara

Posted: 12 Dec 2013 08:50 AM PST

Johannesburg: Jurubahasa isyarat Afrika Selatan yang mencetuskan kekecohan di majlis memperingati Nelson Mandela kelmarin berkata, dia seorang "juara" dalam bidang berkenaan tetapi berdepan masalah skizofrenia.

Kata Thamsanqa Jantjie, dia mula terdengar suara dan mengalami halusinasi ketika menterjemah ucapan Presiden AS Barack Obama.

Keadaan itu, katanya, Jantjie, 34, menyebabkan dia gagal membantu penonton yang mengalami masalah pendengaran ketika menyaksikan majlis berkenaan.

"Tak ada apa yang dapat saya lakukan.

"Saya bersendirian dalam keadaan sangat berbahaya.

"Saya cuba mengawal diri untuk mengelak keadaan itu disedari tetapi saya minta maaf banyak-banyak atas kekeliruan yang berlaku," katanya kepada media semalam.

Gelagat Jantjie menjadi bualan jutaan penonton ketika Jantjie menterjemah ucapan Obama dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma menggunakan bahasa isyarat.

Foto

OBAMA menyampaikan ucapan bersebelahan Jantjie ketika upacara memperingati Mandela di Stadium FNB, Soweto, kelmarin.


Tindakan Jantjie dipertikaikan kerana Jantjie gagal menterjemah ucapan berkenaan dengan betul, sebaliknya sekadar menggoyang-goyangkan tangan tanpa sebarang makna.


Pakar mendakwa Jantjie cuma mengulang-ulang isyarat bermaksud "keldai," "pancaran kilat," "udang" dan "kuda kayu." Persatuan utama orang pekak di Afrika Selatan kemudian mengesahkan Jantjie tidak mahir dalam penterjemahan bahasa isyarat dan sekadar mereka-reka isyarat.

Jantjie berkata, dia tidak pasti apa yang menyebabkan dia mengalami halusinasi kerana sudah mengambil ubat bagi mengatasi masalah skizofrenia dialaminya.

Jantjie juga berpuas hati dengan 'tugasan' itu.

"Sudah pasti saya gembira.

"Saya fikir saya ialah juara dalam bidang bahasa isyarat," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/13

No comments:

Post a Comment