Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


EKUESTRIAN: 'Saya belai manja'

Posted: 11 Dec 2013 10:13 AM PST

"SAYA perlu belai dan kadangkala memberi arahan dengan agak keras." Itu antara rahsia kejayaan atlet ekuestrian negara Mohd Sulaiman Muda yang merangkul dua pingat emas iaitu menerusi acara endurance individu serta berpasukan semalam.

Pendekatan itu dilakukan Mohd selepas dia serta atlet lain tidak dibenarkan membawa kuda sendiri pada saingan kali ini oleh penganjur.

Sebaliknya mereka hanya menggunakan kuda disediakan penganjur dua hari sebelum berlangsungnya acara endurance sejauh 80 kilometer yang bermula malam semalam.

Sulaiman menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas 6 jam 26 minit dan 4 saat.

Foto

MOHD Sulaiman meraikan kemenangan selepas berjaya memenangi pingat emas.


Sementara gandingannya bersama Abdul Halim Alihan dan Asri Abdul Aziz berjaya mengumpul masa keseluruhan terpantas 21:23.39 saat dalam acara berpasukan.


Hanya tiga catatan masa terpantas diambil kira dalam acara berpasukan yang menyaksikan catatan seorang lagi peserta negara Mohd Bulkhari Rozali tidak dikira kerana lebih perlahan.

"Mula-mula memang bukan mudah untuk menjinakkan kuda yang saya peroleh kerana kuda di Myanmar agak liar sedikit.

"Kamipun tak terlalu yakin untuk menang sebab tidak faham sifat kuda diperoleh.

"Tetapi apabila sudah memasuki separuh perlumbaan, kuda ini mula menerima segala arahan yang saya berikan dan apabila memasuki hujung perlumbaan, saya sudah boleh mengawal sepenuhnya," katanya yang menggunakan kuda diberi nama Bagan Thitsar.

Sulaiman yang bekerja di kandang kuda endurance Diraja Terengganu berkata, dia tidak menjangkakan akan memperoleh pingat emas kerana saingan peserta negara lain sangat sengit.

"Ini penyertaan pertama pada saingan Sukan SEA dan kejayaan terbesar sepanjang karier saya menceburi sukan ini," katanya

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

EKUESTRIAN: Kejayaan tidak dijangka

Posted: 11 Dec 2013 10:10 AM PST

KENAYAAN di luar jangkaan meraih dua pingat emas menerusi acara endurance bukanlah bergantung kepada kemampuan kuda dipinjamkan penganjur.

Sebaliknya pengurus pasukan Che Mat Din Ismail berkata, anak buahnya berhak meraih pingat emas kerana berjaya menjinakkan kuda masing-masing dengan baik meskipun hanya beberapa hari saja menyesuaikan diri dengan kuda diperoleh.

"Secara peribadi saya tidak fikir kuda dipinjamkan penganjur mempunyai kepantasan yang kita mahukan.

"Jika menggunakan kuda sendiri yang dibawa dari Malaysia, saya memang yakin kita boleh meraih pingat emas sebab kuda kami lebih pantas.

Foto

PASUKAN ekuestrian negara, (dari kiri) Asri Abdul Aziz, Mohd Bulkhari Rozali, Abdul Halim Alihan serta Mohd Sulaiman mengibarkan Jalur Gemilang.


"Tapi apabila dimaklumkan hanya dibenarkan menggunakan kuda disediakan penganjur, kami hanya sekadar mencuba yang terbaik.


"Kejayaan ini sebenarnya hasil kerja keras mereka sebab bukan senang untuk mengawal kuda yang tidak biasa ditunggang," katanya.

Che Mat berkata, dua pingat emas diperoleh itu diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet berkuda negara yang akan turun dalam acara lain selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Tugas getir Harimau Muda

Posted: 11 Dec 2013 10:09 AM PST

Nay Pyi Taw: Tugas lebih mencabar buat barisan penyerang negara pada pertemuan menentang Laos, esok dengan pengendali negara Datuk Ong Kim Swee membayangkan untuk menggunakan penyerang tunggal dengan misi mengutip tiga mata.

Penjaring gol pertama negara di Sukan SEA 2013, Rozaimi Abd Rahman dijangka kembali ke bangku simpanan dengan tiga pemain bakal menjadi pilihan mengetuai jentera serangan iaitu A Thamil Arasu, Izzaq Faris Ramlan dan Ahmad Hazwan Bakri.

Thamil dan Izzaq diturunkan pada pertemuan menentang Brunei kelmarin namun mereka belum menemui rentak apabila mensia-siakan beberapa peluang keemasan dengan Ahmad Hazwan memanaskan bangku simpanan.

"Saya akui perlu beraksi lebih baik lagi pada perlawanan menentang Laos namun kemenangan semalam memuaskan walaupun kami terlepas banyak peluang," kata Thamil.

Foto

KIM Swee (dua dari kanan) bersama pemain pada sesi latihan di Stadium Paung Laung.


Dia gagal meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila mensia-siakan empat peluang keemasan sepanjang perlawanan.


"Saya kurang agresif semalam (kelmarin). Perlawanan menentang Laos kami perlu lebih fokus selain menurut arahan jurulatih.

"Laos adalah pasukan yang tidak boleh dipandang rendah kerana ketika bermain 10 pemain menentang Singapura, mereka mampu menjaringkan gol dan mencatatkan keputusan seri," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

BOLA SEPAK: Mahu hadiah emas

Posted: 11 Dec 2013 10:07 AM PST

TIADA hadiah lain yang diinginkan pengendali bawah 23 tahun negara Datuk Ong Kim Swee daripada anak buahnya selain melakar hatrik pingat emas Sukan SEA.

Bagi Kim Swee, itu adalah hadiah paling sempurna buat dirinya yang menyambut hari lahir ke-43 semalam namun beliau tidak mahu terlalu memikirkannya kerana fokusnya adalah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan terlebih dulu.

Skuad negara sekadar meraih kemenangan 2-0 menentang Brunei, pasukan paling lemah Kumpulan A kelmarin dan kini menghuni tangga ketiga, terikat tiga mata dengan Vietnam namun lawan mempunyai kelebihan jaringan dengan Singapura mendahului selepas mengumpul empat mata.

"Jika dilihat daripada sudut positif, keputusan ini mengurangkan tekanan kepada pemain selain mereka menyedari permainan yang dipamerkan tidak mencapai tahap sepatutnya.

"Saya mungkin melakukan beberapa pertukaran dan perubahan strategi untuk menentang Laos pada Jumaat (esok).

"Jentera tengah akan berlaku perubahan dengan Mohamad Nasir Basharudin atau S Sivanesan yang mempunyai kualiti bertahan lebih baik akan diturunkan berbanding corak menyerang diamalkan ketika menentang Brunei apabila saya menggunakan Irfan Fazail dan Nazmi Faiz Mansor," katanya semalam.

Kim Swee turut membayangkan akan menggunakan penyerang tunggal untuk bertemu anak buah Kokichi Kimura dengan Irfan atau Nazmi ditugaskan membantu penyerang.

Malah percaturan menggilirkan pemain turut menjadi keutamaan Kim Swee kerana skuad negara akan menentang Singapura dua hari selepas itu.

"Saya belum memutuskan siapa yang bakal diturunkan namun akan cuba menurunkan pemain yang cergas sepenuhnya," katanya.

Foto

SKUAD B-23 meraikan hari lahir jurulatih Kim Swee (tengah) selepas sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

BOLA SEPAK: Izham mantap

Posted: 11 Dec 2013 10:05 AM PST

PENJAGA gol utama negara Izham Tarmizi Roslan cemerlang mengharungi setiap minit dalam penampilan pertamanya di Sukan SEA apabila menyelematkan beberapa percubaan berbahaya Brunei kelmarin.

Kecemerlangan itu memastikan skuad negara memulakan kempen mempertahankan pingat emas dengan jaringan dua gol tanpa bolos.

Menurutnya, persembahan itu didorong sokongan rakan sepasukan selain mengikuti segala arahan diberikan jurulatih.

"Jadi tidak perlu membandingkan saya dengan Apek (Khairul Fahmi Che Mat). Saya belum puas hati lagi, banyak perlu diperbaiki seperti komunikasi dengan pemain pertahanan," tambahnya.


Walaupun tersenarai bersama skuad Sukan SEA 2011, perlawanan menentang Brunei kelmarin yang pertama buat Izham selepas Khairul Fahmi mendapat kepercayaan sepenuhnya pengendali Datuk Ong Kim Swee dua tahun lalu.


Brunei hampir melakukan kejutan pada perlawanan pertama skuad negara itu apabila mendapat peluang menerusi Adi Said dan Muhammad Azwan Ali Rahman namun Izham cemerlang menafikannya.

Kim Swee turut memuji persembahan dipamer Izham dengan menyifatkan penjaga gol berkenaan sarat dengan pengalaman walaupun diturunkan buat kali pertama di pentas Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Myanmar mengajar erti kesusahan

Posted: 11 Dec 2013 10:04 AM PST

Pengalaman kali pertama membuat liputan untuk temasya Sukan SEA di Nay Pyi Taw, Myanmar bukanlah mudah bagi wartawan setahun jagung seperti saya ini.

Segala-galanya agak baru, malah kadangkala sering terfikir juga mampukah saya memenuhi segala tuntutan yang dimahukan bos dalam usaha menghasilkan bahan berita menarik untuk tatapan pembaca di tanah air.

Apatah lagi pengalaman pertama ini perlu saya harungi di sebuah negara yang mundur berbanding Malaysia yang mempunyai segala-galanya, selama hampir tiga minggu.

Namun selepas beberapa hari berada di sini, Myanmar sebenarnya banyak mengajar saya mengenai erti kesusahan dan cabaran untuk hidup.


Benar, banyak yang tidak sempurna di sini, jauh sekali untuk anda mengharapkan dapat melihat bangunan pencakar langit seperti di Kuala Lumpur, tetapi secara perlahan-lahan saya dapat menyesuaikan diri.


Untuk mengharapkan pengamal media dilayan dengan karpet merah seperti di Malaysia memang jauh sekali, namun saya cuba mengubah segala persepsi negatif ini kepada positif.

Mujur rakyat Myanmar sangat membantu sekiranya saya mengalami kesusahan dan inilah sebenarnya yang melegakan saya.

Namun, di sebalik mempelajari makna kesusahan dalam skop yang lebih luas di sini, terlintas di fikiran saya kadangkala rakyat Malaysia tidak faham makna susah yang sebenar-benarnya.

Hinggakan satu-satu kejayaan yang memerlukan usaha, keringat dan komitmen yang tinggi sehingga melakar sejarah baru untuk negara tercinta Malaysia, dipandang sepi begitu saja

Cukuplah, jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

WUSHU: MSN pertikai pengadilan wushu

Posted: 11 Dec 2013 09:57 AM PST

MAJLIS Sukan Negara (MSN) mempersoal mutu pengadilan acara wushu pada Sukan SEA Myanmar apabila juara dunia beberapa acara kalah kepada peserta bukan pilihan.

Ketua Pengarah Datuk Seri Zolkples Embong mendakwa keputusan pengadilan acara wushu, yang menutup tirai kelmarin, dilihat tidak memihak kepada Malaysia dan agihan pingat seolah-olah diberikan secara sama rata kepada negara peserta.

"Saya hairan kenapa semua negara sekurang-kurangnya dapat memperoleh satu pingat emas dan ia perlu dilihat kembali kerana jika ada negara memang bagus dalam acara ini, mereka berhak meraihnya dan bukanya pingat diagih secara rata," katanya.

Beliau berkata, perkara ini bukan sengaja dibangkitkan oleh Malaysia tapi negara peserta turut mempersoal perkara sama.


Skuad wushu negara mengakhiri cabaran dengan meraih tiga emas yang disumbang Bong Siong Lin, Phoon Eyin dan Tai Cheau Xuen.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Impak Iskandar

Posted: 11 Dec 2013 09:54 AM PST

Nay Pyi Taw: Tidak ramai yang menaruh harapan kepadanya sebelum berlepas ke Nay Pyi Taw namun Iskandar Zulkarnain Zainuddin berpeluang mencetus impak sebagai wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki Sukan SEA hari ini.

Iskandar menghasilkan persembahan terpuji sebelum menundukkan Nguyen Hoang Nam dari Vietnam 21-12, 21-10 pada pusingan pertama di Stadium Tertutup Wunna Theikdi kelmarin.

Pemain berusia 22 tahun itu bagaimanapun berdepan tugas sukar bertemu pemain nombor 83 dunia dari Indonesia, Wisnu Yuli Prasetyo pada suku akhir hari ini. Wisnu pernah mengalahkannya pada kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia tahun lalu.

"Memang ada tekanan sebab saya pemain tunggal negara meneruskan cabaran dalam perseorangan lelaki selepas Chong Wei Feng kalah.


"Saya kalah kepadanya (Wisnu) sebelum ini tapi kini saya sudah bersedia.

"Ia pasti sukar tapi saya hanya dipisahkan satu perlawanan saja lagi untuk memastikan sekurang-kurangnya pingat gangsa dan akan cuba yang terbaik untuk layak ke separuh akhir," katanya.

Jika naib juara remaja dunia 2009 itu menang hari ini, dia dijangka bertemu pilihan utama dan pemain nombor lapan dunia, Nguyen Tien Minh dari Vietnam untuk memburu tempat ke final.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain nombor 94 dunia, Yang Li Lian berdepan Manuputty Bellaetrix dari Indonesia pada suku akhir hari ini.

Li Lian kecundang kepada pemain nombor 35 dunia itu pada kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

'Segera cari rentak'

Posted: 11 Dec 2013 09:52 AM PST

Nay Pyi Taw: Skuad memanah negara perlu pantas menyesuaikan diri dengan keadaan berangin di Lapangan Memanah Wunna Theikdi yang berada di atas bukit andai ingin mendominasi acara berkenaan yang bermula pada Sabtu.

Tempoh latihan terhad selepas tiba di Nay Pyi Taw petang kelmarin menyebabkan anak buah jurulatih Lee Jae Hyung perlu mencari rentak dan menyesuaikan diri secepat mungkin.

"Pada latihan pertama pagi ini (semalam) kami terpaksa memendekkan sesi latihan kerana atlet memanah terbabit dalam acara perasmian pada sebelah malam (malam semalam).

"Pegawai perhubungan pasukan meminta kami menamatkan sesi latihan pada jam 10.30 pagi walaupun jurulatih mahu meneruskan latihan.


"Kami hanya menjalani latihan selama sejam berbanding dua jam seperti yang dijadualkan," kata pengurus negara Shamsuddin Ibrahim.


Bagaimanapun skuad negara yang disasarkan tiga emas akan menjalani latihan penuh empat jam pada sesi pagi dan petang hari ini serta latihan rasmi esok.

"Namun dalam tempoh sejam, saya lihat mereka mampu mengimbangi panahan untuk mempamerkan prestasi terbaik pada aksi pembukaan," katanya.

Pasukan memanah yang membariskan pemanah bertaraf Olimpik yang bersaing dalam acara recurve dan compound dijangka mampu melepasi sasaran tiga pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

Takraw wanita tumbang

Posted: 11 Dec 2013 09:52 AM PST

Nay Pyi Taw: Hanya regu utama mampu mencabar pada set pertama sebelum pasukan sepak takraw wanita negara tumbang mudah 0-3 di tangan juara bertahan Thailand dalam acara berpasukan pada temasya Sukan SEA semalam.

Regu Nor Fairuz Azizan, Nurashidah Rashid dan Nur Farhana Ismail bagaikan mencetus janji palsu apabila beberapa kali mendahului lawan diwakili Daranee Wongcharen, Sudaporn Palang dan Kaewjai Pumsawaokaew pada set pertama.

Namun ketika mendahului 19-18, mereka melakukan kesilapan sekali gus membenarkan lawan menang 21-19.

Set kedua mereka hilang punca dan tewas mudah 7-21.

"Kami berjaya memberi tentangan sengit pada set pertama tapi semuanya tidak menjadi selepas itu.

Walaupun kalah, kami akan berusaha untuk meraih pingat gangsa," ujar kapten Nurashidah.

Malaysia akan bertemu tuan rumah hari ini sebelum menentang Indonesia esok.


Mereka perlu melakar sekurang-kurangnya satu kemenangan jika mahu merangkul pingat dalam liga sepusingan membabitkan empat negara itu.

Regu kedua dan ketiga negara gagal memberikan saingan dan kalah dengan mudah.

Regu B diwakili Asumalin Rattana Som Chok, Rahilah Harun dan Nur Liyana Ismail tewas 4-21, 8-21 kepada gandingan Sunthari Rupsuang, Rungtip Tanaking dan Nongnuch Inruengsorn.

Manakala Regu C terdiri daripada Siti Norzubaidah Che Wahab, Elly Shahira Rosli dan Nur Azira Suhaimi kecundang 3-21, 4-21 kepada Somruedee Pruepruk, Thidarat Soda dan Wanwisa Janken.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/12

No comments:

Post a Comment