Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tagih magis Kim Swee

Posted: 24 Dec 2013 11:20 AM PST

Kuala Lumpur: Biarpun gagal mencapai misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar minggu lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap menagih khidmat jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee yang bakal tamat kontrak pada 31 Disember ini.

Seperti ketetapan yang dibuat pada mesyuarat Exco FAM pada 24 November lalu, kontrak pengendali berusia 43 tahun akan disambung dan dilantik sebagai ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan selepas kontrak Datuk K Rajagobal berakhir hujung bulan ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan perbincangan semula akan dilakukan bersama Kim Swee mengenai kontrak itu selepas jurulatih itu membayangkan mahu melepaskan tugas mengendalikan Harimau Muda bagi memberi laluan kepada jurulatih tempatan lain.

Dan beliau berkata, ada pelbagai 'kemungkinan' boleh terjadi sama ada Kim Swee akan terus membimbing skuad muda ataupun terus dinaikkan pangkat membimbing Harimau Malaya berdasarkan perbincangan selepas ini.


"Kami sudah memutuskan pada mesyuarat Exco sebelum ini bahawa kontrak Kim Swee selaku jurulatih Harimau Muda akan disambung. Dalam masa yang sama beliau juga akan ditugaskan sebagai jurulatih skuad kebangsaan sehingga kami dapat mencari pengganti Datuk K Rajagobal.


"Bagaimanapun selepas FAM mendapat ketua jurulatih asing, kami akan memutuskan sama ada beliau akan menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan ataupun memikul tugas menjaga skuad Harimau Muda A, B dan C. Ini kerana kami fikir tiga skuad Harimau Muda ini perlu diselaraskan menerusi pemantauan seorang jurulatih," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ketika ditanya mengenai peluang untuk Kim Swee diberikan tugas baru bersama Harimau Malaya, Hamidin secara ringkas berkata "ada kemungkinan".

Kim Swee bekas pemain tengah kebangsaan dari Melaka dilantik menjadi jurulatih Harimau Muda A pada 2009 dan berjaya membimbing pasukan memenangi pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 dan Pestabola Merdeka September lalu.

Bagaimanapun kerana kecewa dengan pencapaian anak buahnya yang pulang dengan tangan kosong di Sukan SEA Myanmar, Kim Swee mengakui 'penat' untuk mengharungi kempen Sukan SEA pada edisi selepas ini.

"Mungkin beliau membuat kenyataan itu dalam keadaan kecewa, kita faham dengan kegagalan mempertahankan pingat emas tapi FAM masih memerlukan khidmatnya. Jadi kami akan mengadakan perbincangan semula sebaik beliau pulang bercuti," kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

'Bukan salah pelumba'

Posted: 24 Dec 2013 11:18 AM PST

Kuala Lumpur: "Mengapa hanya pelumba terus dipersalahkan." Itu cetusan rasa yang diluahkan oleh pelumba negara Anuar Manan yang turut melahirkan rasa tidak puas hatinya apabila ramai yang mempersoalkan kegagalan negara di Sukan SEA Myanmar berpunca daripada pelumba.

Biarpun tidak berada dalam skuad negara dalam memburu misi menamatkan kemarau pingat emas di temasya dwi tahunan itu, Anuar yang sentiasa menjadi mangsa permainan dalam Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), nyata tidak berpuas hati dengan laporan yang sering kali mengaitkan kegagalan skuad negara membawa pulang emas di atas bahu pelumba.

Dia yang pernah bersama beberapa pasukan profesional seperti Azad University, Geumsan Ginseng Asia, Terengganu Cycling Team, Champion System dan terkini bersama Synergy Baku Cycling Project mengakui banyak perbezaannya yang mencetus kejayaan sesebuah pasukan.

"Mengapa hanya salah pelumba saja yang dapat dilihat. Pelumba profesional berlumba dengan pasukan profesional dan diuruskan secara profesional juga tapi bersama pasukan Malaysia, pengurusannya nyata berbeza.


"Mereka membuat keputusan mengikut suka hati saja tanpa memikirkan perasaan apa yang pelumba rasa," katanya.


Malah kenyataan yang Anuar keluarkan menerusi laman sosial Facebook itu turut disokong oleh bekas pelumba negara, Rosman Alwi yang menyokong penuh kesalahan atau kegagalan sebuah pasukan itu disebabkan oleh pengurusan yang tidak betul.

Beberapa pelumba yang tersenarai dalam skuad negara ke Myanmar turut meluahkan ketidakpuasan hati masing-masing kepada pengurusan atas layanan pegawai yang tidak menjalankan tanggungjawab.

Acara lepas beramai-ramai yang dipertaruhkan untuk menamatkan kemarau pingat emas sejak 2005 di Filipina gagal menghasilkan pingat emas dinantikan apabila sekadar meraih pingat perak berpasukan.

PKBM difahamkan menawarkan RM20,000 kepada pelumba andai berjaya meraih salah satu daripada dua pingat emas yang ditawarkan semalam.

Tanpa disangka pelumba dari Laos, Ariya Phounsavant mencipta kejutan apabila muncul juara kategori individu meninggalkan pelumba lain dengan pelumba Pro Tour negara, Loh Sea Keong yang mencatatkan empat jam 29 minit 51 saat hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat, terlepas pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Gandingan 3 Al- Ahly

Posted: 24 Dec 2013 09:31 AM PST

Kota Bharu: The Red Warriors (TRW) yang memilih tiga tonggak import bekas pemain kelab Mesir, Al-Ahly membantu mempercepatkan keserasian sebelum saingan Liga M 2014 bermula.

Tiga tonggak itu adalah pemain tengah, Mohamed Shawky dan dua penyerang, Mohamed Ghaddar serta Francis Forkey Doe, sekali gus menyaksikan pertemuan kembali tiga bekas pemain Al-Ahly yang beraksi dengan kelab itu pada 2010.

Shawky, 32, yang berasal dari Mesir dan bekas pemain Middlesbrough berkata, bukan satu masalah besar baginya untuk menyesuaikan diri dengan Ghaddar dan Forkey Doe, apatah lagi mereka pernah beraksi bersama dulu.

"Sebelum saya datang, saya sudah bertanya kepada Ghaddar dan dia memberitahu Kelantan mempunyai ramai penyokong dan salah sebuah kelab terbesar di Malaysia.

Untuk itu saya menerima untuk bermain bersama Kelantan.

"Saya gembira Ghaddar turut berada di sini selain dapat bersama kembali dengan Forkey Doe.

Ini satu kelebihan bagi kami bertiga untuk menyesuaikan diri," katanya selepas sesi latihan di Padang Mardi, Pasir Tumbuh semalam.

Menurut Shawky, dia sedang berusaha untuk mengenali pemain tempatan termasuk memahami corak permainan di Liga M.

Katanya, dia juga bersedia berkongsi kemahiran dengan pemain tempatan untuk bersama-sama menguatkan pasukan.

"Ini kali pertama saya berada di Malaysia dan saya perlu tahu corak permainan di sini temasuk mengenali pemain tempatan.


Perkara itu akan mengambil masa namun itu bukan masalah besar.

"Saya akan menggunakan pengalaman ketika beraksi di negara lain yang mungkin boleh dikongsikan dengan pemain tempatan sekali gus mengeratkan hubungan dan mendapatkan keserasian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Conti tidak anggap Nwaekaeme pesaing

Posted: 24 Dec 2013 09:29 AM PST

Kuantan: Penyerang import Pahang Matias Conti tidak menganggap kehadiran bekas penyerang Kelantan, Dickson Nwaekaeme sebagai ancaman bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Ini kerana penyerang kelahiran Argentina yang juga penjaring tunggal final Piala Malaysia itu yakin jurulatih Ronald Smith mampu membuat pilihan terbaik siapa yang mampu mengisi posisi penyerang pasukan untuk musim depan.

Bagi Conti, kehadiran Nwaekaeme ialah berita positif buat skuad Tok Gajah untuk mengharungi saingan mencabar dalam Liga Malaysia musim depan.

"Sebenarnya saya tidak bimbang untuk bersaing secara sihat dan gembira kerana masih bersama Pahang dengan barisan pemain yang majoritinya kekal selain dengan kemasukan dua import baru (Dickson dan Zeshan Rehman).

"Dengan kejayaan muncul juara Piala Malaysia, saya percaya Pahang akan lebih bertenaga untuk memburu lebih banyak kejayaan," katanya.

Misi utama Conti adalah untuk memastikan tiga piala yang menjadi idaman semua pasukan menjadi milik skuad Tok Gajah.

"Saya yakin impian ini boleh tercapai dengan keserasian dan barisan pemain yang ada dan pastinya dengan sokongan padu peminat Pahang yang selama ini menjadi pencetus semangat buat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Penyokong Kedah kecewa isu logo tidak dibincang bersama

Posted: 24 Dec 2013 09:29 AM PST

Alor Setar: Isu pertukaran logo baru Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) daripada Kenari kepada Helang Merah terus mendapat perhatian ramai terutama daripada penyokong setia skuad Hijau Kuning apabila membantah tindakan itu.

Rata-rata peminat setia pasukan bola sepak negeri itu terkilan dengan tindakan KFA berikutan tidak mendapatkan pandangan daripada penyokong setia terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah Nor Hasmadi Hamzah berkata, pihaknya terkilan dengan pertukaran logo baru KFA kerana ia dibuat tanpa mengambil kira pandangan peminat setia bola sepak Hijau Kuning.

Katanya, KFA sepatutnya perlu mengambil kira pandangan peminat kerana bola sepak adalah sukan utama di Kedah selain mereka sentiasa berdiri di belakang pasukan ketika jatuh dan naik pasukan berkenaan dalam arena bola sepak tanah air.

"Sukan bola sepak mempunyai aura tersendiri di kalangan peminat setia di negeri ini.

Jadi kalau boleh sebelum keputusan diambil mengenainya, biarlah ia mengambil pandangan kami yang selama ini memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada skuad Kenari.

"Lebih dikesalkan apabila isu pertukaran logo ini hanya diketahui peminat menerusi laman web sahaja.

Kami mendapat tahu ia sudah diluluskan dalam Kongres KFA 2013 untuk digunakan pada musim depan," katanya, semalam.

Kelmarin Harian Metro melaporkan pengesahan logo baru KFA yang ditukar daripada Kenari kepada Helang Merah akan digunapakai oleh skuad Hijau Kuning dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Nor Hasmadi berkata, dia tidak menolak kemungkinan KFA mempunyai sebab tersendiri mengenai pertukaran logo berkenaan termasuk untuk mengembalikan semangat kepada pasukan bola sepak Kedah pada musim depan.

Bagaimanapun katanya, pertukaran logo itu secara perlahan-lahan bakal melenyapkan identiti bola sepak Kedah yang selama ini sudah sinonim dengan gelaran Kenari.

"Ya, kami akui mungkin Helang Merah lebih hebat daripada Kenari, tetapi kalau boleh sebelum membuat keputusan ia wajar dikaji terlebih dahulu.


Bayangkan kalau peminat memboikot dan tidak datang ke stadium memberi sokongan kepada pemain, perkara itu harus diambil kira.

"Walaupun kami kecewa, tetapi sebagai peminat setia bola sepak Kedah, kami tetap akan memberi sokongan padu kepada pemain dan berharap KFA mengambil iktibar dengan berbincang terlebih dahulu dengan kelab penyokong sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Perlu tegas

Posted: 24 Dec 2013 09:27 AM PST

Kuantan: Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sedia memberi kerjasama kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung status Mohd Amirul Hadi Zainal yang kini bersama Johor Darul Takzim (JDT).

Setiausaha Agung PBNP Fuzeimi Ibrahim berkata, pihaknya akan membantu FAM terutama dari segi kedudukan Amirul Hadi yang sebelum ini menandatangani kontrak bersama skuad Tok Gajah.

Menurutnya, PBNP tidak menghadapi masalah bagi memastikan kes pemain tengah itu disiasat FAM segera sebelum saingan Liga Malaysia musim 2014 bermula.

"Dalam kes ini, kita sedia memberikan kerjasama kepada FAM demi kebaikan bola sepak terutama skuad Pahang.

Segala maklumat mengenai status Amirul Hadi akan diserahkan pada pertemuan itu nanti.

"PBNP akan menyediakan segala dokumen berkaitan pemain itu dan mahu keputusan yang adil," katanya semalam.

Fuzeimi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM Datuk Takiyuddin Hassan yang menuntut penjelasan daripada PBNP dan Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) berhubung status bekas pemain kebangsaan itu.

Ini kerana tiada kepastian mengenai pasukan yang bakal diwakili pemain berusia 27 tahun itu selepas membuat pusingan U menyertai JDT musim depan.

Pada masa sama, PBNP mendakwa Amirul Hadi milik skuad Tok Gajah selepas pemain itu menandatangani kontrak tetapi segalanya berubah apabila dia menjalani latihan bersama JDT minggu lalu.

Amirul ketika diminta memberikan penjelasan cuba mengelak sedangkan pada sesi memperkenalkan pemain JDT Ahad lalu, dia turut sama berada bersama pemain lain.

FAM harus mengenakan tindakan tegas termasuk denda yang tinggi kepada kepada mana-mana pemain yang membuat pusingan U sekalipun pemain itu kembali ke pangkuan pasukan asal.

Dalam era profesional, pemain harus tahu tanggungjawab menghormati kontrak agar menjadi teladan kepada pemain lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Titans pulang awal demi keselamatan

Posted: 24 Dec 2013 09:26 AM PST

Kuala Terengganu: Demi keselamatan pegawai dan pemain berikutan letupan bom di Selatan Thailand, pihak pengurusan T-Team terpaksa membuat keputusan untuk pulang lebih awal ke Malaysia.

Skuad kendalian Azraai Khor Abdullah pulang pada jam 4 petang semalam dan akan berkampung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah sebelum dijangka mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Kenari dan Perlis.

Difahamkan, ketakutan yang menghantui pemain membuatkan pihak pengurusan membuat keputusan membatalkan perlawanan menentang kelab Liga Perdana Thailand, Chomburi FC yang dijadualkan hari ini untuk keluar lebih awal dari negara Gajah Putih itu.

Ketika berada di Wilayah Selatan Thailand, pasukan Azraai sempat mengadakan satu perlawanan menentang Songkhla United FC, kelmarin yang berkesudahan seri 1-1 dan gol T-Team dijaringkan penyerang import kelahiran Brazil, Evaldo Goncalves.

Menceritakan insiden letupan bom itu, kapten pasukan, Muhammad Hasbullah Awang berkata, keputusan yang dibuat pihak pengurusan untuk pulang awal tindakan tepat demi keselamatan semua.

Pemain tengah itu berkata, rakan sepasukan ada mengadu yang mereka tidak dapat memberi tumpuan terhadap perlawanan kerana ketakutan dan mahu pulang ke Malaysia.

Menurutnya, pemain pertahanan dari Brazil, Fabio Flor, Nelson Sam Martin (Chile) dan Goncalves memberitahu tidak boleh fokus kepada pasukan dan mahu pulang awal.

"Saya tidak dapat bayangkan kerana selepas 10 minit kami melepasi Balai Polis Sadao, Songkhla, jurulatih (Azraai) memberitahu berlaku letupan bom di tiga lokasi berasingan di Danok dan Padang Besar.

"Berita ini membuatkan kami berasa takut dan saya bersyukur kerana kejadian itu berlaku selepas kami melepasi ketiga-tiga kawasan terbabit.

"Bagi saya, keputusan yang dibuat pihak pengurusan untuk pulang semula ke Malaysia satu tindakan yang wajar kerana kita tidak tahu apa akan terjadi sepanjang kami berada di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Singa Utara waspada ancaman Kedah

Posted: 24 Dec 2013 09:25 AM PST

Kangar: Pengurusan skuad Perlis mahu setiap pemain yang diturunkan bagi menggalas cabaran di pentas akhir berdepan Kedah pada saingan Piala Emas Raja-Raja 2013 pada Ahad ini mampu memanfaatkan sebaik mungkin bagi merealiasasikan impian membawa pulang kejuaraan.

Pengurus pasukan Prof Madya Mazelan Abdul Hamid berkata, peluang itu tidak seharusnya disia-siakan selepas kali terakhir melakukannya empat tahun lalu dengan tampil hebat, bersemangat dan komitmen tinggi bagi melakar kejayaan.

Katanya, impian menjulang kejuaraan tidak mampu direalisasikan tanpa barisan terbaik, bersemangat dan memiliki kesungguhan tinggi di samping keazaman semua yang terbabit bagi mengulangi kejayaan pada 2009 lalu.

"Saya percaya dengan keupayaan pasukan di bawah kendalian Norizan Bakar untuk menggalas misi itu bagi menobatkan kembali Perlis selaku juara Piala Emas Raja-Raja musim 2013 ini.

"Berbanding beberapa tahun lalu, ini adalah peluang terbaik bagi pasukan untuk memastikan impian memenangi kejuaraan itu menjadi kenyataan," katanya tanpa sesekali menafikan bahawa Kedah juga sudah pasti memiliki impian atau misi sama.

Beliau berkata, Kedah yang kini dibawah kendalian bekas penyerang Kedah dan kebangsaan Hussain Jaafar sudah pasti tidak akan memberikan laluan mudah untuk Perlis melakar kejayaan selepas dikecewakan Perlis, empat tahun lalu.

"Kita berharap barisan pemain yang menggalas cabaran pada pertemuan itu mampu mempamerkan prestasi memberangsangkan sekali gus mengulangi pencapaian 2009 dengan menewaskan lawan sama di Alor Setar untuk dinobatkan selaku juara Piala Emas Raja-Raja musim itu," katanya.

Katanya, paling penting semua pemain yang diamanahkan membawa cabaran pada pertemuan itu perlu fokus terhadap permainan dan berusaha memberikan aksi terbaik.

"Kita percaya berdasarkan prestasi dipamerkan sejak bermula saingan hingga ke separuh akhir, tidak mustahil impian itu mampu direalisasikan untuk sekali lagi `mengejutkan' Kedah untuk menjulang kejuaraan pada perlawanan akhir 29 Disember ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

Boon Heong pula disyaki denggi

Posted: 24 Dec 2013 09:15 AM PST

Kuala Lumpur: Selepas Koo Kien Keat terpaksa menjalani pembedahan kecil mata sehingga tidak dapat beraksi pada Siri Super Final di Stadium KLBA, Cheras dua minggu lalu, kini giliran Tan Boon Heong pula disyaki menghidap demam denggi sehingga dimasukkan ke wad minggu lalu.

Kedudukan terkini Boon Heong itu menimbulkan tanda tanya, adakah pemain tinggi lampai itu dapat pulih dalam tempoh terdekat untuk menyertai Siri Super Premier pertama 2014, Terbuka Korea 7-12 Januari depan atau sebaliknya.

Penilai bebas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Kim Her yang terbabit secara langsung bersama Pengarah Kejohanan, Dr Koay Ban Hing, berkata, pemain itu sudah dibenar keluar hospital dan kini berehat di rumah.

"Kedudukan terkini adalah kita belum mengambil tindakan untuk mengeluarkan mereka dari kejohanan. Sama ada menarik diri sekarang atau kemudian nanti, risikonya tetap sama iaitu kita perlu membayar denda," kata Kim Her.

Foto

BOON Heong (kanan) perlu rehat panjang untuk pulih sepenuhnya.


Begitupun, jika BAM benar-benar mengambil serius situasi Boon Heong yang masih kurang bermaya, mereka sepatutnya membuat perancangan lebih awal memutuskan sama ada mahu menghantar gandingan terbabit atau sebaliknya kerana tarikh tutup penarikan diri tanpa dikenakan denda, adalah pada 22 Disember, iaitu tiga hari lalu.


Menurut Kim Her, Boon Heong disahkan tidak menghidap denggi dan dia dimasukkan ke hospital, hanya disebabkan suhu badannya tinggi mendadak.

"Sekarang, kami akan pantau proses pemulihannya, jika dia pulih dan cergas sebelum kejohanan bermula, mereka akan beraksi."

Sementara Kien Keat yang dihubungi, sekadar menyatakan bahawa dia tidak tahu mengenai kedudukan terkini, sama ada mereka akan tetap beraksi di Korea atau sebaliknya.

BAM yang melakukan banyak perubahan seharusnya berfikir lebih jauh, bukan sekadar menghantar pemain sekadar untuk mengambil bahagian, malah seharusnya bersandarkan kepada matlamat.

Jika tindakan tunggu dan lihat proses pemulihan Boon Heong sedangkan pemain itu tidak dapat menjalani latihan, apa gunanya gandingan utama negara itu dihantar ke Korea.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

China takluk litar FELDA

Posted: 24 Dec 2013 09:14 AM PST

Senawang: Kehebatan pasukan luar negara jelas sukar disangkal apabila mereka mendominasi Kejohanan Rally Antarabangsa Negeri Sembilan 2013 (IRNS 2013), yang berlangsung di litar FELDA Raja Alias Jempol, baru-baru ini.

Pasukan dari China menerusi gandingan Fan Fan dan Fang Jun Wei yang memandu Mitsubishi Lancer mengungguli kejohanan berkenaan selepas mencatat masa dua jam, dua minit, 55 saat, pada cabaran sejauh 373 kilometer.

Gandingan itu menewaskan 24 pasukan lain yang menyertai kejohanan berkenaan yang juga sirkit keempat tahun ini selepas sebelum ini diadakan di Perak pada Jun diikuti Johor (Ogos) dan Perlis (Oktober).

Tempat kedua menjadi milik New Zealand menerusi gandingan Brian Green dan Fleur Pedersen yang mencatat masa 2:07.41s manakala di tempat ketiga diraih wakil negara, gandingan Muhamad Rafiq Udhaya dan Maruthi Ariokiasamy yang mencatat masa 2:08.59s.

"Cabaran kali ini begitu sengit apabila setiap peserta yang bertanding memberikan komitmen tinggi dalam pemanduan dan dengan dibantu cuaca yang baik, jelas setiap peserta berpeluang mendahului antara satu sama lain.

"Apa pun kami berjaya menggunakan berpengalaman ketika beraksi pada litar itu sebelum ini dan dapat melepasi rintangan pemanduan hingga berjaya meninggalkan peserta lain.

"Namun begitu catatan masa yang kami rekodkan kali ini bukanlah yang terbaik kerana sebelum ini kami pernah mencatatkan di bawah dua jam, namun begitu saya puas hati muncul juara," kata Jun Wei selepas majlis penyampaian hadiah di Dataran Senawang.

Kejohanan anjuran kerajaan negeri, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) dengan kerjasama Tourism Malaysia Negeri Sembilan (TMNS) itu turut mendapat sokongan syarikat PROTON Edar dan beberapa syarikat tempatan lain.

Program itu adalah sebahagian daripada aktiviti promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi LPNS, Datuk Mohammad Razi Kail dan turut hadir, Pengarah TMNS, Mohd Zaidi Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25

No comments:

Post a Comment