Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lesen memandu, skrip Farrah Fawcett dilelong

Posted: 04 Dec 2013 11:49 AM PST

Houston: Lesen memandu, skrip filem dan sehelai pakaian renang yang pernah dimiliki ikon seks era 1970-an, Farrah Fawcett akan dilelong di Dallas esok.

Puluhan barangan itu ialah koleksi yang dimikili anak saudara lelaki Farrah, Greg S Walls dan dijangka akan dibida puluhan ribu dolar, menurut firma lelaongan Heritage Auctions.


Pengarah lelongan jabatan hiburan dan muzik Heritage, Margaret Barrett berkata, walaupun Farrah sentiasa dikaitkan dengan 1970-an dan gaya rambut terkenal miliknya, dia masih menjadi bintang kesayangan Hollywood yang dihormati hingga hari ini.

Farrah yang dilahirkan di Texas ialah seorang daripada selebriti terkenal AS hampir 40 tahun lalu.


Peranannya dalam drama televisyen Charlie's Angels' dan posternya memakai pakaian renang merah yang terjual hingga jutaan naskhah telah melonjakkan namanya.


Walls menyumbangkan pakaian renang dipakai Farrah dalam posternya yang terkenal itu kepada The Smithsonian setahun selepas aktres itu mati akibat kanser pada 2009 ketika berusia 62 tahun.

Foto

SALINAN skrip filem Burning Red milik Farrah antara barangan peribadi aktres itu yang akan dilelong di Dallas.

Namun, pakaian renang merah yang dipakainya untuk foto 1995 dalam majalah Esquire ialah antara puluhan barangan yang akan dilelong.


Barangan lain termasuk kad keahlian Akademi Filem Seni dan Sains, Anugerah People's Choice 1977, skrip filem dan drama televisyen, kerusi kulit pengarah, lesen memandu California dan pasport 1980 milik Farrah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Padah pasangan bosan di ranjang

Posted: 04 Dec 2013 11:47 AM PST

Cairns (Queensland): Seorang lelaki Australia yang dibicarakan kerana membunuh isterinya mengadu wanita terbabit sangat membosankan ketika di ranjang dan menjadi tukang masak yang sangat teruk.

Klaus Andres, 70, sebelum ini mengakui melarutkan mayat Li Ping Cao, 42, dalam tong sampah yang dipenuhi dengan asid. Andres menghadapi perbicaraan kerana dituduh membunuh wanita kelahiran China itu yang menjadi isterinya selama lima tahun dalam satu pembunuhan di kediaman mereka di pinggir Cairns, akhir Oktober 2011. Dia mengaku bersalah menyebabkan kematian Li Ping dan cuba melupuskan mayat mangsa tetapi berkata, kematian isterinya adalah satu kemalangan. Li Ping dipercayai ditolak ke lantai oleh Andres selepas mangsa menikam tangan suaminya dengan garfu.


Selepas Li Ping mati, Andres membawa 60 liter asid dan melarutkan mayat isterinya dengan bahan itu di dalam tong sampah. Saksi, John Gunner yang juga suami kepada kawan kekasih Andres minggu ini memberitahu mahkamah tertuduh ada mengadu mengenai isterinya.

Gunner bertemu Andres pada Ogos 2011, dua bulan sebelum kematian Li Ping. Andres pula bertemu kekasihnya awal tahun itu ketika isterinya berada di China menziarahi saudara-maranya.


"Li Ping bersikap dingin kepada suaminya, tidak seperti kekasih warga Thai Andres," katanya dalam kenyataan di mahkamah.


Gunner juga memberitahu mahkamah yang Andres menggelar Li Ping sebagai tukang masak yang teruk dan dia mahu kekasihnya berpindah ke Australia.

Ketika pembunuhan, jiran tetangga memberitahu berita tempatan bahawa mereka terdengar pasangan itu bertengkar sebelum kematian Li Ping. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Jaket paku elak dihimpit dalam pengangkutan awam

Posted: 04 Dec 2013 11:46 AM PST

Singapura: Seorang pereka yang jemu dengan keadaan tolak-menolak ketika berada dalam kereta api bawah tanah mencipta aksesori yang pasti memudahkannya - tetapi menakutkan penumpang lain.

Siew Ming Cheng menghasilkan rekaan jaket bergelar Spike Away yang diperbuat daripada plastik dan dilengkapi dengan pepaku plastik yang tajam.


Cheng menghasilkan rekaan jaket itu ketika menghadiri bengkel rekaan di Universiti Nasional Singapura.

Bengkel Chindogu itu adalah acara yang mengumpulkan pereka bagi mencari ciptaan menangani masalah seharian. Ia dikendalikan pereka perabot futuristik Jerman, Werner Aisslinger.


Selepas sesi perbincangan peserta diberikan setengah hari untuk mencari bahan dan merealisasikan idea mereka.


Cheng memutuskan untuk mencipta jaket yang dilengkapi senjata sebagai penyelesaian paling berkesan untuk masalah itu.

Kesemua bahan untuk membuat jaketnya diperoleh dari kedai biasa.


Jajaran pepaku itu biasanya digunakan untuk mengelak burung dan kucing daripada merosakkan tanaman. Rekaan tidak semestinya amat praktikal selagi dapat menyelesaikan masalah dan bagi Cheng, ia sesuai digunakan dalam pengangkutan awam yang sesak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Amaran Baju Merah

Posted: 04 Dec 2013 11:45 AM PST

Bangkok: Kumpulan Baju Merah bersedia bertindak terhadap penentang kerajaan atau mana-mana pihak termasuk tentera jika cuba menyingkirkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra melalui cara bertentangan daripada perlembagaan.

Ahli parlimen dan pemimpin bersama Parti Phue Thai, Weng Tojirakarn berkata setakat ini mereka masih memantau keadaan semasa dan belum memutuskan untuk bertindak.


"Tentera juga nampaknya masih menyebelahi kerajaan," katanya kepada penyokong Baju Merah semalam.

Weng berkata, Barisan Bersekutu Untuk Demokrasi Menentang Kediktatoran (UDD) hanya akan bertindak apabila keadaan memerlukan.


Kelmarin penyokong pembangkang memasuki Rumah Kerajaan dan Ibu Pejabat Polis Metropolitan di Bangkok selepas pihak berkuasa mengalihkan sekatan di laluan masuk premis itu. Tentera juga tidak bertindak terhadap penunjuk perasaan antikerajaan, malah membenarkan mereka berada di bangunan kerajaan sebelum diminta pulang. Tentera turut meminta polis tidak menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan. Perkembangan itu mendorong pemimpin penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban mengumumkan "kemenangan" di pihaknya. Weng berkata, hanya halaman Rumah Kerajaan dikuasai penunjuk perasaan dan tentera masih mengawal bangunan dari dalam. "Timbalan Perdana Menteri Pracha Prom-nog memberitahu saya agar tidak membunuh orang ramai. "Sesetengah penyokong Baju Merah sedih kerana penunjuk perasaan mahu mengambil alih bangunan itu tetapi kami katakan mahu membunuh orang awam sebagaimana kerajaan Abhisit Vejjajiva," katanya. Namun, Weng memberi amaran agar tentera menimbangkan keadaan itu kerana dia percaya Baju Merah tidak menerima rampasan kuasa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Ikrar akan terus berjuang

Posted: 04 Dec 2013 11:45 AM PST

Bangkok: Tunjuk perasaan yang cuba menggulingkan kerajaan semalam berhenti mendadak semalam tetapi pemimpin mereka berikrar akan terus berjuang mencapai matlamatnya.

Menurut Suthep Thaugsuban protes dihentikan seketika semalam bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran ke-86 Raja Bhumibol Adulyadej.


Kata Suthep, protes disambung semula sebaik saja semua acara sambutan berkenaan berakhir. "Kami akan bermula seawal subuh dan akan berjuang setiap hari hingga mencapai kemenangan," katanya. Sementara itu, ratusan penunjuk perasaan masih menguasai kementerian kewangan dan pusat pentadbiran utama di utara Bangkok. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Suthep mahu kembalikan kuasa kepada rakyat

Posted: 04 Dec 2013 11:44 AM PST

Bangkok: Pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban buat kali pertama mendedahkan maksud cadangannya menubuhkan "Majlis Rakyat" bagi mentadbir Thai untuk sementara.

Berucap kepada penunjuk perasaan di Rumah Kerajaan semalam, Suthep berkata, jika "rejim Thaksin dan kerajaan yang ada kini disingkirkan," kuasa kedaulatan akan dikembalikan kepada rakyat seperti digariskan di bawah seksyen 3 perlembagaan. Seksyen 3 mengatakan kuasa kedaulatan milik rakyat Thai, dan raja sebagai ketua kerajaan patut menguatkuasakan kuasa sedemikian di parlimen, menteri kabinet dan mahkamah seiring dengan peruntukan perlembagaan.


Suthep berkata rakyat dari setiap lapisan masyarakat kemudian akan memilih wakil daripada pelbagai latar belakang bagi membentuk Majlis Rakyat bagi menggubal dasar dan undang-undang majlis itu.

"Majlis berkenaan bertindak sebagai dewan perundangan bagi meminda undang-undang dan peraturan, selain mendesak pembaharuan kebangsaan bagi mengubah Thai menjadi lebih baik," katanya. Katanya, majlis akan memilih individu jujur tanpa kaitan dengan parti politik untuk menjadi perdana menteri sementara dan membentuk kerajaan sementara.


Kerajaan sementara itu akan mempraktikkan dasar pembaharuan kebangsaan dengan pelaksanaan pelan bagi mengubah suai struktur pasukan polis agar mereka dipantau rakyat dan mengagihkan kuasa kepada gabenor wilayah.


Apabila rancangan pembaharuan kebangsaan dilaksanakan dengan jayanya, pilihan raya umum akan dijalankan dan peranan Majlis Rakyat ditamatkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Kemboja bakal sambung semula dasar pengambilan anak angkat

Posted: 04 Dec 2013 11:44 AM PST

Phnom Penh: Kemboja akan menyambung semula dasar pengambilan anak angkat antarabangsa tahun depan selepas menggantungnya lebih empat tahun ekoran kebimbangan terhadap eksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Sosial, Nim Thoth semalam berkata, warga asing yang berminat untuk mengambil kanak-kanak Kemboja sebagai anak angkat boleh mengemukakan permohonan pada tahun depan. Namun, tiada tarikh khusus dinyatakan.


Kemboja mengharamkan pengambilan rakyatnya sebagai anak angkat pada 2009 ekoran bimbang bahawa sesetengah kanak-kanak berkenaan akan diseludup ke luar negara. Pegawai komunikasi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Angelique Reid berkata, Kemboja membatalkan pengharaman berkenaan pada awal tahun ini tetapi kekurangan mekanisme perlindungan dan kakitangan terlatih menangguhkan pembukaan bagi permohonan mengambil anak angkat.

Menurut sumber, seramai 3,800 kanak-kanak Kemboja diambil menjadi anak angkat oleh warga asing antara 1987 hingga 2009. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Seorang lagi dakwa dicabul

Posted: 04 Dec 2013 11:44 AM PST

Jakarta: Seorang lagi wanita tampil mendakwa menjadi mangsa serangan seksual penulis Sitok Srengenge semalam.

Wanita terbabit ialah "mangsa" kedua membuat tuduhan terhadap Sitok, 48, selepas seorang lagi wanita sebelum ini membuat laporan kepada polis mendakwa dirogol penulis dan budayawan terbabit.


Wanita pertama cuma dikenali dengan nama singkatan RW kini hamil tujuh bulan.

Semalam pensyarah Universiti Indonesia Saras Dewi mendedahkan seorang siswi di pusat pengajian tinggi itu turut mengadu dijadikan mangsa Sitok. Kata Saras Dewi, siswi terbabit mendakwa diajak Sitok atau nama sebenarnya Sitok Sunarto ke sebuah bilik kononnya untuk membincangkan projek seni.


"Bagaimanapun apabila di bilik berkenaan, Sitok memberi siswi terbabit minuman keras sebelum merabanya.


"Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri sebelum sempat dirogol," katanya.

Saras Dewi yang juga kaunselor dua siswi terbabit berkata, mangsa kini mengalami trauma dan kemurungan akibat kejadian itu.


Di sebalik aduan polis dibuat mangsa pertama, setakat ini pihak berkuasa belum mengambil sebarang tindakan ke atas Sitok.

Di pihak Sitok pula, dia menafikan merogol siswi yang hamil itu sebaliknya mendakwa hubungan seks di antara mereka berlaku atas dasar suka sama suka.


Sementara itu, isteri Sitok, Farah Maulida berkata dia tetap berdiri teguh di belakang suaminya.


"Sebagai isteri yang mencintainya, saya akan terus ada di sampingnya," kata Farah dalam laman Facebook, Sabtu lalu.


Farah mengakui tahu perkara itu sejak 7 November lalu selepas dibangkitkan seorang rakan sebelum menyoal Sitok. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Sitok keluar dari Komuniti Salihara

Posted: 04 Dec 2013 11:43 AM PST

Jakarta: Selepas terus diburu cerita sensasi mengenai dakwaan keganasan seks terhadapnya, Sitok Srengenge semalam diumum keluar daripada kumpulan Komuniti Salihara.

Semalam Komuniti Salihara mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengulas itu itu.


Kata Komuniti Salihara, mereka sangat menghormati keputusan siswi yang mendakwa menjadi mangsa rogol itu mengadukan kesnya kepada polis. Komunitas Salihara, kata kenyataan itu, menyedari betapa beratnya untuk seorang wanita melaporkan kes rogol kepada pihak berkuasa serta kehamilannya.

"Kami juga menghormati proses hukum yang sedang berjalan. Kami berharap melalui proses hukum ini, hak perlindungan mangsa dan keadilan dapat diberikan," katanya.


Selepas melakukan siasatan dalaman, Komuniti Salihara berpendapat kes berkenaan tidak membabitkan sebarang kemudahan atau premis persatuan kebudayaan berkenaan.


"Sitok juga sudah mengemukakan permohonan untuk menarik diri daripada jawatannya dalam Komuniti Salihara dan kami menerima permohonan berkenaan," katanya. Komuniti Salihara ialah sebuah persatuan kebudayaan yang ditubuhkan pada Ogos 2008 itu dan menjadi pusat kesenian pelbagai aliran swasta pertama di Indonesia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

Pengebom beri amaran

Posted: 04 Dec 2013 11:43 AM PST

Jakarta: Lelaki yang didakwa cuba mengebom Kedutaan Myanmar semalam mengaku menjadi dalang kejadian itu, malah menegaskan masih memerangi sesiapa yang menindas orang Islam.

Sigit Indrajid, 23, berkata dia mengetuai kumpulan yang membuat perancangan mengebom kedutaan itu Mei lalu melalui Facebook.


Tujuannya, kata Sigit, ialah untuk membalas dendam atas penindasan kerajaan Myanmar terhadap masyarakat Muslim Rohingya di Myanmar.

"Saya yang merancangnya dan tidak menyesali perbuatan itu. "Ia menjadi satu amaran kepada Myanmar dan orang lain yang menindas Muslim sesuka hati.


"Saya masih berperang selagi penindasan ini wujud," katanya di mahkamah daerah Jakarta Selatan.


Kata Sigit, idea melakukan serangan itu tercetus selepas diajak mengikuti protes berhubung penindasan masyarakat Islam Rohingya yang dibacanya melalui Facebook.

Dia kemudian menemui rakannya Separiano yang juga didakwa di mahkamah sama.


"Saya mengajak Separiano mengebom Kedutaan Myanmar dan dia bersetuju," katanya dalam satu kenyataan. Sigit menghadapi tiga tuduhan keganasan, termasuk memiliki senjata dan bahan letupan yang membawa hukuman mati.

Serangan berkenaan digagalkan pada 2 Mei lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/05

No comments:

Post a Comment