Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Pemandu wanita China sahut cabaran Usain Bolt

Posted: 19 Dec 2013 09:36 AM PST

Beijing: Seorang wanita China menerima cabaran pelari Olimpik, Usain Bolt, untuk 'berlumba' dengannya menggunakan bas.

Wanita itu berkata dia yakin mampu mengalahkan Bolt dalam perlumbaan sejauh 300 meter dengan dia memandu bas manakala Bolt berlari.


"Adakah pemandu bas China yang sanggup berlumba dengan saya?" cabar Bolt di akaun Weibo miliknya sejurus mengalahkan pemandu bas di Buenos Aires bagi perlumbaan sejauh 80 meter, Ahad lalu.

Ribuan orang menjawab pos itu, namun Wang Yang pemandu bas awam dengan pengalaman 15 tahun menjadi orang pertama menyahut cabaran berkenaan.


Menurutnya, cabaran itu lebih sukar jika jaraknya sekadar 100 meter disebabkan bas mengambil masa lebih lama untuk meningkatkan kelajuan.


Bagaimanapun, dia yakin mampu mengalahkan Bolt dalam perlumbaan 300 meter.

Foto

BOLT selepas berlumba dengan sebuah bas di Buenos Aires, Argentina, Sabtu lalu.

Bolt belum memberikan sebarang jawapan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Buah zakar 'berasap'

Posted: 19 Dec 2013 09:34 AM PST

Barcelona: Seorang anggota polis dihukum penjara setahun kerana mencederakan buah zakar seorang lelaki yang ingin ditangkapnya dengan bom asap.

Bom itu dicampakkan ke riba mangsa apabila lelaki terbabit enggan keluar dari keretanya ketika diarahkan berbuat demikian.


Anggota polis itu dipenjarakan setahun dan diarah membayar 168,000 Euro (RM751,675) kepada mangsa selepas mencederakan kemaluan mangsa tanpa sengaja.

Anggota polis dari Catalonia itu pada awalnya ditugaskan menahan dua pemeras ugut yang mempunyai sejarah keganasan.


Memandangkan kedua-dua suspek pakar seni mempertahankan diri dan memiliki dua anjing yang garang, pegawai atasan membenarkan anggota polis itu menggunakan bom asap jika perlu. Senjata itu direka untuk mengelirukan mangsa kerana ia menyebabkan kehilangan sementara deria pendengaran dan imbangan apabila diletupkan pada jarak dekat.


Bagaimanapun, apabila seorang daripada lelaki terbabit enggan keluar dari keretanya, anggota polis dari Barcelona itu mencampakkan bom terbabit ke atas ribanya, lapor akhbar The Local. yang menterjemah artikel daripada akhbar harian Sepanyol 20minutos.

Letupan itu mencederakan buah zakar lelaki berusia 25 tahun itu dan menyebabkan mangsa menjadi mandul. Mahkamah agung Sepanyol yang menjatuhkan hukuman ke atas anggota polis terbabit kelmarin berkata, insiden yang berlaku pada 2008 itu disebabkan oleh kecuaian.


Mahkamah juga mengarahkan dia digantung kerja.

Kes itu berlaku sebulan selepas polis Sweden dikatakan menggunakan bom asap untuk menundukkan seorang ibu yang enggan menyerahkan bayi lelakinya berusia lima bulan.


Wanita berusia 30 tahun itu mengacukan pisau ketika polis memasuki flat kediamannya di Helsingborg, selatan Sweden bagi membantu petugas khidmat sosial mengambil alih jagaan bayi terbabit daripadanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Basikal RM360,000

Posted: 19 Dec 2013 09:34 AM PST

London: Pastinya jika anda memiliki basikal ini anda tidak akan meletakkannya di luar rumah walaupun ia dikunci.

Basikal yang bertatahkan emas 24 karat ini dianggarkan berharga £67,000 (RM359,086). Ia direka oleh sebuah syarikat di negara Scandinavia, Aurumania yang dilengkapi dengan 600 kristal Swarovski. Disebabkan kosnya yang tinggi, hanya 10 saja basikal seumpamanya dihasilkan dan seorang pembeli di London mempamerkan basikal miliknya itu di dinding sebagai karya seni.


Aurumania juga mereka sebuah basikal bukit yang bertatahkan emas 24 karat.

Setiap basikal yang dihasilkan syarikat itu juga diperbuat tanpa menggunakan mesin.


Pemegang hendalnya dibuat daripada kulit berwarna coklat yang dijahit tangan dan tempat duduknya pula dibuat daripada kulit Brooks dengan sentuhan penuh nostalgia.


Logo Aurumania juga terpampang cukup bergaya di depan palang basikal itu.

Syarikat yang mendapat nama daripada perkataan Latin untuk emas iaitu aurum dan mania itu biasanya menghasilkan produk barangan mewah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Tiru kartun bakar kawan

Posted: 19 Dec 2013 09:33 AM PST

Beijing: Mahkamah China semalam memutuskan penerbit rancangan kartun popular patut dipersalahkan ekoran kecederaan dialami dua kanak-kanak yang diikat kawan mereka di pokok sebelum dibakar.

Media kerajaan melaporkan dua kanak-kanak itu diikat dan dibakar rakan mereka sebagai meniru aksi yang disiarkan dalam rancangan kartun itu.


Dua beradik berusia 7 dan 4 tahun dari Jiangsu melecur teruk pada April lalu selepas dibakar kawan mereka yang berusia 10 tahun yang dikenali sebagai Shun Shun. Shun Shun mengaku melakukan demikian kerana meniru babak rancangan kartun "Xi Yangyang & Hui Tailang" atau "Kambing yang baik dan Serigala besar", lapor agensi berita rasmi Xinhua. Mangsa yang berusia 7 tahun itu melecur 80 peratus di tubuhnya, manakala adiknya melecur sebanyak 40 peratus.

Siri kartun yang sangat popular dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa itu memaparkan serigala yang memburu kambing dan cuba menghalangnya lari.


Babak disiarkan termasuk kambing itu dijerumuskan ke dalam air mendidih dan dikenakan kejutan elektrik. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Pemanas badan

Posted: 19 Dec 2013 09:32 AM PST

Bangkok: Penunjuk perasaan antikerajaan semalam berarak di Bangkok bagi memaksa Perdana Menteri Yingluck Shinawatra agar meletakkan jawatan.

Namun, bilangan mereka jauh lebih kecil berbanding pada awal bulan yang memaksa Yingluck memutuskan untuk mengadakan pilihan raya dalam usaha meredakan krisis politik negara itu.


Pemimpin penunjuk perasaan menggelar perarakan itu sebagai latihan pemanas badan untuk persediaan perhimpunan besar-besaran pada Ahad.

Penunjuk perasaan menuntut pembaharuan politik dan pilihan raya sebelum sebarang undian diadakan dan mahu ia diselia "Majlis Rakyat" bukannya Yingluck yang menjadi perdana menteri sementara hingga pilihan raya 2 Februari depan.


Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand berkata, hanya 6,500 orang berhimpun di persimpangan Asoke yang sesak di tengah Bangkok pada waktu tengah hari, dengan pekerja pejabat dan orang lain turut berbaris di situ untuk menyuarakan sokongan.


Satu kumpulan lain terdiri daripada kira-kira 1,000 pelajar turut berarak ke kedutaan Amerika Syarikat (AS). Duta AS di Bangkok, Kristie Kenney sebelum ini menggesa agar proses demokrasi dihormati dan menyuarakan sokongan terhadap keputusan mengadakan pilihan raya.

Pemimpin penunjuk perasaan Nititorn Lamlua berkata duta AS Kristie Kenney perlu ditukar.


"Jika dia mahu meninggalkan kedutaan, dia perlu menaiki helikopter kerana dia memburuk-burukkan penunjuk perasaan," katanya.

Penunjuk perasaan dilihat memegang sepanduk berbunyi: "Kami sokong antirasuah dan "Tiada pilihan raya sebelum pembaharuan dilakukan". - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Yingluck sedia jumpa Suthep

Posted: 19 Dec 2013 09:31 AM PST

Bangkok: Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra berkata, beliau sedia bertemu pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban bagi mencari jalan menyelesaikan krisis politik yang melanda negara itu.

Yingluck turut menggesa penunjuk perasaan agar melakukan demonstrasi secara aman dan mematuhi undang-undang negara.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perhimpunan besar-besaran antikerajaan yang bakal diadakan Ahad ini.

Suthep kelmarin mengumumkan yang penunjuk perasaan juga akan berarak di luar kediaman Yingluck di Bangkok dalam usaha memberi tekanan agar pemimpin itu meletak jawatan.


Yingluck berkata, terdapat pelbagai forum pembaharuan boleh diadakan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap krisis politik itu dan beliau bersedia untuk bertemu dengan Suthep walaupun untuk seketika.


Menurutnya, kerajaan sedia melakukan apa saja demi keamanan negara dan membangunkan negara.

Ketika ditanya adakah dia akan menerajui Parti Phue Thai dalam pilihan raya 2 Februari depan, Yingluck berkata, beliau akan mengumumkan keputusan mengenainya Isnin ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Tertukar wajah Mandela

Posted: 19 Dec 2013 09:31 AM PST

New Delhi: Pemilik papan iklan gergasi yang memberi penghormatan kepada Nelson Mandela menanggung malu apabila tersilap menggunakan gambar pelakon terkenal Morgan Freeman.

Papan iklan itu dipasang di tepi jalan di Coimbatore, selatan India, bagi memperingati pejuang antiaparteid itu yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu.


Sebaliknya, wajah tersenyum Freeman yang dipaparkan dengan saiz gergasi manakala tiga lagi wira, Martin Luther King, Mother Teresa serta Mahatma Gandhi turut dilihat dalam gambar lebih kecil di bawahnya.

"Kita patut bangga hidup sama era dengan mereka ini," kata mesej yang ditulis dalam bahasa Tamil pada papan iklan berkenaan.


Saudagar kain Chandrashekhar yang membeli iklan itu berkata kesilapan dilakukan pihak pereka.


"Kami akan menggantikannya dengan gambar sebenar Mandela," katanya.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana kesilapan itu boleh berlaku.


Morgan Freeman melakonkan watak Mandela dalam filem Invictus pada 2009. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

Penterjemah 'merepek' masuk hospital sakit jiwa

Posted: 19 Dec 2013 09:30 AM PST

Johannesburg: Penterjemah bahasa isyarat palsu yang menimbulkan kemarahan dunia kerana aksinya ketika upacara peringatan Nelson Mandela semalam dimasukkan ke hospital sakit jiwa untuk rawatan skizofrenia.

Isteri Thamsanqa Jantjie, Siziwe, dilaporkan membawanya ke sebuah hospital sakit jiwa dekat sini untuk pemeriksaan mental di mana dia diarahkan terus menjalani rawatan.


"Memang sukar mengharungi beberapa hari kebelakangan ini.

"Kami banyak memberi sokongan kerana dia mengalami gangguan jiwa teruk," katanya.


Pakar bahasa isyarat minggu lalu menuduh Thamsanqa Jantjie 'merepek' apabila membuat terjemahan ucapan pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan cucu Mandela pada majlis itu.


Jantjie dijadualkan menjalani pemeriksaan di Hospital Psikiatrik Sterkfontein pada 10 Disember lalu tetapi menangguhkannya berikutan menerima tawaran membuat penterjemahan acara berkenaan.

Jantjie mendakwa dirinya penterjemah bertauliah namun mengalami gangguan skizofrenia ketika kejadian.


"Saya melihat malaikat jatuh ke dalam stadium selain mendengar pelbagai suara sehingga hilang tumpuan," katanya.

Media tempatan turut mendakwa dia terbabit dalam serangan berkumpulan yang mengakibatkan dua maut, 10 tahun lalu selain pernah didakwa atas tuduhan rogol, culik dan mencuri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/20

No comments:

Post a Comment