Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Diana cirit-birit

Posted: 06 Dec 2013 11:11 AM PST

Nay Pyi Taw: Taruhan utama negara, Diana Bong untuk meraih emas pertama Malaysia di Sukan SEA Myanmar mencetuskan kebimbangan selepas atlet itu mengalami cirit-birit.

Juara wusyu dunia berusia 28 tahun itu dijadual turun beraksi pada pusingan akhir nanquan di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A hari ini.


"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya mengalami cirit-birit sehari selepas tiba (Rabu), selepas sarapan," katanya.

Namun menurut Diana hanya dia seorang yang mengalaminya.


"Keadaan semakin baik sekarang. Saya tetap akan turun bertanding. "Saya yakin kekuatan mental akan mengatasi perkara lain dan perlu memanfaatkan peluang diberikan jurulatih untuk beraksi," katanya.


Turut beraksi dalam acara sama, Tai Cheau Xuen yang juga juara Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur bulan lalu dalam acara nanquan.

Foto

Diana Bong

Mereka akan dicabar tujuh peserta negara lain dengan atlet Indonesia, Ivana Ardelia Irmanto sebagai penghalang utama.


Namun kontinjen negara bukan saja boleh mengharapkan pingat emas dalam acara nanquan kerana beberapa peserta negara turut beraksi dalam acara akhir jianshu wanita dan changquan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Giggs yakin lebur ego Magpies

Posted: 06 Dec 2013 11:05 AM PST

Manchester, England: Ketika bersiap untuk berdepan Newcastle, Ryan Giggs tampil dengan keyakinan perlawanan bulan ini akan memberi peluang buat Manchester United bangkit mengejar kedudukan teratas.

United tergelincir ke kedudukan kesembilan liga selepas mengalami kekalahan keempat musim ini apabila ditundukkan 0-1 oleh Everton, awal pagi kelmarin.


Kelab Old Trafford itu yang menang gelaran ke-20 Liga Perdana Inggeris musim lalu, kini ketinggalan 12 mata berbanding pendahulu Arsenal.

Walaupun kekalahan itu menamatkan rekod tanpa kalah United yang sudah menjangkau kepada 12, perlawanan selepas ini memberi peluang kepada juara bertahan itu untuk bangkit mengukuhkan kedudukan.


Selepas menanti kunjungan Newcastle, United akan berdepan Shakhtar Donetsk pada saingan Liga Juara-Juara dan Stoke di Piala Liga. Selain itu, mereka juga dijadual bertemu Aston Villa, West Ham, Hull dan Norwich.


Giggs yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-40, berasa ketumpulan barisan serangan menjadi punca mengapa persembahan mereka sedikit goyah sejak kebelakangan ini.

Namun pemain yang turut bertugas sebagai jurulatih itu tegas menyatakan silap sekiranya ada pihak mengetepikan peluang United mempertahankan gelaran.


"Kami akan mendapat idea lebih baik pada tahun baru dan saya harap boleh mengumpul lebih banyak mata. Kami mengalami beberapa keputusan mengecewakan tapi prestasi kami juga tidaklah begitu buruk," kata Giggs.

"Kami cuma tidak menyempurnakan peluang yang dicipta. Jika tidak mengambil peluang yang terhidang, anda pasti dihukum seperti yang berlaku kepada kami ketika bertemu Everton.


"Ia memang mengecewakan tapi perlu bangkit. Kami tidak boleh memikirkan soal itu untuk tempoh yang lama. Kami akan menentang Newcastle di gelanggang kami dan saya harap keputusan perlawanan itu lebih baik." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

City idam mata penuh

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Manchester: Manchester City mahu melebarkan rekod aksi di tempat lawan apabila bertandang ke Stadium St Mary's untuk bertemu Southampton, malam ini.

Bulan lalu, pengurus City Manuel Pellegrini mengaku pasukannya perlu bangkit dan memperbaiki keputusan perlawanan di tempat lawan andai mahu mencabar gelaran liga musim ini.


Selepas tewas empat kali dan seri sekali sepanjang enam perlawanan di tempat lawan, kejayaan 3-2 awal pagi kelmarin di West Brom dilihat langkah tepat buat mereka.

Namun, sekalipun Vincent Kompany kembali beraksi selepas tidak bermain dua bulan akibat kecederaan paha, Pellegrini tetap bimbang dengan benteng pertahanannya yang terlepas dua gol pada perlawanan di Hawthorns.


Setakat ini mereka sudah melepaskan 12 gol sepanjang tujuh aksi di tempat lawan tetapi kehadiran Kompany sepatutnya membuatkan benteng pertahanan City semakin kukuh.


Kompany mendakwa, City terlalu memandang mudah aksi di tempat lawan dan ia membawa padah buat mereka sekali gus membuatkan kedudukan mereka agak kritikal.

"Perlawanan semakin sukar terutama di tempat lawan," kata Kompany. "Jika menewaskan Southampton, kami pasti mempunyai banyak bekalan untuk dibanggakan. Itulah misi yang dirancang dan semua pemain perlu sedar dengan perkara itu.


"Kami perlu ubah cara kami berfikir. Kami perlu anggap semua perlawanan seperti aksi di tempat sendiri tanpa mengira apa juga kedudukan kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Mesti kekal...

Posted: 06 Dec 2013 11:03 AM PST

Liverpool: Brendan Rodgers yakin Liverpool tidak perlu menamatkan aksi di salah satu kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris untuk memastikan Luis Suarez kekal di Anfield.

Suarez meledak empat gol untuk memastikan Liverpool mengalahkan Norwich 5-1 dan mereka kini bersedia melayan West Ham di Anfield malam esok dan sedar mempunyai pemain bertaraf dunia yang diulit keyakinan.


Penyerang Uruguay, Suarez masih mempunyai baki kontrak dua tahun bersama Liverpool ketika dikhabarkan mahu meninggalkan kelab itu untuk beraksi bersama pasukan yang layak ke Liga Juara-Juara.

Liverpool menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris dan aksi yang dipamerkan sejak awal musim mengundang keyakinan peminat bahawa mereka mampu melangkah ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.


Tetapi Rodgers tegas mengatakan tidak ada masalah untuk mereka mengekalkan pemain bintang yang sudah menjaringkan 13 gol setakat ini walaupun terlepas lima aksi awal musim gara-gara penggantungan.


"Luis gembira di Liverpool," kata Rodgers. "Kami tidak mahu bercakap mengenai masa lalu. Ia musim panas yang sukar buat semua. Kami tetap teguh sebagai satu pasukan. Dia faham dengan kedudukan kami sekarang. Sasaran kami ialah untuk mengekalkan semua pemain terbaik kami.

"Saya harap, dia sedar betapa dia diperlukan di sini. Ini adalah kelab sempurna dan sesuai buatnya. Saya harap dalam tempoh tidak lama lagi, dia beroleh apa yang diinginkan iaitu beraksi di tahap tertinggi bola sepak. Bakatnya mencerahkan peluang itu dan kelab kami memerlukan bakatnya." Skuad Reds mahu melakar kemenangan kelima berturut-turut di tempat sendiri malam ini ketika Stewart Downing kembali ke Anfield buat pertama kali sejak berpindah ke West Ham, musim panas lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Blues makin garang: Cahill

Posted: 06 Dec 2013 11:02 AM PST

London: Gary Cahill sedar Stoke City berada dalam bahaya ketika watak sebenar Chelsea semakin menyerlah dan garang dalam usaha memburu kemenangan kedua berturut-turut di tempat lawan.

Anak buah Jose Mourinho itu bangkit daripada ketinggalan di Sunderland untuk mencatat kemenangan 4-3 sekali gus memastikan mereka kekal di tangga kedua, empat mata di belakang pendahulu Arsenal.


Ketika kelab Arsene Wenger berdepan Everton di halaman sendiri 24 jam selepas Chelsea bertandang ke Stadium Britannia, pertemuan dengan Stoke membuka ruang untuk Blues merapatkan kedudukan walaupun mungkin sementara.

Cahill percaya pasukannya kini mempunyai kemampuan untuk menang di tempat lawan sekali gus mencerahkan impian merebut gelaran musim ini.


"Kami pernah cakapkan sebelum ini iaitu mengenai sasaran yang mahu dicapai," kata pertahanan England itu.


"Aksi di tempat sendiri memang baik dan jika kami mampu bermain sebegitu di tempat lawan, pastinya ia menjadi hebat.

"Kami ketinggalan ketika menentang Sunderland dan ia bukanlah sesuatu yang elok tetapi berjaya bangkit dan menunjukkan karektor. Ia perlawanan yang sukar terutama menentang Southampton tetapi ia adalah mengenai cuba menang dan kami berjaya.


Cahill berkata, saingan untuk merebut gelaran akan berlangsung sengit sepanjang musim dan percaya dengan kebolehan pengurus Jose Mourinho serta pemain senior seperti Frank Lampard, John Terry dan Petr Cech. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Pelumba uji laluan

Posted: 06 Dec 2013 11:01 AM PST

Johor Bahru: Seramai 15 pelumba tempatan dan luar negara dipelawa meninjau laluan basikal lasak di Hutan Bandar Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MJBT) Mutiara Rini sebelum menghadapi saingan sebenar Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia pada 22 Disember ini.

Pelumba yang terbabit pada sesi ujian itu termasuk dari Filipina, Indonesia, Singapura dan tempatan.


Pereka trek Dani Noraini Tawil berkata, usaha mempelawa pelumba luar menjalani latihan di trek itu membolehkan mereka merasai pengalaman sebenar sebelum kejohanan berlangsung.

"Matlamat kami membawa pelumba luar ke sini untuk membolehkan mereka merasai pengalaman berbasikal di trek sebenar sebelum kejohanan berlangsung serta mengeratkan silaturahim dengan pelumba tempatan.


"Saya percaya kehadiran mereka membantu menarik lebih ramai penyertaan peserta luar pada kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia," katanya.


Pelumba Filipina yang hanya mahu dikenali sebagai Gem, 29, teruja kerana dijemput mencuba trek itu.

"Peluang mencuba laluan ini pengalaman berharga buat saya kerana dapat bertemu dan berkenalan dengan pelumba negara lain.


"Ia juga membantu saya bersiap sedia sekali gus mengatasi rasa gementar pada kejohanan sebenar," katanya.

Seorang lagi pelumba Liem Siang Lin, 51, yang berasal dari Indonesia menyifatkan tawaran mencuba trek itu penghormatan penganjur kepada pelumba luar negara yang turut mengambil bahagian.


"Tidak dinafikan, trek disediakan penganjur mencabar. Namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk bersaing pada Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Norizman atur strategi

Posted: 06 Dec 2013 10:59 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas kecewa gagal mengutip sebarang mata di Sepang, Norizman Ismail mengatur strategi lebih selamat bagi memastikan gelaran juara keseluruhan CP130 menjadi miliknya pada saingan pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 di Shah Alam, esok.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu menyifatkan aksi Pusingan 9 di Sepang baru-baru ini sebagai yang 'terburuk' musim ini selepas terpaksa menarik diri daripada perlumbaan akhir akibat masalah jentera.


Kerosakan jentera selepas mendahului beberapa pusingan perlumbaan menyaksikan rakan sepasukan, Elly Idzlianizar Ilias dan Mohd Affendi Rosli menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua manakala Norizman gagal mengutip sebarang mata buat kali pertama tahun ini dan turut kehilangan kedudukan pendahulu keseluruhan kepada Ahmad Fuad Baharudin (Faito Yamaha Motobert) yang mengumpul 128 mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelima manakala Norizman jatuh ke tangga kedua dengan perbezaan satu mata.

Tempat ketiga keseluruhan setakat ini disandang Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Pachie) yang masih berpeluang untuk menggenggam gelaran keseluruhan dengan 111 mata.


"Keputusan di Sepang amat mengecewakan. Selepas bermula dengan baik dan berjaya mendahului, jentera saya mengalami masalah hingga terpaksa menarik diri daripada perlumbaan dan gagal mengutip sebarang mata," jelas Norizman yang memburu gelaran keseluruhan ketiga dalam saingan kelas perdana.


"Jika tidak, mungkin saya mampu menamatkan saingan di podium atau setidak-tidaknya dalam kalangan lima pelumba terbaik dan masih kekal menguasai kedudukan keseluruhan." Bimbang kesilapan serupa berulang, Norizman tidak mahu mengambil sebarang risiko besar pada perlumbaan minggu ini.

"Saya mahu bangkit dan melupakan kegagalan lalu. Saingan memburu gelaran masih terbuka antara tiga pelumba teratas. Saya perlu lebih berhati-hati di Shah Alam dan mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan mudah." Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-87338787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

FIFA iktiraf Kuala Lumpur

Posted: 06 Dec 2013 10:58 AM PST

Pertama sekali, saya bersyukur dan gembira apabila mengetahui keputusan Mesyuarat FIFA lewat malam Khamis lalu yang memilih Kuala Lumpur selaku tuan rumah Kongres FIFA 2017.

Ia berita yang amat dinantikan FAM dan juga semua agensi lain selepas penat lelah selama 11 bulan menyiapkan kertas kerja seperti dikehendaki badan induk dunia itu.


Bagi bola sepak, Kongres FIFA ibarat Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebanyak 209 negara anggota FIFA akan mengirim perwakilan ke Kuala Lumpur pada 2017 bagi memutuskan dasar membabitkan hala tuju sukan nombor satu dunia itu.


Wajarlah kita bangga menjadi negara pertama Asian Tenggara diberi penghormatan sebegini. Semua konfederasi benua yang bernaung di bawah FIFA - AFC, CAF, CONCACAF, CONMEBOL, OFC dan UEFA akan terbabit.


Bukan mudah untuk terpilih selaku tuan rumah kerana FAM harus melalui empat peringkat proses untuk menawarkan diri sebagai hos.

Tahap pertama bermula awal tahun ini apabila Exco FAM diketuai presiden Sultan Ahmad Shah, setuju menawarkan diri kepada FIFA sebagai tuan rumah Kongres 2017.


Selepas itu, FAM harus melengkapkan segala borang diberi FIFA untuk menyatakan hasrat Malaysia menjadi tuan rumah secara rasmi.

Permohonan rasmi dibuat pada 28 Jun iaitu tarikh untuk semua negara berminat menghantar borang dan dua bulan kemudian, FIFA mengesahkan Malaysia salah satu negara yang secara rasminya menawarkan diri menjadi tuan rumah.


Negara lain yang turut menawarkan diri adalah Thailand, Costa Rica, Kanada, Republik Czech, Finland, Palestin, Afrika Selatan, Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).


FIFA menghantar syarat tambahan yang perlu dilakukan FAM untuk meyakinkan mereka Malaysia harus dipilih sebagai tuan rumah.


Syaratnya antara lain menyebut FAM harus menyediakan surat sokongan kerajaan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS), agensi kerajaan lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis dan lain-lain.


FAM juga diminta menamakan 10 hotel bertaraf lima bintang sebagai tempat pilihan penginapan semua delegasi termasuk delegasi FIFA.


Cadangan venue yang dikemukakan FAM ialah Dewan PWTC atau Pusat Konvensyen di KLCC.


Selain itu, FAM perlu menyiapkan satu laporan penuh mengenai Malaysia dari semua aspek termasuk pelancongan, keselamatan, cuaca dan lain-lain.


Justeru, kami bekerjasama dengan banyak pihak untuk memastikan apa yang dikehendaki FIFA dapat disediakan.


Syukur Alhamdulillah, semua pihak menjalankan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin dan FAM berjaya menghantar laporan lengkap pada 11 Oktober.


Sekarang, tugas yang lebih mencabar menanti kami. Malaysia terpilih sebagai tuan rumah dan bermulalah perjalanan FAM untuk menguruskan penubuhan jawatankuasa tertentu untuk memastikan segala persiapan lancar sebelum 2017.


Bagi FAM, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan tawaran FAM. Proses membida Kongres FIFA 2017 lambang kerjasama semua pihak tanpa ada kepentingan individu dan politik, menepati etika paling penting dalam bola sepak iaitu kerjasama sepasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Visi Rozaimi

Posted: 06 Dec 2013 10:57 AM PST

Kuala Lumpur: Penyerang skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Rozaimi Abd Rahman bersedia mengorbankan posisi dalam kesebelasan utama dan bertindak selaku 'Super Sub' andai taktik itu mampu membantu mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA Myanmar yang bermula Selasa ini.

Pemain kelahiran Bongawan, Sabah itu berkata, jika diletakkan sebagai pemain simpanan, dia mempunyai masa untuk menganalisis corak permainan dan kemampuan pemain pertahanan pasukan lawan sebelum beraksi.


"Saya tidak kisah jika diturunkan sebagai pemain gantian. Jika boleh, saya harap akan diturunkan pada separuh masa kedua dalam mana-mana perlawanan. Bukan tidak yakin untuk bermain dalam kesebelasan utama cuma saya berpendapat prestasi sedikit merosot kebelakangan ini memandangkan sukar menganalisis pergerakan lawan," kata Rozaimi ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan dengan kelab Jepun FC Ryukyu, Rabu lalu.

Jelas ada benarnya kata-kata penyerang berusia 21 tahun itu apabila dia beraksi cemerlang sebagai pemain gantian pada babak kedua dengan meledak dua gol untuk membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bangkit mencipta kemenangan 3-1 ke atas FC Ryukyu pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


"Saya fikir jika berada di bangku simpanan, saya berpeluang mengkaji pergerakan pihak lawan selain melihat kombinasi rakan sepasukan. Bagi saya ia bukan masalah besar untuk beraksi sebagai pemain simpanan namun jika jurulatih mengarahkan beraksi sebagai penyerang utama juga, saya sedia melaksanakan tugas itu," kata Rozaimi.


Selain Rozaimi, tiga lagi pemain A Thamil Arasu, Ahmad Hazwan Bakri dan Izzaq Faris Ramlan turut merebut tempat di bahagian serangan skuad B-23 yang akan menentang Brunei pada aksi pembukaan Kumpulan D di Nay Pyi Taw, Selasa ini.

Rozaimi pernah mencetus sensasi apabila muncul penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala Asia B-22 tahun lalu dan dipilih antara 10 pemain terbaik Asia oleh laman web sukan bola sepak terkenal ESPN Soccernet.


Baginya, dia tetap menaruh keyakinan tinggi dengan kemampuan rakan sepasukan untuk melakar hatrik emas Sukan SEA biarpun terpaksa mengakui pasukan kali ini kehilangan sedikit 'aura' skuad juara di Jakarta 2011.

"Benar, skuad ini tiada 'aura' pemain berpengalaman seperti Khairul Fahmi Che Mat, Baddrol (Bakhtiar), Asraruddin (Putra Omar) dan lain-lain pemain. Atas kertas, kita nampak pasukan sebelum ini lebih kuat di setiap posisi berbanding sekarang.


"Bagaimanapun setiap pasukan memiliki kekuatan tersendiri. Moral pemain pasukan ini cukup tinggi dan begitu fokus dengan misi mempertahankan pingat emas," kata Rozaimi yang pernah cuba dipancing kelab gergasi Thailand, Muang Thong namun memilih untuk kekal bersama Sabah tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

Ikut jejak idola

Posted: 06 Dec 2013 10:56 AM PST

Kuala Lumpur: Mungkin ini bukan lagi era Che Chew Chan atau Elaine Teo menjadi 'wajah rasmi' taekwondo negara tetapi empat puteri ini menerusi penampilan pertama masing-masing ke Sukan SEA Myanmar bercita-cita mahu berada setanding idola mereka.

Jenny Soh, Nur Dhia Liyana Shaharuddin, Shakila Darshini dan Dwi Regina Ismail Uvaraj antara muka baru yang diberi ruang menyahut cabaran negara di Nay Pyi Taw.


Masing-masing mengaku sudah bersedia dan hanya mengharapkan yang terbaik ketika berdepan lawan di gelanggang.

Bagi Jenny, 20, yang menyertai kategori welterweight rasa gementar adalah sesuatu yang biasa apatah lagi ini kali pertama dia menyertai temasya sukan berskala besar tetapi dia bertekad mengetepikan perasaan itu.


Kejayaan meraih pingat gangsa di Sukan Universiti Asia sedikit sebanyak melonjakkan semangat atlet kelahiran Sibu, Sarawak itu.


"Apa yang saya lakukan adalah bersungguh-sungguh ketika latihan dan harap ia dapat digunakan sewaktu pertandingan kelak," katanya yang mengagumi Elaine malah pernah berlatih bersama idolanya itu.

Seperti rakannya, Nur Dhia turut berharap mampu mengetepikan sebarang tekanan menjelang pertandingan dan fokus terhadap misi yang ingin dilaksanakannya.


"Saya ingin melakukan yang terbaik dan untuk itu kami perlu mengikut setiap ajaran dan nasihat jurulatih," kata atlet berusia 19 tahun yang menyertai kategori bantamweight.

"Sebelum ini kami juga pernah menyertai latihan di Korea Selatan selama dua minggu dalam usaha memperkemaskan skil dan teknik pertarungan selain mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang boleh kami perbaiki.


"Sukan SEA memberi makna istimewa buat saya kerana inilah temasya sukan pertama pernah saya sertai."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/07

No comments:

Post a Comment