Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Luruh macam ular salin kulit

Posted: 28 Dec 2013 05:02 AM PST

London: Kulit seorang kanak-kanak luruh seperti ular akibat kesan sampingan teruk terhadap ubat sawan.

Oakley Orange, tujuh tahun, diberi ubat selepas didiagnos menghidap epilepsi, namun mula mengalami sakit kepala, selsema dan ruam 12 hari kemudian.


Badannya kemudian berbisul dan melepuh sebelum rambut dan kukunya mula luruh sehingga dia nampak seperti mangsa lecur. Dia kini langsung tidak berkulit selain mengalami kerosakan organ dalaman, dan doktor menganggarkan Oakley mempunyai peluang 65% untuk pulih.

Keadaan dialami mangsa dikenali sebagai Sindrom Stevens Johnson (SJS) iaitu sel kulit mati sebelum tanggal seperti kulit ular. Ibunya Lorraine, 45, berkata, kejadian itu bagaikan mimpi ngeri baginya dan suami, Steven, 43.


"Tidak siapa mahu melihat anak menderita sebegini.


"Oakley kanak-kanak riang yang suka bermain Xbox, basikal atau skuter.

Foto

OAKLEY ketika sihat.

Foto

OAKLEY dibalut dari kepala hingga kakinya akibat kulitnya luruh dan diberi ubat bius.

"Semua orang menyayanginya walaupun baru pertama kali berjumpa.


"Namun kini dia tidak mampu membuka mata sekalipun.

"Setiap hari ada saja cabaran baru, kami tidak tahu apa yang akan berlaku dan hanya mampu mengharungi setiap jam dengan doa.


"Semua organ utamanya terjejas. Selepas satu diserang dan dirawat, ada pula organ lain terkena jangkitan.


Oakley mengalami sawan bulan lalu dan diberi ubat. Menurut Lorraine, bungkusan ubat menyatakan ia boleh menyebabkan ruam.


Bagaimanapun, Oakley jatuh sakit di sekolahnya pada 3 Disember lalu sebelum dadanya dipenuhi ruam dua hari kemudian.


Doktor menyangka Oakley dijangkiti virus atau demam campak sebelum seorang pakar dermatologi akhirnya mengenal pasti penyakit luar biasa itu.


Badannya dipenuhi bisul sebesar bola golf sebelum melepuh dan bahagian luar kulitnya terus luruh.


Sejak itu, Oakley dibalut dari kepala hingga kakinya selain diberi ubat tahan sakit dan dibius untuk mengurangkan seksanya.


SJS dialami Oakley merupakan yang paling ekstrem sehingga organ dalamannya turut bengkak menyebabkan dia terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.


Bagaimanapun, Oakley turut mendapat bantuan kewangan daripada semua pihak termasuk keluarga, rakan malah orang tidak dikenali yang setakat ini menyumbang £3,000 (RM16,249) untuk meringankan beban ibu bapanya.


Selebriti seperti penyanyi Peter Andre dan pelumba motosikal Shane Byrne turut menghulurkan sumbangan.


"Saya tak sangka begitu ramai prihatin membantu kami," kata Lorraine. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Susu keldai laris dijual

Posted: 28 Dec 2013 04:52 AM PST

New Delhi: Sekumpulan nomad dari daerah Telangana meraih untung menjual susu keldai kononnya rahsia di sebalik kecantikan ratu Mesir, Cleopatra - kerana didakwa baik untuk bayi yang baru dilahirkan.

Sambil membawa sekawanan keldai, 20 orang terdiri daripada empat keluarga itu mendapat perhatian penduduk selepas mendakwa susu dijual mampu merawat pelbagai penyakit bayi termasuk asma dan masalah pernafasan lain.


"Kami menjual secawan 25 mililiter (ml) susu segar dengan harga Rs200 (RM10.60) manakala bagi pembelian pukal Rs2000 (RM106) seliter.

"Kami masing-masing meraih sehingga Rs800 (RM42) sehari hasil jualan susu ini," kata wanita dalam kumpulan itu dikenali sebagai Lingamma.


Surirumah K Satyavathi membeli 75ml susu daripadanya untuk cucunya yang baru dilahirkan.


"Saya gembira apabila mendapat tahu susu ini dijual kerana ia perubatan ayurveda terbaik untuk bayi," katanya.

Pakar ayurveda V Suseela berkata, susu keldai digunakan sejak zaman dulu malah digunakan dalam produk kosmetik.


"Tidak hairanlah Cleopatra menggunakan mandian susu 700 keldai kerana ia mampu melembut dan menyerikan kulit," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Cedera usus makan kek Krismas

Posted: 28 Dec 2013 04:51 AM PST

Paris: Seorang wanita warga emas mengalami kecederaan usus kecil selepas tertelan hiasan kek Krismas yang dimakannya.

Wanita berusia 72 tahun itu mengadu sakit pada bahagian pusat selama tiga hari selain muntah dan mengalami demam panas.


Imbasan CT pada perutnya menunjukkan bahan asing berbentuk kapak kecil di duodenumnya sebelum pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan objek sepanjang dua sentimeter itu.

Mangsa makan kek Krismas beberapa hari lalu yang dihiasi kapak kecil itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Maut ditembak dalam bantahan

Posted: 28 Dec 2013 04:50 AM PST

Bangkok: Seorang penunjuk perasaan antikerajaan Thailand semalam terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah lokasi perhimpunan berhampiran kompleks kerajaan.

Serangan sebelum Subuh itu menyusuli beberapa minggu insiden bantahan antikerajaan secara besar-besaran yang bertujuan menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang turut mencetuskan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan pembangkang.


"Lelaki yang maut itu berusia 30-an dan ditembak di rusuk," kata jurucakap pusat kecemasan Erawan.

Ketua Keselamatan Rangkaian Pelajar dan Rakyat untuk pembaharuan Thailand (NSPRT), Nassir Yima berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 3.30 pagi apabila lelaki bersenjata dari dalam sebuah kereta Toyota berwarna keemasan melepaskan tembakan dengan raifal M16 ke arah pengawal yang berkawal di belakang pentas. "Lelaki itu mengacukan raifal M16 dari tingkap tempat duduk belakang ke arah pengawal bertugas sebelum melarikan diri," katanya.


Polis turut mengesahkan kejadian itu tetapi pasukan forensik belum dapat memaklumkan maklumat lanjut mengenainya.


Setakat ini, lapan orang termasuk seorang anggota polis terbunuh dan 400 lagi cedera sejak insiden bantahan antikerajaan melanda Bangkok bulan lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Calon pilihan raya tak dapat daftar

Posted: 28 Dec 2013 04:49 AM PST

Bangkok: Calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya 2 Februari tidak dapat mendaftar di lima wilayah selatan selepas penunjuk perasaan menghalang laluan masuk ke lokasi pada hari pertama pendaftaran semalam.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) Somchai Srisuthiyakorn berkata, wilayah itu ialah Nakhon Si Thammarat, Chumphon, Surat Thani, Krabi dan Songkhla.


Di Nakhon Si Thammarat, pegawai pilihan raya tidak dapat memasuki bangunan yang digunakan untuk pendaftaran calon selepas pemilik bangunan enggan membenarkan mereka menggunakannya. Penunjuk perasaan di lokasi itu menggunakan pembesar suara mengkritik kerajaan dan EC kerana enggan membatalkan pilihan raya pada 2 Februari.

Di Chumpon, lokasi pendaftaran dikepung lebih 100 penunjuk perasaan yang turut memutuskan bekalan elektrik dan air. Calon tidak dibenarkan memasuki tempat pendaftaran tetapi tiada keganasan dilaporkan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

23 maut kereta api terbakar

Posted: 28 Dec 2013 04:49 AM PST

New Delhi: Satu kebakaran yang berlaku di dua gerabak kereta api ekspres di selatan India awal semalam membunuh sekurang-kurangnya 23 orang.

Pihak berkuasa berkata, kebanyakan penumpang terperangkap dan lemas terhidu asap selepas pintu kereta api gagal dibuka.


Menteri Pengangkutan Kereta Api, Mallikarjun Kharge memberitahu media bahawa kebakaran itu dipercayai berpunca daripada kerosakan sistem penyaman udara di salah satu gerabak. Kereta api dari Bangalore menuju ke Nanded itu terbakar kira-kira jam 3.30 pagi. "Seramai 23 orang maut dan lapan lagi cedera," katanya. Laporan televisyen berkata, sesetengah penumpang yang panik memecahkan tingkap dan terjun dari kereta api itu untuk menyelamatkan diri, manakala yang lain terperangkap dalam asap tebal. Dua daripada mangsa yang maut ialah kanak-kanak.

Jurucakap kereta api, C S Gupta berkata, 67 penumpang berada dalam dua gerabak yang terbakar itu ketika kejadian dua kilometer dari pekan kecil Puttapuri, di negeri Andhra Pradesh. Gupta berkata, pemandu kereta api segera memberhentikan kenderaan itu, manakala dua gerabak yang terbakar dipisahkan daripada gerabak lain untuk mengelak api merebak. Tragedi itu berlaku setahun selepas sebuah kereta api lain di negeri sama Andhra Pradesh menyebabkan 32 orang terkorban dan sekali lagi membuktikan rekod keselamatan rangkaian kereta api di negara itu yang buruk.


Anggota bomba terpaksa memecahkan pintu yang tersekat dan melalui gerabak dipenuhi asap tebal untuk mengeluarkan mayat mangsa. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

Dijel 11 tahun salah guna kuasa

Posted: 28 Dec 2013 04:49 AM PST

Shanghai: Mahkamah China semalam memenjarakan empat penguatkuasa keselamatan hingga 11 tahun ekoran kematian seorang penjaja buah tembikai.

Insiden kematian berkenaan mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh negara itu berikutan penyalahgunaan kuasa oleh penguatkuasa kerajaan. Deng Zhengjia, 56, maut selepas bergaduh dengan penguatkuasa keselamatan di Hunan Julai lalu. Deng dan isterinya cuba menjual tembikai di lokasi bersejarah di tepi sungai, di mana kegiatan penjualan dilarang di situ.


Mahkamah di Hunan mendapati empat penguatkuasa itu bersalah kerana dengan sengaja menyerang Deng. Mereka menghadapi hukuman penjara dari tiga setengah hingga 11 tahun.

Anggota penguatkuasa yang dikenali sebagai 'chengguan' dan bekerjasama dengan polis di seluruh China itu untuk membantu penguatkuasaan undang-undang tempatan dirujuk kebanyakan rakyat negara itu sebagai 'samseng'. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

170 cedera akibat bunga api

Posted: 28 Dec 2013 04:48 AM PST

Manila: Bilangan kecederaan berhubung dengan bunga api meningkat kepada 170, ketika pengguna bahan itu bertambah lapan peratus tahun ini berbanding 2012.

Setiausaha Jabatan Kesihatan (DOH) Eric Tayag berkata dalam akaun Twitternya, sehingga semalam kecederaan berkaitan dengan bunga api mencecah 164 kes. Selain itu, satu kes membabitkan mangsa yang tertelan mercun, manakala lima lagi membabitkan peluru sesat. "Sehingga kini kes terburuk membabitkan remaja lelaki berusia 14 tahun yang hilang tangan kanan dan warga emas yang pecah biji matanya akibat terkena bunga api," katanya.


Menurutnya, seorang kanak-kanak berusia lima tahun turut hilang jari telunjuk selepas bermain bunga api.

"Daripada 164 kes kecederaan yang dicatatkan, 101 atau 62 peratus disebabkan oleh mercun kecil Piccolo," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/29

No comments:

Post a Comment