Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sandaran emas negara

Posted: 30 Nov 2013 10:13 AM PST

Kuala Lumpur: Skuad memanah negara kini dilabel sebagai 'lubuk emas' buat kontinjen negara pada Sukan SEA di Myanmar bulan depan walaupun pada peringkat awalnya Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) hanya mensasarkan tiga pingat emas.

Status kebanyakan pemanah negara yang sudah bertaraf dunia dan Olimpik bakal menjadi taruhan terbaik buat anak buah Lee Jae-hyung untuk mempamerkan persembahan bertenaga di Lapang Sasar Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw yang bermula 13 Disember bagi merebut 10 pingat emas yang dipertandingkan, masing-masing lima emas dalam acara recurve dan compound.

Barisan pemanah recurve negara akan diketuai pemanah di ranking kesembilan dunia, Khairul Anuar Mohamad selain Haziq Kamaruddin yang pernah beraksi di Olimpik London 2012 selain Atiq Bazil Bakri dan Fareez Rosli manakala cabaran kategori wanita digalas Shahira Abd Halim, Nur Aliya Ghapar, Sunantra Suchat dan Farah Amalina Azhar.

"Sasaran rasmi kami adalah tiga pingat emas namun saya ada mengadakan perbincangan dengan jurulatih (Jae-hyung) baru-baru ini dan beliau menyatakan tidak mustahil untuk barisan pemanah negara meraih lima pingat emas berdasarkan kemampuan dan tahap yang dimiliki pemanah negara ketika ini. Menurut beliau, hanya Thailand mampu memberi cabaran dalam acara recurve manakala Myanmar dan Filipina dalam compound," kata pengurus pasukan memanah negara, Shamsuddin Ibrahim.

Foto

KHAIRUL prospek emas acara recurve individu.


Tanpa Cheng Chu Sian yang meraih dua pingat emas di Sukan SEA Indonesia dua tahun lalu, harapan kini disandarkan kepada Khairul untuk mengungguli acara recurve individu dan berpasukan selain Fatin Nurfatehah Mat Salleh dalam acara individu compound namun Shamsuddin turut menjelaskan acara recurve wanita dan compound lelaki turut menjadi sandaran untuk melakar kejutan.


Bagaimanapun, Shamsuddin tidak mahu terlalu memberikan tekanan kepada pemanah negara apabila menegaskan tiga pingat emas sudah mencukupi bagi menepati sasaran yang ditetapkan selepas dua tahun lalu membawa pulang dua emas, lima perak dan satu gangsa.

"Pada pengamatan saya kejutan mampu dilakar di Myanmar nanti namun dalam sukan ini segala-galanya bergantung pada hari pertandingan dan terdapat pelbagai kemungkinan. Seandainya pemanah negara tidak gemuruh dan tenang mengharungi pertandingan, saya pasti mereka mampu menghasilkan panahan terbaik untuk menghadiahkan pingat emas," tambahnya.

Aksi Sukan SEA juga dilihat sebagai penanda aras buat pemanah negara yang dipersiapkan untuk menghadapi Sukan Asia di Korea Selatan dan Komanwel di Scotland tahun depan dengan sasaran jangka panjang adalah memenangi pingat emas di Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Pencapaian terbaik skuad memanah negara adalah meraih tiga pingat emas di Sukan SEA 2005 di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Mimpi atau realiti?

Posted: 30 Nov 2013 09:57 AM PST

Kuala Lumpur: Mampukah sasaran realistik negara, 40 pingat emas di Sukan SEA di Nay Pyi Taw, Myanmar yang bermula 11 Disember ini direalisasikan? Itu persoalan yang bermain di fikiran peminat sukan negara ketika detik temasya dwitahunan itu semakin hampir.

Mengimbas kembali pembabitan negara di Sukan SEA, jumlah itu menyamai pencapaian kontinjen negara di Laos, empat tahun lalu dan lebih manis, ia diserikan dengan kejayaan menjulang pingat emas bola sepak, mengakhiri penantian 20 tahun impian meraih pingat emas di temasya sukan terbabit.

Jika berjaya melepasi pencapaian terbabit, ia sekurang-kurangnya melegakan kontinjen negara yang tetap berpegang kepada Sukan Olimpik yang lebih serius berbanding minat beberapa penganjur yang mengadakan acara 'sukan rakyat' sebagai lubuk emas mereka.

Kecuali muay thai (yang kali pertama menyaksikan penyertaan negara ke Sukan SEA), Malaysia tetap berpegang teguh kepada sukan sebenar seperti terjun, karate dan memanah sebagai sasaran emas.

Foto

ANAK buah Datuk Ong Kim Swee berjaya mengekalkan emas bola sepak di Indonesia.


Apatah lagi acara kegemaran negara seperti bowling dan berbasikal trek tidak dipertandingkan di temasya sukan berkenaan.


Memetik kenyataan Setiausaha Agong Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berdasarkan pencapaian lalu, sasaran 40 pingat emas tidak mustahil dicapai, memandangkan kontinjen negara membawa pulang 10 peratus daripada pingat emas keseluruhan yang ditawarkan.

Menurut beliau, Malaysia hanya bertanding dalam 400 acara meskipun tuan rumah menawarkan 460 pingat emas pada temasya kali ini.

"Secara purata kontinjen negara memenangi 10 peratus daripada keseluruhan emas yang ditawarkan setiap kali bertanding di luar negara, cuma di Brunei 1999 kontinjen memperoleh keputusan luar biasa apabila memperoleh 24 peratus. Jadi, kalau dapat 50 emas di Myanmar nanti, ia satu bonus," katanya.

Meskipun Chef de Mission, Datuk Amiruddin Embi tampil berbeza dengan meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu 51 pingat emas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan MOM tampak lebih selesa dengan sasaran dianggap lebih 'selamat'.

Namun jika difikir kembali, keupayaan atlet negara dalam temasya sukan, terutamanya Sukan SEA, tidak dapat dipertikaikan. Jika kena pada tempatnya, kontinjen negara berkeupayaan melepasi sasaran ditetapkan.

Lihat saja Sukan SEA Korat 2007 dan Sukan SEA Indonesia 2011. Malaysia berjaya membawa pulang 68 pingat emas berbanding sasaran 64 pingat emas di Korat, manakala di Indonesia pada 2011, kontinjen negara berjaya 58 pingat emas, melepasi sasaran 40 hingga 45 pingat emas iaitu pencapaian kedua terbaik negara di luar Kuala Lumpur.

Apa saja sasaran yang diletakkan, diharapkan ia bukan satu beban buat atlet yang bertanding tetapi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Ia juga perlu dilihat sebagai satu landasan yang tepat untuk membentuk atlet negara menjadi jagoan masa depan dengan matlamat tertinggi beraksi di pentas Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Persoal sertai Terbuka Brunei

Posted: 30 Nov 2013 09:55 AM PST

Kuala Lumpur: Bekas jaguh pecut kebangsaan, Nazmizan Muhamad tampil mempersoalkan rasional tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menghantar atlet untuk menyertai Terbuka Brunei minggu ini.

Nazmizan berpendapat, atlet kebangsaan yang bakal dipertaruhkan di Sukan SEA Myanmar bulan ini perlu menumpukan perhatian untuk mempamer aksi terbaik di temasya berkenaan dan bukannya mengerah kudrat di Brunei.

"Sekarang bukan masa terbaik untuk menghantar peserta bertanding kerana ini sudah saat akhir.

Sekarang bukan masa membuktikan tahap kompetitif seseorang, mencatat masa terbaik peribadi atau kebangsaan kerana misi utama kita 'fokus' membawa pulang pingat emas di Sukan SEA.

"Kita perlu memperkuatkan mental dan psikologi, mencari keserasian supaya atlet rasa seronok berganding sebagai satu pasukan memandangkan mereka juga dalam peringkat persediaan masuk ke perkampungan sukan SEA," katanya.

Nazmizan, 32, adalah pelari pecut terakhir Malaysia yang memenangi pingat emas acara 100m dan 200m Sukan SEA Vietnam 2003.

Selepas temasya 2003, belum ada pelari pecut kebangsaan yang berjaya membawa pulang pingat emas acara riben biru itu hingga sekarang.

"Pendekatan menghantar atlet bertanding pada saat akhir tidak praktikal.

Ia mendedahkan mereka kepada risiko kecederaan.

"Bagi saya kejohanan yang disertai itu tidak memberi sebarang kecenderungan atau memperbaiki 'bearing' sasaran kita di Sukan SEA.


Tidak kira mereka buat masa terbaik atau tidak, yang penting kita membawa pingat emas kerana saya akui ketika saya menang pingat emas dulu pun saya tidak memecahkan rekod kebangsaan.


Orang akan sentiasa menyebut dan ingat sampai bila-bila andai kita menang pingat emas tetapi tidak perak dan gangsa," katanya yang kini menjadi jurulatih pecut universiti dan Perlis.

Pada masa sama, atlet kelahiran Terengganu itu bersetuju dengan keputusan KOM menghantar atlet muda beraksi pada Sukan SEA Myanmar.

"Pendekatan seperti itu akan memberi pendedahan lebih baik.

Atlet senior boleh fokus membuat persiapan menyertai kejohanan besar seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel," katanya.

Ditanya mengenai sasaran Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan yang menetapkan 40 pingat emas Sukan SEA Myanmar, Nazmizan berkata: "Saya rasa kontinjen kita mampu mencapai sasaran ditetapkan dan mungkin lebih.

Saya yakin kerana kita pernah mengutip lebih daripada sasaran ditetapkan pada beberapa temasya sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Atlet pelapis mampu sumbang pingat

Posted: 30 Nov 2013 09:54 AM PST

Kuala Lumpur: Sewaktu ramai yang agak sangsi berhubung kemampuan kontinjen negara membawa pulang 40 pingat emas di Sukan SEA Myanmar, muncul persoalan baru iaitu sejauh manakah atlet muda yang dipertaruhkan boleh menyerlah di kejohanan antarabangsa.

Sering dilabel sebagai medan untuk atlet pelapis mencuba nasib, tidak dinafikan Sukan SEA menghidangkan ruang dan peluang buat atlet baru membuka mata peminat sukan negara yang menjadi saksi kemampuan mereka.

Tidak mustahil, ada antara mereka mampu menjadi penyumbang sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan apatah lagi pingat lainnya hanya sebagai pengukuh reputasi negara di temasya sukan dwitahunan itu.

Hakikat itu diakui Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin yang berpuas hati dengan penyertaan atlet pelapis malah yakin potensi anak buahnya akan berupaya menyumbang pingat.


"Seramai 64 atlet pelapis layak ke Sukan SEA kali ini, 45 daripada mereka bertanding atas tiket Kategori A, manakala bakinya kategori B," katanya.


"Jumlah ini meningkat berbanding 55 orang di Sukan SEA Jakarta."

Menurut beliau, antara yang dilihat mampu menyumbang pingat adalah atlet kata (karate) wanita, angkat berat, tinju, lompat tinggi dan silat.

Malah menurutnya, olahraga juga mampu memberi kejutan menerusi Cassier Renee Kelly Lee (lontar peluru) dan Navin Raj (lompat tinggi).

"Jika diberi ruang dan peluang, tidak mustahil mereka mampu memberi saingan. Seperti contoh ketika di Sukan SEA Jakarta, salah seorang penyumbang pingat emas acara silat adalah atlet pelapis.

"Kita harap atlet dapat cuba untuk memenuhi sasaran 40 pingat itu. Ia satu pengalaman yang bagus untuk mereka apatah lagi sasaran utama adalah memastikan mereka lebih menyerlah di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan."

Apa yang dibimbangi beliau ketika ini adalah sekiranya anak buahnya mengalami kecederaan menjelang temasya yang semakin hampir.

"Saya berharap jurulatih akan lebih menjaga atlet mereka dengan sebaik mungkin menjelang kejohanan," katanya.

"Ini bukan masanya untuk melakukan latihan keras hingga menyebabkan kecederaan tetapi hanya memanaskan badan bagi memastikan atlet bersedia."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Kemelut hampir selesai

Posted: 30 Nov 2013 09:52 AM PST

Kangar: Kemelut isu tunggakan gaji membabitkan barisan skuad Singa Utara musim 2013 kini menuju titik noktah apabila sebahagian daripada mereka yang terbabit menerima cadangan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berhubung bayaran yang tertangguh.

Meskipun pemain, bekas pemain, jurulatih dan kakitangan meminta bayaran gaji diberikan sehingga hujung musim 2013, namun pengurusan PFA menerusi satu mesyuarat sebelum ini hanya menetapkan pembayaran akan dibuat setakat Jun tahun ini saja.

Timbalan Presiden PFA Azhar Ahmad ketika ditemui di sini, berkata pembayaran gaji tertunggak barisan skuad Perlis akan dibuat bermula esok dan mereka yang terbabit diharap bersabar kerana urusan mengenainya sedang dilakukan.

Menurutnya, PFA pernah mengadakan perbincangan berhubung isu tunggakan gaji dan badan induk itu memberi cadangan kepada mereka untuk dipertimbangkan berikutan kegawatan kewangan dan tidak mampu untuk melayan sepenuhnya tuntutan bayaran tunggakan gaji sehingga Disember 2013 seperti yang tertera di dalam kontrak.


"PFA memberi cadangan itu untuk dipertimbangkan oleh mereka yang berkhidmat dengan PFA dalam musim 2013 bahawa tunggakan gaji mereka akan dibayar sehingga Jun (2013) saja.


"Cadangan itu diputuskan Jawatankuasa PFA kerana perlawanan terakhir ialah pada 5 Julai lalu dan tiada lagi latihan atau perlawanan yang dijalankan selepas itu.

"Kontrak asal memang sehingga hujung tahun dengan anggapan pasukan Perlis dapat melayari liga sehingga ke perlawanan Piala Malaysia, tetapi PFA memohon pertimbangan mereka untuk memahami situasi kewangan yang dialami PFA," katanya.

Menurutnya, meskipun sebahagian daripada mereka sudah menyatakan persetujuan, tetapi masih ada yang tidak bersetuju dan kini PFA menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepenuhnya untuk sebarang keputusan lanjut.

"PFA bukan sebuah syarikat yang menghasilkan keuntungan tetapi hanya menguruskan perihal bola sepak di Perlis termasuk persatuan dan kelab bola sepak kecil yang bernaung di bawah kami.

"Sepatutnya kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri turun membantu PFA mengatasi masalah ini dan tidak hanya berpeluk tubuh melihat dari jauh selain ada juga pihak hanya pandai melontarkan tohmahan tanpa menghulurkan sebarang bantuan," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga kecewa dengan sikap individu tertentu yang lebih gemar menyelar dengan memberi komen tidak membina sekali gus turut mengungkit kelemahan PFA hingga mengganggu proses penyelesaian yang dirancang serta akan dilaksanakan.

"PFA sedaya upaya cuba menyelesaikan masalah pembayaran tunggakan gaji selain juga persiapan untuk membentuk pasukan baru Liga Perdana 2014 yang sedang dilaksanakan di bawah pimpinan ketua jurulatih Reduan Abdullah," katanya.

Dalam pada itu, Azhar mengesahkan PFA akan menjadikan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang rasmi Perlis bagi musim 2014 selepas mendapat persetujuan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Syurga kaki golf

Posted: 30 Nov 2013 09:49 AM PST

Jakarta: Beraksi di lapangan yang pernah menjadi pentas beberapa pemain bertaraf dunia serta gelanggang kejohanan utama Jelajah PGA seperti Indonesia Masters tentunya menjadi impian setiap kaki golf lebih-lebih lagi jika ia antara padang golf terbaik di Asia Pasifik.

Royale Jakarta, Permata Sentul, Bogor Raya, Imperial dan Palm Hill adalah antara lapangan golf yang diperkenalkan dalam pakej 'Garuda Fantastic Jakarta Package' dan ia pasti menaikkan gelora pencinta sukan berkenaan.

Tanpa mengira sama ada bermain di hujung minggu atau hari biasa, semuanya boleh diatur tanpa bayaran tambahan kerana sudah termasuk dalam pakej. Anda hanya perlu membawa peralatan dan persalinan terbang bersama ke Jakarta kerana di situ, sudah tersedia segala-galanya.

Bermula di lapangan terbang, kakitangan agensi pelancongan Baltic akan menunggu untuk membawa pemain ke lapangan yang ditetapkan.

Foto

PEMANDANGAN dari rumah kelab green di lubang 9, lapangan east Kelab Golf Royale Jakarta.


Kelab Golf Permata Sentul cukup mencabar kemahiran setiap pemain kerana perlu mengelak rimbunan pokok-pokok di tepi fairway. Keadaan fairway yang berbukit dan tidak rata menjadikan permainan di situ lebih mencabar terutama jika bola jatuh di lereng. Begitu juga anak-anak sungai di lapangan yang menjadi halangan untuk menguji skil pemain. Ia juga membuatkan landskap di lapangan ini menarik.


Di lubang 15 yang hanya berjarak 135 meter, setiap pemain akan merasa seolah-olah berada di tengah-tengah litar lumba dengan gegaran deruman enjin motosikal berkuasa tinggi kerana Litar Lumba Antarabangsa Sentul hanya bersebelahan.

Begitu juga di Kelab Golf Bogor Raya, anda bagaikan berada di puncak gunung dengan lapangannya sering berkabus serta dingin walaupun bermain di waktu tengah hari. Keramahan dan layanan mesra kakitangannya di pintu masuk hingga ke buggy menjadikan percutian golf anda di sini begitu menarik.

Di Bogor Raya, landskapnya dijaga rapi dan pasti menyegarkan mata. Bermula di lubang satu Par 5, anda tidak akan rasa letih walaupun bermain di waktu panas. Suasana dingin dengan pemandangan yang indah tentunya menghapuskan tekanan bekerja.

Bagi kaki golf, kunjungan ke Jakarta bagaikan tidak sah jika tidak bermain di Kelab Golf Royale Jakarta - lapangan terbaik di antara ratusan padang golf seluruh Indonesia.

Royale Jakarta juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diangkat menjadi padang golf terbaik Asia sebanyak dua kali dan anugerah kedua terbaik di Asia Pasifik. Tidak seperti lapangan golf lain yang memiliki ribuan keahlian, Royale Jakarta 'berdiri sendiri' kerana dimiliki 100 pelabur dan menjadi gelanggang Jelajah Asia iaitu Indonesia Masters sebanyak dua kali pada 2011 dan 2012.

Antara pemain antarabangsa yang pernah bermain di sini ialah bekas pemain nombor satu dunia, Lee Westwood dari United Kingdom, Ernie Els (Afrika Selatan), Hwang Inn Choon dan Park Hyun-bin (Korea Selatan), Thongchai Jaidee (Thailand), Scott Hend (Australia) serta Bernd Wiesberger (Austria).

Kelab Golf Imperial pula menyajikan lapangan mencabar di mana keadaan fairway berbukit dan terdapat banyak tasik. Setiap satu lapangan 18 lubang itu memiliki nama tersendiri antaranya Permulaan, Merdeka, Garuda, Pulau, Kuil, Batugamelin, Cirebon, Karakatao, Harimau, Bahasa, Sawah, Ratih, Komodo, Barongan, Kebun Raya, Teratai, Raja/Panglima dan Terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Pendedahan berguna Idham

Posted: 30 Nov 2013 09:46 AM PST

Peluang menguji jentera Moto3 menjadi pengalaman berguna buat Khairul Idham Pawi menjelang perlumbaan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 di Shah Alam, Selangor, 7 dan 8 Disember ini.

Seperti yang dijanjikan kepada lapan pelumba terbaik Piala Impian Asia, Khairul Idham yang menduduki tangga keempat keseluruhan kategori tersebut diberikan peluang untuk menunggang jentera Moto3 Honda sebaik Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) berakhir di Qatar, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, walaupun pertama kali menguji jentera Moto3, Khairul Idham berjaya mencatat masa keempat terpantas di antara lapan pelumba yang layak, berada di belakang juara keseluruhan, Hiroki Ono dari Jepun, rakan senegara, Mohd Fitri Ashraf Razali dan pelumba Indonesia, M Dwi Satria.

"Peluang ini bukan semua dapat merasainya, tambahan pula ia dikendalikan oleh pihak Honda sendiri.

Selain dapat menguji jentera Moto3, saya juga dapat belajar daripada jurutera-jurutera berpengalaman yang mengendalikan jentera tersebut.


Pengalaman ini cukup berguna dan meningkatkan semangat saya untuk lebih maju pada masa akan datang," jelas pelumba berusia 15 tahun itu.

"Saya juga gembira kerana dapat mencatat masa yang agak baik selepas gagal mencatat keputusan baik pada kedua-dua perlumbaan akhir ADC sebelum itu kesan kemalangan yang menimpa ketika sesi latihan bebas.


"Sebenarnya saya masih belum 100 peratus cergas ketika sesi ujian Moto3, jika tidak pasti saya mampu mencatat masa yang lebih pantas.

"Jentera Moto3 sangat berbeza dengan jentera Honda CBR250R yang digunakan di dalam ADC.

Ia lebih laju dan ringan namun agak sukar dikendalikan.

Pelumba perlu mengubah gaya tunggangan terutama ketika memasuki selekoh.

Dengan tunjuk ajar dan bimbingan jurulatih serta rakan-rakan lain, saya dapat beraksi dengan baik.

"Moga-moga saya berpeluang untuk mengujinya lagi selepas ini," jelas Khairul Idham sambil berterima kasih kepada pengajar ADC, bekas pelumba MotoGP, Shinya Nakano dan Chojun Kameya.

Mengulas tentang saingan terakhir kategori WIRA Kejuaraan Cub Prix minggu ini, Khairul Idham mahu mengakhiri musim ini di atas podium.

"Keputusan tiga perlumbaan lepas sangat mengecewakan.

Saya gagal ke perlumbaan akhir sewaktu di Temerloh dan gagal menamatkan perlumbaan ketika di Jempol dan Sepang.

Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar pada minggu ini." Selepas sembilan pusingan, Khairul Idham masih berpeluang untuk menamatkan musim di kelompok lima pelumba terbaik setelah menduduki tangga keenam ketika ini dengan 69 mata, sembilan mata dipisahkan dengan Mohd Fairuz Nasir (Elf Koyoko KC Racing) di tempat kelima dengan 78 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Piya paling bernilai

Posted: 30 Nov 2013 09:45 AM PST

Shah Alam: Penyerang Kelantan Mohd Badhri Radzi atau Piya dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena-FAM yang diadakan di Shah Alam, semalam.

Berikut adalah senarai penuh pemenang dalam majlis yang turut memberi pengiktirafan kepada empat bekas setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM):

Penjaga Gol Terbaik : Khairul Fahmi Che Mat

Pemain Import Terbaik : Marlon Alex James


Pemain Tengah Terbaik : Mohd Badhri Radzi


Jurulatih Terbaik : Dollah Salleh

Pemain Harapan : Junior Edstal

Pemain Pertahanan Terbaik : Baihakki Khaizan

Pemain Penyerang Terbaik : Mohd Norfarhan Mohd

Pemain Paling Bernilai : Mohd Badhri Radzi

Fairplay : PDRM

Persatuan Negeri Terbaik : Terengganu FA

Kelab Bolasepak Terbaik : KL Sime Darby FC

Kelab Penyokong Terbaik : Kelantan

Pengadil Terbaik : Nago Amir Bin Nor Mohamed

Penolong Pengadil Terbaik : Mohd Sabri Bin Mat Daud

Anugerah Khas (Mantan Setiausaha Agung FAM ):
i. Datuk Seri Paul Mony Samuel
ii. Datuk Dell Akbar Khan
iii. Datuk Seri Dr Ibrahim Saad
iv. Datuk Azzuddin Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

Tiada tolak ansur andai ulang aksi hambar

Posted: 30 Nov 2013 09:19 AM PST

London: Menjelang pertemuan menentang Southampton malam ini, Jose Mourinho bingkas memberi amaran bahawa beliau tidak akan sesekali bertolak ansur andai anak buahnya mengulangi aksi hambar yang mengundang kekalahan di tangan Basel pada aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.

Mourinho jelas kecewa terhadap persembahan longlai pasukannya ketika tewas 1-0 kepada Basel, Selasa lalu dan berjanji membuat perubahan pada perlawanan penting menentang Saints yang akan melonjak Chelsea berada dalam kedudukan tiga teratas Liga Perdana sekiranya menang di Stamford Bridge.

"Saya tidak bertolak-ansur kerana saya perlu hidup dengan cara itu," kata Mourinho mengulas prestasi kurang memberangsangkan Chelsea di Switzerland.

"Ia bola sepak, terutamanya pasukan yang dalam proses pembentukan, ia bukan produk benar-benar siap, bukan jenis pasukan bekerjasama selama bertahun-tahun atau memiliki kematangan mencukupi memastikan kestabilan perlawanan demi perlawanan yang dilalui.


"Bagaimanapun, saya tidak suka dengan persembahan dipamer dan sudah tentu tidak. Kami akan cuba segala-galanya agar perkara sama tidak berulang. Perkara positif mengenai Liga Juara-Juara adalah apabila kami bermain dalam tekanan, kami sentiasa bangkit dan bermain lebih baik.


"Kami berharap lebih bersedia kerana situasi kami sekarang dalam keadaan baik."

Chelsea ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan mereka tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas Southampton jika tidak mahu ketinggalan lebih jauh.

Begitupun, Mourinho tidak mempunyai sebab untuk cemas dan beliau yakin Chelsea masih berada dalam kedudukan mantap untuk mencabar semua gelaran kejuaraan musim ini.

"Kami berada tidak jauh berbanding Arsenal, kami layak ke peringkat 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara dan akan bermain pada saingan suku akhir Piala Liga," kata Mourinho. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

'Jangan pandang rendah Spurs'

Posted: 30 Nov 2013 09:18 AM PST

London: Seminggu selepas diaibkan Manchester City 0-6, Tottenham Hotspur berdepan satu lagi tugas berat malam ini apabila menanti kunjungan Manchester United di White Hart Lane.

Pengurus Spurs Andre Villas-Boas menyifatkan keputusan di Stadium Etihad itu sebagai 'amat memalukan' tetapi jika pasukannya mahu kembali ke landasan sepatutnya, mereka perlu menewaskan United di laman sendiri buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.

United turut dicalar aib Ahad lalu apabila membenarkan gol penyamaan saat akhir yang menyebabkan mereka seri 2-2 dengan Cardiff City tetapi berjaya menebusnya penuh bergaya di Liga Juara-Juara.

Kemenangan 5-0 ke atas Bayer Leverkusen membolehkan pasukan David Moyes itu mara ke-16 pasukan terakhir dan ia adalah kemenangan terbesar kelab di luar laman sendiri dalam saingan peringkat Eropah sejak era kegemilangan 1960-an di bawah kendalian bekas pengurus legenda Matt Busby.


Ia juga melebarkan rekod tanpa kalah pasukan itu kepada 11 perlawanan dan meskipun rekod terkini United di White Hart Lane membayangkan mereka tidak mempunyai sebab untuk menghadapi perlawanan itu dengan perasaan bimbang, Moyes menganggap masih terlalu awal untuk menafikan peluang Tottenham.


Kelab utara London itu hanya ketinggalan satu mata berbanding skuad Moyes dalam Liga Perdana Inggeris, di mana United menduduki tangga keenam serta Tottenham kesembilan dan bekas pengurus Everton itu menganggap mereka masih lawan berbahaya.

"Tottenham tidak jauh ketinggalan," kata pengurus kelahiran Scotland itu.

"Ada kalanya kita terlalu cepat melatah. Secara peribadinya, saya tidak fikir Villas-Boas tertekan tetapi orang lain mungkin akan berkata demikian.

"Tidak kiralah bila anda menentang Tottenham Hotspur, ia pasti perlawanan yang sukar. Perlawanan kami dengan Manchester United memang hebat.

"Selepas berdepan keputusan seperti itu apa saja boleh berlaku. Kami juga baru pulang daripada beraksi di peringkat Eropah.

"Apa yang penting untuk kami adalah cuba memenangi perlawanan itu."

Kekalahan teruk Spurs mencetuskan spekulasi di media Britain bahawa zaman Villas-Boas di kelab itu sudah berlalu tetapi pengurus Portugal berkenaan menyaksikan kebangkitan pasukannya dengan kemenangan 2-0 ke atas Tromso dalam saingan Liga Europa, Khamis lalu.

"Saya bangga dengan pemain yang bangkit daripada kekalahan kepada Manchester City. Jelas sekali pencabar kami Ahad ini memang hebat tetapi untuk persediaan perlawanan itu, adalah penting untuk bersikap positif, mempamerkan aksi mantap serta mencipta banyak peluang," katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/01

No comments:

Post a Comment